Sunday, April 19, 2015

Sepetang di Pusat Rujukan Jalan Negara (PRJN) - apabila dua admin Blog Jalan Raya Malaysia bertemu... / An afternoon at the National Road Reference Centre (PRJN) - when two admins of Malaysian Highway Blog meets...



Salam sejahtera,

Sudah lama rasanya Blog Jalan Raya Malaysia ini tidak dikemaskini. Mohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini blog ini berikutan kesibukan kerja sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Kali ini, saya kongsikan kepada anda sedikit-sebanyak mengenai sebuah pusat sumber maklumat jalan raya yang paling komprehensif kerana mengarkibkan banyak bahan bacaan serta sumber maklumat mengenai jalan raya Malaysia. Pusat sumber yang saya maksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Pusat Rujukan Jalan Negara (PRJN) yang terletak di bangunan Kementerian Kerja Raya (KKR) sendiri.




Pusat Rujukan Jalan Negara (PRJN) terletak di Blok B bangunan KKR. Untuk ke sana. anda hanya perlu ke Bulatan Dato' Onn (aka Bulatan Bank Negara) melalui Jalan Kuching FT1 atau Jalan Parlimen dan seterusnya mengambil pusingan pukul 11 (jika anda datang dari arah Cheras) ataupun pukul 5 (jika dari arah Selayang / Rawang). Seterusnya, belok kiri di persimpangan lampu isyarat pertama. Bangunan KKR terletak betul-betul di sebelah hadapan kiri persimpangan tersebut.

Jika anda sering mengikuti laman Facebook kami, anda sudah tentu sedia maklum bahawa ada dua orang admin di Blog Jalan Raya Malaysia, iaitu saya sendiri (Mohd. Hezery bin Hussin) dan Aiman Ab. Majid. Sebelum saya memulakan Blog Jalan Raya Malaysia ini, saya dan Aiman mula menulis dan menyunting rencana-rencana mengenai jalan raya Malaysia di Wikipedia. Selain itu, saya juga menjadi salah seorang penyumbang di laman Motorways Exit Lists yang diusahakan oleh Michal Halabica dari Republik Czech. Saya mula menulis dahulu di Wikipedia pada tahun 2005 sebelum Aiman. Namun, apa yang membezakan kami ialah saya mempunyai akses maklumat yang sangat terhad, sedangkan Aiman pula lebih berpengetahuan dan lebih rajin menyunting di Wikipedia. Selain itu, saya juga amat mementingkan gaya penulisan saya, tetapi Aiman pula cenderung menggunakan gaya penulisan yang lebih kurang sama sahaja berikutan tahap penguasaan bahasa Inggerisnya yang tidak berapa baik. Akibatnya, dia pernah disekat oleh sysop Wikipedia Bahasa Inggeris atas tuduhan pencabulan hakcipta (copyvio). Seterusnya, dia bangkit semula dengan nama lain di Wikipedia Bahasa Inggeris dan terpaksa mengubahsuai gaya penulisannya supaya dia tidak disekat lagi.

Sebenarnya kami memang tidak pernah bersemuka selama ini. Buat pertama kalinya, kami berdua bertemu secara berdepan di PRJN pada 15 April 2015 dengan tidak disangka-sangka. Idea mengadakan pertemuan ini datang dengan sendirinya apabila Aiman datang ke PRJN dari Shah Alam dengan menaiki kereta api komuter. Memandangkan saya yang tinggal di Batu Caves lebih dekat ke PRJN, maka saya mengambil kesempatan untuk ke sana. Tidak cukup dengan itu, kami turut ditemukan dengan admin laman Facebook PRJN yang memang merupakan pustakawan di PRJN sendiri.

Sebaik tiba di PRJN, ia mungkin kelihatan seperti sebuah perpustakaan biasa, tetapi sebenarnya bagi kami ia lebih kepada sumber maklumat yang menghimpunkan dan mengarkibkan pelbagai bahan bacaan serta sumber maklumat yang berkaitan dengan bidang kejuruteraan jalan raya serta sejarah perkembangan jalan raya di negara kita. Buat para peminat jalan raya, terus-terang saya katakan bahawa hanya ada dua sahaja perpustakaan khusus yang menempatkan pelbagai bahan bacaan yang berkaitan jalan raya, iaitu di ibu pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia serta di PRJN sendiri; antara kedua-dua perpustakaan tersebut, PRJN lebih banyak bahan bacaan dan rujukan. Jika anda hendak mencari judul buku berkaitan kejuruteraan jalan raya mahupun sejarah perkembangan jalan raya, ia amat sukar untuk dicari di perpustakaan biasa hatta Perpustaan Negara sekalipun, jadi saya sarankan agar anda cuba "risik-risik" judul tersebut di PRJN terlebih dahulu. Selain itu, PRJN turut menyediakan beberapa buah komputer untuk pencarian maklumat - sesuai untuk merekrut "bala tentera siber" kami untuk menghasilkan lebih banyak rencana berkaitan jalan raya Malaysia di Wikipedia.

Memandangkan PRJN ini sebuah perpustakaan, pastinya anda mahu bertanya sama ada anda boleh meminjam buku di sini. Jawapannya ialah "baca boleh, pinjam sorry" - hanya kakitangan Kementerian Kerja Raya sahaja yang dibenarkan untuk meminjam buku di sini. Namun, atas dasar saling mempercayai sebagai rakan seperjuangan yang sama-sama berjuang bagi memartabatkan jalan raya Malaysia, pengecualian diberikan kepada kami dan hanya kami sahaja. Namun,  tak bolehlah kalau anda nak suruh kami pinjamkan bagi pihak anda dan seterusnya anda pula yang memegang buku itu, kerana kami hanya meminjam buku di sini sebagai sumber rujukan bagi entri di Blog Jalan Raya Malaysia dan juga di Wikipedia. Itu sahaja. Sebab itulah kami hanya meminjam tiga buah buku sahaja untuk kali ini.

Pertemuan antara saya dan Aiman di PRJN juga membuka satu lembaran baharu buat kami sendiri, kerana mulai sekarang, Aiman Ab. Majid merupakan penulis kedua di Blog Jalan Raya Malaysia secara rasminya. Sebenarnya, saya memang sudah lama berhasrat untuk "memancingnya" sejak awal-awal lagi, tetapi ia hanya dapat direalisasikan sekarang. Mungkin gaya penulisannya nanti tidaklah sebombastik saya, tetapi Aiman lebih banyak pengetahuan mengenai maklumat jalan raya berbanding saya yang begitu cerewet akan soal sumber maklumat. Justeru, kepada para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia sekalian, sama-samalah kita nantikan entri sulung nukilan Aiman sendiri dan sama-samalah kita beri sokongan kepada Aiman selaku penulis kedua Blog Jalan Raya Malaysia...!!!







Saya (sebelah kanan) dan Aiman Ab. Majid di PRJN






Salah satu judul buku berkaitan jalan raya Malaysia yang sangat sukar didapati di kebanyakan perpustakaan di Malaysia






Gambar plaza tol Slim River di Lebuhraya Slim River-Tanjung Malim FT1






Antara koleksi bahan-bahan bacaan serta sumber rujukan di PRJN






Ruangan kegemaran saya - Kejuruteraan Jalan Raya






Lagi ruangan bagi sumber rujukan teknikal






Ruangan khas untuk buku-buku terbitan KKR sendiri - lebih baik cari di PRJN dulu kerana buku-buku terbitan KKR sangat sukar didapati di mana-mana perpustakaan lain






Koleksi draf Rancangan Tempatan yang turut mencadangkan beberapa laluan jalan raya dan lebuh raya ekspres baharu






Bergambar kenangan sebelum pulang

No comments:

Post a Comment