Gambar petikan daripada video insiden wanita mengamuk setelah keretanya dilanggar secara tidak sengaja oleh seorang warga emas
(Kredit gambar: Harian Metro)
Salam sejahtera,
Sepanjang tiga hari yang lepas (14-16 Julai 2014), negara digemparkan dengan video insiden seorang wanita mengamuk apabila kereta Peugeot 208 putih bernombor pendaftaran CDM25 dilanggar secara tidak sengaja oleh sebuah kereta Toyota Corolla yang dipandu oleh seorang warga emas ketika di UTC Kuantan, Pahang, yang tersebar luar di laman sosial Facebook. Dalam masa tidak sampai 24 jam, video tersebut menjadi viral di serata alam siber, mengundang maki-hamun para penontonnya terhadap wanita pemilik kereta Peugeot tersebut kerana didakwa bersikap kasar dan biadab terhadap orang tua, manakala rasa simpati para penonton video tersebut rata-ratanya berpihak kepada pemandu warga emas tersebut yang lebih mesra dikenali sebagai Uncle Sim.
Dalam insiden itu, wanita yang dikenali sebagai Kiki itu menengking Uncle Sim yang terlanggar kereta Peugeotnya secara tidak sengaja dengan kata-kata kesat. Sambil menghentak-hentak bonet kereta Toyota Corolla Uncle Sim dengan menggunakan sebatang pengunci stereng hingga berlekuk, Kiki mengugut Uncle Sim untuk membayar RM2,000 sebagai ganti rugi kepada bampar belakangnya yang kemek sedikit akibat dilanggar secara tidak sengaja.
Sebenarnya, insiden tersebut sudah pun diselesaikan secara baik semalam. Tatkala anak Uncle Sim mengugut untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap wanita tersebut, Uncle Sim yang merupakan seorang pesara kerajaan dari awal-awal lagi memaafkan Kiki dan mengambil keputusan untuk tidak membuat laporan polis. Tertekan dengan cacian dan maki-hamun daripada warga alam siber, Kiki akhirnya menyesali perbuatannya dan mengeluarkan permohonan maaf secara rasmi serta merayu kepada orang ramai agar berhenti menyebarkan video tersebut. Malah, Kiki sendiri sehingga ke tahap mahu menukar nombor pendaftaran keretanya yang sudah menjadi "nombor plet suwey" akibat insiden tersebut. Kes tersebut akhirnya selesai secara baik.
Namun, apa yang dikesalkan ialah masyarakat masih lagi menghukumnya tatkala kedua-dua pihak sudah pun berdamai dan kes diselesaikan dengan cara yang baik. Saya sendiri mengakui bahawa saya sendiri pun salah seorang daripada "mahafiraun Facebook" yang menghukum Kiki tanpa sebarang bicara serta tanpa memberi peluang kepada Kiki untuk membela dirinya, apatah lagi memberinya peluang untuk menebus kembali kesalahannya itu. Saya difahamkan Kiki memiliki sebuah perniagaan kerja kahwin, dan insiden tersebut telah menyebabkan perniagaannya terjejas. Sepanjang tempoh insiden pengunci stereng menjadi hangat, laman Facebooknya bukan sahaja dibanjiri cacian dan maki-hamun, malah turut digodam. Bukan itu sahaja, malah laman Facebook Peugeot Malaysia sendiri pun menjadi mangsa troll akibat insiden yang menjadikan jenama Peugeot terkenal secara tidak langsung. Kiki sudah pun meminta maaf dan Uncle Lim pun sudi memaafkannya, jadi adilkah jika kita terus menghukumnya lagi tanpa memberi walau sedikit peluang untuk mereka berdamai dan berbaik-baik semula...? Cara kita menghukum Kiki bukan sahaja lebih kejam daripada hukuman mati, malah lebih zalim daripada Firaun. Atas dasar inilah saya ingin mengajak bukan sahaja para peminat Blog Jalan Raya Malaysia, malah seluruh warga siber di luar sana agar kita sama-sama memaafkannya dan memberi peluang kepada Kiki untuk menebus kembali kesilapannya. Sedangkan Rasulullah ampunkan umatnya, malah Allah sendiri pun ampunkan hamba-hamba-Nya, inikan pula insan biasa seperti kita.
Sebenarnya, cerita Kiki dan pengunci sterengnya itu hanyalah secebis kecil daripada insiden-insiden yang sebenarnya mencerminkan perangai orang-orang kita sendiri setiap kali berlaku kemalangan walaupun sekadar kemalangan kecil. Perkara pertama yang sering dilakukan oleh orang-orang kita setiap kali terlanggar sesama sendiri tidak lain dan tidak bukan hanyalah bergaduh, atau lebih teruk lagi, bertumbuk - bukannya hendak membuat laporan polis, mengambil gambar kejadian serta menyediakan dokumen-dokumen untuk tuntutan insurans. Setiap kali kita dilanggar, kita melepaskan amarah kita kepada orang yang melanggar dengan koleksi perbendaharaan kata kesat dan lucah, serta menuntut si tukang langgar itu untuk membayar ganti rugi dengan angka yang sebenarnya jauh lebih mahal daripada kos sebenar bahagian kereta yang terjejas itu. Apa tidaknya, kadar premium insurans kenderaan yang semakin mahal dan kesukaran untuk membuat tuntutan insurans serta kerenah birokrasi telah menyebabkan ramai di kalangan orang kita yang mengambil jalan penyelesaian sendiri, iaitu dengan menghidangkan aksi WWE percuma di atas jalan raya.
Jadi apa patut anda lakukan sekiranya terlibat dalam kemalangan akibat orang lain melanggar anda...? Ikuti prosedur berikut:-
- Bertenang. Jangan bertengkar atau bergaduh dengan pemandu kenderaan yang melanggar anda. Kemalangan sudah pun terjadi. Cuba keluar dari kenderaan anda, dan jika ada penumpang, keluarkan mereka juga.
- Panggil ambulans (jika terdapat kecederaan atau kematian) dan polis.
- Ambil gambar keadaan kenderaan dari arah hadapan, penjuru, tepi dan belakang. Gambar-gambar sebegini sangat penting untuk membantu siasatan pihak polis.
- Kedua-dua pihak (yang melanggar dan dilanggar) perlu membuat laporan polis mengenai kemalangan tersebut. Bawa kenderaan masing-masing ke balai polis untuk siasatan (pandu jika masih boleh dipandu; jika tidak boleh dipandu, gunakan khidmat lori tunda).
- Dapatkan maklumat mengenai senarai bengkel panel yang dilantik oleh syarikat insurans anda dan hantar kenderaan anda untuk diperbaiki di situ (kecuali kes total lost).
- Dapatkan dokumen-dokumen berikut dari balai polis tempat anda membuat laporan bagi urusan tuntutan insurans:-
- Salinan laporan polis daripada kesemua pihak yang terlibat
- Laporan siasatan kes kemalangan
- Gambar rajah kasar lokasi kemalangan
- Gambar-gambar keadaan kenderaan
- Bawa kesemua dokumen tersebut dari balai polis ke bengkel panel. Sebagai tambahan, anda juga perlu membawa bersama beberapa dokumen berikut:-
- Salinan geran kenderaan
- Salinan polisi insurans
- Salinan cukai jalan
- Salinan kad pengenalan dan lesen memandu
(Sumber: D ARC Service Centre dan Insurance Info)
Kesimpulannya, kita seharusnya belajar mengawal emosi setiap kali berlaku kemalangan jalan raya. Bergaduh atau bertumbuk di atas jalan raya tidak akan menyelesaikan sebarang masalah; sebaliknya, ia hanya akan membawa kepada insiden memalukan seperti yang dialami oleh Kiki itu. Sebaliknya, kita perlu belajar mengikut prosedur yang betul untuk mendapatkan tuntutan insurans agar kenderaan yang terjejas akibat kemalangan dapat dibaik pulih semula seperti sedia kala tanpa perlu merobekkan poket mana-mana pihak. Mengenai insiden Kiki itu pula, cukup-cukuplah menghinanya di laman sosial Facebook, kerana kesnya itu sudah selesai dengan cara baik. Kita perlu ingat bahawa kebanyakan daripada kita di sini pun dua kali lima sahaja sepertinya juga jika kita sendiri mengalami kemalangan yang serupa. Kiki hanya tidak bernasib baik kerana kemalangan tersebut melibatkan seorang warga tua, menyebabkan Kiki dicap sebagai "biadab" dan "kurang ajar" dengan orang-orang tua, sedangkan kita sendiri pun sebenarnya sama sahaja dengannya jika mengalami insiden serupa. Akhir kata, jangan jadikan pahala puasa kita sia-sia akibat diracuni amarah dan sikap suka mengumpat dan menghina orang secara keterlaluan, terutamanya di laman sosial.
No comments:
Post a Comment