Yamaha E115M, motosikal yang dibuat khas untuk orang-orang Sabah dan Sarawak sahaja - orang Semenanjung tidak akan jumpa model ini
(Kredit gambar: Automotive Station dan Gear Jahat)
Salam sejahtera,
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat para pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia yang memberikan sambutan memberangsangkan terhadap entri sejarah lengkap Jalan Persekutuan 1 yang telah saya tulis semalam. Usaha menghimpunkan sejarah lengkap Jalan Persekutuan 1 ini juga telah membolehkan entri mengenai jalan tersebut di Wikipedia dikemaskini berserta dengan sumber-sumber rujukannya sekali. Sokongan daripada anda semua terutamanya kepada Pusat Rujukan Jalan Negara (PRJN), Kementerian Kerja Raya Malaysia dan juga para pembaca sekalian telah menjadikan usaha menghimpunkan sejarah lengkap jalan raya yang telah banyak berjasa kepada rakyat sejak tahun 1880 mencapai kejayaan besar.
Sehubungan dengan kejayaan besar ini, saya kini sedang merancang untuk menghidupkan semula projek reviu berkembar Jalan Persekutuan 1 dan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, yang disasarkan untuk dijalankan selepas musim perayaan Hari Raya Aidilfitri iaitu pada awal bulan Ogos ini. Tidak seperti reviu jalan raya lain sebelum ini yang dijalankan dengan menggunakan kenderaan sendiri terutamanya motosikal (kecuali siri reviu Kembara Merdeka Sabah 2013 dan XPDC Teganu Kita 2015), saya merancang untuk menghantar proposal kepada Hong Leong Yamaha Motor untuk meminjamkan kepada saya sebuah motosikal Yamaha 135LC khas untuk projek reviu kali ini. Kenapa mesti guna Yamaha 135LC dan bukannya Honda Wave 125X Ultimo...? Jawapannya adalah kerana projek reviu kali ini diadakan sempena dengan ulang tahun Jalan Persekutuan 1 yang ke-135 pada tahun ini. Selebihnya, anda nantikanlah pengumuman seterusnya tidak lama lagi.
Semasa saya hendak membelek-belek laman sesawang Hong Leong Yamaha Motor bagi meninjau spesifikasi Yamaha 135LC, tiba-tiba saya dikejutkan dengan kehadiran sebuah model motosikal kapcai baharu yang tidak pernah saya dengar sebelum ini iaitu Yamaha E115M. Malah, kelibat model motosikal itu juga tidak pernah saya nampak di mana-mana kedai motosikal yang pernah saya kunjungi. Semasa saya cuba google mengenai pelancaran model tersebut, saya dapati bahawa model motosikal Yamaha E115M ini sebenarnya memang sudah dilancarkan di Kuching, Sarawak pada 12 Februari 2015. Nampak sangat saya sudah jauh ketinggalan kereta api...!!! Kenapa saya boleh tidak tahu akan kewujudan model ini...? Sebenarnya, model E115M ini memang dibina khas oleh Hong Leong Yamaha Motor untuk orang-orang Sabah dan Sarawak sahaja, jadi anda memang tidak akan berpeluang untuk menemui motor ini di Semenanjung. Nama E115M itu sendiri pun membawa maksud East Malaysia (Malaysia Timur).
Untuk makluman anda, Yamaha E115M ini dibina berasaskan model Yamaha Spark 115i di Thailand dan Yamaha Vega ZR di Indonesia. Namun, apa yang membezakan E115M ini dengan kembar-kembar seirasnya di Thailand dan Indonesia ialah enjin yang digunakannya - E115M menggunakan enjin Lagenda 115Z generasi keempat yang menggunakan karburetor, sedangkan Spark 115i pula menggunakan enjin pancitan bahan api serba baharu yang sama seperti enjin Lagenda 115Z Fuel Injection. Sementara itu pula, Lagenda 115Z Fuel Injection yang dijual di Malaysia pula berasaskan model Jupiter Z1.
Kenapa pula model E115M yang lebih baharu menggunakan karburetor sedangkan Lagenda 115Z Fuel Injection pula menggunakan pancitan bahan api...? Jawapannya terletak kepada latar belakang muka bumi Sabah dan Sarawak itu sendiri. Majoriti kawasan Sabah dan Sarawak terdiri daripada kawasan berpenduduk jarang dengan jaringan jalan raya yang kurang baik jika dibandingkan dengan Semenanjung. Jarak antara stesen minyak pun sangat jauh sehingga ada yang melebihi 100 km. Justeru, model yang dikeluarkan bukan sahaja perlu berupaya untuk tahan sekurang-kurangnya 150 km bagi setangki penuh pada kelajuan 80-100 km/j, malah perlu direkabentuk supaya boleh juga menggunakan alat ganti Yamaha Lagenda 115Z untuk mengelakkan daripada masalah kesukaran untuk mendapatkan alat ganti, khususnya bagi penduduk di pedalaman. Sistem bahan api karburetor dipilih supaya mekanik di kawasan pedalaman yang kurang mahir pun boleh menservis sistem bahan api, tidak seperti pancitan bahan api yang memerlukan kemahiran yang lebih tinggi untuk membaikinya, di samping peralatan khas untuk membaca kod ralat sekiranya lampu periksa enjin menyala. Maka, model E115M ini sangat bersesuaian dengan konteks Sabah dan Sarawak.
Enjin yang digunakan itu mampu menghasilkan 7.75 PS @ 7,260 rpm dan tork 8.0 N-m @ 5,480 rpm. Angka-angka ini sebenarnya lebih rendah daripada keupayaan Yamaha Lagenda 115Z berkarburetor yang mampu menghasilkan 8.2 PS @ 7,500 rpm dan tork 8.3 N-m @ 4,500 rpm. Jadi, anda hanya boleh jangkakan motor ini paling laju boleh pergi pun cuma sekitar 105-110 km/j sahaja. Namun, memandangkan tiada lebuh raya ekspres di Sabah dan Sarawak, maka kelajuan maksimum sebegini sudah boleh dianggap cukup laju di sana. Bagi yang sudah biasa menunggang sekurang-kurangnya Lagenda 115Z Fuel Injection, anda boleh lupakan keseronokan memecut laju sehingga 130 km/j. Enjin E115M ini sengaja dinyahtala sebegitu kerana ketahanan enjin lebih diutamakan di sini.
Harga motosikal Yamaha E115M ini dianggarkan sekitar RM4,200 sehingga RM4,500, menjadikannya motosikal Yamaha termurah di Malaysia Timur, iaitu lebih murah daripada Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection dan lebih kurang dalam lingkungan harga Honda EX5 Dream FI. Jadi motosikal manakah yang berupaya menyaingi E115M ini...? Jawapannya sudah tentulah model-model keluaran Demak dan SYM yang menggunakan formula yang sama - harga murah, enjin mungkin kurang berkuasa tetapi tahan lasak dan boleh dilenjan mengikut keadaan muka bumi Sabah dan Sarawak.
Spesifikasi Yamaha E115M
Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 2 injap sejukan udara
Sesaran: 114 cc
Lubang x lejang: 50 x 57.6 mm
Kuasa kuda maksimum: 7.75 PS @ 7,260 rpm
Tork maksimum: 8.0 N-m @ 5,480 rpm
Penghidup: Tendang
Transmisi: 4 kelajuan
Brek: Gelendong depan dan belakang
Berat kering: 96 kg
Kelajuan maksimum: Lebih kurang 105-110 km/j
Apa yang saya suka
- Harga yang murah
- Boleh menggunakan alat ganti Lagenda 115Z lama
Apa yang saya tidak suka
- Enjin kurang berkuasa
Pandangan hadapan Yamaha E115M
Lampu belakang E115M. Perhatikan slot kunci pembuka pelana di bawah lampu belakang dan bukannya di sebelah kiri lampu belakang
Yamaha E115M turut menyertakan ruang simpanan di bawah pelana yang mencukupi untuk menyimpan baju hujan dan sarung tangan
Panel meter E115M yang ringkas. Julat angka meter laju ini memberi bayangan bahawa motor ini memang tidak laju
(Semua kredit gambar: Automotive Station dan Gear Jahat)
helo tuan, nak tanya which better ex5 dream atau motor ni dlm segi ketahanan dan pnjimatan minyak juga kos selenggara?
ReplyDeleteAdakah anda dari Sabah atau Sarawak...? Kalau ya, saya lebih syorkan Yamaha E115M ini.
DeleteSkrng sya tengah pkai moto e115m yamaha....bru 8 bulan pkai....enjin dh mula berbunyi....bnyak orng bgi tahu bahawa enjine e115m cpat berbunyi....antara bhgian valve atau taiming change....bkn sekadar kurang kelajuan nya....enjin yamaha e115m pun amat mngecewakn....wlw pun dh dijaga dengan rapi dn teliti
ReplyDeleteBetul saya punya pun baru 2 tahun dah overhol memang mengecewakan
Deletefornt fork set ada jual kah?
ReplyDeleteSebagai pengguna E11M yang sudah lama sya gunakan...yang pertama...selepas sebulan habis running mileage ejin moto ni...terus tukar ekzos putuskan sambungan ekzos dengan kotak angin carburetor kerana benda ni lah yng buat enjin e115m cepat rosak...yang kedua moto ni memang perlu dijaga rapi untuk elak dari rosak...sentiasa periksa kandungan minyak hitam...ketiga yang menyebabkan enjin nya cepat panas adalah magnet coil di dalam enjin klau boleh dah rosak tukar dengan jenama lain tpi pstikan pnp dkat model lagenda 115z...
ReplyDeleteSaya pun memakai jenama e115m ini, ianya satu ciptaan yg teruk keranan wlupun sya sudah menjaganya dgn rapi namun motor ini tetap akan menunjukkan perubahan dgn cepat, antara perubahan yg berlaku adalah enjin cepat panas, kemudian enjin semakin tidak kuat untuk Naik bukit, performance sngat rendah, pecutan jatuh, starting terlalu lmbt, klau ada siapa² yg pakar psl e115m ni tolong saya untuk selesaikan masalah Moto saya ini.?
ReplyDeleteSaya menggunakan e115m selama 5 tahun . Setakat ni x perna overhaul motor . Bahagian enjin sya perna buat tophaul sahaja . Sebab lama suda kn 5 tahun jadi sya buat sahaja tophaul dan tukar cluth lining .. motor ni perlu jaga minyak hitam sahaja . X susah pun .
ReplyDeleteMotor mcm manusia juga . Pandai sakit . Tu z perlu d pertikaikan . Apa2x jenis motor pun dan jenama . Semua pandai rosak . Yg pting # jaga minyak hitam , jangan tlmpau ganas mahu pulas tu thrrotel hari2x smpai 115km/j ... barang injen semua guna kn lagenda 115srl . Exzos ex5 110 atau lagenda 110 kompom masuk . Pnp semua . X paya mw custome2x . Sya guna motor sya bikin grabfood . Hari2x jalan ...
ReplyDeleteMotor e115m ni memang teruk baru pakai 2tahun da overhol..injin tidak power tidak laju.. memang teruk la menyesal beli
ReplyDeleteantara jenama buatan jepun yang menjatuhkan imej yamaha sendiri.ini lah motor nya. hairan kenapa tidak dijual di semenanjung. kualiti sangat rendah. memang betul kena tukar minyak hitam sebulan sekali. speed tak bolih pulas maksimum. hayat paling lama bolih pergi 10 tahun saja agakkan saya. itu pun kalau dijaga dengan cermat. kesimpulan nya jangan beli motor ini bagi org yang kasar. contoh nya kaki racer.
ReplyDeleteSaya sebagai pengguna yamaha e115m slma 2 tahun lebih tak pernah mengalami apa2 kerosakan apa lagi saya ni jenis kaki modified, walaupun orang cakap e115m tak laju/cepat rosak tapi saya bangga sebab moto ni boleh lawan dengan lc135 dgn y15
ReplyDeleteKalau Naik bukit yang tinggi, starting Tak kuat. Macam gear tinggi Pula sedangkan pakai gear 1 saja. Apa masalah motor E115M macam tu? Normal ka ?
ReplyDeleteKebanyakkan sini bagi komen negatif. Semangat tiba-tiba jadi lemah. Baru beli motor ni pagi tadi.
ReplyDeleteTahniah, jaga elok, tukar minyak hitam selalu. Saya pakai lebih kurang enam tahun, enjin mula rosak apabila selalu dipecut semasa jalan jauh. Selalu tukar minyak hitam dan jangan dibawa pecut, cukup sekadar 80-90.
Delete