Wednesday, April 29, 2015

Transformasi Jalan Raya Malaysia Bahagian 1: Transformasi papan tanda jalan raya Malaysia / Malaysian Highway Transformation Part 1: Malaysian highway signage transformation





Transformasi papan tanda Exit 235 Persimpangan Tangkak, Lebuhraya Utara-Selatan E2 pada tahun 1990an (gambar atas) dan sekarang (gambar bawah)






Papan tanda di persimpangan utama pekan Ayer Hitam, Johor yang menghubungkan antara Jalan Persekutuan 1 dengan Jalan Persekutuan 50 pada zaman penjajah (gambar atas) dan sekarang (gambar bawah)


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini blog ini. Selain kesibukan kerja sepanjang minggu lalu, saya ke Pulau Pinang pada hujung minggu lalu berikutan majlis konvokesyen adik lelaki saya di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Namun, saya tidak hanya pulang dengan tangan kosong sahaja kerana saya ingin membawakan "ole-ole" khas untuk anda dari Pulau Pinang iaitu reviu Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) E15/FT4, tetapi sebelum itu izinkan saya untuk menulis mengenai satu isu penting yang belum sempat saya tulis minggu lalu iaitu mengenai evolusi papan tanda jalan raya Malaysia.

Minggu lalu pada 22 April 2015, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, serta Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato' Ir. Hj. Annies bin Md. Ariff, turun padang ke Kuantan bagi meninjau projek perintis transformasi papan tanda jalan raya di Kuantan. Projek ini diadakan sebagai sebahagian daripada program Transformasi Penyampaian Perkhidmatan Awam (PSDT) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak. Jalan Sungai Lembing FT231 dipilih bagi projek perintis ini, yang melibatkan penggantian papan-papan tanda sedia ada kepada jenis yang lebih baik dan lebih jelas, di samping beberapa penambahbaikan lain bagi menjadikan papan tanda jalan raya lebih mudah untuk dilihat dengan jelas.

Dalam projek tersebut, beberapa kelemahan pada papan tanda di sepanjang FT231 dikenal pasti seperti berikut:-

  1. Papan iklan di Exit 833 Persimpangan Kuantan sangat besar dan lebih menonjol daripada papan tanda jalan raya itu sendiri
  2. Lambakan papan tanda lain berdekatan papan tanda jalan raya yang berserabut dan menyemakkan
  3. Lokasi papan tanda yang terlindung oleh pokok-pokok besar serta kereta-kereta yang diparkir di tepi jalan
  4. Lokasi Exit 833 Persimpangan Kuantan untuk memasuki Lebuhraya Pantai Timur E8 begitu jauh dari pusat bandar Kuantan tetapi tiada papan tanda pemberitahuan jarak


















Antara perubahan dan penambahbaikan yang dilakukan oleh JKR terhadap papan tanda jalan raya di sepanjang Jalan Sungai Lembing FT231
(Kredit kepada: Jabatan Kerja Raya Malaysia)


Selain penyelesaian kepada isu-isu yang telah saya nyatakan di atas, beberapa penambahbaikan lain turut dilaksanakan seperti:-
  1. Papan tanda jarak ke Exit 833 yang sangat ringkas ditempatkan setiap beberapa kilometer
  2. Papan tanda jarak ringkas ke pusat bandar Kuantan dari Exit 833 turut ditempatkan di sepanjang FT231
  3. Nama destinasi mengikut lorong dicatkan pada permukaan jalan (sebenarnya ia sudah lama dilaksanakan di banyak jalan raya lain)
  4. Papan tanda jenis flag type turut dipasang pada Persimpangan Indera Mahkota yang menghubungkan FT231 dengan Jalan Pintasan Kuantan FT3
  5. Jata laluan yang begitu besar dan menonjol bagi mendidik para pengguna jalan raya agar belajar menggunakan kod laluan dalam merancang perjalanan




Dahulunya, papan tanda amaran di Malaysia mengikut gaya penjajah British sebelum kita tampil dengan identiti kita sendiri


Sebenarnya, transformasi papan tanda jalan raya Malaysia sudah lama berlaku secara berterusan sejak zaman penjajah lagi. Asalnya, papan tanda yang digunakan hanya sekadar papan tanda yang ditulis menggunakan tangan tanpa sedikit pun menitikberatkan mengenai aspek penglihatan pemandu, jauh sekali membangunkan piawaian seragam. Seterusnya, Malaysia menggunakan papan tanda yang dipengaruhi piawaian British. Namun, pada pertengahan tahun 1980an, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membangunkan beberapa Arahan Teknik bagi menentukan piawaian papan tanda yang digunakan di atas jalan raya Malaysia para hari ini. Terdapat lima buah Arahan Teknik JKR yang menetapkan garis panduan mengenai jalan raya Malaysia iaitu:-
  1. Arahan Teknik (Jalan) 2A/85 - Manual on Traffic Control Devices: Standard Traffic Signs
  2. Arahan Teknik (Jalan) 2B/85 - Manual on Traffic Control Devices: Traffic Sign Applications
  3. Arahan Teknik (Jalan) 2C/85 - Manual on Traffic Control Devices: Temporary Sign And Work Zones Control
  4. Arahan Teknik (Jalan) 2D/85 - Manual on Traffic Control Devices: Road Marking And Delineation
  5. Arahan Teknik (Jalan) 2E/87 - Manual on Traffic Control Devices: Guide Signs Design And Application

Menurut Arahan-arahan Teknik yang saya senaraikan di atas tadi, terdapat beberapa ciri am bagi papan tanda jalan raya Malaysia sekarang:-
  1. Papan tanda amaran bahaya (contoh: selekoh, simpang, dsb.) - berbentuk berlian segiempat sama dengan warna latar kuning
  2. Papan tanda beri laluan - Segitiga terbalik dengan garisan sempadan merah yang tebal dan warna latar putih
  3. Papan tanda berhenti - Berbentuk oktagon dengan warna latar merah dan tertera perkataan "Berhenti"
  4. Papan tanda larangan - Berbentuk bulat dengan warna latar putih, garisan sempadan merah yang tebal serta berpalang
  5. Papan tanda mandatori (contoh: lorong motosikal) - Berbentuk bulat dengan warna latar biru
  6. Papan tanda jalan persekutuan dan negeri - Berbentuk segiempat tepat dengan tulisan putih (fon jenis FHWA Gothic ataupun Transport) dan warna latar biru
  7. Papan tanda lebuh raya ekspres - Berbentuk segiempat tepat dengan tulisan putih (fon jenis Transport) dan warna latar hijau
  8. Papan tanda sementara - Berwarna latar jingga

Kesemua papan tanda yang dibangunkan dalam kelima-lima Arahan Teknik tersebut adalah berdasarkan Konvensyen Vienna bagi Papan Tanda dan Isyarat.

Namun, sistem papan tanda yang digunakan sekarang masih belum berupaya menangani dua isu utama, iaitu masalah laluan bertindih serta penjajaran laluan Lebuh Raya Asia. Ia paling ketara terutamanya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berikutan sikap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang masih tidak menggunakan kod laluan pada kebanyakan papan tandanya. Kedegilan DBKL itu menyebabkan banyak laluan penting (terutamanya Jalan Persekutuan 2) yang terputus dan hilang kesinambungannya, sekaligus menyukarkan pengguna jalan raya terutamanya pelancong asing untuk merancang perjalanan. Bagi kes laluan bertindih, jika pertindihan laluan yang pendek sahaja tidak ditandakan pada papan tanda (misalnya Jambatan Kota FT2/FT5), ia tidak jadi masalah. Namun, masalah besar akan timbul apabila laluan yang bertindih itu jauh serta melibatkan banyak laluan lain [misalnya, jajaran Jalan Kuala Lumpur-Kuantan FT2 yang bertindih dengan Lebuhraya Karak E8/FT2, Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur FT28/FT2 (Gombak Utara-Greenwood) dan Lebuhraya Duke E33/FT2 (Greenwood-Kampung Bandar Dalam)]. Saya akan tulis lebih lanjut mengenai pertindihan laluan dalam entri akan datang. 

Sementara itu pula, papan tanda jalan raya sedia ada di Malaysia yang langsung tidak menyertakan jata laluan Lebuh Raya Asia jelas menunjukkan seolah-olah Malaysia langsung tidak menghargai akan penghormatan yang diberikan oleh Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial bagi Asia dan Pasifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCAP) terhadap beberapa buah jalan raya dan lebuh raya Malaysia yang diwartakan sebagai sebahagian laluan Lebuh Raya Asia. 

Justeru, transformasi papan tanda jalan raya Malaysia hanya akan sempurna sekiranya JKR ataupun syarikat konsesi lebuh raya menandakan jajaran pertindihan laluan dengan memacakkan jata laluan bagi laluan-laluan yang bertindih (misalnya, Anih Berhad perlu memacakkan kedua-dua jata E8 dan FT2 di sepanjang Lebuhraya Karak E8/FT2, dan JKR Selangor perlu memacakkan kedua-dua jata FT28 dan FT2 di sepanjang jajaran Greenwood-Gombak Utara di KL MRR2 FT28). Selain itu, jata laluan Lebuh Raya Asia juga perlu dipamerkan pada papan-papan tanda bagi beberapa laluan yang diwartakan sebagai Lebuh Raya Asia sebagai bukti Malaysia menghargai penghormatan yang diberikan oleh UNECE terhadap rangkaian jalan raya kita. Sementara itu, DBKL perlu melakukan full overhaul terhadap sistem papan tanda jalan raya di dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan menggantikan kesemua papan tanda yang ada dengan papan tanda yang dilengkapi jata laluan. Inisiatif JKR mengadakan program transformasi papan tanda jalan raya Malaysia seharusnya dihargai kerana inisiatif sebegini sedikit-sebanyak memberikan panduan kepada para pengguna jalan raya agar tidak tersesat, tetapi usaha gigih oleh JKR ini sudah tentu akan jadi sia-sia sekiranya DBKL sendiri tidak berubah dan tidak turut serta dalam program transformasi papan tanda jalan raya Malaysia.

1 comment:

  1. Assalamualaikum tuan, gambar-gambar contoh di atas sudah tuada, boleh kembalikan gambar-gambar contoh di atas?

    ReplyDelete