Kereta-kereta buatan Proton menjadi pilihan utama para pengusaha teksi kerana kos modal (harga kereta) yang rendah, mudah diselenggara serta alat ganti yang amat mudah didapati.
Salam sejahtera,
Sejak setahun kebelakangan ini, perselisihan faham antara Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak dengan bekas Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sering menghiasi ruangan berita utama di dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Krisis tersebut berpunca daripada skandal hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM42 bilion, yang mana aliran kewangannya tidak telus dan menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan. Namun, pertikaian tersebut semakin ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini apabila Datuk Seri Najib semakin berani menyerang balas Tun Dr. Mahathir.
Berita mengenai skandal 1MDB itu sahaja sudah menimbulkan kemarahan rakyat. Ia kerana skandal hutang 1MDB akan menyebabkan rakyat mempersoalkan ke mana wang cukai mereka dibelanjakan, khususnya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang mana jumlah kutipannya setakat Jun 2015 kini melepasi angka RM6 bilion. Jumlah kutipan GST itu mampu menutup hutang 1MDB dalam masa 14 bulan sahaja sejak kutipan GST mula dikuatkuasakan pada 1 April 2015. Namun, apa yang lebih membangkitkan kemarahan rakyat adalah ketidakmampuan Datuk Seri Najib menjawab secara spontan tentang bagaimana wang 1MDB dibelanjakan, serta cara berita mengenai pertikaian Najib-Mahathir itu dilaporkan di dalam berita. Dalam hal ini, TV3 secara terang-terangan telah mencabuli etika kewartawanan apabila ia menunjukkan sikap berat sebelah secara keterlaluan dengan mengampu Datuk Seri Najib secara berlebihan dan menghentam Tun Dr. M dengan begitu melampau, sedangkan pada zaman Tun Dr. M menjadi Perdana Menteri sebelum ini, TV3lah stesen TV yang paling kuat "menjilat" beliau.
TV3 mencipta isu teksi Proton dalam kempen memburuk-burukkan Tun Dr. M
(Kredit kepada: Kelab Che Det)
Petikan berita kontroversi dalam Buletin Utama yang memburuk-burukkan Proton
(Kredit kepada: Saya Sayang Tun Dr Mahathir Mohammad)
Baru-baru ini, TV3 telah memburuk-burukkan Proton, syarikat automotif pertama Malaysia yang diasaskan sendiri oleh Tun Dr. Mahathir, dalam kempen memburuk-burukkan nama beliau di dalam berita terbitan mereka. Mereka mencipta satu isu berkaitan kualiti Proton dengan melibatkan sekumpulan pemandu teksi sebagai barisan pelakon utama dalam drama ciptaan mereka itu. Para pemandu teksi di dalam Buletin Utama itu mendakwa kononnya kereta Proton yang digunakan sebagai teksi "cepat rosak dan tidak tahan lasak". Ia sememangnya satu fitnah jahat yang bertujuan untuk memburuk-burukkan Proton yang kini diterajui oleh Tun Dr. Mahathir sendiri sebagai pengerusi Proton.
Anda tanyalah mana-mana wartawan automotif yang lebih "otai" seperti Hezeri Samsuri, Chips Yap, Paul Tan dsb.; rata-rata mereka pasti akan mengatakan bahawa "berita" oleh TV3 itu sebenarnya tidak lain dan tidak bukan hanya bermotifkan politik dangkal semata-mata. Tujuan utama kenapa TV3 kini begitu giat mahu memburuk-burukkan Proton sudah tentulah kerana ia kini diterajui oleh Tun Dr. M sendiri. Saya sendiri pun berpendapat bahawa kempen memburuk-burukkan Proton oleh TV3 sekarang ini merupakan satu kempen terdesak bagi mendapatkan sokongan rakyat terhadap Datuk Seri Najib. Jika dahulunya pada tahun 1990an TV3 dikenali kerana reputasinya sebagai penyampai berita yang cepat,tepat dan mematuhi etika kewartawanan sehinggakan beberapa wartawan mereka telah memenangi beberapa anugerah, kini TV3 dikenali sebagai penyampai berita yang terang-terangan berat sebelah dan hanya menjadi penjilat tegar kerajaan secara membabi-buta. Ironinya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang memang merupakan sebuah jabatan kerajaan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia tidak pula memburuk-burukkan bekas Perdana Menteri keempat itu dalam mana-mana berita mereka, jauh sekali hendak memburuk-burukkan Proton.
Untuk menjawab mengenai isu teksi Proton ini, ada dua persoalan utama yang perlu dijawab. Persoalan pertama ialah kenapa rata-rata pemandu teksi memilih kereta Proton sebagai teksi bagi sumber pendapatan mereka...? Jawapannya sudah tentulah kerana hanya kereta buatan Proton sahaja yang murah dan mampu dimiliki oleh mana-mana pengusaha teksi sebagai sumber rezeki mereka. Kereta Proton Saga mampu dimiliki dengan harga bermula serendah sekitar RM33,000 sahaja. Dengan harga serendah itu, orang-orang kampung pun mampu memilikinya. Tambahan pula, mana-mana mekanik hatta pomen bengkel bawah pokok sekalipun boleh membaiki kereta Proton dengan mudah. Alat ganti pun mudah didapati dengan harga yang murah. Kedua-dua faktor inilah yang menjadikan kos penyelenggaraan kereta Proton sangat rendah dan mampu ditanggung para pengusaha teksi. Gabungan faktor kos modal (harga kereta) serta kos penyelenggaraan yang rendah ini merupakan dua faktor utama kenapa rata-rata pengusaha teksi memilih untuk menggunakan kereta Proton. Jika benar teksi Proton kurang tahan lasak, cuba minta pengusaha teksi membeli kereta Honda City ataupun Toyota Vios untuk dijadikan teksi, adakah mereka mampu membelinya...? Harga kedua-dua model kereta itu sahaja sudah hampir tiga kali ganda harga Proton Saga. Kos penyelenggaraan dan alat ganti pun mahal. Kereta buatan Honda pula tidak boleh menggunakan bendalir transmisi automatik biasa bagi model-model transmisi automatik konvensional mereka; transmisi automatik konvensional Honda hanya boleh menggunakan bendalir jenis Honda ATF-Z1 serta Castrol Transmax Multivehicle sahaja. Maka, jika kedua-dua model ini digunakan sebagai teksi, maka tambang teksi akan jadi tiga kali ganda lebih mahal, dan bilangan penumpang akan merosot sehingga 67%.
Persoalan kedua dalam isu teksi Proton ini ialah kenapa teksi Proton rosak...? Sudah tentulah kerana keadaan enjin yang sentiasa hidup dan dibiarkan beroperasi hampir sepanjang masa. Sebenarnya, kereta buatan lain pun akan rosak juga jika enjin dibiarkan sentiasa hidup dan dibiarkan beroperasi hampir sepanjang masa. Enjin pun boleh jadi lesu seperti manusia juga. Sebab itulah mana-mana teksi di seluruh dunia diletakkan di bawah jadual penyelenggaraan berkala Severe dan bukannya jadual penyelenggaraan biasa, yang mana selang masa penyelenggaraan berkala Severe adalah separuh daripada selang masa penyelenggaraan biasa. Sebenarnya, masih banyak teksi Proton yang tahan begitu lama sehingga melebihi 10 tahun tanpa sebarang kerosakan, dan apabila ditanya kepada pemiliknya apakah rahsia teksi mereka boleh tahan lama tanpa kerosakan, rata-rata mereka pasti akan menjawab "rajin menjaga dan menyelenggara teksi". Pendek kata, kalau diberi kereta paling mahal pun, ia akan cepat rosak juga jika ia dikendalikan oleh pengendali yang malas menyelenggaranya - bak kata pepatah, tidak pandai menari dikatakan pula lantai tinggi rendah.
Kesimpulannya, dakwaan mengenai teksi Proton yang dikatakan cepat rosak dan tidak tahan lasak itu sebenarnya tidak lain dan tidak bukan hanya sekadar propaganda berbaur politik semata-mata, dengan menjadikan Proton sebagai mangsa kerana ia diterajui sendiri oleh Tun Dr. Mahathir. Disebabkan kempen memburuk-burukkan Proton itu, maka sudah tentulah ia sedikit-sebanyak menjejaskan jualan kereta buatan Proton. Proton sewajarnya bertindak tegas dengan mengambil tindakan mahkamah terhadap TV3 yang berniat jahat mempergunakan Proton dalam kempen memburuk-burukkan Tun Dr. M berikutan krisis antara Datuk Seri Najib dan Tun Dr. M. Biar mereka berdua sendiri yang menyelesaikan persengketaan antara mereka; TV3 sepatutnya bersikap neutral dan tidak menjadi penjilat tegar secara membabi-buta kerana kempen memburuk-burukkan Tun Dr. M ini sebenarnya hanya memakan diri sahaja dan menyebabkan rakyat semakin membenci kerajaan secara amnya dan membenci TV3 secara khasnya. TV3 sepatutnya mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa Utusan Malaysia yang kini terpaksa menanggung kerugian berterusan akibat disaman secara berterusan oleh beberapa orang pemimpin pembangkang. Hanya dengan menyiarkan berita yang tepat, bersifat neutral dan tidak berat sebelah sahajalah yang membolehkan TV3 kembali memulihkan reputasi mereka sebagai pengamal media yang bertanggungjawab.
No comments:
Post a Comment