Salam sejahtera,
Kali ini saya berkesempatan menguji satu produk rawatan minyak enjin yang boleh saya sifatkan sebagai yang terbaik pernah saya gunakan. Produk yang saya maksudkan itu ialah JTX5000, iaitu bendalir rawatan minyak enjin yang menggunakan formula tribologi bagi mengurangkan geseran di dalam enjin. JTX ini merupakan kependekan daripada nama "Jet Turbo Xtreme". Terima kasih kepada sahabat saya Khairul Azmi dan Azman Azmi dari Kolej Islam Antarabangsa, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur kerana telah mengesyorkan kepada saya produk ini untuk diuji menggunakan motosikal Honda Wave 125X Ultimo saya.
Cara penggunaannya amat mudah - hanya tuangkan sahaja sebotol JTX5000 bersaiz 20 ml di dalam lubang pengisi minyak enjin. Sebotol 20 ml JTX5000 mencukupi untuk merawat minyak enjin motosikal kapcai sehingga seliter (Modenas Kriss / CT110 dan GT128), dan ia hanya perlu digunakan setiap 4,000-5,000 km, bergantung kepada model motosikal (setiap dua kali tukar minyak enjin, kecuali model yang tempoh penukaran minyak enjinnya memang panjang, seperti Modenas GT128, Yamaha 135LC dan Honda Future 125).
Setelah JTX5000 diisi ke dalam lubang masukan minyak enjin, tibalah masa untuk menguji keberkesanannya. Sebelum itu, Wave 125X Ultimo itu sebenarnya sudah dua hari tidak dihidupkan sepanjang hujung minggu, jadi ada kemungkinan ia payah untuk dihidupkan. Namun, saya berupaya menghidupkannya dengan sekali tendang sahaja. Jika menggunakan penghidup elektrik, enjin dapat dihidupkan dalam masa 2 saat.
Setelah enjin dihidupkan, saya dapat merasakan paras bunyi enjin agak semakin kurang bising. Sebenarnya, enjin motosikal saya itu memang sudah menjadi kurang bising semasa saya menggunakan minyak enjin Shell Advance AX7 (10W40, API SL, semi-sintetik) semasa penukaran minyak enjin minggu lalu (26 April 2013), tetapi kali ini saya merasakan enjin semakin senyap.
Sepanjang saya menunggang Honda Wave 125X Ultimo saya, biasanya sekali-sekala saya dapat merasakan ada angin panas dari enjin ke kaki saya. Ia sebenarnya normal kerana suhu operasi optimum Wave 125X ialah sekitar 70°C. Namun, setelah saya menggunakan JTX5000, saya tidak lagi merasa aliran angin panas ke kaki, tetapi dalam masa yang sama pula tiada penurunan prestasi. Dengan kata lain, enjin dapat beroperasi secara optimum pada suhu lebih rendah, disebabkan geseran enjin semakin berkurangan.
Di lebuh raya ekspres pula, kelajuan maksimum motosikal saya masih kekal sekitar 110-120 km/j. Namun demikian, saya dapat rasakan Wave 125X itu semakin kurang bergegar semasa kelajuan tinggi. Cuma, saya masih belum berkesempatan menguji kadar penggunaan bahan api, mungkin saya berupaya mengujinya semasa balik ke kampung untuk mengundi.
Secara amnya, saya amat berpuas hati dengan peningkatan prestasi motosikal saya setelah menguji bendalir rawatan minyak enjin JTX5000. Oleh itu, saya ingin mengajak anda semua terutamanya rakan-rakan penunggang motosikal untuk menguji sendiri JTX5000 dengan harga hanya RM20.00 sebotol. Ia bukanlah "pil Viagra" yang berupaya menukarkan motosikal anda menjadi "motor mat rempit", tetapi peningkatan prestasi yang ditawarkan sebenarnya membantu menjimatkan petrol serta melanjutkan jangka hayat enjin motosikal anda, insya-Allah.
Laman web rasmi: http://www.jtx1000.com
Laman Facebook rasmi: Klik sini
Bendalir rawatan minyak enjin JTX5000
Hanya perlu buka lubang pengisi minyak enjin...
...dan terus tuangkan keseluruhan isi botol JTX5000 ke dalam lubang pengisi minyak enjin motosikal anda.
Ujian keberkesanan minyak enjin JTX1000