Tuesday, June 2, 2015

Modenas TTR200 - motosikal cafe racer dari Malaysia / Modenas TTR200 - a cafe racer motorcycle from Malaysia

Salam sejahtera,

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini Modenas sering dikritik kerana tidak mempelbagaikan produk motosikal yang dikeluarkannya. Asyik-asyik model kapcai, kapcai, kapcai, kapcai dan kapcai sahaja. Sebelum ini Modenas memang pernah mengeluarkan model cruiser Modenas Jaguh, model skuter Modenas Karisma yang kemudiannya digantikan dengan Modenas Passion, serta model skuter maksi Modenas Elegan yang seterusnya digantikan dengan Modenas Elegan 200, tetapi entah bagaimana kesemua model tersebut akhirnya dihentikan pengeluarannya secara senyap-senyap tanpa pengetahuan sesiapa serta tanpa sebarang pengganti. Aktiviti promosi pun tidak seagresif penghujung tahun 1990an dan awal 2000an dahulu. Pada zaman kegemilangannya dahulu, Modenas pernah mendominasi sehingga 52% pasaran kapcai 4 lejang, tetapi sekarang tahap penguasaan Modenas hanyalah sekitar 9% sahaja secara keseluruhannya. Malah, sebuah lagi syarikat motosikal Malaysia dari Kuching, Sarawak iaitu Demak Motor sendiri pun sudah lama menapau pasaran Modenas, sedangkan sebelum ini jenama Demak hanya dianggap sebagai jenama picisan yang mengeluarkan motor-motor klon sahaja. Wartawan automotif terkemuka iaitu Hezeri Samsuri serta pengasas majalah Roda-Roda iaitu Allahyarham Md. Yusoff Bakar pernah menyuarakan kebimbangan mereka mengenai situasi yang dihadapi oleh Modenas ini.

Sehubungan dengan itu, Modenas sudah tidak lagi boleh terus berada dalam kepompong mereka sendiri dengan sekadar memikirkan mereka hanya boleh mengeluarkan motor kapcai bawah 200 cc sahaja, tetapi sebaliknya mereka perlu berfikir di luar kotak dengan mempelbagaikan genre motosikal keluaran mereka. Itulah yang dilakukan oleh Proton untuk membolehkan mereka menghasilkan kereta sendiri tanpa bergantung kepada syarikat kereta lain untuk ditiru reka bentuk mahupun teknologinya. Itu sahajalah cara untuk Modenas terus kekal dalam pasaran motosikal negara. Sekarang ini sudah sampai ke tahap ada di kalangan rakyat Malaysia yang sedikit pun tidak mengetahui kewujudan jenama Modenas, yang mana saya anggap sebagai situasi berbahaya.

Setelah dikritik sekian lama mengenai dasar-dasar mereka yang enggan berubah selama ini, akhirnya Modenas buat pertama kalinya akur akan tuntutan pasaran motosikal negara apabila mereka buat pertama kalinya sejak tahun 1999 memperkenalkan sebuah motosikal bergenre berbeza dengan kapasiti enjin yang lebih besar. Model yang saya maksudkan itu ialah Modenas TTR200, iaitu sebuah motosikal cafe racer buatan Malaysia.

Pada 16 Mei 2015 bertempat di ibu pejabat Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) di Glenmarie, Modenas menghimpunkan kelab-kelab motosikal Modenas di seluruh negara dalam satu majlis perhimpunan yang dikenali sebagai Kerabat Modenas. Dalam majlis tersebut, Modenas telah melakukan satu kejutan apabila mereka buat julung-julung kalinya memperkenalkan model motosikal cafe racer sulung mereka iaitu Modenas TTR200.

Kenapa cafe racer...? Motosikal cafe racer sebenarnya berevolusi daripada motosikal jalanan biasa. Motosikal jalanan biasa dikenali dengan tangki besar di bahagian hadapan pelana dan enjin yang terdedah, menyebabkannya sesuai untuk perjalanan jauh. Namun, pengeluar-pengeluar motosikal British seperti Triumph, BSA, Vincent dan Norton melakukan beberapa perubahan pada motosikal jalanan biasa ini untuk memfokuskan kepada kelajuan, di samping menampilkan identiti British pada motosikal keluaran mereka. Antara ciri lazim yang diterapkan termasuklah tangki yang berlekuk bagi membolehkan kedua-dua lutur dirapatkan pada motosikal, bar hendal yang rendah, lampu hadapan berfairing serta pelana berlekuk bagi merendahkan kedudukan penunggang. Namun, satu ciri yang menampilkan identiti British pada motor cafe racer ialah penggunaan enjin silinder tunggal atau kembar yang menegak lurus dan bukannya condong sedikit sebagaimana kebanyakan motosikal jalanan biasa moden. Hari ini, meskipun pengeluaran motosikal global didominasi motosikal jalanan biasa, superbike dam cruiser, namun masih ada di kalangan pemilik motosikal biasa yang mengubahsuai kerangka dan badan motosikal mereka sehingga menyerupai cafe racer. Daripada situlah populariti motosikal cafe racer kembali meningkat.

Motosikal cafe racer Modenas TTR200 ini menggunakan enjin 213.4 cc sejukan udara hasil kejuruteraan undur daripada enjin 175 cc asal Modenas Jaguh. Seperti Jaguh, TTR200 ini juga menggunakan transmisi 5 kelajuan (1 bawah, 4 atas). Meskipun TTR200 ini memang sudah dilengkapi penghidup elektrik, namum penghidup tendang turut ditambah bagi memenuhi keperluan mereka yang mahu menggunakan penghidup tendang untuk menghidupkan enjin yang lebih besar sebagai bukti peminat tegar cafe racer sejati. Sementara itu, Jaguh pula memang tiada penghidup tendang. Selain itu, penutup pengisi minyak jenis baharu dengan ukur celup digunakan, sedangkan penutup pengisi minyak asal Jaguh perlu dibuka menggunakan pemutar skru serta menggunakan cermin skrin minyak yang mudah kotor bagi mengetahui takat minyak enjin.

Namun, apa yang mengecewakan saya ialah TTR200 ini menggunakan karburetor jenis Spaco dan bukannya pancitan bahan api, sedangkan pengeluar cafe racer sejati seperti Triumph dan Royal Enfield sudah lama berhijrah kepada sistem pancitan bahan api. Ia sudah tentunya menyukarkan usaha bagi mengeksport motosikal ini ke negara-negara yang mempunyai peraturan emisi yang ketat terutamanya di pasaran eksport utama Modenas di Greece. Jika sistem pancitan bahan api digunakan, maka sudah tentulah Modenas berupaya mengeksport model ini ke Eropah kerana ia boleh lulus piawaian emisi sekurang-kurangnya Euro 3.

Apa pun, pengenalan model Modenas TTR200 seharusnya dilihat sebagai usaha Modenas untuk bangkit semula di pasaran motosikal Malaysia dan bukannya terus ditinggalkan oleh para pesaing yang lain. Modenas masih berteki-teki lagi tentang tarikh model ini bakal dilancarkan. Namun, sekiranya ia dilancarkan, maka saya percaya TTR200 ini berupaya memperoleh sambutan memberangsangkan kerana ia memenuhi keperluan penunggang motosikal yang mahu berhijrah daripada motosikal kapcai kepada motosikal yang lebih besar agar tidak perlu terlalu menyeksa enjin semasa perjalanan jauh mahupun di lebuh raya ekspres.



Spesifikasi Modenas TTR200

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 2 injap sejukan udara
Sesaran: 213.4 cc
Lubang x lejang: 72 x 52.4 mm
Kuasa kuda maksimum: 12.8 kW (17.4 PS) @ 8,500 rpm
Tork maksimum: 14.7 N-m @ 7,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 5 kelajuan (1 bawah, 4 atas)
Brek: Cakera (depan) dan gelendong (belakang)
Berat kering: 125 kg


Apa yang saya suka
  1. Motosikal berkapasiti besar pertama Modenas setelah sekian lama selepas Jaguh
  2. Praktikal bagi perjalanan jauh
  3. Reka bentuk retro yang menarik minat penggemar motosikal cafe racer sejati
Apa yang saya tidak suka
  1. Masih menggunakan karburetor
  2. Modenas masih berteka-teki akan tarikh pengeluarannya






Bahagian hadapan Modenas TTR200






Rekaan lampu haapan dan lampu isyarat membelok yang nampak klasik






Pandangan sisi kiri. Enjin yang digunakan ialah enjin 213.4 cc hasil kejuruteraan semula enjin Jaguh








Brosur Modenas TTR200 yang dibocorkan
(Semua kredit gambar: Malaysian Bikers)

7 comments:

  1. model ini memang menjadi rebutan peminat cafe racer.. terutamanya peminat jaguh yang ingin menaik taraf.. bagi saya modenas sebenarnya mempunyai market yang luas untuk pasaran motosikal kapchai.. mereka boleh menaiktaraf enjin modenas gt128 tu kepada 135cc atau terus 150cc sudah mencukupi.. design pula mesti la up to date.. front and rear led.. tangki minyak 7 Liter, dan ruang simpanan bawah seat..setakat ini tiada lagi motor kapchai 150cc ( dengan konsep kapchai, tank bawah tempat duduk dan ada fronth leg shield ).. pasti modenas akan dapat menawan pasaran kapchai kembali..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Idea yang bagus, saya sangat setuju dengan cadangan anda itu. Selain itu, saya juga ingin menambah beberapa cadangan lagi - Modenas perlu berhijrah kepada sistem pancitan bahan api bagi kesemua model-model keluarannya. Selain itu, untuk menjimatkan kos serta untuk membolehkan Modenas mempelbagaikan produk keluarannya, Modenas perlu menghasilkan jenis kepala silinder berbeza (SOHC 4 injap ataupun DOHC 4 injap) tetapi boleh menggunakan blok silinder yang sama.

      Delete
    2. Betul tu tuan...dengan sistem pancitan bahan api dan enjin pilihan berkuasa dohc 4 injap atau sohc 4 injap pasti menambah kesempurnaan kapchai modenas... tapi sayangnya semua ini hanyalah harapan dan cadangan kita sahaja..langsung tidak diendahkan oleh pihak modenas.. Teringat semasa saya berkunjung ke SC modenas di johor bahru, mereka ada memaparkan artikel New Strait Times mengenai kerjasama teknikal modenas dengan ktm untuk menghasilkan enjin 150cc yang baharu.. tarikh artikel tu tahun 2013 rasanya.. tapi sampai sekarang tiada kabar berita...hurmmmm...

      Delete
    3. Sebenarnya enjin yang dimaksudkan itu enjin 200 cc tetapi boleh dikecilkan lubangnya untuk menjadi enjin 150 cc. Enjin itu dikatakan hasil kerjasama Modenas dengan sebuah universiti luar negara. Hezeri Samsuri pernah menceritakan mengenainya di dalam blognya sebelum ini, tetapi sehingga sekarang masih belum ada produk yang menggunakan enjin yang dikatakan itu. Malah Demak sendiri sudah mengeluarkan model motosikal pelbagai genre yang lebih besar, terutamanya model-model super motard dan jalanan.

      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Entah kenapa Modenas masih memilih Spaco dan bukannya Keihin atau Mikuni. Cost cutting exercise maybe rasanya. EFI saya fikir modenas mungkin dah ada buat research dan mungkin juga dah ada pun modelnya, cuma utk lebih harga mampu milik rakyat marhaen.

    Genre cafe racer ini saya risau akan panas buat seketika sahaja dan capaian market tidak menyeluruh. Harap team RnD dan Marketing modenas dah buat market research sehabis2 baik. Seeloknya terus lauch model naked 150-200cc kerana keperluan untuk motor inter-city ini ada dan terbukti dgn model Yamaha, Demak, Nimota dan Kawasaki SL. Agaknya Modenas takut nak lawan mereka2 ini terutama Yamaha FZ mereka.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Antara Spaco, Keihin dan Mikuni, Spaco paling murah kerana ia buatan India. Tentang keputusan untuk memilih genre cafe racer ini pula, cafe racer sebenarnya berevolusi daripada motor naked jalanan biasa, jadi kalau tidak mahu berlumba pun, TTR200 masih boleh digunakan sebagai motosikal ke tempat kerja mahupun untuk perjalanan jauh.

      Delete