Wednesday, June 24, 2015

Fasa pertama Jambatan Ketiga Klang bakal siap Julai 2016 / The first phase of Klang Third Bridge will be completed on July 2016



Dengan siapnya projek Jambatan Ketiga Klang pada tahun 2018, penduduk Klang bakal memperoleh satu lagi laluan alternatif bagi melintasi Sungai Klang selain Jambatan Kota FT2/FT5 (gambar atas) dan Jambatan Tengku Kelana


Salam sejahtera,

Pada 18 Jun 2015, laman blog automotif Paul Tan melaporkan bahawa fasa pertama projek jambatan ketiga Klang bakal siap pada Julai 2016, setelah tertangguh begitu lama sejak tahun 2008. Projek jambatan dan jalan penghubung sepanjang 2.5 km itu menghubungkan antara Jalan Sungai Bertih di sebelah tebing selatan Sungai Klang dengan Jalan Tanjung Syawal, Jalan Goh Hock Huat dan Jalan Pintasan Selat Klang FT20 di sebelah tebing utara. Ia dibina bagi mengurangkan masalah kesesakan di dua jambatan utama di Klang, iaitu Jambatan Kota FT2/FT5 dan Jambatan Tengku Kelana.

Projek Jambatan Ketiga Klang ini sebenarnya merupakan projek yang dijanjikan kepada penduduk Klang oleh Menteri Besar terdahulu, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo pada 5 Mac 2008. Namun, projek tersebut terbengkalai setelah Pakatan Rakyat menewaskan Barisan Nasional di Selangor pada pilihan raya umum yang diadakan pada bulan yang sama.




Peta lokasi projek pembinaan Jambatan Ketiga Klang




Kerja-kerja pembinaan tiang-tiang bagi Jambatan Ketiga Klang
(Semua kredit gambar: Paul Tan)


Setakat Jun 2015, tahap kemajuan projek adalah sekitar 30%, yang merangkumi kerja-kerja asas jambatan dan penanaman cerucuk, dengan jumlah kos setakat ini RM199 juta. Fasa kedua pula memakan belanja RM320 juta, dan kerja-kerja pembinaan fasa kedua bakal dimulakan tahun hadapan dan keseluruhan projek bakal siap pada tahun 2018. Ia mengguna pakai pendekatan sama seperti pembinaan Jambatan Kedua Sungai Segamat J217, yang mana fasa pertama melibatkan pembinaan jambatan itu sendiri manakala fasa kedua pula ialah kerja-kerja naik taraf beberapa batang jalan raya penghubung (Jalan Hassan J216, Jalan Pemuda J152, Jalan Laksamana J217, Jalan Pee Kang Hai dan Jalan Chia Chin Koon) bagi membentuk satu sistem jalan raya yang dikenali sebagai Jalan Lingkaran Dalam Segamat. Dalam kes Jambatan Ketiga Klang ini pula, jalan-jalan yang bakal dinaik taraf ialah Jalan Sungai Bertih, Jalan Tanjung Syawal, Jalan Goh Hock Huat dan Jalan Mapong. Justeru, saya meramalkan bahawa Jambatan Ketiga Klang ini bakal diwartakan sebagai Jalan Negeri Selangor, memandangkan projek tersebut dirancang dan dibiayai oleh kerajaan negeri Selangor.

Jadi mampukah projek Jambatan Ketiga Klang ini mengurangkan masalah kesesakan di dua jambatan di pusat bandar Klang...? Menurut Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam Selangor, Encik Ng Suee Lim, jambatan ketiga yang mempunyai kapasiti maksimum ADT 120,000 itu mampu mengurangkan kesesakan di dua batang jambatan sedia ada di Klang sehingga 60%, tetapi pada pendapat saya pula angka 60% itu terlalu optimistik, terutamanya jika dikaji semula rangkaian jalan raya di kawasan yang terlibat. Penduduk yang tinggal di sekitar Jalan Kapar FT5 dan Persiaran Raja Muda Musa FT2 memang akan menerima kesan baik pembinaan jambatan tersebut, tetapi bagaimana pula dengan lalu lintas dari arah Jalan Langat FT5...? Saya tidak fikir pengguna jalan raya dari arah Jalan Langat FT5 menerima manfaat daripada pembinaan jambatan tersebut (kecuali jika mereka memang merupakan anak jati Klang) kerana mereka terpaksa membelok ke Jalan Raya Barat dari Bulatan Simpang Lima dan seterusnya membelok kiri ke Jalan Teluk Pulai sebelum bertemu dengan Jalan Sungai Bertih - kecuali jika papan tanda yang jelas lagi memudahkan dipasang oleh JKR Selangor nanti. Justeru, saya hanya meletakkan ramalan sasaran pengurangan kesesakan antara 30 hingga 45% sahaja - jika pengurangan kesesakan yang diperolehi nanti melebihi 45%, saya sifatkan ia sebagai satu bonus.

Apa pun, syabas buat JKR Selangor dan kerajaan negeri Selangor kerana berjaya melaksanakan projek lintasan ketiga Sungai Klang di bandar Klang bagi mengurangkan kesesakan di pusat bandar.

No comments:

Post a Comment