Thursday, April 13, 2017

FTRoadpedia Pantai Timur Part 6: Jalan Pintasan Kuantan FT3 / Kuantan Bypass FT3

Salam sejahtera,

Dalam episod keenam ini, saya ingin bawakan kepada anda satu reviu yang boleh saya katakan sebagai reviu terpendek bagi siri FTRoadpedia Pantai Timur ini. Jalan yang saya maksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Jalan Pintasan Kuantan FT3 sepanjang 31.3 km. Sebenarnya, memang ada lagi jalan persekutuan yang lebih pendek lagi iaitu Jalan Pintasan Kijal FT145, tetapi reviu FT145 akan disekalikan dengan reviu Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3 yang akan menyusul.

Sedikit mengenai sejarah Jalan Pintasan Kuantan FT3 ini. Jalan Pintasan Kuantan FT3 lahir hasil daripada pembukaan Pelabuhan Kuantan pada tahun 1984. Pada 1 September 1974, Lembaga Pelabuhan Kuantan ditubuhkan bagi membuka sebuah pelabuhan utama di sebelah pantai timur Semenanjung Malaysia. Pembinaan Pelabuhan Kuantan bermula pada tahun 1976 dan siap sepenuhnya pada tahun 1984. Sebagai sebahagian daripada komponen projek Pelabuhan Kuantan, maka satu jalan pintasan baharu dibina bagi memintas bandar Kuantan agar tidak berlaku kesesakan di pusat bandar Kuantan serta mengelakkan daripada kerosakan jalan raya yang sering dikaitkan dengan kenderaan berat yang berulang-alik ke pelabuhan. Jalan pintasan tersebut diwartakan sebagai sebahagian Jalan Persekutuan 3. Sebelum Jalan Pintasan Kuantan FT3 dibina, Jalan Beserah FT2 serta sebahagian Jalan Gambang FT2 dari Kuantan sehingga ke simpang Jalan Pekan FT3 merupakan sebahagian Jalan Persekutuan 3, tetapi setelah Jalan Pintasan Kuantan FT3 dibuka, kedua-dua jalan tersebut diwartakan semula sebagai sebahagian Jalan Persekutuan 2. Kini, Jalan Pintasan Kuantan sudah pun dinaiktaraf menjadi lebuh raya kembar pada tahun 2005 dan siap pada tahun 2007.




Peta Jalan Pintasan Kuantan FT3


Sebenarnya, saya pernah bercadang untuk menghasilkan reviu Jalan Pintasan Kuantan FT3 semasa siri reviu XPDC Teganu Kita pada Februari 2015, tetapi disebabkan pada masa saya tiba di situ sudah pun lewat petang, saya perlu segera memasuki Lebuhraya Pantai Timur E8 dan bergegas pulang ke Kuala Lumpur kerana bimbang akan tahap pencahayaan lampu kepala motosikal Suzuki Belang R150 yang begitu lemah. Peluang untuk menghasilkan reviu Jalan Pintasan Kuantan FT3 terbuka kembali apabila rombongan FTRoadpedia menggunakan laluan tersebut untuk ke tapak projek jejambat Jalan Bukit Ubi C4 bagi mengelakkan kesesakan teruk sekiranya kami terus menggunakan Jalan Gambang FT2.








Keadaan di Jalan Pintasan Kuantan FT3, Jalan Sungai Lembing FT231, Jalan Pintasan Gebeng FT101 dan jajaran Lebuhraya Pantai Timur E8 dari Kuantan ke Jabor tidak ubah seperti di Planet Marikh suatu ketika dahulu


Secara amnya, keadaan jalan di sepanjang laluan Jalan Pintasan Kuantan FT3 boleh dikatakan agak baik dan selesa, dan keadaan lalu lintas pun boleh dikatakan agak lancar, cuma kunjungan saya sebanyak 2 kali ke jalan tersebut telah menyajikan 2 keadaan berbeza. Semasa reviu XPDC Teganu Kita, keadaan di Jalan Pintasan Kuantan FT3 pada masa itu tidak ubah seperti di Planet Marikh, apabila keadaan jalan menjadi kotor, serba merah dan berdebu disebabkan terlalu banyak lori-lori bauksit yang berulang-alik menggunakan jalan tersebut dari Bukit Goh. Mujurlah Jalan Pintasan Kuantan FT3 kini kembali bersih semasa rombongan kami melaluinya pada 23 Februari 2017, hasil daripada perintah pemberhentian sementara aktiviti pelombongan bauksit yang berkuatkuasa sejak Januari 2016.

Kami keluar dari Jalan Pintasan Kuantan FT3 di Persimpangan Bunga Cengkih Kuantan untuk ke tapak projek jejambat Jalan Bukit Ubi C4. Kami kembali memasuki Jalan Pintasan Kuantan FT3 dari Bandar Indera Mahkota melalui Persimpangan Bukit Istana untuk ke hotel penginapan kami di Swiss Garden Hotel Resort di Balok. Namun, kami tidak menggunakan laluan lazim iaitu melalui Exit 259 Persimpangan Seberang Balok yang menjadi penamat rasmi bagi Jalan Pintasan Kuantan FT3; sebaliknya, kami menggunakan salah satu "jalan potong" melalui perkampungan yang membawa kami betul-betul di hadapan hotel kami. Seperti yang telah saya nyatakan dalam reviu Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2, Exit 259 Persimpangan Seberang Balok merupakan penamat rasmi bagi Jalan Pintasan Kuantan FT3, di mana ia berubah menjadi Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3.

Komplen saya mengenai Jalan Pintasan Kuantan FT3 ini pula ialah kekurangan "jalan potong rasmi" dari Jalan Beserah FT2 untuk memasuki Jalan Pintasan Kuantan FT3. Satu-satunya "jalan potong rasmi" hanyalah jalan cabang pendek di Exit 259 Persimpangan Seberang Balok, itu sahaja. Selebihnya, ada jugalah beberapa "jalan potong" yang tidak rasmi, sama ada dalam bentuk jalan kampung ataupun jalan perumahan, yang tentunya tidak sesuai untuk kenderaan berat. Dapat satu jalan potong rasmi di Beserah pun tak apalah, janji ada. Jika tidak, maka sudah tentulah industri pelancongan di kawasan pantai sepanjang Jalan Beserah FT2 akan terjejas, kerana Jalan Pintasan Kuantan FT3 melencongkan pengguna menjauhi kawasan pantai untuk terus ke Jalan Gambang FT2 dan seterusnya Jalan Kuantan-Pekan FT3.

Ikuti sambungan seterusnya yang anda nanti-nantikan, iaitu reviu Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3.







Melencong ke Jalan Pintasan Kuantan FT3 di Exit 253 Persimpangan Pandan untuk ke tapak projek Persimpangan Jalan Bukit Ubi C4






Persimpangan masuk ke Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan






Jambatan Sungai Kuantan di Jalan Pintasan Kuantan FT3 ini lebih pendek sedikit daripada di Jalan Gambang FT2






Persimpangan Jalan Sultan Abdullah di Bandar Indera Mahkota, juga sebuah persimpangan searas






Persimpangan Bunga Cengkih Kuantan, satu-satunya persimpangan bertingkat seumpamanya di Kuantan






Persimpangan Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 dari arah FT14 yang dihubungkan ke Jalan Pintasan Kuantan FT3






Penamat Jalan Pintasan Kuantan FT3 dari arah Jalan Kuantan-Pelabuhan Kuantan FT2

Tuesday, April 11, 2017

FTRoadpedia Pantai Timur Part 5: Kota sesat FT2 di Kuantan / FT2 maze in Kuantan




Salam sejahtera,

Dalam episod kelima siri reviu FTRoadpedia Pantai Timur kali ini, saya ingin membawakan kepada anda satu lagi "kota sesat" yang wujud di sepanjang Jalan Persekutuan 2 iaitu di Kuantan. Sebelum ini, saya pernah membawakan kepada anda entri kota sesat FT2 di Kuala Lumpur, yang mana ia berpunca daripada kelemahan perancangan, kegagalan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempamerkan jata laluan pada papan tanda jalan raya, serta kontroversi melibatkan penduduk setinggan di sekitar Kampung Puah, Kampung Chubadak dan Kampung Bandar Dalam semasa projek Lebuhraya Karak FT2 pada tahun 1974-1977 yang dimatikan setakat di Kampung Bandar Dalam sahaja dan bukannya di Jalan Pahang FT2.

Tidak seperti "kota sesat" FT2 di di Kuala Lumpur, "kota sesat" FT2 di Kuantan boleh dikatakan agak mudah, terutamanya jika anda datang dari arah Pelabuhan Kuantan dan Beserah melalui Jalan Beserah FT2 aka Jalan Kuantan-Pelabuhan Kuantan FT2. Dari Beserah, untuk ke Jalan Gambang FT2 dan Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2, anda hanya perlu jalan terus melalui Jalan Beserah FT2 sehingga ke Persimpangan Teluk Cempedak/Tanjung Lumpur dan belok kanan di persimpangan tersebut. Sangat mudah bukan...? Dari arah Beserah, ia terlalu mudah dan kalau diikutkan, ia tidak layak pun digelar kota sesat.




Peta kota sesat FT2 dari Jalan Gambang FT2 ke Jalan Beserah FT2


Namun, jika anda datang dari arah Jalan Gambang FT2, lain pula ceritanya. Sebaik sahaja anda tiba di pusat bandar Kuantan melalui Jalan Gambang FT2, anda akan dilencongkan ke kiri ke Jalan Penjara. Sebaik sahaja anda dilencongkan ke kiri, terus himpit ke lorong paling kanan dan terus belok kanan di persimpangan pertama di situ ke Jalan Mahkota FT2. Jalan Mahkota FT2 akan bercantum semula dengan Jalan Besar FT2 bagi laluan arah barat di Jalan Teluk Sisek FT2 sehinggalah ke Persimpangan Teluk Cempedak / Tanjung Lumpur tadi.

Sebaik sahaja anda memasuki Jalan Beserah FT2, sekali lagi anda akan dilencongkan ke kiri ke Jalan Gambut. sekali lagi terus himpit ke lorong kanan. Seterusnya, anda perlu mencari Hotel Grand Continental Kuantan untuk mercu tanda seterusnya. Sebaik anda nampak kelibat Hotel Grand Continental, terus ambil jalan betul-betul di sebelah kanan hotel tersebut iaitu Jalan Tun Ismail 8. Jalan tersebut membawa anda ke Berjaya Megamall Kuantan. Di bulatan kecil di situ, ambil pusingan pukul 12 (jalan terus), dan sebaik anda tiba di persimpangan lampu isyarat di situ, belok kanan ke Jalan Tun Ismail. Di Jalan Tun Ismail, terus himpit ke lorong paling kiri dan sebaik sahaja di penghujung jalan tersebut, belok kiri untuk kembali ke Jalan Beserah FT2 untuk meneruskan perjalanan.

Bagaimana...? Anda rasa laluan kali ini memeningkan...? Dalam hal ini, anda patut mempersalahkan Majlis Perbandaran Kuantan kerana melakukan perubahan laluan bagi Jalan Beserah FT2 yang semakin menyesatkan ini pada tahun 2013. Elok-elok laluan asal sudah cukup memudahkan, setelah perubahan laluan dilakukan, sekarang orang-orang luar Kuantan yang hendak bersantai di pantai sekitar Balok dan Beserah semakin celaru dan tersesat. Perubahan trafik yang dilakukan ini juga menjadi punca utama kesesakan di Jalan Bukit Ubi C4 / Jalan Sungai Lembing FT231, kerana kebanyakan trafik luar dilencongkan ke situ dengan andaian kebanyakan pemandu luar hendak ke Kuala Terengganu melalui Jalan Pintasan Kuantan FT3 dan seterusnya Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3, Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 ataupun Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8. Justeru, saya menyeru kepada JKR Kuantan agar dapat membantu navigasi pengguna jalan raya melalui penggunaan penanda kepastian, mengecat jata laluan di atas jalan serta papan-papan tanda penunjuk arah yang lebih membantu pengguna.

Ikuti reviu Jalan Pintasan Kuantan FT3 dalam bahagian keenam siri reviu jelajah FTRoadpedia Pantai Timur hanya di Blog Jalan Raya Malaysia.

FTRoadpedia Pantai Timur Part 4: Projek jejambat Jalan Bukit Ubi C4 / Jalan Bukit Ubi C4 flyover project




Salam sejahtera,

Setelah agak lama tertangguh, kali ini saya kembali membawa sambungan bagi siri FTRoadpedia Pantai Timur ini. Seperti yang saya janjikan, kali ini saya ingin membawa anda ke projek jejambat Jalan Bukit Ubi C4 yang diharap dapat menamatkan azab sengsara yang terpaksa ditempuhi orang-orang Kuantan, khususnya kepada lebih 100,000 pengguna jalan raya yang berulang-alik dari pusat bandar Kuantan ke Indera Mahkota, bandar satelit utama bagi Kuantan melalui Jalan Bukit Ubi C4 dan Jalan Sungai Lembing FT231. Ia dijangka siap pada 2 April 2017 dengan kos RM40 juta. Lawatan ke tapak projek ini masih lagi mengisi diari hari pertama jelajah FTRoadpedia Pantai Timur pada 23 Februari 2017.




Melencong ke Jalan Pintasan Kuantan FT3 di Exit 253 Persimpangan Pandan untuk ke tapak projek Persimpangan Jalan Bukit Ubi C4


Untuk ke tapak projek, kami melencong ke Jalan Pintasan Kuantan FT3 dari Jalan Gambang FT2 sebelum memasuki bandar Kuantan melalui Jalan Sungai Lembing FT231 dan Jalan Bukit Ubi C4. Sepatutnya, kami boleh sahaja teruskan perjalanan menggunakan Jalan Gambang FT2 sehinggalah ke lokasi tapak projek yang terletak betul-betul dalam kawasan pusat bandar. Namun, harus diingat bahawa rombongan kami tiba di lokasi pada waktu gegas, jadi sudah tentulah kami terpaksa mengharungi neraka kesesakan jalan raya sekiranya kami menggunakan laluan biasa. Sekiranya kami menggunakan laluan Jalan Pintasan Kuantan FT3 dan seterusnya Jalan Sungai Lembing FT231 / Jalan Bukit Ubi C4, satu-satunya azab yang perlu ditempuh hanyalah di tapak projek itu sendiri.




Memasuki Jalan Sungai Lembing FT231 ke tapak projek




Di mana sebenarnya titik pertukaran laluan Jalan Sungai Lembing FT231 kepada Jalan Bukit Ubi C4...? Adakah di simpang ini ataupun di tempat lain...?




Yang pasti, jalan ini sekarang memang Jalan Bukit Ubi C4




Kami sudah pun tiba di tapak projek jejambat Jalan Bukit Ubi C4


Semasa rombongan kami mula memasuki Jalan Sungai Lembing FT231 ke pusat bandar Kuantan melalui Persimpangan Bunga Cengkih yang merupakan satu-satunya persimpangan seumpamanya di Kuantan, ada satu persoalan yang masih tidak memuaskan hati saya serta tidak mampu dijawab oleh mana-mana pegawai Kementerian Kerja Raya mahupun Jabatan Kerja Raya. Saya dimaklumkan bahawa Jalan Sungai Lembing FT231 dan Jalan Bukit Ubi C4 sebenarnya merupakan dua laluan yang berasingan, meskipun pada zahirnya kedua-duanya berkongsi jalan yang sama. Dengan kata lain, dari bandar Kuantan, Jalan Bukit Ubi C4 bertukar kepada Jalan Sungai Lembing FT231 pada suatu titik di sekitar Bandar Indera Mahkota. Namun, persoalan yang masih gagal dijawab ialah di mana titik pertukaran kod laluan itu...? Masalah ini sebenarnya lebih kurang sama seperti semasa saya melalui Jalan Felda Sungai Koyan C5/FT1503, di mana jalan tersebut asalnya merupakan jalan negeri sebelum bertukar menjadi jalan persekutuan Felda pada satu titik yang tidak diketahui. Inilah satu contoh bahana kelemahan pada sistem papan tanda sedia ada, yang hanya boleh diselesaikan melalui pemasangan penanda kepastian (reassurance marker) serta penambahbaikannya. Bagaimana hendak menambah baik penanda kepastian tersebut...? Sudah tentulah dengan memacakkan penanda kepastian betul-betul pada titik pertukaran laluan dan menambah perkataan Tamat (bagi laluan sebelumnya) atau Mula (bagi laluan yang baru dimasuki).

Kami akhirnya selamat tiba di tapak projek jejambat Jalan Bukit Ubi C4. Secara amnya, setakat pada tarikh lawatan kami, projek ini sudah 91.19% siap, dan semasa saya menulis entri ini projek jejambat ini sepatutnya sudah siap sepenuhnya dan sudah mula digunakan oleh orang-orang Kuantan (harap Hezeri Samsuri, JKR Kuantan atau mana-mana pembaca dari Kuantan dapat mengesahkannya). Sebelum ini, ada juga saya mendengar cerita-cerita yang mengatakan projek ini tertangguh, tetapi biasalah, ia disebabkan oleh punca yang sangat tipikal iaitu masalah pengalihan paip air dan kabel-kabel utiliti (elektrik dan telefon).




Majlis taklimat projek jejambat Jalan Bukit Ubi C4 di pejabat tapak projek


Oleh kerana projek jejambat Jalan Bukit Ubi C4 ini memang sudah hampir siap, maka sudah tentulah tiada lagi isu-isu berbangkit melaluinya. Sebaliknya, isu lain pula yang dibangkitkan, iaitu masalah kenderaan berat yang terlebih muatan, yang menjadi antara punca utama kenapa jalan raya sering rosak. Dalam majlis taklimat mengenai projek jejambat Jalan Bukit Ubi C4, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengumumkan bahawa KKR sedang menguji sistem penimbang mudah alih (weigh-in-motion) yang berupaya menimbang berat kenderaan secara masa nyata (real time) tanpa perlu melencong ke stesen-stesen jambatan timbang milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia membolehkan pemandu kenderaan berat tahu sekiranya muatan yang dibawa mereka itu melebihi had yang sepatutnya; jika mereka teruskan pemanduan, bermakna mereka seolah-olah meminta untuk disaman. Ia susulan masalah penguatkuasaan had berat yang sering menjadi kontroversi di kalangan para pemandu lori.

Masalah nombor satu yang sering dihadapi oleh para pemandu lori ialah kebanyakan daripada mereka tidak tahu berapa berat sebenar muatan yang dibawa. Mereka hanya angkut sahaja muatan yang diberi seperti yang disuruh. Lagipun, bukannya ada alat penimbang lori pun di pelabuhan, kilang, gudang, lombong dsb. Masalah kedua ialah had berat yang tidak seragam dan tidak konsisten, dan inilah punca utama yang membawa kepada bantahan serta rasa tidak puas hati dari kalangan para pemandu lori serta syarikat pengangkutan berat. Malah, ia sudah membarah sehingga membawa kepada penggunaan tonto yang diupah untuk menggagalkan operasi penguatkuasaan oleh JPJ, sekaligus membawa kepada keperluan menggunakan senjata api dalan operasi penguatkuasaan.

Jadi berapakah berat dengan muatan (BDM) yang dibenarkan di Malaysia...? Pada 13 Mac 2017, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan kenaikan had berat BDM kepada 19 tan (lori 2 gandar), 27 tan (lori 3 gandar tegar), 31 tan (lori 3 gandar bersendi), 39 tan (lori 4 gandar), 45 tan (lori 5 gandar) dan 50 tan (lori 6 gandar). Banyaknya yang perlu dihafal...!!! Jadi dengan formula had berat BDM yang terlalu banyak, maka sudah tentulah mustahil hendak mencatatkan kesemuanya sekali pada papan tanda jalan raya. Kalau anda tanya saya pun, memang saya tidak terhafal. Tak bolehkah MOT meringkaskannya kepada hanya satu formula had berat gandar yang lebih mudah untuk diingati, misalnya had berat gandar 9 tan...? Inilah punca utama kelemahan penguatkuasaan had berat, sehingga ke tahap JPJ terpaksa menggunakan senjata api. 

Justeru, Datuk Seri Fadillah mencadangkan penggunaan WIM ini supaya para pemandu lori boleh tahu sama ada lori-lori mereka sudah terlebih berat dan jika terlebih, mereka boleh mengurangkan muatan sehingga ke tahap yang dibenarkan. Jika para pemandu lori dapat tahu berat lori mereka dan mengurangkan muatan sekiranya terlebih, maka sudah tentulah kesan kerosakan jalan dapat dikurangkan, yang bermaksud kurang ongkos pembaikan jalan dan seterusnya lebih banyak wang dapat dimanfaatkan untuk membina lebih banyak infrastruktur untuk rakyat, khususnya jalan raya luar bandar.

Entri seterusnya dalam siri FTRoadpedia Pantai Timur ini ialah kota sesat FT2 di bandar Kuantan dan reviu Jalan Pintasan Kuantan FT3 sebelum saya bawakan reviu Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3.

Monday, April 10, 2017

Modenas Kriss MR2: "Motosikal rakyat" generasi kedua / Second-generation "people's motorcycle"



Perasmian Modenas Kriss MR2
(kredit gambar: Paul Tan)


Salam sejahtera,

Blog Jalan Raya Malaysia kembali bersiaran setelah sebegitu lama saya berdepan dengan kesibukan kerja sehingga menyebabkan rancangan saya untuk melengkapkan siri reviu FTRoadpedia sering tertangguh. Namun, sebelum saya menyambung semula siri entri FTRoadpedia, izinkan saya untuk membawakan kepada anda berita pelancaran motosikal terbaharu keluaran Modenas iaitu Modenas Kriss MR2.

Modenas Kriss MR2 ini selamat dilancarkan pada petang 6 April 2017 sebagai pengganti kepada Modenas Kriss MR1 yang mula dikeluarkan pada tahun 2011. Seperti yang kita semua sedia maklum, varian Modenas Kriss memang merupakan model terlaris Modenas sejak mula diperkenalkan pada penghujung tahun 1996. Pada masa itu, Modenas Kriss dibangunkan berasaskan model motosikal Kawasaki Kaze R110, yang merupakan "kembar 4 lejang" bagi model 2 lejang Kawasaki K-1 110 cc. Enjin Kawasaki AN110 yang menggerakkan Kriss ini mampu menghasilkan kuasa kuda 9.0 PS (6.6 kW) pada 8,500 rpm dan kilasan 9.3 N-m (0.95 kgf-m) pada 4,000 rpm, serta berupaya mencatatkan penggunaan bahan api sehingga 44 km/L.




Modenas Kriss 110 dibina berasaskan model Kawasaki Kaze R110


Sejak ia mula diperkenalkan, Kriss pernah menapau habis pasaran motosikal kapcai 4 lejang pada beberapa tahun awal penjualannya. Pada tahun 1997 sahaja, Modenas Kriss menapau 46% pasaran kapcai 4 lejang, mengalahkan pesaing utamanya pada waktu itu iaitu Honda EX5. Susulan kejayaan Kriss, Modenas mula mempelbagaikan beberapa varian Kriss seperti Kriss 2 (model brek cakera hadapan), Kriss SG (model bajet 110 cc yang dihentikan penjualannya tidak lama kemudian disebabkan rekaannya yang ketinggalan zaman), Kriss 100 (menggunakan enjin berasaskan seni bina Honda EX5) dan Kriss 120 (menggunakan enjin AN110 yang dikorek semula)

Namun, penguasaan Kriss mula tergugat setelah para pesaing turut mengeluarkan model-model motosikal 4 lejang masing-masing, antaranya termasuklah siri Honda Wave dan siri Yamaha Lagenda. Namun, pencabar sebenar yang berjaya menggugat penguasaan Modenas Kriss sudah tentulah Yamaha Lagenda 110.

Modenas pernah dua kali mencuba untuk mengeluarkan model-model pengganti bagi Kriss ini. Model pengganti pertama ialah Modenas Kristar yang dikeluarkan pada tahun 2004 dengan menggunakan enjin sama, tetapi pengeluarannya dihentikan pada tahun 2006 kerana reka bentuknya yang gagal menarik perhatian pengguna, sehinggakan Modenas terpaksa mengeluarkan semula Kriss 110 sebagai Kriss 110SE. Cubaan kedua yang betul-betul berjaya ialah pada tahun 2009 melalui siri Modenas CT, yang dikeluarkan dalam 2 varian iaitu CT110 dan CT100. Malangnya, promosi tidak seimbang oleh Modenas menyebabkan varian 110 cc tenggelam begitu sahaja, sedangkan varian 100 cc pula begitu laris sehinggakan sempat "bersalin kulit" beberapa kali. Kedua-dua varian kemudian digantikan dengan model Modenas CT115S yang kembali menggunakan enjin AN110 yang dikorek semula.

Selain itu, Modenas juga ada mengeluarkan varian pancitan bahan api iaitu Modenas 118EFI, tetapi model ini juga menjadi mangsa kanibalisme produk akibat ketiadaan promosi serta lambakan model-model berkarburetor lain oleh Modenas sendiri yang membunuh jualan 118EFI. Ia juga mengakibatkan Yamaha pula yang menapau habis pasaran motosikal kapcai pancitan bahan api melalui Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection yang kini merupakan motosikal kapcai pancitan bahan api terlaris di Malaysia.

Pada penghujung 2011, Modenas kembali mengeluarkan varian Kriss 100 cc sebagai model bajet dengan nama Kriss MR1. Seperti yang dijangka, model bajet Kriss MR1 ini merupakan antara model terlaris bagi Modenas, dan kini Modenas mengeluarkan penggantinya iaitu Modenas Kriss MR2.

Modenas Kriss MR2 ini memang 100% berbeza daripada MR1 lama. Ia tidak lagi berasaskan pelantar lama Modenas Kriss yang digunakan buat sekian lamanya. Enjinnya juga dinaik taraf kepada enjin 110 cc. Namun, enjin yang digunakan ini bukanlah enjin Kawasaki AN110 seperti yang digunakan pada model asal Kriss mahupun CT110, tetapi merupakan "enjin klon" berasaskan seni bina enjin Honda Wave 110. Sebab itulah jika anda perhatikan betul-betul pada enjinnya, ia memang betul-betul mirip enjin Honda Wave 110.




Cuba perhatikan betul-betul enjin yang digunakan - lebih kurang sama macam enjin Honda Wave 110
(kredit gambar: Paul Tan)


Namun demikian, enjin ini tetap ada kelebihannya yang tersendiri jika dibandingkan dengan enjin AN110 yang digunakan sekian lama. Antaranya, enjin 110 cc baharu ini lebih padat, nampak lebih kemas, dilengkapi lengan jumpelang dengan alas penggelek (roller bearing rocker arm), tidak memerlukan penapis minyak enjin seperti yang digunakan pada Kriss 110 lama, kurang menggunakan minyak enjin, dan boleh bertukar-tukar alat ganti dengan Honda. Ia sudah tentu satu berita baik, kerana saya sering juga mendengar cerita-cerita yang mengatakan enjin Honda Wave 110 mudah bermasalah. Justeru, jika benar enjin Modenas Kriss MR2 ini tahan, pemilik Wave 110 sudah tentu ada pilihan untuk menggunakan komponen enjin Kriss MR2 pada Wave 110 mereka. Apa pun, itu cumalah inferens saya sahaja. Namun, kelebihan utamanya ialah enjin baharu ini sedia mematuhi piawaian Euro 3. Ironinya, Kriss MR2 ini menggunakan karburetor dan bukannya pancitan bahan api.

Sebenarnya kalau diikutkan, saya memang tidak mengharapkan model bajet seperti Kriss MR2 ini menggunakan pancitan bahan api yang tentunya menambahkan kos pembinaannya, tetapi dakwaan Modenas yang mengatakan bahawa enjin 110 cc baharu itu lulus piawaian emisi Euro 3 tanpa menggunakan pancitan bahan api merupakan satu dakwaan yang sangat berani dan agak sukar untuk saya percayai. Apa tidaknya, pada pendapat saya enjin berkarburetor sebenarnya sudah tidak lagi mampu untuk lulus piawaian emisi yang lebih ketat daripada Euro 2 disebabkan sifat titisan petrol yang terhasil masih lagi lebih kasar daripada titisan petrol dalam enjin pancitan bahan api, menyebabkan pembakaran kurang sempurna dan seterusnya pelepasan emisi lebih tinggi berbanding enjin pancitan bahan api. Justeru, saya ingin memohon Modenas untuk memberikan pencerahan dengan menunjukkan perbandingan antara keluaran karbon monoksida, hidrokarbon tak terbakar dan nitrogen oksida (kesemuanya dalam g/km) bagi Modenas Kriss MR2 berbanding piawaian yang ditetapkan dalam Euro 3 iaitu tidak lebih daripada 2.00 g/km karbon monoksida, 0.80 g/km hidrokarbon tak terbakar dan 0.15 g/km nitrogen oksida.

Dari segi prestasi, enjin 110 cc baharu ini berupaya menghasilkan kuasa kuda 8.3 PS (6.2 kW) pada 7,500 rpm dan tork 8.4 N-m pada 5,500 rpm, lebih kurang sama seperti angka-angka prestasi bagi model-model 110 cc Honda. Jadi, sudah tentulah motor ini akan kalah dengan Kriss 110 mahupun CT110. Namun, apa yang lebih dititikberatkan di sini ialah enjin baharu ini lebih jimat minyak dan lebih mesra alam berbanding enjin "klon EX5" yang digunakan pada model Kriss MR1 terdahulu.




Model "kembar" Modenas Kriss MR2 iaitu Zongshen Forge Ahead ZS110


Dari segi reka bentuk luaran, ia memang sangat cantik, malah anda sedikit pun tidak akan menyangka bahawa motosikal ini sebenarnya model bajet. Dengan harga atas jalan hanya RM4,123 termasuk GST, anda sudah boleh memiliki sebuah motosikal 110 cc lengkap dengan brek cakera hadapan dan rim aloi, dengan pilihan warna merah, biru dan kuning. Bagaimana Modenas boleh membina motosikal 110 cc yang siap dengan brek cakera hadapan dan rim aloi dengan harga sebegitu murah...? Carian di Google membawa saya kepada satu model "kembar" bagi Kriss MR2 ini iaitu Zongshen Forge Ahead ZS110-56 model tahun 2014. Namun, anda tidak perlu risau kerana Kriss MR2 ini sebahagian besarnya menggunakan komponen buatan Malaysia dan bukannya buatan China. Kriss MR2 ini bukannya seperti skuter-skuter Comel atau Nitro yang memang menggunakan komponen-komponen cap ayam dari China sehingga menyebabkannya cepat rosak. Tambahan pula, Kriss MR2 sudah pun menjalani ujian sehingga 20,000 km dalam pelbagai kondisi jalan sebelum ia mula dikeluarkan.

Untuk tahun 2017 ini, saya boleh anggap model Kriss MR2 ini sebagai model game changer bersama-sama dengan Modenas Karisma 2016 dan Modenas Elegan 250. Pun begitu, model game changer sebenar sudah tentulah model kapcai 150 cc hasil buatan sendiri yang digembar-gemburkan selama ini. Apa pun, Modenas perlulah mempunyai satu pelan hala tuju bagi mengembalikan kedudukannya sebagai pendahulu bagi pasaran motosikal Malaysia. Untuk menjayakannya, Modenas perlu memulakan transisi ke arah penggunaan teknologi pancitan bahan api sepenuhnya dan menghentikan penggunaan karburetor secara beransur-ansur. Selain itu, Modenas perlu mempelbagaikan produknya dengan meneroka genre lain seperti cafe racer, motosikal jalanan dan motosikal sport sesuai dengan perkembangan ekonomi dan usia pelanggan Modenas. Modenas juga perlu mengkhususkan setiap kelas motosikal kepada hanya satu sahaja model untuk mengelakkan daripada kanibalisme produk yang menjadi salah satu punca kejatuhan Modenas sebelum ini. Paling penting, khidmat lepas jualan perlu lebih mantap, aktiviti promosi mesti lebih agresif dan seimbang, dan bekalan alat ganti perlu dipastikan sentiasa mencukupi. Jika Modenas sanggup melakukan semua ini, tidak mustahil sasaran penguasaan 13% pasaran motosikal Malaysia mampu dicapai.





Spesifikasi Modenas Kriss MR2 110 2017

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 2 injap sejukan udara
Sesaran: 109 cc
Lubang x lejang: 50 x 55.6 mm
Kuasa kuda maksimum: 8.3 PS (6.2 kW) @ 7,500 rpm
Tork maksimum: 8.4 N-m @ 5,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 4 kelajuan
Brek: Cakera (depan); gelendong (belakang)
Berat kering: 94.5 kg
Kapasiti tangki bahan api: 4.5 L

Apa yang saya suka
  1. Pakej lengkap dengan brek cakera hadapan dan rim aloi pada harga bajet
  2. Enjin serba baharu yang boleh saling berkongsi komponen dengan Honda Wave 110
  3. Kombinasi warna-warna terang dan ceria
Apa yang saya tidak suka
  1. Enjinnya masih menggunakan karburetor, sedangkan pesaing segmen bajet iaitu Honda EX5 Dream FI pun sudah menggunakan pancitan bahan api
  2. Modenas Kriss MR2 ini dibina berasaskan Zongshen Forge Ahead ZS110, jadi Modenas perlu bekerja keras melawan persepsi tentang kualiti, memandangkan barangan buatan China sering dianggap tidak berkualiti






Pandangan keseluruhan Modenas Kriss MR2




Lampu hadapan Modenas Kriss MR2 adalah dari jenis halogen




Seperti kebanyakan model-model kapcai yang lebih baharu, Kriss MR2 menggunakan lampu belakang dengan lampu-lampu isyarat membelok capang




Masih menggunakan karburetor, sesuai dengan fungsinya sebagai model motor bajet




Paparan meter Kriss MR2 ini sudah ada penambahan berbanding Kriss MR1, dengan lampu penunjuk isyarat membelok berasingan dan lampu penunjuk posisi bagi semua gear




Ruang barangan bawah pelana Kriss yang sekadar mencukupi untuk memuatkan sehelai baju hujan dan sepasang sarung tangan




Tangki minyak Kriss MR2 ini lebih besar sedikit daripada Kriss MR1
(Semua kredit gambar: Paul Tan)