Wednesday, January 30, 2019

Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya sempena Tahun Baru Cina 2019 / Expressway Safety Advocation Campaign in conjunction of 2019 Chinese New Year







Salam sejahtera,

Hari ini (29 Januari 2019) saya memenuhi undangan daripada Anih Berhad, syarikat konsesi Lebuhraya Pantai Timur E8 untuk menghadiri majlis pelancaran Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya sempena Tahun Baru Cina 2019 anjuran Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR). Majlis ini dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa perkara sebegini sudah berulang kali diadakan setiap kali musim perayaan besar seperti Tahun Baru Cina dan Hari Raya, tetapi ia tetap penting untuk dihebahkan kepadaumum. Sebab apa...? Pertama, musim perayaan adalah musim yang mencatatkan paling banyak nahas jalan raya. Kedua, bagi memenuhi perintah Allah dalam Surah al-'Asr yang menyuruh manusia berpesan-pesan demi kebaikan semua pihak. Tambahan pula, pihak KKR, LLM & PSKLM mahu memanfaatkan media sosial untuk menularkan satu video pendek bertujuan untuk mendidik dan menyedarkan pengguna lebuh raya supaya tertib & sopan ketika menggunakan lebuh raya ekspres agar semua pengguna lebuh raya ekspres dapat pulang ke kampung bagi memanfaatkan cuti Tahun Baru Cina dengan keluarga tersayang tanpa sebarang insiden tidak diingini.


Tarikh-tarikh penting

Cuti am Tahun Baru Cina 2019 adalah pada hari 5 hingga 6 Februari 2019. Biasanya masyarakat Cina akan mengambil cuti sehingga hari kelima. Namun, disebabkan masih ada satu hari bekerja, maka ramai yang akan mengambil cuti pada hari Isnin (4 Februari) supaya mereka boleh pulang ke kampung pada hari Sabtu, 2 Februari 2019. Bagi mereka di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya, mereka mendapat cuti tambahan sehari pada hari Jumaat (1 Februari 2019) kerana cuti Hari Wilayah. Maka, dijangkakan bahawa lebuh raya ekspres utama negara (Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2 & Lebuhraya Pantai Timur E8) paling sesak pada 1, 2 dan 10 Februari, jadi elakkan daripada bertolak pada hari-hari tersebut.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia melancarkan Ops Selamat 14 yang bermula hari ini (29 Januari) hingga 12 Februari, yang menyaksikan had laju jalan persekutuan daripada 90 km/j kepada 80 km/j. Sepanjang tempoh tersebut, saman serta-merta pada kadar maksimum RM300 akan dikenakan bagi 6 kesalahan utama yang akan saya terangkan dalam bahagian berikutnya dalam entri ini. Selain itu, KKR sudah mengeluarkan arahan agar semua kerja penyelenggaraan di lebuh raya ekspres dihentikan kecuali bagi kerja-kerja kritikal sepanjang tempoh sama.

Bagi para pemandu kenderaan berat, anda dilarang daripada menggunakan lebuh raya ekspres bermula 2 hingga 4 Februari 2019, dan juga dari 9 hingga 10 Februari 2019.

Sementara itu, PLUS Malaysia Berhad & Anih Berhad masing-masing sudah mengeluarkan Jadual Nasihat Waktu Perjalanan bagi lebuh raya ekspres kendalian mereka. Jadual Nasihat Waktu Perjalanan bagi lebuh raya ekspres kendalian PLUS Malaysia & Anih Berhad adalah seperti berikut:-






Untuk memudahkan anda mengingat kesemua tarikh penting ini, saya tulis semula secara susunan kronologi:-

  • 29 Januari:- 
    • Ops Selamat 14 bermula
    • Arahan Berhenti Kerja dikeluarkan kepada semua syarikat konsesi
  • 31 Januari - Jadual Nasihat Waktu Perjalanan di lebuh raya kendalian PLUS Malaysia mula berkuatkuasa
  • 1 Februari - Hari Wilayah Persekutuan (hari paling sesak)
  • 2 Februari:- 
    • Jadual Nasihat Waktu Perjalanan dari Lembah Klang di LPT1 E8 bermula (hari paling sesak)
    • Larangan penggunaan kenderaan berat bermula
  • 3 Februari - Hari terakhir Jadual Nasihat Waktu Perjalanan dari Lembah Klang di LPT1 E8
  • 4 Februari - Hari terakhir larangan penggunaan kenderaan berat
  • 5 Februari - Tahun Baru Cina (Diskaun tol diberikan)
  • 8 Februari - Jadual Nasihat Waktu Perjalanan ke Lembah Klang di LPT1 E8 bermula
  • 9 Februari - Larangan penggunaan kenderaan berat bermula
  • 10 Februari - Hari terakhir Jadual Nasihat Waktu Perjalanan ke Lembah Klang berkuatkuasa di lebuh raya ekspres kendalian PLUS Malaysia & Anih Berhad (hari paling sesak)
  • 12 Februari - Ops Selamat 14 tamat

Jangan lakukan 6 kesalahan ini

Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, saman serta-merta RM300 akan dikenakan jika anda melakukan 6 kesalahan utama sepanjang Ops Selamat 14. Kesalahan tersebut ialah:-

  1. Melanggar had laju
  2. Melanggar lampu merah
  3. Memotong di garisan berkembar
  4. Menyalahguna lorong kecemasan
  5. Memotong barisan
  6. Menggunakan telefon bimbit semasa memandu

Kadar diskaun tol

Sebanyak 25 buah lebuh raya ekspres akan memberikan diskaun antara 10 hingga 30 % pada 5 Februari 2019 iaitu pada hari pertama Tahun Baru Cina itu sendiri. Kadar diskaun mengikut lebuh raya ekspres adalah seperti berikut:-


Diskaun 30%
  1. Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1
  2. Lebuhraya DUKE E33
  3. Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11
Diskaun 20%
  1. Lebuhraya Baru Pantai (NPE) E10
  2. Lebuhraya Besraya E9
Diskaun 15%
  1. Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2
  2. Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) E20
  3. Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) E6
  4. Lebuhraya Kulim-Butterworth (BKE) E15
  5. Jambatan Pulau Pinang E36
  6. Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8
  7. Terowong SMART E38
  8. Lebuhraya Shah Alam E5
  9. Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) E8/FT2
  10. Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) E8
  11. Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) E22
  12. Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) E25
  13. Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth E17
  14. Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah E28
  15. Lebuhraya Linkedua E3 (kecuali Plaza Tol Tanjung Kupang)
  16. Plaza Tol Ampangan, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) E21
Diskaun tol kali ini tidak akan menyebabkan kesesakan lalu lintas kerana diskaun tol diberikan pada waktu paling lengang, iaitu pada hari pertama Tahun Baru Cina itu sendiri. Keadaan lengang itu adalah disebabkan adat resam orang-orang Cina yang memerlukan mereka berada di kampung halaman masing-masing sebelum malam Tahun Baru Cina. Justeru, kepada pengguna lebuh raya selain daripada kaum Cina, gunakan hari pertama Tahun Baru Cina untuk pulang ke kampung dan berikanlah peluang kepada sahabat-sahabat kita daripada kaum Cina untuk pulang beraya bersama-sama keluarga di kampung halaman.




Pelancaran video rasmi bagi Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya sempena Tahun Baru Cina 2019




Wakil-wakil syarikat konsesi bergambar kenangan bersama Menteri Kerja Raya, Ketua Pengarah Kerja Raya & Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia




Majlis pelepasan konvoi kenderaan pasukan keselamatan




Baru Bian menyampaikan beg cenderahati kepada pengguna lebuh raya bertuah

Saturday, January 26, 2019

Seantero: Autobahn Jerman bakal dikenakan had laju maksimum / Global: German autobahns may have maximum speed limit



Had laju kebangsaan Jerman - mandatori 50 km/j di kawasan bandar, mandatori 100 km/j di luar bandar, had laju disyorkan 130 km/j di autobahn


Salam sejahtera,

Lebuh raya capaian terkawal, juga dikenali dengan pelbagai nama seperti lebuh raya kereta (motorway), lebuh raya bebas (freeway), lebuh raya ekspres (di kebanyakan negara Asia & sesetengah negeri di Amerika Syarikat) dan pelbagai nama tempatan seperti autobahn (Jerman & Austria), autoroute (di Perancis & Quebec, Kanada), autovia (Sepanyol & Mexico), 高速道路 (kousoku douro) atau 自動車道 (jidoushadou) (Jepun) dan banyak lagi. Lebuh raya capaian terkawal merupakan jenis jalan raya yang menduduki tangga teratas dalam hirarki jalan raya kerana kapasiti trafik yang tertinggi, had laju reka bentuk tertinggi serta darjah kawalan masuk tertinggi.

Jika berbicara mengenai lebuh raya ekspres, pastinya kita akan menyebut mengenai rangkaian lebuh raya kereta (autobahn) di Jerman yang terkenal kerana tiada had laju maksimum di kebanyakan laluan. Namun, masih ada had laju disyorkan (Richtgeschwindigkeit) 130 km/j dikenakan di autobahn Jerman, yang mana anda tidak akan disaman jika memandu melebihi 130 km/j - namun, jika anda terlibat dalam kemalangan semasa menandu pada kelajuan lebih 130 km/j, anda tetap akan disaman kerana meningkatkan bahaya operasi.






Autobahn Jerman (atas) vs lebuh raya ekspres Malaysia (bawah)


Selain itu, "keistimewaan" memandu tanpa had laju maksimum hanya dinikmati pengguna kenderaan ringan iaitu kereta & motosikal. Kenderaan berat pula dikenakan had laju maksimum 80 km/j; bas ekspres yang menerima pensijilan 100 km/j pula dibenarkan memandu sehingga 100 km/j.




Had laju autobahn Jerman mengikut jenis kenderaan


Meskipun dengan ketiadaan had laju maksimum, majoriti kereta & motosikal di lebuh raya Jerman yang tidak dikenakan had laju maksimum hanya memandu lebih laju sedikit sahaja daripada had laju disyorkan yang telah diwartakan. Pejabat Alam Sekitar Persekutuan Jerman melaporkan bahawa pada tahun 1992, kelajuan operasi purata di zon tanpa had laju maksimum cumalah 132 km/j dengan hanya 51% pemandu yang memandu melebihi had laju disyorkan. Pada tahun 2006, pihak berkuasa Jerman menggunakan gelung pengesan kelajuan di dua tempat di Brandenburg, iaitu di Autobahn A9 (6 lorong; di zon had laju disyorkan 130 km/j) dan Autobahn A10 (4 lorong; di zon had laju maksimum 120 km/j). Kajian tersebut mendapati bahawa kelajuan operasi purata kereta di dua lebuh raya tersebut ialah 141.8 km/j di A9 dan 116.5 km/j di A10.




Tidak semua autobahn Jerman yang tiada had laju


Dengan ini, dapatlah disimpulkan bahawa sungguhpun diberi keisitimewaan memandu tanpa had laju maksimum, majoriti pemandu Jerman sekadar memandu lebih laju sedikit sahaja daripada had laju disyorkan. Di kawasan yang ada had laju maksimum pula, lebih kurang 85% pemandu Jerman memandu di bawah had laju maksimum. Ia jelas menunjukkan betapa berdisiplinnya para pemandu Jerman, jauh berbeza berbanding perangai ramai pemandu Malaysia yang memandu jauh melebihi had laju tetapi ada hati hendak berangan-angan mahukan lebuh raya Malaysia tidak dikenakan had laju maksimum seperti Jerman. Jangan haraplah.

Baru-baru ini terdapat satu berita yang pastinya mengecewakan golongan berjiwa kelajuan yang bercita-cita mahu merempit sakan bagaikan pelesit di autobahn Jerman. Kerajaan Jerman bercadang untuk mengenakan had laju maksimum mandatori 130 km/j di kesemua jajaran lebuh raya yang selama ini hanya dikenakan had laju disyorkan 130 km/j. Sebabnya...? Untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau & oksida nitrogen ke tahap paling minimum bagi mengelak daripada dikenakan denda oleh Kesatuan Eropah. Tambahan pula, Jerman bercita-cita mahu menjadi negara pertama yang bakal mengharamkan penggunaan kenderaan berenjin pembakaran dalaman (enjin petrol & diesel) menjelang tahun 2030.

Bagaimana pula pelaksanaan had laju maksimum dapat mengurangkan pelepasan asap pencemar udara...? Logiknya mudah sahaja. Penggunaan bahan api kereta paling jimat pada kelajuan ekonomi maksimum (lebih kurang 80-100 km/j) kerana pada kelajuan ini enjin kereta berputar pada kelajuan yang paling santai pada gear tertinggi. Contohnya, enjin kereta Honda City berputar pada 2,000 rpm sahaja pada kelajuan 100 km/j. Sementara itu, enjin kereta paling kuat makan minyak ketika di dalam bandar, diikuti ketika di lebuh raya. Kereta paling banyak menggunakan bahan api ketika di bandar kerana perlu banyak berhenti & bergerak semula dalam gear rendah. Sementara itu, di lebuh raya ekspres pula, semakin tinggi kelajuan bermakna semakin banyak bahan api yang diperlukan kerana lebih kuasa yang diperlukan untuk menggerakkan kereta. Dengan kata lain, semakin perlahan kelajuan operasi maka semakin kurang gas pencemar yang terhasil.

Bagaimana pula dengan kereta elektrik...? Bukankah kereta elektrik sifar gas pencemar...? Memang benar kereta elektrik langsung tidak menghasilkan sebarang gas pencemar, tetapi proses penjanaan tenaga pula tidak semestinya hijau. Sebahagian daripada elektrik yang dijanakan di Jerman menggunakan sumber tenaga yang tidak hijau seperti arang batu dan nuklear. Justeru, semakin laju kenderaan elektrik dipandu, semakin cepat bateri habis (ataupun, semakin banyak kilowatt jam tenaga bateri digunakan), maka semakin lama masa mengecas bateri yang diperlukan dan semakin banyak bahan api fosil yang perlu dibakar untuk menghasilkan tenaga elektrik.

Bagi golongan berjiwa kelajuan yang kecewa akan pengumuman daripada kerajaan Jerman mengenai cadangan mengenakan had laju maksimum 130 km/j, Jerman bukanlah satu-satunya negara yang (selama ini) tidak mengenakan had laju maksimum di lebuh raya. Sebelum ini, negeri Montana di Amerika Syarikat pernah mengenakan had laju "berpatutan & munasabah" (reasonable & prudent) susulan pemansuhan had laju kebangsaan 55 bsj (90 km/j) oleh Presiden Bill Clinton pada tahun 1996, yang memberi kuasa kepada kerajaan negeri bagi menetapkan had laju maksimum. Namun, susulan perbicaraan mahkamah bagi seorang pesalah trafik di Montana yang disaman kerana memandu laju yang berakhir dengan tewasnya pesalah trafik itu telah membawa kepada pewartaan had laju maksimum 75 bsj (120 km/j) di Montana pada tahun 1999.




Papan tanda peringatan had laju "berpatutan & munasabah" yang mengelirukan di Montana, AS


Sekiranya rang undang-undang pewartaan had laju maksimum autobahn 130 km/j diluluskan di Jerman, satu-satunya negara yang tiada had laju ialah pulau Isle of Man. Namun, saya ingin ingatkan anda bahawa Isle of Man hanya ada jalan raya biasa sahaja & tiada lebuh raya ekspres. Jadi cubalah merempit sakan di Isle of Man jika anda tidak sabar-sabar hendak ke rahmatullah.




Antara kompilasi nahas maut dalam perlumbaan Manx TT Superbike - cubalah merempit sakan di Isle of Man jika mahu cepat ke rahmatullah

Saturday, January 19, 2019

Perodua Aruz vs Proton X70: Cerita dua SUV nasional / The story of two national SUVs

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana mengambil masa terlalu lama untuk menghasilkan entri sulung bagi menyambut Tahun Baru 2019 kerana saya sudah kembali sibuk dengan kerja. Tahun Baru 2019 ini disambut dengan kehadiran bukan satu, tetapi dua model kenderaan utiliti sukan (SUV) nasional, meskipun salah satu daripadanya sebenarnya dilancarkan pada penghujung tahun lalu.

SUV bukanlah genre baharu bagi kereta buatan Malaysia. SUV nasional sulung sudah tentulah tidak lain dan tidak bukan Perodua Kembara. Mula dikeluarkan pada tahun 1998, Perodua Kembara yang dilencanakan semula daripada model generasi pertama Daihatsu Terios laris bagai pisang goreng panas kerana menjadi SUV paling mampu milik pada masa itu. Meskipun sekadar digerakkan oleh enjin HJ-EJ 1.3L 16 injap SOHC yang sekadar mampu menghasilkan kuasa 83 bhp pada 6,100 rpm & tork 105 N-m pada 5,100 rpm, namun Perodua Kembara terbukti gagah meredah hutan & mendaki cerun sehingga securam 25% kerana dilengkapi sistem pacuan empat roda (4WD) sepenuh masa dengan suis pengunci gear kebezaan tengah. Namun, satu-satunya kelemahan Perodua Kembara ialah kuat melahap minyak, dengan kadar penggunaan bahan api terbaik yang pernah saya capai pun sekitar 10-12 km/L. Pada Jun 2003, enjin HC-EJ asal digantikan dengan enjin K3-VE DVVT yang turut menggerakkan Perodua Myvi selama 2 generasi.

Kembara dihentikan pengeluarannya pada tahun 2006 & digantikan dengan Perodua Nautica pada tahun 2008. Ia menampilkan enjin 3SZ-VE DVVT 1.5L yang turut digunakan pada Toyota Avanza, Perodua Alza & Perodua Myvi 1.5. Sayangnya, Nautica bukan sahaja gagal mengulangi kejayaan Kembara, malah ia juga merupakan model keluaran Perodua yang paling gagal dalam sejarah, dengan jumlah jualan tidak sampai 500 unit. Punca utama kegagalan Nautica tidak lain & tidak bukan adalah disebabkan keputusan Perodua untuk mengimportnya terus dari Jepun dengan sekadar menepek logo Perodua sahaja, meyebabkan Nautica dijual dengan harga dua kali ganda Kembara. Disebabkan harga Yahudi yang dikenakan pada sebuah SUV berenjin 1.5L sahaja, Nautica dihentikan pengeluarannya dalam masa tidak sampai setahun. Sejak itu, Perodua ketandusan model SUV selama 10 tahun sehinggalah pengenalan Perodua Aruz pada 15 Januari 2019.

Sepanjang "dekad kosong" tersebut, pasaran SUV lebih banyak diisi model-model lori pikap berenjin diesel seperti Toyota Hilux, memandangkan rata-rata lori pikap yang dijual sekarang dilengkapi sistem pacuan empat roda separuh masa yang menjadikannya sesuai dilenjan ke dalam hutan. Jika ada pun SUV, model-model SUV sekarang adalah daripada jenis crossover dengan kerangka jenis monokok (jenis keluli dicap, sama seperti kereta biasa) dan bukannya jenis kerangka tangga (ladder frame) seperti lori pikap & SUV tradisional. SUV tradisional yang ada dijual di Malaysia sekarang cumalah Mitsubishi Pajero Sport & Land Rover, itu sahaja. Peralihan trend tersebut adalah susulan daripada krisis harga minyak yang membawa kepada runtuhnya pasaran SUV tradisional dan peralihan kepada SUV jenis crossover. Apa tidaknya, SUV crossover dengan kerangka monokok lebih ringan, lebih aerodinamik & lebih jimat minyak berbanding SUV tradisional yang berat dan menggunakan kerangka tangga.

Para pengeluar kereta nasional di Malaysia juga tidak ketinggalan mengikuti peralihan ini semasa mahu memperkenalkan SUV terbaru masing-masing. Proton yang kini 49% dimiliki pengeluar automotif Geely menggunakan model Geely Boyue yang merupakan sebuah SUV crossover sebagai asas untuk SUV sulung mereka. Perodua pula seperti biasa melencanakan semula Daihatsu Terios generasi ketiga sebagai SUV ketiga mereka, tetapi tidak seperti Kembara dan Nautica yang merupakan SUV tradisional dengan kerangka tangga, SUV terbaru Perodua ini pula merupakan sebuah SUV crossover. Nama yang dipilih bagi dua SUV nasional ini ialah Proton X70 dan Perodua Aruz.

Saya meilih untuk meninjau Perodua Aruz terlebih dahulu, memandangkan Aruz memang ada dipamerkan di Perodua Taman Samudera, Batu Caves, tidak jauh dari rumah saya. Perodua Aruz dilancarkan pada 15 Januari 2019 manakala saya pula meninjau Aruz pada 17 Januari. Nama Aruz ini diambil daripada perkatan "arus" sebagai simbolik kepada arus perubahan dinamik Perodua, daripada sekadar pengeluar picisan yang sekadar menyalin model-model kereta kecil Daihatsu kepada pengeluar kereta rakyat yang bukan sahaja merajai pasaran automotif tempatan, tetapi juga mampu merekabentuk kereta sendiri dari mula. Dari segi rupa luaran, ia nampak sama seperti Toyota Rush generasi kedua yang dilancarkan lebih dahulu pada 18 Oktober 2018 - rupa hadapan & belakang sama, kedua-duanya menggunakan enjin 1.5L 2NR-VE Dual VVT-i yang dipadankan dengan transmisi automatik 4 kelajuan, dan kedua-duanya boleh muat 7 tempat duduk. Err...tidakkah Aruz & Rush ini nanti akan saling berbunuhan sesama sendiri...? Untuk pengetahuan, Daihatsu Terios memang berkongsi pelantar dengan Toyota Rush. Ini bermakna, Perodua Nautica kelihatan sama seperti Toyota Rush generasi pertama, cuma bezanya ialah Nautica ada 4WD sepenuh masa & boleh muat 5 orang, manakala Rush generasi pertama boleh muat 7 orang tetapi sekadar menggunakan pacuan roda belakang sahaja. Sementara itu, Perodua Aruz dan Toyota Rush generasi kedua pula 100% sama, Jadi bagaimana hendak membezakan antara kedua-dua model ini...? Jawapannya ialah melalui aksesori dan julat harga. Perodua Aruz dijual dalam julat harga RM72,900 (1.5X) hingga RM77,900 (1.5AV) manakala Toyota Rush dijual pada julat harga RM93,000 hingga RM98,000 dengan lebih banyak kelengkapan canggih.

Bahagian dalaman Aruz ini memang luas. Kerusi baris tengah cukup luas untuk memuatkan 3 orang dewasa biasa. Jika dibandingkan dengan Kembara, kerusi belakang Kembara pula agak sempit. Saya cuba masuk ke kerusi baris belakang Aruz untuk cuba membuat perbandingan dengan Perodua Alza yang juga boleh memuatkan 7 orang. Serius, kerusi baris belakang Aruz memang lebih luas daripada Alza, dengan ruang kaki yang mencukupi. Sementara itu, tombol gearnya pula mengingatkan saya kepada Toyota Avanza mahupun Toyota Vios. Seperti kereta-kereta Perodua yang lain, Aruz ini didatangkan dengan cangkuk beg tangan yang mula diperkenalkan pada Myvi generasi kedua untuk mengelakkan beg tangan daripada diragut. Suis-suis kawalan penyaman udara & butang penghidup tekan didatangkan secara standard.

Perkara yang paling saya kurang gemari mengenai Aruz ini ialah ketiadaan varian pacuan empat roda. Kesemua varian Aruz (dan juga Rush) menggunakan sistem pacuan roda belakang dan bukannya 4WD, walaupun pada varian spesifikasi tertinggi. Tetapi memang ada sebabnya kenapa Aruz menggunakan pacuan roda belakang dan bukannya 4WD seperti pada Kembara & Nautica. Aruz ini dibangunkan sebagai SUV crossover kerana kurangnya permintaan terhadap SUV tradisional yang dikatakan berat, lembab & kuat melahap minyak. Pembeli SUV crossover selalunya membelinya sebagai kereta biasa sahaja tanpa menggunakannya untuk memasuki jalan tanah merah mahupun hutan. Maka, sistem 4WD dianggap satu pembaziran yang sekadar menambah berat, beban enjin dan kos pembuatan. Apalah gunanya sistem 4WD jika ia tidak digunakan. Isu berat & beban enjin merupakan satu faktor utama yang membawa kepada runtuhnya pasaran SUV tradisional, memandangkan kedua-dua isu tersebut membawa kepada masalah penggunaan bahan api yang lahap. Dengan membuang sistem 4WD ini Aruz bukan sahaja tidak selahap Kembara mahupun Nautica, malah Aruz berjaya memperoleh status sebagai SUV subpadat EEV (kenderaan cekap tenaga) dengan penggunaan bahan api lebih kurang 15.5 km/L. Turut menyumbang kepada angka penggunaan bahan api yang cemerlang bagi kategori SUV ini ialah penggunaan sistem henti lahu (idle stop) yang membantu menjimatkan minyak terutamanya di tengah-tengah bandar raya yang sesak.

Sekarang kita pergi kepada reviu Proton X70 pula. Memandangkan dua buah kedai Proton Edar di Taman Samudera & Giant Batu Caves langsung tiada kereta bilik pameran bagi model X70, saya terpaksa ke Proton Edar Jalan Pahang yang ada kereta X70 ini. Seperti yang anda semua sedia maklum, Proton X70 ini merupakan SUV Geely Boyue yang dilencanakan semula hasil daripada pengambilalihan 49% saham Proton oleh Kumpulan Geely dari China yang sebelum ini telah menguasai Volvo. Hasilnya ialah sebuah SUV sulung Proton yang bukan sahaja merupakan kereta tercanggih Proton, tetapi juga merupakan kereta paling mewah Proton dengan harga sekitar Honda Civic "ketam". Empat varian ditawarkan iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD & Premium 2WD, dengan julat harga antara RM99,800 hingga RM123,800. Ada juga yang komplen kononnya X70 ini terlalu mahal bagi sebuah kereta nasional, tetapi buat masa sekarang ini X70 merupakan kereta yang diimport sepenuhnya dari China, yang bermaksud harga yang mahal itu disebabkan oleh cukai import yang dikenakan; pemasangan tempatan hanya akan bermula sekitar separuh tahun kedua 2019 yang pastinya akan menyaksikan penurunan harga yang ketara.

Bagaimana canggihnya kereta X70 itu...? Pertama, X70 ini merupakan kereta Proton pertama yang menggunakan panel meter jenis LCD 7 inci. Kedua, kawalan penyaman udaranya pun jenis panel sentuh LCD. Selain itu X70 dilengkapi brek parkir elektrik, mod Eco & Sport, dan lampu-lampu LED hadapan & belakang (kecuali lampu hadapan halogen pada varian terendah). Tapi ciri X70 yang paling terkenal sudah tentulah unit radio dengan skrin sentuh LCD 8 inci dengan fungsi pengecaman suara, dikuasai sistem operasi Android, digandingkan dengan sistem audio 6-8 pembesar suara Kenwood. X70 ini juga dilengkapi 6 soket USB di mana salah satu daripadanya adalah untuk sambungan ke pemacu kilat USB bagi memainkan lagu-lagu MP3 manakala yang lain hanya untuk mengecas telefon pintar.

Sekarang kita lihat pula enjinnya. Proton X70 ini menggunakan enjin Geely JLE-4G18TDB 1.8L turbo dengan pancitan terus petrol (GDI) yang menghamburkan kuasa 182 bhp pada 5,500 rpm dan tork 285 N-m antara 1,700 hingga 4,400 rpm, dipadankan dengan transmisi automatik 6 kelajuan. Jika anda tertanya-tanya sama ada Proton X70 ini dilengkapi dengan sistem 4WD atau tidak, ya X70 dilengkapi dengan sistem 4WD, tetapi hanya pada varian pertengahan (Executive AWD) sahaja.

Saya suka penutup but yang menggunakan topang gas seperti mana Proton Persona 2007 menggunakan topang gas pada penutup but belakang. Juga, ruangan enjinnya nampak kemas dengan adanya penutup enjin, tetapi penutup enjin ini juga menyukarkan kerja-kerja mengesan kerosakan kerana kabanyakannya sudah terlindung.

Oh, saya hampir terlupa. Meskipun Proton X70 ini besar, tetapi ia cuma boleh memuatkan 5 orang sahaja. Tapi yang bagusnya, ruangan butnya sangat besar & mampu memuatkan sehingga 512L barangan. Jika dibandingkan Arus hanya boleh memuatkan 213L barangan sahaja jika kesemua kerusi dinaikkan, tetapi sekiranya kerusi baris belakang dilipat, maka kemungkinan Aruz boleh mengalahkan X70 dari segi muatan.

Jadi antara Perodua Aruz dengan Proton X70, yang manakah pilihan SUV nasional yang lebih baik...? Jika anda mahukan SUV yang murah & praktikal, maka sudah tentulah Aruz pilihan yang paling sesuai. Tetapi sekiranya anda mahukan SUV nasional yang canggih & mempunyai keupayaan 4WD, maka X70 paling sesuai. Secara jujurnya, perbandingan antara Perodua Aruz & Proton X70 bukanlah satu perbandingan yang adil kerana meskipun kedua-duanya adalah SUV, tetapi masing-masing sebenarnya berada dalam segmen harga yang berbeza. Model pesaing sebenar bagi Perodua Aruz (dan kembarnya Toyota Rush) ialah Honda BR-V, manakala model pesaing sebenar bagi Proton X70 pula ialah Honda CR-V & Mazda CX-3.



Spesifikasi Perodua Aruz 2019

Enjin: 2NR-VE 1,496 cc Dual VVT-i DOHC 16 injap 4 lejang 4 silinder sebaris sejukan cecair
Sesaran: 1,496 cc
Lubang x lejang: 72.5 x 90.6 mm
Nisbah mampatan: 11.5:1
Kuasa kuda: 103 bhp (76 kW) @ 6,000 rpm
Tork: 136 N-m @ 4,200 rpm
Transmisi: Automatik 4 kelajuan
Sistem pacuan: Pacuan roda belakang
Jarak roda: 2,685 mm
Berat kering: 1,300-1,310 kg
Muatan tangki bahan api: 45 liter

Apa yang saya suka
  1. SUV nasional paling murah dalam pasaran sekarang
  2. Luas & boleh muat 7 orang
  3. SUV EEV paling jimat minyak dalam kelasnya (15.5 km/L)
Apa yang saya tidak suka
  1. Tiada varian 4WD
  2. Sukar dibezakan dengan Toyota Rush


Spesifikasi Proton X70 2019

Enjin: Geely JLE-4G18TDB 1,799 cc GDI turbo DOHC 16 injap 4 lejang 4 silinder sebaris sejukan cecair
Sesaran: 1,799 cc
Lubang x lejang: n/a
Nisbah mampatan: n/a
Kuasa kuda: 184 bhp (135 kW) @ 5,500 rpm
Tork: 285 N-m @ 1,700-4,400 rpm
Transmisi: Automatik 6 kelajuan
Sistem pacuan: Pacuan 4 roda (Executive AWD); Pacuan roda hadapan (varian lain)
Jarak roda: 2,670 mm
Berat kering: 1,660-1,725 kg
Muatan tangki bahan api: 60 liter

Apa yang saya suka
  1. SUV sulung Proton yang juga merupakan model tercanggih Proton buat masa sekarang
  2. Ada varian 4WD
  3. Ciri-ciri SUV lebih mewah daripada Honda CR-V pada harga Honda Civic FC
Apa yang saya tidak suka
  1. Kos servis berkala yang lebih mahal daripada Honda CR-V
  2. Amat sukar mencari bilik pameran Proton yang siap sedia ada unit pandu uji






Pandangan hadapan Perodua Aruz dengan lampu dihidupkan






Bahagian belakang Aruz dengan lampu dihidupkan






Lampu isyarat membelok sisi






Paparan meter Aruz sebelum lampu dihidupkan...






...dan selepas enjin dihidupkan






Perodua Aruz menggunakan enjin 2NR-VE 1.5L Dual VVT-i...






...yang digandingkan dengan transmisi automatik 4 kelajuan






Unit audio skrin sentuh Aruz ini merupakan komponen standard bagi semua varian






Suis-suis kawalan penyaman udara digital






Butang penghidup sentuh adalah standard bagi kesemua varian Aruz






Cangkuk beg tangan yang kini dijadikan ciri standard bagi kesemua kereta Perodua






Suis-suis tingkap kuasa dan suis kawalan cermin sisi yang sangat comel






Bahagian but belakang dengan salah satu kerusi baris belakang dilipat






Untuk melipat kerusi baris tengah untuk masuk ke baris belakang, tarik tuas ini ke hadapan,...






...dan kerusi akan terlipat dengan pantas






Tidak seperti Alza, kerusi baris belakang cukup luas dengan ruang kaki mencukupi untuk penumpang yang tinggi lampai seperti saya






Pandangan hadapan Proton X70






Pandangan sisi X70






Sempat pula budak ini menyorok






Pandangan belakang X70






Ruang but belakang X70 ini sangat besar, memandangkan X70 ini mengangkut 5 orang sahaja






Tombol gear automatik 6 kelajuan berserta panel kawalan penyaman udara digital, suis-suis mod pemanduan & brek parkir elektrik






Unit audio skrin sentuh yang digunakan oleh X70 ini sangat canggih dengan fungsi pengecaman suara, tetapi saya kurang berkenan akan peta yang digunakannya kerana tiada kod laluan






Stereng X70 ini merupakan stereng Proton dengan paling banyak butang-butang kawalan






Suis-suis tingkap kuasa






Salur udara penyaman udara untuk penumpang belakang






Enjin Geely 1.8L GDI turbo yang dikelilingi penutup ruang enjin yang menjadikannya sangat kemas






Penutup but hadapan ini menggunakan topang gas - sama seperti penutup but belakang Proton Persona 2007!