Friday, December 2, 2016

Kebakaran elektrik: Menjadi Haji Bakhil boleh mengakibatkan rumah anda rentung...!!! / Electrical fire: Being an Uncle Scrooge can make your house burn to crisp...!!!



Kebakaran di Hospital Sultanah Aminah pada 25 Oktober 2016 dikatakan berpunca daripada litar pintas
(Kredit gambar: Siakap Keli)


Salam sejahtera,

Kali ini saya ingin membawakan satu topik yang berlainan daripada yang biasa saya tulis dalam Blog Jalan Raya Malaysia. Jika selalunya saya menulis mengenai reviu jalan raya, kejuruteraan jalan raya, pelancongan, automotif, cuaca serta bencana alam, kali ini saya ingin membawakan satu tema yang jauh berlainan, iaitu mengenai pendawaian elektrik. Topik ini adalah susulan daripada beberapa keping gambar yang dikongsikan oleh seorang pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia iatu Saudara Khairil Mazri (aka Yeop Maz) yang berdepan dengan saat-saat mencemaskan apabila mengalami litar pintas yang nyaris-nyaris mencetuskan kebakaran. Perkongsian oleh Saudara Yeop Maz sekaligus membongkar satu bentuk kebobrokan yang berpotensi mengakibatkan bencana yang boleh memusnahkan harta benda dan nyawa.

Menurut Yeop Maz, pada masa kejadian itu dia hendak menjerang air dengan menggunakan cerek elektrik. Namun, semasa dia baru sahaja hendak menjerang air, tiba-tiba kedengaran letupan kecil yang disusuli dengan peranti arus baki terpelantik. Apabila diperiksa, dia mendapati plag cerek itu sudah terbakar. Setelah soket yang terjejas dibuka, didapati wayar neutral sudah meletup dan pecah penebatnya.

Setelah meneliti gambar-gambar tersebut, saya dapati terdapat dua kesalahan besar yang dilakukan oleh juruelektrik yang memasang soket tersebut:-

  1. Wayar yang digunakan untuk pendawaian soket tersebut adalah dari jenis kabel boleh lentur, dikenal pasti melalui warna wayar yang digunakan. Menurut Garis Panduan Pendawaian Elektrik di Bangunan Kediaman (Edisi 2008), kabel boleh lentur tidak dibenarkan sama sekali untuk digunakan bagi tujuan pendawaian kekal kerana kabel tersebut hanya direkabentuk untuk beban elektrik maksimum 13 ampere sahaja. Sebaliknya, kabel yang dibenarkan hanyalah daripada jenis kabel jenis bukan boleh lentur dengan luas keratan rentas pengalir sekurang-kurangnya 2.5 mm² dan luas keratan rentas penebat sekurang-kurangnya 2.5 mm².
  2. Litar kuasa bagi soket-soket yang ditunjukkan adalah daripada jenis litar jejari, yang disambungkan kepada tiga buah soket. Ia sekali lagi menyalahi peraturan dalam Garis Panduan Pendawaian Elektrik di Bangunan Kediaman (Edisi 2008), yang menyatakan bahawa hanya dua buah soket sahaja yang dibenarkan bagi sambungan litar jejari, disambungkan pada pemutus litar 20 ampere. Sebenarnya, memang boleh untuk menyambungkan litar jejari kepada maksimum 4 buah soket, tetapi ia memerlukan wayar yang lebih tebal dengan luas keratan rentas penebat 4.0 mm², disambungkan pada pemutus litar 32 ampere.





Akibat keculasan juruelektrik yang melakukan pendawaian ini dengan menggunakan kabel boleh lentur 13 ampere, wayar neutral di soket ini sudah mula terkoyak kerana lapisan penebat yang terlalu nipis




Wayar neutral pada soket ini pula sudah mula terbakar sedikit kerana sudah mula berlaku beban lampau di sini




Wayar neutral di soket ketiga meletup dan terbakar kerana beban elektrik paling tinggi di sini. Juga perhatikan penebat wayar hidup turut mencair, menyebabkan berlakunya litar pintas. Mujurlah peranti arus baki terpelantik, jika tidak maka sudah tentu kebakaran akan tercetus
(Semua kredit gambar: Yeop Maz)



Kenapa saya begitu memandang serius akan isu pendawaian elektrik ini...? Menurut statistik rasmi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, kegagalan sistem pendawaian merupakan punca nombor satu di Malaysia yang menyumbang kepada 809 kes kebakaran bangunan di seluruh negara pada tahun 2012. Jika dibandingkan, di kebanyakan negara maju pula seperti Amerika Syarikat, kegagalan elektrik bukanlah punca nombor satu di sana meskipun ia tetap tersenarai dalam 10 punca utama kebakaran; kecuaian ketika memasak merupakan punca nombor satu kebakaran di Amerika Syarikat.

Pada 25 Oktober 2016 semasa hari keempat saya dimasukkan ke Wad 5D (Wad Kardiologi) Hospital Selayang akibat kecemasan darah tinggi, saya dikejutkan dengan kes kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Selatan, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru kira-kira jam 9.00 pagi yang meragut enam nyawa yang mana kesemuanya merupakan pesakit di wad berkenaan. Kebakaran tersebut disyaki berpunca daripada litar pintas, dikukuhkan dengan satu lagi kes litar pintas di salah satu soket di wad tersebut enam hari sebelum tragedi tersebut. Keesokan harinya, sekali lagi Hospital Sultanah Aminah digemparkan dengan kes percikan api pada salah satu soket di dewan bedah di blok sama, yang berpunca daripada lelehan air yang mengalir sehingga mengenai soket semasa kerja-kerja pembersihan pasca kebakaran.

Kenapa kegagalan pendawaian elektrik menjuarai punca kes kebakaran di Malaysia...? Ada banyak sebab kenapa boleh berlaku sebegitu banyak kes kegagalan pendawaian seperti beban lampau dan litar pintas:-
  1. Pendawaian elektrik yang tidak mematuhi garis panduan Suruhanjaya Tenaga (ST)
  2. Penggunaan komponen pendawaian dan / atau peralatan elektrik cap ayam murahan yang tidak memenuhi piawaian Institut Piawaian & Penyelidikan Industri Malaysia (SIRIM) dan ST
  3. Pendawaian yang terlalu lama sehingga menyebabkan lapisan penebat mereput
  4. Terlalu banyak berkongsi soket yang sama bagi banyak peralatan elektrik
  5. Cuai ketika menggunakan peralatan elektrik yang menggunakan pemanas, seperti tidak terus mencabut plag seterika selepas digunakan ataupun meletakkan peralatan pemanas berhampiran bahan mudah terbakar
  6. Menggunakan peralatan elektrik yang wayarnya rosak
  7. Menggunakan wayar sambungan yang terlalu panjang bagi peralatan berkuasa tinggi
  8. Menggunakan khidmat orang yang tidak bertauliah untuk membaiki sistem pendawaian atau peralatan elektrik
  9. Peralatan elektrik dimasuki air
  10. Kerosakan peralatan elektrik
  11. Melanggar had penggunaan elektrik
  12. Panahan kilat

Bagi kebanyakan sebab yang saya nyatakan di atas, kebanyakannya boleh saya himpunkan kepada satu sebab utama - sikap kedekut seperti Haji Bakhil dan terlalu berkira untuk melabur lebih sedikit demi keselamatan sistem elektrik bangunan. Apa tidaknya, hendak beli komponen pendawaian yang lebih berkualiti pun kedekut, kononnya mahal sangat. Oh ya, garis panduan terbaharu sistem pendawaian oleh ST mewajibkan rumah-rumah baharu yang dibina selepas tahun 2008 menggunakan bukan lagi satu peranti arus baki tetapi dua peranti arus baki berasingan, iaitu jenis kepekaan 100 mA bagi litar lampu dan jenis kepekaan 30 mA bagi litar kuasa (litar soket). Rasionalnya ialah litar kuasa kini diwajibkan untuk disambungkan dengan peranti arus baki berkepekaan 30 mA kerana peralatan elektrik mudah alih yang disambungkan melalui soket lebih berisiko untuk mencetuskan kebakaran kesan haus dan lusuh yang lama-kelamaan boleh menyebabkan kegagalan pada penebat. Sebenarnya, memang sudah ada peraturan yang mewajibkan peralatan elektrik yang boleh dipegang disambung pada peranti arus baki berkepekaan 30 mA iaitu Peraturan 36(3), PPE 1994, tetapi sebelum tahun 2008 litar kuasa tidak dianggap boleh dipegang dengan tangan dan berkongsi peranti arus baki yang sama seperti litar lampu, tetapi bermula tahun 2008 amalan tersebut tidak lagi dibenarkan.




Pendawaian pada kotak pengagihan (DB). Di sebelah kiri merupakan piawaian lama bagi rumah yang dibina sebelum tahun 2008, kini ia tidak lagi dibenarkan. Kotak pengagihan bagi rumah yang dibina selepas tahun 2008 wajib menggunakan dua peranti arus baki berasingan bagi litar lampu (berkepekaan 100 mA) dan litar kuasa (berkepekaan 30 mA) seperti di sebelah kanan.
(Kredit gambar: Elektrik Duniaku)


Jika juruelektrik yang diamanahkan itu kedekut dan mahu berjimat, maka sudah tentulah mereka akan mengingkari arahan ST dan menggunakan hanya satu peranti arus baki - tetapi berbaloikah...?

Pada pendawaian rumah-rumah terdahulu, bilangan soket sangat terhad. Pada masa itu, selalunya hanya ruang tamu dan dapur sahaja yang dilengkapi soket. Perkara inilah yang membawa kepada tabiat berkongsi soket sama untuk banyak peralatan elektrik, yang tentunya membawa kepada risiko beban lampau dan litar pintas. Sekarang, lebih banyak soket disediakan di dalam rumah untuk mengurangkan kecenderungan berkongsi banyak peralatan elektrik pada soket yang sama, tetapi sudah tentulah memerlukan kos pendawaian lebih tinggi serta cagaran yang lebih tinggi kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Namun, yang mana lebih penting, kena keluar duit lebih sedikit ataupun rumah anda terbakar habis...?

Itu baru ketika hendak memasang pendawaian. Selepas pendawaian sudah dipasang pun, sikap kedekut boleh menjahanamkan rumah anda. Kalau ada soket atau suis yang rosak, gantikanlah dengan yang baru. Bukannya mahal sangat pun. Meskipun suis dan soket banyak dijual di Mr. DIY atau pasar raya dengan harga murah, tapi saya sarankan lebih baik beli di kedai pendawaian elektrik kerana ia lebih berkualiti. Kalau terlalu berkira untuk mengupah juruelektrik menggantikan suis atau soket, belajarlah menggantikannya sendiri kerana ia jauh lebih murah. Ada banyak tutorial DIY bagi penggantian suis dan soket di blog-blog dan di YouTube, jadi anda google sajalah.




Belajar menggantikan sendiri suis dan soket adalah lebih murah daripada mengupah juruelektrik
(Kredit gambar: Telling Story)


Bagi sistem pendawaian pula, saya nasihatkan agar anda mula menabung daripada sekarang supaya anda mempunyai cukup wang untuk menggantikan keseluruhan sistem pendawaian apabila tiba masanya, iaitu selepas 20 tahun. Anggaran kos pendawaian semula rumah adalah sekitar beberapa ribu ringgit, bergantung kepada berapa banyak lampu, kipas, suis dan soket yang anda gunakan. Pendawaian semula jenis salur atau pembuluh plastik adalah yang paling kos efektif kerana ia lebih murah daripada pendawaian tersembunyi tetapi lebih selamat daripada pendawaian permukaan yang terdedah. Pendawaian jenis tersembunyi adalah yang paling mahal tetapi paling kemas, paling tahan cuaca dan paling tahan lama berbanding jenis-jenis pendawaian lain. Untuk menjimatkan kos, adalah lebih baik anda merancang sendiri sistem pendawaian yang anda mahukan, mengenal pasti berapa banyak suis, soket, lampu dan kipas yang diperlukan serta membeli sendiri kesemua komponen pendawaian secara pukal di kedai pendawaian elektrik sebelum anda mengupah juruelektrik untuk membuat pendawaian.

Kesimpulannya, benarlah seperti kata pepatah, alah membeli menang memakai. Biar kita terpaksa keluar duit lebih sedikit bagi memastikan sistem pendawaian elektrik rumah atau bangunan kita selamat daripada kita hanya tinggal sehelai sepinggang akibat bersikap seperti Haji Bakhil. Pastikan peralatan elektrik serta komponen pendawaian yang digunakan adalah daripada jenis yang berkualiti agar keselamatan harta benda kita sentiasa terjamin. Jika kita sentiasa meletakkan keselamatan nyawa dan harta benda kita lebih utama daripada ongkosnya, insya-Allah kita boleh meminimumkan statistik kebakaran yang berpunca daripada elektrik.

No comments:

Post a Comment

Advertisement