Saturday, February 25, 2012

Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 dan Lebuhraya Teluk Kemang FT219 / Seremban-Port Dickson Expressway E29 and Teluk Kemang Highway FT219

Salam sejahtera,

Dalam reviu jalan raya yang lalu, saya pernah menyebut tentang rasional mengapa Lebuhraya Segamat-Muar dibina sebagai naik taraf Jalan Persekutuan 23 dan bukan laluan lebuh raya ekspres bertol baharu. Alasan yang digunakan ialah kerana adalah lebih ekonomik menaik taraf laluan sedia ada berbanding membina laluan lebuh raya baharu. Namun, rasional sebenar yang lebih munasabah adalah kerana tidak mahu laluan lebuh raya tol yang bakal dibina nanti gagal mencapai unjuran trafik sasaran, yang seterusnya menyebabkan syarikat konsesi menanggung kerugian dan gagal membayar balik pinjaman bank yang digunakan untuk membiayai kos pembinaan.

Kisah yang berlaku pada Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 patut dijadikan pengajaran kerana ia adalah satu contoh lebuh raya ekspres yang gagal mencapai unjuran trafik sasaran walaupun ia diuruskan sendiri oleh Plus Expressways Berhad selaku syarikat konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia. Kenaikan tol lebuh raya berkenaan yang tinggi juga seakan tidak mampu untuk menampung kos operasi lebuh raya berkenaan.

Sejarah pembinaan lebuh raya ini bermula apabila kerajaan bercadang untuk menambah baik laluan dari Seremban ke Port Dickson berikutan Jalan Persekutuan 53 sedia ada adalah berbengkang-bengkok serta banyak selekoh tajam. Oleh itu, kerajaan mengambil keputusan untuk membina satu lebuh raya khas dari Seremban ke Port Dickson. Pembinaan dimulakan pada tahun 1994 oleh syarikat konsesi asal iaitu Seremban-Port Dickson Highway Sdn. Bhd., anak syarikat Melewar Corporation milik kerajaan Negeri Sembilan dan mula dibuka kepada umum pada tahun 1997. Namun, lebuh raya tersebut gagal mencapai unjuran trafik sasaran. Akibatnya, Plus Expressways Berhad mengambil alih SPDH dan meletakkan Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 terus di bawah penyelenggaraan Plus Expressways Berhad.

Reviu lebuh raya kali ini dilakukan dalam cuaca buruk buat pertama kalinya dalam sejarah Blog Jalan Raya Malaysia. Dari Lebuhraya Utara-Selatan E2, saya keluar melalui Exit 219 Persimpangan Port Dickson, dan saya perlu melalui Jalan Rasah FT53 yang seterusnya berubah menjadi Lebuhraya Seremban-Port Dickson selepas Exit 2901 Persimpangan Mambau. Cuaca kemudian bertukar menjadi hujan semasa berada di lebuh raya tersebut dan hanya teduh setelah menghampiri penamat lebuh raya di persimpangan lampu isyarat di Kampung Baru Si Rusa, di mana Lebuhraya Seremban-Port Dickson kemudian bertukar sebagai sebatang lebuh raya kembar pendek sepanjang 3.71 km yang dikenali sebagai Lebuhraya Teluk Kemang FT219 sehinggalah ke penamatnya di Bulatan Teluk Kemang yang menghubungkannya dengan Jalan Persekutuan 5. Dari Teluk Kemang, saya berpatah balik semula ke Seremban untuk mengambil gambar.

Kilometer sifar lebuh raya E29 ditulis sebagai Kilometer 7, dikira dari Pejabat Pos Seremban. Sepanjang 7 km pertama, pemandu perlu melalui Jalan Rasah FT53 yang kini sedang dalam proses naik taraf bagi bahagian dari permulaan laluan di Seremban ke stesen minyak Mobil Rasah. Bahagian dari stesen minyak Mobil Rasah ke Exit 219 Persimpangan Port Dickson sudah lama dinaik taraf sebagai pelengkap projek Jalan Lingkaran Dalam Seremban yang masih dalam pembinaan. Sementara itu, jajaran Jalan Rasah FT53 dari Exit 219 ke Persimpangan Mambau pula sudah lama dinaik taraf bagi melengkapkan projek Lebuhraya Seremban-Port Dickson sehinggalah laluan FT53 dilencongkan ke pekan Mambau di Exit 2901 Persimpangan Mambau.

Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 hanya mempunyai dua plaza tol, iaitu Plaza Tol Mambau yang terletak selepas Exit 2901, dan Plaza Tol Lukut di Exit 2902 Persimpangan Lukut (tidak merentangi lebuh raya). Ia juga hanya mempunyai dua persimpangan bertingkat, satu jalan susur keluar ke Bandar Springhill, sepasang kawasan rehat dan rawat di Kilometer 13 serta satu persimpangan searas di Kampung Baru Si Rusa yang juga menjadi penamat lebuh raya ini sebelum ia bertukar sebagai Lebuhraya Teluk Kemang FT219. Jalan susur keluar ke Bandar Springhill kini sedang dinaik taraf untuk menjadi satu persimpangan bertingkat penuh.

Lebuh raya ini menggunakan sistem tol terbuka serta direka supaya pengguna lebuh raya perlu membayar tol sebanyak sekali sahaja, sama ada di Plaza Tol Mambau (Seremban-Lukut dan Seremban-Port Dickson) atau di Plaza Tol Lukut (Lukut-Port Dickson). Exit 2902 Persimpangan Mambau menghubungkan kembali Jalan Persekutuan 53 dengan lebuh raya ini.

Secara relatifnya, sebenarnya adalah lebih dekat jika pengguna lebuh raya dari arah Seremban keluar melalui Exit 219 Persimpangan Lukut dan terus melalui Jalan Seremban-Port Dickson FT53 sehingga ke Lukut (bertemu dengan Jalan Persekutuan 5) dan seterusnya Port Dickson, manakala laluan terus lebuh raya sehingga ke penghujung lebih sesuai untuk pengguna yang mahu ke Teluk Kemang.

Saya sempat berhenti sebentar di Kawasan Rehat dan Rawat Mambau di Kilometer 13, dan keadaannya sungguh menyedihkan, jauh berbeza berbanding mana-mana kawasan rehat lain di lebuh raya lain kendalian Plus Expressways Berhad. Hentian rehat arah Seremban hanya mempunyai dua kedai yang beroperasi. Hentian rehat arah Port Dickson pula lebih teruk; langsung tiada lot kedai yang dibuka. Kedua-dua hentian rehat juga tiada stesen minyak, satu lagi faktor mengapa Kawasan Rehat dan Rawat Mambau seakan hidup segan mati tak mahu. Ironinya, semua hentian rehat lain kendalian Plus Expressways Berhad sentiasa dibanjiri kenderaan sehinggakan petak parkir ada kalanya tidak mencukupi.

Lebuhraya Seremban-Port Dickson tamat di persimpangan searas Kampung Baru Si Rusa di Kilometer 29, di mana ia seterusnya bertukar kepada Lebuhraya Teluk Kemang FT219. Simpang Kampung Baru Si Rusa menghubungkan E29 dengan Jalan Negeri Sembilan N8. Lebuh raya yang asalnya mempunyai had laju 110 km/j diturunkan kepada 80 km/j semasa menghampiri persimpangan searas tersebut, sebelum dinaikkan kembali menjadi 90 km/j di lebuh raya FT219.

Secara amnya, Lebuhraya Seremban-Port Dickson mempunyai kadar aliran trafik yang begitu rendah kerana ia sekadar alternatif ke Port Dickson sebagai satu-satunya destinasi utama. Mengapa kadar trafik di E29 begitu rendah sehinggakan kadar tol yang dinaikkan sebegitu tinggi pun tidak berupaya untuk membiayai kos operasi? Saya rumuskan beberapa sebab utama setelah melakukan tinjauan di E29:-

  1. Kurang papan tanda serta kurang promosi. Di Seremban sendiri langsung tiada papan tanda yang menunjukkan arah masuk ke E29, sebaliknya hanya sekadar menunjukkan jalan lama FT53. Begitu juga di Lebuhraya Utara-Selatan E2 sendiri, langsung tiada kod laluan Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29. Selain itu, Plus Expressways Berhad tidak membuat promosi pelancongan di Port Dickson secara agresif.
  2. Keadaan hentian rehat yang sunyi serta tiada stesen minyak. Hanya dua lot kedai makan beroperasi di hentian rehat arah Seremban. Arah Port Dickson lebih teruk; tiada lot kedai makan yang dibuka.
  3. Satu-satunya destinasi utama E29 ialah Port Dickson. Kebanyakan pengguna hanya berkemungkinan lalu di situ semasa hendak bercuti di Port Dickson sahaja, dan bukan sebagai laluan harian.


Kesimpulannya, Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 gagal menjana pendapatan mencukupi berikutan kadar aliran trafik yang begitu rendah. Akibat daripada kegagalan tersebut, kerajaan terpaksa berfikir dua kali sebelum meluluskan mana-mana projek lebuh raya baharu kerana tidak mahu syarikat konsesi gulung tikar kerana gagal menjana keuntungan bagi membolehkannya membayar kembali pinjaman bank. Akibatnya, naik taraf jalan raya sedia ada kepada lebuh raya kembar kini lebih diutamakan; dalam kes Lebuhraya Senai-Desaru E22 pula, jajaran Cahaya Baru-Bandar Penawar dibina sebagai lebuh raya tunggal dua lorong sahaja berikutan bancian trafik Jalan Persekutuan 92 yang begitu rendah. Oleh itu, saya menyeru agar Plus Expressways Berhad mempromosikan lebuh raya ini serta Port Dickson sebagai destinasi pelancongan utama agar lebuh raya ini dapat terus hidup.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E29
Panjang: 23 km
Arah laluan: Timur laut-barat daya (Seremban-Port Dickson)
Bilangan lorong: 4
Senarai persimpangan: Klik sini
Laman web: http://www.plus.com.my



Untuk galeri penuh, sila klik sini.






Permulaan Lebuhraya Teluk Kemang FT219 di Bulatan Teluk Kemang






Penamat Lebuhraya Teluk Kemang FT219 dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 di Kampung baru Si Rusa






Masih ada 29 km ke Seremban






Exit 2902 Persimpangan Lukut






Kawasan Rehat dan Rawat Mambau (arah Seremban) yang nampak sepi






Hentian rehat arah Port Dickson langsung tidak berpenghuni dan begitu menyedihkan






Plaza Tol Mambau






Lebuh raya tamat di Kilometer 7






Exit 2901 Persimpangan Mambau

Friday, February 24, 2012

Jalan Muar-Segamat FT23

Salam sejahtera kepada semua pembaca,

Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana sudah lama tidak membuat reviu jalan untuk Blog Jalan Raya Malaysia disebabkan kesibukan kerja serta kesuntukan masa. Setelah bebanan kerja kini berkurangan, maka kali ini dapatlah saya bawakan reviu jalan raya khas dari kampung halaman saya sendiri di Segamat, Johor. Jalan raya yang saya ingin ulas kali ini ialah Jalan Segamat-Muar FT23.

Sebenarnya, sejarah pengangkutan dari Muar ke Segamat adalah sangat panjang iaitu sejak ia mula diteroka oleh Bendahara Tepok pada tahun 1511. Pada masa itu, Bendahara dan para pengikutnya melarikan diri setelah Melaka berjaya ditawan oleh Portugis. Bendahara memilih untuk menggunakan jalan sungai iaitu Sungai Muar dan mudik ke hulu sehinggalah tiba di satu lubuk yang kini dikenali sebagai Lubok Batu. Di lubuk tersebut, Bendahara mengambil keputusan untuk bersiram. Bendahara Tepok mendapati air sungai tersebut sangat menyegarkan lantas berkata, "Segar amat tubuhku ini!", dan dari situlah Segamat mendapat namanya.

Setelah peristiwa tersebut, Bendahara Tepok dan para pengikutnya mengambil keputusan untuk membuka satu penempatan di situ dan dinamakan sebagai Rantau Panjang. Rantau Panjang hanya dinamakan semula sebagai bandar Segamat oleh penjajah British pada awal abad ke-20.

Asalnya, jalan utama dari Muar ke Segamat adalah melalui Sungai Muar sehingga ke kuala Sungai Segamat di Kampung Tebing Tinggi sebelum mudik ke hulu sehingga ke jeti Pengkalan Esah di Rantau Panjang (kini membentuk tapak Jambatan Kedua Segamat). Lama kemudian, Rantau Panjang menerima pembangunan pesat termasuklah pembinaan landasan kereta api dan jalan raya iaitu Jalan Persekutuan 1 dan Jalan Persekutuan 23. Pembinaan landasan kereta api dan jalan raya telah menamatkan sistem pengangkutan sungai di Segamat.

Jalan Persekutuan 23 (juga dikenali sebagai Jalan Muar-Segamat) adalah sepanjang 76 km bermula dari Persimpangan Bertingkat Parit Bunga, Muar sehingga ke Persimpangan Permaisuri di Segamat. Jalan ini menghubungkan antara Muar dan Segamat serta pekan-pekan di sepanjang laluannya iaitu Jementah, Kebun Baru, Sagil, Tangkak dan Sungai Mati.

Persimpangan Permaisuri mendapat namanya kerana gelaran Muar sebagai Bandar Maharani. Ia dibina di sepanjang utara Sungai Muar sehingga ke Kampung Batu 7 di mana sebuah jambatan dibina menyeberangi Sungai Muar untuk ke Segamat. Sebenarnya, ada lagi jalan raya yang dibina selari dengan jalan FT23 iaitu Jalan Muar-Labis J32 sepanjang 87 km, yang merupakan jalan raya negeri terpanjang di Johor.

Menurut ayah saya, jalan FT23 telah dinaik taraf sebanyak beberapa kali terutamanya di sebelah daerah Segamat, yang melibatkan pemotongan beberapa jajaran berselekoh tajam di Kampung Lubok Batu, Kampung Batang Lesong, Kampung Batu 7 dan Kampung Limau Purut. Laluan yang pada asalnya jalan tanah dinaik taraf menjadi jalan berturap, dan seterusnya dinaik taraf lagi menjadi jalan raya dua lorong dengan piawaian geometri minima JKR R4, dengan had laju reka bentuk 90 km/j dan lebar lorong 3.25 m. Dalam beberapa selekoh yang dipotong itu hanya jajaran Kampung Batu 7 sahaja yang masih digunakan, sebagai jalan masuk ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor dan sebagai sebahagian Jalan Negeri Johor J43. Namun demikian, Jalan Persekutuan 23 sangat terkenal sebagai jalan raya maut yang mempunyai banyak selekoh tajam terutamanya di jajaran Jementah-Sagil sejauh hampir 18 km.

Berikutan reputasi jalan FT23 yang terkenal sebagai salah satu laluan maut di negeri Johor, penduduk di sepanjang laluan seperti Segamat, Jementah, Tangkak dan Muar memohon kepada kerajaan untuk menaik taraf laluan ini sejak awal 1980an lagi. Kerajaan pernah meluluskan rancangan membina satu lebuh raya Segamat-Muar sebagai alternatif kepada jalan FT23 yang berbengkang-bengkok pada tahun 1996, bersama-sama dengan rancangan membina Lebuhraya Damansara-Puchong E11. Namun, janji hanya tinggal janji dan tidak direalisasikan.

Hanya pada November 2011 barulah kerajaan mengumumkan akan memulakan pembinaannya, tetapi bukan sebagai sebuah lebuh raya ekspres baharu, cuma sekadar naik taraf Jalan Persekutuan 23 kepada lebuh raya kembar empat lorong dengan gaya serupa seperti Lebuh AMJ di Melaka. Alasannya ialah adalah lebih ekonomik jika menaik taraf laluan sedia ada berbanding membina laluan lebih raya baharu, mungkin hasil daripada kegagalan Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 mencapai unjuran trafik sasaran walaupun ia diuruskan sendiri oleh Plus Expressways Berhad yang merupakan syarikat konsesi lebuh raya ekspres terbesar di Malaysia.

Fasa pertama pembinaannya adalah dari Segamat ke Kampung Batu 7. Sebelum keseluruhan lanskap berubah sepenuhnya setelah projek Lebuhraya Segamat-Muar siap kelak pada November 2013, saya mengambil keputusan untuk meneroka sepanjang laluan ini dari Segamat sehingga ke Exit 235 Persimpangan Tangkak di Lebuhraya Utara-Selatan E2.

Perjalanan bermula dari Segamat melalui Persimpangan Permaisuri yang menghubungkannya dengan Jalan Genuang / Jalan Ibrahim FT1, terletak betul-betul sebelum Jambatan Segamat. Tidak jauh dari situ terletak satu lintasan kereta api yang mempunyai satu laluan pintas untuk kenderaan ringan ketika pintu pagar landasan diturunkan. Lanskap di situ juga bakal berubah sebaik projek landasan berkembar Gemas-Johor Bahru dimulakan kelak.

2 km dari pusat bandar terletak Kampung Lubok Batu, yang menempatkan makan pengasas Segamat iaitu Bendahara Tepok. Ia juga menjadi titik permulaan projek Lebuhraya Segamat-Muar Pakej 1. Sepanjang jajaran Kampung Lubok Batu-Kampung Batu 7, sudah banyak rumah yang dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek berkenaan. Malah, asas bagi jambatan kedua Sungai Muar sudah mula disediakan bagi laluan arah Muar kelak.

Satu-satunya jajaran alternatif yang ada adalah di Kampung Batu 7, yang bertindak sebagai jalan masuk ke UiTM Johor dan Jalan Negeri Johor J43 ke pekan Batu Anam. Pakej 1 bagi lebuh raya baharu itu tamat di sini.

Seterusnya, saya melintasi beberapa kampung di sekitar Jementah yang dikatakan diasaskan oleh anggota-anggota tentera kerajaan dan penentang semasa Perang Jementah pada tahun 1879. Perang saudara terpenting dalam sejarah Johor moden ini melibatkan anggota tentera kerajaan di bawah Maharaja Abu Bakar serta anggota tentera penentang pimpinan Tengku Alam yang tidak berpuas hati apabila wilayah Muar diberikan kepada Maharaja Abu Bakar sebagai pemerintah Johor yang sah. Hasil kemenangan dalam peperangan inilah yang menyaksikan pembukaan bandar Muar yang digelar Bandar Maharani.

Sebaik sahaja melepasi Kampung Paya Jakas di Jementah, maka bermulalah jajaran maut bagi jalan FT23 ini. Selekoh-selekoh menjadi semakin tajam di sekitar pekan Kebun Baru, dan saya sempat menyaksikan seorang penunggang motosikal terbabas di selekoh paling tajam di situ yang terbujur kaku, mungkin sudah terkorban akibat kemalangan tersebut. Sebab itulah pembinaan Lebuhraya Muar-Segamat patut disegerakan supaya kejadian seperti ini tidak lagi berulang; tambahan pula, laluan ini adalah laluan penting antara bandar-bandar utama di barat daya seperti Muar, Batu Pahat dan Melaka dengan negeri-negeri pantai timur melalui Lebuhraya Segamat-Kuantan FT12.

Hanya setelah melepasi pekan Sagil barulah laluan menjadi kurang berselekoh; kalau ada pun tidak begitu tajam. Pekan Sagil adalah pekan di kaki Gunung Ledang yang menjadi persinggahan pencinta alam yang gemarkan aktiviti berkhemah di sana.

Tidak lama kemudian saya tiba di bandar Tangkak, yang terkenal sebagai bandar tekstil Johor serta menjadi ibu daerah Ledang setelah daerah baharu tersebut diwujudkan pada tahun 2008. Bandar Tangkak ternyata sibuk dengan kenderaan yang lalu-lalang, berikutan jalan FT23 yang hanya selebar dua lorong sahaja. Persimpangan tersibuk di Tangkak terletak betul-betul dekat balai polis Tangkak, yang menghubungkan Jalan Negeri Johor J21 ke Jasin, Melaka. Lebih kurang 3 km dari pusat bandar terletak Exit 235 Persimpangan Tangkak untuk ke Lebuhraya Utara-Selatan E2. Saya terus ke E2 untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Bagaimana pula dengan keadaan jalan FT23 selepas Persimpangan Tangkak? Laluan tersebut sebenarnya sudah pun saya lalui beberapa kali sebelum ini. Jajaran dari Tangkak sehingga Bukit Kangkar agak berselekoh tetapi ia lebar dan mempunyai lorong memotong dan seterusnya menjadi lurus dan rata sehingga ke pekan Sungai Mati. Di Sungai Mati, lalu lintas arah Muar dilencongkan ke satu persimpangan lampu isyarat untuk ke Jalan Bukit Gambir J33. Jajaran selebihnya adalah sangat lurus dan rata sehinggalah ia berubah menjadi jalan raya kembar di pusingan U Parit Bunga. Jalan Persekutuan 23 tamat di Persimpangan Bertingkat Parit Bunga yang menghubungkannya dengan Lebuh AMJ FT5, Jalan Pintasan Muar FT5 dan Jalan Kesang FT5 ke bandar Muar.

Bagaimana agaknya rupa Lebuhraya Muar-Segamat FT23 setelah ia siap kelak? Nantikanlah pembukaannya pada November 2013!

Untuk galeri penuh, sila klik sini.






Jalan Persekutuan 23 bermula di Persimpangan Permaisuri, Segamat






Lintasan kereta api di Segamat






Pengasas Segamat, Bendahara Tepok dimakamkan di Kampung Lubok Batu, Segamat






Pekan Jementah






Jajaran maut bermula di sini






Tangkak, bandar tekstil Johor






Exit 235 Persimpangan Tangkak ke Lebuhraya Utara-Selatan E2