Salam sejahtera,
Sejak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) 6% mula dilaksanakan pada 1 April 2015, media sosial dilambakkan dengan gambar-gambar resit yang dimuat naik. Ada resit yang menunjukkan peningkatan harga, ada yang menunjukkan penurunan harga, dan ada juga yang tidak menunjukkan sebarang perubahan harga. Namun, tidak kurang juga ada gambar resit yang mendedahkan penipuan segelintir syarikat (sama ada pemborong mahupun peruncit) yang tidak berdaftar dengan kastam, tidak menggunakan resit cetakan elektronik, dsb. tetapi "mengepau" GST. Ada juga syarikat yang "mengepau" GST pada keseluruhan harga barangan meskipun ada di antara barangan tersebut yang termasuk dalam senarai barangan GST sifar (seperti beras, gula dsb.). Ada juga peniaga tepi jalan yang sepatutnya tidak layak mengutip GST disebabkan saiz perniagaan yang kecil (kerana jumlah pulangan setahun tidak mencecah RM500,000 seperti yang disyaratkan oleh kastam) tetapi mengambil kesempatan menaikkan harga atas alasan GST. Kesemuanya ini membuktikan bahawa kemelut GST yang dialami oleh pengguna sebenarnya berpunca daripada syarikat-syarikat tamak itu sendiri dan bukannya salah kerajaan.
Perang muat naik gambar resit - Sebelum ini Texas Chicken Sri Gombak mengenakan cukai kerajaan 6%, kali ini pula harga lebih murah apabila Texas Chicken menyerap GST ke dalam harga makanan
Harga di kebanyakan restoran makanan segera seperti KFC kekal kerana sebelum ini mereka memang mengutip cukai kerajaan 6%
Perang muat naik gambar resit di media sosial yang berlangsung sekarang jelas menunjukkan betapa tingginya kesedaran pengguna Malaysia akan hak-hak mereka daripada ditipu segelintir peniaga lahanat yang tamak. Melalui perang gambar resit ini, peniaga-peniaga jujur yang menurunkan harga atau setidak-tidaknya mengekalkan harga mendapat publisiti percuma. Sementara itu pula, peniaga-peniaga tamak yang menaikkan harga, mengepau GST walaupun tidak berdaftar dengan kastam, mengepau GST tanpa menggunakan resit cetakan elektronik, ataupun mengepau GST pada barangan yang tidak sepatutnya dikenakan GST pula bakal berdepan dengan "hukuman mati" yang bakal dikenakan oleh pengguna - mereka akan diaibkan di serata dunia siber dan perniagaan mereka akan dipulaukan. Begitulah dahsyatnya penangan media sosial sehingga boleh membankrapkan sesebuah perniagaan sekiranya reputasi buruknya tersebar di seantero dunia siber.
Gambar kad tambah nilai Maxis yang dinaikkan harga yang pernah heboh di media sosial bulan lalu sebelum pelaksanaan GST
Surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengenai larangan menaikkan harga tiket tambah nilai prabayar
Namun, apa yang membangkitkan kemarahan pengguna adalah kedegilan syarikat-syarikat telekomunikasi (terutamanya Maxis) yang mengingkari arahan kerajaan agar tidak menaikkan harga tiket tambah nilai prabayar. Ia dibuktikan melalui aduan pengguna mengenai kenaikan harga tambah nilai telefon bimbit prabayar yang merajai senarai aduan salah laku peniaga semasa pelaksanaan GST. Pada hari pertama sahaja Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menerima sebanyak 815 aduan, yang mana 40% daripadanya merupakan aduan kenaikan harga tiket tambah nilai.
Sehubungan dengan itu, Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk T Subramaniam telah memanggil ketua-ketua eksekutif syarikat telco untuk mengadakan perbincangan dengan KPDNKK dan pihak kastam sendiri. Namun, hasilnya sangat mengecewakan dan hanya menyemarakkan api kemarahan rakyat - kerajaan tunduk kepada tekanan telco untuk terus menaikkan harga tiket tambah nilai telefon bimbit prabayar atas alasan GST. Apa sudah jadi sebenarnya...? Apa kejadahnya semua ini...? Beri penjelasan kepada rakyat, apakah kerajaan sekarang sudah jadi sebegitu korup sehinggakan boleh tunduk kepada telco-telco penyangak dengan sebegitu mudah...? Siapa sebenarnya yang lebih berkuasa, kerajaan atau telco...? Ia menunjukkan seolah-olah telco-telco lahanat ini sangat kebal di sisi undang-undang sehingga ke tahap mereka boleh memaksa kerajaan untuk akur dan merelakan kebobrokan yang dilakukan oleh mereka. Ke manakah perginya ketegasan kerajaan dalam menangani isu sebegini...? Sudahlah kualiti perkhidmatan sangat teruk, ada hati pula hendak mengepau GST daripada pengguna...!!!
Disebabkan ramai pengguna telefon bimbit yang naik minyak akan isu GST kad prabayar ini, banyak mesin pusat jualan tiket prabayar yang offline semalam, ibarat mencurah minyak petrol ke dalam api. Saya sendiri pun mengalami masalah hendak mencari tiket tambah nilai prabayar pada masa itu. Mujurlah saya terserempak dengan sebuah kedai telefon bimbit Melayu di medan selera Taman Gombak Ria yang menjual kad prabayar fizikal. Saya terkejut apabila peniaga tersebut menjual kad prabayar kepada saya dengan harga lama tanpa menaikkan harga walau sesen pun...!!!
Sebuah kedai telefon bimbit yang jujur di Taman Gombak Ria dekat Greenwood, yang mengekalkan harga lama bagi kad prabayar fizikal, meskipun terpaksa menanggung kerugian sedikit akibat ketamakan telco penyangak haram jadah
Saya sempat berbual dengan pengusahanya, yang turut meluahkan kekesalannya terhadap kemelut GST kad prabayar yang menyebabkan peniaga-peniaga kecil turut menjadi mangsa. Beliau mendakwa bahawa isu sebegini tercetus kerana ketamakan telco itu sendiri yang mengaut untung berlebihan serta mahu lari daripada cukai. Akibatnya, para peniaga kedai telefon bimbit yang kebanyakannya merupakan peniaga kecil yang tidak layak mengutip GST dan para pelanggan mereka menjadi mangsa ketamakan telco-telco penyangak ini. Saya amat menghargai kejujuran peniaga kedai telefon bimbit di Taman Gombak Ria tersebut yang tidak menaikkan harga kad tambah nilai fizikal meskipun terpaksa menanggung sedikit kerugian kerana terpaksa membayar lebih kepada pembekal kad prabayar yang tamak haloba. Kepada Maxis, anda sepatutnya berasa malu pada seluruh rakyat Malaysia kerana ada peniaga yang sanggup tidak menaikkan harga dan terpaksa menanggung kerugian akibat ketamakan dan nafsu serakah anda itu...!!!
Dalam sejarah saya menggunakan telefon bimbit sejak tahun 2000, Maxis merupakan telco ketiga yang saya gunakan selepas TMTouch (2000; sudah pupus selepas Telekom Malaysia membeli Celcom) dan TimeCel (2000-2003; sudah pupus selepas dibeli oleh Maxis). Saya bertukar kepada Maxis secara automatik setelah Maxis melengkapkan pembelian TimeCel pada tahun 2003. Sebelum Maxis membeli TimeCel, Maxis mempunyai bilangan pengguna ketiga teramai selepas Celcom dan TimeCel. Setelah Maxis membeli TimeCel, mereka berjaya merampas takhta teratas sebagai telco dengan bilangan pengguna teramai di Malaysia. Sebenarnya, saya pernah menggunakan Celcom buat sementara semasa Maxis mengalami gangguan isyarat di universiti tempat saya belajar dahulu, tetapi sekejap sahaja. Saya kekal pengguna Maxis selama 12 tahun sehingga sekarang.
Semasa peringkat awal, saya akui mutu perkhidmatan Maxis sangat bagus. Mereka menyelaraskan kadar panggilan dan SMS agar dapat menarik perhatian bekas pengguna TimeCel seperti saya. Mereka juga memperkenalkan sistem mata ganjaran yang boleh ditebus menjadi wang kredit prabayar ataupun SMS percuma. Setiap kali hari jadi saya, mereka bermurah hati memberikan panggilan dan SMS percuma selama mana saya kehendaki, asalkan sesama nombor Maxis. Mereka juga memperkenalkan kad tambah nilai Hot Tiket yang boleh ditebus dengan ayam KFC ataupun pizza kecil Pizza Hut. Paling saya hargai, mereka turut menyumbangkan kredit RM10 semasa banjir besar di Segamat pada tahun 2006 dan 2011.
Namun, itu semua cerita dulu, sekarang Maxis tidak lagi menjadi sebuah telco yang bertanggungjawab sebagaimana yang saya kenali dahulu. Segala keistimewaan yang saya nikmati sebagai pelanggan Maxis mula ditarik sedikit demi sedikit. Sistem mata ganjaran lama sudah dimansuhkan dan digantikan dengan sistem ganjaran baharu yang tidak berguna langsung kerana ia bukan sahaja sedikit, tetapi hanya dapat diperolehi setiap 3 bulan. Itu masih boleh dikira OK lagi. Namun, apa yang saya tidak berpuas hati sejak beberapa tahun kebelakangan ini ialah Maxis sudah mula mengamalkan urus niaga yang tidak jujur dan menipu pelanggan. Bagi perkhidmatan internet jalur lebar mudah alih, tatkala kuota data yang diiklankan oleh telco-telco lain hanya untuk data muat turun, Maxis pula mengenakan kuota yang sama untuk data-data yang dimuat turun dan dimuat naik, menyebabkan kuota data Maxis 50% lebih cepat habis daripada telco-telco lain walaupun pada kadar penggunaan yang sama. Bagi kad prabayar Hot Tiket Social pula, ia sepatutnya mempunyai "5 hari tempoh sah, kredit panggilan RM7, perkhidmatan laman sosial (Facebook, Twitter, WhatsApp) percuma, dan kuota data 500 MB pada waktu siang dan 1GB pada waktu awal pagi", tetapi apa sebenarnya yang berlaku...? Tempoh sah tidak sampai pun 5 hari seperti yang sepatutnya - tempoh penggunaan tamat tepat jam 12.00 tengah malam pada hari ia tamat tempoh, dan bukannya betul-betul 120 jam selepas pengaktifannya. Tidak cukup dengan itu, semua baki kredit panggilan dan data yang tidak digunakan akan hangus sekiranya Hot Tiket Social seterusnya tidak diaktifkan sebelum tamat tempoh. Semua itu jelas bukti kebobrokan dan penipuan yang dilakukan oleh Maxis sejak akhir-akhir ini, sehingga menyebabkan semakin ramai pengguna Maxis yang lari ke telco lain. Sekarang, satu-satunya sebab kenapa saya masih setia pada Maxis hanyalah kerana memikirkan ibu saya akan mengalami kesukaran kerana terpaksa bayar lebih untuk menelefon saya sekiranya saya berhijrah ke telco lain.
Dalil yang membuktikan bahawa selama ini Maxis lari daripada membayar cukai kerajaan 6%
Dua tiket tambah nilai yang dibeli di kedai 7-Eleven yang sama. Celcom masih kekal harga lama, tetapi Maxis pula mengepau 6% lagi - apa kejadahnya semua ini...?
Sekarang tatkala rakyat Malaysia sedang paranoid dengan pelaksanaan GST, Maxis mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh dengan menaikkan harga tiket tambah nilai atas alasan GST. Mereka mendakwa kononnya selama ini tiket tambah nilai mereka tidak termasuk cukai perkhidmatan 6% seperti yang sepatutnya, sekaligus menunjukkan bahawa Maxis lari daripada membayar cukai dan mahu mengaut keuntungan berlebihan. Mereka langsung tidak mengambil pengajaran daripada larangan menaikkan harga kad prabayar yang pernah dikeluarkan oleh Perdana Menteri terdahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, semasa kemelut serupa pernah berlaku pada zaman beliau.
Sebenarnya, pelaksanaan cukai kerajaan terhadap perkhidmatan telekomunikasi bukan perkara baharu. Telekom Malaysia (TM) mula menguatkuasakan kutipan cukai kerajaan bermula tahun 1997 pada perkhidmatan telefon talian tetapnya. Ia amat mudah dilaksanakan pada bil pascabayar. Namun, bagi perkhidmatan prabayar pula, cukai tersebut turut dimasukkan ke dalam nilai kad prabayar, jadi pengguna memang tidak mendapat 100% kredit panggilan seperti yang dipamerkan pada kad kerana sebahagiannya merupakan cukai kerajaan. Namun, entah bagaimana pada zaman Pak Lah, syarikat-syarikat telco menaikkan harga kad prabayar atas alasan mereka terpaksa menanggung cukai serta peningkatan kos. Mereka merayu kepada kerajaan untuk menambah 6% daripada nilai kad prabayar untuk pembayaran cukai kerajaan, tetapi ditolak oleh Pak Lah. Malangnya, sejarah kembali berulang, tetapi kali ini badan-badan kerajaan yang sepatutnya dipertanggungjawabkan pula yang tunduk kepada desakan telco-telco keparat yang kaya dan membelakangkan permasalahan rakyat.
Justeru, apa yang dituntut oleh rakyat sekarang ialah mengembalikan semula jualan nilai asal kad prabayar tanpa menaikkan harga. Bagi setiap RM10 tambah nilai, RM0.57 sepatutnya pergi kepada kerajaan sebagai GST manakala RM9.43 merupakan nilai kredit sebenar yang diperolehi pengguna. Ia satu bentuk matematik yang sangat mudah. Takkanlah kiraan matematik semudah ini pun tauke-tauke telco boleh jadi bodoh...!!! Kita tidak mahu dengar sebarang bentuk alasan, putar-belit ataupun dolak-dalih oleh tauke-tauke telco mengenai isu GST kad prabayar ini kerana rakyat sudah terlalu marah akan penipuan yang dilakukan mereka. Mereka sepatutnya berasa malu dengan peniaga-peniaga kad prabayar kecil-kecilan yang terpaksa mengekalkan harga meskipun sedar mereka boleh rugi, kerana mereka sedar pulangan tahunan mereka tidak melayakkan mereka untuk mengutip GST. Lagipun, kutipan GST oleh telco memang boleh dipertikaikan kerana tiada langsung GST ID mereka pada kad tambah nilai. Kerajaan sepatutnya lebih prihatin akan nasib rakyat dan bukannya hanya menjaga tembolok tauke-tauke telco penyangak yang kaya hasil memakan duit haram dan menipu pengguna. Kalau kerajaan boleh tunjukkan ketegasan pada peniaga biasa yang menaikkan harga, kerajaan sepatutnya lebih tegas pada tauke-tauke telco yang tamak haloba - jika mereka berdegil, batalkan terus lesen mereka...!!! Ketegasan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, yang masih tidak berpuas hati akan hasil perbincangan antara syarikat-syarikat telco, kastam dan KPDNKK sewajarnya dihargai.
No comments:
Post a Comment