Thursday, June 25, 2015

Ulang tahun ke-100 Jalan Persekutuan 2: Sejarah lengkap jalan FT2 / Federal Route 2 100th Anniversary: The complete history of FT2 highway





Jalan Persekutuan 2 terdiri daripada Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2 (atas) dan Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 (bawah)


Salam sejahtera,

Saya percaya pastinya anak-anak Pahang masih lagi ingat akan titah ucapan Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah, semasa perasmian Lebuhraya Pantai Timur (LPT) E8 Fasa 1 dari Karak ke Kuantan pada 1 Ogos 2004. Dalam titah ucapan baginda, baginda ada menceritakan kepayahan anak-anak Pahang untuk ke Kuala Lumpur pada suatu ketika dahulu - bagaimana mereka terpaksa meredah hutan belantara tebal dan menyeberangi Sungai Pahang yang besar dan berarus kuat, dan bagaimana mereka merentasi Banjaran Titiwangsa melalui Jalan Gombak FT68 yang begitu sempit dan berbengkang-bengkok. Jika perjalanan dari Segamat ke Johor Bahru sejauh 184 km sebelum siapnya Lebuhraya Utara-Selatan E2 pun memakan masa antara 4-5 jam, inikan pula perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur yang tentunya lebih jauh. Namun, dengan siapnya LPT E8 pada tahun 2004, perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur kini menjadi lebih lancar dan lebih menjimatkan masa.

Sungguhpun demikian, anak-anak Pahang tidak seharusnya lupa akan jasa Jalan Persekutuan 2 yang menjadi nadi utama negeri Pahang selama separuh abad sebelum siapnya LPT E8, kerana LPT E8 tidak mungkin wujud tanpa kemakmuran negeri Pahang yang dibawa melalui jalan FT2 ini. Sebelum saya mulakan dengan sejarah Jalan Persekutuan 2 ini, saya ingin memaklumkan bahawa Jalan Persekutuan 2 terdiri daripada 2 bahagian, iaitu Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 dan Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2, yang mana kedua-duanya bertemu di Kuala Lumpur.

Sejarah Jalan Persekutuan 2 bermula sebagai sebahagian daripada Jalan Benta-Kuantan yang dibina pada tahun 1915, sekaligus menjadikan Jalan Persekutuan 2 kini berusia 100 tahun pada tahun ini. Jalan Benta-Kuantan dibina sebagai sambungan kepada Jalan Kuala Kubu-Kuala Lipis sejauh 80 batu (130 km) yang merupakan jalan raya terawal di negeri Pahang. Kini, Jalan Kuala Kubu-Kuala Lipis membentuk keseluruhan laluan Jalan Persekutuan 55 serta sebahagian laluan Jalan Persekutuan 8 dan 218. Sementara itu pula, Jalan Benta-Kuantan pula membentuk keseluruhan Jalan Persekutuan 64 (Benta-Maran) dan Jalan Persekutuan 2 (Maran-Kuantan). Pada masa yang sama juga Jalan Gombak FT68 dibina pada tahun yang 1915, diikuti dengan Jalan Teranum-Bentong-Temerloh FT8/FT2 yang dibina pada tahun 1928.

Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2 siap dengan rasminya pada tahun 1955 dengan siapnya jajaran akhir dari Temerloh ke Maran pada 11 Jun 1955. Bahagian akhir Jalan KL-Kuantan FT2 itu sekaligus memendekkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan daripada 384 km kepada 275 km sahaja. Jajaran terakhir itu mula dibina pada tahun 1925 dan hanya siap 30 tahun kemudian berikutan pelbagai kesukaran yang dihadapi sepanjang pembinaannya, antaranya musim hujan, banjir besar, paya yang dalam, kemaraan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua serta kegiatan tentera pengganas komunis. Jalan Temerloh-Maran FT2 turut menampilkan jambatan lama Temerloh yang merupakan jambatan terpanjang di sepanjang laluan FT2. 




Jambatan Sultan Ahmad Shah FT2 berdiri megah di sebelah jambatan lama Temerloh yang runtuh akibat banjir besar 1971




Jambatan Sultan Ahmad Shah FT2 dibina sebegitu tinggi sehingga menghasilkan persimpangan bertingkat pertama di Pahang


Namun, riwayat jambatan tersebut tidak lama apabila sebahagian lantai jambatan tersebut runtuh akibat banjir besar 1971 di Temerloh, sekaligus menyebabkan laluan KL-Kuantan terputus. Sebagai langkah sementara, JKR Temerloh memasang jambatan Bailey di atas jambatan lama itu buat sementara. Susulan banjir besar tersebut, kerajaan persekutuan membina sebatang jambatan pengganti yang dikenali sebagai Jambatan Sultan Ahmad Shah FT2 pada tahun 1972. Jambatan tersebut merupakan jambatan besi yang dibina sebegitu tinggi sehingga menghasilkan satu persimpangan bertingkat terawal di negeri Pahang, yang dihubungkan dengan Jalan Persekutuan 10. Selain itu, projek Jambatan Sultan Ahmad Shah FT2 juga turut menyertakan satu laluan baharu yang memintas bandar Temerloh dan Mentakab. Hasilnya, jajaran lama Temerloh-Mentakab diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan 87. Projek Jambatan Sultan Ahmad Shah FT2 siap pada tahun 1974.

Sementara itu pula, Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 pula siap pada tahun 1959 bagi menggantikan satu sistem laluan lama yang terdiri daripada Jalan Klang Lama, Persiaran Selangor, Jalan Sungai Rasau dan Jalan Batu Tiga Lama. Laluan baharu tersebut penting kerana sebahagian jajaran laluan lama dibina sebagai jalan raya tunggal dan tiada rizab yang membolehkannya dinaik taraf. Laluan baharu itu juga direkabentuk untuk kelajuan sehingga 60 bsj (100 km/j), cuma bezanya ia masih ada persimpangan searas lagi. Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 dinaik taraf menjadi lebuh raya capaian terkawal pada tahun 1974 yang dikenali sebagai Lebuhraya Persekutuan FT2 hasil pinjaman oleh Bank Dunia, dengan menggantikan persimpangan searas kepada persimpangan bertingkat, siap pada tahun 1977. Namun, jajaran yang terlibat dalam kerja naik taraf hanyalah dari Persimpangan Seputeh ke Persimpangan Freescale sejauh 13 km. Sepanjang jajaran 13 km itu, laluan dinaik taraf kepada 6 lorong (3 bagi setiap hala) dan dilengkapi bahu jalan keras (aka lorong kecemasan) dan sepasang lorong basikal yang kini sudah dijadikan lorong motosikal.




Jambatan Kota FT2/FT5 pada tahun 1985




Jambatan Kota FT2/FT5 sekarang


Itu hanya cerita dari Kuala Lumpur ke Petaling Jaya sahaja. Bagaimana pula dengan jajaran Petaling Jaya-Klang...? Jajaran PJ-Klang kekal 4 lorong (2 lorong bagi setiap hala) tanpa bahu jalan keras. Sehubungan dengan itu, PLUS Malaysia Berhad menaik taraf jajaran dari Persimpangan Lapangan Terbang Subang sehingga ke Persimpangan Bulatan Berkeley pada tahun 1992, daripada 4 lorong kepada 6 lorong, Begitu juga dengan lorong-lorong motosikal yang turut disambung sehingga ke Persimpangan Bukit Raja. Selain itu, PLUS juga membina Jambatan Kota FT2/FT5 4 lorong di Klang bagi menggantikan jambatan lama yang hanya selebar 2 lorong, di samping pembinaan jejambat Bulatan Simpang Lima. Jajaran kendalian PLUS Malaysia Berhad itu dibuka pada 11 Mei 1993 dan dikenakan tol.

Kini, Lebuhraya Persekutuan FT2 mengendalikan lalu lintas sehingga empat kali ganda kapasiti asalnya. Sehubungan dengan itu, beberapa batang lebuh raya baharu dibina selari dengan Lebuhraya Persekutuan FT2 sebagai alternatif bagi mengurangkan kesesakan FT2. Ia bermula dengan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) yang dibuka pada 11 Januari 1993, diikuti Lebuhraya Shah Alam E5 pada tahun 1997, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) E10 pada 30 April 2004, Lebuhraya Latar E25 pada 23 Jun 2011, dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) E26 pada tahun 2013.




Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak FT2 semasa zaman dua lorong dahulu




Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 sekarang


Sementara itu, satu jajaran pengganti dibina bagi menggantikan Jalan Gombak yang sempit, berbengkang-bengkok dan berbahaya, dikenali sebagai Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak FT2. Ia menampilkan Terowong Genting Sempah sepanjang 914.4 m. Butiran selanjutnya mengenainya boleh anda baca dalam entri sejarah Lebuhraya Karak FT2. Setelah Lebuhraya Karak FT2 siap pada tahun 1978, Jalan Gombak diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan 68. Namun, pada masa itu Lebuhraya Karak FT2 dibina sebagai jalan raya 2 lorong biasa. Pada tahun 1994, Lebuhraya Karak FT2 dinaik taraf menjadi lebuh raya ekspres penuh dengan kawalan masuk penuh, hasil kembaran laluan asal, pembinaan terowong kedua bagi laluan arah timur serta pembinaan persimpangan bertingkat bagi menggantikan persimpangan searas. Lebuhraya Karak yang dinaik taraf itu siap pada tahun 1998 serta diberikan kod laluan E8. Seterusnya, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak E8/FT2 disambung sebagai Lebuhraya Pantai Timur E8, butiran mengenainya boleh anda baca dalam entri sejarah lengkap Lebuhraya Pantai Timur E8.

Kesimpulannya, jika Jalan Persekutuan 1 merupakan jalan raya yang banyak berjasa di negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia, Jalan Persekutuan 2 pula banyak berjasa kepada penduduk negeri Pahang serta Lembah Klang. Justeru, sempena ulang tahun Jalan Persekutuan 2 ke-100 tahun, ada baiknya anda sekali-sekala mempertimbangkan untuk menggunakan Jalan Persekutuan 2. Ia bukanlah bermaksud untuk mengajak anda memboikot penggunaan lebuh raya ekspres, tetapi dengan menggunakan jalan persekutuan sebegini, anda akan lebih menghargai kemakmuran yang dikecapi negara sekarang - apa yang kita capai pada hari ini mustahil untuk diperolehi tanpa pengorbanan generasi terdahulu.

No comments:

Post a Comment