Friday, July 11, 2014

100% kutipan tol elektronik di Lebuhraya Persekutuan FT2 mulai 1 September 2014 - tunai tidak lagi diterima! / 100% electronic toll collection on the Federal Highway FT2 from 1 September 2014 - cash will no longer be accepted!



Plus Malaysia Berhad mula menguatkuasakan sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya bermula di Johor Bahru sebelum ia bakal dilaksanakan di Lebuhraya Persekutuan FT2 pada 1 September 2014
(Kredit gambar: Hezeri Samsuri)


Salam sejahtera,

Plus Malaysia Berhad kini sedang dalam proses berhijrah kepada kutipan tol elektronik sepenuhnya. Segala-galanya bermula pada 1 Januari 2014 apabila Plaza Tol Kempas di Lebuhraya Utara-Selatan E2 dan kesemua plaza tol Lebuhraya Linkedua E3 (kesemuanya di Johor Bahru) tidak lagi menerima pembayaran tol secara tunai; tol hanya boleh dibayar secara elektronik sama ada melalui kad Touch 'n Go ataupun Smart Tag. Sebenarnya, kutipan tol 100% elektronik bukanlah perkara baharu; Plaza Tol Kompleks CIQ Sultan Iskandar merupakan plaza tol pertama yang melaksanakan kutipan tol elektronik sepenuhnya pada 16 Disember 2008. Setelah Plaza Tol Kempas serta kesemua plaza tol Lebuhraya Linkedua E3 turut melaksanakan kutipan tol elektronik sepenuhnya, Lebuhraya Senai-Desaru E22 menjadi satu-satunya lebuh raya perbandaran Johor Bahru yang masih menerima sistem kutipan tol tunai. Kini, Plus Malaysia Berhad mengumumkan pelaksanaan kutipan tol elektronik sepenuhnya di Lebuhraya Persekutuan FT2 pula mulai 1 September 2014, menjadikan Lebuhraya Persekutuan FT2 sebagai lebuh raya perbandaran Lembah Klang yang pertama melaksanakan kutipan tol elektronik sepenuhnya.

Kenapa pula Plus Malaysia Berhad mahu beralih kepada kutipan tol elektronik sepenuhnya...? Gabriel Roth (1998) dalam bukunya berjudul "Roads in a market economy" (ms. 122) menyatakan bahawa salah satu kritikan utama terhadap kaedah pembayaran tol konvensional ialah ia memerlukan pemandu memperlahankan kenderaan mereka dan berhenti untuk membayar tol. Kenyataan Roth disokong oleh hasil kajian oleh syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ekspres di seluruh dunia yang mendapati bahawa pembayaran tol secara tunai merupakan salah satu punca utama kesesakan di lebuh raya ekspres. Sekiranya anda memandu di Lembah Klang semasa waktu gegas, anda akan mendapati bahawa trafik lebuh raya paling sesak semasa di plaza tol kerana banyak pemandu yang terpaksa berhenti dan berbaris panjang untuk membayar tol secara tunai; kesesakan tersebut seterusnya menyebabkan pembayar tol elektronik turut sama terperangkap dalam kesesakan yang disebabkan oleh kutipan tol tunai itu.

Selain itu, Roth turut menyatakan tentang kebarangkalian berlakunya kecurian pulangan (atau dalam kata lain, songlap) oleh segelintir individu. Kita memang belum pernah mendengar kes seumpamanya di Malaysia, tetapi kita pernah dikejutkan dengan insiden yang lebih serius, iaitu rompakan fizikal bersenjata di plaza tol. Kes rompakan bersenjata di Plaza Tol Seremban pada 14 Jun 2012 sememangnya satu kejutan besar terhadap para pemain industri lebuh raya tol. Akibat kejadian rompakan tersebut, Plus Malaysia Berhad terpaksa mengeluarkan belanja untuk membina sebuah jejantas berpagar dan bertutup bagi menghubungkan ketiga-tiga pondok tol di Plaza Tol Seremban dengan bangunan pejabat plaza tol tersebut. Tak fasal-fasal kena keluar ongkos besar pula! Jika dibandingkan, kutipan tol elektronik mengurangkan risiko rompakan di plaza tol kerana bayaran tol dikreditkan terus ke akaun syarikat konsesi.

Justeru, bagi menggalakkan pengguna lebuh raya berhijrah kepada kaedah pembayaran tol elektronik, kerajaan telah mengumumkan program rebat tol bagi pengguna tegar yang kerap menggunakan lebuh raya ekspres. Selain itu, kebanyakan syarikat konsesi turut menjalankan promosi agresif bagi menggalakkan penggunaan tol elektronik, seperti mengadakan kempen roadshow, program kesetiaan seperti PLUSMiles, serta menempatkan lorong-lorong tambah nilai (ada yang beroperasi 24 jam seperti di Lebuhraya Latar E25). Namun, Plus Malaysia Berhad kini menggunakan pendekatan yang lebih agresif, iaitu dengan "memaksa" pengguna berhijrah ke sistem pembayaran tol elektronik secara beransur-ansur.

Semasa hendak melaksanakan kutipan tol elektronik sepenuhnya, Plus Malaysia Berhad sudah tentu perlu bersedia dengan dua isu utama yang dijadikan "alasan" untuk tidak menggunakan sistem pembayaran tol elektronik, iaitu "tiada kad Touch 'n Go" serta "duit dalam kad Touch 'n Go tidak mencukupi ataupun sudah habis". Namun, itu semua tidak menjadi penghalang bagi pelaksanaan kutipan tol elektronik sepenuhnya kerana Plus Malaysia Berhad memang sudah bersedia menanganinya. Tak ada kad Touch 'n Go...? Anda boleh beli sahaja di plaza tol secara pandu lalu. Kad Touch 'n Go pun bukannya mahal sangat; anda boleh membelinya dengan harga semurah RM10 dengan nilai kredit sedia ada RM3. Duit dalam kad Touch 'n Go tak cukup...? Anda boleh tambah nilai di plaza tol. Bagaimana pula dengan pengguna yang memerlukan resit untuk membolehkan mereka menuntut kembali bayaran tol dalam pembayaran gaji mereka...? Anda masih boleh mencetak rekod transaksi secara dalam talian - hanya daftarkan kad Touch 'n Go anda di http://www.touchngo.com.my dan cetak rekod transaksi anda untuk diserahkan kepada bos anda. Mudah bukan? Maka, sudah tiada alasan lagi untuk tidak menggunakan sekurang-kurangnya kad Touch 'n Go...!!!

Sungguhpun sistem pembayaran menggunakan kad Touch 'n Go dan Smart Tag jauh lebih memudahkan serta kurang menyesakkan plaza tol berbanding pembayaran tunai, namun pengguna tetap perlu memperlahankan kenderaan dan berhenti untuk membayar tol (jika anda tidak menggunakan Smart Tag). Jadi kenapa pula syarikat konsesi tidak mahu menggunakan sistem tol aliran bebas seperti sistem ERP (Sistem Harga Jalan Elektronik) di Singapura...? Jawapannya adalah kerana terdapat kemungkinan besar berlakunya kebocoran ataupun kenderaan yang terlepas daripada membayar tol berikutan kelemahan sistem tol elektronik aliran bebas yang digunakan. Kebocoran hasil sebegitu menjadikan sistem tol aliran bebas kurang cekap dalam mendapatkan pulangan hasil tol. Jika kebocoran hasil sebegini berlaku, maka ia sudah tentu tidak adil bagi pengguna lebuh raya yang membayar tol. Maka, adalah lebih baik menggunakan sistem kutipan tol elektronik yang lebih perlahan tetapi terbukti lebih adil dan lebih berkesan daripada sistem yang tidak memerlukan anda berhenti tetapi masih terdapat beberapa kenderaan yang tidak membayar tol tetapi bolos dengan mudah. Tambahan pula, sistem yang kita gunakan sekarang membolehkan perintah membayar tol mengikut Akta Jalan-jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) 1984 dikuatkuasakan secara lebih berkesan.

Kesimpulannya, sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya merupakan satu inisiatif penting bagi mengurangkan lengahan serta kesesakan yang sering dikaitkan dengan pembayaran tol tunai. Pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan serta para pemain industri lebuh raya tol untuk menggalakkan pengguna lebuh raya berhijrah kepada sistem pembayaran tol elektronik. Maka, langkah Plus Malaysia Berhad "memaksa" penggunaan sistem pembayaran tol elektronik melalui penguatkuasaan sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya mungkin tidak disenangi segelintir pengguna yang lebih selesa membayar dengan wang tunai, tetapi pengguna seharusnya sedar bahawa pembayaran tol elektronik jauh lebih baik daripada pembayaran tunai - ia bukan sahaja lebih memudahkan pengguna lebuh raya, tetapi turut berupaya melindungi para pemain industri lebuh raya tol daripada ancaman jenayah rompakan. Oleh itu, jadikanlah kad Touch 'n Go anda sebagai trump card (kad kemenangan) bagi pengalaman pembayaran tol yang lebih memudahkan, lebih cekap serta kurang lengahan di plaza tol.


Nota: Siri kembara Blog Jalan Raya Malaysia di Melaka Bandaraya Bersejarah akan bersambung selepas entri ini.

No comments:

Post a Comment