Thursday, December 8, 2016

Rupa papan tanda Lebuhraya Bermula dan Lebuhraya Tamat yang sepatutnya / What an Expressway Begins and Expressway Ends signboard should look like



Papan tanda Lebuhraya Bermula sepatutnya digunakan bagi menandakan bermulanya kawalan masuk penuh, tetapi ada syarikat konsesi yang menyalahgunakannya sebagai sempadan penyelenggaraan. Contoh penggunaan bagi Lebuhraya Lekas E21 merupakan contoh penggunaan yang betul


Salam sejahtera,

Satu perkara yang saya amat tidak berpuas hati tentang papan tanda lebuh raya ekspres di Malaysia adalah mengenai penggunaan papan tanda Lebuhraya Bermula dan Lebuhraya Tamat. Kenapa pula saya kurang berpuas hati mengenai penggunaannya...? Ia kerana kedua-dua papan tanda tersebut sepatutnya menandakan zon yang dikenakan kawalan masuk penuh serta syarat-syarat serta larangan-larangan bagi sesetengah kenderaan daripada menggunakannya. Penggunaan papan tanda tersebut sepatutnya selaras dengan peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memberi kuasa kepada Menteri Kerja Raya untuk mewartakan atau menarik balik larangan bagi beberapa jenis kenderaan tertentu untuk menggunakan sesuatu laluan tertentu.

Namun, kedua-dua papan tanda berkenaan sering disalahgunakan oleh banyak syarikat konsesi lebuh raya sebagai penanda sempadan penyelenggaraan, meskipun sebenarnya sudah ada format khas bagi papan tanda sempadan penyelenggaraan lebuh raya. Perlu diingat bahawa sempadan penyelenggaraan dan zon lebuh raya ekspres merupakan dua perkara yang berbeza - sempadan penyelenggaraan bermaksud kawasan yang diwartakan di bawah penyelenggaraan syarikat konsesi, termasuklah jalan masuk ke lebuh raya yang tentunya tidak diletakkan di bawah piawaian lebuh raya ekspres, sementara zon lebuh raya ekspres merupakan zon yang dikenakan kawalan masuk penuh serta larangan bagi kenderaan tertentu daripada menggunakan lebuh raya ekspres. Justeru, penyalahgunaan papan tanda sebegini amat saya kecam kerana ia mengundang kepada pencabulan piawaian lebuh raya ekspres.




KO: Lebuh raya ekspres baru hendak bermula, kenapa pula tiba-tiba tamat...?




KO: Contoh penyalahgunaan papan tanda Lebuhraya Bermula sebagai papan tanda sempadan penyelenggaraan - Lebuh raya ekspres kan dah bermula, nak mula apa lagi...?
(Lokasi: Exit 256 / Exit 1404 Persimpangan Pandan, Lebuhraya Utara-Selatan E2/JB EDL E14)




OK: Gunakan papan tanda sempadan penyelenggaraan untuk menyatakan peralihan sempadan penyelenggaraan antara dua syarikat konsesi berbeza, bukannya papan tanda Lebuhraya Tamat atau Lebuhraya Bermula
(Lokasi: Exit 1809 / Exit 2600 Persimpangan Uniten di sempadan Lebuhraya Kajang Silk E18/SKVE E26)


Kenapa sempadan zon penyelengaraan tidak semestinya bermaksud zon lebuh raya ekspres...? Sebenarnya terdapat tiga senario utama mengenai latar belakang penyelenggaraan lebuh raya ekspres di Malaysia, bergantung kepada sejarah pembinaan masing-masing:-

  1. 100% lebuh raya ekspres sejati - yang bermaksud, sempadan penyelenggaraan memang bermula di permulaan zon lebuh raya ekspres dan tamat betul-betul di penamat zon lebuh raya ekspres. Boleh dikatakan rata-rata lebuh raya ekspres yang dibina menggunakan 100% laluan baharu tanpa sedikit pun berkongsi laluan dengan jalan raya sedia ada memenuhi kriteria pertama ini.
  2. Lebuh raya rojak (ada zon bukan ekspres) - yang bermaksud ada zon yang tidak memenuhi piawaian lebuh raya ekspres (ada simpang jalan-jalan kecil, ada percampuran dengan kenderaan bukan ekspres, dsb.). Senario sebegini berlaku kerana ada lebuh raya yang sebahagian laluannya menggunakan jalan raya sedia ada tetapi mekanisme kawalan masuk penuh pula tidak diterapkan di jajaran tersebut. Pun begitu, ia tidak semestinya bermakna mustahil bagi lebuh raya yang dibina hasil naik taraf jalan sedia ada tidak mampu mencapai tahap 100% lebuh raya ekspres sejati; Lebuhraya Grand Saga E7/FT1 merupakan salah satu contoh terbaik bagi lebuh raya hasil naik taraf jalan lama tetapi mampu mencapai status 100% lebuh raya ekspres sejati. Antara contoh "lebuh raya rojak" ini termasuklah ialah seperti Lebuhraya Kajang Silk E18 (zon bukan ekspres di Mines-Balakong & Kajang Prima-Sungai Ramal), Lebuhraya Besraya E9 (sepanjang laluan asal; laluan BEE E9 pula mematuhi piawaian lebuh raya ekspres), NPE E10 (zon bukan ekspres di Jalan Templer-Kg. Datuk Harun & Bandar Sunway-Subang Jaya), dan BORR E17 (zon bukan ekspres di Bagan Ajam-Bagan Lalang & sepanjang Jalan Baru FT1).
  3. 100% mencabuli piawaian lebuh raya ekspres - yang bermaksud keseluruhan laluan tidak mematuhi piawaian lebuh raya ekspres. Ia susulan amalan mengambil beberapa laluan jalan arteri percuma sebagai lebuh raya, membina persimpangan bertingkat bagi menggantikan persimpangan searas serta persimpangan jalan-jalan kecil pula terlalu banyak dan tidak ditangani langsung. Contoh terbaik bagi kategori ini semestinya LDP E11. Dalam kes sebegini, lebuh raya yang termasuk dalam kategori ketiga ini sepatutnya diturun taraf kepada Jalan Persekutuan tetapi dengan papan tanda hijau tanpa simbol lebuh raya ekspres serta masih dibenarkan untuk mengutip tol kerana masih tertakluk kepada Akta Jalan-jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) 1984.

Oleh kerana zon lebuh raya ekspres tidak semestinya bermula di sempadan penyelenggaraan, maka papan tanda Lebuhraya Bermula atau Lebuhraya Tamat tidak wajar digunakan di sempadan zon penyelenggaraan, kecuali jika sempadan penyelenggaraan itu memang berada di titik permulaan zon kawalan masuk penuh. Juster, papan tanda yang sepatutnya digunakan di permulaan zon penyelenggaraan adalah seperti bawah ini:-




Format papan tanda zon sempadan penyelenggaraan
(Contoh yang ditunjukkan adalah untuk PLUS Malaysia Berhad)

Bagi kes BORR E17, sempadan penyelenggaraan di sebelah selatan bermula betul-betul selepas Exit 162 Persimpangan Perai, tetapi mekanisme kawalan masuk penuh hanya bermula di Exit 1701 Persimpangan Perai Lama. Justeru, jajaran dari Exit 162 sehingga Exit 1701 tidak wajar dilabelkan sebagai E17 tetapi sepatutnya dilabelkan sebagai FT1 kerana jajaran ini (yang juga dikenali sebagai Jalan Baru FT1) merupakan jajaran bukan lebuh raya ekspres. Maka, papan tanda Lebuhraya Bermula sepatutnya ditempatkan di Exit 1701 dan bukannya selepas Exit 162, dan papan tanda Lebuhraya Bermula sepatutnya turut menyatakan larangan penggunaan kenderaan bergerak perlahan seperti contoh di bawah ini:-




Format papan tanda Lebuhraya Bermula yang sepatutnya, berserta larangan kenderaan bergerak perlahan serta peringatan had laju minimum
(Contoh yang digunakan: Lebuhraya Pantai Timur E8)


Bagi tanjakan masuk ke lebuh raya pula, papan tanda tersebut boleh diringkaskan rekaannya seperti di bawah ini:-




Ok, kenapa saya beriya-iya mahu menggesa papan tanda Lebuhraya Bermula digandingkan dengan papan tanda larangan kenderaan bergerak perlahan dan had laji minimum...? Kenderaan bergerak perlahan membahayakan nyawa mereka sendiri dan pengguna lebuh raya yang lain melalui dua cara - pertama, mereka berisiko untuk dilanggar dari belakang, yang mana semakin perlahan kelajuan mereka, semakin teruk impak pelanggaran yang terhasil akibat beza kelajuan yang begitu besar. Kedua, pemandu yang sedang laju akan hilang kawalan semasa hendak cuba mengelak kenderaan bergerak perlahan ini. Sebab itulah kebanyakan negara yang mengharamkan kenderaan bergerak perlahan daripada memasuki lebuh raya capaian terkawal, dan ada di antara negara-negara tersebut yang turut menetapkan had laju minimum. Larangan sebegini adalah bagi memastikan tiada gangguan yang menghalang aliran trafik berkelajuan tinggi; justeru, had laju paling selamat di lebuh raya ekspres hanyalah sekitar had laju maksimum sahaja (90-110 km/j). Meskipun papan tanda larangan memang ada dipasang di jalan-jalan masuk ke lebuh raya ekspres, namun pelaksanaan umpama melepaskan batok di tangga, dibuktikan dengan terdapat banyak jalan masuk ke lebuh raya ekspres yang tidak dipasang papan tanda tersebut.




Di Malaysia, papan tanda larangan kenderaan bergerak perlahan ini dipasang seolah-olah melepaskan batok di tangga kerana ada jalan masuk ke lebuh raya yang langsung tidak dipasang dengan papan tanda sebegini


Jika banyak syarikat konsesi lebuh raya memandang remeh akan pemasangan papan tanda larangan kenderaan bergerak perlahan serta had laju minimum, barangkali dua berita nahas lebuh raya ini sepatutnya berupaya untuk mencelikkan mereka, kecualilah kalau mereka ini memang tidak berhati perut. Dua nahas lebuh raya ekspres yang hendak saya tampilkan di sini jelas menunjukkan akibat ketiadaan penguatkuasaan larangan penggunaan kenderaan bergerak perlahan di lebuh raya ekspres, yang mana mangsa bagi kedua-dua nahas tersebut merupakan atlet berbasikal negara. Mangsa pertama ialah Kimberly Yap Fui Li yang dilanggar semasa berbasikal di Penchala Link E23 pada tahun 2014, manakala mangsa kedua ialah Nur Rozi Yanti Mat Rodzi yang dilanggar di Lebuhraya Kajang Silk E18 pada 5 September 2015. Dalam kedua-dua kes tersebut, saya tidak menyalahkan kedua-dua atlet tersebut kerana mereka mungkin tidak tahu akan larangan penggunaan basikal di lebuh raya ekspres, tetapi sebaliknya saya menyalahkan sepenuhnya syarikat konsesi bagi kedua-dua lebuh raya tersebut kerana kegagalan memasang papan tanda larangan kenderaan bergerak perlahan serta ketiadaan penguatkuasaannya.




Kerana kegagalan syarikat konsesi lebuh raya memasang papan tanda larangan penggunaan kenderaan bergerak perlahan serta penguatkuasaannya, atlet berbasikal negara menjadi mangsa
(Kredit gambar: Kosmo!)


Dalam hal penguatkuasaan larangan penggunaan kenderaan bergerak perlahan di lebuh raya ekspres, saya berasa amat kecewa dan amat tidak berpuas hati kerana kebanyakan syarikat konsesi memandang enteng akan kepentingan penguatkuasaan larangan kenderaan bergerak perlahan ini. Sepanjang pemerhatian saya, hanya AKLEH E12 sahaja satu-satunya lebuh raya ekspres di Malaysia yang wajar dipuji kerana memaparkan dengan lengkap larangan kenderaan bergerak perlahan (termasuklah pejalan kaki) daripada menggunakan E12. Jika dibandingkan dengan beberapa negara lain, Sri Lanka yang merupakan negara membangun yang baru sahaja berjinak-jinak membina lebuh raya ekspres mampu menunjukkan contoh yang jauh lebih bagus dengan memaparkan dengan lengkap larangan kenderaan bergerak perlahan daripada menggunakan lebuh raya ekspres. Ke manakah perginya maruah negara kita sebagai negara yang lebih dahulu gah membina lebuh raya ekspres berbanding Sri Lanka...?




OK: Di Malaysia, hanya AKLEH E12 sahaja satu-satunya contoh terbaik apabila ia memaparkan larangan lengkap kenderaan yang tidak dibenarkan memasuki lebuh raya.




Sri Lanka baru sahaja berjinak-jinak dalam pembinaan lebuh raya ekspres, tetapi berupaya menunjukkan contoh terbaik dalam penguatkuasaan larangan kenderaan bergerak perlahan termasuklah lencongan keluar - kenapa syarikat konsesi di Malaysia pula tidak mampu melakukan sebegini...?
(Lokasi: Lebuhraya Colombo-Katunayake E03, Sri Lanka)




Jalan tol bermula di Indonesia: Indonesia melaksanakan larangan penggunaan jalan tol terhadap kenderaan yang mempunyai kurang daripada empat roda...




...termasuklah motosikal, bajaj,...




...basikal, beca, kereta lembu dan kereta sorong - bukankah lebih kemas sekiranya kesemua papan tanda larangan tersebut disatukan...?
(Lokasi: Jalan Tol Cipali, Indonesia)




Papan tanda Lebuhraya Bermula dan larangan penggunaan lebuh raya bebas terhadap pejalan kaki, basikal dan basikal berenjin (moped) yang begitu ringkas
(Lokasi: Jalan Negeri California CA12, Santa Rosa, California, AS)


Kita pergi seterusnya kepada zon bukan ekspres di sesetengah lebuh raya. Dalam hal ini, saya ingin menggunakan jajaran bukan ekspres Jitra-Bukit Kayu Hitam di Lebuhraya Utara-Selatan E1, memandangkan ia merupakan antara jajaran bukan ekspres yang dikenali. Ia susulan jajaran ini dibina sebagai naik taraf Jalan Persekutuan 1 dan bukannya jajaran serba baharu sebagaimana jajaran selebihnya.

Saya pernah mencuba jajaran tersebut pada tahun 2008 semasa saya hendak melawat adik perempuan saya yang pada masa itu belajar di Kolej Matrikulasi Changlun. Semasa saya sudah melepasi Exit 182 Persimpangan Jitra Utara, saya dapati terdapat papan tanda Lebuhraya Tamat sebaik sahaja sebelum menghampiri pusingan U bertingkat dekat pejabat Majlis Daerah Kubang Pasu, bagi menandakan berakhirnya zon ekspres atau zon kawalan masuk penuh. Namun, imej Google Maps Street View yang lebih terkini pula menunjukkan bahawa papan tanda tersebut sudah pun dibuang; dari arah utara, papan tanda larangan kenderaan bergerak perlahan hanya dipaparkan sebaik sahaja berada betul-betul di Plaza Tol Jitra, yang mana saya sifatkan sebagai sudah terlambat.




KO: Zon kawalan masuk penuh sepatutnya tamat sebelum pusingan U bertingkat di pejabat Majlis Daerah Kubang Pasu - mana perginya papan tanda Lebuhraya Tamat di situ...? Kenapa ia dibuang...?




KO: Papan tanda penunjuk arah di persilangan lampu isyarat pekan Changlun - simbol lebuh raya ekspres menghala ke Bukit Kayu Hitam sepatutnya dibuang kerana ia bukan lagi jajaran lebuh raya ekspres


Justeru, saya ingin mempersoalkan kenapa PLUS membuang papan tanda Lebuhraya Tamat di pusingan U bertingkat Majlis Daerah Kubang Pasu itu...? Saya juga mempersoalkan kenapa PLUS tidak memasang papan tanda larangan kenderaan bergerak perlahan di Exit 182 Persimpangan Jitra Utara, dan kenapa kena tunggu Plaza Tol Jitra baru hendak memasang papan tanda tersebut...? Bukanlah sudah terlambat kerana sudah tidak boleh pusing balik lagi...? Kenapa tidak letakkan sahaja papan tanda arahan kenderaan bergerak perlahan untuk keluar di Exit 182...? Di Exit 160 Persimpangan Juru pandai pula PLUS meletakkan papan tanda arahan kenderaan bergerak perlahan untuk keluar ke situ - kenapa perkara sama tidak dilakukan di Exit 182 pula...? Ia jelas menunjukkan bahawa penguatkuasaan larangan kenderaan bergerak perlahan di lebuh raya ekspres di Malaysia hanya sekadar melepaskan batok di tangga semata-mata. Justeru, syarikat konsesi lebuh raya yang mana lebuh raya kendalian mereka melalui jajaran bukan ekspres sewajarnya memanfaatkan penggunaan papan tanda Lebuhraya Tamat sebaik sahaja sebelum bermulanya jajaran yang tidak dikenakan kawalan masuk, kerana adalah mustahil bagi "menghalau" kenderaan yang tidak dilesenkan untuk lebuh raya ekspres melaluinya, memandangkan laluan itu sahajalah satu-satunya laluan yang ada. Namun, bagi kes di mana keseluruhan jajaran tidak mengikuti piawaian lebuh raya ekspres, adalah lebih baik jika ia diturun taraf sahaja kepada Jalan Persekutuan bertol, tanpa logo lebuh raya ekspres.




Papan tanda lencongan keluar kenderaan bergerak perlahan di Exit 160 Persimpangan Juru (arah selatan) - sepatutnya PLUS memasang papan tanda sama di Exit 165 Persimpangan Sungai Dua (arah utara) dan Exit 182 Persimpangan Jitra Utara (arah selatan)




Papan tanda yang membawa maksud sama di permulaan lebuh raya A1(M), United Kingdom


Dalam kes papan tanda Lebuhraya Tamat pula, wilayah Quebec di Kanada menunjukkan contoh terbaik apabila ia turut memaparkan sebab bagi tamatnya lebuh raya ekspres, seperti kewujudan lampu isyarat dan persilangan searas.




Papan tanda Lebuhraya Tamat di wilayah Quebec berserta sebabnya iaitu persimpangan lampu isyarat, ditempatkan 3 km sebelum penamat lebuh raya
(Lokasi: Autoroute 50, Montreal, Quebec, Kanada)




Papan tanda lintasan searas di hadapan yang ditempatkan sebelum papan tanda Lebuhraya Tamat di Jalan US101, Redwood Valley, California, AS


Bagi kes Malaysia pula, papan tanda yang membawa maksud yang serupa boleh dihasilkan dengan menggandingkan papan tanda Lebuhraya Tamat bagi laluan utama lebuh raya digandingkan dengan beberapa papan tanda yang berkaitan, seperti contoh di bawah. Paling penting, makluman lebuh raya tamat sebegini perlu dinyatakan 2 km sebelum lebuh raya ekspres betul-betul tamat bagi membolehkan pengguna lebuh raya ekspres bersedia memperlahankan kelajuan.




Contoh papan tanda Lebuhraya Tamat bagi laluan utama yang digandingkan dengan penyebabnya


Bagi jalan susur keluar dari lebuh raya pula, papan tanda Lebuhraya Tamat biasa sudah memadai.




Papan tanda Lebuhraya Tamat biasa


Kesimpulannya, amalan penyalahgunaan papan tanda Lebuhraya Bermula dan Lebuhraya Tamat sebagai penanda sempadan penyelenggaraan lebuh raya oleh syarikat konsesi mestilah dihentikan, kerana "sempadan penyelenggaraan" dan "zon lebuh raya ekspres" merupakan dua perkara yang berbeza. Papan tanda Lebuhraya Bermula sepatutnya ditempatkan di permulaan lokasi bermulanya kawalan masuk penuh, bukannya di permulaan sempadan penyelenggaraan. Selain itu, papan tanda larangan kenderaan bergerak perlahan serta had laju minimum seharusnya digandingkan bersama-sama papan tanda Lebuhraya Bermula, demi mengelakkan nahas maut yang berpunca daripada kehadiran kenderaan bergerak perlahan ini. Kita tentunya tidak mahu sampai ke tahap nahas yang melibatkan orang terkenal seperti atlet berbasikal negara barulah hendak bertindak, kerana Malaysia sememangnya terkenal dengan sikap "sudah terhantuk berjuta kali pun masih tidak terngadah". Penunggang basikal sepatutnya dididik dengan bahaya penggunaan basikal di lebuh raya ekspres kerana kita tidak mahu melihat nahas yang sepatutnya boleh dielakkan terus berlaku. Sampai bila mahu terus begini...? Di mana letaknya nilai nyawa pengguna jalan raya...? Kepada syarikat-syarikat konsesi, ingatlah bahawa penggunaan papan tanda yang betul sebenarnya mampu menyelamatkan banyak nyawa.

2 comments:

  1. Soal tanda larangan masuk jalan tol di Indonesia, sy juga heran mengapa mereka memisahkan tanda larangan kendaraan masuk jalan tol seperti sedemikian rupa, tapi seandainya disatukan dengan plang biru "Jalan Tol Hanya Untuk Kendaraan Roda 4 atau Lebih", barangkali tak banyak yang bisa membaca, terutama kendaraan yg bergerak perlahan, seperti becak/gerobak... Tapi begitulah, mereka cukup boros menggunakan tiang untuk mengantisipasi hal tsb

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sangat setuju. Kesemua tanda larangan tersebut seharusnya disatukan. Barulah nampak lebih kemas.

      Delete