Salam sejahtera,
Entri kali ini sememangnya menguji keimanan saya dan anda yang sedang berpuasa, kerana saya menulis entri ini tatkala umat Islam sedang berpuasa di siang hari. Bukan itu sahaja, keadaan hari yang sudah gelap sebaik tiba di Jalan Melaka-Muar FT5 pada waktu malam 21 Jun 2014 sehingga sukar untuk mendapatkan gambar yang bagus juga telah menyebabkan entri yang sepatutnya mengenai reviu jalan raya bertukar kepada reviu makanan pula...!!!
Entri ini sepatutnya merupakan entri reviu jalan, kenapa tak ambil gambar sepanjang Jalan Melaka-Muar FT5...? Faktor utama kenapa kami tidak dapat mengambil gambar di sepanjang jalan tersebut adalah disebabkan faktor keselamatan. Seperti Jalan Melaka-Port Dickson FT5, Jalan Melaka-Muar FT5 ini juga tiada bahu jalan di kebanyakan jajaran. Namun, jika dibandingkan dengan Jalan Melaka-Port Dickson FT5, Jalan Melaka-Muar FT5 pula sangat lurus dan boleh dikatakan langsung tiada selekoh tajam, tidak seperti Jalan Melaka-Port Dickson FT5 yang berkelok-kelok pada hampir keseluruhan jajaran. Sungguhpun demikian, keadaan jalan yang gelap serta tiada bahu jalan pada hampir keseluruhan jajaran yang dilalui menyebabkan keadaan tidak begitu selamat untuk mengambil gambar. Silap-silap boleh kena langgar...!!!
Jalan Melaka-Muar FT5 bermula sebagai Jalan Laksamana Cheng Ho FT5 dan Jalan Semabok FT5 sebelum bertemu dengan Lebuh AMJ FT19/FT5 di Persimpangan Semabok. Bermula dari Persimpangan Semabok, FT5 bertindih kod laluan dengan Lebuh AMJ FT19 sehingga ke Persimpangan Duyung di mana FT5 dilencongkan keluar sebagai jalan lama Melaka-Muar. Kenapa tidak naik taraf sahaja jalan lama Melaka-Muar FT5 ini untuk diserap sebagai sebahagian Lebuh AMJ...? Jawapannya mudah sahaja, kerana naik taraf keseluruhan Jalan Melaka-Muar FT5 sebagai Lebuh AMJ sudah tentu memerlukan banyak rumah, premis perniagaan dan bangunan dirobohkan, sekaligus boleh menyebabkan kos pembinaan Lebuh AMJ melambung tinggi sehingga lebih daripada RM1 bilion bagi jarak lebih kurang 50 km sahaja, satu angka yang boleh dianggap tidak masuk akal untuk sebatang lebuh raya kembar yang bukan berstatus lebuh raya ekspres. Sebab itulah majoriti jajaran Melaka-Muar bagi Lebuh AMJ FT19 dibina sebagai laluan baharu.
Hanya setelah memasuki sempadan negeri Melaka-Johor di Persimpangan Kesang barulah Jalan Melaka-Muar FT5 bertemu sekali lagi dengan Lebuh AMJ, dan kali ini hampir keseluruhan jajaran Lebuh AMJ di negeri Johor menggunakan kod laluan FT5 dan bukannya FT19; Persimpangan Kesang membentuk kilometer sifat bagi FT19. Di Persimpangan Parit Bunga, Lebuh AMJ FT5 berubah menjadi Jalan Pintasan Muar FT224, manakala Jalan Melaka-Muar FT5 dilencongkan keluar sebagai Jalan Kesang FT5. Sesetengah peta melabelkan Jalan Kesang FT5 dari Muar sehingga ke Parit Bunga sebagai sebahagian daripada Jalan Segamat-Muar FT23, tetapi andaian tersebut salah sama sekali; FT23 sendiri tamat di Persimpangan Parit Bunga. Jalan Melaka-Muar FT5 tamat secara rasminya di Persimpangan Maharani (dahulunya dikenali sebagai Bulatan Jalan Yahya) setelah melintasi Sungai Muar melalui Jambatan Sultan Ismail FT5.
Dari Persimpangan Bukit Katil-Duyung, kami membelok ke kiri dan terus rapat ke lorong paling kanan di Lebuh AMJ FT19/FT5 kerana jarak antara persimpangan tersebut dengan Persimpangan Duyung begitu rapat, tidak sampai 500 m. Di Persimpangan Duyung, kami membelok ke kanan untuk meneruskan perjalanan di sepanjang FT5.
Perjalanan dari Persimpangan Bukit Katil-Duyung ke Serkam mengambil masa selama lebih kurang 20 minit dengan kelajuan purata 60 km/j. Antara mercu tanda terpenting di sepanjang Jalan Melaka-Muar FT5 yang kami lalui termasuklah Sekolah Henry Gurney yang terletak di Telok Mas, yang sering digelar sebagai "sekolah budak jahat" disebabkan fungsinya yang menggabungkan penjara bagi penjenayah juvana serta sekolah bagi para pesalah tersebut.
Sempadan daerah Melaka Tengah-Jasin terletak di tengah-tengah pekan Umbai. Di situ sendiri pun ada medan ikan bakar, simpangnya terletak betul-betul dekat stesen minyak Petron Umbai. Khairul Azmi kehairanan apabila saya berjalan terus dan bukannya membelok ke kanan. Sebaik berada di persimpangan lampu isyarat pekan Umbai, Khairul Azmi bertanya kepada saya kenapa tidak masuk ke kanan di simpang Petron tadi. Sebenarnya, simpang ke Serkam bukan di situ tetapi masih di hadapan lagi! Hanya setelah tiba di simpang ke Jalan Serkam Pantai M108 barulah saya membelok ke pantai, kerana di situlah lokasi medan ikan bakar Serkam yang saya katakan itu. Melaka ada banyak medan ikan bakar yang jaraknya lebih dekat dengan hotel penginapan kami, kenapa pula saya memilih Serkam....? Teruskan membaca sehingga habis untuk mengetahui jawapannya.
Kami tiba di medan ikan bakar Serkam semasa perkampungan nelayan itu sedang meriah dengan pasar malam di simpang masuk ke medan ikan bakar tersebut. Ada dua buah restoran ikan bakar di situ. Kami memilih restoran di sebelah kanan kerana kelihatan lebih meriah. Menu kami pada malam itu terdiri daripada nasi putih, ikan bakar, kepah masam manis, sotong goreng tepung, kailan ikan masin, sejag besar air tembikai (sejag besar untuk 2 orang...? Biar betul!), otak-otak dan pencuci mulut yang terdiri daripada puding dan air kelapa laut.
Sebaik kesemua hidangan yang kami pesan sudah terhidang, kami mula menikmati keenakannya. Isi ikan dan kepah tersebut terasa lembut, manis dan bersari, menandakan bahawa ikan dan kepah tersebut baharu sahaja ditangkap dari laut. Begitu juga dengan sotong goreng tepung, rasanya bukan sahaja begitu rangup, malah isi sotong tersebut begitu lazat dan bersari. Sebelum ini kami pernah makan di satu medan ikan bakar di Jeram, Kuala Selangor, dan Khairul Azmi berpendapat bahawa kesemua hidangan yang kami pesan itu lebih sedap dan menyelerakan daripada apa yang kami makan di medan ikan bakar Jeram - jika apa yang kami makan di Jeram itu sedap, di Serkam pula jauh lebih sedap.
Berapa pula kos kemusnahan pada poket kami...? Tak mahal pun, cuma RM83 bagi kami berdua sahaja, yang mana kami sifatkan sebagai sangat berbaloi. Mungkin harga hidangan kami inilah yang paling banyak merabakkan poket kami sepanjang di Melaka, tetapi ia sangat memuaskan hati kami kerana harga yang ditawarkan itu setimpal dengan keenakan dan kelazatan yang kami nikmati itu. Dengan perut yang penuh, kami kembali semula ke hotel penginapan kami di Bandar Hilir.
Bagaimana pula keadaan malam di tengah-tengah bandar lama Melaka...? Ikutinya dalam entri mengenai Jonker Street pula...!!!
Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.
Iklan yang tidah mematuhi hukum DM ini menarik perhatian saya
Inilah santapan kami semasa di medan ikan bakar Serkam
Appetiser: Sotong goreng tepung
Main course: Ikan bakar...!!!
Side order: Kepah masam manis
Kailan ikan masih - pada masa ini barulah Khairul Azmi berasa menyesal kerana katanya dia sepatutnya memesan sayur kangkung goreng belacan, memandangkan Melaka terkenal sebagai negeri pengeluar belacan
No comments:
Post a Comment