Thursday, July 24, 2014

Memintas kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 / Bypassing the congested sections along the North-South Expressway E1 and E2




Salam sejahtera,

Demam balik kampung sudah pun bermula. Dianggarkan lebih 1.5 juta kenderaan bakal meninggalkan Lembah Klang untuk pulang beraya di kampung halaman masing-masing. Akibatnya, lebuh raya utama di negara kita kini menjadi sesak sehinggakan tidak berupaya menampung kadar aliran trafik yang meningkat mendadak pada masa tersebut. Akibat terlalu banyak kenderaan berada di atas jalan raya, pemandu boleh jadi hilang sabar dan seterusnya risiko kemalangan jalan raya juga bertambah tinggi. Namun, kesan kesesakan di lebuh raya sebenarnya boleh dikurangkan jika dan hanya jika pengguna lebuh raya bijak merancang perjalanan mereka dan tidak menganggap Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 ataupun Lebuhraya Pantai Timur E8 sebagai satu-satunya laluan untuk pulang ke kampung.

Namun, jika anda tetap mahu menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 sebagai laluan utama, anda seharusnya tahu di mana lokasi-lokasi paling sesak serta laluan alternatif untuk memintasnya. Bagaimana...?

Kita mulakan dahulu dengan Lebuhraya Utara-Selatan Jajaran Utara E1. Jika anda datang dari arah Kuala Lumpur, anda seharusnya cuba mengelakkan daripada melalui Plaza Tol Jalan Duta kerana ia salah satu lokasi paling sesak di sepanjang E1; tambahan pula, anda terpaksa mendaki bukit dengan kecerunan 7% sebaik sahaja anda melepasi plaza tol tersebut. Jadi apakah alternatif lain yang ada...? Gunakan Jalan Kuching / Lebuhraya Rawang FT1 sehingga ke Taman Rimba Templer dan masuk ke Lebuhraya Latar E25, seterusnya masuk ke E1 melalui Exit 2506 Persimpangan Kuang dan seterusnya Exit 115.



Gunakan Lebuhraya Guthrie E35 untuk memintas kesesakan NKVE E1
(klik untuk besarkan)


Jika anda datang dari Shah Alam atau Klang, ataupun jika anda datang dari arah Lebuhraya Elite E6 untuk ke utara, anda seharusnya memanfaatkan sepenuhnya Lebuhraya Guthrie E35 dengan memasukinya dari Exit 601 / Exit 103 Persimpangan Shah Alam. Kenapa pula...? Rasionalnya mudah sahaja - NKVE E1 sering sesak akibat kadar aliran trafik yang tinggi serta kerja-kerja pelebaran kepada lapan lorong (jajaran Subang-Damansara pula 10 lorong).



Gunakan BORR E17 untuk memintas kesesakan E1 di Seberang Perai
(klik untuk besarkan)


Seterusnya, sebaik sahaja anda berada di Perai-Butterworth untuk ke arah Alor Setar, anda seharusnya memanfaatkan sepenuhnya Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR) E17 untuk mengurangkan kesesakan di situ. Bagaimana...? Keluar dari E1 ke Jalan Bahru FT1 arah ke Butterworth di Exit 162 Persimpangan Perai dan jalan terus (naik jejambat) untuk terus ke BORR E17. Teruskan perjalanan sehingga ke penghujungnya di Exit 165 Persimpangan Sungai Dua untuk kembali semula ke E1.



Memasuki E2 dari Lebuhraya Lekas E21 dan sebaliknya di Seremban
(klik untuk besarkan)


Bagaimana pula jika hendak ke selatan...? Anda seharusnya mengelakkan daripada menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan Jajaran Selatan E2 sehingga ke Seremban - atau lebih spesifik lagi, jajaran Nilai Utara-Seremban. Sebaliknya, anda seharusnya memanfaatkan Lebuhraya Lekas E21 sehingga ke Seremban sebelum kembali semula ke E2 melalui Persiaran Senawang 1 FT242/FT97. Kenapa pula anda mesti mengelakkan jajaran Nilai Utara-Seremban di E2...? Untuk pengetahuan anda, jajaran tersebut merupakan jajaran paling sesak di sepanjang E2. Jajaran tersebut sesak kerana di situlah pertemuan antara dua aliran trafik yang tinggi, iaitu yang datang dari arah utara melalui E6 serta yang datang dari arah Plaza Tol Sungai Besi. Sebab itulah jajaran tersebut kini sedang dilebarkan menjadi lapan lorong, yang mana kerja-kerja pelebarannya turut menjadi penyumbang kedua kepada kesesakan yang berlaku sekarang.



Memasuki Lebuhraya Lekas E21 dari Lebuhraya Elite E6
(klik untuk besarkan)


Bagaimana pula jika anda datang dari arah Lebuhraya Elite E6 untuk ke selatan...? Satu laluan alternatif yang kini banyak digunakan oleh pengguna lebuh raya bagi memintas kesesakan jajaran Nilai Utara-Seremban adalah dengan keluar dari E2 di Exit 215 Persimpangan Nilai, dan seterusnya ke Lebuhraya Lekas E21 melalui Jalan Labohan Dagang-Nilai FT32 dan seterusnya Jalan Nilai-Pajam FT3265 sebelum memasuki E21 melalui Exit 2103 Persimpangan Pajam. Namun, saya sekarang tidak lagi menggalakkan anda menggunakan laluan tersebut kerana FT3265 kini sudah menjadi sangat sesak, terutamanya bagi jajaran dari Nilai ke Exit 2103, memandangkan jajaran tersebut hanya selebar dua lorong sahaja.



Laluan alternatif bukan konvensional yang kurang sesak dari E6 ke E21
(klik untuk besarkan)


Jadi laluan yang manakah patut anda pilih untuk mengelakkan kesesakan di Nilai...? Dari E6, anda perlu melencong ke arah Kuala Lumpur sebentar dan keluar dari E2 melalui Exit 213 Persimpangan Putra Mahkota. Dari situ, jalan terus sehingga ke persimpangan bertingkat yang menghubungkan jalan tersebut dengan Jalan Banting-Semenyih FT31. Belok kanan ke Semenyih dan masuk ke E21 melalui Exit 2102 Persimpangan Semenyih. Jalan tersebut memang agak leceh kerana selain lebih jauh, ia juga agak berkelok-kelok, tetapi percayalah, dalam keadaan sekarang di mana FT3265 pun sesak teruk semasa musim perayaan, laluan FT31 pula sangat lengang, sekaligus anda akan sampai ke Seremban jauh lebih awal daripada pengguna lebuh raya yang tidak menggunakan laluan tersebut.

Setakat ini sahajalah panduan memintas kesesakan yang anda boleh pertimbangkan bagi mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan teruk di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan. Panduan tersebut adalah hasil daripada pengalaman saya sendiri menggunakan laluan-laluan tersebut, namun saya tidak boleh menjamin 100% bahawa laluan yang saya cadangkan ini pasti tidak sesak, tetapi sekurang-kurangnya ia jauh lebih baik daripada membayar tol hanya untuk bergerak lebih perlahan daripada kura-kura dengan kelajuan purata di bawah 10 km/j. Akhir kata, rancanglah perjalanan anda dengan teliti kerana gagal merancang bermaksud merancang untuk gagal.

Tuesday, July 22, 2014

Jadual nasihat waktu perjalanan sempena Hari Raya Aidilfitri 2014 / Advisory travelling time table for 2014 Eid ul Fitr

Salam sejahtera,

Sempena musim cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri 2014, pelbagai langkah keselamatan telah diambil bagi memastikan agar setiap pengguna jalan raya selamat sampai ke kampung halaman masing-masing. Ia termasuklah menurunkan had laju jalan persekutuan dan negeri daripada 90 km/j kepada 80 km/j, di samping jadual nasihat waktu perjalanan oleh syarikat-syarikat konsesi lebuh raya.




Jadual nasihat waktu perjalanan bagi Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2




Jadual nasihat waktu perjalanan bagi Lebuhraya Karak E8/FT2 dan Lebuhraya Pantai Timur E8


Sebagai tambahan, saya ingin menasihatkan pengguna Jalan Persekutuan 3 dan 8 untuk pulang ke Kelantan atau Terengganu agar mengikuti panduan memintas kesesakan di sepanjang dua laluan tersebut. Di samping itu, saya sedang menyediakan satu panduan memintas kesesakan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 tidak lama lagi.

Exit 2505 Persimpangan Kundang kini dibuka...!!! / Exit 2505 Kundang Interchange is now open...!!!





Jalan-jalan susur keluar Exit 2505 Persimpangan Kundang arah barat (gambar atas) dan timur (gambar bawah)


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin ucapkan jutaan tahniah kepada seluruh warga Kuala Lumpur-Kuala Selangor Expressway Berhad (KLSEB) atas pembukaan Exit 2505 Persimpangan Kundang petang semalam (21 Julai 2014). Semasa majlis perasmian dijalankan, saya masih lagi berada di Lebuhraya Utara-Selatan E2 dalam perjalanan dari kampung halaman di Segamat, Johor terus ke Exit 2505, Akibatnya, saya terlewat tiba di Exit 2505 untuk turut serta dalam majlis tersebut dan sebaik tiba di sana pada pukul 6 petang, semua orang sudah pun pulang. Namun, saya tetap berterima kasih kepada Kementerian Kerja Raya yang sempat mengambil beberapa keping gambar semasa majlis perasmian tersebut untuk dikongsi bersama.

Majlis perasmian jalan-jalan susur keluar Exit 2505 ini disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof. Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato' Ir. Hj. Ismail bin Md. Salleh, Pengerusi KLSEB, Dato' Ir. Hj. Razali Othman, serta ADUN Kuang, YB Abdul Shukur bin Idrus.

Seperti mana yang anda semua sedia maklum, jalan-jalan susur keluar dari Lebuhraya Latar E25 ke Jalan Kundang B149 dibina hasil rungutan dan komplen orang ramai kerana mereka boleh memasuki lebuh raya tetapi tidak boleh keluar semula ke Kundang; sebaliknya, mereka terpaksa pusing jauh ke Exit 2503 Persimpangan Puncak Alam. Akibatnya, ramai di kalangan penduduk Kundang yang menongkah arus untuk kembali semula ke Kundang. Perbuatan sebegini sangat berbahaya, memandangkan susur masuk dari Kundang itu hanyalah selebar selorong sahaja. Maka, dengan siapnya jalan-jalan susur keluar ke Kundang ini, diharapkan tiada lagi pemandu tidak berotak yang membuat pusingan haram tanpa memikirkan bahayanya terhadap nyawa mereka sendiri.

Sebenarnya, jalan-jalan susur keluar ini belum 100% siap sepenuhnya. Papan-papan tanda penunjuk arah masih belum siap dipasang sepenuhnya. Bagi jalan susur keluar arah barat pula, bangunan plaza tol masih lagi belum siap semenuhnya, malah lorong motosikal di plaza tol pun belum siap. Kerja-kerja penyiapan plaza tol dijangka dapat diselesaikan sebelum kutipan tol dimulakan pada 15 Ogos ini - dengan kata lain, anda mempunyai tempoh tol percuma di Exit 2505 sehingga 15 Ogos ini.

Berapa pula kadar tol di situ pula...? Kadar tol hanya akan diumumkan pada pertengahan Ogos nanti, tetapi saya jangkakan kadar tol yang bakal dikenakan nanti adalah lebih kurang separuh daripada kadar tol di plaza tol lain di sepanjang Lebuhraya Latar E25 (RM2.00). Dengan kata lain, tol yang bakal dikenakan mungkin sekitar RM1 lebih tetapi tidak akan melebihi RM2. Perlu diingatkan bahawa kos bagi pembinaan jalan-jalan susur keluar tersebut menelan belanja sejumlah RM30 juta, termasuklah kos pengambilalihan tanah sebanyak RM2 juta.

Selain daripada projek pembinaan jalan-jalan susur keluar Exit 2505 ini, pihak pengurusan KLSEB dalam masa yang sama sedang menjalankan projek pembinaan sebuah persimpangan bertingkat di Kota Puteri, Ijok. Projek tersebut dapat dimulakan setelah KLSEB serta pihak pemaju telah memuktamadkan reka bentuk persimpangan yang bakal dibina itu. Ia dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2016.













Semua kredit gambar: Kementerian Kerja Raya

Saturday, July 19, 2014

Honda Jazz generasi ketiga selamat dirasmikan / Third-generation Honda Jazz was launched

Salam sejahtera,

Honda Malaysia telah selamat merasmikan generasi ketiga bagi model kereta hatchback segmen B global mereka, Honda Jazz, untuk pasaran Malaysia pada 16 Julai 2014. Saya sepatutnya menulis entri mengenainya pada hari kelmarin ataupun semalam tetapi menangguhkannya kerana mahu menghormati ahli-ahli keluarga mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang terhempas akibat bedilan peluru berpandu pada 17 Julai 2014. Takziah saya ucapkan kepada seluruh keluarga mangsa.

Sedikit mengenai Honda Jazz ini. Model kereta hatchback subpadat global ini mula dikeluarkan pada tahun 2001 di Jepun sebagai Honda Fit sebelum ia turut dijual di Amerika Syarikat, Eropah dan seterusnya Asia Tenggara. Nama Honda Fit digunakan di Jepun dan Amerika Syarikat, manakala Eropah dan Asia Tenggara pula menggunakan nama Honda Jazz. Terdapat dua ciri utama yang menjadikan Honda Jazz sangat dikenali, iaitu kedudukan tangki minyaknya di bawah kerusi hadapan dan bukannya di bawah kerusi belakang sebagai mana kereta-kereta lain, serta kerusi belakangnya yang istimewa kerana boleh dilipat melalui pelbagai cara - ia boleh dilipat menegak ke atas untuk memuatkan barangan tinggi seperti pasu bunga, serta boleh dilipat ke bawah untuk meningkatkan muatan kargo. Nak angkut papan luncur...? Boleh, hanya lipat kerusi penumpang hadapan serta kerusi belakang kiri untuk memuatkannya. Malah, anda boleh melipat kedua-dua kerusi hadapan jika mahu tidur di dalamnya seselesa tidur di atas katil. Sebab itulah kerusi-kerusi Honda Jazz ini dikenali sebagai Ultra Seats atau Magic Seats.

Semasa Jazz mula-mula dibawa masuk ke Malaysia, daya penarik utama yang digunakannya ialah penjimatan bahan apinya, berikutan penggunaan enjin i-DSI yang dipadankan dengan kotak gear CVT. Enjin i-DSI menjimatkan bahan api melalui penggunaan dua biji palam pencucuh bagi setiap silinder (kereta lain menggunakan hanya sebiji palam pencucuh sesilinder), menjadikan pembakaran bahan api lebih lengkap. Asalnya, Jazz menggunakan enjin i-DSI 1.3L sebelum beralih kepada enjin i-DSI 1.5L. Seterusnya, varian enjin VTEC-E turut diperkenalkan. Kedua-dua pilihan enjin tersebut juga digunakan pada model Honda City generasi keempat. Ciri-ciri yang diterapkan pada kedua-dua model i-DSI dan VTEC kekal sama. Asalnya, Honda Jazz yang dijual di Malaysia adalah buatan Jepun (model i-DSI 1.3L) sebelum beralih kepada buatan Thailand (model 1.5L i-DSI dan VTEC).

Model generasi kedua dilancarkan pada tahun 2007. Ia menggunakan enjin 1.5L i-VTEC yang turut digunakan pada Honda City generasi kelima, dipadankan dengan kotak gear automatik konvensional 5 kelajuan bagi mengatasi masalah kerosakan CVT akibat terlampau panas (anehnya, kesemua kes kerosakan CVT itu hanya berlaku di Malaysia sahaja). Enjin i-VTEC yang digunakan itu merupakan enjin 1.5L yang paling berkuasa dalam kelasnya. Varian hibrid turut diperkenalkan pada tahun 2012 sebagai model import dari Jepun sebelum ia mula dipasang di kilang Honda Malaysia di Alor Gajah. Tidak lama kemudian, varian petrol turut dipasang di Alor Gajah, sekaligus menjadikan harganya turun mendadak dan semakin mampu dimiliki.

Jazz generasi ketiga akhirnya dilancarkan di Jepun pada tahun 2013. Model generasi ketiga Honda Fit di Jepun menggunakan enjin-enjin Earth Dreams dengan pancitan terus petrol (GDI) serta transmisi CVT Earth Dreams, tetapi model Asia Tenggara pula menggunakan enjin i-VTEC daripada generasi kedua yang telah ditala semula. Ia dilancarkan di Malaysia pada 16 Julai 2014 dengan tiga pilihan varian, tetapi masih belum diketahui bila varian hibrid bagi generasi ketiga akan dilancarkan.

Saya berkesempatan ke Kah Motor Selayang pada hari perasmiannya untuk melihat sendiri kereta Honda Jazz generasi ketiga itu. Dalamannya lebih kurang sama seperti Honda City - ia menggunakan meter, radio dan kawalan penyaman udara yang sama seperti City. Apa tidaknya, City dan Jazz memang dibina menggunakan pelantar yang sama. Sungguhpun demikian, masih terdapat beberapa perbezaan antara City 2014 dengan Jazz 2014 ini:-
  1. City 2014 ada suis mod ECON tetapi Jazz 2014 pula tiada suis ECON, sesuatu yang amat menghairankan, memandangkan butang ECON sudah menjadi ciri standard kereta-kereta Honda bermula dengan Honda Insight.
  2. Suis cermin sisi elektrik City 2014 terletak pada papan pemuka, manakala suis cermin sisi elektrik Jazz 2014 pula terletak pada hendal pintu pemandu, bersebelahan suis tingkap kuasa. Pada generasi sebelumnya, kedudukan suis cermin sisi elektrik bagi kedua-dua Jazz dan City adalah terbalik.
  3. Tiada salur penyaman udara belakang pada Jazz 2014 sebagai mana City 2014, meskipun pada varian termahal.
  4. Tali pinggang keledar penumpang tengah belakang Jazz 2014 adalah daripada jenis tiga titik, tetapi menggunakan jenis yang lebih kurang sama seperti Perodua Myvi generasi kedua - tarik tali pinggang keledar dari atas dan masukkan penyangkuk pada lubangnya yang terletak bersebelahan pengatup tali pinggang keledar sebelah kanan, sebelum memakai tali pinggang keledar itu seperti biasa. Sejujurnya, saya kurang menyukai tali pinggang keledar seperti itu kerana selain ia melecehkan, tali pinggang sebegitu sedikit sebanyak mengganggu penglihatan cermin belakang.
  5. But belakang Jazz 2014 dibuka melalui suis pembuka pada pintu but itu sendiri, manakala City 2014 pula menggunakan kunci dan tuas pembuka konvensional.

Sesi pandu uji akan dijalankan sebaik kereta pandu uji disediakan di bilik-bilik pameran Honda tidak lama lagi.


Laman web rasmi: http://www.honda.com.my
Laman Facebook Kah Motor Selayang: Klik sini

Spesifikasi Honda Jazz 2014

Enjin: L15A7 SOHC 16 injap 4 silinder 4 lejang i-VTEC 1.5 liter sejukan cecair
Sesaran: 1,497 cc
Lubang x lejang: 73 x 89.4 mm
Nisbah mampatan: 10.3:1
Kuasa kuda: 120 PS @ 6,600 rpm
Tork: 145 N-m @ 4,600 rpm
Jarak roda: 2,530 mm
Berat kering: 1,067-1,088 kg
Muatan tangki bahan api: 40 liter

Apa yang saya suka
  1. Dilengkapi VSA dan 6 biji beg udara bagi varian termahal
  2. Enjin yang paling berkuasa dalam kelasnya serta terbukti sangat jimat minyak kini jadi semakin jimat
  3. Jazz kini mempunyai lebih varian bersesuaian dengan bajet anda
Apa yang saya tidak suka
  1. Tiada paddle shifter walaupun pada Gred V
  2. Jenis tali pinggang keledar penumpang tengah belakang yang mengganggu penglihatan cermin belakang







Bahagian hadapan Honda Jazz 2014 Gred V






Pandangan bahagian tepi







Pandangan bahagian belakang






Jazz generasi ketiga bagi pasaran Malaysia tidak pula menggunakan enjin Earth Dreams tetapi masih menggunakan enjin L15A7 yang ditala semula






Rekaan meter Jazz yang menyerupai City 2014






Seperti City 2014 Gred V, Honda Jazz 2014 Gred V juga menggunakan radio dan penyaman udara kawalan skrin sentuh






Saya kurang menyukai jenis tali pinggang keledar yang digunakan untuk penumpang tengah belakang kerana ia mengganggu penglihatan cermin belakang






Ruang but belakang Jazz mungkin tidak sebesar City memandangkan Jazz sebuah kereta hatchback, tetapi kerusinya boleh dilipat melalui pelbagai cara untuk memaksimumkan muatannya

Thursday, July 17, 2014

Cerita Kiki dan pengunci sterengnya: Hukuman oleh warga siber lebih kejam daripada hukuman mati / The story of Kiki and her steering lock: The punishment by netizens is more cruel than death sentence



Gambar petikan daripada video insiden wanita mengamuk setelah keretanya dilanggar secara tidak sengaja oleh seorang warga emas
(Kredit gambar: Harian Metro)


Salam sejahtera,

Sepanjang tiga hari yang lepas (14-16 Julai 2014), negara digemparkan dengan video insiden seorang wanita mengamuk apabila kereta Peugeot 208 putih bernombor pendaftaran CDM25 dilanggar secara tidak sengaja oleh sebuah kereta Toyota Corolla yang dipandu oleh seorang warga emas ketika di UTC Kuantan, Pahang, yang tersebar luar di laman sosial Facebook. Dalam masa tidak sampai 24 jam, video tersebut menjadi viral di serata alam siber, mengundang maki-hamun para penontonnya terhadap wanita pemilik kereta Peugeot tersebut kerana didakwa bersikap kasar dan biadab terhadap orang tua, manakala rasa simpati para penonton video tersebut rata-ratanya berpihak kepada pemandu warga emas tersebut yang lebih mesra dikenali sebagai Uncle Sim.

Dalam insiden itu, wanita yang dikenali sebagai Kiki itu menengking Uncle Sim yang terlanggar kereta Peugeotnya secara tidak sengaja dengan kata-kata kesat. Sambil menghentak-hentak bonet kereta Toyota Corolla Uncle Sim dengan menggunakan sebatang pengunci stereng hingga berlekuk, Kiki mengugut Uncle Sim untuk membayar RM2,000 sebagai ganti rugi kepada bampar belakangnya yang kemek sedikit akibat dilanggar secara tidak sengaja.

Sebenarnya, insiden tersebut sudah pun diselesaikan secara baik semalam. Tatkala anak Uncle Sim mengugut untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap wanita tersebut, Uncle Sim yang merupakan seorang pesara kerajaan dari awal-awal lagi memaafkan Kiki dan mengambil keputusan untuk tidak membuat laporan polis. Tertekan dengan cacian dan maki-hamun daripada warga alam siber, Kiki akhirnya menyesali perbuatannya dan mengeluarkan permohonan maaf secara rasmi serta merayu kepada orang ramai agar berhenti menyebarkan video tersebut. Malah, Kiki sendiri sehingga ke tahap mahu menukar nombor pendaftaran keretanya yang sudah menjadi "nombor plet suwey" akibat insiden tersebut. Kes tersebut akhirnya selesai secara baik.

Namun, apa yang dikesalkan ialah masyarakat masih lagi menghukumnya tatkala kedua-dua pihak sudah pun berdamai dan kes diselesaikan dengan cara yang baik. Saya sendiri mengakui bahawa saya sendiri pun salah seorang daripada "mahafiraun Facebook" yang menghukum Kiki tanpa sebarang bicara serta tanpa memberi peluang kepada Kiki untuk membela dirinya, apatah lagi memberinya peluang untuk menebus kembali kesalahannya itu. Saya difahamkan Kiki memiliki sebuah perniagaan kerja kahwin, dan insiden tersebut telah menyebabkan perniagaannya terjejas. Sepanjang tempoh insiden pengunci stereng menjadi hangat, laman Facebooknya bukan sahaja dibanjiri cacian dan maki-hamun, malah turut digodam. Bukan itu sahaja, malah laman Facebook Peugeot Malaysia sendiri pun menjadi mangsa troll akibat insiden yang menjadikan jenama Peugeot terkenal secara tidak langsung. Kiki sudah pun meminta maaf dan Uncle Lim pun sudi memaafkannya, jadi adilkah jika kita terus menghukumnya lagi tanpa memberi walau sedikit peluang untuk mereka berdamai dan berbaik-baik semula...? Cara kita menghukum Kiki bukan sahaja lebih kejam daripada hukuman mati, malah lebih zalim daripada Firaun. Atas dasar inilah saya ingin mengajak bukan sahaja para peminat Blog Jalan Raya Malaysia, malah seluruh warga siber di luar sana agar kita sama-sama memaafkannya dan memberi peluang kepada Kiki untuk menebus kembali kesilapannya. Sedangkan Rasulullah ampunkan umatnya, malah Allah sendiri pun ampunkan hamba-hamba-Nya, inikan pula insan biasa seperti kita.

Sebenarnya, cerita Kiki dan pengunci sterengnya itu hanyalah secebis kecil daripada insiden-insiden yang sebenarnya mencerminkan perangai orang-orang kita sendiri setiap kali berlaku kemalangan walaupun sekadar kemalangan kecil. Perkara pertama yang sering dilakukan oleh orang-orang kita setiap kali terlanggar sesama sendiri tidak lain dan tidak bukan hanyalah bergaduh, atau lebih teruk lagi, bertumbuk - bukannya hendak membuat laporan polis, mengambil gambar kejadian serta menyediakan dokumen-dokumen untuk tuntutan insurans. Setiap kali kita dilanggar, kita melepaskan amarah kita kepada orang yang melanggar dengan koleksi perbendaharaan kata kesat dan lucah, serta menuntut si tukang langgar itu untuk membayar ganti rugi dengan angka yang sebenarnya jauh lebih mahal daripada kos sebenar bahagian kereta yang terjejas itu. Apa tidaknya, kadar premium insurans kenderaan yang semakin mahal dan kesukaran untuk membuat tuntutan insurans serta kerenah birokrasi telah menyebabkan ramai di kalangan orang kita yang mengambil jalan penyelesaian sendiri, iaitu dengan menghidangkan aksi WWE percuma di atas jalan raya.

Jadi apa patut anda lakukan sekiranya terlibat dalam kemalangan akibat orang lain melanggar anda...? Ikuti prosedur berikut:-
  1. Bertenang. Jangan bertengkar atau bergaduh dengan pemandu kenderaan yang melanggar anda. Kemalangan sudah pun terjadi. Cuba keluar dari kenderaan anda, dan jika ada penumpang, keluarkan mereka juga.
  2. Panggil ambulans (jika terdapat kecederaan atau kematian) dan polis.
  3. Ambil gambar keadaan kenderaan dari arah hadapan, penjuru, tepi dan belakang. Gambar-gambar sebegini sangat penting untuk membantu siasatan pihak polis.
  4. Kedua-dua pihak (yang melanggar dan dilanggar) perlu membuat laporan polis mengenai kemalangan tersebut. Bawa kenderaan masing-masing ke balai polis untuk siasatan (pandu jika masih boleh dipandu; jika tidak boleh dipandu, gunakan khidmat lori tunda).
  5. Dapatkan maklumat mengenai senarai bengkel panel yang dilantik oleh syarikat insurans anda dan hantar kenderaan anda untuk diperbaiki di situ (kecuali kes total lost).
  6. Dapatkan dokumen-dokumen berikut dari balai polis tempat anda membuat laporan bagi urusan tuntutan insurans:-
    • Salinan laporan polis daripada kesemua pihak yang terlibat
    • Laporan siasatan kes kemalangan
    • Gambar rajah kasar lokasi kemalangan
    • Gambar-gambar keadaan kenderaan
  7. Bawa kesemua dokumen tersebut dari balai polis ke bengkel panel. Sebagai tambahan, anda juga perlu membawa bersama beberapa dokumen berikut:-
    • Salinan geran kenderaan
    • Salinan polisi insurans
    • Salinan cukai jalan
    • Salinan kad pengenalan dan lesen memandu


Seterusnya, wakil syarikat insurans di bengkel panel akan mentaksir jumlah kerosakan serta kos membaik pulih kenderaan anda untuk membolehkan urusan tuntutan insurans dibuat. Dalam kebanyakan kes, selalunya kerja-kerja baik pulih kenderaan akan siap terlebih dahulu sebelum urusan tuntutan insurans siap.

Kesimpulannya, kita seharusnya belajar mengawal emosi setiap kali berlaku kemalangan jalan raya. Bergaduh atau bertumbuk di atas jalan raya tidak akan menyelesaikan sebarang masalah; sebaliknya, ia hanya akan membawa kepada insiden memalukan seperti yang dialami oleh Kiki itu. Sebaliknya, kita perlu belajar mengikut prosedur yang betul untuk mendapatkan tuntutan insurans agar kenderaan yang terjejas akibat kemalangan dapat dibaik pulih semula seperti sedia kala tanpa perlu merobekkan poket mana-mana pihak. Mengenai insiden Kiki itu pula, cukup-cukuplah menghinanya di laman sosial Facebook, kerana kesnya itu sudah selesai dengan cara baik. Kita perlu ingat bahawa kebanyakan daripada kita di sini pun dua kali lima sahaja sepertinya juga jika kita sendiri mengalami kemalangan yang serupa. Kiki hanya tidak bernasib baik kerana kemalangan tersebut melibatkan seorang warga tua, menyebabkan Kiki dicap sebagai "biadab" dan "kurang ajar" dengan orang-orang tua, sedangkan kita sendiri pun sebenarnya sama sahaja dengannya jika mengalami insiden serupa. Akhir kata, jangan jadikan pahala puasa kita sia-sia akibat diracuni amarah dan sikap suka mengumpat dan menghina orang secara keterlaluan, terutamanya di laman sosial.

Wednesday, July 16, 2014

Melaka Bandaraya Bersejarah Finale: ...Sehingga ia lenyap / Historic City of Malacca Finale: ...Until it's gone




Salam sejahtera,

Semasa saya sedang menulis entri ini, rejim zionis Israel sedang membedil Palestin dan Gaza secara membabi-buta. Tatkala rakyat Malaysia di sini sedang membantah dan mengecam keras serangan oleh rejim kafir laknatullah itu, jiran-jiran Arab di Palestin pula rata-ratanya hanya membisu sahaja. Kenapa perkara sebegitu boleh terjadi...?

Kezaliman rejim zionis Israel sebenarnya bertitik-tolak daripada kelemahan pemerintahan Empayar Islam Uthmaniyyah serta perancangan jahat oleh pergerakan zionisme sejak abad ke-19. Kawasan Palestin dan Israel pernah menjadi jajahan takluk Empayar Uthmaniyyah pada tahun 1516 sehinggalah semasa Perang Dunia Pertama yang seterusnya membawa kepada kehancuran Empayar Uthmaniyyah setelah ia kalah kepada British. Kelemahan pemerintahan oleh sultan-sultan Uthmaniyyah semasa penghujung hayat empayar tersebut, ditambah pula dengan kebencian dan pengkhianatan oleh penduduk-penduduk bukan berbangsa Turki membawa kepada berkurangnya saiz empayar setelah satu demi satu wilayah mengisytiharkan kemerdekaannya (termasuklah Greece). Penglibatan Empayar Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama akhirnya membawa kepada kehancuran sebuah kerajaan Islam berusia 624 tahun.

Setelah kekalahan Empayar Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama, kawasan Palestin dan Jordan dijadikan sebahagian daripada kawasan di bawah mandat British. Kesempatan ini diambil oleh pergerakan zionis untuk menuntut kawasan Palestin agar dijadikan sebagai "negara" untuk orang Yahudi. Hasilnya, negara haram Israel terbentuk setelah tempoh mandat British berakhir. Lama-kelamaan, sempadan kawasan Palestin sedikit demi sedikit telah "dimakan" oleh rejim zionis Israel.

Sebenarnya, Palestin boleh menang mudah bagi mempertahankan tanah air mereka, memandangkan ia dikelilingi oleh jiran-jiran negara Arab Islam, tetapi hakikat sebenarnya ialah ia tidak pula berlaku. Kenapa pula boleh jadi begitu...? Sebabnya mudah sahaja - jiran-jiran Arabnya pula kebanyakannya menjadi barua Amerika yang terang-terangan menyokong Israel. Dipendekkan cerita, sebahagian besar penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin adalah disebabkan oleh masyarakat Arab Islam yang berpecah-belah, ditambah pula dengan kelemahan pemerintahan Empayar Uthmaniyyah yang akhitnya telah membuka ruang kepada penubuhan negara haram Israel.

Sepatutnya, entri finale ini berkisar kepada Melaka, kenapa pula saya bawakan cerita Israel dan Palestin pula...? Sebab utama kenapa saya bawakan kisah nasib saudara-saudara kita di Palestin itu adalah kerana keruntuhan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511 mempunyai punca yang lebih kurang sama - kelemahan pentadbiran, masyarakat yang berpecah-belah serta pengkhianatan oleh segelintir penduduk sendiri.

Sebagai mana yang kita sedia maklum, Kesultanan Melayu Melaka runtuh pada tahun 1511 akibat serangan daripada orang-orang Portugis yang dipimpin oleh Alfonso de Albuquerque. Namun, de Albuquerque tidak mungkin begitu mudah menakluki Melaka tanpa sebarang kronologi peristiwa yang membawa kepada kejayaan armadanya menakluki Melaka. Pada tahun 1481 di Portugal, Raja John II berkeyakinan untuk memecahkan monopoli perdagangan rempah oleh pedagang Arab dan Itali, dengan menguasai sendiri pusat utama bekalan rempah di Kepulauan Melayu. Sebagai langkah awal, Portugal menakluki Kalikat dan Goa di India.

Pada penghujung abad ke-15, Melaka sudah pun berada di kemuncak kegemilangannya sebagai sebuah empayar besar dengan aktiviti perdagangan bertaraf antarabangsa. Kesemuanya hasil daripada kebijaksanaan pemerintahan Sultan Muzaffar Shah, Sultan Mansur Shah dan Sultan Alauddin Riayat Shah, serta dibantu oleh Bendahara Tun Perak yang bijaksana serta berwawasan tinggi. Namun, segala-galanya berubah sewaktu kemangkatan Sultan Alauddin Riayat Shah pada usia yang sangat muda iaitu 30 tahun. Akibatnya, pengganti baginda iaitu Sultan Mahmud Shah menaiki takhta pada usia kanak-kanak, sekaligus menjadi punca utama yang membawa kepada keruntuhan empayar Melayu Melaka.

Tidak seperti sultan-sultan terdahulu yang bertungkus-lumus membina Melaka sehingga mencapai kemuncak kegemilangannya, Sultan Mahmud pula memerintah Melaka yang memang sudah kaya dan makmur. Akibatnya, baginda menjadi lupa diri serta dikatakan bersifat kejam semasa awal pemerintahannya. Mujurlah Bendahara Tun Perak yang sudah tua itu berupaya mengawal kelakuan Sultan Mahmud itu. Namun, ia tidak kekal lama apabila Bendahara Tun Perak meninggal dunia pada tahun 1498 serta digantikan oleh Bendahara Tun Mutahir yang berketurunan Tamil-Muslim (sekaligus membawa kepada gelaran "Mamak Bendahara").

Tun Mutahir pula seorang yang sangat berpengaruh dari kalangan masyarakat Tamil Muslim. Beliau pula mengamalkan nepotisme apabila melantik kaum kerabatnya sendiri untuk memegang jawatan-jawatan penting di Melaka. Akibatnya, perpaduan di kalangan penduduk Melaka semakin lemah dan semakin berpecah-belah.

Pada zaman Tun Mutahir itu jugalah gejala rasuah semakin berleluasa di Melaka; saudagar yang rapat dengan para pembesar Melaka dibenarkan berlabuh dengan cukai yang rendah ataupun tanpa cukai, manakala pedangang lain pula dikenakan cukai yang tinggi. Akibatnya, para pedagang mula beralih ke beberapa negeri pesaing seperti Acheh, Patani dan Brunei.

Pelantikan kaum kerabat Tun Mutahir memegang jawatan-jawatan penting dalam kerajaan Melaka menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pembesar lain seperti Syahbandar Melaka, Raja Mendailar. Akibatnya, Raja Mendailar dan golongan saudagar berkomplot memfitnah Tun Mutahir kononnya beliau mahu merampas takhta kerajaan Melaka. Ditambah dengan kemurkaan baginda setelah Tun Mutahir enggan mengahwinkan adiknya Tun Fatimah dengannya, Sultan Mahmud Shah memerintahkan agar seluruh keluarga Tun Mutahir kecuali Tun Fatimah dihukum bunuh. Namun kemudian, setelah menyedari bahawa dalam masa yang sama Tun Mutahir sebenarnya mahu menyelamatkan Melaka daripada rancangan jahat Portugis, barulah baginda menyesali tindakan baginda, tetapi sudah terlambat kerana baginda tidak sedar apa yang dimiliki baginda sehinggalah ia lenyap. Sultan Mahmud Shah yang menyesali tindakannya membunuh Tun Mutahir turun takhta dan melantik puteranya Sultan Ahmad Shah yang muda dan tidak cekap untuk memerintah Melaka.

Namun, cerita kelemahan Kesultanan Melayu Melaka tidak terhenti setakat itu sahaja. Akibat perpecahan di kalangan penduduk Melaka, semasa Portugis menyerang Melaka pada tahun 1511, terdapat saudagar yang belot dengan meminjamkan kapal-kapal mereka kepada Portugis, malah ada yang turut membocorkan rahsia pertahanan Melaka. Selain itu, askar-askar upahan Melaka yang datang dari Jawa kebanyakannya melarikan diri. Dari segi faktor pemilihan senjata pula, kebanyakan tentera Melayu Melaka hanya sekadar bersenjatakan keris, panah, lembing dan tombak, sedangkan askar Portugis sudah pun beralih kepada senjata yang lebih canggih seperti senapang. Sebenarnya ada juga askar Melayu Melaka yang menggunakan senjata api seperti senapang, meriam dan artileri, tetapi senjata api yang digunakan Portugis pula jauh lebih canggih dan mampu menembak pada jarak yang lebih jauh dengan ketepatan yang lebih tinggi. Kesemua faktor kombinasi tersebut membawa kepada tumbangnya Kesultanan Melayu Melaka dan seterusnya membawa kepada episod penjajahan negara kita oleh kuasa-kuasa Barat selama 446 tahun lamanya.

Kenapa pula saya perlu menceritakan semua ini kepada anda...? Jika anda bandingkan, sungguhpun usia kemerdekaan negara kita kini mencecah 57 tahun iaitu sebaya dengan ayah saya, namun usia kemerdekaan negara kita sebenarnya terlalu muda jika dibandingkan dengan sejarah penjajahan negara kita selama 446 tahun. Malangnya, ramai di kalangan orang kita - terutamanya yang lahir pada era pasca kemerdekaan - yang sudah menjadi lupa diri dan kufur nikmat akan kemerdekaan yang dikecapi oleh negara kita. Sejak kebelakangan ini, sudah ada suara-suara sumbang yang memainkan isu-isu agama dan perkauman, yang boleh menggugat keharmonian di negara kita. Golongan-golongan sebegini dibantu oleh segelintir individu yang berkepentingan politik, yang memainkan isu-isu perkauman dan agama demi meraih sokongan politik semata-mata, tanpa mempedulikan akibat buruknya terhadap keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia. Kemunculan media sosial serta pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri menyebabkan gejala sebegini semakin menjadi-jadi.

Terdapat juga golongan-golongan dangkal yang mempertikaikan sejarah negara serta mendakwa bahawa sejarah Malaysia yang ada sekarang sebagai "palsu" kerana hanya lebih "memihak" kepada parti pemerintah semata-mata. "Sejarawan-sejarawan" tidak bertauliah ini membuat dakwaan sebegitu dangkal hanyalah atas dasar politik semata-mata dengan hanya bergantung kepada caka-cakap orang dan cerita-cerita dari mulut sahaja tanpa sedikit pun mengambil kira etika akademik dalam "kajian" mereka. Sebab itulah terdapat golongan bebal lagi dangkal yang mengangkat pemimpin pengganas komunis seperti Chin Peng, Rashid Maidin dan Mat Indera yang menyembelih ribuan rakyat Malaysia sebagai "wira negara"...!!! Dalam etika akademik, cerita-cerita dan cakap-cakap mulut semata-mata tidak boleh dijadikan sebagai sumber rujukan sahih dalam mana-mana kajian sama sekali.

Demi mengukuhkan perpaduan sesama kaum di Malaysia, Kontrak Sosial telah dirangka bagi mengiktiraf hak-hak bagi sesuatu kaum. Semasa pembentukan Persekutuan Tanah Melayu, orang-orang Melayu pada masa itu menolak kerakyatan secara jus soli kepada orang-orang bukan Melayu dan menuntut hak-hak istimewa orang Melayu. Dalam masa yang sama pula, orang-orang bukan Melayu menuntut hak-hak untuk mendirikan sekolah vernakular, hak kewarganegaraan serta hak kesamarataan. Namun, atas dasar tolak ansur sesama kaum, Kontrak Sosial diwujudkan, yang mana orang-orang Melayu diberikan hak-hak istimewa yang dijamin oleh Perlembagaan - antaranya, status Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, agama Islam sebagai agama rasmi, hak-hak milikan hartanah dengan kuota Bumiputera serta kewujudan tanah-tanah rizab Bumiputera - manakala orang-orang bukan Melayu diberikan hak kerakyatan, kebebasan untuk mengamalkan adat resam serta agama masing-masing, hak mendirikan sekolah vernakular serta hak kesamarataan dalam Perlembagaan (kecuali beberapa perkara yang didefinisikan sebagai hak-hak istimewa Bumiputera). Dengan kata lain, Kontrak Sosial merupakan lambang sumpah setia setiap kaum bagi menjaga hubungan antara satu sama lain.

Namun, kenapa pula hari ini banyak insiden menghina agama dan kaum yang begitu berleluasa terutamanya di dalam media sosial, sedangkan kes-kes seumpamanya tidak ada pula semasa dua dekad yang lalu...? Kesemuanya disebabkan oleh hilangnya rasa hormat akan hak-hak orang lain. Sensitiviti kaum dan agama tidak dijaga. Hak-hak setiap kaum (terutamanya Bumiputera) tidak lagi dihormati, malah dipertikaikan. Parti-parti politik sibuk merekrut macai-macai dan bala tentera papan kekunci bagi menimbulkan kekacauan dan menyebar fitnah. Bila diingatkan tentang peristiwa penjajahan negara, serangan pengganas komunis, rusuhan kaum 13 Mei 1969 serta serangan pengganas di Sabah, golongan dangkal tersebut terus bersifat angkuh, bodoh sombong, lupa diri dan kufur nikmat. Mereka lupa dan alpa bahawa nikmat kemerdekaan boleh dirarik balik oleh Allah pada bila-bila masa sahaja. Mereka terus lupa bahawa apa yang berlaku pada rakyat Palestin sebenarnya boleh berlaku pada rakyat Malaysia jika mereka terus kufur nikmat.

Ada juga pihak yang mendakwa kononnya tidak perlu mementingkan bangsa sendiri dan mendakwa perpaduan agama lebih penting. Namun, dakwaan tersebut ternyata karut lagi semberono. Cuba fikirkan, dapatkah seorang ketua kampung, yang bercerai dengan isterinya sehinggakan anak-anaknya menjadi porak-peranda, memimpin dan menyatupadukan orang-orang kampungnya...? Dapatkah seorang ketua kaum, yang mana kaumnya sendiri berpecah-belah dan saling bertelagah sesama sendiri, berpakat dengan ketua-ketua kaum lain untuk bersatu-padu...? Sedangkan Rasulullah sendiri pun sebelum menyatupadukan antara puak Muhajirin (Islam Quraisy Mekah) dengan puak Ansar (Islam Madinah) baginda terlebih dahulu menyatupadukan umat baginda di Mekah. Sebab itulah sebelum menyatupadukan unit yang lebih besar, kita perlu menyatupadukan unit-unit yang lebih kecil terlebih dahulu.

Jadi apa yang patut anda lakukan demi mengekalkan nikmat kemerdekaan seperti yang kita kecapi sekarang ini...? Belajarlah daripada sejarah silam. Kita belajar sejarah supaya kita tidak lagi mengulangi kesilapan sama yang pernah dilakukan para pemimpin zaman dahulu. Setelah belajar sejarah, kita seharusnya mengambil iktibar daripada kehancuran tamadun-tamadun terdahulu termasuklah keruntuhan Kesultanan Melayu Melaka. Seterusnya, hargailah kemerdekaan yang kita kecapi sekarang ini. Jangan sekali-kali membiarkan fitnah, rasuah, nepotisme dan kronisme menjadi sebahagian daripada amalan kita. Jagalah perpaduan sesama kaum sebelum bercakap tentang perpaduan nasional. Hormatilah hak-hak orang lain jika kita mahu orang lain menghormati hak kita. Ingatlah bahawa kita tidak akan sedar apa yang kita nikmati sehinggalah kita kehilangannya.


"Kerana anda tidak sedar apa yang anda miliki,
oh, anda tidak sedar apa yang anda miliki,
tidak, anda tidak sedar apa yang anda miliki,
inilah perjuangan yang anda perlu hadapi,
tidak, anda tidak sedar apa yang anda miliki,
sehingga ia lenyap...!!!"


Dengan tamatnya entri ini, Blog Jalan Raya Malaysia menutup siri jelajah ke Melaka Bandaraya Bersejarah ini dengan rasminya. Jutaan terima kasih kepada para pembaca kerana terus menyokong Blog Jalan Raya Malaysia. Semoga kita bertemu lagi dalam siri entri jelajah akan datang...!!!


Monday, July 14, 2014

Melaka Bandaraya Bersejarah Bahagian 10: Lebuh Ayer Keroh FT143 / Historic City of Malacca Part 10: Lebuh Ayer Keroh FT143

Salam sejahtera,

Reviu terakhir dalam siri jelajah Blog Jalan Raya Malaysia ke Melaka membawa anda kepada laluan pintu masuk utama ke Melaka dari Lebuhraya Utara-Selatan E2. Laluan yang saya maksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Lebuh Ayer Keroh FT143, juga dikenali sebagai Jalan Tun Abdul Razak Ayer Keroh FT143. Memandangkan kami hendak pulang semula ke Kuala Lumpur, maka jalan ini sesuai dijadikan sebagai reviu penutup tirai bagi siri kembara Blog Jalan Raya ke Melaka.

Sedikit mengenai sejarah Lebuh Ayer Keroh FT143 ini. Sejarah Lebuh Ayer Keroh FT143 ini berkait rapat dengan sejarah Lebuhraya Utara-Selatan E2 itu sendiri. Lembaga Lebuhraya Malaysia membina sambungan kepada Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban sebagai Lebuhraya Utara-Selatan E2, yang mana laluan tersebut direka bagi melalui negeri Melaka, sekaligus memintas laluan ke Segamat. Pemotongan laluan ke Segamat bukan sahaja membolehkan Lebuhraya Utara-Selatan dibina lebih pendek, malah ia juga membolehkan E2 dihubungkan ke Bandaraya Melaka. Namun, lokasi sebenar Bandaraya Melaka ialah di tepi laut, maka sebatang jalan raya arteri utama diperlukan sebagai penghubung utama antara Bandaraya Melaka dengan E2.

Laluan yang dipilih sebagai jalan masuk utama ke Bandaraya Melaka dari E2 itu asalnya ialah Jalan Negeri Melaka M29 yang menghubungkan antara Peringgit, Padang Jambu, Bukit Beruang dan Ayer Keroh sebelum tamat di Durian Tunggal; kedua-dua penghujungnya terletak di Jalan Negeri Melaka M2 (kini diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan 142). Asalnya, keseluruhan jalan tersebut merupakan jalan raya tunggal, tetapi ia kemudiannya dinaik taraf secara beransur-ansur. Semasa pembinaan sambungan Lebuhraya Utara-Selatan E2 ke Ayer Keroh, laluan dari arah Melaka dilencongkan terus ke Plaza Tol Ayer Keroh, manakala laluan ke Durian Tunggal dilencongkan ke kiri. Satu laluan baharu dibina bagi memintas Bukit Beruang dan seterusnya melalui Kawasan Perindustrian Ayer Keroh sebelum akhirnya bertemu semula dengan jalan lama M29 di Graha Makmur. Jalan baharu ini dibina empat lorong, tetapi ia masih lagi jalan raya tunggal. 

Pada tahun 1992, laluan dari Persimpangan Istana Melaka sehingga ke Persimpangan Bukit Beruang di Graha Makmur dinaik taraf sebagai jalan raya kembar. Akhirnya pada tahun 1997 keseluruhan Lebuh Ayer Keroh dinaik taraf menjadi jalan raya kembar. Laluan di Padang Jambu pula dipintas untuk meluruskan laluan Lebuh Ayer Keroh. Lebuh Ayer Keroh diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan 143 pada 22 Januari 1997. Namun, Jalan Bukit Beruang M29 dan Jalan Durian Tunggal M29 masih mengekalkan kod laluan lama, maka Jalan Negeri Melaka M29 bertindih dengan FT143 bermula dari penamat Jalan Bukit Beruang M29 dekat MITC sehinggalah ke simpang Jalan Durian Tunggal M29 dekat Litar Sukan Bermotor Antarabangsa Melaka (MIMC).

Peranan FT143 sebagai pintu masuk utama ke Bandaraya Melaka melalui Lebuhraya Utara-Selatan E2 telah membawa banyak limpahan kemajuan di sepanjang laluannya. Ayer Keroh dijadikan sebagai bandar satelit utama bagi Bandaraya Melaka. Kawasan perindustrian tumbuh bagai cendawan di FT143 kerana peranan FT143 memudahkan barangan yang dikilangkan - daripada sekadar makanan ringan sehinggalah kepada besi keluli - dihantar dengan lebih pantas melalui Lebuhraya Utara-Selatan E2. Selain itu, banyak taman tema yang dibina di sepanjang FT143 seperti Zoo Melaka, Taman Buaya Ayer Keroh, Melaka Wonderland, Taman Rama-Rama, Mini Malaysia dan Mini Asean. Malah, kompleks Dewan Undangan Negeri Melaka yang baharu di Seri Negeri juga dibina di Ayer Keroh. Kesemua pembangunan di sepanjang Ayer Keroh ini akhirnya membawa kepada pemisahan Ayer Keroh (bersama-sama Batu Berendam, Durian Tunggal, Bemban dan Bukit Beruang) daripada pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan seterusnya membentuk satu kawasan perbandaran baharu di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan yang baharu iaitu Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya pada 2006.

Berikutan peranan besar Lebuh Ayer Keroh FT143 sebagai pintu masuk utama Melaka dari Lebuhraya Utara-Selatan, jalan FT143 ini sering sesak terutamanya semasa musim cuti sekolah dan musim perayaan. Persimpangan yang sering sesak teruk ialah Persimpangan MITC-Seri Negeri, Persimpangan Istana Melaka dan Persimpangan Tun Ghafar Baba. Untuk menangani kesesakan di sepanjang FT143, kerajaan negeri Melaka memohon peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk membina empat buah persimpangan bertingkat di sepanjang Lebuh Ayer Keroh FT143, iaitu Persimpangan MITC-Seri Negeri, Persimpangan Istana Melaka, Persimpangan Bukit Beruang dan Persimpangan Tun Ghafar Baba. Peruntukan sejumlah RM300 juta telah diluluskan bagi pembinaan persimpangan bertingkat MITC-Seri Negeri dan Tun Ghafar Baba, manakala pembinaan bagi dua lagi persimpangan masih lagi menunggu peruntukan daripada kerajaan persekutuan. Tarikh mula pembinaannya masih lagi belum diumumkan. Setakat ini, satu-satunya persimpangan bertingkat di sepanjang Lebuh Ayer Keroh FT143 terletak di penghujung Lebuh SPA FT33 yang terletak tidak jauh dari Plaza Tol Ayer Keroh.

Dari Melaka, kami memulakan perjalanan pulang melalui Lebuh Ayer Keroh FT143 bermula dari pangkalnya di Persimpangan Tun Ghafar Baba. Keadaan trafik di sepanjang FT143 boleh dikatakan agak lancar kecuali di Persimpangan Tun Ghafar Baba yang agak sesak sedikit, berikutan keadaan Jalan Mufti Khalil FT142 yang hanya selebar empat lorong sahaja; jajaran dari Persimpangan Tun Ghafar Baba sehingga ke Persimpangan Al-Azim perlu dilebarkan kepada enam lorong bagi menangani kadar aliran trafik yang tinggi. Semasa di Ayer Keroh, kami memenuhkan tangki minyak di stesen minyak Shell Lebuh Ayer Keroh di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh. Sebelum meninggalkan bumi Hang Tuah ini, kami singgah sebentar di gerai cenderamata di Taman Buaya Melaka untuk membeli beberapa bungkus kerepek, dodol dan gula melaka untuk dibawa pulang.

Sedih pula rasanya hendak meninggalkan bumi Hang Tuah yang cukup bertuah ini. Pintu gerbang Ayer Keroh yang turut berperanan sebagai penanda sempadan daerah Melaka Tengah-Jasin itu menandakan bahawa kami bakal meninggalkan negeri Melaka yang penuh bersejarah ini. Lebuh Ayer Keroh FT143 tamat di Plaza Tol Ayer Keroh sebelum memasuki Lebuhraya Utara-Selatan E2.

Sebelum saya menamatkan siri jelajah Blog Jalan Raya Malaysia ke Melaka Bandaraya Bersejarah secara rasminya, ikuti entri finale bagi siri jelajah ini berjudul "...Hingga Ia Lenyap" (...Until It's Gone) hanya di Blog Jalan Raya Malaysia.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.







Permulaan Lebuh Ayer Keroh FT143 di Persimpangan Tun Ghafar Baba






Persimpangan Pengkalan Batu ini terletak di laluan baharu yang memintas Padang Jambu






Persimpangan Bukit Beruang






Persimpangan Istana Melaka untuk ke Istana Melaka, Bukit Beruang dan Jalan Bukit Katil M144/M107






Persimpangan Industri Ayer Keroh






Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, kami singgah sebentar ke gerai tepi jalan di Taman Buaya Ayer Keroh. Untk kembali semula ke FT143, kali perlu memasukinya melalui Persimpangan Taman Botanikal






Persimpangan Lebuh SPA FT33 merupakan satu-satunya persimpangan di sepanjang Lebuh Ayer Keroh FT143 setakat ini






Lebuh Ayer Keroh FT143 tamat di Plaza Tol Ayer Keroh

Sunday, July 13, 2014

Melaka Bandaraya Bersejarah Bahagian 9: Reviu Jalan Syed Abdul Aziz FT192 dari puncak Menara Taming Sari / Historic City of Malacca Part 9: Review of Jalan Syed Abdul Aziz FT192 from the top of Taming Sari Tower

Salam sejahtera,

Dalam kebanyakan reviu jalan raya yang telah dijalankan oleh Blog Jalan Raya Malaysia, terdapat dua kaedah yang paling lazim digunakan untuk mengambil gambar, iaitu sama ada dengan menggunakan motosikal ataupun kereta. Penggunaan motosikal membolehkan saya mengambil gambar-gambar yang lebih terperinci dan, apabila gambar yang diambil itu kurang menepati selera saya, saya boleh memadamnya dan mengambil semula gambar di sekitar lokasi yang sama. Namun, ia perlu dilakukan di bahu jalan yang cukup lebar untuk mengelakkan daripada risiko dilanggar dari arah belakang. 

Sementara itu pula, fotografi dari dalam kereta pula membolehkan saya mengambil gambar di jalan raya atau lebuh raya yang tiada bahu jalan dengan lebih selamat, tetapi ia memerlukan seorang rakan yang bertindak sebagai jurugambar; saya tidak boleh lakukannya sendiri semasa sedang memandu kerana ia sangat berbahaya, memandangkan saya perlu menumpukan sepenuh perhatian semasa memandu. Dengan kata lain, perbuatan mengambil gambar semasa memandu itu samalah seperti menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Selain itu, mengambil gambar dari dalam kereta juga memerlukan kemahiran yang lebih tinggi kerana anda perlu mengambil gambar secara spontan dalam kenderaan yang sedang bergerak; titik terbaik untuk mengambil sesuatu gambar hanya mampu bertahan selama sekitar 2-3 saat sahaja. Di samping itu, kamera juga perlu dipegang dengan betul tanpa terketar-ketar kerana jika tangan terketar-ketar, maka gambar yang diambil juga akan menjadi kabur, dan ia benar terutamanya ketika mengambil gambar pada waktu malam, memandangkan cip peka cahaya CMOS pada kamera digital memerlukan lebih masa untuk menangkap dan memproses gambar yang diambil.

Berbeza dengan kaedah konvensional yang saya gunakan selama ini, dalam reviu Jalan Syed Abdul Aziz FT192 kali ini, kami menggunakan kaedah yang berbeza untuk mendapatkan gambar-gambar menarik bagi jalan tersebut, iaitu dengan mengambil gambar dari puncak Menara Taming Sari. Rasional utama penggunaan Menara Taming Sari bagi mengambil gambar-gambar FT192 ini adalah kerana FT192 merupakan satu laluan yang sibuk dan banyak kenderaan, di samping tiada bahu jalan yang selamat untuk saya berhenti mengambil gambar.

Ada dua jenis kamera yang selalunya saya gunakan untuk mengambil gambar, iaitu kamera telefon bimbit Sony Ericsson C903 berkeupayaan 5 megapiksel, dan kamera digital Samsung MV800 berkeupayaan 16.1 megapiksel dan zum optikal 5x. Bagi tujuan fotografi dari puncak Menara Taming Sari, saya memanfaatkan keupayaan zum optikal 5x yang ada pada kamera Samsung MV800.

Kami ke Menara Taming Sari setelah puas menyelusuri Sungai Melaka melalui perkhidmatan Melaka River Cruise oleh kerajaan negeri Melaka. Menara Taming Sari setinggi 110 m terletak di Jalan Merdeka bersebelahan dengan Dataran Pahlawan. Pelantar menara tersebut boleh turun naik dan boleh berputar 360 darjah untuk menyajikan panorama indah Bandaraya Melaka kepada para pelancong, yang mengambil masa selama 7 minit. Harga tiket ialah RM10 bagi warganegara Malaysia (anda perlu menunjukkan kad pengenalan, sama seperti semasa menaiki Melaka River Cruise) dan RM20 bagi bukan warganegara. Asalnya ia dirancang untuk dibina berhampiran Bangunan Stadhuy's, tetapi rancangan tersebut dibatalkan berikutan penemuan kesan runtuhan kota A Famosa di tapak tersebut. Kesan runtuhan tersebut akhirnya menjadi bahan pameran buat pencinta sejarah.

Sebut tentang Dataran Pahlawan, ada satu cerita yang lucu mengenainya. Expedisi konvoi ke Melaka ini merupakan kunjungan pertama Khairul Azmi ke Bandaraya Melaka, dan apabila disebut tentang Dataran Pahlawan, dia membayangkannya sebagai "sebuah padang awam yang mana ramai orang berlatih silat", ataupun sekurang-kurangnya seperti Dataran Merdeka versi Melaka. Namun, setelah kami tiba di kawasan Bandar Hilir ini, dia terkejut besar apabila saya menunjukkan bahawa Dataran Pahlawan yang dimaksudkan itu sebenarnya sebuah pusat beli-belah. Hancur hati Khairul Azmi apabila dia mendapati tiada kelibat padang mahupun orang-orang berlatih silat di situ selain restoran McDonald's dan anak-anak muda membeli-belah di situ. Kelakar pula bila dikenang kembali...!!!

Kami terpaksa memparkir motosikal kami di Dataran Pahlawan dan menapak sahaja ke Menara Taming Sari, memandangkan tiada parkir motosikal di Menara Taming Sari. Setelah membeli tiket, Khairul Azmi pula menyewa teropong binokular untuk menikmati panorama indah di sekitar Bandaraya Melaka, sementara saya pula sekadar menggunakan kamera Samsung MV800 dan memanfaatkan keupayaan zum optikalnya. Selain gambar-gambar menarik sekitar Bandaraya Melaka, fokus utama saya tentulah kepada Jalan Syed Abdul Aziz FT192.

Sedikit mengenai Jalan Syed Abdul Aziz FT192. Untuk pengetahuan anda, sebahagian besar kawasan Bandar Hilir dan Taman Kota Laksamana dibangunkan hasil penambakan laut. Tujuannya adalah bagi pembesaran kawasan pusat bandar raya Melaka tanpa menjejaskan bangunan-bangunan lama dan bersejarah di situ. Satu kajian kes mengenainya telah dijalankan pada tahun 1988, membuktikan bahawa aktiviti penambakan laut sudah lama dijalankan di Melaka. Asalnya, penambakan dilakukan dengan menggunakan tanah merah tetapi ia kemudiannya diharamkan oleh kerajaan negeri Melaka dan digantikan dengan penambakan menggunakan pasir laut. Taman Melaka Raya dan Taman Kota Laksamana ialah dua kawasan perumahan terawal yang dibangunkan hasil penambakan laut.

Namun, hanya pada tahun 1990an barulah pembangunan di kawasan yang telah ditebus guna itu berjalan dengan rancak. Ia berlaku susulan pembukaan Mahkota Parade pada tahun 1997 yang seterusnya merangsang aktiviti komersial di situ, sekaligus mengundang kesesakan di sepanjang Jalan Merdeka. Untuk mengurangkan masalah kesesakan di situ, sebatang jalan raya kembar dibina dari Melaka Raya ke Kota Laksamana. Jalan tersebut dinamakan sebagai Jalan Syed Abdul Aziz. Selain jalan raya, sebuah jambatan turut dibina merentangi Selat Melaka, sekaligus merampas tempat Jambatan Tan Kim Seng sebagai jambatan yang paling menghampiri muara Sungai Melaka. Jambatan tersebut siap pada tahun 2001, dan jalan tersebut diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 192 pada tahun 2003.

Selain mengurangkan kesesakan Bandar Hilir, Jalan Syed Abdul Aziz FT192 juga sangat penting bagi melencongkan kenderaan dari Jalan Melaka-Port Dickson FT5 ke Jalan Semabok FT5, memandangkan keadaan Jalan Tengkera FT5 (dan seterusnya jalan-jalan kota sesat di bandar lama Melaka) yang sangat sempit dan tidak sesuai digunakan oleh kenderaan berat. Asalnya, jalan ini hanya siap sehingga ke Kota Laksamana sebelum sambungannya ke Limbongan sepanjang 2.4 km dibuka kepada lalu lintas pada tahun 2009 dengan kos sejumlah RM12.39 juta. Malah, jalan ini turut dirancang untuk dipanjangkan sehingga ke Padang Temu dan Alai, tetapi ia masih dalam peringkat perancangan, memandangkan terdapat banyak kawasan yang bakal terjejas akibat pembinaannya seperti Perkampungan Portugis.
Waktu tengah hari semakin hampir. Kami terpaksa bergegas pulang ke hotel untuk mengecas bateri kamera dan telefon bimbit serta mengemas semua barangan kami untuk mendaftar keluar. Setelah mendaftar keluar dari hotel, kami singgah makan tengah hari di Asam Pedas Claypot di Kota Laksamana untuk menikmati masakan popular negeri Melaka iaitu asam pedas. Saya memesan set asam pedas ikan pari, manakala Khairul Azmi pula memesan set asam pedas daging. Asam pedas di situ memang terbaik! Sebaik sahaja selesai makan, kami memulakan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur melalui Lebuh Ayer Keroh FT143 dan Lebuhraya Utara-Selatan E2.

Ikuti reviu terakhir bagi siri jelajah Melaka Bandaraya Bersejarah di Lebuh Ayer Keroh FT143.

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.







Dataran Pahlawan yang sebenar merupakan sebuah pusat beli-belah - tiada padang, tiada dataran awam dan tiada kelibat orang belajar silat






Mahkota Parade yang terletak betul-betul di seberang jalan bertentangan dengan Dataran Pahlawan






Premis-premis perniagaan baharu berdekatan Jambatan Muara Sungai Melaka






Jambatan Muara Sungai Melaka merupakan mercu tanda penting bagi Jalan Syed Abdul Aziz FT192






Pulau Melaka






Jalan Syed Abdul Aziz FT192 di sebelah belakang Mahkota Parade






Premis-premis perniagaan baharu berdekatan Jambatan Muara Sungai Melaka






Tanah yang baru sahaja ditambak dibiarkan kukuh terlebih dahulu sebelum bangunan boleh dibina di atasnya






Lagi kerja-kerja penambakan laut - kali ini di sebelah Taman Kota Laksamana pula






Taman Kota Laksamana Seksyen 1






Jeti muara Sungai Melaka dibina dengan melencongkan aliran air Sungai Melaka ke kunci air






Lencongan aliran Sungai Melaka menjadikan bahagian sungai ini berteluk, sesuai untuk dijadikan sebagai lokasi jeti bagi perkhidmatan feri ke Dumai






Panorama indah Bandaraya Melaka yang disajikan dari puncak Menara Taming Sari

Friday, July 11, 2014

100% kutipan tol elektronik di Lebuhraya Persekutuan FT2 mulai 1 September 2014 - tunai tidak lagi diterima! / 100% electronic toll collection on the Federal Highway FT2 from 1 September 2014 - cash will no longer be accepted!



Plus Malaysia Berhad mula menguatkuasakan sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya bermula di Johor Bahru sebelum ia bakal dilaksanakan di Lebuhraya Persekutuan FT2 pada 1 September 2014
(Kredit gambar: Hezeri Samsuri)


Salam sejahtera,

Plus Malaysia Berhad kini sedang dalam proses berhijrah kepada kutipan tol elektronik sepenuhnya. Segala-galanya bermula pada 1 Januari 2014 apabila Plaza Tol Kempas di Lebuhraya Utara-Selatan E2 dan kesemua plaza tol Lebuhraya Linkedua E3 (kesemuanya di Johor Bahru) tidak lagi menerima pembayaran tol secara tunai; tol hanya boleh dibayar secara elektronik sama ada melalui kad Touch 'n Go ataupun Smart Tag. Sebenarnya, kutipan tol 100% elektronik bukanlah perkara baharu; Plaza Tol Kompleks CIQ Sultan Iskandar merupakan plaza tol pertama yang melaksanakan kutipan tol elektronik sepenuhnya pada 16 Disember 2008. Setelah Plaza Tol Kempas serta kesemua plaza tol Lebuhraya Linkedua E3 turut melaksanakan kutipan tol elektronik sepenuhnya, Lebuhraya Senai-Desaru E22 menjadi satu-satunya lebuh raya perbandaran Johor Bahru yang masih menerima sistem kutipan tol tunai. Kini, Plus Malaysia Berhad mengumumkan pelaksanaan kutipan tol elektronik sepenuhnya di Lebuhraya Persekutuan FT2 pula mulai 1 September 2014, menjadikan Lebuhraya Persekutuan FT2 sebagai lebuh raya perbandaran Lembah Klang yang pertama melaksanakan kutipan tol elektronik sepenuhnya.

Kenapa pula Plus Malaysia Berhad mahu beralih kepada kutipan tol elektronik sepenuhnya...? Gabriel Roth (1998) dalam bukunya berjudul "Roads in a market economy" (ms. 122) menyatakan bahawa salah satu kritikan utama terhadap kaedah pembayaran tol konvensional ialah ia memerlukan pemandu memperlahankan kenderaan mereka dan berhenti untuk membayar tol. Kenyataan Roth disokong oleh hasil kajian oleh syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ekspres di seluruh dunia yang mendapati bahawa pembayaran tol secara tunai merupakan salah satu punca utama kesesakan di lebuh raya ekspres. Sekiranya anda memandu di Lembah Klang semasa waktu gegas, anda akan mendapati bahawa trafik lebuh raya paling sesak semasa di plaza tol kerana banyak pemandu yang terpaksa berhenti dan berbaris panjang untuk membayar tol secara tunai; kesesakan tersebut seterusnya menyebabkan pembayar tol elektronik turut sama terperangkap dalam kesesakan yang disebabkan oleh kutipan tol tunai itu.

Selain itu, Roth turut menyatakan tentang kebarangkalian berlakunya kecurian pulangan (atau dalam kata lain, songlap) oleh segelintir individu. Kita memang belum pernah mendengar kes seumpamanya di Malaysia, tetapi kita pernah dikejutkan dengan insiden yang lebih serius, iaitu rompakan fizikal bersenjata di plaza tol. Kes rompakan bersenjata di Plaza Tol Seremban pada 14 Jun 2012 sememangnya satu kejutan besar terhadap para pemain industri lebuh raya tol. Akibat kejadian rompakan tersebut, Plus Malaysia Berhad terpaksa mengeluarkan belanja untuk membina sebuah jejantas berpagar dan bertutup bagi menghubungkan ketiga-tiga pondok tol di Plaza Tol Seremban dengan bangunan pejabat plaza tol tersebut. Tak fasal-fasal kena keluar ongkos besar pula! Jika dibandingkan, kutipan tol elektronik mengurangkan risiko rompakan di plaza tol kerana bayaran tol dikreditkan terus ke akaun syarikat konsesi.

Justeru, bagi menggalakkan pengguna lebuh raya berhijrah kepada kaedah pembayaran tol elektronik, kerajaan telah mengumumkan program rebat tol bagi pengguna tegar yang kerap menggunakan lebuh raya ekspres. Selain itu, kebanyakan syarikat konsesi turut menjalankan promosi agresif bagi menggalakkan penggunaan tol elektronik, seperti mengadakan kempen roadshow, program kesetiaan seperti PLUSMiles, serta menempatkan lorong-lorong tambah nilai (ada yang beroperasi 24 jam seperti di Lebuhraya Latar E25). Namun, Plus Malaysia Berhad kini menggunakan pendekatan yang lebih agresif, iaitu dengan "memaksa" pengguna berhijrah ke sistem pembayaran tol elektronik secara beransur-ansur.

Semasa hendak melaksanakan kutipan tol elektronik sepenuhnya, Plus Malaysia Berhad sudah tentu perlu bersedia dengan dua isu utama yang dijadikan "alasan" untuk tidak menggunakan sistem pembayaran tol elektronik, iaitu "tiada kad Touch 'n Go" serta "duit dalam kad Touch 'n Go tidak mencukupi ataupun sudah habis". Namun, itu semua tidak menjadi penghalang bagi pelaksanaan kutipan tol elektronik sepenuhnya kerana Plus Malaysia Berhad memang sudah bersedia menanganinya. Tak ada kad Touch 'n Go...? Anda boleh beli sahaja di plaza tol secara pandu lalu. Kad Touch 'n Go pun bukannya mahal sangat; anda boleh membelinya dengan harga semurah RM10 dengan nilai kredit sedia ada RM3. Duit dalam kad Touch 'n Go tak cukup...? Anda boleh tambah nilai di plaza tol. Bagaimana pula dengan pengguna yang memerlukan resit untuk membolehkan mereka menuntut kembali bayaran tol dalam pembayaran gaji mereka...? Anda masih boleh mencetak rekod transaksi secara dalam talian - hanya daftarkan kad Touch 'n Go anda di http://www.touchngo.com.my dan cetak rekod transaksi anda untuk diserahkan kepada bos anda. Mudah bukan? Maka, sudah tiada alasan lagi untuk tidak menggunakan sekurang-kurangnya kad Touch 'n Go...!!!

Sungguhpun sistem pembayaran menggunakan kad Touch 'n Go dan Smart Tag jauh lebih memudahkan serta kurang menyesakkan plaza tol berbanding pembayaran tunai, namun pengguna tetap perlu memperlahankan kenderaan dan berhenti untuk membayar tol (jika anda tidak menggunakan Smart Tag). Jadi kenapa pula syarikat konsesi tidak mahu menggunakan sistem tol aliran bebas seperti sistem ERP (Sistem Harga Jalan Elektronik) di Singapura...? Jawapannya adalah kerana terdapat kemungkinan besar berlakunya kebocoran ataupun kenderaan yang terlepas daripada membayar tol berikutan kelemahan sistem tol elektronik aliran bebas yang digunakan. Kebocoran hasil sebegitu menjadikan sistem tol aliran bebas kurang cekap dalam mendapatkan pulangan hasil tol. Jika kebocoran hasil sebegini berlaku, maka ia sudah tentu tidak adil bagi pengguna lebuh raya yang membayar tol. Maka, adalah lebih baik menggunakan sistem kutipan tol elektronik yang lebih perlahan tetapi terbukti lebih adil dan lebih berkesan daripada sistem yang tidak memerlukan anda berhenti tetapi masih terdapat beberapa kenderaan yang tidak membayar tol tetapi bolos dengan mudah. Tambahan pula, sistem yang kita gunakan sekarang membolehkan perintah membayar tol mengikut Akta Jalan-jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) 1984 dikuatkuasakan secara lebih berkesan.

Kesimpulannya, sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya merupakan satu inisiatif penting bagi mengurangkan lengahan serta kesesakan yang sering dikaitkan dengan pembayaran tol tunai. Pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan serta para pemain industri lebuh raya tol untuk menggalakkan pengguna lebuh raya berhijrah kepada sistem pembayaran tol elektronik. Maka, langkah Plus Malaysia Berhad "memaksa" penggunaan sistem pembayaran tol elektronik melalui penguatkuasaan sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya mungkin tidak disenangi segelintir pengguna yang lebih selesa membayar dengan wang tunai, tetapi pengguna seharusnya sedar bahawa pembayaran tol elektronik jauh lebih baik daripada pembayaran tunai - ia bukan sahaja lebih memudahkan pengguna lebuh raya, tetapi turut berupaya melindungi para pemain industri lebuh raya tol daripada ancaman jenayah rompakan. Oleh itu, jadikanlah kad Touch 'n Go anda sebagai trump card (kad kemenangan) bagi pengalaman pembayaran tol yang lebih memudahkan, lebih cekap serta kurang lengahan di plaza tol.


Nota: Siri kembara Blog Jalan Raya Malaysia di Melaka Bandaraya Bersejarah akan bersambung selepas entri ini.

Thursday, July 10, 2014

Melaka Bandaraya Bersejarah Bahagian 8: Mengimbau sejarah lama Sungai Melaka melalui Melaka River Cruise / Historic City of Malacca Part 8: Recalling the old history of Malacca River via Melaka River Cruise

Salam sejahtera,

Entri Melaka River Cruise ini merupakan entri pembukaan bagi hari terakhir lawatan Blog Jalan Raya Malaysia ke Bandaraya Melaka Bersejarah. Melalui Melaka River Cruise ini, anda akan dibawa menyelusuri Sungai Melaka dari jeti muara Sungai Melaka sehingga ke jeti Taman Rempah yang terletak di Jalan Tun Mutahir.

Untuk pengetahuan anda, Sungai Melaka mempunyai panjang keseluruhan 40 km bermula dari muaranya di Bandaraya Melaka sehingga ke Gadek di mana Sungai Melaka berpecah dua menjadi Sungai Batang Tampin dan Sungai Batang Melaka. Sungai Batang Melaka seterusnya menjadi salah satu sumber air utama bagi rakyat Melaka kerana di situ terletaknya Empangan Jus yang terletak tidak jauh dari pekan Batang Melaka.

Sungai Melaka ini menjadi saksi terpenting semasa Parameswara membuka Bandaraya Melaka . Di situlah terletaknya pokok melaka yang membawa kepada nama negeri ini. Parameswara seterusnya membina sebuah jambatan yang menjadi mercu tanda penting kerana di situlah segala aktiviti perdagangan tempatan dan antarabangsa berlangsung semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka. Kini, anda tidak mungkin dapat menemui lagi struktur jambatan sebenar yang dibina pada Kesultanan Melayu Melaka, tetapi sudah sebegitu banyak jambatan (kebanyakannya jambatan konkrit) di sepanjang Sungai Melaka, yang mana tujuh daripadanya berada dalam laluan perkhidmatan Melaka River Cruise.



View Melaka River Cruise Route in a larger map


Melaka River Cruise merupakan satu perkhidmatan bot pelancongan yang disediakan oleh kerajaan negeri Melaka kepada para pelancong sebagai usaha memulihara Sungai Melaka dan seterusnya mengembalikan kegemilangannya. Anda boleh menaiki bot dengan tambang hanya RM10 sahaja (RM20 bagi pelancong asing; anda perlu menunjukkan kad pengenalan anda untuk membolehkan anda dikenakan tambang RM10) di mana-mana antara dua jeti utama iaitu jeti muara Sungai Melaka dan jeti Taman Rempah sebelum berpatah balik. Selain pemandangan indah di sepanjang sungai, anda turut dihidangkan dengan kisah-kisah sejarah kegemilangan Sungai Melaka, terutamanya mengenai mercu-mercu tanda penting di sepanjang laluannya. Jarak perjalanan antara kedua-dua jeti adalah sepanjang 9 km dan perjalanan pergi-balik memakan masa selama lebih kurang 45 minit.

Sepanjang tempoh operasinya, Melaka River Cruise telah banyak memenangi anugerah; antaranya, Anugerah Kecemerlangan Kategori Lapan Seni Bina Terbaik Pemulihan dan Pengindahan Sungai Melaka 2009, Anugerah Pelancongan Negeri Melaka 2008/2009, Anugerah Kawasan Tarikan Pelancongan Utama Melaka ‘Zoom Malaysia’ Kementerian Pelancongan Malaysia 2009 dan Anugerah Kawasan Tarikan Pelancongan Utama Melaka ‘Cuti-Cuti Malaysia’ Kementerian Pelancongan Malaysia 2010.

Saya dan Khairul Azmi berkesempatan mencuba Melaka River Cruise ini dari jeti muara. Jeti tersebut sebenarnya dibina dengan melencongkan aliran air sungai ke satu pintu air tidak jauh dari muaranya; bahagian berteluk yang terbentuk akibat lencongan sungai tersebut memang sengaja dirancang sebegitu rupa untuk kegunaan jeti bot ekspres ke Dumai, Indonesia.

Terdapat tujuh buah jambatan di sepanjang Sungai Melaka yang berada dalan laluan Melaka River Cruise:-

  1. Jambatan Tan Kim Seng - laluan terpenting untuk ke Jalan Melaka-Port Dickson FT5 dari arah Jalan Semabok FT5. Asalnya, jambatan tersebut merupakan jambatan yang paling hampir dengan muara Sungai Melaka sehinggalah apabila Jambatan Jalan Syed Abdul Aziz FT192 siap dibina dan seterusnya merampas kedudukan tersebut.
  2. Jambatan Chan Koon Cheng - laluan terpenting untuk ke Jalan Melaka-Muar FT5 dari arah Jalan Tengkera FT5. Kedua-dua Jambatan Tan Kim Seng dan Jambatan Chan Koon Cheng membentuk pasangan sehala bagi FT5.
  3. Jambatan Kampung Jawa - jambatan pejalan kaki ini menghubungkan antara Kampung Jawa di sebelah tebing timur Sungai Melaka dengan bandar lama Melaka.
  4. Jambatan Pasar - juga merupakan jambatan pejalan kaki. Mercu tanda terpenting di situ ialah air pancut berirama.
  5. Jambatan Hang Tuah - menempatkan Jalan Hang Tuah, terletak betul-betul sebelum persimpangan Jalan Kubu. Jambatan ini ialah yang paling lebar antara tujuh jambatan dalam laluan Melaka River Cruise iaitu selebar 4 lorong. Aliran trafik di Jambatan Hang Tuah asalnya dua hala sebelum ia diubah menjadi jambatan sehala.
  6. Jambatan Stesen Bas Lama - jambatan pejalan kaki ini menghubungkan antara stesen bas lama Bandaraya Melaka dengan Jalan Munshi Abdullah. Setelah stesen bas Melaka dipindahkan ke Melaka Sentral, bangunan stesen bas lama dirobohkan dan digantikan dengan Melaka Pirate Park.
  7. Jambatan Kampung Morten - jambatan pejalan kaki ini menghubungkan antara Kampung Morten dengan Jalan Tun Sri Lanang.

Sebenarnya, terdapat sebuah lagi jambatan yang sedang dalam pembinaan. Jambatan yang saya maksudkan itu ialah sebuah jambatan besi bagi kegunaan kenderaan bermotor bagi menghubungkan antara Jalan Tun Ali dengan Jalan Tun Sri Lanang. Oh ya, jika anda hendak mencari Jambatan Hang Jebat, lokasi jambatan tersebut sebenarnya berada di Jalan Tun Mutahir dekat Taman Rempah.

Pemandangan di sepanjang tebing Sungai Melaka begitu indah hasil inisiatif kerajaan negeri Melaka serta penduduk tempatan. Laluan pejalan kaki dibina di sepanjang kiri dan kanan sungai untuk kemudahan para pejalan kaki menikmati keindahan Sungai Melaka. Terdapat beberapa batang pokok bakau yang dibiarkan tumbuh bagi menghalang hakisan tebing. Bangunan di bandar lama Melaka yang menghadap sungai juga dicat cantik dan ada di antaranya yang turut dihiasi grafiti bertemakan pelancongan.

Kampung Morten ialah perkampungan Melayu terbesar di tengah-tengah Bandaraya Melaka sebagai mana Kampung Baru di Kuala Lumpur. Tidak seperti Kampung Baru di Kuala Lumpur, rata-rata rumah di Kampung Morten dibina dengan gaya rumah limas tradisional Melaka yang diperbuat daripada kayu. Kesemua rumah limas di situ dipulihara dengan begitu cantik dan dicat semula, sekaligus menyerlahkan keindahannya.

Satu perkara yang mencuri perhatian saya ialah landasan Melaka Monorail. Landasan monorel ini dibina bagi membolehkan pelancong menikmati keindahan Sungai Melaka dari atas monorel. Malangnya, perkhidmatan monorel ini berdepan dengan kontroversi kerana ia terlalu kerap rosak sejak ia mula dibuka pada 21 Oktober 2010. Tambah memalukan, monorel itu sendiri rosak pada hari pertama pembukaannya. Insiden kerosakan yang terlalu kerap itu sudah tentulah amat memalukan kerajaan negeri Melaka, memandangkan perkhidmatan monorel tersebut memakan belanja sebanyak RM16.5 juta untuk membinanya. Sebab itulah ia tidak lagi beroperasi sekarang dan gerabak monorel yang ada masih tersadai di stesen utamanya di Taman Rempah. Gerabak monorel yang digunakan itu adalah buatan China. Justeru, saya ingin menyeru kepada kerajaan negeri Melaka agar memulihkan semula perkhidmatan monorel dengan menggantikan landasan kepada jenis konkrit seperti landasan KL Monorail dan seterusnya menukar kesemua rolling stock yang ada kepada monorel buatan Scomi Rail yang terbukti ketahanannya. Sayang sungguh sekiranya perkhidmatan monorel ini dihentikan setelah sebegitu banyak wang dibelanjakan untuk membinanya.

Dua lagi mercu tanda yang menarik perhatian saya ialah kincir air dan juga kubu Middleburg Bastion. Kubu Middleburg Bastion ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada runtuhan kota Melaka yang dibina oleh Portugal setelah berjaya menakluki dan menjajah Melaka pada tahun 1511. Kota Melaka kemudiannya dirobohkan oleh British pada tahun 1807 apabila Belanda menyerahkan seluruh jajahannya kepada British untuk mengelakkannya daripada jatuh ke tangan Perancis di bawah Napoleon Bonaparte. Kota Melaka hampir dimusnahkan keseluruhannya tetapi akhirnya dihalang oleh Sir Stamford Raffles yang merupakan pencinta sejarah, menyebabkan hanya Porta de Santiago sahaja yang masih kekal sebagai struktur termasyhur A Famosa. Sementara itu pula, Middleburg Bastion yang kita dapat lihat hari ini sebenarnya dibina semula oleh kerajaan negeri Melaka sebagai tarikan pelancongan.

Bot kami akhirnya tiba semula ke jeti muara. Kami seterusnya melawat Muzium Samudera sebelum ke Menara Taming Sari bagi satu lagi reviu jalan raya bagi Jalan Syed Abdul Aziz FT192. Jadi, nantikanlah reviu FT192 hanya di Blog Jalan Raya Malaysia...!!!

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.







Memulakan perjalanan di jeti muara Sungai Melaka






Jambatan Tan Kim Seng






Jambatan Chan Koon Cheng






Jambatan Kampung Jawa






Rumah-rumah kedai di sepanjang bandar lama Melaka dicat semula dan ada di antaranya yang dihiasi grafiti






Jambatan Pasar






Jambatan Hang Tuah






Jambatan Stesen Bas Lama






Jambatan besi yang sedang dalam pembinaan di Melaka Pirate Park






Kampung Morten, perkampungan Melayu terbesar di tengah-tengah Bandaraya Melaka






Jambatan Kampung Morten






Penamat Melaka River Cruise di Jambatan Hang Jebat dekat Taman Rempah






Gerabak Melaka Monorail yang sudah rosak dan tersadai begitu sahaja






Landasan Melaka Monorail yang terbiar begitu sahaja






Bangunan Stadhuy's dari Sungai Melaka






Middleburg Bastion ini sebenarnya bukanlah yang asli tetapi dibina semula oleh kerajaan negeri Melaka sebagai langkah pemuliharaan






Replika kincir air






Kembali semula ke jeti muara - kita ke Muzium Samudera dan Menara Taming Sari selepas ini!