Monday, June 8, 2015

Gempa bumi Ranau 2015: Kisah amarah Gunung Kinabalu / 2015 Ranau earthquake: A story of the wrath of Mount Kinabalu



Gunung Kinabalu merupakan simbol kekuatan dan keteguhan bagi rakyat Sabah serta dianggap tempat suci bagi masyarakat Kadazandusun, tetapi perbuatan tidak senonoh 5 pelancong pada 31 Mei 2015 dikatakan telah membangkitkan amarah gunung tertinggi di Malaysia ini yang dizahirkan melalui kejadian gempa bumi


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu, Blog Jalan Raya Malaysia ingin mengucapkan takziah buat rakyat Sabah terutamanya penduduk di sekitar Ranau dan Kundasang, kakitangan Taman Negara Gunung Kinabalu khususnya malim-malim gunung di sana serta ahli-ahli keluarga mangsa yang terkorban akibat bencana gempa bumi berkekuatan 6.0 pada skala Richter yang berlaku pada 5 Jun 2015 sekitar jam 7.15 pagi. Gempa bumi yang berlangsung selama 30 saat itu menyebabkan beberapa siri tanah runtuh di Gunung Kinabalu sehingga mengorbankan 18 nyawa - kebanyakannya pelancong Singapura - serta menyebabkan 137 orang terperangkap di kawasan puncak gunung. Selain itu, gempa bumi kali ini telah menyebabkan kerosakan teruk di beberapa buah bangunan di Ranau sehingga ada yang terpaksa dikosongkan kerana diisytiharkan tidak selamat untuk diduduki. Sungguhpun demikian, Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau memaklumkan bahawa kesemua jalan raya di daerah Ranau masih boleh dilalui termasuklah Jalan Persekutuan 22, meskipun terdapat beberapa kerosakan kecil di KM99.2-KM99.5. Justeru, kami di Semenanjung Malaysia sentiasa berdoa agar anda semua tabah dalam menghadapi musibah yang melanda ini serta berupaya bangkit kembali seperti sedia kala.

Sebenarnya, selain gempa bumi di Ranau baru-baru ini, sebelum ini terdapat sekurang-kurangnya 11 kejadian gempa bumi yang berlaku di Sabah sejak 1976, yang mana 4 daripadanya berlaku di Ranau. Serius saya katakan, saya sedikit pun tidak tahu bahawa Malaysia - khususnya Sabah - memang boleh dilanda gempa bumi, dan penemuan-penemuan yang saya dapati di internet telah membuktikannya. Ia berikutan lokasi Malaysia yang terletak di tengah-tengah Plat Sunda serta memang jauh daripada sempadan plat atau garis sesar utama terutamanya Lingkaran Api Pasifik. Namun, Sabah sebenarnya agak hampir dengan beberapa plat mikro di tenggara Indonesia seperti Plat Maluku, Plat Laut Banda dan Plat Kepala Burung. Apa pun, kita serahkan kajian geologi sebegini kepada pihak-pihak yang lebih pakar mengenainya.

Kejadian gempa bumi yang pernah berlaku di Sabah sejak tahun 1976 adalah seperti berikut (disusun mengikut kronologi):-

  1. Lahad Datu (1976, 5.8 pada skala Richter)
  2. Lahad Datu (1976, 3.3 pada skala Richter)
  3. Ranau (1989, 5.6 pada skala Richter)
  4. Ranau (1991, 5.1 pada skala Richter)
  5. Ranau (Mac 2005, 4.1 pada skala Richter)
  6. Tawau (November 2005, 5.8 pada skala Richter)
  7. Ranau (Februari 2010, 2.6 pada skala Richter)
  8. Lahad Datu (Mei 2011, 3.3 pada skala Richter)
  9. Sandakan (Jun 2011, 4.0 pada skala Richter)
  10. Kunak (Mei 2012, 3.7 pada skala Richter)
  11. Kudat (Julai 2013, 3.6 pada skala Richter)
  12. Kudat (Oktober 2014, 4.4 pada skala Richter)
  13. Sandakan (Februari 2015, 5.6 pada skala Richter)

Lima hari sebelum tragedi gempa bumi melanda Ranau, negara dikejutkan dengan berita 5 orang pelancong asing yang berbogel di puncak Gunung Kinabalu dan kencing merata-rata di situ. Tindakan biadab dan kurang ajar mereka itu telah membangkitkan kemarahan rakyat Sabah, khususnya dari suku kaum Kadazandusun, kerana Gunung Kinabalu merupakan tempat yang dianggap suci oleh orang-orang Kadazandusun. Malah, nama "Kinabalu" itu sendiri bermaksud "tempat bersemadi roh-roh nenek moyang". Maka, perlakuan tidak senonoh oleh 5 pelancong asing itu dikatakan telah membangkitkan kemarahan penunggu dan roh-roh nenek moyang, yang dimanifestasikan dan dizahirkan melalui kejadian gempa bumi yang turut mengakibatkan tanah runtuh di Gunung Kinabalu itu sendiri. Malah, struktur batuan yang dikenali sebagai Telinga Keldai berhampiran puncak gunung dikatakan telah runtuh akibat gempa bumi kali ini.

Bagi penganut agama Islam pula, meskipun orang-orang Islam tidak mempercayai mitos sedemikian, namun perlakuan 5 pelancong asing tersebut turut dikecam kerana perbuatan sedemikian bukan sahaja tidak menghormati makhluk-makhluk ciptaan Allah yang menghuni gunung tersebut, tetapi juga biadab terhadap rakyat Sabah secara amnya. Akibatnya, Allah menurunkan musibah yang mengakibatkan kerosakan meluas di Gunung Kinabalu dan pekan Ranau.

Kesimpulannya, Gunung Kinabalu sering dianggap sebagai lambang keteguhan dan keutuhan oleh masyarakat berbilang kaum dan agama. Sebagai umat Islam, saya sendiri menganggap Gunung Kinabalu sebagai salah satu dalil keagungan Allah. Malah, musibah gempa bumi ini juga sewajarnya menjadi bukti keagungan Allah kerana Dia boleh mendirikan gunung yang sehebat Gunung Kinabalu dan Dia juga berupaya meruntuhkan gunung tersebut dengan begitu mudah. Justeru, kita seharusnya mengambil kesempatan daripada insiden sebegini dengan memohon keampunan daripada Allah serta memohon agar dijauhkan daripada bala bencana sebegini. Semoga Allah mengurniakan keampunan dan belas kasihan terhadap semua hamba-Nya khususnya di Sabah serta menghindarkan kita daripada sebarang malapetaka dan bala bencana, amin.





Stesen Petronas Ranau semasa kunjungan saya di Sabah pada Ogos 2013. Stesen minyak ini turut menjadi mangsa amukan bumi dalam tragedi gempa bumi Ranau pada 5 Mei 2015.


No comments:

Post a Comment