Sunday, December 11, 2016

Belasungkawa / Memorabilia: Admin Aiman Abmajid (1985-2016) Part 1



Allahyarham Aiman bin Ab. Majid (1985-2016), admin kedua Blog Jalan Raya Malaysia
(gambar asal oleh Aiman bin Ab. Majid, disunting semula oleh Careta)


Salam sejahtera,

Dukacitanya dimaklumkan bahawa admin kedua Blog Jalan Raya Malaysia, Admin Aiman Abmajid, telah meninggal dunia dalam tidur lebih kurang sebelum pukul 7.00 pm, 10 Disember 2016. Jenazah beliau selamat dikebumikan pada pagi 11 Disember 2016. Bagi memenuhi permintaan para peminat Blog Jalan Raya Malaysia serta bagi memberi penghormatan terakhir kepada beliau sebagai penggiat media sosial yang telah banyak mengabdikan sepanjang hayatnya mendidik masyarakat Malaysia agar menyayangi dan memartabatkan jalan raya Malaysia, maka saya bawakan kepada anda siri entri belasungkawa khas buat Allahyarham. Siri belasungkawa ini terdiri daripada 3 bahagian, iaitu riwayat hidup beliau selaku pejuang jalan raya Malaysia (dalam entri ini), satu-satunya entri beliau bagi blog ini iaitu reviu Lebuhraya Timur-Barat FT4 (dalam entri seterusnya), serta sambungan siri entri kembara FTRoadpedia di Perak yang terhenti sekian lama berikutan masalah kesihatan, kesibukan kerja serta mental block semasa melakukan kajian mengenai pautan putus Lebuhraya Pantai Barat (WCE) E32.

Dalam bahagian pertama siri belasungkawa Allahyarham Aiman Abmajid, saya akan menceritakan kepada anda sejarah awal kehidupannya, bagaimana saya boleh mengenali beliau, serta peranan-peranan beliau selaku penggiat media sosial yang telah banyak berjasa dalam mendidik masyarakat dalam memartabatkan jalan raya negara.

Aiman bin Ab. Majid dilahirkan di Petaling Jaya pada 2 Jun 1985. Seperti yang anda semua sedia maklum, beliau mengalami autisme sejak kecil lagi, menjadikan status beliau sebagai Orang Kurang Upaya (OKU). Masalah autisme yang dihadapi beliau ini menyebabkan beliau mengalami masalah pembelajaran, pertuturan yang tersangkut-sangkut dan kurang lancar, serta mengalami masalah setiap kali hendak membonceng motosikal (beliau pernah nyaris terjatuh semasa cuba hendak membonceng motosikal saya semasa saya hendak menumpangkannya dari ibu pejabat Kementerian Kerja Raya ke stesen komuter Bank Negara). Namun demikian, Allah telah mengurniakan kepada beliau keupayaan otak dan akal yang luar biasa hebatnya. Sebab itulah kehadiran Aiman dalam kehidupan keluarganya merupakan satu rahmat besar serta menjadi kebanggaan seluruh ahli keluarganya.

Saya mula mengenali Aiman pada tahun 2005 semasa saya mula berjinak-jinak dengan hobi mencipta dan menyunting rencana Wikipedia mengenai jalan raya Malaysia. Pada masa yang sama juga, saya juga bergiat aktif sebagai editor bagi laman Motorways Exit Lists yang menyenaraikan persimpangan, hentian rehat dan hentian sebelah bagi lebuh raya di seluruh dunia, khususnya Malaysia. Saya mula mengenali nama Aiman setelah saya mencipta rencana Malaysian Expressway System di Wikipedia Bahasa Inggeris. Isi asalnya tidaklah panjang sangat, tetapi tiba-tiba saya dapati rencana tersebut menjadi panjang berjela dengan maklumat-maklumat yang saya sendiri tidak pernah perolehi sebelum ini. Jadi saya pun tertanya-tanya, siapakah gerangan insan misteri yang menyunting rencana tersebut sehingga menjadi panjang berjela...? Daripada situlah saya mengenali Aiman Abmajid selaku "insan misteri" tersebut.

Sekiranya anda aktif menyunting di Wikipedia Bahasa Inggeris, anda sepatutnya sudah biasa mendengar nama Aiman Abmajid ini. Bagi komuniti penyunting Wikipedia di Malaysia, Aiman dianggap sebagai "Raja Wikipedia Malaysia" berikutan jumlah rencana baharu dan suntingannya yang sangat banyak sehinggakan anda sendiri pun tidak percaya. Sejak beliau mula menyertai Wikipedia Bahasa Inggeris pada 27 September 2005 sehinggalah kepada suntingan terakhirnya pada 8 Disember 2016, beliau telah menyunting rencana Wikipedia sebanyak 72,619 suntingan - bermakna, purata suntingan yang dilakukannya dalam sehari ialah sebanyak 17.89 suntingan, satu angka yang tentunya membuatkan sesiapa sahaja akan ternganga mulutnya berikutan tahap kerajinannya yang luar biasa. Majoriti rencana yang dihasilkan adalah rencana jalan raya Malaysia, tetapi selain itu beliau turut menghasilkan rencana mengenai pengangkutan awam, bangunan-bangunan terkenal serta peristiwa yang berlaku di Malaysia. Saya terutamanya sudah tentu terperanjat besar, kerana saya dilantik sebagai sysop (penyelia) bagi Wikipedia Bahasa Melayu pada tahun 2007 tetapi tahap kerajinan saya tidaklah sampai ke tahap Aiman.

Pun begitu, banyak rencana Wikipedia yang dihasilkannya berkongsi kelemahan yang sama. Kebanyakan rencana jalan raya yang dihasilkan itu dilakukan secara salin-dan-tampal, sama ada dari segi struktur rencana mahupun isi kandungannya, sehingga menyebabkan beliau pernah disekat sebanyak dua kali oleh dua orang sysop yang tidak berpuas hati dengannya, meskipun Aiman telah banyak menerima penghargaan daripada ramai sysop yang lain. Aiman banyak menyalin dan menampal disebabkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris yang tidak berapa bagus serta keupayaan untuk membuat penulisan semula (paraphrasing) yang lemah. Saya sendiri pun tidak bersetuju akan tindakan tidak profesional dua sysop tersebut yang menyekat Aiman secara membabi-buta tanpa memberikan peluang langsung kepada Aiman untuk melakukan penambahbaikan terhadap rencana-rencana ciptaannya. Akibatnya, Aiman Abmajid terpaksa mencipta dua akaun baharu yang berbeza, dengan menggunakan nama 1Malaysiaspirit (selepas sekatan pertama, itu pun tidak bertahan lama) dan seterusnya Malaysiana85 (selepas sekatan kedua, berterusan sehingga sekarang). Justeru, saya perlu membantu Aiman agar beliau tidak disekat lagi dengan mengajarnya cara membuat penulisan semula (paraphrase) serta menyertakan rujukan. Kenapa saya perlu bantu Aiman...? Alasan saya mudah sahaja - kalau Aiman disekat, yang rugi bukan beliau tetapi seluruh dunia yang akan rugi.

Pun begitu, masih ada satu lagi masalah yang membelenggu kami, iaitu ketandusan sumber rujukan sahih bagi jalan raya Malaysia untuk disertakan dalam rencana-rencana Wikipedia ciptaan kami. Daripada situlah saya mendapat ilham untuk mencipta Blog Jalan Raya Malaysia, yang menghimpunkan sumber-sumber rujukan mengenai jalan raya agar peminat jalan raya Malaysia dapat memperoleh sumber rujukan mengenai sejarah dan latar belakang jalan raya di Malaysia. Selain dapat membantu kami menghimpunkan sumber rujukan bagi penambahbaikan rencana-rencana Wikipedia ciptaan kami, pelajar-pelajar sekolah yang ingin menghasilkan projek kerja kursus bagi mata pelajaran Geografi sudah tentu berupaya memperoleh maklumat mengenai jalan raya utama yang terletak berhampiran kediaman mereka. Dalam masa yang sama, saya turut mencipta laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia, di mana Aiman merupakan antara peminat terawalnya Berikutan minatnya untuk berkongsi segala maklumat yang diperolehinya mengenai jalan raya Malaysia dan seantero dunia, maka Aiman diberi penghormatan sebagai admin kedua Blog Jalan Raya Malaysia secara tetap sehingga ke akhir hayatnya. Selain banyak membantu saya dalam mendapatkan gambar-gambar bersejarah jalan raya Malaysia, perkongsian maklumat mengenai pengangkutan awam negara serta rangkaian jalan raya global, peranan Aiman sebagai admin kedua juga banyak membantu kami dalam usaha kami mendapatkan semula laman Facebook kami setelah digodam sebelum ini.

Penglibatan aktif Aiman dalam Blog Jalan Raya Malaysia turut menarik perhatian para pegawai tertinggi Kementerian Kerja Raya Malaysia, termasuklah Menteri Kerja Raya sendiri. Cuma, KKR hanya berjaya "menarik keluar" saya seorang sahaja buat pertama kali semasa taklimat mengenai isu tol JB EDL E14 pada tahun 2014. Hanya semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat KKR pada tahun 2015 barulah saya berjaya menarik sekali Aiman untuk diperkenalkan kepada para pegawai tertinggi KKR termasuklah Datuk Seri Fadillah Yusof sendiri. Dengan kejayaan saya menarik keluar Aiman untuk diperkenalkan kepada pengurusan tertinggi KKR, maka tercapailah sudah hasrat beliau agar segala usaha beliau dalam memartabatkan jalan raya Malaysia mendapat perhatian pihak KKR sendiri.

Namun, dengan tidak disangka-sangka, Aiman pergi meninggalkan kita semua secara mengejut pada 10 Disember 2016. Apa yang membuatkan saya berasa terkilan ialah masih terdapat beberapa hasrat beliau yang tidak sempat ditunaikan. Antaranya termasuklah keinginannya untuk menyertai jelajah FTRoadpedia Pantai Timur, mencuba sendiri tren MRT Aliran Sungai Buloh-Kajang Fasa 1, dan yang paling menyayat hati ialah keinginannya untuk mencuba sendiri Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1. Lebih kurang 24 jam sebelum pemergiannya, seorang bapa saudaranya meninggal dunia, dan menurut ibu saudaranya, Aiman begitu teruja menceritakan mengenai Lebuhraya Pan Borneo AH150, siap boleh tahu fasa mana yang sudah bermula dan akan dimulakan, dan pada masa itulah beliau mengatakan bahawa beliau tidak akan berkesempatan untuk mencuba sendiri Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1, meskipun ibu saudaranya meyakinkannya bahawa Aiman masih boleh menyimpan wang untuk ke sana. Mungkin itulah petanda terbesar bahawa Allahyarham Aiman akan meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Pada 10 Disember 2016, seperti biasa Aiman pergi ke perpustakaan untuk mendapatkan gambar-gambar serta rujukan jalan raya untuk disertakan di dalam laman Facebook kami. Sebaik sahaja beliau tiba di rumah pada petangnya, beliau mahu tidur sebentar dan akan bangun semula sebelum Maghrib. Namun, tanpa disangka-sangka tidur yang dikatakan sebentar itu berubah menjadi tidur buat selama-lamanya.

Pemergian Allahyarham Aiman Abmajid merupakan satu kehilangan yang amat besar buat Blog Jalan Raya Malaysia khasnya serta kepada seluruh rakyat Malaysia amnya. Tiada lagi koleksi gambar-gambar bersejarah yang sering ditampilkan di laman Facebook kami, sedangkan gambar-gambar itulah antara aset-aset kami yang paling bernilai untuk dikongsikan bersama seluruh peminat jalan raya Malaysia. Justeru, jika ada anugerah khas untuk penggiat media sosial yang mengabdikan seluruh hayatnya bagi mendidik rakyat Malaysia agar menyayangi dan memartabatkan rangkaian jalan raya Malaysia, maka anugerah itu seharusnya menjadi milik beliau bagi menghargai jasa-jasa beliau selama ini.

Al-Fatihah buat admin kedua Blog Jalan Raya Malaysia, merangkap Raja Wikipedia Malaysia, merangkap sahabat seperjuangan saya, Allahyarham Aiman bin Ab. Majid.


8 comments:

  1. Inna lillahi wainna ilaihi rajiun. Kehilangan yang sukar dicari ganti kerana passion datangnya dari hati sanubari dan bukan dipelajari di universiti. Semoga dia bahagia di Sana.

    ReplyDelete
  2. Innalillahiwainnaillahirojiun...
    Salam takziah buat keluarga & sahabat..
    Terima kasih kerana telah membuktikan 'kelainan'mu itu satu anugerah yg sangat luarbiasa.
    Al-fatihah & damailah kamu di sana dik Aiman.. T_T

    ReplyDelete
  3. Selalu follow blog dengan fb blog jalan raya Malaysia.. Innalillah wainna ilaihi rojiun.. Semoga arwah tenang di sana..

    ReplyDelete
  4. Al Fatihah utk adik sepupu ku Arwah Aiman Majid

    ReplyDelete
  5. Al Fatihah utk adik sepupu ku Arwah Aiman Majid

    ReplyDelete
  6. Al-Fateha. Saya seorang drp Pakciknya. bertugas di NSTP

    ReplyDelete
  7. Al-Faatihah untuk saudara Aiman. Semoga kamu tenang di sana dan sekali lagi terima kasih di atas segala karya penulisan kamu.

    ReplyDelete

Advertisement