Monday, June 4, 2018

Had berat jalan raya Malaysia yang mengelirukan / The confusing weight limit on Malaysian roads



Papan tanda had berat maksimum di Jalan Benta-Jerantut FT64
(Kredit gambar: Sinar Harian)


Salam sejahtera,

Entri kali ini saya tujukan khas buat semua pemandu lori berat, memandangkan ramai di kalangan para pemandu lori berat yang pastinya sering menerima saman lori terlebih berat muatan sama ada oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mahupun Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Tindakan saman tersebut merupakan satu bentuk penguatkuasaan yang sering dilakukan, memandangkan kesalahan membawa muatan berlebihan bukan sahaja merupakan satu kesalahan menurut Akta Pengangkutan Jalan 1987, malah ia merupakan satu punca utama masalah jalan rosak, mendap & berlubang di sana-sini. 

Namun, dari sudut pandangan pemandu lori pula, tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan itu kejam & tidak adil bukan sahaja kerana had berat bagi sesebuah jalan raya sering tidak dipamerkan sehingga menimbulkan tanggapan bahawa jalan yang bakal dilalui mereka tiada had berat maksimum, malah jika mereka tahu sekalipun had berat yang dikuatkuasakan, had berat tersebut sangat mengelirukan kerana terlalu banyak formula had berat yang terpaksa dihafal oleh para pemandu lori - bukan sahaja mengikut jenis lori, malah ada kumpulan tertentu serta jalan-jalan yang disenaraikan dalam kumpulan-kumpulan tersebut. Ia satu penyeksaan yang amat pedih buat otak mana-mana pemandu lori kerana ia lebih memeritkan daripada menghafal formula matematik universiti mahupun formula kimia.

Sebelum saya bercerita lebih lanjut mengenai formula had berat jalan raya yang lebih susah dihafal daripada formula matematik, formula fizik, formula kimia mahupun isi kandungan subjek Sejarah SPM, biar saya terangkan kenapa setiap jalan raya ada had beratnya yang tersendiri. Setiap binaan sama ada bangunan mahupun jalan raya pastinya mempunyai had kekuatan masing-masing bagi menentukan setakat mana sesebuah struktur itu berupaya menampung berat isi kandungannya dengan selamat tanpa menyebabkan sesebuah struktur itu runtuh. Sesebuah bangunan yang tidak mampu menampung beban yang ditetapkan pastinya akan runtuh, contohnya seperti kes runtuhan Pasar Raya Sampoong di Korea Selatan pada tahun 1995 yang berpunca daripada jalan pintas kejuruteraan, pencabulan piawaian bangunan serta gejala rasuah.




Babak lakonan semula tragedi runtuhan Pasar Raya Sampoong di Korea Selatan pada tahun 1995


Bagi konteks jalan raya pula, mengangkut beban yang melebihi tahap yang mampu ditampung oleh sesebuah jalan raya akan menyebabkan jalan raya cepat rosak, menyebabkan berlaku pembaziran pada wang rakyat kerana asyik terpaksa membaiki jalan rosak di lokasi sama berulang kali, di samping menambah parah akan hutang negara yang semakin tinggi menggunung. Anda sendiri pastinya sudah sedia maklum bahawa jumlah hutang negara sekarang sudah melepasi angka RM1 trilion. Namun, mengangkut terlalu sedikit muatan pula bukan sahaja membazir kapasiti muatan yang mampu diangkut oleh sesebuah lori, malah ia juga boleh menyebabkan peningkatan kos pengangkutan dalam bentuk pertambahan bilangan trip perjalanan, peningkatan upah pemandu serta peningkatan kos bahan api, yang seterusnya membawa kepada pembaziran bahan api serta peningkatan pelepasan gas pemcemar udara. Kos pengangkutan yang meningkat pula akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna dalam bentuk kenaikan harga. Akibatnya, kuasa beli rakyat menjunam, ekonomi jatuh & pendapatan kerajaan dalam bentuk cukai sudah tentu menurun. Justeru, perlu ada keseimbangan antara kepentingan ekonomi dengan tanggungjawab menjaga infrastruktur jalan raya daripada rosak, memandangkan jalan raya merupakan nadi ekonomi negara.




Keratan rentas lapisan jalan raya
(Kredit gambar: Civil Engineering 112)


Kenapa jalan raya ada had kekuatannya tersendiri...? Had kekuatan jalan raya datang daripada kekuatan tanah yang menempatkan jalan raya tersebut. Misalnya, jalan raya yang dibina di kawasan berpasir selalunya sangat kuat bukan sahaja kerana kekuatan pasir silika itu sendiri, tetapi juga disebabkan oleh keupayaan pasir untuk menyalurkan keluar air yang terperangkap dalamnya dengan pantas. Jika dibandingkan, jalan raya di kawasan paya gambut pula mudah mendap & rosak kerana sifat tanah gambut yang lembut, berongga & memerangkap air, menyebabkan kekuatan jalan raya yang dibina di atasnya merosot kerana kecenderungan berlakunya pencairan tanah (soil liquefaction). Maka, untuk meningkatkan kekuatan jalan raya yang dibina di kawasan tanah yang lemah, maka tanah yang membentuk lapisan sub-asas jalan perlu ditukar dengan jenis tanah yang lebih kuat seperti tanah pasir. Sebab itulah dalam mana-mana projek jalan raya, kerja tanah mengambil masa yang paling lama berbanding kerja menurap jalan yang hampir siap.




Video mengenai cara meningkatkan kekuatan jalan raya & kepentingan mematuhi had berat supaya jalan raya tidak rosak
(Kredit video: Jabatan Pengangkutan Minnesota; MNDOT)


Bagaimana sesebuah jalan boleh dirosakkan oleh kenderaan...? Ada 2 cara bagaimana kenderaan boleh menyumbang kepada kerosakan jalan raya, iaitu beban yang diangkut sesebuah kenderaan itu terlalu berat, dan juga bilangan kenderaan yang terlalu banyak pada satu-satu masa. Dalam kes pertama, kenderaan berat terutamanya lori menyumbang kepada kerosakan jalan raya melalui 2 cara, iaitu beban yang terlalu berat bertindak pada hanya sedikit titik sentuhan (roda), dan juga pusingan tayar lori yang boleh melelaskan permukaan jalan akibat tork yang sangat tinggi. Sebab itulah JPJ & SPAD sering menghambat lori-lori terlebih muatan & mengeluarkan saman had berat. Dalam kes kedua pula, terlalu banyak kenderaan menyumbang kepada kerosakan jalan yang lebih cepat disebabkan terlalu banyak beban kenderaan yang perlu ditampung serentak. Sebab itulah anda tidak seharusnya merungut apabila setiap kali musim perayaan, diskaun tol atau tol percuma hanya ditawarkan pada waktu paling kurang pengguna lebuh raya ekspres.

Masalah utama terhadap penguatkuasaan peraturan had berat di Malaysia ialah ketiadaan papan tanda had berat di kebanyakan kenderaan serta terlalu banyak formula had berat yang terpaksa dihafal & dihadamkan oleh para pemandu lori. Tak bolehkan kuatkuasakan formula had berat gandar yang lebih mudah untuk dihafal...? Susah sangatkah hendak memasang papan tanda had berat di kesemua jalan raya di Malaysia supaya tiada lagi sebab untuk mengatakan "tidak tahu had berat"...?

Kenapa muncul sebegitu banyak formula had berat yang perlu dihafal...? Jawapannya terletak pada sejarah pembinaan jalan raya Malaysia itu sendiri. Majoriti jalan persekutuan utama di Malaysia dibina semasa zaman penjajahan British, dan pihak penjajah sudah tentunya mengikut piawaian yang ditetapkan pada zaman itu sahaja. Pada masa itu, jalan raya dibina sekadar mengikut faktor muka bumi di sepanjang laluannya. Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato' Sri Ir. Dr. Roslan Md. Taha ada mendedahkan bahawa kebanyakan jalan raya yang dibina semasa zaman penjajah mempunyai had berat gandar purata sekitar 8 tan metrik sahaja. Justeru, beliau menyarankan bahawa jalan-jalan tersebut perlu dinaik taraf supaya mampu menampung had berat gandar 9 tan metrik supaya relevan dengan kapasiti lori-lori berat zaman sekarang. Namun, kalau jalan-jalan yang dimaksidkan itu dinaik taraf sekalipun, masalah formula had berat yang terlalu meleret itu masih tidak dapat diselesaikan kerana pihak yang menentukan had berat itu ialah Kementerian Pengangkutan (MOT) & bukannya Kementerian Kerja Raya (KKR).

Sehubungan dengan itu, saya ingin menyeru kepada Menteri Pengangkutan yang baharu, Anthony Loke Siew Fook, agar mengkaji semula formula had berat yang leceh & menyesakkan otak para pemandu lori untuk menghadamkannya & menggantikannya dengan formula had berat gandar yang lebih mudah untuk diingati para pemandu lori. Melalui inisiatif had berat gandar, mereka hanya perlu menghafal had-had berat gandar mengikut senarai kelas beban sahaja. Berdasarkan jadual formula had berat sedia ada, saya mencadangkan agar had berat gandar kebangsaan ditetapkan kepada 9 tan (bagi Senarai I), 8 tan (bagi Senarai II), 6 tan (bagi Senarai III), 5 tan (bagi Senarai IV) & 7 tan (bagi Senarai V). Contohnya, bagi jalan raya yang dikelaskan di bawah Senarai I, sebuah lori 2 gandar dibenarkan mengangkut beban sehingga BDM 18 tan, manakala lori 3 gandar pula mengangkut beban sehingga BDM 27 tan. Bukankah formula sebegitu lebih mudah dihafal...?

Kepada para pemandu lori berat pula, ini tindakan yang mesti anda lakukan supaya anda tidak lagi asyik membayar saman had berat kepada JPJ atau SPAD. Pertama, muat turun jadual had berat yang saya sertakan di bawah & cetak jadual tersebut untuk simpanan anda. Hafal had-had berat mengikut jenis lori yang anda bawa & jenis senarai jalan. Seterusnya, semak laluan yang anda gunakan untuk penghantaran barang sama ada ia terletak dalam senarai yang mana satu untuk mengenal pasti berapa berat maksimum yang dibenarkan. Sekiranya majikan anda menyuruh anda mengangkut barang lebih berat daripada had berat maksimum yang sudah anda kenal pasti, tayangkan senarai had berat tersebut kepadanya. Tidak adillah kalau anda terpaksa bayar saman had berat JPJ atau SPAD tetapi majikan anda pula cuci tangan.



Jadual had berat bagi jalan-jalan persekutuan di Malaysia


Semoga jadual had berat yang saya sertakan ini dapat membantu anda untuk menentukan berapa banyak barangan yang boleh anda angkut menggunakan lori tanpa perlu lagi berdepan risiko disaman oleh JPJ atau SPAD kerana ketiadaan papan tanda had berat di jalan-jalan raya Malaysia.