Monday, December 19, 2016

Pembinaan kesemua baki jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1 dilancarkan hari ini / The construction of all the remaining sections of the Sarawakian Pan Borneo Highway FT1 has been launched today



Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak merasmikan pembinaan baki jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1/AH150


Salam sejahtera,

Hari ini (18 Disember 2016), satu lagi sejarah tercipta di Sarawak apabila baki kelapan-lapan pakej Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1/AH150 dilancarkan, melengkapkan kesemua 12 pakej yang disasarkan siap pada tahun 2021. Sebelum ini, tiga pakej Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1/AH150 telah dilancarkan, iaitu Simpang Nyabau-Simpang Bakun sejauh 43 km (dilancarkan 31 Mac 2015), Teluk Melano-Sematan sejauh 33 km (dilancarkan 15 September 2015) dan Bulatan Serian-Simpang Pantu sejauh 75 km (dilancarkan 13 Mac 2016). Dalam projek ini, hanya jajaran Teluk Melano ke Sematan sahaja yang merupakan jajaran baharu, yang bakal menganjakkan kilometer sifar bagi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1/AH150 sebanyak 33 km ke sebelah barat.




Majlis pelancaran baki 8 pakej Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1


Kesemua pakej Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1 adalah seperti berikut:-


No.
Nama jajaran
Jarak
(km)
Bil. Jambatan
Bil. Persimpangan bertingkat
Hentian sebelah / RSA
Nota
1
Teluk Melano-Sematan
32.77
6
Tiada
Tiada
Jajaran jalan raya tunggal baharu
2
Sematan-Sg. Moyan (Bulatan Kuching-Serian)
95.4
22
6 (Lundu, Bau, Batu 4 ½, Batu 6, Batu 7 & Batu 10)
1 (Lundu)

3
Serian-Simpang Pantu
75.02
10
3 (Serian 1, Serian 2 & Simunjan)
1 (Balai Ringin)

4
Simpang Pantu-Btg. Skrang
89.44
9
1 (Sri Aman)
Tiada

5
Btg. Skrang-Sg. Awik
67.94
9
1 (Betong)
Tiada

6
Sg. Awik-Bintangor
64.49
6
2 (Sarikei, Bintangor)
1 (Roban)

7
Bintangor-Sg. Kua
75.97
18
2 (Julau, Sibu)
1 (Julau)
Termasuklah pembinaan Jambatan Durin kedua
8
Sg. Kua-Sg. Arip
63.678
14
1 (Selangau)
1 RSA (Sg. Basai)

9
Sg. Arip-Bintulu
64.53
8
1 (Bintulu)
1 RSA (Sg. Semanok)

10
Simpang Nyabau-Simpang Bakun
42.97
4
Tiada
Tiada

11
Simpang Bakun-Simpang Sg. Tangap
77.19
5
4 (Bakun, Suai. Niah, Batu 5-Nyabau
1 (Suai)

12
Sg. Tangap-Pujut Link
79.98
8
4 (Beluru, Bekenu, Lapangan Terbang Miri, Pujut Link)
1 RSA (Lambir)



5 perkara yang anda perlu ketahui tentang Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1
  1. Projek ini merupakan projek naik taraf Jalan Persekutuan 1 Sarawak sedia ada, dengan hanya jajaran Teluk Melano-Sematan sebagai satu-satunya jajaran baharu yang dibina sebagai jalan super two.
  2. Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak ini merupakan projek lebuh raya kembar, bukannya lebuh raya ekspres. Dalilnya...?
    • Keseluruhan jajaran Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak ini dibina mengikut piawaian JKR R5. Lebuh raya ekspres memerlukan piawaian JKR R6 kecuali lebuh raya dua lorong yang mengguna pakai piawaian JKR R5 tetapi dengan kawalan masuk penuh.
    • Meskipun ada 25 persimpangan bertingkat yang akan dibina nanti bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1, namun majoriti persimpangan searas serta simpang-simpang kecil termasuklah simpang jalan masuk ke rumah-rumah panjang dikekalkan. Jika Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dibina sebagai lebuh raya ekspres, jalan masuk ke rumah panjang pun tak boleh wujud sama sekali.
    • Terdapat banyak pusingan U searas yang akan dibina nanti. Piawaian lebuh raya ekspres tidak membenarkan pusingan U dibina (kecuali pusingan U bertingkat) kerana menurut Arahan Teknik 8/86: A Guide on Geometric Design of Roads, pusingan U juga dianggap sebagai lintasan searas.
  3. Had laju bagi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1 ini nanti ialah 90 km/j, bukannya 110 km/j.
  4. Tiada tol yang akan dikenakan di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1 ini nanti. Nak tahu sebab apa...? Sebabnya ialah Lebuhraya Pan Borneo FT1 ini ialah projek jalan persekutuan, bukannya projek lebuh raya ekspres.
  5. Kenapa Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1 tidak dibina sebagai lebuh raya ekspres...?
    • Bagi masyarakat Sarawak, Lebuhraya Pan Borneo FT1 itulah jalan kampung, itu jugalah jalan raya utama dan itu jugalah lebuh raya bagi mereka, tiada laluan alternatif lain.
    • Projek lebuh raya ekspres di Sarawak adalah tidak berdaya maju disebabkan kepadatan penduduk yang terlalu sedikit, kadar aliran trafik yang masih tidak mengizinkan untuk pembinaan lebuh raya ekspres serta jarak antara pekan yang sangat jauh (sehingga melebihi 100 km).
    • Banyak pekan di sepanjang laluan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1 seperti Serian, Selangau, Tatau dan Niah amat bergantung kepada pengguna jalan raya sebagai sumber ekonomi utama. Jika lebuh raya ekspres dibina, ia akan menyebabkan pekan-pekan tersebut dipintas, sekaligus membunuh ekonomi di pekan-pekan tersebut.

Untuk lebih banyak lagi fakta mengenai Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, anda boleh baca di FAQ Lebuhraya Pan Borneo.

No comments:

Post a Comment

Advertisement