Wednesday, July 9, 2014

Melaka Bandaraya Bersejarah Bahagian 6: Suatu malam di Jalan Hang Jebat / Historic City of Malacca Part 6: A night at Jonker Street

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana agak lambat mengemaskini blog ini disebabkan saya pulang sebentar ke kampung halaman di Segamat, Johor. Seperti dijanjikan, saya akan menyambung semula kisah pengembaraan Blog Jalan Raya Malaysia di Melaka pada 21 hingga 22 Jun 2014.

Episod pengembaraan kami disambung semula di tengah-tengah bandar lama Melaka. Pada awalnya, saya berasa malas hendak terus berjalan-jalan kerana keletihan setelah sehari suntuk bermotosikal dari Kuala Lumpur ke Melaka. Namun, panorama waktu malam yang indah di tengah-tengah bandar raya Melaka menyebabkan saya mengubah fikiran dan seterusnya bersiar-siar di pusat bandar raya.

Terlebih dahulu, kami ke Melaka Pirate Park, sebuah taman tema di tebing Sungai Melaka. Sebenarnya, Pirate Park ini dahulunya menempatkan bangunan stesen bas lama Melaka sebelum ia dipindahkan ke Melaka Sentral yang lebih strategik berikutan lokasinya di tepi Lebuh AMJ FT19. Setelah stesen bas lama Melaka dirobohkan, ia dibangunkan semula sebagai sebuah taman tema mini bertemakan kapal lanun dengan kos sejumlah RM3.3 juta. Antara tarikan menarik di Pirate Park ialah Ferris Wheel, Pirate Ship, Trampoline Bungee, Mad Cow, Haunted Castle, serta aktiviti lasak seperti memanjat batu dan flying fox. Anda juga berpeluang untuk menyaksikan sendiri keindahan bandar raya Melaka pada waktu malam dari dalam gondola Ferris Wheel yang juga diberi nama Eye on Melaka.

Setelah puas berhibur di Pirate Park, kami ke Jalan Hang Lebat di tengah-tengah bandar lama Melaka untuk menyaksikan ragam manusia di situ. Jalan Hang Jebat yang lebih dikenali sebagai Jonker Street menjadi tumpuan pada malam hari kerana pada waktu itu terdapat bazar "uptown" ataupun pasar lambak di jalan tersebut, menyebabkan Jalan Hang Jebat ditutup kepada kenderaan. Sebab itulah kawasan tersebut juga dikenali sebagai Jonker Walk.

Jika diperhatikan, boleh dikatakan hampir kesemua peniaga di sepanjang Jonker Walk ini terdiri daripada keturunan Cina ataupun Baba Nyonya yang kebanyakannya menetap di sekitar bandar lama Melaka ini. Namun, ternyata semangat 1Malaysia ditonjolkan di kalangan pengunjung kerana para pengunjung di Jonker Walk ini bukan hanya terdiri daripada kaum Cina sahaja tetapi semua kaum turut mengunjunginya. Ada yang membeli barangan dan cendera mata, dan ada yang sekadar mencuci mata sahaja. Tak apalah, yang penting keharmonian yang ditunjukkan di Jonker Walk ini turut mengundang para pelancong dari luar negara untuk turut mengunjunginya.

Jadi apa yang kami beli semasa berada di Jonker Walk...? Kami membeli magnet peti sejuk sebagai cendera hati kenang-kenangan, tetapi magnet petu sejuk tersebut bukanlah satu-satunya barangan yang dibeli di situ. Selain magnet peti sejuk, kami sebenarnya membeli sebilah busur dan sebilah busur silang. Biar betul...!!! Sebenarnya, busur dan busur silang tersebut memang tidak sesuai digunakan untuk memanah, tetapi lebih sesuai sebagai mainan ataupun perhiasan semata-mata. Tengok sajalah anak panah yang dibekalkan; mata anak panah untuk busur saya diperbuat daripada plastik boleh lentur manakala mata anak panah busur silang Khairul Azmi pula sekadar pelocok yang boleh melekat di permukaan licin. Namun, mengangkut pulang busur tersebut agak memeningkan kepala; satu-satunya cara untuk mengangkut busur saya ialah dengan menyimpan busur tersebut di dalam beg galas saya (dengan sebahagian daripada busur tersebut terdedah). Kesukaran mengangkut busur tersebut semakin ketara semasa perjalanan pulang melalui Lebuhraya Utara-Selatan E2, kerana angin yang kuat serta zip beg yang semakin terbuka menyebabkan terdapat kemungkinan busur saya diterbangkan angin kuat.

Selain bazar "uptown", Jalan Hang Jebat juga menempatkan makam Hang Kasturi. Nama Jalan Hang Jebat, tetapi di mana pula makam Hang Jebat...? Makam Hang Jebat pula terletak di Jalan Kampung Kuli, tidak jauh dari Jonker Street. Selain makam Hang Kasturi, sebuah taman mini yang dinamakan sebagai Taman Warisan Dunia Jonker Walk turut dibina di Jalan Hang Jebat. Oh ya, jika anda berminat dengan budaya masyarakat Baba Nyonya yang kebanyakannya menetap di bandar lama Melaka, anda boleh mengunjungi Muzium Warisan Baba Nyonya di Jalan Tun Tan Cheng Lock.

Sebaik sahaja jam menunjukkan pukul 12 tengah malam, para peniaga mengemas semua barangan niaga mereka untuk diangkut pulang. Jalan Hang Jebat dibuka semula kepada kenderaan sebaik sahaja kesemua peniaga pulang ke rumah. Masa sudah tiba untuk kembali semula ke hotel dan tidur...!!!

Oh ya, bagaimana pula kami menempah bilik hotel kami...? Ketahuinya dengan lebih lanjut dalam entri seterusnya hanya di Blog Jalan Raya Malaysia...!!!

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.







Bergambar bersama replika "hantu pocong" di pintu masuk Haunted Castle di Pirate Park






Eye on Melaka






Panorama indah Sungai Melaka yang memukau kalbu dari dalam gondola Eye on Melaka






Lautan manusia membanjiri Jonker Walk






Peta Sungai Melaka






Peta bandar lama Melaka






"Bertarung" dengan kerbau di Taman Warisan Dunia Jonker Walk






Antara rumah kedai di Jonker Walk






Lagi rumah kedai di sepanjang Jalan Hang Jebat






Pintu masuk ke Makan Hang Kasturi






Lima pendekar Melayu terkenal pada zaman Kesultanan Melayu Melaka






Maklumat mengenai Hang Kasturi

No comments:

Post a Comment

Advertisement