Friday, August 7, 2015

Berapa banyak reviu jalan raya boleh dihasilkan daripada derma RM2.6 bilion...? / How many highway reviews can be produced from RM2.6 billion donation...?




Salam sejahtera,

Sudah terlalu lama rasanya saya tidak menghasilkan sebarang reviu jalan raya selepas siri reviu XPDC Teganu Kita pada Februari 2015. Sepanjang tempoh 365 hari yang lalu, saya diuji dengan pelbagai dugaan hebat secara berturut-turut seperti kerosakan motosikal, kerosakan kereta, masalah kewangan, kemalangan motosikal, kemalangan kereta dan kecurian telefon bimbit Sony Xperia Z saya. Namun, saya tetap bersyukur ke hadrat Allah kerana diberikan kekuatan untuk melepasi satu demi satu dugaan yang diturunkan kepada saya, di samping kembali memurahkan rezeki saya selepas Hari Raya Aidilfitri. Paling penting, saya berasa amat bersyukur kerana diberikan kekuatan dan semangat baharu untuk terus menulis dalam Blog Jalan Raya Malaysia. Semangat yang pulih ini juga datang daripada derma daripada pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang budiman sehingga membawa kepada kejayaan besar siri reviu XPDC Teganu Kita 2015.

Sebenarnya, Blog Jalan Raya Malaysia memang sudah lama membuka tabung derma reviu jalan raya sejak penubuhan blog ini pada November 2011 bagi menampung sebahagian kos reviu jalan raya. Untuk makluman para pembaca yang budiman, kos menghasilkan reviu jalan raya sebenarnya memang tinggi. Jika reviu tersebut hanya melibatkan jalan raya yang pendek dengan hanya menggunakan motosikal sahaja, kos reviu hanya sekadar satu angka sahaja, yang mana ia hanya melibatkan kos setangki penuh petrol sahaja - ada kalanya tidak sampai pun setangki penuh. Jika saya perlu bergerak lebih jauh, maka kos bahan api juga akan meningkat berkadaran dengan jarak perjalanan. Jika ia mengambil masa berhari-hari (seperti siri reviu di Cameron Highlands dan Melaka), maka saya juga perlu menambah kos penginapan. Setakat 2015, kos reviu jalan raya paling mahal ialah siri reviu Kembara Merdeka Sabah 2013 kerana melibatkan tiket kapal terbang, penginapan dan sewa kereta. Sebab itulah kami membuka tabung derma bagi membolehkan lebih banyak reviu jalan raya yang lebih berkualiti dapat dihasilkan untuk tatapan anda semua.

Namun, sejak tabung derma Blog Jalan Raya Malaysia melalui PayPal dibuka pada November 2011, jujur saya katakan bahawa bilangan yang menderma kepada Blog Jalan Raya Malaysia sebenarnya boleh dibilang dengan jari. Derma paling banyak pun datang betul-betul sebelum projek XPDC Teganu Kita, dengan jumlah derma mencukupi untuk kos petrol bagi perjalanan balik hari sejauh lebih 800 km (KL-Kuala Terengganu-KL) menaiki motosikal Suzuki Belang R150 - dan suka saya nyatakan di sini bahawa projek reviu XPDC Teganu Kita 2015 merupakan satu-satunya projek reviu jalan raya yang dibiayai 100% daripada derma para pembaca.

Jadi, adakah saya berasa begitu marah, kecil hati dan kecewa apabila kempen derma melalui PayPal tidak mendapat sambutan yang begitu menggalakkan...? Tidak sama sekali - sejak awal-awal lagi saya memang sedar bahawa rakyat Malaysia lebih sukakan sesuatu yang percuma, termasuklah membaca Blog Jalan Raya Malaysia secara percuma. Justeru, memandangkan hampir kesemua reviu jalan raya dihasilkan menggunakan modal saya sendiri, maka satu-satunya pilihan yang saya ada adalah mencari jalan untuk meningkatkan pendapatan daripada blog serta meminimakan kos reviu jalan raya.

Jika anda perasan betul-betul, anda terpaksa berdepan dengan iklan setiap kali anda melayari Blog Jalan Raya Malaysia ini. Asalnya, saya menggunakan khidmat tiga laman web pengiklanan iaitu Bidvertiser, Nuffnang dan Advertlets, tetapi setelah membaca kes-kes penipuan Advertlets yang tidak membayar wang hasil pengiklanan kepada beberapa buah blog, maka saya berhenti menggunakan perkhidmatannya. Jadi, saya memohon maaf sekiranya ada di antara anda semua yang berasa rimas dan tidak selesa akan iklan-iklan pop-up di Blog Jalan Raya Malaysia kerana iklan-iklan ini jugalah sumber pendapatan tambahan kami meskipun sangat sedikit. Try to bear for it. Justeru, satu-satunya cara untuk anda menghentikan iklan-iklan di Blog Jalan Raya Malaysia hanyalah melalui derma yang berterusan. Selain itu, saya pernah dua kali cuba untuk membuka Kedai Jalan Raya Malaysia dalam talian tetapi terpaksa menutupnya berikutan tiada sambutan.

Selain mencari jalan bagi menambah pendapatan, saya juga mengambil langkah-langkah bagi meminimakan kos reviu jalan raya agar tidak membebankan saya. Seperti yang anda semua sedia maklum, sebahagian besar reviu jalan raya kami melibatkan menggunakan motosikal yang tentunya jauh lebih jimat bahan api berbanding kereta. Untuk kamera pula, saya sekadar menggunakan kamera telefon bimbit sahaja. Jika ia melibatkan penginapan, saya memilih untuk menginap di hotel bajet, dan tempahan bilik dilakukan awal secara dalam talian untuk mendapatkan harga paling murah. Akhir sekali, jika projek reviu jalan raya yang dirancang memerlukan penggunakan kapal terbang (seperti di Sabah), maka saya perlu merancang dengan begitu teliti dan menempah tiket kapal terbang jauh lebih awal.

Kenapa pula saya tiba-tiba membuka cerita tentang kempen derma pula...? Seperti mana yang kita sering dengar di kaca televisyen, akhbar, corong radio, blog, YouTube mahupun media sosial, imej negara kini semakin tercalar apabila timbul dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak menerima wang sejumlah RM2.6 bilion di dalam akaun bank peribadinya. Dakwaan tersebut sedikit sebanyak telah membangkitkan kemarahan rakyat kerana tatkala rakyat terpaksa mengikat perut bahana pesta kenaikan kos sara hidup yang diparahkan lagi dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),






Bagaimana pula skandal wang RM2.6 bilion ini boleh wujud...? Segala-galanya bermula daripada berita oleh Wall Street Journal yang mendakwa Datuk Seri Najib menerima wang sejumlah USD700 juta (RM2.6 bilion) melalui pemindahan wang ke akaun peribadinya. Susulan dengan itu, Datuk Seri Najib mahu mengemukakan saman mahkamah terhadap Wall Street Journal, tetapi apa yang dilakukannya hanyalah sekadar meminta penjelasan serta surat tunjuk sebab tentang kenapa artikel tersebut diterbitkan. Maka, sudah tentulah rakyat akan mempersoalkan kenapa duit dalam jumlah yang begitu besar boleh dimasukkan terus ke dalam akaun bank peribadi Najib Razak - daripada situlah timbulnya tuduhan sama ada Datuk Seri Najib songlap wang ataupun menerima rasuah. Lebih keji lagi, menteri-menteri yang mempersoalkan mengenai skandal terbaharu Perdana Menteri turut diugut akan dipecat ataupun digugurkan daripada barisan menteri Kabinet, yang mana bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal, telah pun menerima balasan masing-masing akibat mempersoalkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal wang RM2.6 bilion. Apa yang menjadikan skandal wang RM2.6 bilion ini bertambah tidak masuk akal adalah apabila hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaporkan bahawa wang tersebut sebenarnya merupakan "derma dari Timur Tengah".

Duit RM2.6 bilion itu duit derma dari Timur Tengah...? Biar betul...? Sesiapa sahaja pasti akan mempersoalkannya, kerana tidak mungkin seorang individu dengan gaji bulanan 5 angka seperti Datuk Seri Najib begitu papa kedana sehingga ke tahap meminta orang menderma kepadanya. Dengan kata lain, secara logiknya orang akan menderma kepada fakir miskin dan bukannya kepada orang kaya. Tambahan pula, individu biasanya menderma tidak banyak sangat, sekadar membolehkan penerima derma memperoleh wang mencukupi untuk meneruskan kehidupan ataupun bagi tujuan-tujuan lain seperti pembinaan dan penyelenggaraan rumah anak yatim dsb. Jika derma dalam jumlah yang begitu besar disalurkan, ia seharusnya disalurkan melalui akaun syarikat, persatuan ataupun parti, dan bukannya akaun peribadi. Justeru, jika benar duit RM2.6 bilion itu duit derma sekalipun, rakyat pasti akan lebih mempersoalkannya kerana wang besar yang masuk terus ke akaun seorang pegawai mahupun menteri sudah pasti akan menimbulkan tanggapan terdapatnya unsur rasuah bagi mengharapkan sesuatu balasan lumayan seperti memperoleh kontrak kerajaan.






Jika saya sendiri yang menerima wang sebanyak itu, agaknya berapa banyak reviu jalan raya yang boleh saya hasilkan...? Wang derma RM42 bilion itu lebih daripada mencukupi untuk menghasilkan reviu jalan raya di seluruh dunia, dengan lebihan baki yang masih terlalu banyak. Namun, ia hanya sekadar angan-angan semata-mata. Realitinya, tidak mungkin ada yang sudi menderma wang sebegitu banyak kepada Blog Jalan Raya Malaysia walaupun bagi tujuan penyampaian ilmu mengenai jalan raya.

Kepada Datuk Seri Najib, berehatlah. Ambillah cuti panjang dan minta Timbalan Perdana Menteri memangku jawatan Datuk Seri. Berikanlah kerjasama penuh kepada SPRM dan pihak penyiasat bagi membersihkan nama Datuk Seri. Menyekat akses laman web, membatalkan permit akhbar, menangkap beberapa individu serta memecat beberapa orang menteri yang tidak bersetuju dengan Datuk Seri hanya akan menjadikan rakyat semakin tidak mempercayai kredibiliti Datuk Seri. Sejujurnya, saya sendiri pun berasa amat malu, kerana saya merupakan seorang penulis sebuah blog yang menyokong serta memperjuangkan dasar-dasar memartabatkan jalan raya yang dibawa oleh Kementerian Kerja Raya, sehingga ke tahap hubungan kami dengan Menteri Kerja Raya serta pegawai-pegawai atasan KKR, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjadi sangat akrab. Belajarlah daripada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang bersikap profesional dalam menangani serta menjawab segala isu yang dikaitkan dengan KKR terutamanya isu tol lebuh raya. Beliau menjawab segala isu berkaitan KKR dengan melakukan kajian mendalam, mencari jalan penyelesaian bersifat holistik serta mempelawa pengamal media sosial termasuklah Blog Jalan Raya Malaysia untuk bergaul sendiri dengan pemain industri jalan raya dan lebuh raya ekspres. Jika Datuk Seri Najib tidak mampu menangani isu-isu yang dihadapi sekarang, ada baiknya Datuk Seri berundur dan memberikan laluan kepada pemimpin lain yang lebih berkebolehan, kerana dalam keadaan sekarang ini nama baik Datuk Seri sudah terlalu kotor sehinggakan apa yang Datuk Seri lakukan kepada rakyat masih tidak berupaya memadamkan api kemarahan rakyat yang begitu malu akan skandal-skandal politik yang melanda Datuk Seri.

No comments:

Post a Comment