Jata laluan AH2 yang digandingkan dengan jata laluan E2 pada penanda kepastian semula Lebuhraya Utara-Selatan E2
Salam sejahtera,
Jika anda memandu di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2, Lebuhraya Baru Lembah Klang E1 mahupun Lebuhraya Elite E6 baru-baru ini, anda tentunya sudah perasan akan kewujudan papan tanda AH2 yang dipasang bersama-sama jata laluan E1, E2 ataupun E6 pada penanda laluan atau nama lainnya penanda kepastian semula. Untuk pengetahuan anda, papan tanda AH2 yang dipasang bersama-sama jata laluan heksagon sedia ada itu sebenarnya merupakan penanda laluan Lebuh Raya Asia AH2.
Untuk pengetahuan anda, Blog Jalan Raya Malaysia sudah lama berjuang menggesa Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) agar melaksanakan pemasangan jata laluan Lebuh Raya Asia pada papan tanda jalan raya dan lebuh raya sejak kami mula menulis mengenai Rangkaian Lebuh Raya Asia pada tahun 2013, malah kami turut membayangkan bagaimana rupanya sekiranya jata laluan Lebuh Raya Asia digandingkan pada penanda laluan dan papan tanda jarak sedia ada. Kini segala usaha kami sudah pun membuahkan hasil setelah PLUS Malaysia Berhad mengambil inisiatif merintis pemasangan jata laluan AH2 di sepanjang E1, E2 dan E6. Jutaan terima kasih kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kerja Raya Malaysia, Datuk Sarani Dollah kerana berperanan memastikan suara kami berkenaan pelaksanaan jata laluan Lebuh Raya Asia disampaikan ke peringkat kementerian.
Jika anda sudah pun terlupa, kami senaraikan semula laluan-laluan Lebuh Raya Asia yang melalui Malaysia:-
- AH2 - sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 (Bukit Kayu Hitam-Johor Bahru), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) E1 (Bukit Lanjan-Shah Alam), Lebuhraya Elite E6, Lebuhraya Skudai FT1 dan Tambak Johor FT1
- AH18 - sepanjang Jalan Persekutuan 3 (Rantau Panjang-Johor Bahru)
- AH140 - sepanjang Lebuhraya Butterworth-Kulim E15 (Butterworth-Lunas) dan Jalan Persekutuan 4 (Lunas-Pasir Puteh)
- AH141 - NKVE E1 (Bukit Lanjan-Jalan Duta), Lebuhraya Duke E33 (Jalan Duta-Sentul Pasar-Greenwood), KL MRR2 FT28 (Greenwood-Gombak Utara), Lebuhraya Karak E8/FT2, Lebuhraya Pantai Timur E8 Fasa 1 (Gombak-Jabor) dan Jalan Pintasan Gebeng
- AH142 - sepanjang Persiaran MEC FT222, Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12 (Gambang-Segamat) dan Jalan Persekutuan 1 (Segamat-Yong Peng Selatan)
- AH143 - sepanjang Lebuhraya Linkedua E3 (Senai-Tanjung Kupang)
- AH150 - sepanjang Lebuhraya Pan Borneo (Jalan Persekutuan 1 di Sarawak dan Jalan Persekutuan 1, 22 dan 13 di Sabah)
Syabas kepada PLUS kerana menjadi perintis kepada pemasangan jata laluan Lebuh Raya Asia yang diguandingkan dengan jata laluan heksagon kuning sedia ada. Diharap Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat-syarikat konsesi bagi lebuh raya yang saya senaraikan di atas turut sama mengambil inisiatif melaksanakan pemasangan jata laluan Lebuh Raya Asia yang digandingkan dengan kod laluan sedia ada. Tunjukkan kepada dunia bahawa kita bangga jalan raya kita membentuk rangkaian Lebuh Raya Asia.
No comments:
Post a Comment