Showing posts with label Modenas 118EFI. Show all posts
Showing posts with label Modenas 118EFI. Show all posts

Friday, October 3, 2014

Tragedi Oktober: "Rasionalisasi subsidi bahan api" yang tidak rasional / The October Tragedy: The irrational "fuel subsidy rationalisation"



Kenaikan harga minyak mendorong kepada pembelian panik oleh pengguna pada malam sebelumnya (arkib gambar oleh: Sinar Harian)



Salam sejahtera,

Pada lewat petang 1 Oktober 2014, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) buat kesekian kalinya mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 20 sen, daripada RM2.10 seliter kepada RM2.30 seliter berkuatkuasa tengah malam 2 Oktober 2014, atas alasan "rasionalisasi subsidi" bagi "mengukuhkan ekonomi negara" serta "mengurangkan ketirisan subsidi serta penyeludupan bahan api". Kenaikan harga bahan bakar tersebut seterusnya membangkitkan kemarahan rakyat (kecuali pengusaha kedai motosikal dan basikal) seperti biasa - bukan sahaja dari kalangan penyokong pembangkang, malah dari kalangan penyokong kerajaan sendiri. Ada juga yang memberikan respons sinis dengan ucapan-ucapan seperti "terima kasih Najib" dan sebagainya.

Terus-terang saya katakan, saya sebenarnya sudah letih kerana terpaksa bercakap mengenai perkara yang sama berulang-ulang kali, tetapi pihak yang dipertanggungjawabkan pula langsung tidak pernah mengambil iktibar. Setiap kali harga minyak dinaikkan, setiap kali itu jugalah kerajaan berjanji hendak menambah baik sistem pengangkutan awam, tetapi hakikatnya pengangkutan awam tetap di takuk lama - sudahlah kurang liputan, lama pula hendak menunggu, kalau dapat naik pun terpaksa bersesak-sesak ibarat tin sardin. Itu baru di Kuala Lumpur, bagaimana pula dengan tempat-tempat lain...? Cadangan projek landasan kereta api dari Mentakat ke Terengganu pernah dicanangkan sebelum ini tetapi sehingga kini senyap begitu sahaja. Akibatnya, ramai pemandu lori mengambil jalan singkat untuk "menjimatkan kos penghantaran" dengan membawa muatan berlebihan. Sebab itulah banyak jalan raya terutamanya Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 dan Lebuhraya Tun Razak FT12 selalu rosak. Bas ekspres pula...? Harapkan tambang sahaja semakin mahal, tetapi keselamatan semakin terancam disebabkan ramai pemandu bas ekspres yang memandu melebihi had laju kenderaan berat 90 km/j di lebuh raya atas alasan mahu mengejar trip, meskipun mereka sepatutnya sedar bahawa kenderaan berat yang dipandu laju sebenarnya semakin pelahap, berbanding kereta biasa yang mana tahap kelajuan 90-110 km/j merupakan zon ekonomi maksimum (iaitu, penggunaan bahan api paling jimat dan paling optimum pada kelajuan tersebut). Maka, kita boleh jangkakan bahawa semua situasi yang telah saya ceritakan ini sudah tentu akan menjadi semakin parah apabila harga minyak dinaikkan. Sebab itulah "rasionalisasi subsidi bahan api" (atau lebih mudah disebut sebagai kenaikan harga petrol) kali ini sememangnya tidak rasional sama sekali.

Kenapa "rasionalisasi subsidi" kali ini tidak rasional sama sekali...?

Pertama, harga petrol RON95 dinaikkan tatkala harga minyak dunia sedang turun. Menurut KPDNHEP, harga sebenar RON95 sekarang ialah sekitar RM2.58 seliter. Dengan kata lain, kerajaan hanya mensubsidi sekitar 28 sen seliter sahaja hasil kenaikan harga bahan bakar tersebut. Memang saya akui kerajaan sekarang terpaksa menanggung beban subsidi yang begitu tinggi sehinggakan Malaysia dilabelkan sebagai antara negara yang paling banyak memberi subsidi kepada rakyat, namun pemasaannya pula tidak kena sama sekali. Sebab itulah rakyat mempersoalkan dan mempertikaikan rasional kenaikan harga minyak kali ini. Sudahlah harga minyak Malaysia naik pada waktu harga minyak dunia turun, naik banyak pula tu. Kalau naik 5 sen sahaja tak apa lagi. Jika harga minyak Malaysia naik pada waktu harga minyak global sedang turun, maka sudah tentulah sesiapa sahaja (termasuklah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir sendiri) akan mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena pada pengurusan ekonomi negara.

Kedua, rangkaian pengangkutan awam masih lagi di takuk lama tanpa sebarang penambahbaikan. Bukan sekali dua rakyat marah akan kenaikan harga minyak, tetapi sudah banyak kali. Dan sudah banyak kali jugalah kerajaan berjanji untuk menambah baik rangkaian pengangkutan awam hasil penjimatan subsidi bahan bakar sebagai ubat tutup mulut. Namun, hakikat sebenar yang berlaku ialah sistem rangkaian landasan kereta api di Malaysia tetap sama sahaja sejak zaman penjajah sehingga sekarang (malah, sebenarnya semakin berkurang kerana ada laluan yang sudah pun ditutup dan dicabut landasannya). Sebelum ini pernah dicanangkan satu laluan kereta api dari Mentakab ke Kuantan dan Kuala Terengganu sebelum bercantum kembali di Kelantan, tetapi malangnya ia hanya sekadar sembang kosong semata-mata. Akibat ketiadaan landasan kereta api di pantai timur, maka bilangan lori-lori yang terlebih muatan juga semakin bertambah sehingga merosakkan jalan raya, mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) setiap tahun akibat terpaksa membaiki jalan yang sering rosak akibat lori-lori lebih muatan tersebut. Di Sabah pula, Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) sudah berkali-kali menghantar permohonan untuk mendapatkan peruntukan bagi menambah panjang landasan serta menambah bilangan rolling stock, tetapi sehingga sekarang langsung tiada peruntukan yang diterima. Malah, kereta api baharu yang musnah dalam kebakaran akibat dilanggar lori tangki minyak yang bebal itu pula langsung tidak berganti akibat sikap tidak bertanggungjawab oleh pihak pesalah yang langsung tidak membayar pampasan. Jadi bagaimana rakyat hendak beralih kepada pengangkutan awam jika rangkaiannya sendiri tidak meluas di samping tahap perkhidmatan yang teruk...?

Sebab yang terakhir ialah dasar pengangkutan negara sendiri yang lebih cenderung memihak kepada penggunaan kenderaan persendirian (terutamanya kereta) daripada pengangkutan awam atau setidak-tidaknya motosikal. Jika dibandingkan di negara-negara yang lebih maju seperti Singapura, Jepun, United Kingdom dsb., mereka bertindak balas terhadap kenaikan harga bahan bakar dengan menambah baik pengangkutan awam serta menjalankan beberapa dasar bagi mengehadkan penggunaan kenderaan persendirian di pusat bandar raya. Contohnya, Singapura menjalankan dasar mengehadkan bilangan kenderaan persendirian dengan mengenakan bayaran tinggi bagi surat COE (Sijil Kelayakan) kenderaan, yang hanya boleh diperbaharui sekali sahaja sebelum ia dilupuskan, di samping penguatkuasaan ERP (Sistem Harga Jalan Elektronik) serta galakan kepada rakyat untuk menggunakan rangkaian pengangkutan awamnya. Begitu juga dengan United Kingdom apabila pihak berkuasa bandar raya London mengenakan caj kesesakan pada kenderaan persendirian yang memasuki pusat bandar raya bagi mengurangkan bilangan kenderaan di sana. Namun, berbeza pula situasinya di Malaysia apabila kerajaan seolah-olah semakin menggalakkan rakyat berkereta di Kuala Lumpur, meskipun mereka tahu masalah minyak mahal, tol mahal, petak parkir kurang dan kadar kemalangan yang tinggi. Ia dibuktikan melalui lima projek lebuh raya baharu di Lembah Klang (tidak termasuk projek Lebuhraya Duke E33 Fasa 2), berbanding hanya tiga sahaja projek pengangkutan awam yang sedang berlangsung. Terus-terang saya katakan, projek-projek lebuh raya baharu ini sebenarnya hanya menambah parah akan masalah beban subsidi bahan api yang tinggi menggunung, kerana lebuh raya baharu ini membawa kepada peningkatan bilangan kenderaan di ibu kota melalui permintaan teraruh (induced demand) - bilangan kenderaan yang bertambah pula akan menyebabkan permintaan bahan api bertambah dan seterusnya membawa kepada beban subsidi yang bertambah. Saya akan ulas lebih lanjut mengenainya dalam entri Mythbuster akan datang.

Namun, adalah tidak adil sekiranya anda menyalahkan kerajaan 100% dalam isu ini, kerana sebenarnya terdapat juga badan kerajaan yang turut menjadi mangsa keadaan seperti kita juga. Badan yang saya maksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Jabatan Kerja Raya (JKR). Akibat kenaikan harga minyak, sudah tentulah semakin banyak kes-kes lori mengangkut barang berlebihan sebagai jalan pintas untuk memaksimumkan keuntungan tatkala harga bahan api semakin mencanak naik. Akibat muatan berlebihan, tegasan yang terlalu tinggi ditumpukan kepada hanya dua gandar sahaja, menyebabkan jalan sering rosak, di samping kilasan tinggi daripada tayar lori yang boleh merosakkan permukaan jalan. Akibat lori-lori lebih muatan ini, JKR mengalami kerugian berjuta-juta ringgit kerana terpaksa memperbaiki jalan raya yang terjejas, sedangkan peruntukan yang diperolehi mereka sangat terhad.




Menurut Honda Malaysia, sistem pengangkutan rel mampu mengurangkan kos pengangkutan dengan ketara serta mengurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 60%


Jadi apa yang boleh dilakukan dalam menghadapi kenaikan harga petrol yang semakin membebankan ini...? Menyelesaikan masalah harga bahan api di Malaysia ini sebenarnya tidaklah semudah mencanangkan harga minyak turun semata-mata seperti yang dituntut oleh Pakatan Rakyat. Sebaliknya, satu-satunya cara yang lebih berkesan untuk menyelesaikan kemelut harga bahan api hanyalah dengan mengurangkan permintaan terhadap bahan api, yang bermaksud mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian serta menggantikan penggunaan lori kepada kereta api bagi penghantaran barang jarak jauh. Honda Malaysia sudah pun menunjukkan contoh terbaik dengan menggunakan kereta api bagi penghantaran komponen-komponen kereta ke Stesen Kereta Api Pulau Sebang / Tampin sebelum diangkut ke kilang di Alor Gajah menggunakan lori. Menurut Honda Malaysia, penghijrahan kepada penggunaan kereta api bukan sahaja menurunkan kos pengangkutan, malah mereka juga berupaya menjimatkan masa penghantaran komponen-komponen kereta serta mengurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 60%.

Bagi warga kota pula, inilah masanya untuk berhijrah kepada penggunaan motosikal sebagai kenderaan utama untuk ke tempat kerja. Bukannya hina pun kalau naik motor ke tempat kerja, sebaliknya banyak manfaatnya jika bermotosikal ke tempat kerja - jimat minyak, tak perlu bayar tol, mudah diparkir, mudah mencelah semasa kesesakan jalan raya, dan kos penyelenggaraan pun murah. Satu-satunya kelemahan motosikal hanyalah ketika hari hujan. Itu sahaja.






Zaman harga minyak naik merupakan masa paling sesuai untuk berhijrah kepada motosikal pancitan bahan api seerti Modenas 118EFI (gambar atas) dan Yamaha Lagenda 115ZR Fuel Injection (gambar bawah)




Kit penukaran ke sistem pancitan bahan api oleh Ecotrons berharga USD399 (lebih kurang RM1,300), boleh dibeli secara dalam talian di http://www.ecotrons.com


Kalau pun anda bercadang hendak membeli motosikal bagi menggantikan kereta, ada baiknya jika anda terus memilih model pancitan bahan api kerana ia terbukti jauh lebih jimat bahan api berbanding model berkarburetor. Bagi yang memang sudah memiliki motosikal tetapi menggunakan karburetor, anda mungkin perlu mempertimbangkan untuk membeli set sistem pancitan bahan api. Berapa pula ongkosnya...? Bagi satu set penukaran pancitan bahan api oleh Ecotrons, ongkosnya adalah lebih kurang RM1,300 (USD399). Saya tahu ia memang mahal, tetapi sekurang-kurangnya ia berbaloi untuk perjalanan jauh mahupun untuk berulang-alik ke tempat kerja setiap hari. Saya sendiri pun sedang mempertimbangkan untuk menukar sistem karburetor motosikal saya kepada pancitan bahan api kerana tidak tahan akan kos bahan api yang semakin tinggi, lebih-lebih lagi saya perlu berulang-alik jauh dari tempat kerja.

Namun, masih ramai juga golongan dangkal yang masih berdegil berkereta seorang diri ke pejabat tanpa mengangkut banyak muatan, dan tetap tidak mahu berhijrah kepada penggunaan motosikal atau pengangkutan awam atas alasan "penggunaan kereta itu satu keperluan". Dakwaan tersebut ternyata dakwaan dangkal sama sekali. Ya, memang memiliki kereta itu satu keperluan, tetapi ia hanya benar bagi golongan berkeluarga serta yang sering mengangkut banyak barangan mahupun manusia. Itu sahaja. Kalau anda berkereta ke pejabat, apa pula yang anda dapat selain dapat berlindung ketika hujan dan dapat menikmati penyaman udara ketika hari panas...? Kereta lebih kuat makan minyak berbanding motosikal, hatta kereta hibrid sekalipun. Kalau tersangkut dalam kesesakan, lagilah banyak minyak dibazirkan (kecuali kereta elektrik, kereta hibrid dan kereta biasa yang dilengkapi ciri hentian melahu seperti pada teknologi Mazda Skyactiv). Nak cari parkir pun payah. Kalau parkir menghalang, dengan pantas lori tunda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) datang untuk menunda kereta tersebut dan pemilik kereta sudah tentu akan disaman. Setiap kali berulang-alik ke tempat kerja, jalan raya sering sesak sehingga ada kalanya anda dimarahi bos kerana lewat tiba di pejabat. Paling teruk, anda telah membazirkan lebih 80% daripada kapasiti muatan kereta sekiranya anda berkereta seorang diri sahaja ke tempat kerja, sedangkan anda sepatutnya memanfaatkan baki empat perlima kapasiti muatan itu dengan menumpangkan jiran-jiran berhampiran yang menggunakan laluan yang sama, selain membazirkan lebih banyak minyak petrol yang berharga.

Jadi, berbaloikah anda berkereta ke pejabat kalau beginilah azab yang perlu anda harungi setiap hari...? Anda sendiri yang menyumbang kepada peningkatan mendadat permintaan bahan api, anda juga yang banyak membazirkannya, dan anda juga yang mencipta bala kenaikan harga minyak akibat permintaan yang semakin tinggi, kenapa hendak salahkan orang lain pula...? Dan tahukah anda berapa banyak harga minyak boleh diturunkan jika dan hanya jika semua warga Lembah Klang berhijrah kepada penggunaan motosikal atau pengangkutan awam yang terbukti jauh lebih jimat minyak...? Jangan jadi terlalu manja sangat. Generasi terdahulu hanya sekadar berbasikal, menaiki bas ataupun paling malas pun bermotosikal sahaja ke tempat kerja, tetapi mereka tidak pernah pun mati kebuluran. Gaji mereka jauh lebih kecil daripada kita, tetapi mereka tetap memperoleh perbelanjaan mencukupi untuk sekeluarga setiap bulan. Sekarang...?

Terus-terang saya katakan, orang-orang kita sekarang ramai yang sudah kufur nikmat semasa taraf hidup mereka sudah semakin meningkat. Mereka tahu kereta lebih kuat makan minyak daripada motosikal, perlu membayar tol yang mahal, susah nak cari parkir, boleh tersangkut hingga berjam-jam lamanya dalam kesesakan jalan raya (yang memang terhasil daripada golongan seperti mereka juga), tetapi mereka masih enggan berubah kepada pengangkutan awam mahupun motosikal. Malah, lagi dihinanya penunggang motosikal dan pengangkutan awam itu adalah. Bila terperangkap dalam kesesakan jalan raya, mulalah ada pemandu bebal yang membuat onar seolah-olah jalan raya itu milik mak bapak mereka sahaja. Akibat onar yang dihasilkan oleh beberapa ekor mangkuk hayun itu, mulut pengguna jalan raya lain terkumat-kamit dengan sumpah-seranah dan maki-hamun. Dah buat dosa tak fasal-fasal. Bila jalan sesak, akhirnya masuk pejabat pun lambat. Tapi bila nak balik, punyalah laju nak keluar pejabat. Masa di pejabat pula bukannya diisi 100% dengan tugasan yang diberikan, tetapi sempat mencuri tulang melayan Facebook dan Candy Crush di samping mengumpat sesama rakan sekerja. Buat kerja tidak sampai pun 8 jam sehari tapi gaji tetap 8 jam sehari. Sebab itulah ada duit haram di dalam gaji sehingga menghilangkan keberkatannya. Duit gaji itu kemudiannya digunakan untuk memberi makan anak dan isteri. Akibatnya, anak-anak membesar menjadi budak jahat yang biadab, manakala si isteri pula sering merungut akibat duit belanja dapur yang sering tidak mencukupi. Maka, beban kos sara hidup yang semakin menekan ini sebenarnya berpunca daripada hilangnya keberkatan pada gaji masing-masing, yang dicemari dengan duit haram akibat curi tulang, mengumpat dan melayan Facebook ketika bekerja. Nah, bila gaji dirasakan tak mencukupi, semakin banyak pula sumpah-seranah terhadap kerajaan. Sebab itulah semakin banyak keberkatan rezeki dan rahmat yang ditarik oleh Allah daripada golongan-golongan bebal sebegini.

Puak-puak bebal yang hanya tahu memaki-hamun kerajaan setiap kali harga minyak naik sepatutnya berasa malu dengan orang-orang kampung yang majoritinya hanya berpendapatan sepertiga sahaja daripada pendapatan warga kota tetapi mampu hidup senang-lenang tanpa banyak dibebani hutang serta kos sara hidup yang tinggi. Jika dibandingkan, orang kampung hanya menggunakan bahan api mengikut keperluan sahaja. Mereka sekadar bermotosikal sahaja untuk ke kebun, ke kedai mahupun ke masjid. Mereka hanya menggunakan kereta apabila membawa banyak barangan, ramai orang, mahupun ketika hari hujan. Kalau mahukan sayur-sayuran atau daging, mereka hanya perlu petik sahaja di kebun ataupun menyembelih seekor haiwan ternakan; jika tiada barulah mereka membeli di luar. Tatkala warga kota berdepan dengan kos sara hidup tinggi serta hutang keliling pinggang, warga desa pula mampu memiliki rumah tanpa berhutang; selain belanja dapur, mereka hanya perlu bayar hutang kereta dan seterusnya boleh menyimpan wang untuk menunaikan haji.

Seperti biasa, setiap kali harga minyak naik maka semakin meriahlah pesta naik harga barang. Harga minyak naik 20 sen sahaja seliter, tetapi setiap harga barangan pula naik berlipat kali ganda daripada kenaikan harga minyak, seolah-olah setiap satu barangan diangkut satu demi satu menggunakan lori, sedangkan sebuah lori mampu mengangkut jauh lebih banyak barangan mengikut kapasiti maksimumnya. Lintah darat sebenar dalam isu harga barangan naik ini tidak lain dan tidak bukan ialah orang-orang tengah, yang membeli barangan mentah daripada petani, penternak dan nelayan dengan harga yang terlampau rendah dan tidak setimpal, dan seterusnya menjualnya kembali dengan harga yang lebih mencekik darah, dengan menggunakan alasan "harga minyak naik" sebagai modal. Ironinya, golongan sebeginilah antara golongan yang paling banyak menyalahkan kerajaan atas kenaikan harga barangan, sedangkan kenaikan harga barangan itu sebenarnya berpunca daripada mereka sendiri yang mengetuk margin untung terlampau tinggi tatkala rakyat dibebani kos sara hidup.

Jadi bagaimana hendak mengajar orang-orang tengah pemark-up harga keparat ini...? Cara terbaik adalah dengan membeli bekalan sayur-sayuran, ayam, daging, ikan dan produk pertanian lain terus daripada petani, penternak dan nelayan sendiri. Namun, tidak semua yang mampu hendak ke tepi laut semata-mata untuk mendapatkan sekilogram ikan. Tidak semua yang sanggup meredah jalan tanah merah ke kebun sayur semata-mata hendak mendapatkan seikat sawi. Tidak semua yang sanggup berdepan dengan bau busuk tahi ayam semasa hendak ke ladang ternakan ayam semata-mata untuk membeli seekor ayam. Sebagai alternatif, sebuah lagi agensi kerajaan iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), salah satu badan berkanun di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), telah pun mengambil inisiatif mewujudkan pasar tani bagi membolehkan orang ramai membeli produk-produk pertanian terus daripada petani, penternak dan nelayan dengan harga yang lebih murah tetapi masih setimpal dengan titik peluh mereka. Di Sabah pula, anda boleh membeli sayur-sayuran dengan harga lebih murah di tamu-tamu berhampiran, yang mana merupakan asal-usul bagi konsep pasar tani yang diadakan sekarang.

Jadi di mana hendak mencari pasar tani terdekat...? Sila rujuk senarai yang dilampirkan untuk lokasi pasar tani terdekat:-


Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.




Selain itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Kementerian Pengangkutan (MOT) juga perlu mengubah dasar pengangkutan negara dengan memberi lebih tumpuan terhadap rangkaian pengangkutan awam daripada pengangkutan persendirian. Seperti yang telah saya katakan tadi, pembinaan lebuh raya baharu di Lembah Klang bukan setakat tidak mampu menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya secara holistik dalam jangka masa panjang, malah pembinaan lebuh raya baharu sebenarnya hanya akan menyumbang kepada kesesakan yang lebih parah pada masa akan datang berikutan pertambahan bilangan kenderaan akibat permintaan teraruh (induced demand), di samping meningkatkan beban subsidi yang bakal dipikul oleh kerajaan. Justeru, saya ingin menyeru kepada KKR dan MOT agar membekukan dahulu kesemua projek lebuh raya ekspres di Lembah Klang (kecuali Lebuhraya Duke E33 Fasa 2 yang memang sedang berlangsung) buat sementara waktu dan memberi keutamaan kepada pembinaan lebih banyak landasan kereta api, LRT dan monorel.




Contoh graf lengkuk kuasa dan kilasan bagi lori Scania G 460 CA 4x6 EHZ dengan enjin turbodiesel 12.7 L 6 silinder sebaris
(Sumber: Scania Malaysia)


Di samping itu juga, Kementerian Pengangkutan juga perlu meminda Perintah Had Laju Kebangsaan 1989 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 sedia ada bagi menguatkuasakan had laju maksimum mandatori 90 km/j bagi semua kenderaan berat, dengan toleransi sifar - pemandu kenderaan berat yang memandu antara 91-110 km/j wajar disaman RM300, manakala pemandu kenderaan berat yang memandu melebihi 111 km/j pula wajar dibatalkan lesen memandu mereka. Rasional penguatkuasaan had laju kenderaan berat yang lebih ketat ini adalah kerana sifat enjin diesel itu sendiri yang semakin kuat makan minyak apabila kelajuan enjin semakin bertambah, memandangkan kelajuan enjin dikawal dengan mengawal jumlah masukan bahan api sahaja ke enjin (tiada kawalan masukan udara kerana enjin diesel memang membakar bahan api dalam udara berlebihan). Buktinya, dalam graf lengkuk kuasa kuda dan tork bagi lori Scania yang dilampirkan di atas, tork enjin menjunam dengan ketaranya selepas 1,350 rpm, menyebabkan enjin semakin kuat makan minyak pada kelajuan melebihi 1,350 rpm. Maka, lori dan bas yang dipandu pada kelajuan 110 km/j jauh lebih kuat makan minyak berbanding kenderaan sama yang dipandu pada kelajuan 90 km/j.

Kesimpulannya, tragedi Oktober berupa kenaikan harga bahan api baru-baru ini sememangnya tidak rasional sama sekali kerana ia berlaku tatkala harga minyak dunia sedang turun. Namun, kenaikan harga petrol kali ini menunjukkan ada yang tidak kena pada ekonomi negara kita, kerana beban subsidi masih bertambah meskipun harga minyak dunia sudah turun. Beban subsidi yang semakin tinggi menggunung itu adalah berpunca daripada peningkatan bilangan kenderaan di atas jalan raya akibat kebergantungan yang tinggi terhadap kenderaan persendirian. Justeru, satu-satunya cara untuk mengurangkan beban subsidi (dan seterusnya menurunkan harga minyak) adalah dengan mengurangkan kebergantungan terhadap kereta dan sebaliknya beralih kepada kenderaan yang lebih cekap tenaga seperti motosikal dan pengangkutan awam, sesuai dengan situasi majoriti pemandu kereta di ibu kota yang hanya memandu bersendirian ke pejabat. Namun, sikap warga kota yang enggan berubah menyebabkan kemelut subsidi bahan api masih tidak berkesudahan. Terus-terang saya katakan bahawa saya sudah letih kerana asyik bersuara mengenai perkara sama berulang kali tetapi orang-orang kita masih tidak mengambil iktibar. Jika hendak marahkan kerajaan, anda sepatutnya marahkan kerajaan kerana tidak bersedia dengan pendekatan alternatif seperti membangunkan rangkaian pengangkutan awam agar rakyat lebih bersedia menghadapi kenaikan harga minyak, dan bukannya marahkan kerajaan kerana menaikkan harga minyak itu sendiri. Akhir sekali, ingatlah bahawa Allah akan melipatgandakan rezeki kepada orang-orang yang bersyukur dan akan menarik balik rezeki daripada orang-orang yang kufur nikmat.

Wednesday, February 5, 2014

Apabila lampu Periksa Enjin menyala... / When the Check Engine light illuminates...



Lampu Periksa Enjin




Lampu Periksa Enjin menyala semasa kunci baru diputar ke posisi On...




...dan sepatutnya padam setelah enjin dihidupkan




Jika lampu Periksa Enjin kekal menyala dan tidak padam walaupun selepas enjin dihidupkan, ia bermaksud ada masalah pada sistem pancitan bahan api


Salam sejahtera,

Boleh dikatakan kesemua model kereta yang dijual sekarang dilengkapi pancitan bahan api. Malah, motosikal kapcai pun sudah mula ada model pancitan bahan api, sebagai respons kepada kenaikan harga petrol. Selain sangat jimat bahan api, mesra alam serta mudah dihidupkan semasa sejuk, sistem pancitan bahan api boleh dikatakan tidak memerlukan sebarang pelarasan atau penyelenggaraan berkala, tidak seperti karburetor yang perlu dilaras semula sekiranya kelajuan melahu sudah turun atau naik daripada sepatutnya. Anda hanya perlu berwaspada dan memerhatikan sama ada lampu Periksa Enjin menyala atau tidak selepas enjin berjaya dihidupkan. Itu sahaja.

Lampu Penunjuk Kerosakan (MIL), atau lebih popular dengan panggilan Lampu Periksa Enjin, merupakan sejenis lampu penunjuk amaran yang memberitahu sekiranya terdapat masalah pada sistem pancitan bahan api. Lampu penunjuk ini merupakan sebahagian daripada sistem diagnosa dalam kenderaan (on-board diagnostics) bagi mengenal pasti punca masalah pada sistem pancitan bahan api. Asalnya lampu Check Engine tiada simbol seragam selain tulisan seperti Check Engine dsb., tetapi logo khas bagi lampu tersebut yang berbentuk seperti enjin kereta mula diperkenalkan pada tahun 1996 selaras dengan piawaian OBD-II yang diguna pakan dalam kesemua sistem pancitan bahan api sekarang. Lampu Periksa Enjin menyala semasa kunci baru sahaja diputarkan ke posisi On (dan akan padam setelah sekian lama), dan lampu tersebut sepatutnya padam sebaik sahaja enjin berjaya dihidupkan. Namun, sekiranya lampu Periksa Enjin terus menyala walaupun selepas enjin dihidupkan, maka ia memberi petunjuk bahawa terdapat masalah pada sistem pancitan bahan api. Tahap keseriusan masalah yang dihadapi bergantung kepada jenis nyalaan lampu tersebut.

Terdapat dua jenis isyaran amaran yang dihasilkan oleh lampu Periksa Enjin. Jenis amaran pertama ialah apabila lampu hanya menyala sahaja selepas enjin dihidupkan tanpa berkelip. Amaran jenis pertama ini menunjukkan masalah yang kurang serius pada sistem pancitan bahan api, tetapi ia tidak boleh dihiraukan kerana jika kenderaan terus dipandu sahaja tanpa mempedulikan lampu Periksa Enjin yang terus menyala itu boleh menyebabkan masalah yang lebih serius pada sistem pancitan bahan api. Selain itu, ia juga boleh membawa kepada penurunan prestasi, penggunaan bahan api yang lebih lahap serta pelepasan asap ekzos yang lebih kotor. Dengan kata lain, sekiranya anda terus memandu dengan membiarkan lampu Periksa Enjin terus menyala, anda sudah tentu tidak akan lulus pemeriksaan asap kenderaan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sekiranya pihak JAS melalukan operasi sedemikian dan akan disaman RM2,000. Jadi yang mana lebih baik, duit melayang sedikit di bengkel kereta ataupun duit melayang banyak untuk membayar saman JAS...?

Jenis amaran kedua pula lebih serius, iaitu lampu Periksa Enjin berkelip-kelip selepas enjin dihidupkan. Corak kelipan lampu tersebut menunjukkan masalah spesifik yang dihadapi oleh sistem pancitan bahan api. Jika lampu Periksa Enjin berkelip, anda tidak boleh terus memandu lagi kerana kelipan lampu Periksa Enjin menandakan masalah yang serius pada sistem pancitan bahan api, yang boleh menyebabkan kereta anda tersadai di tengah jalan. Sebaliknya, terus panggil lori tunda untuk menunda kenderaan anda ke bengkel.




Sensor lambda atau sensor oksigen yang rosak merupakan salah satu punca utama masalah lampu Periksa Enjin menyala




Penutup tangki minyak yang tidak ditutup kemas juga boleh menyebabkan lampu Periksa Enjin menyala


Antara punca-punca utama yang menyebabkan lampu Periksa Enjin menyala selepas enjin dihidupkan ialah:-
  1. Sensor lambda atau sensor oksigen rosak
  2. Penutup tangki minyak tidak ditutup dengan kemas
  3. Sambungan wayar palam pencucuh longgar dan kurang kemas
  4. Penapis udara yang terlalu kotor sehingga tersumbat (punca nisbah udara-bahan api terlalu pekat) ataupun bocor atau dicabut terus (punca nisbah udara-bahan api terlalu nipis)
  5. Masalah-masalah sampingan enjin seperti panas lampau, aras minyak pelincir terlalu rendah ataupun gelang omboh sudah terlalu haus
  6. Kerosakan pada pemangkin asap
  7. Salah cetusan dan masalah ketukan / letusan serius (masalah paling serius)

Jadi apa patut anda lakukan sekiranya lampu Periksa Enjin menyala atau berkelip selepas enjin dihidupkan...?

Pertama sekali, jangan panik. Jika lampu Periksa Enjin terus menyala tanpa berkelip selepas enjin dihidupkan, cuba matikan enjin dan periksa sama ada penutup tangki minyak sudah ditutup ketat. Jika memang sudah ketat, cuba periksa sama ada penutup tangki minyak itu terdapat sebarang kebocoran ataupun gelang getah O penutup tersebut sudah merekah. Jika ada, cuba tukar dengan penutup tangki minyak yang baharu. Masalah lampu Periksa Enjin menyala itu sudah tentu tidak akan padam dengan serta-merta selepas penutup tangki minyak ditukar, tetapi akan padam selepas 1-2 hari. Kebanyakan masalah lampu Periksa Enjin yang menyala selepas enjin dihidupkan boleh diselesaikan dengan hanya menggantikan penutup tangki minyak sahaja.

Jika lampu Periksa Enjin masih menyala walaupun selepas penutup tangki minyak ditukar, cuba periksa pula sambungan wayar palam pencucuh. Jika sambungan wayar palam pencucuh tidak kemas, cuba ketatkan. Jika wayar palam pencucuh sudah merekah serta sambungannya rosak, tukarkannya dengan wayar palam pencucuh yang baharu. Kebanyakan kereta sekarang diengkapi sistem penyalaan dengan gelung penyalaan di atas palam pencucuh (coil-on-plug), jadi cuba periksa sama ada setiap gelung disambung dengan kemas pada palam pencucuh. Jika lampu Periksa Enjin masih menyala walaupun sambungan palam pencucuh sudah dikemaskan, pergi ke bengkel kereta dan minta mekanik mendiagnosa masalah dengan menggunakan alat pengimbas kod OBD-II. Jangan sekadar pergi ke bengkel cap ayam bawah pokok yang tidak mendiagnosa menggunakan alat pengimbas kod tetapi sekadar memerhatikan kelipan lampu dan terus memberitahu punca masalah secara membuta-tuli. Hanya hantar ke bengkel yang menawarkan khidmat membaca kod OBD-II kerana ia membolehkan punca sebenar masalah dapat dikenal pasti dan terus diselesaikan dengan sekali kunjungan sahaja. Menghantar ke bengkel cap ayam tidak akan menyelesaikan masalah, tetapi menimbulkan masalah baru kerana ia boleh menyebabkan kos pembaikan yang mahal - komponen yang bukan punca masalah pula yang ditukar tetapi masalah masih tidak selesai.

Namun, sekiranya lampu Periksa Enjin sudah mula berkelip, jangan terus pandu lagi - terus panggil lori tunda dan hantar ke bengkel terdekat.

Monday, September 30, 2013

Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection vs Modenas 118 EFI - buku bertemu ruas / Two worthy opponents



Modenas 118EFI




Yamaha Lagenda 115ZR Fuel Injection


Salam sejahtera,

Awal bulan lalu, Yamaha telah melancarkan model motosikal kapcai pancitan pertama mereka iaitu Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection, menjadikan model tersebut sebagai kapcai pancitan bahan api kedua di Malaysia selepas Modenas 118EFI. Memandangkan kedua-dua model mempunyai saiz enjin yang hanya berbeza 5 cc sahaja, maka kedua-dua model bolehlah dianggap sebagai "buku bertemu ruas".



Sistem Modul M3A oleh Synerject yang digunakan pada Modenas 118EFI




Sistem Yamaha YEC_FI yang digunakan pada Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection (kredit kepada: gearjahat.blogspot.com)

Berbeza dengan Modenas yang menggunakan sistem pancitan bahan api kos rendah Synerject M3A, Yamaha pula membangunkan sistem pancitan bahan api kos rendah mereka sendiri iaitu Sistem YEC_FI. Sistem ini terdiri daripada pam bahan api, pemancit bahan api, ECU berasingan 33 pin, pengesan suhu minyak enjin (dipasang pada kepala silinder), pengesan oksigen, pengesan kedudukan aci engkol, dan badan pendikit yang menggabungkan 3 lagi pengesan, iaitu pengesan kedudukan pendikit (TPS), pengesan suhu udara masukan (IAT) dan pengesan tekanan udara mutlak (MAP). Ia merupakan pembaharuan daripada generasi terdahulu yang dipasang pada Yamaha FZ150i, YZF-R150 dan Spark 135i (135LC versi Thailand), di mana perbezaan utama ialah kehadiran pengesan oksigen.

Sekarang mari kita bandingkan motor yang manakah yang lebih berkuasa. Modenas 118EFI yang menggunakan enjin 120 cc sekadar menghasilkan 5.76 kW (8.13 PS) @ 8,000 rpm, sedangkan Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection pula mampu menghasilkan 7.2 kW (10.4 PS) @ 7,750 rpm. Dari segi penjimatan bahan api pula, sekali lagi Lagenda Fuel Injection mendahului dengan 84.15 km/L seperti yang telah diuji oleh para wartawan di Thailand, tetapi 118EFI pula berupaya mencatatkan penggunaan bahan api 59.5 km/L. Harus diingat, bahawa Modenas 118EFI mencatatkan kadar penggunaan bahan api 59.5 km/L pada kelajuan malar 80 km/j, tetapi Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection pula diuji menggunakan piawaian ECE40 yang mana ia diuji pada kelajuan serendah 40 km/j. Sekiranya Modenas menguji 118EFI pada kelajuan yang sama, maka sudah tentulah ia mampu mencatatkan angka-angka yang lebih kompetitif.

Bagaimana pula Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection boleh jadi lebih berkuasa dan lebih jimat? Rahsianya ialah melalui komponen-komponen baru yang digunakan pada Lagenda Fuel Injection. Lagenda 115Z Fuel Injection menggunakan lengan jumpelang dengan alas bebola yang kurang geseran berbanding lengan jumpelang tanpa alas bebola yang digunakan pada model-model Lagenda terdahulu. Selain itu, profil sesondol dan profil engkol 115Z telah pun direka semula

Jadi apa yang patut dilakukan oleh Modenas untuk bangkit semula melawan seterunya itu? Buat masa sekarang, apa yang boleh dilakukan oleh Modenas ialah menala semula ECU mereka agar lebih berkuasa daripada sebelumnya. Saya percaya tentunya Modenas mempunyai unit-unit motosikal pembangun dengan ECU yang boleh ditala semula menggunakan komputer. Saya tidak pasti sama ada ECU yang dipasang oleh Modenas pada setiap unit 118EFI yang dijual itu flashable atau tidak, tetapi harap-harap ia flashable supaya talaan ECU boleh dikemas kini di pusat servis. Jika mereka mampu meningkatkan kuasa enjin AN110 yang digunakan pada Modenas Kriss 110 daripada 7.5 PS kepada 9.0 PS pada tahun 2000, maka tidak mustahil mereka boleh melakukannya sekali lagi pada 118EFI ini. Selain itu, Modenas perlu mengambil inisiatif bagi menambah baik kecekapan enjin-enjin motosikal keluaran mereka. Antara yang boleh dilakukan ialah menggunakan lengan jumpelang jenis alas bebola yang lebih rendah tahap geserannya. Langkah sebegini sudah tentu akan mengambil masa, tetapi adalah penting bagi Modenas untuk terus menambah baik kecekapan enjin-enjin motosikal keluaran mereka agar dapat bersaing dengan pengeluar-pengeluar besar khususnya jenama-jenama dari negara matahari terbit.

Friday, July 26, 2013

Modenas 118EFI vs Modenas GT128: Mana lebih jimat minyak? / Which one is more fuel-efficient?



Salam sejahtera,

Sudah hampir sebulan rupanya pelancaran model motosikal kapcai pancitan bahan api pertama Modenas iaitu Modenas 118EFI, namun setakat ini saya masih belum berjaya menemui kedai motosikal yang mempamerkan model tersebut. Sementara itu, Modenas pula mengalami kesukaran untuk memenuhi tempahan yang datang bertalu-talu daripada pembeli yang rata-ratanya teruja dengan teknologi pancitan bahan api yang julung kali diperkenalkan di Malaysia. Apa pun, saya berharap agar Modenas berupaya memenuhi tempahan yang sebegitu banyak, kerana ia petanda baik bagi menandakan peningkatan penguasaan Modenas dalam pasaran motosikal negara. Selain itu, saya juga berharap agar Modenas dapan segera mengaturkan satu sesi tunggang uji khas buat media serta menjemput saya menyertainya.

Bercakap tentang Modenas 118EFI, ramai yang sering membandingkannya dengan Modenas GT128, berikutan dakwaan penggunaan bahan api yang agak ironik. Setakat ini, Modenas GT128 merupakan model motosikal keluaran Modenas yang paling jimat minyak iaitu 64.4 km/L @ 80 km/L, meskipun ia masih menggunakan karburetor. Angka ini diperolehi hasil ujian tunggangan mengelilingi Semenanjung Malaysia menggunakan model pendahulunya iaitu Modenas Xcite 130 (menggunakan enjin yang sama). Sementara itu pula, dakwaan penggunaan bahan api bagi Modenas 118EFI yang menggunakan pancitan bahan api pula ialah 50 km/L @ 80 km/j (angka yang dikemaskini ialah 59.5 km/L).

Jadi adakah ini bermakna sistem pancitan bahan api tidaklah begitu menjimatkan bahan api berbanding karburetor?

Sebelum anda terus membuat kesimpulan secara melulu, saya ingin mengingatkan anda supaya membuat perbandingan dengan model yang benar-benar setara. Pipit sama pipit, enggang sama enggang. Maka, jika hendak membuat perbandingan dengan 118EFI, maka bandingkanlah ia dengan model setara iaitu Kriss 120 ataupun Ace 115. Modenas GT128 pula sepatutnya dibandingkan dengan model sama yang menggunakan pancitan bahan api. 



Modenas GT128 dipopularkan dalam siri francais filem Adnan Sempit


Enjin yang digunakan pada GT128 dan Xcite 130 adalah berbeza daripada enjin yang digunakan pada Ace 115 dan 118EFI. Enjin GT128 mempunyai diameter lubang yang sama seperti enjin Kriss 110 / CT110, tetapi mempunyai lejang yang lebih panjang (undersquare). Sementara itu, enjin Ace 115 dan 118EFI pula ialah enjin oversquare dengan lejang pendek dan diameter lubang yang besar. Selain itu, enjin yang digunakan pada 118EFI dan Ace 115 pula diperbuat daripada besi tuang biasa dengan sarung silinder keluli serta menggunakan omboh besi tuang biasa, manakala enjin GT128 pula menggunakan silinder yang diproses secara in-mould cylinder liner serta menggunakan omboh bersalut molibdenum sulfida yang lebih tahan geseran. Malah, aci sesondolnya juga dikenakan rawatan haba bagi ketahanan yang lebih tinggi. Di samping penggunaan sensor kedudukan pendikit (TPS), binaan enjin GT128 itu sendiri menjadi faktor utama kenapa enjin GT128 lebih jimat minyak walaupun ia masih menggunakan karburetor.

Maka, model yang lebih baik dibuat perbandingan dengan 118EFI sudah tentulah Ace 115. Ace 115 mencatatkan penggunaan bahan api 46.1 km/L @ 80 km/j berbanding penggunaan bahan api 118EFI iaitu sekitar 50 km/L (angka dikemaskini: 59.5 km/L). Maka, ia sudah tentunya perbandingan yang cukup sepadan. Memandangkan kedua-dua 118EFI dan Ace 115 menggunakan enjin yang sama, maka ada 2 kesimpulan yang boleh dibuat setelah membandingkan antara kedua-duanya:-
  1. 118EFI terbukti jauh lebih jimat minyak daripada Ace 115
  2. Keluaran kuasa kuda 118EFI pula berkurangan berbanding Ace 115
Memandangkan Modenas baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia pancitan bahan api, maka sudah tentulah hasil yang diperolehi masih ada sedikit kelemahan yang boleh diperbaiki. Saya tidak pasti sama ada ECU yang digunakan pada 118EFI adalah flashable (boleh memuatkan kemaskini talaan baru yang lebih baik) atau tidak, tetapi saya berharap ia flashable supaya Modenas boleh menambah baik talaan mereka secara berterusan. Ia samalah seperti mana Proton sentiasa menambah baik dan mengemaskini talaan ECU mereka. Lagipun, Modenas memang pernah menambah baik talaan enjin AN110 pada Modenas Kriss 110 dengan meningkatkan keluaran kuasa kuda daripada keluaran asal 7.5 PS kepada 9.0 PS, jadi saya percaya Modenas boleh melakukannya sekali lagi pada talaan ECU pancitan bahan api pula.

Sunday, June 30, 2013

Kapcai pancitan bahan api sulung Modenas sudah dilancarkan di pasaran domestik, dan namanya ialah Modenas 118EFI...!!! / Modenas' first fuel-injected underbone was launched for domestic market, and its name is Modenas 118EFI...!!!



Modenas 118EFI yang baru sahaja dilancarkan hari ini di Pulau Pinang (sumber: laman Facebook rasmi Modenas)

Salam sejahtera,

Hari ini (30 Jun 2013) tercatatlah satu sejarah baru dalam industri automotif Malaysia, iaitu pelancaran motosikal pancitan bahan api pertama keluaran syarikat motosikal Malaysia. Jika sebelum ini ramai yang berteka-teki mengenai nama model motosikal kapcai pancitan bahan api ini seperti Kriss 125i, CT125i dan CT120i, nama sebenar model itu untuk pasaran Malaysia akhirnya dimuktamadkan sebagai Modenas 118EFI. Sebelum ia dikeluarkan di pasaran negara sendiri, Modenas 118EFI sebenarnya sudah dijual bagi pasaran Greece dengan menggunakan nama Modenas Kriss 125i EFI. Modenas 118EFI dilancarkan  oleh Pengarah Urusan DRB-Hicom, Tan Sri Mohd. Kamil Jamil, sempena DRB-Hicom Autofest 2013 di Pulau Pinang.

Blog Jalan Raya Malaysia sebelum ini telah menyiarkan beberapa entri mengenai motosikal kapcai pertama keluaran Modenas ini. Bermula dengan pelancaran Modenas Kriss 125i EFI di Greece pada 22 Mac 2013, ia disusuli pula dengan anatomi sistem pancitan bahan apinya yang dibekalkan oleh Synerject. Saya juga turut membawakan beberapa gambar motosikal tersebut bagi pasaran Greece untuk dikongsi bersama.


Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Sebenarnya, kalau diikutkan, pelancaran 118EFI ini boleh dikatakan 10 tahun lebih lambat daripada sepatutnya, memandangkan Thailand sudah lama menerajui teknologi pancitan bahan api untuk motosikal kapcai pada model Wave 125i mereka, diikuti Yamaha Spark 135i (Yamaha 135LC model Thailand) dan Suzuki Shogun Axelo 125i. Namun demikian, ia tetap menunjukkan bahawa Modenas benar-benar serius dan komited untuk menghasilkan motosikal yang lebih berkuasa dan lebih jimat minyak tetapi dalam masa yang sama pula lebih mesra alam.

Modenas 118EFI dijual dengan harga atas jalan RM4,755.40 dan boleh didapati dalam dua warna iaitu Hijau Alam dan Biru Semesta.

Ikuti berita selanjutnya dalam Berita Harian.

Spesifikasi Modenas 118EFI

Enjin: 4 lejang SOHC 2 injap silinder tunggal 120 cc
Sesaran: 120.3 cc
Lubang x lejang: 55 x 50.6 mm
Nisbah mampatan: 9.8:1
Kuasa kuda: 5.76 kW (8.13 PS) @ 8,000 rpm
Tork: 8.4 N-m @ 4,000 rpm
Jarak roda: 1,245 mm
Berat kering: 101 kg
Muatan tangki bahan api: 4.3 liter
Saiz tayar: 70/90 - 17 38P (depan); 80/90 - 17 47P (belakang)

Apa yang saya suka
  1. Harga yang sangat murah bagi sebuah motosikal pancitan bahan api
  2. Kesemua faedah sistem pancitan bahan api (sangat jimat minyak, mudah dihidupkan semasa awal pagi, mesra alam, kurang pelepasan emisi dsb.)
  3. Populariti dan reputasi terbukti di Greece
  4. Penghidup elektrik, rim sport dan tayar tanpa tiub adalah standard
Apa yang saya tidak suka
  1. Enjin mengalami penurunan kuasa kuda yang ketara berbanding enjin sama yang digunakan pada Modenas Ace 115 (8.13 PS berbanding 10.3 PS) - bersiap sedialah untuk modifikasi enjin yang lebih ekstrim
  2. Saiz sebenar tangki yang kurang berbanding keluarga CT yang lain (4.3L berbanding 5.3L) berikutan modul penghantar bahan api yang banyak memakan ruang tangki - kelemahan ini diatasi oleh sifat pancitan bahan api itu sendiri yang jauh lebih jimat minyak

(Nota: Siri kembara Blog Jalan Raya Malaysia @ Cameron Highlands 2013 akan bersambung selepas entri ini.)

Saturday, June 15, 2013

Modenas akan memperkenalkan dua motosikal baru tahun ini / Modenas to introduce two new motorcycles this year



SIBU: Modenas akan melancarkan 2 model motosikal baru tahun ini; model pertama akan dilancarkan sekitar bulan Jun atau Julai tahun ini dan model seterusnya pula pada Hari Raya atau hujung tahun ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Edaran Modenas, Benedict Ho berkata dalam satu sidang akhbar bahawa Modenas merupakan satu jenama motosikal nasional Malaysia yang diperakui sepenuhnya.

Mengenai pertumbuhan pasaran Modenas di Sarawak, beliau berkata bahawa Ghee Hwa Motorpol Sdn Bhd merupakan Pengedar Sah Modenas di Sarawak selama 18 tahun dan merupakan pelanggan terbesar Edaran Modenas di Malaysia dengan jumlah pesanan sekitar 6,500 unit setahun.

Pasaran Modenas terus berkembang memandangkan ia kini diterima oleh pelanggan disebabkan kualiti dan keaggunannya serta disyorkan oleh pengguna sedia ada kepada pengguna lain di seluruh negara.

Antara ciri jualan Modenas yang digemari ialah bayaran muka yang rendah, pinjaman yang mudah, bayaran ansuran bulanan yang rendah, khidmat lepas jualan yang boleh diharap bagi penyelenggaraan dan yang paling penting ialah harga yang amat berpatutan.

Bagi keluaran baru MR1 (Motorsikal Rakyat 1 Malaysia) ia kini didatangkan dengan rim sport dengan kos tambahan hanya RM100. Jualan MR1 bagi tahun 2012 ialah 4,000 unit.

Buat masa sekarang jualan Modenas di negeri tersebut ialah 16 peratus, yang mana Benedict berkata boleh ditingkatkan lagi kepada 18 peratus tahun ini, memandangkan Sarawak ialah sebuah negeri yang besar dengan banyak lagi kawasan yang masih belum ditembusi, sementara di Malaysia ia mencatatkan 12 peratus daripada jumlah jualan motosikal.

Jumlah unit keluaran Modenas bagi tahun 2012 ialah 604,000 unit dan ia berupaya menguasai 10 peratus daripada jumlah isipadu industri di Malaysia pada tahun tersebut.

Sementara itu Ghee Hwa Motopol Sdn Bhd sebagai Pengedar Sah motosikal Modenas telah mengadakan Malah Anugerah Penghargaan bagi para pengedar bawahannya di serata negeri pada malam Sabtu lalu.

Bagi menggalakkan jualan, Pengarah Urusan Ghee Hwa, Frankie Lau berkata mulai 19 Mei pelanggan dengan gaji bulanan RM600 layak memohon pinjaman.

Sepanduk promosi dipamerkan di pusat jualan Modenas di mana pembeli diberikan topi keledar percuma bersama-sama dua penukaran minyak 4T percuma bagi khidmat penyelenggaraan motosikal.

Turut hadir ialah Pengurus Kawasan bagi Edaran Modenas Sarawak Mohd. Zamri Abdul Samat.




SIBU: Modenas will launch 2 new models of motorcycles this year; the first model to be rolled out sometime between June and July this year and the other model toward the Hari Raya festival or year end.


Chief Executive Officer of Edaran Modenas, Benedict Ho said at a press conference that Modenas is a fully acknowledged brand name of the Malaysia’s national motorcycle.

On the growth of Modenas in Sarawak he said that Ghee Hwa Motorpol Sdn Bhd has been a Modenas Authorized Dealer for Sarawak for 18 years and is the biggest customer of Edaran Modenas in Malaysia with an order of some 6,500 units per year.

The Modenas market continues to grow from strength to strength as it is now accepted by customers for quality and elegance and recommended by users to users all over the country.

Some of the favourable Modenas sales features are its low down payment for the vehicle, easy loan, low monthly repayment, reliable after sales services for maintenance and most of all affordable fair pricing.

As for the new badge of MR1 (Motorsikal Rakyat 1 Malaysia) it now comes with sport rims for an added cost of RM100 only. The 2012 sales of MR1 was 4,000 units.

At present Modenas sales in the state is 16 per cent, which Benedict says can be pushed to 18 per cent this year as Sarawak is a big state with many venues yet to be penetrated while in Malaysia it holds 12 per cent of the total motorcycle sale.

Total units of Modenas produced in year 2012 were 604,000 units and it captured 10 per cent of the total industry volume in Malaysia for that year.

Meanwhile Ghee Hwa Motopol Sdn Bhd as Authorized Dealer of Modenas motorcycles held an Appreciation Award Nite for its downline sub-dealers from throughout the state Saturday evening.

To further boost sales, Ghee Hwa’s Managing Director Frankie Lau said that starting from May 19 customers with salaries of RM600 would be qualified to apply for loan.

Promotion banners would be displayed at Modenas sales outlets where purchasers would be given a free helmet coupled with two free 4T oil changes for motorcycle maintenance services.

Also present at the function was the Regional Manager of Edaran Modenas of Sarawak Mohd. Zamri Abdul Samat.


Kredit kepada / Credit to: New Sarawak Tribune

Saturday, June 8, 2013

Galeri imej Modenas Kriss 125i EFI di Greece / The Greek Modenas Kriss 125i EFI image gallery

Salam sejahtera,

Dalam beberapa entri terdahulu, saya telah pun melaporkan mengenai pelancaran motosikal pancitan bahan api pertama keluaran Modenas di Greece iaitu Modenas Kriss 125i EFI. Motosikal tersebut sebenarnya langsung tiada kaitan dengan varian Kriss lama kerana ia dibina berasaskan siri Modenas CT tetapi menggunakan enjin 120 cc seperti Modenas Ace 115, maka kita juga boleh memanggilnya sebagai Modenas CT120i. Seperti yang anda semua sedia maklum, model ini dikeluarkan bagi mematuhi pengatkuasaan piawaian emisi Euro 3 yang mula berkuatkuasa di negara pasaran eksport terbesar Modenas itu. Seterusnya, saya turut menerangkan mengenai anatomi sistem pancitan Synerject M3A yang digunakan oleh Modenas Kriss 125i dalam satu lagi entri terdahulu.

Kenapa saya begitu teruja dengan motosikal ini? Pertama, kerana motosikal inilah model pancitan bahan api pertama keluaran Modenas. Kedua, rakyat Malaysia sangat menanti-nantikan kemasukan model motosikal kapcai yang menggunakan pancitan bahan api kerana ia sangat jimat petrol serta mesra alam. Malangnya, dasar automotif Malaysia begitu caca-marba tanpa sebarang hala tuju melainkan daripada melindungi kepentingan pihak tertentu sahaja, dan ia dibuktikan dengan piawaian emisi kolot yang mula diguna pakai sejak tahun 1997 dan tidak pernah dikemaskini sehingga sekarang. Lihat sajalah di Thailand, negara pencipta kapcai pancitan bahan api pertama di dunia - kini semua motor kapcai di sana menggunakan pancitan bahan api. Begitu juga di Indonesia, sejak piawaian Euro 3 mula dikuatkuasakan di sana bermula tahun ini (2013), kesemua motor kapcai di sana juga menggunakan pancitan bahan api. Malah, motor pancitan bahan api pun sudah mula dijual di Vietnam. Sebab itulah kita amat mengharapkan agar Modenas memasarkan motor pancitan keluaran mereka ini dengan segera demi mengurangkan beban rakyat akibat harga minyak yang mahal, di samping memacu perkembangan industri automotif tanah air serta memelihara kelestarian alam sekitar kita.

Sebelum ini, kita hanya disajikan dengan imej-imej kecil Kriss 125i seperti mana dalam gambar-gambar promosi oleh para pengedar Modenas di Greece. Kali ini, saya akan menyajikan beberapa gambar terbaik Modenas Kriss 125i EFI dari jarak dekat dari pelbagai sudut. Saksikanlah!







Pandangan keseluruhan Modenas Kriss 125i EFI






Pandangan dari sudut bahagian bawah dekat enjin. Perhatikan ECU berwarna hitam yang melekat pada badan pendikit






Pandangan dari sudut berlawanan di sebelah kiri pula






Gambar papan pemuka Modenas Kriss 125i EFI yang paling jelas dapat saya cari. Perbezaan paling ketara dengan meter CT110/CT100 biasa ialah lampu periksa enjin (check engine) berwarna jingga di penjuru kiri papan pemuka






Di Greece, mereka panggil Modenas Kriss 125i, tetapi di Malaysia pula kita akan panggil sebagai Modenas CT120i






Pandangan dari sudut belakang kiri






Pandangan dari bahagian bawah belakang kanan pula. Perhatikan lampu-lampu isyarat membelok belakang bagi model pasaran Greece adalah dari jenis tangkai sebagaimana motor-motor yang lebih besar






Perhatikan sensor oksigen kecil berwarna hitam pada pangkal paip ekzos. Kehadiran sensor oksigen inilah yang membolehkan Modenas Kriss 125i lulus piawaian Euro 3 dengan mudah serta bersedia untuk piawaian Euro 4






Paip ekzos Modenas CT100/CT110 biasa tiada penukar bermangkin di dalam peredam bunyi, tetapi Modenas Kriss 125i EFI pula ada penukar bermangkin






Tangki minyak Modenas Kriss 125i EFI. Muatannya sama sahaja seperti CT110/CT100 iaitu 5.3 L, tetapi perhatikan penutup plastik bulat besar berwarna hitam itu. Untuk pengetahuan anda, komponen tersebut sebenarnya ialah unit penghantar bahan api yang terdiri daripada penapis bahan api, pam bahan api, pengawal tekanan bahan api, pelampung bagi bacaan tolok bahan api
Salur besar beranyam di bahagian atas itu ialah salur bahan api bertekanan tinggi ke pemancit, manakala salur yang lebih kecil di bahagian bawah ialah wayar untuk menghantar maklumat kandungan bahan api ke tolok bahan api

Friday, May 17, 2013

Anatomi sistem pancitan Modenas Kriss 125i EFI / Modenas Kriss 125i EFI fuel injection system anatomy

Salam sejahtera,

Modenas sudah pun melancarkan model keluarga CT di Greece dengan menggunakan nama Kriss 125i EFI, yang juga merupakan motosikal Modenas pertama yang dilengkapi sistem pancitan bahan api. Model tersebut dikeluarkan bagi memenuhi tuntutan piawaian emisi Euro 3 yang berkuatkuasa di negara pasaran eksport terbesar Modenas itu.

Untuk pengetahuan anda semua, Modenas Kriss 125i (atau kita boleh panggil sebagai Modenas CT120i) menggunakan sistem pancitan bahan api yang dibekalkan oleh Synerject, sebuah syarikat antarabangsa khusus dalam pembuatan sistem pancitan bahan api bagi enjin-enjin kecil dengan satu atau dua silinder. Sebahagian besar saham Synerject dimiliki oleh syarikat Continental, sebuah syarikat automotif terkenal yang turut memiliki Siemens VDO yang juga merupakan pembekal sistem pancitan bahan api kepada pengeluar kereta seperti Proton. Itulah sebabnya mengapa Modenas berupaya mengeluarkan model motosikal pancitan bahan api sendiri walaupun kita tidak pernah terdengar pun berita Modenas membangunkan sendiri teknologi pancitan bahan api sendiri. Ia samalah seperti mana Proton menggunakan kotak gear CVT yang dibekalkan oleh Punch Powertrain.



Sistem Modul M3A oleh Synerject yang digunakan pada Modenas Kriss 125i EFI

Sistem pancitan bahan api yang digunakan oleh Modenas Kriss 125i ini dikenali sebagai Sistem Modul M3A. Sistem ini sebenarnya menyerupai generasi pertama sistem PGM-FI bagi motosikal kapcai yang pertama kali diperkenalkan pada motosikal Honda Wave 125i sekitar tahun 2003. Perbezaan antara kedua-dua sistem ini ialah PGM-FI tidak menggunakan sensor oksigen walaupun pada generasi terkini PGM-FI yang digunakan pada Honda Wave Future 125i di Thailand (juga dikenali sebagai Honda Supra 125X Helmet-In di Indonesia). Selain itu, sistem M3A juga tidak menggunakan sensor olengan yang digunakan oleh sistem PGM-FI. Selebihnya, komponen-komponen lain pada kedua-dua sistem tersebut adalah sama, termasuklah penggunaan badan pendikit yang menyepadukan ECU, sensor kedudukan pendikit dan sensor suhu dan tekanan udara mutlak.



Badan pendikit yang menggabungkan ECU, sensor kedudukan pendikit (TPS) dan sensor suhu dan tekanan udara mutlak (TMAP)

Kenapa Modenas memilih sistem modul M3A ini? Ada dua sebab utama - sebab pertama ialah binaannya yang ringkas, sekaligus menjimatkan kos pengeluaran berikutan bilangan komponen yang kurang. Kedua, menurut Synerject, sistem modul M3A ini dikatakan tahan lasak dan kalis air, membolehkan sistem ini tahan banjir, yang sememangnya merupakan mimpi ngeri kepada pemilik mana-mana kenderaan yang menggunakan pancitan bahan api berikutan kebimbangan ECU boleh rosak akibat litar pintas yang disebabkan oleh air banjir.

Selain itu, penggunaan sensor oksigen juga membolehkan sistem modul M3A ini lulus piawaian Euro 3 dengan mudah serta bersedia untuk piawaian Euro 4. Sensor oksigen berfungsi memberikan maklum balas hasil pembakaran melalui kandungan oksigen yang ada di dalam gas ekzos. Jika kandungan oksigen adalah rendah, maka kadar pancitan akan dikurangkan untuk menghalang pembentukan karbon monoksida supaya asap ekzos menjadi lebih bersih serta mengurangkan pembaziran bahan api. Jika kandungan oksigen adalah tinggi, maka kadar pancitan akan ditingkatkan untuk menghalang pembentukan nitrogen oksida.

Namun demikian, keluaran kuasa kuda Modenas Kriss 125i berkemungkinan lebih rendah berbanding Kriss 120 yang menggunakan enjin yang sama tetapi menggunakan karburetor, bergantung kepada kaedah pengiraan kuasa kuda. Jika Modenas Kriss 120 berkarburetor mampu menghasilkan 7.3 kW (9.9 PS) pada 8,500 rpm (angka rasmi oleh Modenas, dikira pada aci engkol), Kriss 125i dengan pancitan bahan api pula hanya mampu menghasilkan 8.5 kuasa kuda (8.9 PS) pada 8,000 rpm (dakwaan pengedar). Namun, angka tersebut diberikan oleh pengedar Modenas di Greece, maka barangkali angka kuasa kuda tersebut ialah kuasa kuda bersih pada roda belakang dan bukan pada enjin, kerana setelah membuat sedikit perkiraan, enjin Kriss 125i berkemungkinan menghasilkan keluaran maksimum 9.9 PS @ 8,000 rpm pada aci engkol, dengan anggapan kehilangan kuasa melalui transmisi ialah 10%. Apa pun, diharap pihak Modenas dapat memberi pencerahan mengenai angka-angka kuasa kuda dan tork sebenar mesin ini.

Apa pun, yang paling penting sekarang buat pihak Modenas ialah mengeluarkan model ini bagi pasaran Malaysia dengan segera. Kita tidak mahu industri automotif kita terus ketinggalan di belakang Thailand dan Indonesia yang tidak mempunyai jenama motosikal atau kereta nasional sendiri tetapi lebih maju dari segi teknologi automotif yang diterapkan. Kita juga tidak mahu dasar automotif kita terus dianggap menganaktirikan rakyat sendiri apabila negara pasaran eksport berupaya menikmati teknologi yang lebih canggih tetapi negara sendiri pula hanya berputih mata dengan teknologi purba yang ketinggalan zaman. Saya percaya hanya melalui pelancaran siri Modenas CT dan seterusnya GT128 yang menggunakan sistem pancitan bahan api bagi menggantikan karburetor sahajalah yang berupaya membuka mata rakyat Malaysia mengenai keupayaan sebenar anak watan kita dalam bidang teknologi automotif tanpa terus dipandang rendah lagi.

Tuesday, March 26, 2013

Modenas Kriss 125i EFI dilancarkan di Greece! / Modenas Kriss 125i EFI was launched in Greece!



Modenas Kriss 125i / CT125i EFI (kredit kepada: Arena Motosikal)

Salam sejahtera,

Hujung minggu lalu (22 Mac 2013), Modenas telah melancarkan model motosikal baru iaitu Kriss 125i EFI untuk pasaran Greece. Ia sebenarnya berasaskan keluarga siri CT yang menggantikan siri Kriss sebelum ini. Dengan kata lain, model ini sebetulnya ialah CT125i tetapi dijenamakan semula sebagai Kriss 125i berikutan populariti motosikal Modenas di negara yang menjadi pasaran eksport terbesar Modenas itu. Pengeluaran Kriss 125i tersebut menjadikan model tersebut sebagai motosikal pancitan bahan api pertama keluaran Modenas

Kenapa Modenas mengeluarkan Kriss 125i di Greece terlebih dahulu dan bukan di Malaysia? Jawapannya mudah sahaja - hasil tekanan daripada piawaian emisi terkini Eropah. Negara-negara Eropah kini mewajibkan semua model motosikal baharu yang dijual di sana lulus piawaian emisi Euro 3, dan ia hanya boleh dicapai melalui penggunaan pancitan bahan api. Mungkin ada yang mempertikaikan tindakan Modenas ini dengan tuduhan "kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan", tetapi Modenas sebenarnya merancang untuk memasarkan model tersebut di Malaysia dan kini sedang menjalankan soal selidik produk di laman Facebook rasmi mereka. Sekurang-kurangnya Modenas kini di landasan yang betul untuk menjadi pengeluar motosikal bertaraf global, dan langkah mengeluarkan motosikal kapcai pancitan bahan api ini dapat memecahkan dominasi Honda Innova 125i (Honda Wave 125i di Eropah).

Apa yang bagusnya mengenai motor ini? Pertama sekali, ia sangat jimat minyak, kerana pancitan bahan api membolehkan petrol dipancitkan menjadi titisan yang sangat halus, menjadikan pembakaran lebih sempurna dan lebih cekap. Pembakaran yang lebih sempurna juga bermaksud pelepasan ekzos yang lebih bersih, ditambah lagi dengan penggunaan pemangkin asap 3 hala dan pengesan oksigen bagi memastikan asap ekzos yang dikeluarkan benar-benar bersih. Enjinnya juga sangat mudah dihidupkan walaupun pada waktu pagi yang sejuk tanpa memerlukan injap pencekik seperti pada motosikal berkarburetor.

Untuk memastikan kos pengeluaran Kriss 125i diminimakan, unit kawalan enjin (ECU) Kriss 125i disepadukan dengan badan pendikit serta tiga sensor (sensor kedudukan pendikit, sensor suhu udara masuk dan sensor tekanan mutlak rongga). Pendekatan sebegini samalah seperti generasi pertama sistem PGM-FI yang digunakan pada Honda Wave 125i model tahun 2003 di Thailand.

Jadi berapa harga motosikal ini di Greece? Harga motosikal Modenas 125i EFI ini ialah €1,895 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan). Jika dijual di Malaysia kelak, kita boleh jangkakan harganya sekitar RM5,000-5,500. Saya percaya model ini tentunya bakal mendapat sambutan yang hangat sebagaimana ketika model asal Kriss 110 mula-mula diperkenalkan pada tahun 1996 dahulu, memandangkan rakyat Malaysia tentunya ternanti-nanti keluaran pertama Modenas yang menggunakan pancitan bahan api. Penjimatan bahan api yang sangat ketara hasil penggunaan sistem pancitan bahan api tentunya bakal menjadi senjata Modenas untuk kembali merampas takhta teratas dalam pasaran motosikal kapcai 4 lejang di Malaysia kelak. Untuk merealisasikan matlamat tersebut, saya juga menyeru agar Modenas turut mengeluarkan semula CT110 sebagai model pancitan bahan api, diikuti dengan penggunaan sistem pancitan pada GT128.

Berita asal oleh: Arena Motosikal