Sunday, July 13, 2014

Melaka Bandaraya Bersejarah Bahagian 9: Reviu Jalan Syed Abdul Aziz FT192 dari puncak Menara Taming Sari / Historic City of Malacca Part 9: Review of Jalan Syed Abdul Aziz FT192 from the top of Taming Sari Tower

Salam sejahtera,

Dalam kebanyakan reviu jalan raya yang telah dijalankan oleh Blog Jalan Raya Malaysia, terdapat dua kaedah yang paling lazim digunakan untuk mengambil gambar, iaitu sama ada dengan menggunakan motosikal ataupun kereta. Penggunaan motosikal membolehkan saya mengambil gambar-gambar yang lebih terperinci dan, apabila gambar yang diambil itu kurang menepati selera saya, saya boleh memadamnya dan mengambil semula gambar di sekitar lokasi yang sama. Namun, ia perlu dilakukan di bahu jalan yang cukup lebar untuk mengelakkan daripada risiko dilanggar dari arah belakang. 

Sementara itu pula, fotografi dari dalam kereta pula membolehkan saya mengambil gambar di jalan raya atau lebuh raya yang tiada bahu jalan dengan lebih selamat, tetapi ia memerlukan seorang rakan yang bertindak sebagai jurugambar; saya tidak boleh lakukannya sendiri semasa sedang memandu kerana ia sangat berbahaya, memandangkan saya perlu menumpukan sepenuh perhatian semasa memandu. Dengan kata lain, perbuatan mengambil gambar semasa memandu itu samalah seperti menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Selain itu, mengambil gambar dari dalam kereta juga memerlukan kemahiran yang lebih tinggi kerana anda perlu mengambil gambar secara spontan dalam kenderaan yang sedang bergerak; titik terbaik untuk mengambil sesuatu gambar hanya mampu bertahan selama sekitar 2-3 saat sahaja. Di samping itu, kamera juga perlu dipegang dengan betul tanpa terketar-ketar kerana jika tangan terketar-ketar, maka gambar yang diambil juga akan menjadi kabur, dan ia benar terutamanya ketika mengambil gambar pada waktu malam, memandangkan cip peka cahaya CMOS pada kamera digital memerlukan lebih masa untuk menangkap dan memproses gambar yang diambil.

Berbeza dengan kaedah konvensional yang saya gunakan selama ini, dalam reviu Jalan Syed Abdul Aziz FT192 kali ini, kami menggunakan kaedah yang berbeza untuk mendapatkan gambar-gambar menarik bagi jalan tersebut, iaitu dengan mengambil gambar dari puncak Menara Taming Sari. Rasional utama penggunaan Menara Taming Sari bagi mengambil gambar-gambar FT192 ini adalah kerana FT192 merupakan satu laluan yang sibuk dan banyak kenderaan, di samping tiada bahu jalan yang selamat untuk saya berhenti mengambil gambar.

Ada dua jenis kamera yang selalunya saya gunakan untuk mengambil gambar, iaitu kamera telefon bimbit Sony Ericsson C903 berkeupayaan 5 megapiksel, dan kamera digital Samsung MV800 berkeupayaan 16.1 megapiksel dan zum optikal 5x. Bagi tujuan fotografi dari puncak Menara Taming Sari, saya memanfaatkan keupayaan zum optikal 5x yang ada pada kamera Samsung MV800.

Kami ke Menara Taming Sari setelah puas menyelusuri Sungai Melaka melalui perkhidmatan Melaka River Cruise oleh kerajaan negeri Melaka. Menara Taming Sari setinggi 110 m terletak di Jalan Merdeka bersebelahan dengan Dataran Pahlawan. Pelantar menara tersebut boleh turun naik dan boleh berputar 360 darjah untuk menyajikan panorama indah Bandaraya Melaka kepada para pelancong, yang mengambil masa selama 7 minit. Harga tiket ialah RM10 bagi warganegara Malaysia (anda perlu menunjukkan kad pengenalan, sama seperti semasa menaiki Melaka River Cruise) dan RM20 bagi bukan warganegara. Asalnya ia dirancang untuk dibina berhampiran Bangunan Stadhuy's, tetapi rancangan tersebut dibatalkan berikutan penemuan kesan runtuhan kota A Famosa di tapak tersebut. Kesan runtuhan tersebut akhirnya menjadi bahan pameran buat pencinta sejarah.

Sebut tentang Dataran Pahlawan, ada satu cerita yang lucu mengenainya. Expedisi konvoi ke Melaka ini merupakan kunjungan pertama Khairul Azmi ke Bandaraya Melaka, dan apabila disebut tentang Dataran Pahlawan, dia membayangkannya sebagai "sebuah padang awam yang mana ramai orang berlatih silat", ataupun sekurang-kurangnya seperti Dataran Merdeka versi Melaka. Namun, setelah kami tiba di kawasan Bandar Hilir ini, dia terkejut besar apabila saya menunjukkan bahawa Dataran Pahlawan yang dimaksudkan itu sebenarnya sebuah pusat beli-belah. Hancur hati Khairul Azmi apabila dia mendapati tiada kelibat padang mahupun orang-orang berlatih silat di situ selain restoran McDonald's dan anak-anak muda membeli-belah di situ. Kelakar pula bila dikenang kembali...!!!

Kami terpaksa memparkir motosikal kami di Dataran Pahlawan dan menapak sahaja ke Menara Taming Sari, memandangkan tiada parkir motosikal di Menara Taming Sari. Setelah membeli tiket, Khairul Azmi pula menyewa teropong binokular untuk menikmati panorama indah di sekitar Bandaraya Melaka, sementara saya pula sekadar menggunakan kamera Samsung MV800 dan memanfaatkan keupayaan zum optikalnya. Selain gambar-gambar menarik sekitar Bandaraya Melaka, fokus utama saya tentulah kepada Jalan Syed Abdul Aziz FT192.

Sedikit mengenai Jalan Syed Abdul Aziz FT192. Untuk pengetahuan anda, sebahagian besar kawasan Bandar Hilir dan Taman Kota Laksamana dibangunkan hasil penambakan laut. Tujuannya adalah bagi pembesaran kawasan pusat bandar raya Melaka tanpa menjejaskan bangunan-bangunan lama dan bersejarah di situ. Satu kajian kes mengenainya telah dijalankan pada tahun 1988, membuktikan bahawa aktiviti penambakan laut sudah lama dijalankan di Melaka. Asalnya, penambakan dilakukan dengan menggunakan tanah merah tetapi ia kemudiannya diharamkan oleh kerajaan negeri Melaka dan digantikan dengan penambakan menggunakan pasir laut. Taman Melaka Raya dan Taman Kota Laksamana ialah dua kawasan perumahan terawal yang dibangunkan hasil penambakan laut.

Namun, hanya pada tahun 1990an barulah pembangunan di kawasan yang telah ditebus guna itu berjalan dengan rancak. Ia berlaku susulan pembukaan Mahkota Parade pada tahun 1997 yang seterusnya merangsang aktiviti komersial di situ, sekaligus mengundang kesesakan di sepanjang Jalan Merdeka. Untuk mengurangkan masalah kesesakan di situ, sebatang jalan raya kembar dibina dari Melaka Raya ke Kota Laksamana. Jalan tersebut dinamakan sebagai Jalan Syed Abdul Aziz. Selain jalan raya, sebuah jambatan turut dibina merentangi Selat Melaka, sekaligus merampas tempat Jambatan Tan Kim Seng sebagai jambatan yang paling menghampiri muara Sungai Melaka. Jambatan tersebut siap pada tahun 2001, dan jalan tersebut diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 192 pada tahun 2003.

Selain mengurangkan kesesakan Bandar Hilir, Jalan Syed Abdul Aziz FT192 juga sangat penting bagi melencongkan kenderaan dari Jalan Melaka-Port Dickson FT5 ke Jalan Semabok FT5, memandangkan keadaan Jalan Tengkera FT5 (dan seterusnya jalan-jalan kota sesat di bandar lama Melaka) yang sangat sempit dan tidak sesuai digunakan oleh kenderaan berat. Asalnya, jalan ini hanya siap sehingga ke Kota Laksamana sebelum sambungannya ke Limbongan sepanjang 2.4 km dibuka kepada lalu lintas pada tahun 2009 dengan kos sejumlah RM12.39 juta. Malah, jalan ini turut dirancang untuk dipanjangkan sehingga ke Padang Temu dan Alai, tetapi ia masih dalam peringkat perancangan, memandangkan terdapat banyak kawasan yang bakal terjejas akibat pembinaannya seperti Perkampungan Portugis.
Waktu tengah hari semakin hampir. Kami terpaksa bergegas pulang ke hotel untuk mengecas bateri kamera dan telefon bimbit serta mengemas semua barangan kami untuk mendaftar keluar. Setelah mendaftar keluar dari hotel, kami singgah makan tengah hari di Asam Pedas Claypot di Kota Laksamana untuk menikmati masakan popular negeri Melaka iaitu asam pedas. Saya memesan set asam pedas ikan pari, manakala Khairul Azmi pula memesan set asam pedas daging. Asam pedas di situ memang terbaik! Sebaik sahaja selesai makan, kami memulakan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur melalui Lebuh Ayer Keroh FT143 dan Lebuhraya Utara-Selatan E2.

Ikuti reviu terakhir bagi siri jelajah Melaka Bandaraya Bersejarah di Lebuh Ayer Keroh FT143.

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.







Dataran Pahlawan yang sebenar merupakan sebuah pusat beli-belah - tiada padang, tiada dataran awam dan tiada kelibat orang belajar silat






Mahkota Parade yang terletak betul-betul di seberang jalan bertentangan dengan Dataran Pahlawan






Premis-premis perniagaan baharu berdekatan Jambatan Muara Sungai Melaka






Jambatan Muara Sungai Melaka merupakan mercu tanda penting bagi Jalan Syed Abdul Aziz FT192






Pulau Melaka






Jalan Syed Abdul Aziz FT192 di sebelah belakang Mahkota Parade






Premis-premis perniagaan baharu berdekatan Jambatan Muara Sungai Melaka






Tanah yang baru sahaja ditambak dibiarkan kukuh terlebih dahulu sebelum bangunan boleh dibina di atasnya






Lagi kerja-kerja penambakan laut - kali ini di sebelah Taman Kota Laksamana pula






Taman Kota Laksamana Seksyen 1






Jeti muara Sungai Melaka dibina dengan melencongkan aliran air Sungai Melaka ke kunci air






Lencongan aliran Sungai Melaka menjadikan bahagian sungai ini berteluk, sesuai untuk dijadikan sebagai lokasi jeti bagi perkhidmatan feri ke Dumai






Panorama indah Bandaraya Melaka yang disajikan dari puncak Menara Taming Sari

No comments:

Post a Comment