Sunday, March 25, 2012

Jelajah Maharani Part 3: Lebuh AMJ FT19

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya memohon maaf atas kelewatan menulis reviu jalan bagi kali ini. Kapasiti maksimum dalam akaun Flickr saya hampir penuh iaitu sekitar 191 gambar, di mana lebih 90% daripadanya adalah galeri gambar Blog Jalan Raya. Jika saya ingin menambah kapasiti gambar, saya perlu membayar yuran naik taraf akaun Pro yang mahal. Oleh itu, kali ini saya menggunakan Windows Live SkyDrive buat sementara sebagai storan gambar saya.

Reviu Lebuh AMJ menutup siri Jelajah Maharani buat kali ini. Ia merupakan kependekan bagi tiga daerah dalam negeri Melaka iaitu Alor Gajah (A), Melaka Tengah (M), dan Jasin (J). Lebuh raya kembar dengan kawalan masuk separa ini dibina sebagai naik taraf jajaran Jalan Persekutuan 19 dari Melaka ke Bulatan Taboh Naning di Simpang Ampat, Jalan Tun Abdul Razak di bandar raya Melaka, serta Jalan Melaka-Muar FT5 dari Simpang Duyong ke Persimpangan Parit Bunga, di mana Lebuh AMJ bersambung sebagai Jalan Pintasan Muar. Ia dibina oleh TH Properties, anak syarikat Tabung Haji, bermula tahun 2005 dan siap sepenuhnya pada tahun 2007. Pembinaannya melibatkan tiga fasa utama - naik taraf FT19, naik taraf Jalan Tun Razak, serta naik taraf jajaran Melaka-Muar termasuklah pembinaan jajaran baharu Sungai Duyong-Kesang.

Asalnya Lebuh AMJ tiada kod laluan khas - ia memegang kod laluan FT19 dari Malim ke Simpang Ampat, manakala Jalan Tun Razak dari Semabok ke Malim mempunyai kod laluan FT191. Jajaran Muar-Sungai Duyong pula dianggap sebahagian jajaran FT5, walaupun jalan lama FT5 dari Sungai Duyong ke Kesang masih wujud. Namun, keseluruhan Lebuh AMJ baru-baru ini telah diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 19, dan Kilometer Sifar FT19 kali ini dikira dari Persimpangan Kesang berhampiran sempadan Melaka-Johor. Dahulunya, kiKilometer Sifar FT19 dikira di persimpangan Jalan Kubu dan Jalan Hang Tuah, dan seterusnya melalui Jalan Malim sehinggalah ke Alor Gajah dan seterusnya berakhir di simpang Kampung Ulu Kendong di Negeri Sembilan, di mana ia bertemu dengan Jalan Persekutuan 1.

Saya memulakan perjalanan dari Muar melalui Persimpangan Parit Bunga. Jajaran Parit Bunga-Kesang adalah naik taraf terus dari laluan dua lorong FT5 sedia ada. Di Persimpangan Kesang, laluan asal FT5 dilencongkan keluar manakala Lebuh AMJ berterusan sebagai FT19.

Lebih kurang 2 km kemudian, saya ternampak ada sepasang hentian rehat yang baru sahaja dibuka di tepi Lebuh AMJ dekat Sungai Rambai. Hentian rehat ini adalah satu daya penarik bagi membolehkan pengguna lebuh raya berhenti rehat seketika. Selain hentian rehat ini, ada 3 lagi hentian rehat di sepanjang Lebuh AMJ, iaitu di Paya Rumput (dekat Tesco Cheng), Rembia dan Simpang Ampat. Kesemua hentian rehat ini dikendalikan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM).

Jajaran Kesang-Sungai Rambai ini merupakan jajaran baharu yang tidak melalui kawasan tepu bina, hanya sekadar melintasi kebuh-kebuh dan ladang kelapa sawit. Sekali-sekala ada juga terserempak dengan rumah-rumah yang terletak jauh dari pekan. Jajaran tersebut dibina sedemikian rupa kerana jajaran lama FT5 melalui pekan-pekan dan kawasan tepu bina yang sebegitu banyak, bermaksud naik taraf jalan sedia ada memerlukan banyak bangunan dan rumah perlu dirobohkan, sekaligus boleh meningkatkan kos pembinaannya.

Lebuh AMJ dibina sebagai lebuh raya kembar empat lorong dengan kawalan masuk separa, bermaksud terdapat banyak persimpangan lampu isyarat serta pusingan U. Pusingan U dibina dari jenis lorong laju ke lorong perlahan, membolehkan kenderaan panjang membuat pusingan U. Hanya terdapat 4 persimpangan bertingkat di sepanjang Lebuh AMJ iaitu Persimpangan Parit Bunga, Persimpangan Semabok, Persimpangan Masjid al-Azim dan Persimpangan Malim Jaya.

Di Sungai Duyong, Lebuh AMJ bertemu semula dengan FT5 dan seterusnya bertindih kod laluan sehingga ke Persimpangan Semabok. Bilangan lorong turut bertambah menjadi 6 lorong untuk menampung pertambahan lalu lintas ke pusat bandar raya Melaka.

Jajaran Semabok-Malim asalnya dikenali sebagai Jalan Tun Abdul Razak sebelum mengguna pakai nama Lebuh AMJ. Ia asalnya dibina pada tahun 1997 untuk memintas "kota sesat" di pusat bandar raya Melaka untuk ke Alor Gajah. Kemudian, Jalan Tun Abdul Razak dijadikan sebahagian jajaran Lebuh AMJ. Kini nama Jalan Tun Abdul Razak diberikat kepada Lebuh Ayer Keroh pula. Jajaran lama Jalan Tun Abdul Razak bertemu dengan Jalan Malim yang telah diwartakan semula menjadi jalan perbandaran biasa di Malim.

Hentian rehat kedua ialah Hentian Rehat Paya Rumput di Cheng. Hentian rehat tersebut begitu tersorok dan boleh dimasuki dari jalan susur ke Lebuh SPA arah Sungai Udang. Berikutan kedudukan hentian rehat ini yang begitu tersorok, ia tidak berupaya menarik perhatian pengguna Lebuh AMJ untuk datang. Punca utama yang membawa kepada kemalapan hentian rehat adalah pembinaan persimpangan bertingkat Cheng do Lebuh SPA yang merentangi Lebuh AMJ.

Hantian rehat seterusnya terletak di Rembia, betul-betul di sebelah Balai Polis Rembia. Saya sempat berhenti rehat sebentar di situ. Dalam pemerhatian saya, Hentian Rehat Rembia dan Simpang Ampat adalah dua hentian rehat yang betul-betul hidup di sepanjang Lebuh AMJ. Hentian Rehat Sungai Rambai masih belum menarik pengguna lebuh raya kerana baru sahaja dibina, tetapi masih berpotensi.

Laluan FT19 dilencongkan keluar di Kampung Sungai Petai berikutan kawasan tepu bina di bandar Alor Gajah. Di Alor Gajah, terdapat bulatan utama yang merupakan titik permulaan Jalan Persekutuan 61 ke Tampin. Jajaran dua lorong FT19 yang dilencongkan keluar tadi bertemu semula dengan Lebuh AMJ di Kampung Paya Datok. Jajaran Lebuh AMJ yang memintas Alor Gajah itu membentuk satu laluan alternatif bagi FT19.

Lebih kurang 9 km kemudian saya tiba di Simpang Ampat. Pekan ini mendapat namanya daripada simpang utama dengan Jalan Negeri Melaka M10 ke Lubok China, Pulau Sebang dan Hutan Percha. Namun, semasa pembinaan Lebuh AMJ, sebahagian besar rumah kedai yang diperbuat daripada kayu terpaksa dirobohkan. Lebuh AMJ tamat dan menjadi jalan dua lorong biasa sebaik sahaja menghampiri jejambat Lebuhraya Utara-Selatan E2. Lebuh AMJ dihubungkan ke Lebuhraya Utara-Selatan E2 melalui Exit 227 Persimpangan Simpang Ampat di Bulatan Taboh Naning.

Baki jajaran FT19 ke kilometer terakhirnya di Kampung Ulu Kendong terdiri daripada jalan raya dua lorong biasa, dikelilingi perkampungan Melayu. Terdapat banyak gerai-gerai di tepi jalan menjual belacan, dodol, cincalok, keropok Palembang serta produk-produk kraftangan Melaka, yang diusahakan penduduk tempatan secara kecil-kecilan. Untuk reviu kali ini, saya terus pulang ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Utara-Selatan E2.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.




Permulaan Lebuh AMJ di Persimpangan Parit Bunga



Laluan FT5 dilencongkan keluar di Persimpangan Kesang



Hentian Rehat Sungai Rambai



Batu penanda kilometer ini bukti Lebuh AMJ kini diwartakan sebagai FT19



Bertemu semula dengan FT5 di Sungai Duyong



Persimpangan Semabok



Persimpangan Masjid al-Azim



Persimpangan Malim Jaya



Persimpangan Cheng yang menghubungkan Lebuh SPA



Hentian Rehat Rembia



FT19 dilencongkan keluar di Kampung Sungai Petai



Bertemu semula dengan FT19 di Kampung Paya Datok



Lebuh AMJ tamat di Simpang Ampat



Bulatan Taboh Naning ke Lebuhraya Utara-Selatan E2

Thursday, March 22, 2012

Jelajah Maharani Part 2: Menjejak Laluan Persekutuan 5 di Muar / Tracking Federal Route 5 in Muar

Salam sejahtera,

Selamat datang ke Bandar Maharani Muar, bandar kedua terpenting di Johor selepas Johor Bahru yang terkenal dengan kelazatan mi bandungnya serta kemerduan irama ghazalnya. Untuk pengetahuan semua, Muar mula diisytiharkan sebagai sebuah bandar oleh Maharaja Abu Bakar (kemudian Sultan) serta dinamakan sebagai Bandar Maharani berikutan Maharani Fatimah (kemudian Sultanah) memberi perkenan merasmikan pembukaan bandar Muar pada 12 Ogos 1887 sebagai bandar kedua terbesar di Johor selepas Johor Bahru. Sungguhpun dalam beberapa tahun kebelakangan ini status Muar sebagai bandar kedua terbesar di Johor telah dirampas oleh Batu Pahat dan seterusnya Kluang, namun status Muar sebagai bandar kedua terpenting di Johor tetap kekal. Kini, Muar turut diberi gelaran sebagai Bandar Diraja oleh Sultan Ibrahim Ismail, walaupun secara teknikalnya bandar diraja sebenar Johor ialah Pasir Pelangi di Johor Bahru.

Jalan raya utama di bandar Muar ialah Jalan Persekutuan FT5, Jalan Bakri FT24, Jalan Salleh J32 dan Jalan Temenggong Ahmad J31. Namun, pembangunan bandar Muar yang begitu pesat sebelum zaman penjajahan British lagi telah menyebabkan susun atur jalan-jalan utama di Muar kelihatan berselirat seperti sebuah kota sesat, walaupun tidaklah sedahsyat Melaka. Jambatan Sultan Ismail membentuk pintu masuk utama ke bandar Muar dari arah Melaka.

Asalnya, lalu lintas dari arah Melaka boleh bergerak terus ke Jalan Bakri FT5 sebelum melalui tiga bulatan untuk ke Batu Pahat melalui jalan FT5. Namun, kewujudan persimpangan lampu isyarat ketika itu telah menyebabkan lalu lintas menjadi sesak, manakala Jambatan Sultan Ismail pula terpaksa menampung kapasiti maksimum trafik secara berterusan yang mungkin akan menjejaskan kekuatannya. Oleh itu, lalu lintas dilencongkan ke Jalan Salleh sebelum kembali semula ke Jalan Bakri dan tiga bulatan.

Misi Blog Jalan Raya kali ini ialah menjejak jajaran FT5 melalui kota sesat Bandar Maharani ini. Cabarannya ialah dengan menjejak laluan FT5 di bandar Muar untuk perjalanan dari Melaka ke Batu Pahat dan sebaliknya. Misi ini samalah seperti misi menjejak pautan putus FT2 di Kuala Lumpur sebelum ini.

Jika anda datang dari arah Melaka melalui Lebuh AMJ, anda perlu keluar ke Persimpangan Parit Bunga untuk ke Muar kerana Lebuh AMJ berterusan sebagai Jalan Pintasan Muar di Persimpangan Parit Bunga tanpa melalui pusat bandar Muar. Di Persimpangan Parit Bunga, belok kanan ke bandar Muar.

Seterusnya, anda akan melalui Jambatan Sultan Ismail atau dikenali sebagai Jambatan Pertama Muar. Lalu lintas dari arah jambatan akan terus dilencongkan ke Jalan Salleh. Terus ambil lorong paling kanan kerana jika anda mengambil lorong kiri, Jalan Salleh akan berterusan sebagai Jalan Negeri Johor J32 yang membawa anda ke Labis dan bukan Batu Pahat. Jika anda nampak stesen minyak Esso di sebelah kanan anda serta Pasar Awam Muar di sebelah kiri anda, belok kanan. Kemudian, belok kanan sekali lagi ke Jalan Abdullah.

Laluan seterusnya agak mengelirukan, jadi pastikan anda berada di lorong kiri. Mercu tanda seterusnya untuk panduan anda ialah Delifrance Muar kerana anda perlu belok kiri di persimpangan lampu isyarat dekat Delifrance ke Jalan Bakri FT5, dan seterusnya ke bulatan pertama iaitu Bulatan Bentayan. Di Bulatan Bentayan, ambil pusingan pukul tiga ke Jalan Arab. Jalan terus sehingga anda terjumpa bulatan kedua dekat Plaza Wetex iaitu Bulatan Sulaiman.

Di Bulatan Sulaiman, jalan terus (ambil pusingan pukul dua belas). Jika anda belok kiri di situ, anda memang akan ke Parit Jawa dan seterusnya Batu Pahat, tetapi jalan yang akan anda lalui nanti ialah Jalan Temenggong Ahmad J31 dan bukannya jalan FT5. Jalan terus sehingga terjumpa bulatan ketiga iaitu Bulatan Khalidi. Di Bulatan Khalidi barulah anda ambil pusingan pukul sembilan (belok kiri) ke Parit Jawa dan seterusnya ke Batu Pahat. Di Parit Jawa, anda perlu membelok kanan untuk ke Batu Pahat, manakala pemandu yang melalui jalan J31 hanya perlu terus kerana di persimpangan lampu isyarat Parit Jawa, jalan J31 berakhir dan menjadi jalan FT5.

Bagi anda yang datang dari Batu Pahat, hanya lakukan secara berlawanan - belok kiri di persimpangan lampu isyarat utama Parit Jawa, ambil pusingan pukul tiga di Bulatan Khalidi, jalan terus di Bulatan Sulaiman dan ambil pusingan pukul sembilan di Bulatan Bentayan. Di Jalan Bakri FT5, jalan terus untuk ke jambatan dan seterusnya ke Melaka. Belok kiri semasa di Persimpangan Parit Bunga untuk ke Melaka melalui Lebuh AMJ.

Episod akhir Jelajah Maharani ialah reviu Lebuh AMJ FT19. Saksikanlah!



Hello everyone,

Welcome to Muar the Empress Town, the second most important town in Johor after Johor Bahru that is famed for its delicious mi bandung and its melodic ghazal. For your information, Muar had been granted town status by Maharaja Abu Bakar (then Sultan) and was named as the Empress Town, as Maharani Fatimah (then Sultanah) graced the grand inauguration ceremony of Muar on 12 August 1887 as the second largest town in Johor after. Even though Muar's position as the second largest town in Johor had been taken over by Batu Pahat and then Kluang in recent years, the status of Muar as the second most important town in Johor remains. Currently, Muar is now given the Royal Town title by Sultan Ibrahim Ismail, though technically the actual royal capital of Johor is Pasir Pelangi in Johor Bahru.

The main roads in Muar are Federal Route FT5, Jalan Bakri FT24, Jalan Salleh J32 and Jalan Temenggong Ahmad J31. However, the rapid urbanisation of Muar during the pre-British colonial era had made the main street layout to become tangled like a maze, although not as worse as Melaka. Sultan Ismail Bridge forms the main entrance to Muar from Melaka.

Originally, the traffic from Melaka could go straight to Jalan Bakri FT5 before approaching the three roundabouts towards Batu Pahat via FT5. However, the signalised intersection had caused massive congestion, while the Sultan Ismail Bridge was forced to carry the traffic over the maximum capacity continuously, which might affect its strength. As a result, the traffic is now diverted to Jalan Salleh before coming back to Jalan Bakri and the three roundabouts.

Malaysian Highway Blog's mission this time is to track down the FT5 section through the Empress Town maze. The challenge is to track down the FT5 route in Muar town centre dor the journey from Melaka to Batu Pahat and vice-versa. It is similar to the mission to track down the FT2 missing links in Kuala Lumpur previously.

If you come from Melaka via Lebuh AMJ, you need to exit the highway at Parit Bunga Interchange to Muar because Lebuh AMJ continues as Muar Bypass at Parit Bunga Interchange without passing through Muar town centre at all. At Parit Bunga Interchange, turn right to Muar.

Next, you will be passing the Sultan Ismail Bridge which is also known as Muar First Bridge. The traffic from the bridge will be diverted straight away to Jalan Salleh. Take the left-most lane immediately because if you take the left lane, Jalan Salleh will continue as Johor State Route J32 which leads you to Labis instead of Batu Pahat. If you see an Esso petrol station on your right and Muar Wet Market on your left, turn right. Then, turn right once again to Jalan Abdullah.

The next lane will be slightly tricky, so always keep left. The next landmark as your guidance would be Delifrance Muar because you have to turn right at the signalised intersection there toeards Jalan Bakri FT5, followed by the first roundabout, Bentayan Roundabout. At Bentayan Roundabout, take a three o'clock turn to Jalan Arab. Go straight until you find the second roundabout near Plaza Wetex, Sulaiman Roundabout.

At Sulaiman Roundabout, go straight (take a twelve o'clock turn). If you turn left there, you're still going to Parit Jawa followed by Batu Pahat, but via Jalan Temenggong Ahmad J31 instead of FT5. Therefore, just go straight towards the third roundabout, Khalidi Roundabout. At Khalidi Roundabout then you take a nine o'clock turn (turn left) towards Parit Jawa followed by Batu Pahat. At Parit Jawa, you'll have to turn right to proceed to Batu Pahat, while drivers via J31 will only need to go straight because at the main signalised intersection at Parit Jawa, J31 road ends and continues as FT5.

If you come from Batu Pahat, just do the opposite - turn left at the main signalised intersection at Parit Jawa, take a three o'clock turn at Khalidi Roundabout, go straight at Sulaiman Roundabout and take a nine o'clock turn at Bentayan Roundabout. At Jalan Bakri FT5, just go straight towards the bridge and then to Melaka. Turn left at Parit Bunga Interchange to proceed to Melaka Via Lebuh AMJ.

The final episode of Jelajah Maharani is the review of Lebuh AMJ FT19. Check it out!


Peta laluan dari Batu Pahat ke Melaka (klik untuk besarkan)
Route map from Batu Pahat to Melaka (click to enlarge)




Peta laluan Batu Pahat-Melaka melalui bandar Muar (klik untuk besarkan)
Batu Pahat-Melaka route map within Muar town centre (click to enlarge)




Peta laluan Melaka-Batu Pahat melalui bandar Muar (klik untuk besarkan)
Melaka-Batu Pahat route map within Muar town centre (click to enlarge)






Belok kanan ke Jalan Arab dari arah Melaka
Turn right to Jalan Arab from Melaka






Persimpangan di Delifrance Muar
Intersection at Delifrance Muar






Bulatan Bentayan
Bentayan Roundabout






Bulatan Sulaiman
Sulaiman Roundabout






Bulatan Khalidi
Khalidi Roundabout

Wednesday, March 21, 2012

Jelajah Maharani Part 1: Jalan Muar-Labis J32

Salam sejahtera,

Kali ini Blog Jalan Raya membawakan satu siri jelajah dari Labis ke Muar dan seterusnya ke Melaka, yang dinamakan sebagai Jelajah Maharani. Dalam siri pertama Jelajah Maharani ini, saya bawakan reviu eksklusif jalan negeri terpanjang di negeri Johor iaitu Jalan Negeri Johor J32 atau lebih dikenali sebagai Jalan Muar-Labis sepanjang 84.5 km. Jalan ini menghubungkan antara bandar Labis dengan Muar dan melalui pekan Bukit Kepong, Lenga, Pagoh dan Bukit Pasir. Jalan J32 ini dibina di sepanjang bahagian selatan Sungai Muar, selari dengan Jalan Persekutuan 23 yang dibina di sepanjang bahagian utara Sungai Muar.

Jalan Negeri Johor J32 asalnya dibina dari Muar sepanjang bahagian tebing selatan Sungai Muar ke Lenga. Pada masa itu, Bukit Kepong hanya dihubungkan melalui jalan sungai. Kemudian, pembukaan kampung-kampung sepanjang Lenga dan Bukit Kepong telah mewujudkan satu denai yang seterusnya dijadikan sebagai jalan raya. Jajaran terakhir dari Bukit Kepong ke Labis kemudian dibina hasil pembukaan tanah-tanah rancangan Felda Chemplak dan Felcra Bukit Kepong.

Kembara dimulakan dari bandar Labis, bandar kedua terbesar di daerah Segamat, Johor dengan lebih kurang 20,000 orang penduduk. Saya bertolak dari Segamat ke Labis untuk kembara kali ini menaiki motosikal Honda Wave 125X Ultimo, dengan minyak diisi penuh dari Segamat. Kilometer sifar laluan ini adalah di persimpangan lampu isyarat Balai Polis Labis, menghubungkan jalan J32 ini dengan Jalan Persekutuan 1. Berhampiran persimpangan ini juga terletak Stesen Keretapi Labis, Pejabat Pos Labis dan Masjid Jamek Baru Labis.

Kawasan bandar Labis tamat lebih kurang 1 km selepas persimpangan tersebut. 2 km kemudian terletak kawasan perumahan rakyat Labis. Sebahagian besar daripada lanskap sepanjang 27 km perjalanan ke Bukit Kepong dihiasi ladang-ladang kelapa sawit dan getah, kebanyakannya terletak dalam tanah rancangan Felda Chemplak dan Felcra Bukit Kepong.

Lebih kurang 15 km dari bandar Labis terletak tanah rancangan Felda Chemplak. Tanah rancangan yang turut disertai arwah datuk saya ini sudah jauh lebih maju daripada dahulu - ada balai polis, gelanggang futsal dan hentian rehat disediakan. Tambah menarik, Felda Chemplak kini dilengkapi kemudahan internet jalur lebar. Tidak jauh dari Felda Chemplak terletak Felda Chemplak Barat yang merupakan sambungan kepada Felda Chemplak.

Jambatan Sungai Labis terletak 19 km dari bandar Labis itu sendiri serta membentuk sempadan antara daerah Segamat dengan daerah Muar. Di bandar Labis, sungai ini melalui Jalan Persekutuan 1 dekat Masjid Jamek lama Labis. Tanah rancangan Felcra Bukit Kepong terletak betul-betul selepas Jambatan Sungai Labis. Tidak jauh dari situ terletak simpang tiga yang menghubungkan Jalan Pogoh J41 untuk berpatah balik ke Segamat, tetapi saya memilih untuk meneruskan perjalanan ke Bukit Kepong. Lebih kurang 1 km sebelum sampai ke pekan Bukit Kepong ada satu simpang tiga yang menghubungkan satu jalan baharu yang dikatakan menjadi jalan pintas ke Felda Ma'okil dekat Chaah dalam daerah Segamat, walaupun Felda Ma'okil sebenarnya terletak dalam daerah Muar. Sebelum ini, Felda Ma'okil hanya boleh dimasuki melalui jalan masuknya yang dihubungkan ke Jalan Persekutuan 1 dekat Chaah.

Mercu tanda utama yang menandakan saya sudah sampai ke pekan Bukit Kepong ialah simpang tiga ke Jalan Bukit Serampang J34. Jalan tersebut menempatkan Jambatan Bukit Kepong yang merentasi Sungai Muar yang memisahkan antara daerah Muar dan daerah Ledang. Sementara itu, Jalan Negeri Johor J32 menjadi lebih sempit sedikit semasa melalui pekan Bukit Kepong, dengan had laju 50 km/j sahaja sebelum kembali menjadi 90 km/j sebaik melepasi pekan Bukit Kepong.

Pekan Bukit Kepong nampak begitu suram dan sayu, memandangkan di sinilah berlakunya peristiwa penyembelihan lebih 25 orang anggota polis dan ahli keluarga mereka bagi mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong daripada serangan lebih 200 orang pengganas komunis. Tanah perkuburan yang menempatkan jenazah anggota-anggota polis yang terkorban dalam penyembelihan tersebut telah disemadikan di tanah perkuburan Bukit Kepong, dengan papan tanda berwarna biru berserta logo Polis Diraja Malaysia. Balai polis asal telah musnah terbakar dalam tragedi tersebut dan digantikan dengan bangunan baru yang diperbuat daripada batu. Pengorbanan anggota-anggota polis mempertahankan Bukit Kepong daripada pengganas komunis tidak wajar diperlekehkan oleh segelintir pihak yang bermotifkan politik.

Kita tinggalkan dahulu kisah sedih penyembelihan lebih 25 anggota polis di Bukit Kepong. Destinasi seterusnya ialah pekan Lenga yang terkenal dengan tarian Zapin. Tarian Zapin Lenga dipercayai merupakan varian tertua bagi tarian Zapin di Johor, dan ia dikatakan diwarisi daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Kini, tarian Zapin Lenga sudah pun berevolusi; penari wanita kini dibenarkan menarikan tarian Zapin Lenga yang sebelum ini hanya dibenarkan untuk ditarikan oleh kaum adam sahaja.

Pekan Lenga kecil sahaja dan terdiri daripada perkampungan baru Cina yang didirikan semasa Rancangan Briggs ketika zaman darurat dahulu. Lenga yang sebenar adalah beberapa perkampungan Melayu yang terdiri daripada Kampung Batu 23 Lenga, Kampung Batu 28 Lenga, dan Kampung Jawa Lenga. Di pekan Lenga, terdapat satu simpang tiga kecil - pemandu dari arah Labis perlu membelok ke kiri untuk ke Muar manakala pemandu dari arah Muar perlu membelok ke kanan untuk ke Labis. Namun, jalan di simpang tersebut sangat sempit, iaitu selebar dua buah kereta sahaja. Lori dan bas tentunya mengalami akan masalah untuk melalui simpang tersebut. Namun, melebarkan jalan sedia ada bermaksud terpaksa memusnahkan keseluruhan pekan Lenga. Oleh itu, untuk menangani masalah tersebut, Jabatan Kerja Raya Johor telah membina Jalan Pintasan Lenga bagi membolehkan kenderaan berat melaluinya tanpa tersangkut di simpang pekan Lenga.

Jajaran dari pekan Lenga ke Batu 23 beralun-alun dengan turun naik bukit yang pendek tetapi tinggi. Di Kampung Batu 28 Lenga, terdapat satu jalan pintasan untuk memintas jajaran J32 yang berbengkang-bengkok dengan selekoh berbahaya, iaitu Jalan Gombang J145 yang lebih lurus. Namun, saya memilih untuk meneruskan perjalanan melalui jajaran berbengkang-bengkok ini. Selekoh paling berbahaya di J32 terletak betul-betul selepas Batu 23.

Selepas menempuhi laluan berbengkang-bengkok, saya ditemukan sekali lagi dengan Jalan Gombang J145 yang memintas jajaran berbahaya J32. Tidak lama kemudian, saya tiba di pekan Pagoh yang membangun dengan pesat, memandangkan kerusi parlimennya diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sebaik melepasi pekan Pagoh, jalan menjadi sangat lurus, sangat lebar dan sangat selesa. Majoriti jajaran J32 dari Labis ke Pagoh dibina di bawah piawaian JKR R4 dengan lebar lorong 3.25 m (jalan di Bukit Kepong pula dibna di bawah piawaian JKR U3 dengan lebar lorong 3 m, manakala jalan di pekan Lenga pula hanya selebar 2.75 m), manakala jajaran Pagoh ke Muar dibina di bawah piawaian JKR R5 dengan lebar lorong 3.5 m. Exit 238 Persimpangan Pagoh terletak lebih kurang 5 km dari Pagoh, menghubungkannya dengan Lebuhraya Utara-Selatan E2.

Satu tarikan Pagoh adalah ladang rempah-ratus milik Nasuha Spices and Herbs yang mengeluarkan produk rempah-ratus jenama Mak Siti. Ada chalet disediakan di situ bagi pengujung yang mahu melihat sendiri proses penanaman rempah-ratus di situ. Ladang rempah-ratus tersebut juga menempatkan kem Program Latihan Khidmat Negara.

Di pekan Bukit Pasir, saya mengisi minyak kerana bimbang kemungkinan minyak yang tinggal tidak lepas untuk ke Muar dari Segamat, memandangkan tangki minyak motosikal Honda Wave Ultimo ini begitu kecil. Rupa-rupanya tidak sampai pun 3 liter minyak digunakan, bermaksud baki minyak yang ada sepatutnya mencukupi untuk ke Muar.

Mercu tanda penting bagi menandakan saya hampir sampai ke Muar ialah persimpangan lampu isyarat Jalan Pintasan Muar. Jalan pintasan tersebut merupakan lebuh raya pertama di Muar, bersama-sama dengan Lebuh AMJ. Ia menampilkan Jambatan Kedua Muar yang binaannya menyerupai Jambatan Pulau Pinang. Jalan Negeri Johor J32 tamat di Bandar Maharani Muar, dimana J32 dikenali sebagai Jalan Salleh di sana. Jalan tersebut tamat sebagai satu siri kota sesat bagi menghubungkan Jalan Persekutuan 5 di Bandar Maharani.

Ikuti bahagian kedua Jelajah Maharani dengan menjejak laluan Jalan Persekutuan 5 di Bandar Maharani.

Untuk galeri penuh, sila klik sini.






Permulaan Jalan Negeri Johor J32 di persimpangan Balai Polis Labis






Ada baki 85 km ke Muar setelah melepasi bandar Labis






Felda Chemplak






Simpang ke Jalan Bukit Serampang J34






Jenazah anggota polis yang terkorban dalam Peristiwa Bukit Kepong disemadikan di sini






Balai Polis Bukit Kepong yang musnah digantikan dengan bangunan batu






Pekan Lenga. Perhatikan satu simpang sempit untuk ke Muar






Jalan Pintasan Lenga dibina bagi membolehkan kenderaan berat melalui jalan ini tanpa tersangkut di Lenga






Jalan Gombang J145 memintas jajaran J32 yang berbengkang-bengkok dan berbahaya






Pekan Pagoh






Exit 238 Persimpangan Pagoh






Ladang Rempah-ratus Nasuha






Jalan Negeri Johor J32 tamat di Bandar Maharani Muar

Tuesday, March 13, 2012

Lebuhraya Slim River-Tanjung Malim FT1 - Lebuh raya tol terawal negara / Slim River-Tanjung Malim FT1 - The nation's first toll highway


JALAN Slim River-Tanjung Malim ini merupakan lebuh raya bertol terawal di Malaysia, dibuka pada 1966. Laluan sepanjang 33 kilometer ini kemudian ditukar status menjadi jalan persekutuan pada 1994, sekali gus memansuhkan bayaran tol 50 sen hingga RM2. Di kanan jalan ialah Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang dikekalkan.



Salam sejahtera,

Saya ada satu soalan cepu emas buat para pembaca - apakah nama lebuh raya tol pertama di Malaysia? Sudah tentu ramai yang memberi jawapan sama ada Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Karak ataupun Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban. Namun, tahukah anda semua bahawa kesemua jawapan tersebut adalah salah? Anda sudah menyerah kalah sekarang? Baiklah, biar saya dedahkan jawapan sebenar, iaitu Lebuhraya Slim River-Tanjung Malim FT1.

Lebuhraya Slim River-Tanjung Malim dibuka pada tahun 1966 bagi menggantikan jajaran jalan lama Slim River-Tanjung Malim (kini diwartakan sebagai Jalan Negeri Perak A121) yang berbengkang-bengkok dan sempit. Tidak seperti kebanyakan lebuh raya ekspres sekarang, lebuh raya ini dibina sebagai jalan raya tunggal dua lorong dengan beberapa jajaran dibina sebagai jalan raya kembar empat lorong. Kutipan tol dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya bermula tahun 1966 dan tamat pada tahun 1994 setelah Lebuhraya Utara-Selatan siap dibina. Kini, bekas pejabat Plaza Tol Slim River dijadikan stor JKR.

Pada 10 Mac 2012, Utusan Malaysia telah membuat satu laporan khas mengenai lebuh raya tol pertama. Sama-samalah kita hayatinya.




SEJARAH pembinaan jalan raya negara bermula pada tahun 1860 apabila Orang Besar Jajahan Hilir Perak, Tengku Menteri Ngah Ibrahim membina jalan pertama menggunakan kayu balak yang diikat dengan rotan.

Jalan tersebut dibina bagi mengangkut bijih timah dari lombong di Kamunting ke jeti Teluk Kertang (kini Kuala Sepetang), Perak.

Jalan kedua pula dipercayai dibina oleh pekerja lombong bijih timah dari Ampang ke Kuala Lumpur.

Pembinaan jalan raya di negara ini hanya berkembang pesat selepas kemasukan British.

Selain mempunyai teknologi dan kepakaran dalam membina jalan raya, perkembangan pesat itu turut didorong oleh pertumbuhan industri bijih timah.

Faktor lain jalan raya banyak dibina bertujuan memudahkan British mentadbir negeri-negeri di bawah pemerintahannya terutama Negeri-Negeri Selat.

Disebabkan itu, banyak kemudahan jalan raya dan pengangkutan awal dibina di negeri tersebut sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain.

Setelah merdeka, sistem jaringan jalan raya terus berkembang bagi menghubungkan lebih banyak kawasan.

Jalan-jalan tersebut kemudiannya dirujuk sebagai Jalan Persekutuan yang mempunyai satu lorong.

Jalan dua lorong pertama pula dibina di Jalan Gasing dan Jalan Universiti di Petaling Jaya sebelum Lebuh Raya Persekutuan yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Klang dibina.

Mungkin ramai berpendapat Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) merupakan lebuh raya bertol pertama negara.

Pendapat itu tidak tepat kerana lebuh raya bertol pertama negara terletak di antara Slim River ke Tanjung Malim, Perak sebelum PLUS dibuka sepenuhnya pada tahun 1994.

Wartawan S2, MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR dan jurugambar MUHAMAD IQBAL ROSLI, FAUZI BAHARUDIN, MOHD. NAIM AZIZ dan MOHD. NOOR AMIN menyingkap sejarah pembinaan lebuh raya negara dalam memastikan jaringan pengangkutan darat bergerak lancar.

Kini terdapat lebih 29 buah lebuh raya di seluruh negara termasuk di ibu negara yang memberikan kemudahan, keselesaan dan penjimatan masa kepada pengguna.



Sumber: Utusan Malaysia

Monday, March 12, 2012

Lebuhraya Karak E8/FT2 / Karak Expressway E8/FT2

Salam sejahtera,

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, Lebuhraya Karak FT2 dibuka pada tahun 1977 sebagai lebuh raya tunggal dua lorong bagi menghubungkan antara Kuala Lumpur dengan pekan Karak di Pahang. Ia bertindak sebagai laluan alternatif bagi Jalan Gombak-Bentong FT68 yang berbahaya (dan menyeramkan) berikutan laluannya yang sempit dan berbengkang-bengkok. Sejak ia mula dibuka, Lebuhraya Karak menjadi laluan utama dari Kuala Lumpur ke negeri-negeri pantai timur. Berikutan kepentingan lebuh raya tersebut, ia kemudian dinaik taraf menjadi lebuh raya ekspres penuh 4-6 lorong dengan kawalan masuk penuh. Setelah siap dinaik taraf, Lebuhraya Karak dibuka semula pada tahun 1997 dengan kod laluan E8.

Kita sudah pun menjejak pautan putus FT2 di Kuala Lumpur dari Lebuhraya Persekutuan sehingga ke Plaza Tol Gombak di Lebuhraya Karak. Kita juga sudah pun mengetahui kisah asal-usul pembinaan Lebuhraya Karak. Kali ini, saya akan bawakan kepada saudara satu reviu eksklusif mengenai Lebuhraya Karak E8, Lebuhraya Asia AH141.

Pada hujung minggu yang lalu, saya dan ahli-ahli keluarga di Segamat, Johor pergi ke Felda Mempaga 1 untuk meraikan perkahwinan adik lelaki saya di sana. Kami bertolak dari Segamat pada 10 Mac 2012 jam 3.15 petang. Rombongan pihak lelaki (keluarga saya) terdiri daripada 5 buah kereta - sebuah Perodua Kembara, sebuah Honda City, sebuah Honda CR-V, sebuah Proton Wira dan sebuah Proton Waja. Dari Segamat, kami melalui Jalan Persekutuan 1 ke Gemas sejauh 39 km sebelum melalui Jalan Persekutuan 10 sejauh 120 km ke Temerloh dan seterusnya ke Felda Mempaga 1 melalui Lebuhraya Pantai Timur E8. Asalnya, saya bercadang menggunakan kesempatan ini untuk membuat reviu Jalan Persekutuan 10, tetapi saya terpaksa membatalkan hasrat tersebut atas faktor kesuntukan masa dan keselamatan, memandangkan saya sendiri memandu Perodua Kembara milik ayah saya ke sana.

Upacara persandingan dilangsungkan keesokan harinya pada 11 Mac 2012. Sementara ahli keluarga lain pulang ke Segamat, saya dan dua orang lagi adik saya pulang ke Kuala Lumpur menaiki Honda City. Saya menggunakan kesempatan ini untuk mengambil beberapa keping gambar Lebuhraya Karak E8 untuk dikongsi bersama, memandangkan saya tidak memandu. Namun, ada di antara gambar-gambar tersebut tidak berapa menarik kerana saya terpaksa mengambil gambar dari tempat duduk belakang.

Dari Felda Mempaga 1, kami memasuki Lebuhraya Karak melalui Exit 813 Persimpangan Karak, di mana Lebuhraya Karak berterusan sebagai Lebuhraya Pantai Timur dan laluan FT2 ke Karak dari Kuala Lumpur dilencongkan keluar. Asalnya, Lebuhraya Karak E8 tamat di simpang tiga Taman Bayu Karak, di mana ia bertukar daripada lebuh raya ekspres kembar empat lorong ke jalan raya tunggal dua lorong. Semasa pembinaan Lebuhraya Pantai Timur, laluan utama Lebuhraya Karak dilencongkan untuk berterusan sebagai Lebuhraya Pantai Timur, manakala jajaran Persimpangan Mempaga ke Karak dijadikan laluan susur keluar ke pekan Karak.

Jajaran Bentong-Karak adalah satu-satunya laluan dari Kuala Lumpur ke Kuantan, memandangkan Jalan Gombak-Bentong FT68 tamat di Jalan Persekutuan 8 di Ketari dekat Bentong. Oleh itu, jajaran tersebut tidak dikenakan tol.

Ada dua pintu masuk utama ke Bentong, iaitu Exit 810 Persimpangan Bentong Timur dan Exit 808 Persimpangan Bentong Barat. Exit 810 merupakan titik permulaan bagi Jalan Persekutuan 8 ke Kota Bharu sejauh lebih 402 km. Laluan ini, bersama-sama dengan Jalan Persekutuan 9 (Karak-Tampin) dan jajaran E8 dari Bentong ke Karak membentuk satu rangkaian jalan raya utama tengah (Central Spine Highway). Sementara itu, Exit 803 hanyalah sekadar simpang tiga yang boleh dilalui dari arah Kuala Lumpur sahaja. Menariknya, jalan susur keluar pendek dari Exit 808 yang hanya sepanjang 400 meter sahaja turut diwartakan sebagai Jalan Persekutuan 121. Jalan pendek FT121 ini kemudian berakhir di FT68 tidak jauh dari pekan Ketari.

Lebuhraya Karak E8 menggunakan sistem tol terbuka di mana pemandu perlu membayar tol yang ditetapkan di plaza tol yang dilaluinya. Ada dua plaza tol di lebuh raya ini iaitu Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Gombak. Kutipan tol RM3 dikenakan bagi kereta yang melalui plaza tol ini, manakala di Plaza Tol Gombak pula dikenakan tol RM5, menjadikan kos tol keseluruhan Lebuhraya Karak ialah RM8. Sebelum Lebuhraya Gombak FT2 dinaik taraf sebagai lebuh raya ekspres E8, kutipan tol dilakukan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Hentian sebelah pertama ialah Hentian Sebelah Lentang yang boleh dimasuki dari kedua-dua arah. Konfigurasi sebegini membolehkan pemandu berpatah balik.

Beberapa kilometer kemudian ialah Exit 805 Persimpangan Bukit Tinggi. Persimpangan ini tidak menuju ke pekan Bukit Tinggi sebaliknya menuju ke pusat peranginan Bukit Tinggi. Untuk ke pekan Bukit Tinggi, terdapat beberapa susur keluar dari Lebuhraya Karak yang tidak diwartakan sebagai persimpangan keluar.

Selepas Exit 805, pendakian menaiki Banjaran Titiwangsa bermula dengan kecerunan 7%. Laluan lebuh raya terpisah dua sebelum bertemu semula di Exit 803 Persimpangan Genting Sempah, yang turut menempatkan Kawasan Rehat dan Rawat Genting Sempah. Kami berhenti rehat seketika di Kawasan Rehat dan Rawat Genting Sempah sebelum meneruskan perjalanan.

Kawasan Rehat dan Rawat Genting Sempah adalah kawasan rehat dan rawat terbesar dalam rangkaian lebuh raya kendalian MTD Prime (Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur). Ia juga merupakan kawasan rehat pertama yang dibina menggunakan konfigurasi sisi tetapi boleh dicapai dari kedua-dua arah laluan lebuh raya. Hentian rehat ini, bersama-sama Exit 803 Persimpangan Genting Sempah, membentuk satu persimpangan bertingkat pertama dengan kawasan rehat dan rawat. Seterusnya kami melalui Terowong Genting Sempah sejauh 900 m yang pernah menjadi terowong jalan raya terpanjang di Malaysia sebelum kedudukannya dirampas oleh Terowong SMART E38. Sempadan Pahang-Selangor terletak betul-betul di dalam terowong tersebut.

Exit 803A Persimpangan Genting Highlands adalah satu persimpangan khusus dari arah Kuala Lumpur serta menampilkan satu laluan pendek ke Genting Highlands yang dibina sendiri oleh MTD Prime sebelum bertemu dengan jajaran asal Jalan Genting Highlands. Jika anda datang dari arah pantai timur dan hendak ke Genting Highlands, anda perlu keluar melalui Exit 803 Persimpangan Genting Sempah.

Selepas Exit 803A, laluan lebuh raya berpecah dua lagi sebelum menuruni kecerunan securam 8.5%, yang merupakan kecerunan lebuh raya paling curam di Malaysia. Had laju terpaksa diturunkan dari 90 km/j ke 60 km/j sahaja di kedua-dua arah. Jika dibandingkan dengan jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1 dekat Terowong Menora, kecerunan di bahagian paling curam di lebuh raya tersebut itu hanyalah 7% dengan had laju maksimum 80 km/j. Jajaran curam 60 km/j tersebut berakhir setelah kedua-dua laluan lebuh raya bertemu kembali.

Seterusnya, perjalanan menuruni bukit sehingga ke Gombak adalah lancar sehinggalah ketika menghampiri Plaza Tol Gombak apabila berlaku sedikit kesesakan yang bermula dari Exit 801 Persimpangan Gombak arah ke Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) FT28 arah lawan jam. Kami mengambil keputusan mengelak kesesakan tersebut dengan menghala ke Wangsa Maju (arah jam). Lebuh raya tamat betul-betul selepas Plaza Tol Gombak sebagai Kilometer 19, manakala Exit 801 sebenarnya terletak di bawah penyelenggaraan Jabatan Kerja Raya.

Sepanjang melalui Lebuhraya Karak E8, terdapat beberapa perbezaan ketara jika dibandingkan dengan Lebuhraya Pantai Timur E8. Sementara Lebuhraya Pantai Timur lebih lurus serta mempunyai had laju lebih tinggi (110 km/j), laluan Lebuhraya Karak agak berkelok-kelok dengan had laju yang lebih rendah sedikit (90 km/j). Selain itu, terdapat sebilangan jalan-jalan kecil yang dihubungkan terus ke Lebuhraya Karak, tetapi bilangannya adalah minima dan tidak menjejaskan status kawalan masuk penuh bagi lebuh raya tersebut, tidak seperti beberapa lebuh raya "ekspres" di Lembah Klang yang gagal mematuhi ketetapan kawalan masuk penuh dengan membiarkan sebegitu banyak simpang jalan kecil serta jalan masuk perumahan ke lebuh raya tanpa kawalan. Jalan-jalan kecil di sepanjang Lebuhraya Karak sebenarnya terhasil apabila Lebuhraya Karak dibina sebagai jalan raya tunggal dua lorong pada tahun 1970an dan dikekalkan semasa ia dinaik taraf kepada lebuh raya ekspres. Satu lagi perbezaan utama antara kedua-dua lebuh raya tersebut tentulah sistem tol yang digunakan; Lebuhraya Karak menggunakan sistem tol terbuka manakala Lebuhraya Pantai Timur menggunakan sistem tol tertutup.

Lebuhraya Karak juga terkenal sebagai sebuah lebuh raya yang "keras", walaupun kalau diikutkan Jalan Gombak-Bentong FT68 jauh lebih "keras", sehingga dikatakan 80% pengguna yang melaluinya pada waktu siang akan berpatah balik dan beralih ke Lebuhraya Karak E8/FT2. Saya tidak perlu bercerita dengan lebih panjang mengenai cerita hantu di Lebuhraya Karak, memandangkan blog ini adalah Blog Jalan Raya Malaysia dan bukannya Blog Hantu Raya Malaysia. Tetapi jika anda berminat juga, anda boleh membaca satu rencana di akhbar Kosmo sebagai contoh ataupun anda google sahaja.

Apa pun, usaha Kementerian Kerja Raya pada tahun 1970an, disusuli MTD Prime pada tahun 1990an seharusnya dihargai, dan satu-satunya cara untuk menghargai susah payah mereka menjayakan projek Lebuhraya Karak adalah dengan memandu secara berhemah kerana kita tidak mahu koleksi cerita hantu Lebuhraya Karak terus bertambah. Sebagai tambahan, umat Islam dinasihatkan supaya banyak berzikir, berselawat dan membaca ayat-ayat al-Quran sepanjang perjalanan, moga-moga perjalanan kita dilindungi Allah daripada gangguan syaitan yang sentiasa berusaha untuk mengganggu dan menyesatkan seluruh umat manusia.


Maklumat lebuh raya

Kod laluan: E8
Panjang: 60 km
Arah laluan: Timur-barat (Gombak-Karak)
Bilangan lorong: 4 (Genting Sempah-Karak); 6 (Genting Sempah-Gombak)
Senarai persimpangan: Klik sini
Laman web: http://www.mtdinfraperdana.com


Untuk galeri penuh, sila klik sini.






Lebuhraya Karak menjadi Lebuhraya Pantai Timur selepas Exit 813 Persimpangan Karak






Petronas Lebuhraya Karak






Exit 805 Persimpangan Bukit Tinggi






Pekan Bukit Tinggi






Exit 803 Persimpangan Genting Sempah






Berehat sebentar di Kawasan Rehat dan Rawat Genting Sempah






Ada McDonald's di sini






Terowong Genting Sempah






Exit 803A Persimpangan Genting Highlands






Laluan berpecah dua sebelum menuruni cerun curam






Lebuh raya tamat di Exit 801 Persimpangan Gombak

Thursday, March 8, 2012

KL banjir bukan kerana Terowong SMART / KL floods not because of SMART Tunnel




Pintu masuk ke terowong SMART (sumber: Wikipedia)





Salam sejahtera,

Buat kesekian kalinya, terowong SMART ditutup mulai semalam (7 Mac 2012) jam 8 malam berikutan banjir kilat di Kuala Lumpur akibat ribut petir dan hujan lebat yang berterusan. Seperti biasa, pasti ada sahaja cakap-cakap kurang menyenangkan yang mempersoalkan keberkesanan terowong SMART menangani banjir di ibu kota.

Golongan tersebut mendakwa KL banjir kononnya disebabkan kegagalan terowong SMART berfungsi mengalirkan air hujan keluar dari ibu kota. Golongan tersebut juga mendakwa kononnya penutupan terowong SMART menambah parah kesesakan jalan raya di ibu kota. Golongan sedemikian turut menzahirkan kejahilan mereka di dada akhbar melalui ruangan surat pembaca, di blog-blog dan laman sosial. Sebelum saya teruskan, saya ingin menyoal golongan sedemikian - adakah mereka sebenar-benarnya tahu fungsi paling utama terowong SMART, bagaimana ia berfungsi dan di mana kawasan liputan terowong tersebut? Siapa sebenarnya yang bertanggungjawab dalam menyebabkan banjir kilat yang semakin kerap di Kuala Lumpur? Adakah mereka ingin menyalahkan Tuhan selepas ini? Bagi pihak terowong SMART, biar saya sedarkan golongan yang lupa, lalai dan alpa tersebut buat kesekian kalinya.

Untuk pengetahuan semua, fungsi sebenar terowong SMART yang paling utama adalah sebagai "bekas" bagi menyimpan air banjir buat sementara untuk menghalang air dari Sungai Klang daripada membanjiri ibu kota. Air daripada "bekas" ini akan dilepaskan secara beransur-ansur ke kolam takungan di Kampung Berembang dan Taman Desa setelah cuaca kembali pulih. Fungsi sebagai lebuh raya hanyalah fungsi tambahan bagi membolehkan syarikat konsesi membayar balik pinjaman bagi membiayai pembinaannya di samping kos penyelenggaraan terowong tersebut.

Namun, jika cuaca adalah baik di sekitar Kampung Berembang, Taman Desa dan Bukit Bintang tetapi ribut petir dahsyat di sekitar Sungai Bunus di Titiwangsa sebagaimana yang berlaku pada 13 Disember 2011, maka sudah tentulah terowong tetap dibuka seperti biasa kerana sudah tentu tiada air banjir yang masuk ke terowong tersebut. Oleh itu, terowong SMART sebenarnya hanyalah salah satu komponen bagi mencegah banjir di ibu kota; masih ada banyak lagi komponen lain yang diperlukan seperti kolam takungan dan terusan bagi mencegah banjir.

Kesimpulannya, terowong SMART bukanlah penyebab banjir seperti yang didakwa oleh sebilangan golongan jahiliah yang mempertikaikan keupayaan terowong SMART. Terowong SMART tidaklah gagal seperti didakwa, sebaliknya terowong tersebut berupaya menyelamatkan ekonomi bernilai berbilion ringgit yang selalunya akan musnah sekiranya berlaku banjir kilat tanpa terowong SMART. Golongan-golongan jahiliah tersebut sepatutnya sedar; kealpaan mereka membuang sampah merata-rata serta kedegilan mereka yang tetap berkereta meskipun hanya berseorangan itulah sebenarnya punca banjir. Jika mereka menggunakan pengangkutan awam atau setidak-tidaknya menggunakan motosikal atau berkongsi kereta ke pejabat, sebenarnya bertan-tan gas rumah hijau dapat dikurangkan dan seterusnya mengurangkan kesan rumah hijan dan pemanasan global yang menjadi punca utama kepada keadaan cuaca yang semakin menggila dan tidak menentu akhir-akhir ini.

Sumber berita: Sinar Harian

Thursday, March 1, 2012

Lebuhraya Latar E25 buka perkhidmatan tambah nilai Touch 'n Go 24 jam / Latar Expressway opens 24-hour Touch 'n Go reload service

KUALA LUMPUR – Lebuhraya KL-Kuala Selangor Berhad (Lebuhraya LATAR) hari ini mengumumkan pembukaan Lorong Tambah Nilai 24-Jam menjadikan ia sebagai syarikat konsesi lebuhraya yang pertama di Lembah Klang menawarkan perkhidmatan 24-jam kepada para pengguna untuk menambah nilai kad Touch n’ Go di lorong tunai plaza tol. Mulai 1 Mac 2012, dua plaza tol yang terpilih bagi perkhidmatan tersebut adalah di Plaza Tol Kuang Timur dan Plaza Tol Kuang Barat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lebuhraya LATAR, En Amran Amir, “Dengan pembukaan lorong tambah nilai 24-jam di Plaza Tol Kuang Timur dan Kuang Barat, kami menawarkan akses mudah dan perkhidmatan sedia ada kepada para pengguna lebuhraya untuk menambah nilai kad Touch n’ Go di lebuhraya ini pada bila-bila masa tanpa sebarang halangan dan tidak perlu keluar daripada lebuhraya.”

Lebuhraya LATAR sepanjang 33km ini menghubungkan Kuala Lumpur dengan Kuala Selangor. Terdapat empat persimpangan di sepanjang lebuhraya ini yang menghubung ke beberapa bandar seperti Kuala Selangor, Assam Jawa, Ijok, Bestari Jaya (Batang Berjuntai), Kota Puteri, Puncak Alam, Shah Alam, Bukit Jelutong, Sungai Buloh, Kundang, Rawang dan Selayang. Lebuhraya LATAR memberikan pilihan yang lebih cepat dan selamat bagi perjalanan pengguna ke Petaling Jaya dan Kuala Lumpur dari bandar-bandar tersebut.

LATAR amat menggalakkan penggunaan Sistem Pembayaran Tol Elektronik (SPTE) bagi kelancaran perjalanan para pengguna Lebuhraya LATAR. Pembayaran secara elekronik adalah lebih cepat, mudah dan cekap, malahan baru-baru ini LATAR telah mengedarkan kad peringatan Touch n’ Go LATAR secara percuma kepada para pengguna setia Lebuhraya LATAR dan promosi ini telah mencatatkan peningkatan lebih 40% penggunaan SPTE berbanding bayaran tunai. Menjelang akhir tahun ini, kami menjangkakan untuk mencapai sasaran lebih daripada 50% pengguna Touch n’ Go kad di Lebuhraya LATAR.

“Kami menggalakkan para pemandu untuk menggunakan kad Touch n’ Go bagi pembayaran tol dan mereka boleh merebut peluang untuk mendapatkan kelayakan rebat bayaran tol sebanyak 20% yang diberikan oleh pihak kerajaan kerana ianya terbukti lebih murah (untuk maklumat lebih lanjut anda boleh layari www.touchngo.com.my). Pemilik kenderaan juga dapat menjimatkan kos perjalanan mereka sambil menikmati penggunaan (SPTE) yang lebih cepat, selamat dan mudah berbanding dengan bayaran manual. Pengguna juga dapat mengelakkan daripada beratur panjang dan mengurangkan kesesakan di plaza tol terutama di lorong pembayaran tol secara tunai. Gunakan kad Touch n’ Go dan jadilah pengguna yang bijak” kata En Amran Amir.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi talian LATAR 03-6145 1515 atau layari www.latar.com.my.



KUALA LUMPUR – The KL-Kuala Selangor Expressway Berhad (LATAR Expressway) today announced that it will be the Malaysian’s first highway company in Klang Valley to open 24-hours service for the motorists to reload their Touch n’ Go card at its lanes at Plaza Tol Kuang Timur and Plaza Tol Kuang Barat beginning 1 March 2012.

According to LATAR Expressway Chief Executive Officer, En Amran Amir, “With the opening of 24-hours Tambah Nilai (Reload) lanes at Plaza Tol Kuang Timur and Kuang Barat, we offer easy availability and accessibility as motorists are enabled to top-up their Touch n’ Go cards on the highway at ANY TIME without any hassle or having to leave the highway.”

“However motorists can still top-up their Touch n’ Go card at all Customer Service Centre located on the highway during office hours from 8.30 am until 8.30 pm. Service fees will not be charged upon any reloads at customer service centre and the lanes at LATAR Expressway. ”

The 33 km LATAR Expressway links Kuala Lumpur and Kuala Selangor. Along the way, its four interchanges also adds to the connectivity of several townships such as Kuala Selangor, Assam Jawa, Ijok, Bestari Jaya (Batang Berjuntai), Kota Puteri, Puncak Alam, Shah Alam, Bukit Jelutong, Sungai Buloh, Kundang, Rawang and Selayang as well as allow for a faster, safer choice to the cities of Petaling Jaya and Kuala Lumpur from these townships.

LATAR Expressway aims at promoting faster, easier and more efficient use of Electronic Toll Payment System (ETPS) as mode of toll payment. The rewarding of free Touch n’ Go-LATAR Commemorative Cards to the loyal users of LATAR Expressway recently achieved to increase use of Touch n’ Go cards as a mode of toll payment on LATAR Expressway by more than 40% compared to cash paying motorists. By the year end, we are expecting to achieve more than 50% users using the Touch n’ Go card on LATAR Expressway.

“We are encouraging more motorists to use Touch n’ Go cards to pay their toll. Grab the opportunity for the entitlement of 20% toll rebate currently given out by the government as it proved to be much cheaper (refer to www.touchngo.com.my for more details). Motorists can also save their travelling cost while enjoying faster, safer and convenient use of EPTS compared to manual. Avoid from queuing and reduce traffic congestion at manual lanes. Use Touch n’ Go and you will be a smart traveller” said En Amran Amir.

For more information, users can call LATAR line 03-6145 1515 or visit www.latar.com.my.




Sumber / Source: Laman Facebook Lebuhraya Latar / Latar Expressway Facebook page

Kutipan tol hanya sekali setiap hala di Lebuhraya Cheras-Kajang E7 / One-way toll collection only at Cheras-Kajang Expressway E7

Berita baik buat pengguna Lebuhraya Cheras-Kajang E7...!!!

Mulai tengah malam 2 Mac 2012, sebahagian daripada dua plaza tol lebuh raya berkenaan akan dirobohkan, iaitu Plaza Tol Batu 9 (arah Kuala Lumpur) dan Plaza Tol Batu 11 (arah Kajang). Dengan itu, kutipan tol hanya akan dibuat sekali sahaja bagi setiap hala, iaitu di Plaza Tol Batu 9 (arah Kajang) dan Plaza Tol Batu 11 (arah Kuala Lumpur).

Sumber: Paul Tan