Wednesday, July 9, 2014

Melaka Bandaraya Bersejarah Bahagian 7: Menempah bilik hotel atas talian / Historic City of Malacca Part 7: Booking a hotel room online




Salam sejahtera,

Dalam kembara Blog Jalan Raya Malaysia di Melaka baru-baru ini, kami memilih untuk menempah bilik hotel lebih awal secara dalam talian berikutan pengajaran yang kami perolehi di Cameron Highlands tahun lalu. Semasa kami ke Cameron Highlands tahun lalu, kami tidak membuat tempahan awal bagi bilik hotel; akibatnya, kami terpaksa turun ke Ipoh dan menginap di sebuah hotel bajet sebelum berjaya mendapatkan bilik hotel bagi malam kedua di sana.

Untuk kembara ke Melaka kali ini, kami menggunakan khidmat laman web Agoda.com untuk menyenaraikan hotel-hotel di Melaka yang bukan sahaja bersesuaian dengan bajet kami, tetapi juga paling dekat dengan kebanyakan destinasi yang kami rancang untuk dilawati. Kami memulakan kerja pencarian hotel lebih kurang seminggu sebelum bertolak dan seterusnya menyenarai pendek sebelum akhirnya sepakat membuat keputusan memilih hotel. Setelah membuat keputusan, tanpa membuang masa kami membuat tempahan bilik hotel menggunakan kad debit saya.

Bagi penginapan sepanjang berada di Melaka, kami memilih City Park Hotel Melaka di Bandar Hilir, Melaka. Pemilihan hotel tersebut adalah berdasarkan kepada julat bajet kami untuk penginapan serta lokasinya yang sangat strategik serta sangat hampir dengan kebanyakan destinasi utama di Bandaraya Melaka seperti Mahkota Parade, Dataran Pahlawan, A Famosa, bandar lama Melaka dsb. Ia dihubungi dengan mudah dengan Jalan Syed Abdul Aziz FT192 dan Jalan Pulau Melaka. Sarapan turut disediakan untuk kami di hotel.

Berikut merupakan panduan ringkas yang boleh membantu anda sekiranya anda merancang untuk menempah hotel secara atas talian:-

  1. Rancang perjalanan anda lebih awal. Sebaik-baiknya, buat tempahan awal kerana ada kemungkinan kesemua hotel telah penuh ditempah pada hari percutian anda. Ia benar terutamanya semasa cuti sekolah, cuti musim panas serta musim perayaan.
  2. Dapatkan senarai penuh hotel-hotel yang bersesuaian dengan bajet anda. Seterusnya, daripada senarai tersebut, bincang dengan rakan-rakan atau ahli keluarga yang turut serta dalam percutian anda untuk menyenarai pendek dan seterusnya membuat keputusan muktamad mengenai hotel yang bakal anda inapi.
  3. Semasa membuat keputusan, baca reviu daripada para pengunjung yang pernah mengunjungi hotel tersebut. Anda sudah tentunya tidak mahu menginap di hotel yang mana kakitangannya melayan anda dengan biadab serta tinggal di bilik yang kotor dan tidak dikemas dengan rapi.
  4. Kaedah pembayaran yang lazim digunakan bagi tempahan hotel atas talian adalah melalui kad kredit / debit dan akaun PayPal. Saya nasihatkan anda agar menggunakan kad debit kerana ia dapat membantu anda merancang perbelanjaan dengan lebih berhemah.
  5. Semasa membuat tempahan bilik hotel, pastikan sambungan internet anda cukup stabil tanpa terputus-putus. Sambungan internet yang tidak stabil sudah tentu akan menimbulkan masalah; masalah paling besar sudah tentulah semasa urusan pembayaran sedang diproses. Walau apa pun yang berlaku, jangan sekali-kali mengklik butang Refresh pada tetingkap pelayar Web anda ataupun menekan butang F5 pada papan kekunci, kerana perbuatan sedemikian boleh menyebabkan anda dikenakan tempahan berganda (duplicate booking). Jika sambungan internet anda bermasalah, semak baki akaun bank atau kad kredit anda terlebih dahulu sebelum meneruskan semula dengan urusan pembayaran.
  6. Sebaik sahaja pembayaran berjaya, anda akan menerima satu invois bagi tempahan hotel anda dalam format PDF melalui akaun e-mel anda. Simpan PDF tersebut dalam pemacu kilat USB anda dan cetak PDF tersebut kerana ia merupakan dokumen penting yang wajib ditunjukkan semasa mendaftar masuk, berserta dengan kad pengenalan bagi membuktikan identiti anda.

Entri seterusnya dalam siri kembara Blog Jalan Raya Malaysia ke Melaka akan membawa anda menyelusuri sepanjang Sungai Melaka.

No comments:

Post a Comment