Friday, August 28, 2015

Perihal jalan pintasan dan laluan alternatif / All about bypass roads and alternate routes



Perbandingan antara laluan utama, jalan pintasan, laluan alternatif dan laluan lori




Jalan Pintasan Kajang


Salam sejahtera,

Siang tadi, admin Aiman Ab. Majid ada berkongsi gambar-gambar projek pembinaan Jalan Pintasan Rawang di laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia, yang mana gambar tersebut telah menarik minat lebih 22,000 orang pembaca (setakat pukul 11.00 pm, 27 Ogos 2015). Apa tidaknya, projek Jalan Pintasan Rawang ini menarik minat pembaca kerana ia merupakan satu mahakarya kejuruteraan jalan raya yang menyelusuri hutan hujan tropika di pinggir ibu kota dengan kualiti kejuruteraan setanding lebuh raya ekspres - dan yang paling penting, ia projek jalan persekutuan percuma...!!! Namun, sebelum saya menceritakan dengan lebih lanjut mengenai Jalan Pintasan Rawang ini, izinkan saya menerangkan dengan lebih lanjut mengenai jalan pintasan secara sepintas lalu.




Peta Jalan Pintasan Kota Tinggi FT3 (ditanda dengan warna biru) berbanding laluan asal FT3


Jalan pintasan dibina bagi memintas kawasan tepu bina di kawasan bandar atau kampung bagi menambah baik aliran trafik tanpa gangguan aliran trafik tempatan yang mendominasi kawasan pusat bandar, dan seterusnya mengurangkan kesesakan jalan raya dan menambah baik tahap keselamatan jalan raya. Namun, jika dasar kawalan penggunaan tanah sangat lemah, maka akan banyak bangunan akan dibina di sepanjang jalan pintasan, sekaligus menjadikan tahap kesesakan sama sahaja seperti jalan yang hendak dielakkannya. Satu contoh mudah ialah Jalan Pintasan Kajang yang bertujuan untuk memintas kesesakan di sepanjang Jalan Semenyih FT1, tetapi pembangunan pesat kawasan perumahan di sepanjang laluannya menjadikan Jalan Pintasan Kajang semakin hampir sesak seperti Jalan Semenyih FT1 yang cuba dielakkannya.




Jalan Pintasan Lenga J32 ini boleh juga dianggap sebagai laluan lori kerana ia dibina bagi membolehkan kenderaan berat melalui Jalan Muar-Labis J32 tanpa tersangkut di Lenga


Laluan lori merupakan sejenis jalan pintasan khas yang dibina khas untuk kenderaan berat. Ia biasanya mengelak kawasan banjaran gunung; tetapi sekiranya ia tetap melalui banjaran gunung, ia dibina dengan kecerunan yang lebih landai (sekitar 3%) untuk mengelakkan enjin lori daripada mengalami masalah panas lampau akibat terlalu terseksa semasa mendaki bukit. Namun, ada juga laluan lori yang dibina di kawasan tanah rendah, misalnya Jalan Pintasan Lenga J32 juga boleh dianggap sebagai laluan lori kerana ia dibina bagi mengatasi masalah kenderaan berat tersangkut di simpang 90 darjah pekan Lenga yang begitu sempit.







Jalan Bukit Putus tidak lagi menjadi laluan alternatif bagi Jalan Seremban-Kuala Pilah FT51 setelah jajaran penggantinya (gambar atas) diwartakan sebagai FT51 dan jajaran lama (gambar bawah) pula diwartakan semula dengan kod laluan FT361




Sementara itu pula, laluan alternatif / ulangan merupakan laluan selari dengan laluan utama serta mempunyai kod laluan yang sama seperti laluan utama. Biasanya, ia berlaku hasil pembinaan jalan pintasan sebagai laluan baharu tetapi kedua-dua laluan tetap diwartakan dengan kod laluan yang sama. Contoh mudah bagi kes laluan alternatif ialah jajaran Jalan Persekutuan 3 ketika melalui bandar Kota Tinggi - laluan asal melalui kawasan pusat bandar Kota Tinggi terdiri daripada Jalan Johor FT3 dan Jalan Tun Sri Lanang FT3 / Jalan Mawai FT3, tetapi masalah kesesakan yang berpunca daripada simpang Jalan Tun Sri Lanang FT3 telah menyebabkan Jabatan Kerja Raya (JKR) membina Jalan Pintasan Kota Tinggi FT3 yang turut menampilkan Jambatan Kedua Sungai Johor FT3. Sesebuah jalan pintasan tidak lagi dianggap sebagai laluan alternatif sekiranya ia diwartakan semula dengan kod laluan lain, contohnya Jalan Bukit Putus yang asalnya diwartakan sebagai FT51 tetapi kini diwartakan semula sebagai FT361.

Begitulah serba sedikit mengenai jalan pintasan dan laluan alternatif. Kali ini, saya bawakan kisah Jalan Pintasan Rawang seperti yang telah saya janjikan tadi. Projek Jalan Pintasan Rawang sebenarnya berakar umbi daripada projek Lebuhraya Kuala Lumpur Arah Serendah (LeKLAS) yang sepatutnya dibina sebagai projek lebuh raya ekspres yang diswastakan. Konsesi bagi LeKLAS ini diberikan kepada LeKLAS Sdn. Bhd. (yang terdiri daripada MGIC Berhad, Ribuan Kerjaya Sdn. Bhd., Gabungan Delima Sdn. Bhd. dan Disitu Holding Sdn. Bhd.) pada 20 Jun 1998. Namun, seperti kebanyakan projek lebuh raya ekspres yang sudah ditandatangani perjanjian konsesi pada masa itu (kecuali Lebuhraya Guthrie E35 dan Lebuhraya Senai-Desaru E22) yang dibatalkan sama sekali ataupun dihidupkan semula sama ada melalui pengambilalihan oleh syarikat konsesi lain ataupun dijadikan sekadar naik taraf jalan persekutuan sedia ada, projek LeKLAS turuf menerima nasib yang sama setelah kontraktor asal menarik diri akibat kesan kegawatan ekonomi 1997. Hasilnya, projek LeKLAS kini dihidupkan semula sebagai projek naik taraf Lebuhraya Rawang FT1 sedia ada kepada lebuh raya kembar 4 lorong dan diikuti dengan projek Jalan Pintasan Rawang.




Jajaran Jalan Persekutuan 1 di bandar Rawang yang sesak


Projek Jalan Pintasan Rawang ini dibina bagi menyelesaikan masalah kesesakan yang begitu parah di sepanjang Jalan Persekutuan 1 yang melalui pusat bandar Rawang. Semasa melalui pusat bandar Rawang, reka letak jalan di pusat bandar terdiri daripada jalan-jalan dua lorong biasa yang dijadikan sebagai jalan sehala, tetapi itu pun masih tidak cukup bagi menangani masalah kesesakan teruk di situ. Cubaan pertama untuk mengalihkan laluan FT1 di pusat bandar Rawang dilakukan melalui pembinaan sebatang jalan merentasi Rawang Perdana dan berakhir di sebuah persimpangan bertingkat di Lebuhraya Rawang FT1, tetapi hanya tanjakan arah utara sahaja yang dibuka kepada lalu lintas. Tanjakan arah selatan pula tidak dibuka kerana isu tanah kawasan Masjid Jamek Nurul Iman yang masih tidak diselesaikan. Saya tidak pasti sama ada tanjakan arah selatan yang dikatakan telah memakan sebahagian tanah masjid berkenaan sudah diselesaikan atau belum, harap orang-orang Rawang dapat memaklumkan kepada saya. Justeru, Jalan Pintasan Rawang dibina bagi memintas keseluruhan kawasan bandar Rawang.




Jalan Pintasan Rawang yang sedang dalam pembinaan


Jajaran Jalan Pintasan Rawang bermula dari sebuah persimpangan trompet di bahagian utara Sungai Choh yang dihubungkan dengan Jalan Persekutuan 1. Ia dibina sebagai lebuh raya kembar. Terdapat satu jajaran hala berasingan sebelum ia bercantum kembali. Seterusnya ia melalui kawasan Rawang Putra dan seterusnya menghampiri kawasan Taman Rimba Templer. Itulah sebabnya kenapa ia mengambil masa begitu lama untuk disiapkan, kerana jajaran terakhir ini melalui Taman Rimba Templer yang sudah tentu akan mencetuskan bantahan terutamanya dari kalangan pencinta alam sekitar. Sebagai penyelesaian, jajaran terakhir ini melalui kawasan sempadan hutan simpan Taman Rimba Templer dan dibina sebagai jejambat yang panjang bagi meminimakan penebangan pokok dan penarahan bukit.

Jalan Pintasan Rawang ini merupakan projek jalan pertama yang menggunakan teknologi Sistem Abah-abah Boleh Gerak (Movable Scaffolding System) bagi pemasangan segmen-segmen galang kotak yang digunakan bagi pembinaan jejambat. Ketinggian setiap tiang adalah berbeza-beza antara 10 m sehingga 54.9 m. Kontraktor yang bertanggungjawab menyiapkan jajaran terakhir ini ialah Hasrat Sedaya Sdn. Bhd.

(Kemaskini: Dato' Ir. Dr. Hasnul bin Mohamad Salleh dalam ada menceritakan butiran lanjut mengenai projek Jalan Pintasan Rawang dalam tweet beliau. Menurut beliau, projek tersebut terbahagi kepada dua bahagian - bahagian pertama dikendalikan oleh kerajaan negeri Selangor dan pemaju di bandar Rawang, manakala bahagian kedua pula dikendalikan sendiri oleh Cawangan Jalan, Jabatan Kerja Raya. Menurut beliau, tahap kemajuan projek kini sudah mencecah 90%, jadi kita boleh menganggarkan projek akan siap pada April 2017. Terima kasih kepada Dato' Ir. Dr. Hasnul atas butiran yang diberikan.)

Wednesday, August 26, 2015

Yamaha Y15ZR vs Suzuki Belang R150: Apabila dua raja bertempur... / When the two kings clash...



Suzuki Belang R150




Yamaha Y15ZR (kredit kepada: Arena Motor)
Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana tidak begitu kerap mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia. Selain kesibukan kerja sejak akhir-akhir ini, saya tidak dapat mengemaskini blog ini dengan kerap kerana komputer saya mengalami masalah pemproses panas lampau, yang memerlukan saya menukar kepada pemproses baru. Entri ini ditulis menggunakan komputer riba adik perempuan saya yang meminta saya memformatnya untuk dipasang dengan sistem operasi Windows 10, jadi harap-harap saya dapat membeli pemproses baru sebelum saya memulangkan komputer riba ini kepada adik saya.

Anda masih ingat lagi siri reviu XPDC Teganu Kita pada Februari 2015...? Reviu itu dihasilkan dengan menggunakan motosikal Suzuki Belang R150 milik bekas rakan serumah saya. Seperti yang anda semua sedia maklum, Suzuki Belang R150 merupakan motosikal kapcai dengan saiz enjin terbesar. Namun, kedudukannya kini sudah dicabar oleh Yamaha yang mempertaruhkan model terbaru mereka iaitu Yamaha Y15ZR yang dilancarkan pada 8 Ogos 2015. Sebelum dipasarkan di Malaysia, Y15ZR terlebih dahulu diperkenalkan di Vietnam dengan nama Yamaha Exciter 150, diikuti dengan Indonesia di nama ia dikenali sebagai Yamaha Jupiter MX King 150. Yamaha Y15ZR ini bakal menggantikan model popular Yamaha 135LC Extreme Spirit model klac tangan, manakala model klac automatik pula akan diteruskan memandangkan Y15ZR ini hanya didapati dalam model klac tangan sahaja.




Suzuki Belang R150 menggunakan enjin yang sama seperti pada model sport FXR150 tetapi sudah dinyahtala untuk dipadankan dengan badannya yang sangat ringan




Yamaha Y15ZR pula menggunakan enjin sama seperti model jalanan FZ150i generasi kedua


Sekarang mari kita bandingkan antara kedua-dua Yamaha Y15ZR dan Suzuki Belang R150 ini. Kedua-duanya model klac tangan manual, dan kedua-duanya menggunakan penukaran gear jenis sungkit. Kedua-duanya menggunakan enjin 4 injap 150 cc, dilengkapi penghidup elektrik dan menggunakan brek cakera depan dan belakang. Namun, kedua-dua model ada perbezaannya yang tersendiri. Pertama, Y15ZR menggunakan enjin SOHC sejukan cecair yang sama seperti pada model generasi kedua FZ150i serta digandingkan dengan transmisi 5 kelajuan, manakala Belang pula menggunakan enjin DOHC sejukan minyak dengan transmisi 6 kelajuan yang serupa seperti model sport FXR150 tetapi sudah dijinakkan. Belang masih menggunakan karburetor manakala Y15ZR menggunakan sistem pancitan bahan api dengan sensor lambda. Jadi, sekiranya siri reviu XPDC Teganu Kita dihasilkan menggunakan Yamaha Y15ZR pada kelajuan sama, maka anda boleh menjangkakan angka-angka penggunaan bahan api sekitar 40 km/L berbanding Belang yang mencatatkan angka-angka sekitar 28.64 km/L.




Panel meter digital Belang




Panel meter Yamaha Y15ZR (Kredit kepada: Arena Motor)



Sekarang kita lihat pada meternya pula. Kedua-duanya menggunakan panel meter digital dengan takometer analog besar, tetapi dengan sedikit perbezaan. Enjin Belang lebih ligat, ditunjukkan melalui garisan merah takometer bermula 11,500 rpm berbanding garisan merah Y15ZR pada 10,000 rpm. Apa tidaknya, enjin Belang merupakan enjin oversquare (lubang lebih besar daripada lejang), manakala enjin Y15ZR pula merupakan enjin undersquare (lejang lebih panjang daripada lubang). Meter Belang hanya ada penunjuk gear neutral dan gear tertinggi (gear 6), manakala meter Y15ZR pula mempunyai penunjuk gear bagi semua kedudukan gear, daripada gear 1 sehingga gear 5. Memandangkan Y15ZR merupakan enjin pancitan bahan api sejukan cecair, maka sudah tentulah ia dilengkapi lampu periksa enjin serta lampu amaran panas lampau. Paling menarik, meter Y15ZR boleh "menyapa" pemiliknya setiap kali kunci diputar ke kedudukan On yang boleh ditukar kata sapaan kepada nama anda - sila rujuk entri blog Indonesia ini untuk tutorialnya.

Dari segi ciri-ciri keselamatannya pula, ternyata Y15ZR lebih baik daripada Belang, meskipun kedua-duanya menggunakan brek cakera hadapan dan belakang. Kenapa saya katakan demikian...? Y15ZR dilengkapi penutup slot kunci setelah belajar daripada model 135LC yang sebelum ini amat mudah dicuri, manakala Belang pula menggunakan slot kunci yang begitu primitif kerana mendedahkan kedudukan pengunci stereng serta tiada penutup slot kunci, menjadikannya lebih mudah dicuri. Kepada pemilik Yamaha Y15ZR yang merancang untuk memasang pelumpuh (immobilizer), saya sarankan agar anda memanfaatkan ciri pancitan bahan api semasa memasang immobilizer supaya pencuri tidak berupaya menghidupkan enjin walaupun setelah litar kunci penghidup dipintas. Selain itu, lampu kepala Belang terlalu malap sehingga menyebabkan saya menghadapi masalah semasa pulang ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Karak E8/FT2 pada waktu malam, manakala Y15ZR pula menggunakan mentol halogen 35W yang lebih terang daripada mentol biasa.




Kelajuan maksimum Yamaha Exciter 150 di Vietnam (136 km/j)


Akhir sekali, mari kita bandingkan prestasi kedua-dua model pula. Sepanjang XPDC Teganu Kita 2015, kelajuan tertinggi yang saya capai menggunakan Suzuki Belang R150 di Lebuhraya Pantai TImur E8 ialah 136 km/j. Saya belum perrnah menguji motor Y15ZR lagi, tetapi video di YouTube menunjukkan bahawa model standard Yamaha Exciter 150 mampu mencatatkan kelajuan sama. Bezanya, kelajuan tersebut dicatatkan setelah begitu bersusah-payah mencuba serta setelah kepala ditundukkan, tetapi saya mencatatkan kelajuan 136 km/j menaiki Belang tanpa perlu menundukkan kepala walau seinci sekalipun. Apa tidaknya, Suzuki Belang R150 menggunakan enjin DOHC yang lebih berkuasa dan mampu menghasilkan 16.5 PS pada 9,500 rpm manakala Yamaha Y15ZR yang menggunakan enjin SOHC pula menghasilkan 15.36 PS (11.3 kW) pada 1,000 rpm lebih awal.

Begitulah perbandingan ringkas antara dua raja kapcai di Malaysia iaitu Yamaha Y15ZR dan Suzuki Belang R150. Jika anda mahukan prestasi, maka Belang ternyata paling berkuasa dalam kelasnya. Jika anda mahukan penjimatan bahan api, sudah tentulah Yamaha Y15ZR pancitan bahan api pilihan yang paling sesuai. Pilihan terletak di tangan anda - tepuk dada, tanya selera.




Spesifikasi Suzuki Belang R150

Enjin: 4 lejang 1 silinder DOHC 4 injap sejukan udara dan minyak
Sesaran: 147.6 cc
Lubang x lejang: 62 x 48 mm
Kuasa kuda maksimum: 16.5 PS @ 9,500 rpm
Tork maksimum: 12.76 N-m @ 8,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 6 kelajuan manual (1 bawah, 5 atas)
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 108 kg
Kelajuan maksimum: 136 km/j (diuji)
Penggunaan bahan api: Purata sekitar 28.64 km/L (sila rujuk jadual di atas)

Apa yang saya suka
  1. Penggunaan sistem sejukan udara dan minyak yang menjadikan kos penyelenggaraannya lebih rendah daripada Yamaha Y15ZR
  2. Paling berkuasa dalam kelasnya
Apa yang saya tidak suka
  1. Sistem pengunci stereng yang terlalu primitif dan tidak selamat
  2. Lampu hadapan yang terlalu malap


Spesifikasi Yamaha Y15ZR

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 4 injap sejukan cecair
Sesaran: 149.7 cc
Lubang x lejang: 57 x 58.7 mm
Kuasa kuda maksimum: 15.36 PS (11.3 kW) @ 8,500 rpm
Tork maksimum: 13.8 N-m @ 7,000 rpm
Penghidup: Elektrik
Transmisi: 5 kelajuan manual (1 bawah, 4 atas)
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 115 kg
Kelajuan maksimum: 136 km/j


Apa yang saya suka
  1. Penggunaan pancitan bahan api yang terbukti lebih jimat petrol dan lebih mesra alam
  2. Lampu hadapan yang lebih terang
  3. Tayar yang lebih lebar untuk pengendalian lebih lincah di selekoh
Apa yang saya tidak suka
  1. Masih berpotensi sebagai motosikal sasaran pencuri meskipun lebih banyak ciri keselamatan diterapkan

Sunday, August 23, 2015

Cerita "kapal dua nakhoda" di LPT2 E8 / The story of "a ship with two captains" at ECE2 E8



Sebuah kapal tidak boleh ada dua orang nakhoda - terlalu banyak campur tangan oleh kerajaan negeri Terengganu dalam pelaksanaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 sebenarnya lebih banyak membawa mudarat daripada manfaat


Salam sejahtera,

Segala-galanya bermula apabila saya hendak berkongsi berita mengenai "penangguhan kutipan tol Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8" di laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia. Tidak lama setelah saya berkongsi berita tersebut dari laman web Teganu Kita, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kerja Raya (KKR), Tuan Haji Sarani Dollah, memaklumkan kepada saya bahawa berita tersebut adalah tidak tepat kerana ia bukan datang daripada pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang sepatutnya bertanggungjawab atas hal ehwal lebuh raya ekspres. Mungkin juga sumber yang saya petik itu hanyalah daripada sebuah laman blog, tetapi apa yang menjadikan berita tersebut tambah mengelirukan dan bercelaru ialah berita seumpamanya memang ada di laman web Bernama, yang mana isinya betul-betul sama dengan berita di laman Teganu Kita tanpa sebarang percanggahan. Dengan kata lain, sudah wujud percanggahan maklumat antara pihak Kementerian Kerja Raya dengan kerajaan negeri Terengganu - atau lebih tepat lagi, kapal dua nakhoda. 

Kenapa pula saya katakan kes LPT2 E8 ini sebagai kapal dua nakhoda...? Jawapannya mudah sahaja - LPT2 E8 sepatutnya diletakkan di bawah bidang kuasa LLM, tetapi sebaliknya kerajaan negeri Terengganu pula terlalu banyak campur tangan dalam membuat keputusan. Ia berbeza dengan mana-mana lebuh raya ekspres lain di Malaysia di maka LLM mempunyai kuasa penuh dalam pembuatan dasar, perancangan rangkaian lebuh raya ekspres serta pemantauan tahap kemajuan projek serta operasi lebuh raya; kerajaan negeri hanya sekadar sediakan tanah sahaja. Ironinya, model sebegini juga diguna pakai di negeri Selangor dan Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat tanpa banyak soal, sungguhpun Pakatan Rakyat sangat terkenal kerana sering membantah kutipan tol serta memperjuangkan model lebuh raya ekspres percuma.

Pelbagai persoalan timbul akibat percanggahan maklumat yang saya katakan di atas tadi. Pertama, Lebuhraya Pantai Timur E8 merupakan projek kerajaan persekutuan dan memang diwartakan sebagai Lebuh Raya Ekspres yang merupakan salah satu kelas Jalan Persekutuan, kenapa pula kerajaan negeri Terengganu boleh mengeluarkan kenyataan bersifat unilateral tanpa merujuk kepada LLM...? Kenapa pula Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Terengganu, Ir. Rosli Othman boleh mengeluarkan kenyataan sebegitu sedangkan ia bukan bidang tugasnya...? Apakah LPT2 itu diwartakan sebagai Jalan Negeri Terengganu...? Sudah tentu tidak, bukan...? Adakah kod laluan LPT2 bermula dengan huruf T dan bukannya huruf E...? Justeru, pihak yang sepatutnya mengeluarkan kenyataan mengenai operasi LPT2 E8 ini ialah Ketua Pengarah LLM dan bukannya kerajaan negeri Terengganu.

Sebenarnya, cerita kapal dua nakhoda di LPT2 E8 ini bukanlah cerita baru. Cerita ini mula muncul apabila projek LPT2 dihidupkan semula setelah Barisan Nasional (BN) merampas semula pentadbiran kerajaan negeri Terengganu daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada Pilihan Raya Umum 2004. Semasa pentadbiran PAS dahulu, kerajaan negeri pimpinan Tuan Guru Haji Hadi Awang menentang keras kutipan tol di LPT E8 sehingga ke tahap merancang mahu membina LPT E8 versi mereka sendiri, sungguhpun akhirnya tidak terlaksana jua. Projek LPT2 akhirnya dimulakan secara rasminya pada tahun 2006 - selebihnya, tidak perlulah saya ceritakan di sini kerana anda masih boleh membaca entri mengenai sejarah lengkap Lebuhraya Pantai Timur E8.

Cerita kapal dua nakhoda di LPT2 E8 ini bermula sejak awal pelaksanaan projek LPT2 ini lagi. Tidak seperti projek LPT1 E8 yang mana kerajaan negeri Pahang memberikan kuasa sepenuhnya kepada LLM untuk melantik syarikat konsesi (MTD Group), merancang dan memantau perjalanan projek, kerajaan negeri Terengganu pula terlalu banyak campur tangan dalam pelaksanaan projek LPT2 E8. Di peringkat awal lagi mereka sudah meletakkkan syarat yang mahukan 70% daripada kerja-kerja pembinaan diberikan kepada kontraktor Bumiputera (30% kontraktor Terengganu, 40% kontraktor luar Terengganu), manakala MTD Group hanya diperuntukkan 30% jajaran sahaja, dengan jarak sejauh 64 km. Dasar tersebut diadakan dengan alasan mahu membangunkan industri pembinaan jalan raya di kalangan kontraktor Bumiputera Terengganu, tetapi hakikatnya matlamat tersebut tidak tercapai sama sekali. Inilah kesilapan besar utama yang membawa kepada masalah projek lewat siap, kontraktor tidak kompeten, kontraktor tidak mampu tanggung kenaikan kos, kualiti kerja tidak konsisten, dsb. Malah, dasar sebegini sebenarnya boleh menyebabkan timbul persepsi di kalangan orang awam yang mendakwa kononnya terdapat unsur rasuah dalam pemilihan kontraktor.

Namun, kisah kapal dua nakhoda tidak terhenti setakat itu sahaja. Setelah Plus Malaysia Berhad diumumkan sebagai syarikat konsesi yang ditawarkan kontrak turnkey bagi pengurusan LPT2 E8, kerajaan negeri Terengganu dilaporkan mahu meminta peratusan saham pengurusan LPT2 E8 daripada Plus Malaysia Berhad. Berita sebegini menyebabkan saya berasa betul-betul rimas, kerana ia terang-terangan mencabuli kontrak turnkey bagi pengurusan LPT2 E8, selain menunjukkan seolah-olah kerajaan negeri Terengganu tidak faham akan mekanisme konsesi lebuh raya secara turnkey - tidak seperti lebuh raya ekspres lain yang mana syarikat konsesi sendiri yang meminjam wang di bank untuk membina lebuh raya, dalam projek Lebuhraya Pantai Timur E8 pula kerajaan sendiri yang meminjamkan wang bagi pembinaan lebuh raya; syarikat konsesi pula menyelenggara dan mengutip tol bagi pihak kerajaan bagi mendapat semula pulangan wang. Dalam kes LPT2 E8, kerajaan negeri Terengganu mendakwa turut melaburkan sejumlah wang dalam projek tersebut. Jika benar, maka kerajaan negeri Terengganu sepatutnya bersabar kerana mereka tetap akan mendapat kembali pulangan wang mereka hasil daripada kutipan tol kelak. Tidak perlu sampai nak ambil alih konsesi. Dalam al-Quran sendiri sudah ada menyebut bahawa Allah sentiasa bersama-sama orang yang sabar, jadi bersabarlah.

Kesimpulannya, campur tangan yang keterlaluan oleh kerajaan negeri Terengganu dalam membuat keputusan semasa peringkat perancangan, pembinaan serta pengurusan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 E8 jelas lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan. Selain daripada menimbulkan kecelaruan kerana terdapat dua pihak yang bertindak sebagai nakhoda dalam mengemudi projek LPT2 E8, campur tangan yang keterlaluan ini jugalah yang menjadi punca utama kualiti kerja LPT2 E8 yang tidak konsisten akibat segelintir kontraktor yang tidak kompeten, di samping masalah kelewatan projek LPT2 E8 sehingga menyebabkan pembukaannya ditangguhkan bukan sekali dua tetapi banyak kali. Memang saya faham bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Terengganu adalah demi kesejahteraan rakyat Terengganu sendiri memandangkan kerajaan negeri Terengganu turut melabur sejumlah wang dalam projek ini, tetapi kerajaan negeri Terengganu seharusnya tidak melanggar batas-batas bidang kuasa seperti yang telah ditetapkan oleh perlembagaan - kerajaan persekutuan berkuasa penuh terhadap jalan-jalan persekutuan termasuklah lebuh raya ekspres, manakala kerajaan negeri berkuasa penuh terhadap jalan-jalan negeri. Hanya kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sahaja yang diberi darjah kawalan yang lebih besar terhadap jalan-jalan persekutuan di sana sebagai menghormati hak-hak bagi kedua-dua negeri tersebut yang sememangnya telah dijamin oleh perlembagaan Persekutuan.

Saturday, August 15, 2015

Roads Untraveled: Jalan Berungis-Tuaran FT503 vs Jalan Lama Tamparuli-Kota Belud FT1 sepintas lalu / Jalan Berungis-Tuaran FT503 vs Tamparuli-Kota Belud Old Road FT1 overview

Salam sejahtera,

Rasanya sudah hampir dua tahun berlalu setelah saya menjejakkan kaki ke bumi Sabah Negeri Di Bawah Bayu pada tahun 2013 untuk bercuti di samping mencuba beberapa batang jalan raya di sana. Siri reviu Kembara Merdeka Sabah 2013 sememangnya satu projek siri reviu paling mahal pernah dihasilkan oleh Blog Jalan Raya Malaysia, sekaligus menjadikan tahun 2013 sebagai antara tahun paling produktif bagi Blog Jalan Raya Malaysia. Insya-Allah, saya berhasrat untuk kembali semula ke Sabah pada awal tahun 2016 untuk mencuba beberapa batang jalan raya lagi, tetapi sebelum itu biar saya bawakan kepada anda satu kisah sepintas lalu di sebalik satu penemuan saya di Sabah pada masa itu.

Dalam reviu Jalan Tuaran FT1, saya pernah menyatakan sebelum ini bahawa kebanyakan peta - termasuklah peta Google Maps sendiri - tersalah melabelkan jajaran Jalan Berungis-Tuaran sebagai FT1, sedangkan kod laluan sebenarnya ialah FT503. Sebaliknya, jangan terperanjat apabila saya memberitahu bahawa laluan sebenar FT1 adalah dari Bulatan Tamparuli yang menjadi titik permulaan kepada Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22 dan melalui jalan yang sempit dan berliku-liku seperti ular kena palu.

Bagaimana salah faham sebegitu boleh timbul...? Salah faham tersebut datang daripada 2 sebab utama - keadaan jalan yang lurus, lebar dan kurang berkelok-kelok, serta ketiadaan papan tanda yang menunjukkan kod laluan sebenar di salah satu penamatnya di Kampung Pengkalan. Jika anda memandu dari arah Kota Kinabalu, anda akan tiba di Bulatan Berungis di mana kod laluan Jalan Berungis-Tuaran FT503 dilabelkan dengan jelas manakala jalan ke arah Tamparuli dan Ranau pula dilabelkan dengan kod laluan FT1. Hanya setelah berada di Bulatan Tamparuli barulah jalan FT1 dilencongkan ke sebelah kiri yang mana keadaan jalan di situ begitu sempit dan berbengkang-bengkok seperti ular kena palu. Sebaliknya, jika anda memandu dari arah Kudat dan Kota Belud, anda sama sekali tidak akan sedar pertukaran kod laluan sebaik melepasi simpang Kampung Lapasan sehinggalah anda menyedari kod laluan tiba-tiba bertukar kepada FT503 semasa menghampiri Tuaran.

Jika anda pertama kali melalui jalan tersebut, anda pasti tidak akan menyangka jalan itulah laluan FT1 yang sebenarnya kerana ia langsung tiada ciri-ciri yang menampakkannya sebagai jalan raya utama, apatah lagi sebagai laluan Lebuhraya Pan Borneo AH150. Sungguhpun jalan lama Tamparuli-Kota Belud FT1 ini sempit dan berbengkang-bengkok, namun ia tetap jauh lebih selamat daripada Jalan Gombak FT68 kerana pengadang besi galvani memang dipasang di sepanjang laluan.

Hanya ada dua buah kampung sahaja yang dilalui jalan lama FT1 ini, iaitu Kampung Topokan dan Kampung Lapasan. Sementara itu, jalan FT503 pula melalui pekan Tuaran, sekaligus menjadikan FT503 sebagai laluan utama untuk ke Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat kerana keadaannya yang lurus, lebar, kurang berselekoh dan ada pekan utama untuk beristirahat, mengisi minyak dan makan.

Memandangkan Kementerian Kerja Raya sudah pun mengumumkan bermulanya projek naik taraf Lebuhraya Pan Borneo AH150, ada baiknya jika Jabatan Kerja Raya Sabah merancang untuk menaik taraf jalan lama Tamparuli-Kota Belud FT1 kepada sekurang-kurangnya jalan super two (piawaian JKR R5, lebar lorong 3.5 m, had laju reka bentuk: 100 km/j). Adalah sesuatu yang ironik apabila sebatang jalan raya yang diwartakan sebagai sebahagian laluan utama Lebuhraya Pan Borneo AH150 dengan kod laluan satu angka tetapi keadaan sebenarnya pula lebih kurang macam jalan kampung sahaja. Justeru, Jalan Lama Tamparuli-Kota Belud FT1 tidak sewajarnya dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang penambahbaikan mahupun pemulihan - sebaliknya, jalan lama FT1 ini perlu dinaiktaraf dengan memotong sebahagian besar selekoh di sepanjang laluannya. Dalam keadaan sekarang di mana bilangan kenderaan yang menggunakan jalan lama ini boleh dibilang dengan jari, kerja-kerja naik taraf dan pemotongan selekoh boleh dilakukan melalui dua fasa dengan amat mudah iaitu dengan menutup jajaran yang hendak dipotong selekohnya dan melencongkan lalu lintas tempatan ke Jalan Topokan-Tuaran semasa kerja naik taraf dilakukan. Jika projek naik taraf ini dilaksanakan, maka sudah tentulah kesesakan Jalan Berungis-Tuaran FT503 dapat dikurangkan kerana adanya laluan alternatif yang diperbaharui dan ditambah baik.




Ramai yang menyangkakan bahawa jalan ke Tuaran dan Kota Belud dari Bulatan Berungis sebagai FT1, tetapi sebenarnya ia dilabelkan sebagai FT503






Papan tanda bagi jalan dari Berungis ke Tamparuli ini bukti laluan sebenar FT1 melalui Tamparuli dan bukannya Tuaran






Jajaran sebenar FT1 dari Bulatan Tamparuli memerlukan anda belok kiri untuk ke Kudat melalui jalan lama FT1 yang sempit dan berbengkang-bengkok






Dari arah utara pula, simpang masuk ke FT1 terletak di Kampung Pengkalan dekat Tuaran yang hanya dilabelkan dengan papan tanda arah ke Kampung Topokan






Simpang tiga Kampung Pengkalan dari arah Kampung Topokan






Perhatikan cabang di sebelah kiri yang sudah pun terbiar dimamah usia dan hampir lenyap setelah jajaran lama FT1 dilencongkan ke simpang tiga tadi






Anda pasti tidak akan menyedari bahawa jalan yang begitu cantik, lebar, lurus dan kurang berselekoh ini sebenarnya laluan FT503 dan bukannya FT1






Nah, papan tanda penunjuk jarak ini bukti paling ketara bahawa jalan yang sebegini bagus ini sebenarnya bertaraf jalan persekutuan sekunder sahaja






Anda juga pasti tidak akan percaya bahawa jalan dua lorong yang sempit dan kelihatan seperti jalan kampung ini sebenarnya laluan FT1






Jalan lama Tamparuli-Kota Belud FT1 yang sempit dan berbengkang-bengkok, tetapi tidaklah seekstrim Jalan Gombak FT68






Papan tanda lama yang digunakan pada jalan lama FT1 ini di Kampung Topokan






Jambatan konkrit baharu yang dibina bagi menggantikan jambatan kayu yang sudah reput dan uzur dimamah usia






Jambatan Sungai Tuaran di Jalan Persekutuan 503






Bulatan Pekan Tuaran






Jangan tangisi jalan yang tidak dilalui (Need for Speed OST)

Tuesday, August 11, 2015

Dua admin Blog Jalan Raya Malaysia ditemukan bersama-sama Menteri Kerja Raya semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Kerja Raya 2015 / Two admins of Malaysian Highway Blog meet together with the Minister of Works during the 2015 Ministry of Works Eid ul Fitr Open House




Salam sejahtera,

Rasanya sudah setahun lamanya saya ditemukan dengan dengan "orang-orang kuat" dalam Kementerian Kerja Raya; kali terakhir saya ditemukan dengan mereka adalah dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Kerja Raya 2014. Pada masa itu, saya boleh dikatakan agak "langkah kiri" kerana terlibat dalam kemalangan motosikal di Tampin semasa dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari kampong halaman saya di Segamat, Johor. Akibatnya, saya tiba lewat ke majlis tersebut. Lebih kurang setahun kemudian, saya sekali lagi ditemukan dengan pegawai-pegawai tertinggi di Kementerian Kerja Raya dalam majlis yang sama tengah hari tadi - bezanya, kali ini saya amat bernasib baik bukan sahaja kerana tiba semasa majlis baru saja bermula, tetapi turut disertai seorang lagi admin Blog Jalan Raya Malaysia iaitu Aiman Ab. Majid. Jutaan terima kasih kepada pihak Kementerian Kerja Raya kerana sekali lagi mengundang kami ke majlis Rumah Terbuka KKR tahun ini.

Kami datang dari dua arah berbeza ke ibu pejabat Kementerian Kerja Raya - saya datang dari Batu Caves manakala Aiman pula dari Shah Alam. Aiman tiba lebih awal daripada saya kerana pada sebelah pagi, saya sedang menunggu kontraktor Unifi bagi pemasangan internet jalur lebar yang akhirnya dibatalkan akibat sebab-sebab teknikal.




Saya terus ke khemah di luar Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid yang menjadi venue utama majlis rumah terbuka kali ini. Antara juadah yang ditampilkan termasuklah nasi putih, sate, mi kolok, laksa Johor, laksa Sarawak, mi kolok Sarawak dan banyak lagi. Kalau diikutkan nafsu makan, memang saya hendak mencuba setiap juadah yang disediakan di situ, tetapi saya perlu ingat akan tujuan utama saya datang ke majlis kali ini, iaitu untuk mempertemukan Aiman dengan para pegawai tertinggi KKR serta Menteri Kerja Raya sendiri yang merupakan peminat besar Blog Jalan Raya Malaysia.




Kami terus memasuki dewan untuk mencari para pegawai tertinggi KKR yang mengenali saya. Berhampiran dengan pentas, kami menemui Tuan Haji Sarani Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKR, yang merupakan antara peminat besar Blog Jalan Raya Malaysia. Saya pernah bertemu beliau sebanyak tiga kali pada tahun 2014, tetapi Aiman pula baru pertama kali bersua dengan beliau dalam majlis petang tadi. Dalam pertemuan tadi, beliau ada menyuarakan harapan agar kami dapat mendidik rakyat Malaysia tentang lebuh raya ekspres bertol dengan jalan persekutuan biasa - akibat propaganda karut lagi dangkal yang sering dilaungkan oleh segelintir pihak berkepentingan politik, masih ramai di kalangan rakyat Malaysia yang sering dimomokkan dengan dakyah sesat yang mengatakan kerajaan bertanggungjawab membina lebuh raya ekspres secara percuma tanpa tol dengan alasan kononnya lebuh raya eksptes merupakan satu-satunya laluan jarak jauh dari utara ke selatan, timur ke barat, dan desa ke kota, sedangkan masih banyak jalan-jalan persekutuan dan negeri yang sebenarnya memenuhi keperluan asas rakyat yang dambakan jalan perhubungan asas dari titik A ke titik B. Beliau juga ada mengatakan bahawa masih ada banyak jalan persekutuan yang lebih menyeronokkan untuk dilalui - malah, jauh lebih menyeronokkan daripada lebuh raya ekspres. Justeru, kami memberikan jaminan bahawa Blog Jalan Raya Malaysia sememangnya diwujudkan bagi memartabatkan rangkaian jalan raya negara. Sebab itulah kami menyediakan sebegitu banyak reviu jalan raya berkualiti dan menarik untuk tatapan para pembaca budiman sekalian, kerana kami dengan bangganya ingin mempersembahkan kepada seluruh rakyat Malaysia dan warga dunia betapa indahnya jalan-jalan raya di Malaysia.




Seterusnya, kami bertemu dengan seorang lagi peminat besar Blog Jalan Raya Malaysia yang kami sifatkan sebagai yang terpenting kerana hasil sokongan beliau inilah yang banyak membantu perjuangan Blog Jalan Raya Malaysia dalam memartabatkan rangkaian jalan raya negara - tidak lain dan tidak bukan, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia. Ini merupakan kali keempat saya ditemukan dengan beliau - kali pertama ialah semasa majlis pelancaran Kempen Kesedaran Jalan Raya peringkat KKR sempena Hari Raya Aidilfitri 2013, diikuti dengan sidang media tentang rasional kenaikan tol JB EDL E14, dan seterusnya majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Lembaga Lebuhraya Malaysia. Aiman yang baru pertama kali ditemukan dengan Datuk Seri Fadillah mengambil kesempatan ini dengan mengambil gambar kenangan kami bertiga.

Kami terpaksa pulang agak awal iaitu sekitar pukul 2.30 petang untuk ke tempat kerja masing-masing. Sungguhpun pertemuan kali ini begitu singkat, namun ia benar-benar membuahkan hasil kepada kami. Undangan sebegini amat bermakna bagi kami kerana sokongan padu daripada pihak Kementerian Kerja Raya inilah yang menjadikan kami tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangan bagi memartabatkan jalan raya negara, meskipun tahun ini boleh dikatakan sebagai tahun yang paling tidak produktif buat Blog Jalan Raya Malaysia serta tahun yang paling malang buat saya. Meskipun saya ditimpa bermacam-macam dugaan di sepanjang 365 hari yang lalu, bermula dengan insiden kerosakan motosikal, diikuti dengan kemalangan motosikal semasa dalam perjalanan ke majlis serupa tahun lalu, seterusnya motosikal rosak lagi, tayar kereta pecah, kerosakan kereta, masalah kewangan, kemalangan motosikal serta kecurian telefon bimbit Sony Xperia Z saya, namun saya tetap bersyukur kepada Allah kerana diberikan kekuatan untuk mengharungi setiap dugaan yang dihadapi demi mendidik anak bangsa dalam memartabatkan rangkaian jalan raya Malaysia. Benarlah kata orang, kesusahan yang dihadapi sebenarnya menjadikan manusia bertambah tabah dan kuat.

Terima kasih Datuk Seri Fadillah Yusof. Terima kasih Kementerian Kerja Raya Malaysia. Terima kasih Jabatan Kerja Raya Malaysia. Terima kasih Lembaga Lebuhraya Malaysia. Terima kasih syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ekspres yang menjadi sekutu kuat kami. Paling penting, terima kasih kepada semua pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang budiman. Hasil sokongan anda semua, saya sekarang sedang merancang untuk menghasilkan projek reviu Jalan Persekutuan 1 dan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, nantikanlah pengumuman mengenainya tidak lama lagi. Sementara itu, saya ingin tujukan sebuah lagu khas buat sahabat-sahabat di Kementerian Kerja Raya serta seluruh peminat Blog Jalan Raya Malaysia.


Friday, August 7, 2015

Berapa banyak reviu jalan raya boleh dihasilkan daripada derma RM2.6 bilion...? / How many highway reviews can be produced from RM2.6 billion donation...?




Salam sejahtera,

Sudah terlalu lama rasanya saya tidak menghasilkan sebarang reviu jalan raya selepas siri reviu XPDC Teganu Kita pada Februari 2015. Sepanjang tempoh 365 hari yang lalu, saya diuji dengan pelbagai dugaan hebat secara berturut-turut seperti kerosakan motosikal, kerosakan kereta, masalah kewangan, kemalangan motosikal, kemalangan kereta dan kecurian telefon bimbit Sony Xperia Z saya. Namun, saya tetap bersyukur ke hadrat Allah kerana diberikan kekuatan untuk melepasi satu demi satu dugaan yang diturunkan kepada saya, di samping kembali memurahkan rezeki saya selepas Hari Raya Aidilfitri. Paling penting, saya berasa amat bersyukur kerana diberikan kekuatan dan semangat baharu untuk terus menulis dalam Blog Jalan Raya Malaysia. Semangat yang pulih ini juga datang daripada derma daripada pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang budiman sehingga membawa kepada kejayaan besar siri reviu XPDC Teganu Kita 2015.

Sebenarnya, Blog Jalan Raya Malaysia memang sudah lama membuka tabung derma reviu jalan raya sejak penubuhan blog ini pada November 2011 bagi menampung sebahagian kos reviu jalan raya. Untuk makluman para pembaca yang budiman, kos menghasilkan reviu jalan raya sebenarnya memang tinggi. Jika reviu tersebut hanya melibatkan jalan raya yang pendek dengan hanya menggunakan motosikal sahaja, kos reviu hanya sekadar satu angka sahaja, yang mana ia hanya melibatkan kos setangki penuh petrol sahaja - ada kalanya tidak sampai pun setangki penuh. Jika saya perlu bergerak lebih jauh, maka kos bahan api juga akan meningkat berkadaran dengan jarak perjalanan. Jika ia mengambil masa berhari-hari (seperti siri reviu di Cameron Highlands dan Melaka), maka saya juga perlu menambah kos penginapan. Setakat 2015, kos reviu jalan raya paling mahal ialah siri reviu Kembara Merdeka Sabah 2013 kerana melibatkan tiket kapal terbang, penginapan dan sewa kereta. Sebab itulah kami membuka tabung derma bagi membolehkan lebih banyak reviu jalan raya yang lebih berkualiti dapat dihasilkan untuk tatapan anda semua.

Namun, sejak tabung derma Blog Jalan Raya Malaysia melalui PayPal dibuka pada November 2011, jujur saya katakan bahawa bilangan yang menderma kepada Blog Jalan Raya Malaysia sebenarnya boleh dibilang dengan jari. Derma paling banyak pun datang betul-betul sebelum projek XPDC Teganu Kita, dengan jumlah derma mencukupi untuk kos petrol bagi perjalanan balik hari sejauh lebih 800 km (KL-Kuala Terengganu-KL) menaiki motosikal Suzuki Belang R150 - dan suka saya nyatakan di sini bahawa projek reviu XPDC Teganu Kita 2015 merupakan satu-satunya projek reviu jalan raya yang dibiayai 100% daripada derma para pembaca.

Jadi, adakah saya berasa begitu marah, kecil hati dan kecewa apabila kempen derma melalui PayPal tidak mendapat sambutan yang begitu menggalakkan...? Tidak sama sekali - sejak awal-awal lagi saya memang sedar bahawa rakyat Malaysia lebih sukakan sesuatu yang percuma, termasuklah membaca Blog Jalan Raya Malaysia secara percuma. Justeru, memandangkan hampir kesemua reviu jalan raya dihasilkan menggunakan modal saya sendiri, maka satu-satunya pilihan yang saya ada adalah mencari jalan untuk meningkatkan pendapatan daripada blog serta meminimakan kos reviu jalan raya.

Jika anda perasan betul-betul, anda terpaksa berdepan dengan iklan setiap kali anda melayari Blog Jalan Raya Malaysia ini. Asalnya, saya menggunakan khidmat tiga laman web pengiklanan iaitu Bidvertiser, Nuffnang dan Advertlets, tetapi setelah membaca kes-kes penipuan Advertlets yang tidak membayar wang hasil pengiklanan kepada beberapa buah blog, maka saya berhenti menggunakan perkhidmatannya. Jadi, saya memohon maaf sekiranya ada di antara anda semua yang berasa rimas dan tidak selesa akan iklan-iklan pop-up di Blog Jalan Raya Malaysia kerana iklan-iklan ini jugalah sumber pendapatan tambahan kami meskipun sangat sedikit. Try to bear for it. Justeru, satu-satunya cara untuk anda menghentikan iklan-iklan di Blog Jalan Raya Malaysia hanyalah melalui derma yang berterusan. Selain itu, saya pernah dua kali cuba untuk membuka Kedai Jalan Raya Malaysia dalam talian tetapi terpaksa menutupnya berikutan tiada sambutan.

Selain mencari jalan bagi menambah pendapatan, saya juga mengambil langkah-langkah bagi meminimakan kos reviu jalan raya agar tidak membebankan saya. Seperti yang anda semua sedia maklum, sebahagian besar reviu jalan raya kami melibatkan menggunakan motosikal yang tentunya jauh lebih jimat bahan api berbanding kereta. Untuk kamera pula, saya sekadar menggunakan kamera telefon bimbit sahaja. Jika ia melibatkan penginapan, saya memilih untuk menginap di hotel bajet, dan tempahan bilik dilakukan awal secara dalam talian untuk mendapatkan harga paling murah. Akhir sekali, jika projek reviu jalan raya yang dirancang memerlukan penggunakan kapal terbang (seperti di Sabah), maka saya perlu merancang dengan begitu teliti dan menempah tiket kapal terbang jauh lebih awal.

Kenapa pula saya tiba-tiba membuka cerita tentang kempen derma pula...? Seperti mana yang kita sering dengar di kaca televisyen, akhbar, corong radio, blog, YouTube mahupun media sosial, imej negara kini semakin tercalar apabila timbul dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak menerima wang sejumlah RM2.6 bilion di dalam akaun bank peribadinya. Dakwaan tersebut sedikit sebanyak telah membangkitkan kemarahan rakyat kerana tatkala rakyat terpaksa mengikat perut bahana pesta kenaikan kos sara hidup yang diparahkan lagi dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),






Bagaimana pula skandal wang RM2.6 bilion ini boleh wujud...? Segala-galanya bermula daripada berita oleh Wall Street Journal yang mendakwa Datuk Seri Najib menerima wang sejumlah USD700 juta (RM2.6 bilion) melalui pemindahan wang ke akaun peribadinya. Susulan dengan itu, Datuk Seri Najib mahu mengemukakan saman mahkamah terhadap Wall Street Journal, tetapi apa yang dilakukannya hanyalah sekadar meminta penjelasan serta surat tunjuk sebab tentang kenapa artikel tersebut diterbitkan. Maka, sudah tentulah rakyat akan mempersoalkan kenapa duit dalam jumlah yang begitu besar boleh dimasukkan terus ke dalam akaun bank peribadi Najib Razak - daripada situlah timbulnya tuduhan sama ada Datuk Seri Najib songlap wang ataupun menerima rasuah. Lebih keji lagi, menteri-menteri yang mempersoalkan mengenai skandal terbaharu Perdana Menteri turut diugut akan dipecat ataupun digugurkan daripada barisan menteri Kabinet, yang mana bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal, telah pun menerima balasan masing-masing akibat mempersoalkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal wang RM2.6 bilion. Apa yang menjadikan skandal wang RM2.6 bilion ini bertambah tidak masuk akal adalah apabila hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaporkan bahawa wang tersebut sebenarnya merupakan "derma dari Timur Tengah".

Duit RM2.6 bilion itu duit derma dari Timur Tengah...? Biar betul...? Sesiapa sahaja pasti akan mempersoalkannya, kerana tidak mungkin seorang individu dengan gaji bulanan 5 angka seperti Datuk Seri Najib begitu papa kedana sehingga ke tahap meminta orang menderma kepadanya. Dengan kata lain, secara logiknya orang akan menderma kepada fakir miskin dan bukannya kepada orang kaya. Tambahan pula, individu biasanya menderma tidak banyak sangat, sekadar membolehkan penerima derma memperoleh wang mencukupi untuk meneruskan kehidupan ataupun bagi tujuan-tujuan lain seperti pembinaan dan penyelenggaraan rumah anak yatim dsb. Jika derma dalam jumlah yang begitu besar disalurkan, ia seharusnya disalurkan melalui akaun syarikat, persatuan ataupun parti, dan bukannya akaun peribadi. Justeru, jika benar duit RM2.6 bilion itu duit derma sekalipun, rakyat pasti akan lebih mempersoalkannya kerana wang besar yang masuk terus ke akaun seorang pegawai mahupun menteri sudah pasti akan menimbulkan tanggapan terdapatnya unsur rasuah bagi mengharapkan sesuatu balasan lumayan seperti memperoleh kontrak kerajaan.






Jika saya sendiri yang menerima wang sebanyak itu, agaknya berapa banyak reviu jalan raya yang boleh saya hasilkan...? Wang derma RM42 bilion itu lebih daripada mencukupi untuk menghasilkan reviu jalan raya di seluruh dunia, dengan lebihan baki yang masih terlalu banyak. Namun, ia hanya sekadar angan-angan semata-mata. Realitinya, tidak mungkin ada yang sudi menderma wang sebegitu banyak kepada Blog Jalan Raya Malaysia walaupun bagi tujuan penyampaian ilmu mengenai jalan raya.

Kepada Datuk Seri Najib, berehatlah. Ambillah cuti panjang dan minta Timbalan Perdana Menteri memangku jawatan Datuk Seri. Berikanlah kerjasama penuh kepada SPRM dan pihak penyiasat bagi membersihkan nama Datuk Seri. Menyekat akses laman web, membatalkan permit akhbar, menangkap beberapa individu serta memecat beberapa orang menteri yang tidak bersetuju dengan Datuk Seri hanya akan menjadikan rakyat semakin tidak mempercayai kredibiliti Datuk Seri. Sejujurnya, saya sendiri pun berasa amat malu, kerana saya merupakan seorang penulis sebuah blog yang menyokong serta memperjuangkan dasar-dasar memartabatkan jalan raya yang dibawa oleh Kementerian Kerja Raya, sehingga ke tahap hubungan kami dengan Menteri Kerja Raya serta pegawai-pegawai atasan KKR, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjadi sangat akrab. Belajarlah daripada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang bersikap profesional dalam menangani serta menjawab segala isu yang dikaitkan dengan KKR terutamanya isu tol lebuh raya. Beliau menjawab segala isu berkaitan KKR dengan melakukan kajian mendalam, mencari jalan penyelesaian bersifat holistik serta mempelawa pengamal media sosial termasuklah Blog Jalan Raya Malaysia untuk bergaul sendiri dengan pemain industri jalan raya dan lebuh raya ekspres. Jika Datuk Seri Najib tidak mampu menangani isu-isu yang dihadapi sekarang, ada baiknya Datuk Seri berundur dan memberikan laluan kepada pemimpin lain yang lebih berkebolehan, kerana dalam keadaan sekarang ini nama baik Datuk Seri sudah terlalu kotor sehinggakan apa yang Datuk Seri lakukan kepada rakyat masih tidak berupaya memadamkan api kemarahan rakyat yang begitu malu akan skandal-skandal politik yang melanda Datuk Seri.

Saturday, August 1, 2015

Geografi KBSM untuk yang Kurang Pandai: Lebuhraya Trans Kanada - apa yang tidak diceritakan dalam buku teks / KBSM Geography for Dummies: Trans Canada Highway - what is untold in the textbook

Salam sejahtera,

Dalam satu entri yang saya tulis dua tahun lalu, saya pernah mengecam Kementerian Pendidikan Malaysia berikutan kualiti silibus Geografi KBSM yang saya sifatkan sebagai "sangat teruk", jauh berbeza daripada silibus semasa zaman persekolahan saya dahulu. Apa tidaknya, semasa zaman persekolahan saya pada dekad 1990an, subjek Geografi KBSM bagi peringkat menengah rendah adalah begitu komprehensif dan sistematik, merangkumi bidang geografi Malaysia (Tingkatan 1), geografi Asia Tenggara (Tingkatan 2) dan geografi Asia (Tingkatan 3). Daripada subjek inilah saya mula mengenali Rangkaian Lebuh Raya Asia semasa di Tingkatan 3, yang mana saya berasa amat bangga apabila mengetahui bahawa beberapa batang jalan raya utama Malaysia membentuk sebahagian rangkaian Lebuh Raya Asia. Malangnya, setelah silibus Geografi KBSM dirombak semula pada tahun yang saya tidak ketahui, isi kandungannya terlalu lemah dan susun aturnya pula berserabut dan caca-marba. Serius saya katakan, subjek Geografi KBSM bagi peringkat menengah rendah sekarang sebenarnya lebih kurang sama sahaja tahapnya seperti subjek Alam dan Manusia (ADM), subjek yang dipelajari murid-murid sekolah rendah dekad 1980an dan awal 1990an yang menggabungkan subjek Sains, Geografi, Sejarah dan Sivik.

Pada masa sekarang, para peminat jalan raya di peringkat menengah rendah hanya berupaya merasai topik berkaitan jalan raya semasa di Tingkatan 2 sahaja. Ia berbeza dengan zaman saya di bangku sekolah dahulu, yang mana saya sifatkan sebagai "zaman keemasan" bagi peminat jalan raya di sekolah menengah kerana topik berkaitan jalan raya dapat dirasai sebanyak 3 kali. Sebab itulah saya mengecam silibus Geografi KBSM sekarang yang saya sifatkan telah gagal melahirkan pelajar yang tahu menghargai, menyayangi dan memartabatkan jalan raya Malaysia.

Menurut silibus Geografi KBSM sekarang, pelajar sekolah menengah hanya merasai topik-topik berkaitan jalan raya melalui Bab 14 (Keperluan Pengangkutan dan Perhubungan Awal) dan Bab 15 (Perkembangan Jaringan Pengangkutan). Itu pun kandungan dalam kedua-dua bab tersebut sangat mengecewakan saya. Tiada penerangan mengenai rangkaian jalan raya tulang belakang negara. Pelajar langsung tidak diperkenalkan dengan Jalan Persekutuan 1, 2, 3, 4 dan 5. Pelajar langsung tidak diperkenalkan dengan Lebuhraya E1, E2, dan E8. Pelajar tidak diperkenalkan dengan Lebuhraya Pan Borneo FQ1, FS1, FS13 dan FS22. Pelajar tidak mungkin akan mengetahui Rangkaian Lebuh Raya Asia jika tidak mencari di Wikipedia mahupun Blog Jalan Raya Malaysia. Malah, pelajar tidak diajar langsung untuk mengenali sistem kod laluan jalan raya Malaysia. Selain itu, sejarah perkembangan jalan raya di Malaysia yang ditulis di dalam buku teks pula terlalu ringkas dan tidak terperinci, seolah-olah mereka yang terlibat dalam penggubalan silibus Gengrafi KBSM ini langsung tidak pernah menjenguk ke Pusat Rujukan Jalan Negara (PRJN). Maaf kalau saya katakan mutu silibus Geografi KBSM sekarang ini sekadar "berkualiti sampah", tetapi itulah hakikatnya.

Bagaimana pula dengan sistem jalan raya antarabangsa...? Tiada Rangkaian Lebuh Raya Asia. Tiada rangkaian lebuh raya Jepun. Yang ada hanyalah sedikit perbandingan antara jalan raya Malaysia dengan Lebuhraya Trans Kanada, itu pun terlalu sedikit.

Saya sudah tidak tahan lagi. Berikutan mutu silibus Geografi yang sangat mengecewakan, maka lebih baik saya sendiri yang menjadi guru Geografi dan mengajar Bab 15 Tingkatan 2 ini.

Sudah bersedia anak-anak murid sekalian...? Bagus.

Lebuhraya Trans Kanada merupakan satu rangkaian jalan raya timur-barat kebangsaan yang menghubungkan antara wilayah-wilayah di Kanada iaitu British Columbia, Alberta, Saskatchewan, Manitoba, Ontario, Quebec, New Brunswick, Pulau Prince Edward, Nova Scotia dan Newfoundland. Buku teks dan buku rujukan Geografi KBSM menulis panjang keseluruhan Lebuhraya Trans Kanada sebagai 7,300 km, tetapi panjang sebenar Lebuhraya Trans Kanada ialah 7,821 km. Lebuhraya Trans Kanada merupakan antara jalan raya kebangsaan terpanjang di dunia selain Lebuhraya Trans Siberia dan Lebuhraya 1 Australia.

Namun, terdapat banyak perkara yang tidak diceritakan dalam buku teks Geografi KBSM Tingkatan 2. Projek Lebuhraya Trans Kanada mula diumumkan melalui Akta Lebuhraya Trans Kanada 1949. Pembinaannya dimulakan pada tahun 1950, mula dibuka secara berperingkat-peringkat pada tahun 1962 dan siap sepenuhnya pada tahun 1971.

Buku teks Geografi Tingkatan 2 membandingkan Lebuhraya Trans Kanada dengan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 di Malaysia, tetapi ia bukanlah satu perbandingan yang sepadan. Kenapa pula saya katakan tidak sepadan...? Semenanjung Malaysia mempunyai banyak jalan persekutuan yang dibina, dibiayai dan diselenggara oleh kerajaan persekutuan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR). Malah, lebuh raya ekspres di Malaysia juga membentuk salah satu kelas jalan persekutuan, tetapi dibezakan dengan jalan persekutuan lain melalui perancangan (Lembaga Lebuhraya Malaysia), pembiayaan, pembinaan dan penyelenggaraan (ketiga-tiganya di bawah tanggung jawab syarikat konsesi masing-masing). Sebaliknya di Sabah dan Sarawak, hanya sebilangan kecil sahaja jalan persekutuan yang diklasifikasikan sebagai Jalan Persekutuan Utama, dan laluan-laluan inilah yang membentuk Lebuhraya Pan Borneo AH150.

Sementara itu pula, rangkaian jalan raya di Kanada pula berbeza. Semua jalan raya di Kanada merupakan jalan wilayah - daripada jalan kampung sehinggalah kepada lebuh raya ekspres berbilang lorong. Setiap wilayah mempunyai sistem kod laluannya yang tersendiri dan tidak seragam. Jika sesebuah jalan raya memasuki wilayah lain, kod laluannya akan turut bertukar. Misalnya, Lebuhraya Ontario 401 bertukar kod laluannya menjadi Quebec Autoroute A20 sebaik melepasi sempadan Ontario-Quebec. Namun, masih terdapat beberapa batang jalan raya yang diwartakan sebagai Jalan Persekutuan tetapi masih mengekalkan kod laluan wilayah. Lebuhraya Trans Kanada merupakan salah satu daripada sebilangan kecil jalan persekutuan di Kanada yang diwartakan daripada jalan-jalan wilayah sedia ada. Ia boleh dikenal pasti melalui jata daun maple berwarna hijau yang ditempatkan bersebelahan kod laluan wilayah sedia ada.








Lebuhraya Pan Borneo Sabah AH150 terdiri daripada Jalan Persekutuan 1 (atas), 22 (tengah) dan 13 (bawah)




Di Sarawak, hanya ada satu sahaja laluan Lebuhraya Pan Borneo iaitu Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1/AH150






Tiada kod laluan khusus bagi Lebuhraya Trans Kanada - laluan yang diwartakan mengekalkan kod laluan wilayah sedia ada dan digandingkan dengan jata daun mapel hijau. Contoh: Lebuhraya Ontario 417 (atas) dan Quebec Autoroute A20 (bawah)


Tiada kod laluan khusus untuk jalan raya yang diwartakan sebagai laluan Lebuhraya Trans Kanada. Sebaliknya, jalan yang diwartakan itu menggunakan kod laluan wilayah sedia ada tetapi digandingkan dengan jata daun maple hijau. Jika dibandingkan dengan Lebuhraya Pan Borneo, hanya satu sahaja jalan persekutuan yang diwartakan sebagai Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak iaitu Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQ1, manakala di Sabah pula tiga buah jalan persekutuan diwartakan sebagai laluan Lebuhraya Pan Borneo iaitu Jalan Persekutuan 1, 13 dan 22. Lebuhraya Pan Borneo diwartakan oleh UNESCAP sebagai Lebuhraya Asia AH150, jadi ia tidak memerlukan sebarang jata khas kecuali jata laluan JKR dan jata Rangkaian Lebuh Raya Asia. Malangnya, masih tiada sebarang usaha dilakukan untuk menggandingkan jata laluan AH150 dengan jata laluan sedia ada, meskipun Brunei sudah pun menggunakannya.

Sementara itu, jalan-jalan wilayah yang diwartakan sebagai Lebuhraya Trans Kanada adalah seperti berikut:-

  1. Laluan British Columbia 1
  2. Laluan Alberta 1
  3. Laluan Saskatchewan 1
  4. Laluan Manitoba 1
  5. Laluan Manitoba 100 (Lebuhraya Perimeter Winnipeg)
  6. Laluan Ontario 17 dan 17A
  7. Laluan Ontario 71
  8. Laluan Ontario 11
  9. Laluan Ontario 69
  10. Lebuhraya Ontario 400
  11. Laluan Ontario 16
  12. Laluan Ontario 12
  13. Laluan Ontario 7
  14. Lebuhraya Ontario 417
  15. Quebec Autoroute 40
  16. Quebec Autoroute 25
  17. Quebec Autoroute 20
  18. Quebec Autoroute 85
  19. Laluan Quebec 185
  20. Laluan New Brunswick 2
  21. Laluan New Brunswick 16
  22. Jambatan Konfederasi
  23. Laluan Prince Island 1
  24. Laluan Nova Scotia 104
  25. Laluan Nova Scotia 106
  26. Laluan Nova Scotia 105
  27. Laluan Newfoundland 1

Banyak kan...? Saya lebih menyukai sistem kod laluan negara jirannya iaitu Amerika Syarikat dan Malaysia kerana lebih sistematik.




Mile Zero Monument di Victoria, British Columbia yang merupakah Kilometer Sifar rasmi bagi Lebuhraya Trans Kanada


Kilometer Sifar bagi Lebuhraya Trans Kanada terletak di Mile Zero Monument yang terletak di simpang Douglas Street BC1 dengan Dallas Road di Victoria, British Columbia, Kanada.

Rasanya tidak perlulah saya ceritakan mengenai kepentingan Lebuhraya Trans Kanada ini kerana ia sudah pun diceritakan di dalam buku teks. Saya hanya memberikan huraian lebih mendalam mengenai Lebuhraya Trans Kanada yang tidak diceritakan di dalam buku teks buat rujukan Panitia Geografi sekolah, guru-guru Geografi serta para pelajar sekolah menengah yang mengambil mata pelajaran Geografi. Paling penting, saya amat mengharapkan agar buku teks Geografi KBSM dipinda kerana kandungannya sudah tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa, lebih-lebih lagi setelah pelajar-pelajar sekolah kini mempunyai akses terhadap ilmu geografi yang lebih menyeluruh melalui Wikipedia dan juga Blog Jalan Raya Malaysia.