Monday, July 14, 2014

Melaka Bandaraya Bersejarah Bahagian 10: Lebuh Ayer Keroh FT143 / Historic City of Malacca Part 10: Lebuh Ayer Keroh FT143

Salam sejahtera,

Reviu terakhir dalam siri jelajah Blog Jalan Raya Malaysia ke Melaka membawa anda kepada laluan pintu masuk utama ke Melaka dari Lebuhraya Utara-Selatan E2. Laluan yang saya maksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Lebuh Ayer Keroh FT143, juga dikenali sebagai Jalan Tun Abdul Razak Ayer Keroh FT143. Memandangkan kami hendak pulang semula ke Kuala Lumpur, maka jalan ini sesuai dijadikan sebagai reviu penutup tirai bagi siri kembara Blog Jalan Raya ke Melaka.

Sedikit mengenai sejarah Lebuh Ayer Keroh FT143 ini. Sejarah Lebuh Ayer Keroh FT143 ini berkait rapat dengan sejarah Lebuhraya Utara-Selatan E2 itu sendiri. Lembaga Lebuhraya Malaysia membina sambungan kepada Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban sebagai Lebuhraya Utara-Selatan E2, yang mana laluan tersebut direka bagi melalui negeri Melaka, sekaligus memintas laluan ke Segamat. Pemotongan laluan ke Segamat bukan sahaja membolehkan Lebuhraya Utara-Selatan dibina lebih pendek, malah ia juga membolehkan E2 dihubungkan ke Bandaraya Melaka. Namun, lokasi sebenar Bandaraya Melaka ialah di tepi laut, maka sebatang jalan raya arteri utama diperlukan sebagai penghubung utama antara Bandaraya Melaka dengan E2.

Laluan yang dipilih sebagai jalan masuk utama ke Bandaraya Melaka dari E2 itu asalnya ialah Jalan Negeri Melaka M29 yang menghubungkan antara Peringgit, Padang Jambu, Bukit Beruang dan Ayer Keroh sebelum tamat di Durian Tunggal; kedua-dua penghujungnya terletak di Jalan Negeri Melaka M2 (kini diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan 142). Asalnya, keseluruhan jalan tersebut merupakan jalan raya tunggal, tetapi ia kemudiannya dinaik taraf secara beransur-ansur. Semasa pembinaan sambungan Lebuhraya Utara-Selatan E2 ke Ayer Keroh, laluan dari arah Melaka dilencongkan terus ke Plaza Tol Ayer Keroh, manakala laluan ke Durian Tunggal dilencongkan ke kiri. Satu laluan baharu dibina bagi memintas Bukit Beruang dan seterusnya melalui Kawasan Perindustrian Ayer Keroh sebelum akhirnya bertemu semula dengan jalan lama M29 di Graha Makmur. Jalan baharu ini dibina empat lorong, tetapi ia masih lagi jalan raya tunggal. 

Pada tahun 1992, laluan dari Persimpangan Istana Melaka sehingga ke Persimpangan Bukit Beruang di Graha Makmur dinaik taraf sebagai jalan raya kembar. Akhirnya pada tahun 1997 keseluruhan Lebuh Ayer Keroh dinaik taraf menjadi jalan raya kembar. Laluan di Padang Jambu pula dipintas untuk meluruskan laluan Lebuh Ayer Keroh. Lebuh Ayer Keroh diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan 143 pada 22 Januari 1997. Namun, Jalan Bukit Beruang M29 dan Jalan Durian Tunggal M29 masih mengekalkan kod laluan lama, maka Jalan Negeri Melaka M29 bertindih dengan FT143 bermula dari penamat Jalan Bukit Beruang M29 dekat MITC sehinggalah ke simpang Jalan Durian Tunggal M29 dekat Litar Sukan Bermotor Antarabangsa Melaka (MIMC).

Peranan FT143 sebagai pintu masuk utama ke Bandaraya Melaka melalui Lebuhraya Utara-Selatan E2 telah membawa banyak limpahan kemajuan di sepanjang laluannya. Ayer Keroh dijadikan sebagai bandar satelit utama bagi Bandaraya Melaka. Kawasan perindustrian tumbuh bagai cendawan di FT143 kerana peranan FT143 memudahkan barangan yang dikilangkan - daripada sekadar makanan ringan sehinggalah kepada besi keluli - dihantar dengan lebih pantas melalui Lebuhraya Utara-Selatan E2. Selain itu, banyak taman tema yang dibina di sepanjang FT143 seperti Zoo Melaka, Taman Buaya Ayer Keroh, Melaka Wonderland, Taman Rama-Rama, Mini Malaysia dan Mini Asean. Malah, kompleks Dewan Undangan Negeri Melaka yang baharu di Seri Negeri juga dibina di Ayer Keroh. Kesemua pembangunan di sepanjang Ayer Keroh ini akhirnya membawa kepada pemisahan Ayer Keroh (bersama-sama Batu Berendam, Durian Tunggal, Bemban dan Bukit Beruang) daripada pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan seterusnya membentuk satu kawasan perbandaran baharu di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan yang baharu iaitu Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya pada 2006.

Berikutan peranan besar Lebuh Ayer Keroh FT143 sebagai pintu masuk utama Melaka dari Lebuhraya Utara-Selatan, jalan FT143 ini sering sesak terutamanya semasa musim cuti sekolah dan musim perayaan. Persimpangan yang sering sesak teruk ialah Persimpangan MITC-Seri Negeri, Persimpangan Istana Melaka dan Persimpangan Tun Ghafar Baba. Untuk menangani kesesakan di sepanjang FT143, kerajaan negeri Melaka memohon peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk membina empat buah persimpangan bertingkat di sepanjang Lebuh Ayer Keroh FT143, iaitu Persimpangan MITC-Seri Negeri, Persimpangan Istana Melaka, Persimpangan Bukit Beruang dan Persimpangan Tun Ghafar Baba. Peruntukan sejumlah RM300 juta telah diluluskan bagi pembinaan persimpangan bertingkat MITC-Seri Negeri dan Tun Ghafar Baba, manakala pembinaan bagi dua lagi persimpangan masih lagi menunggu peruntukan daripada kerajaan persekutuan. Tarikh mula pembinaannya masih lagi belum diumumkan. Setakat ini, satu-satunya persimpangan bertingkat di sepanjang Lebuh Ayer Keroh FT143 terletak di penghujung Lebuh SPA FT33 yang terletak tidak jauh dari Plaza Tol Ayer Keroh.

Dari Melaka, kami memulakan perjalanan pulang melalui Lebuh Ayer Keroh FT143 bermula dari pangkalnya di Persimpangan Tun Ghafar Baba. Keadaan trafik di sepanjang FT143 boleh dikatakan agak lancar kecuali di Persimpangan Tun Ghafar Baba yang agak sesak sedikit, berikutan keadaan Jalan Mufti Khalil FT142 yang hanya selebar empat lorong sahaja; jajaran dari Persimpangan Tun Ghafar Baba sehingga ke Persimpangan Al-Azim perlu dilebarkan kepada enam lorong bagi menangani kadar aliran trafik yang tinggi. Semasa di Ayer Keroh, kami memenuhkan tangki minyak di stesen minyak Shell Lebuh Ayer Keroh di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh. Sebelum meninggalkan bumi Hang Tuah ini, kami singgah sebentar di gerai cenderamata di Taman Buaya Melaka untuk membeli beberapa bungkus kerepek, dodol dan gula melaka untuk dibawa pulang.

Sedih pula rasanya hendak meninggalkan bumi Hang Tuah yang cukup bertuah ini. Pintu gerbang Ayer Keroh yang turut berperanan sebagai penanda sempadan daerah Melaka Tengah-Jasin itu menandakan bahawa kami bakal meninggalkan negeri Melaka yang penuh bersejarah ini. Lebuh Ayer Keroh FT143 tamat di Plaza Tol Ayer Keroh sebelum memasuki Lebuhraya Utara-Selatan E2.

Sebelum saya menamatkan siri jelajah Blog Jalan Raya Malaysia ke Melaka Bandaraya Bersejarah secara rasminya, ikuti entri finale bagi siri jelajah ini berjudul "...Hingga Ia Lenyap" (...Until It's Gone) hanya di Blog Jalan Raya Malaysia.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.







Permulaan Lebuh Ayer Keroh FT143 di Persimpangan Tun Ghafar Baba






Persimpangan Pengkalan Batu ini terletak di laluan baharu yang memintas Padang Jambu






Persimpangan Bukit Beruang






Persimpangan Istana Melaka untuk ke Istana Melaka, Bukit Beruang dan Jalan Bukit Katil M144/M107






Persimpangan Industri Ayer Keroh






Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, kami singgah sebentar ke gerai tepi jalan di Taman Buaya Ayer Keroh. Untk kembali semula ke FT143, kali perlu memasukinya melalui Persimpangan Taman Botanikal






Persimpangan Lebuh SPA FT33 merupakan satu-satunya persimpangan di sepanjang Lebuh Ayer Keroh FT143 setakat ini






Lebuh Ayer Keroh FT143 tamat di Plaza Tol Ayer Keroh

No comments:

Post a Comment