Tuesday, October 4, 2016

Pelekat kereta permohonan maaf parkir menghalang oleh BJRM / Double-parking apology car sticker by BJRM





Dua rekaan pelekat kereta parkir menghalang oleh Blog Jalan Raya Malaysia - sila skrol ke bawah untuk prosedur bagaimana hendak memesan pelekat ini


Salam sejahtera,

Masalah parkir merupakan antara salah satu masalah yang sering menghantui pemandu kereta khususnya di bandar raya besar. Apa tidaknya, jika pada dekad 1980-1990an dahulu secara puratanya setiap keluarga memiliki sebuah kereta, namun kini setiap keluarga memiliki lebih daripada sebuah kereta merupakan satu pemandangan lazim. Di Kuala Lumpur sendiri pun, majoriti kenderaan yang berada di atas jalan raya di ibu kota terdiri daripada kereta-kereta yang dipandu sebuah seorang. Malangnya, petak parkir di KL pula tidak mencukupi dan sering penuh, sedangkan anda hanya mahu berhenti seketika sekadar untuk mengeluarkan wang di mesin ATM mahupun untuk ke tandas. Akibatnya, satu-satunya pilihan yang ada hanyalah dengan parkir menghalang kereta orang lain.













Namun demikian, parkir menghalang sering dipandang sebagai satu bentuk kebebalan, terutamanya jika ada pemandu yang keretanya dihalang oleh kereta lain, Disebabkan ada orang yang parkir menghalang, mangsa terpaksa membazirkan masa untuk menunggu pemilik kereta yang menghalang itu untuk keluar sebelum mangsa yang terhalang itu dapat keluar. Kalau setakat beberapa minit masih boleh kira ok lagi, tetapi bagaimana pula kalau tersekat sehingga setengah jam atau lebih...? Dalam keadaan yang ekstrim, kereta yang diparkir menghalang itu boleh menyebabkan mangsa terpaksa mengambil cuti tanpa gaji kerana tersekat dan tidak dapat keluar. Ia seterusnya membangkitkan kemarahan para pemandu yang keretanya dihalang itu.






Insiden pemandu lori yang marah akibat laluan tersekat bertindak melanggar kereta yang diparkir menghalang di Nibong Tebal (video atas) dan di Stadium Hang Jebat (video bawah) - mahukah anda menjadi mangsa seterusnya...?




Jangan jadikan percutian anda ke Cameron Highlands membawa duka gara-gara parkir menghalang
(Kredit gambar: Harian Metro)


Sejak setahun dua kebelakangan ini, sudah banyak insiden ekstrim yang berlaku berikutan kemarahan para pemandu yang terhalang akibat kereta-kereta yang parking menghalang sehingga menyekat laluan jalan raya mahupun menghalang kereta-kereta yang diparkir secara sah untuk keluar. Antara kes-kes ekstrim tersebut termasuklah satu insiden di Nibong Tebal pada Februari 2016 dan di Stadium Hang Jebat pada Mac 2016, kedua-duanya melibatkan sebuah lori yang merempuh kereta-kereta yang diparkir menghalang sehingga jalan menjadi terlalu sempit untuk dilalui lori terbabit. Dalam kes terbaru di Cameron Highlands, 20 buah kereta dipancitkan oleh sekumpulan individu yang terlalu berang akibat kereta mereka dihalang oleh kereta-kereta mangsa yang diparkir di situ.

Mahukah anda menjadi mangsa seterusnya...?

Bagi mengelak kemarahan orang lain yang keretanya dihalang, terdapat dua pendekatan klasik yang dilakukan oleh pemandu kereta yang terpaksa parkir menghalang, iaitu dengan meletakkan nota yang tertulis nombor telefon mereka, ataupun dengan sekadar tidak menarik brek tangan dan menggerakkan tombol gear automatik ke posisi N dan bukannya P untuk memudahkan pemilik kereta yang dihalang mengalihkan kereta yang menghalangnya. Namun, cara kedua hanya sesuai dilaksanakan di kawasan tanah rata kerana jika keadaan jalan agak bercerun sedikit, kereta boleh menggelungsur dan melanggar kereta orang lain pula. Justeru, cara pertama lebih sesuai dilaksanakan berbanding cara kedua tadi.






Rekaan pelekat kereta parkir menghalang oleh Blog Jalan Raya Malaysia - pilih sama ada rekaan pertama (gambar atas) dengan rekaan kedua (gambar bawah)
(Sila ikuti arahan di bawah untuk membuat pesanan pelekat


Sehubungan dengan itu, Blog Jalan Raya Malaysia kini sedang dalam proses menghasilkan pelekat kereta khas untuk kereta yang hendak parkir menghalang ini. Pelekat kereta ini sangat mudah digunakan, anda hanya perlu menggunakan permanent marker pen hitam untuk menandakan nombor telefon anda pada pelekat dengan menghitamkan segmen-segmen nombor yang tidak berkenaan dan seterusnya melekatkannya pada cermin kereta anda. Mudah kan...?

Tempahan awal secara dalam talian dibuka sekarang. Setiap pelekat berharga RM10 sahaja termasuk belanja pos. Cetakan pertama akan dimulakan pada Khamis ini (6 Oktober 2016), insya-Allah. Oleh itu, sudi-sudikanlah untuk menempah pelekat kereta ini, kongsikan dan viralkan entri ini kepada rakan-rakan dan sahabat handai anda terutamanya yang berada di ibu kota. Selain itu, saya sendiri bercadang untuk bergerak ke lokasi-lokasi tumpuan umum yang lazimnya banyak kereta diparkir menghalang (seperti kawasan bank) di sekitar Batu Caves sebelum bergerak ke ibu kota bagi mempromosikan pelekat ini, jadi nantikanlah pengumuman mengenainya daripada semasa ke semasa.


Bagaimana hendak memesan pelekat kereta parkir menghalang BJRM secara dalam talian
  1. Buat pesanan anda melalui PM di laman Facebook pertama atau kedua Blog Jalan Raya Malaysia.
  2. Dalam PM tersebut, sila nyatakan nama penuh anda, alamat, nombor telefon dan jenis reka bentuk yang anda ingin pesan serta kuantiti yang diinginkan. Jumlah bayaran akan diberitahu melalui balasan PM.
  3. Dengan menggunakan mesin deposit tunai (CDM) atau melalui kaunter bank, sila depositkan wang mengikut jumlah yang dinyatakan ke akaun berikut:-
    • Hong Leong Bank: 151-50-05077-8
      (Nama: Mohd. Hezery bin Hussin)
  4. Simpan resit tersebut sebagai bukti transaksi. Seterusnya, palangkan resit tersebut dengan membuat dua garisan selari pada resit tersebut dan menulis "Untuk kegunaan BJRM sahaja" di antara dua garisan tersebut. Kemudian, ambil gambar resit berpalang tersebut dan hantarkan kepada kami melalui PM.
  5. Pesanan akan dimuktamadkan setelah kesemua prosedur di atas diikuti. Tunggu sebentar sehingga anda menerima PM bagi memaklumkan pesanan anda berjaya. Seterusnya, sila beri tempoh lebih kurang 2 minggu (14 hari) untuk membolehkan kami memproses dan seterusnya menghantar pesanan anda ke alamat yang dinyatakan.
  6. Pesanan anda dianggap terbatal sekiranya maklumat yang diberikan tidak lengkap, resit tidak berpalang atau dipalsukan, ataupun sekiranya tiada rekod pembayaran yang dilakukan.

Peringatan
  1. Penggunaan pelekat ini tidak akan sekali-kali menjadikan anda kebal daripada tindakan penguatkuasaan (saman parkir, kunci tayar, tundaan dsb.) oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), jadi seboleh-bolehnya cuba elakkan daripada parkir menghalang. Kami sama sekali tidak akan bertanggungjawab terhadap segala tindakan penguatkuasaan yang dikenakan oleh PBT yang disebabkan oleh tindakan anda yang parkir menghalang walaupun dengan menggunakan pelekat ini.
  2. Penggunaan pelekat ini bermaksud anda mendedahkan nombor telefon anda kepada pihak tidak dikenali, sekaligus berupaya mengancam keselamatan dan privasi anda. Justeru, gunakan pelekat ini hanya apabila diperlukan dan sila tanggalkan sekiranya anda tidak perlu menggunakannya.