Sunday, August 31, 2014

Istimewa Hari Merdeka: Sejarah Jambatan Merdeka FT1 / National Day Special: Independence Bridge FT1



Jambatan Merdeka FT1 yang menyeberangi Sungai Muda di sempadan negeri Kedah-Pulau Pinang
(Kredit kepada: Memori Kedah)


Salam sejahtera dan salam kemerdekaan kepada para pembaca,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana terpaksa menangguhkan rancangan untuk mengadakan ekspedisi jelajah ke Lebuhraya Timur-Barat FT4 seperti yang telah diumumkan sebelum ini berikutan masalah minyak enjin cepat kering yang memerlukan top overhaul dilakukan. Ekspedisi tersebut akan ditangguhkan ke minggu hadapan bagi memberi masa untuk top overhaul dilakukan. Sungguhpun demikian, tarikh sasaran bagi penulisan entri mengenainya tetap tidak berubah.

Sebagai pengganti, saya bawakan anda kepada kisah sejarah ringkas mengenai sebuah jambatan yang dibuka pada tahun yang sama dengan tahun kemerdekaan Malaysia, iaitu Jambatan Merdeka FT1 yang menyeberangi Sungai Muda yang membentuk sempadan semula jadi antara negeri Kedah dengan Pulau Pinang. Sebenarnya, ada sebatang lagi jambatan yang dinamakan sebagai Jambatan Merdeka iaitu di Jalan Gemas-Tampin FT1 dekat Sungai Kelamah, tetapi kebanyakan pengguna jalan raya dan penduduk setempat hanya memanggilnya sebagai Jambatan Sungai Kelamah sahaja. Kali ini, saya ingin bawakan sejarah ringkas mengenai jambatan yang lebih terkenal di sebelah utara sana.

Jambatan Merdeka FT1 dibina pada tahun 1955 bagi menggantikan jambatan asal yang telah diletupkan oleh tentera British pada tahun 1942 bagi menghalang kemaraan tentera Jepun yang semakin bermaharajalela semasa Perang Dunia Kedua. Jambatan tersebut menghubungkan antara pekan Kepala Batas, Pulau Pinang (kampung halaman bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi) dengan Sungai Petani, Kedah. Ia menggunakan reka bentuk jambatan bergalang konkrit dengan tiga lengkungan yang sungguh unik bagi mengukuhkan struktur jambatan. Jambatan Merdeka FT1 mendapat namanya kerana siap dibina dan dibuka kepada lalu lintas pada tahun kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajah British. Ia dirasmikan sendiri oleh Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, yang juga merupakan Bapa Kemerdekaan Malaysia.

Jika anda berkunjung ke Jambatan Merdeka FT1, terdapat sebuah kampung yang turut dinamakan sempena jambatan tersebut iaitu Kampung Jambatan Merdeka. Kampung tersebut terletak dalam kawasan Pulau Pinang. Di situ, terdapat banyak kesan peninggalan sejarah peperangan antara British dengan Jepun semasa Perang Dunia Kedua seperti kubu lama dan tinggalan senjata-senjata lama yang dibuang ke dalam sungai. Penduduk di sana juga rata-ratanya tahu akan sejarah pertempuran yang pernah berlaku di kampung mereka semasa zaman Jepun dahulu. Justeru, Kampung Jambatan Merdeka wajar dibangunkan sebagai tempat bersejarah bagi tatapan generasi muda, termasuklah mendirikan monumen peringatan Pertempuran Jambatan Merdeka di sana.

Jambatan Merdeka FT1 sangat berjasa bukan sahaja kepada penduduk setempat, tetapi juga kepada seluruh pengguna jalan raya amnya. Sebelum Jambatan Permatang Bendahari yang mula dibina pada tahun 2005 siap dua tahun kemudian, Jambatan Merdeka FT1 merupakan jambatan yang paling menghampiri muara Sungai Muda. Jambatan Merdeka FT1 itu sendiri merupakan nadi utama pengangkutan di Kedah dan Pulau Pinang sebelum terbinanya Lebuhraya Utara-Selatan E1. Namun, kemasyhuran Jambatan Merdeka FT1 dari segi kejuruteraan jalan raya ada hadnya. Jambatan yang dibina sebelum merdeka dan siap betul-betul pada tahun merdeka itu sudah dianggap sempit dalam konteks kejuruteraan jalan raya sekarang. Maka, untuk menaik taraf Jalan Butterworth-Sungai Petani FT1 kepada jalan super two dengan piawaian JKR R5, maka Jambatan Merdeka FT1 perlu dikembarkan kerana jambatan sedia ada itu sudah tidak lagi boleh dilebarkan kepada piawaian JKR R5. Kerja-kerja membina Jambatan Merdeka FT1 kedua bagi lalu lintas arah Butterworth siap pada tahun 2008, menjadikan kedua-dua jambatan tersebut sebagai jambatan kembar dua lorong (selorong sahaja bagi setiap jambatan). Pendekatan sama turut digunakan semasa kerja-kerja naik taraf jajaran Jalan Persekutuan 1 dari Ayer Hitam ke Gemas sejauh 120 km, siap pada tahun 2007.

Bagi memperingati Jambatan Merdeka FT1 yang begitu bersejarah serta banyak berjasa kepada rakyat sejak merdeka, Pos Malaysia telah mengambil inisiatif menerbitkan sampul surat hari pertama berjudul Jambatan-jambatan di Malaysia pada tahun 2008. Sampul surat hari pertama yang mengandungi empat keping setem edisi terhad itu menampilkan Jambatan Merdeka FT1 bersama-sama tiga lagi jambatan bersejarah yang lain, iaitu Jambatan Victoria (jambatan kereta api, dibina tahun 1897 dan siap tahun 1900), Jambatan Kota FT2/FT5 (dibina tahun 1957 dan siap 1959), dan Jambatan Kereta Api Sungai Segamat (dibina tahun 1933, siap tahun yang sama).

Setakat ini sahaja dahulu entri khas Merdeka untuk kali ini. Bagi projek reviu Lebuhraya Timur-Barat FT4 yang dijangka akan dihasilkan sebelum Hari Malaysia pada 16 September ini, saya sekali lagi merayu kepada para pembaca agar dapat menderma bagi membolehkan projek reviu tersebut dapat direalisasikan. Keikhlasan anda menderma bukan sahaja membantu menjayakan reviu Lebuhraya Timur-Barat FT4, tetapi juga projek-projek reviu berjarak jauh akan datang kelak. Terima kasih atas sokongan anda.

Tuesday, August 26, 2014

Bagaimana hendak memodenkan semula Modenas / How to modernise Modenas




Salam sejahtera,

Lebih setahun lalu, saya telah pun menulis mengenai model motosikal kapcai pancitan bahan api pertama keluaran Modenas iaitu Modenas 118EFI, yang juga merupakan model kapcai pancitan bahan api pertama yang dijual di Malaysia. Pada masa itu, saya amat mengharapkan agar model tersebut mendapat sambutan luar jangkaan, memandangkan rakyat Malaysia rata-ratanya menantikan kemunculan model kapcai pancitan bahan api di Malaysia setelah ketinggalan begitu jauh dengan Thailand dan Indonesia dalam bidang teknologi motosikal. Namun, realiti sebenar yang berlaku jauh berbeza daripada jangkaan - Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection yang dilancarkan lebih lewat pula yang mendominasi pasaran kapcai pancitan bahan api secara total, tetapi Modenas 118EFI pula amat sukar ditemui di sekitar Lembah Klang; kalau ada pun, ia boleh dibilang dengan jari sahaja. Jika sebelum ini Proton sering dikritik kerana prestasi jualan yang hambar di samping persepsi kualiti, prestasi jualan Modenas pula mungkin 10 kali lebih teruk sehingga ke tahap ramai yang terlupa akan kewujudan syarikat pengeluar motosikal nasional itu. Dakwaan ini bukan datang dari mulut saya, tetapi ia disuarakan sendiri oleh wartawan automotif terkemuka negara, Hezeri Samsuri.

Kenapa boleh jadi sehingga ke tahap sebegitu...?

Sebab paling utama kenapa prestasi jualan Modenas begitu hambar adalah disebabkan aktiviti promosi yang sangat lemah. Jika dibandingkan dengan zaman kegemilangannya pada tahun 1990an sehingga ke awal 2000an, usaha promosi yang dilakukan oleh Modenas pada masa itu sangat agresif, meskipun dengan hanya bermodalkan hanya satu atau dua buah model sahaja pada penghujung 1990an. Saya ingat lagi semasa di bangku sekolah menengah, boleh dikatakan majoriti daripada rakan-rakan di sekolah saya menunggang motosikal Modenas Kriss. Malah, saya sendiri pun pernah memiliki sebuah motosikal Modenas Kriss 2 yang banyak berjasa kepada saya semasa menuntut di universiti dahulu. Harga mampu milik, promosi agresif, reka bentuk produk yang praktikal, prestasi setanding dengan model pesaing seperti Yamaha Lagenda 110 serta alat ganti yang mudah dicari kesemuanya merupakan ramuan utama kepada kejayaan model Kriss. Namun, kenapa pula Modenas kini sudah tidak lagi mampu mencapai kejayaan yang serupa...? Apa tidaknya, usaha promosi yang dilakukan tidak seagresif dahulu, khususnya di Kuala Lumpur; kalau ada pun, ia hanya sekadar penampilan dalam filem-filem Melayu bertemakan rempit sahaja.

Sebab kedua paling utama ialah keengganan Modenas untuk keluar daripada kepompong mereka sendiri. Sebenarnya, ramai di kalangan peminat motosikal tempatan (termasuk saya) yang mendesak Modenas agar mengeluarkan model-model motosikal bergenre lain yang lebih besar tetapi mampu milik dan tidak hanya sekadar mengeluarkan model-model kapcai dan skuter bawah 200 cc sahaja. Logiknya sangat mudah - tidak semua penunggang motosikal yang mahu terus kekal menunggang motosikal kapcai sahaja tetapi mahukan motosikal genre lain yang lebih besar sesuai dengan peningkatan usia dan tahap kerjaya. Maka, ramai peminat motosikal tempatan mendesak Modenas agar mengeluarkan model-model genre lain seperti super motard, naked mahupun sport, demi memenuhi keperluan mereka untuk mendapatkan motosikal yang lebih besar tetapi tetap mampu milik. Malangnya, Modenas tetap berpendirian mahu kekal sebagai pengeluar kapcai bawah 200 cc sahaja. Akibat keengganan mereka untuk berubah, kedudukan Modenas dalam industri motosikal negara semakin lama semakin jatuh, sehinggakan Demak, yang sebelum ini dianggap sebagai pengeluar motosikal picisan turut mengalahkan Modenas, melalui barisan model-model super motard mampu milik yang dikeluarkannya.

Untuk kembali bangkit mendominasi industri motosikal negara, Modenas seharusnya belajar daripada usaha transformasi yang dilakukan pada Bajaj Auto, syarikat pengeluar motosikal terbesar di India, oleh pengarah urusannya, Rajiv Bajaj. Sebelum Rajiv menjadi pengarah urusan Bajaj Auto, syarikat tersebut hanya sekadar dikenali sebagai pengeluar beca berenjin serta model skuter Bajaj Chetak, yang sekadar hasil kejuruteraan undur bagi Vespa semata-mata. Setelah Rajiv dilantik sebagai pengarah urusan, beliau melakukan transformasi besar-besaran dengan menghentikan pengeluaran Bajaj Chetak dan mengeluarkan model baharu yang jauh lebih praktikal iaitu Bajaj Pulsar. Sejak ia mula diperkenalkan, Bajaj Pulsar menerima pelbagai pembaharuan yang diterapkan, daripada penggunaan karburetor kepada pancitan bahan api, dan daripada enjin satu palam pencucuh sesilinder kepada enjin dua palam pencucuh sesilinder. Hasilnya, Bajaj Pulsar bukan sahaja laris di pasaran India, malah Kawasaki turut berminat untuk mengedarkannya dengan nama Kawasaki Bajaj Pulsar di Indonesia.

Untuk membolehkan banyak jenis motosikal dikeluarkan, Modenas perlulah mengeluarkan banyak keluarga enjin dalam pelbagai saiz. Untuk membolehkan kos pengeluaran diminimakan, rekaan enjin perlulah bersifat modular (iaitu, kotak engkol sama cuma saiz, cuma bongkah enjin serta dimensi lubang x lejang berbeza). Langkah Modenas membangunkan enjin 150 cc sendiri merupakan satu langkah pertama yang harus dipuji, cuma saya harapkan agar teknologi yang diterapkan itu sesuai dengan perkembangan semasa (4 injap sesilinder, guna pancitan bahan api, dsb.)

Dari segi promosi pula, Modenas sewajarnya kembali agresif mempromosikan model-model keluaran mereka. Wujudkan rangkaian kedai 3S (Sales, Service, Spare Parts) melalui usaha sama dengan kedai-kedai motosikal. Selain itu, Modenas perlu mewujudkan satu program penghargaan kepada wakil-wakil penjual bagi menggalakkan kedai motosikal menjual produk Modenas dengan lebih agresif lagi. Sebenarnya kalau diikutkan produk-produk keluaran Modenas tidak kurang menariknya, cuma genre yang dikeluarkan perlulah dipelbagaikan dan usaha promosi pula perlulah diperhebatkan.

Kesimpulannya, masih tidak terlambat untuk Modenas bekerja keras bagi merampas semula takhta pengeluar motosikal terbesar di Malaysia. Namun, untuk membolehkan matlamat tersebut tercapai, Modenas perlulah terlebih dahulu keluar daripada kepompong mereka sendiri yang "mengehadkan" mereka kepada sekadar pengeluar motosikal kapcai bawah 200 cc semata-mata. Hanya melalui kesungguhan mereka untuk berubah, di samping usaha promosi yang dilipat gandakan secara agresif, mampu untuk memulihkan semula kedudukan Modenas dan seterusnya mengembalikan zaman kegemilangan Modenas seperti yang pernah dicapai pada penghujung tahun 1990an dahulu.

Saturday, August 23, 2014

Koleksi gambar kenangan pembinaan Lebuhraya Timur-Barat FT4 / Photo collections of East-West Highway FT4 construction memories




Salam sejahtera,

Hari ini (23 Ogos 2014) menandakan bahawa cuma tinggal seminggu sahaja sebelum Blog Jalan Raya Malaysia memulakan ekspedisi ke Lebuhraya Timur-Barat FT4 dari Gerik ke Jeli sejauh 123 km. Seperti yang saya nyatakan dalam entri pengumuman mengenainya, projek reviu jalan raya ini memakan kos yang tinggi kerana perlu bergerak jauh ke utara, di samping melibatkan penginapan. Oleh itu, saya sekali lagi ingin merayu kepada para pembaca yang budiman agar sudi menderma sama ada melalui akaun bank, kad kredit / debit ataupun akaun PayPal, agar projek reviu ini dapat dijayakan.

Sementara itu, JKR Perak pula sedang mengumpulkan koleksi gambar-gambar pembinaan Lebuhraya Timur-Barat FT4 daripada bekas pekerja mereka yang menjayakan projek Lebuhraya Timur-Barat FT4 ataupun daripada waris-waris mereka. Selain itu, JKR Perak turut mewawancara beberapa orang bekas pekerja yang terlibat menjayakan projek tersebut. 

Kenapa pula JKR Perak begitu bersungguh-sungguh untuk mengumpul dan mengarkibkan bahan-bahan sejarah mengenainya...? Selalunya, setiap kali Hari Kebangsaan, rakyat diseru agar mengenangkan perjuangan para pemimpin serta pahlawan kemerdekaan dalam membebaskan negara daripada cengkaman penjajah. Namun, satu perkara yang sering dianggap enteng oleh orang-orang kita ialah pengorbanan pihak yang bertanggungjawab menjayakan projek infrastruktur untuk rakyat sambil berdepan dengan ancaman musuh negara. Dalam konteks entri ini, JKR Perak ingin mengajak rakyat agar menghargai jasa dan pengorbanan para pekerja JKR bersama-sama anggota tentera membina Lebuhraya Timur-Barat FT4 sambil berdepan dengan ancaman komunis yang masih lagi bermaharajalela di kawasan Hulu Perak meskipun negara sudah pun merdeka daripada penjajah British.

Tanpa membuang masa lagi, saya akan kongsikan gambar-gambar kenangan projek pembinaan Lebuhraya Timur-Barat FT4, ihsan daripada JKR Perak. Koleksi gambar dalam entri ini akan dikemaskini sebaik JKR Perak memperoleh koleksi gambar tambahan.







Feri sungai terpaksa digunakan untuk mengangkut kenderaan, jentera dan pekerja JKR, memandangkan lebuh raya ini merentasi Empangan Temengor








Gambar para pekerja JKR di tapak projek








Land Rover pun perlu diangkut menggunakan feri sungai






Tiang-tiang bagi Jambatan Pulau Banding






Tenuk pun berminat dengan projek Lebuhraya Timur-Barat FT4...!!!






Berhimpun sempena penyerahan kerja di sempadan Perak-Kelantan






Para pekerja JKR berdoa memohon perlindungan daripada Allah sebelum memulakan kerja pembinaan








Kerja-kerja membubuh lapisan asas batu kerikil










Lagi gambar kenangan para pekerja JKR yang membina Lebuhraya Timur-Barat FT4






Bersama beberapa orang penduduk Orang Asli








Tragedi 23 Mei 1974 - Sebanyak 64 buah jentera milik JKR yang diletupkan oleh pengganas komunis, menyebabkan kerugian yang sangat besar kepada JKR. Kos membaiki enjin sahaja bagi kesemua jentera yang terjejas memakan belanja sejumlah RM2.56 juta








Ada di antara bekas-bekas pegawai tertinggi JKR yang memulakan karier mereka di tapak projek Lebuhraya Timur-Barat FT4










Lagi gambar kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Timur-Barat FT4 yang sedang berlangsung pada tahun-tahun 1970an



Kredit gambar: JKR Perak

Thursday, August 21, 2014

Waktu bertafakur seminit pada pagi Jumaat ini sempena tragedi MH17 / A minute of silence this Friday morning due to the MH17 tragedy




Salam sejahtera,

Esok (22 Ogos 2014) diisytiharkan sebagai hari berkabung sempena menghormati kesemua mangsa tragedi Penerbangan 17 Penerbangan Malaysia (MH17) yang terkorban, dipercayai akibat ditembak oleh peluru berpandu. Tragedi tersebut berlaku pada 17 Julai 2014 semasa pesawat Boeing 777-200ER milik Penerbangan Malaysia (MAS) bernombor pendaftaran 9M-MRD dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur, Malaysia. Dalam tragedi tersebut, kesemua 298 orang (termasuk 15 orang kru penerbangan) dalam pesawat tersebut maut serta-merta.

Mayat-mayat mangsa kini sedang diterbangkan pulang ke negara masing-masing, yang mana 20 mayat mangsa dari Malaysia dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9.45 pagi.


Sempena dengan minit bertafakur pagi esok, pergerakan trafik di beberapa lokasi akan disekat sementara bagi membolehkan pengguna jalan raya bertafakur ataupun menyedekahkan Surah al-Fatihah kepada mangsa yang terkorban. Lima lokasi sudah pun disahkan, iaitu:-
  1. Kawasan sekitar Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur
  2. KLIA, Sepang
  3. KLIA2
  4. Jambatan Pulau Pinang E36
  5. Kompleks Kastam dan Imigresen Bangunan Sultan Iskandar (CIQ BSI), Johor Bahru

Sementara itu, dua lagi lokasi di Sabah dan Sarawak masih belum ditetapkan setakat jam 1.00 petang hari ini.

Sama-samalah kita sedekahkan Surah al-Fatihah dan Surah Yasin kepada semua mangsa nahas MH17 beragama Islam yang terkorban pada pagi esok. Amin.

Wednesday, August 20, 2014

Pengumuman: Reviu Merdeka Khas - Lebuhraya Timur-Barat FT4 / Announcement: Special Merdeka Review - East West Highway FT4




Salam sejahtera,

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 pada tahun ini, Blog Jalan Raya Malaysia berbesar hati untuk mengadakan satu reviu jalan raya khas Hari Merdeka di Lebuhraya Timur-Barat FT4. Reviu khas Lebuhraya Timur-Barat FT4 ini adalah hasil cadangan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak yang mahukan sejarah pengorbanan para pekerja JKR serta pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjayakan projek pembinaan Lebuhraya Timur-Barat FT4 diabadikan untuk tatapan generasi akan datang. Projek Lebuhraya Timur-Barat FT4 memakan masa selama 12 tahun, bermula pada tahun 1970 dan siap pada tahun 1982. Pembinaan lebuh raya persekutuan dua lorong sejauh 123 km itu mengambil masa yang begitu lama disebabkan oleh ancaman pengganas komunis yang sentiasa cuba untuk menggagalkan projek tersebut.

Buat pertama kalinya dalam sejarah Blog Jalan Raya Malaysia, reviu Lebuhraya Timur-Barat FT4 ini merupakan reviu jalan raya yang berskala besar kerana melibatkan pihak JKR secara langsung, terutamanya dari segi maklumat teknikal serta sejarah pembinaannya. Ia berbeza dengan kebanyakan reviu jalan raya sebelum ini di mana saya melakukan segala-galanya - selain mengambil gambar serta menulis reviu mengenainya, saya turut mengumpul maklumat serta melakukan kajian secara sendirian. Namun, untuk reviu Lebuhraya Timur-Barat FT4 kali ini, saya amat memerlukan penglibatan pihak JKR sendiri bagi memastikan segala maklumat mengenainya adalah tepat, benar, tulen dan sahih tanpa sebarang unsur tokok-tambah. Ia termasuklah video temu ramah dengan beberapa orang pegawai JKR Hulu Perak dan JKR Jeli.

Meskipun Lebuhraya Timur-Barat FT4 ini hanyalah sepanjang 123 km, namun saya terpaksa bergerak sejauh lebih 320 km untuk ke Gerik yang menjadi titik pangkal bagi Lebuhraya Timur-Barat FT4 ini, sekaligus memerlukan saya untuk menginap di Gerik sebelum memulakan kembara di sepanjang Lebuhraya Timur-Barat. Untuk perjalanan pulang pula saya memilih untuk ke Gua Musang melalui Jalan Persekutuan 66 dan Jalan Negeri Kelantan D29 dan seterusnya pulang ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lipis-Gua Musang FT8, Jalan Persekutuan 8 dan seterusnya Lebuhraya Karak E8/FT2. Keseluruhan perjalanan pergi balik adalah sejauh lebih kurang 810 km.

Justeru, bagi menjayakan reviu jalan raya bersejarah ini, saya merayu kepada para pembaca sekalian agar menzahirkan sokongan anda terhadap usaha mendokumentasikan sejarah pengorbanan JKR dalam membina sebatang jalan raya yang banyak berjasa kepada rakyat ini dengan menderma kepada Blog Jalan Raya Malaysia, memandangkan kos bagi menghasilkan reviu ini adalah tinggi berikutan jarak jauh yang perlu dilalui serta melibatkan penginapan. Sumbangan anda membolehkan saya terus menyajikan lebih banyak reviu jalan raya yang berkualiti kepada anda semua demi menyemai sikap sayang akan rangkaian jalan raya negara, memandangkan reviu jalan raya yang panjang memakan belanja yang besar.

Jutaan terima kasih kepada para penderma kerana sudi bersama-sama saya dalam menjayakan projek Reviu Merdeka Khas Lebuhraya Timur-Barat FT4 ini. Juga jutaan terima kasih kepada JKR Perak dan JKR Kelantan kerana telah menyatakan kesediaan dalam membantu saya menjayakan projek reviu ini.

(Kemaskini: Rancangan awal untuk mengadakan temu bual terpaksa dibatalkan kerana kesukaran mendapatkan responden, memandangkan reviu kali ini diadakan pada hari cuti)


Tentatif projek reviu Lebuhraya Timur-Barat FT4
(Dikemaskini pada 20 Ogos 2014 jam 1.25 pm)

30 Ogos 2014 (Sabtu)

12.30 pm - Mula bertolak dari Kuala Lumpur
5.30 pm - Tiba di Gerik dan daftar masuk penginapan

31 Ogos 2014 (Ahad)

9.00 am - Sarapan dan daftar keluar penginapan
10.15 am - Memulakan kembara di Lebuhraya Timur-Barat FT4
11.15 am - Berhenti rehat di Tasik Banding dan melawat Galeri Banding
11.45 am - Meneruskan perjalanan ke Jeli
12.45 pm - Berhenti rehat di Jeli untuk makan tengah hari dan solat Zuhur
2.30 pm - Bertolak pulang ke Kuala Lumpur

Monday, August 18, 2014

Rumah terbuka Aidilfitri di Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Kementerian Kerja Raya / Eid ul Fitr open house at Malaysian Highway Authority and Ministry of Works



Majlis rumah terbuka Aidilfitri di Wisma LLM




Majlis rumah terbuka Aidilfitri di ibu pejabat Kementerian Kerja Raya - masih mampu tersenyum walaupun terpaksa menahan kesakitan akibat kemalangan


Salam sejahtera,

Semasa menghadiri taklimat media mengenai isu tol Lebuhraya JB EDL E14 di ibu pejabat Kementerian Kerja Raya pada 11 Ogos 2014, saya menerima jemputan oleh pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri di ibu pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada keesokan harinya, diikuti dengan majlis serupa di peringkat KKR sendiri pada 14 Ogos. Jemputan tersebut disampaikan sendiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KKR, Tuan Hj. Sarani bin Dollah, serta Ketua Pengarah LLM, Dato' Ir. Hj. Ismail bin Md. Salleh. Jemputan serupa turut disampaikan kepada saya oleh Menteri Kerja Raya sendiri, Datuk Fadillah Yusof. Ketiga-tiga 'orang kuat' dalam KKR ini merupakan peminat setia Blog Jalan Raya Malaysia. Jutaan terima kasih kepada Datuk-Datuk dan Tuan-Tuan kerana menyokong kuat perjuangan Blog Jalan Raya Malaysia.

Sebenarnya, ramai di kalangan pegawai-pegawai tertinggi dalam KKR yang sekian lama mencari siapakah gerangan penulis Blog Jalan Raya Malaysia bernama Mohd. Hezery bin Hussin ini, kerana nama tersebut memang tiada dalam senarai pekerja KKR, LLM mahupun Jabatan Kerja Raya (JKR). Beberapa orang sahabat dalam Unit Komunikasi Korporat (UKK) KKR seperti Encik Fauzi dan Encik Zul ada menceritakan kepada saya bagaimana mereka sering "dibambu" oleh pegawai-pegawai atasan kerana kesukaran untuk mendapatkan maklumat mengenai jalan raya. Lucu juga jika difikirkan, tetapi itulah hakikat sebenarnya yang turut saya alami. Sebenarnya, terus-terang saya katakan, saya sendiri pun mengalami kesukaran yang sama, kerana maklumat mengenai jalan raya Malaysia amat jarang didokumentasikan secara bertulis. Malah, ada di antara maklumat jalan raya Malaysia yang hanya didokumentasikan melalui cakap-cakap mulut semata-mata, yang sudah tentunya boleh jadi meragukan. Mungkin saya mempunyai akses maklumat yang tidak ada pada KKR, tetapi dalam masa yang sama KKR sendiri mempunyai banyak maklumat yang saya sendiri pun tidak ada. Justeru, perkongsian maklumat mengenai jalan raya antara KKR dan Blog Jalan Raya Malaysia sangat dialu-alukan demi mendidik rakyat Malaysia agar menyayangi rangkaian jalan raya negara kita.

Pada 12 Ogos, saya tiba agak awal di ibu pejabat LLM yang terletak betul-betul di tepi Lebuhraya Kajang Silk E18. Majlis tersebut bukan sahaja dihadiri oleh warga kerja LLM sendiri tetapi juga wakil-wakil dari syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ekspres seperti SKVE Holdings (SKVE E26), KLSEB (Latar E25), Kesturi (Duke E33), Lekas (E21) dan ramai lagi. Malah, Datuk Fadillah sendiri turut hadir dalam majlis rumah terbuka LLM ini. Sebelum saya pulang, Dato' Ir. Hj. Ismail sendiri memberikan kepada saya sekeping kad Touch 'n Go edisi khas Gaza sebagai cendera hati.

Keesokan harinya, saya pulang sebentar ke kampung halaman di Segamat, Johor kerana ingin meninjau situasi di sana berikutan kejadian ribut dan hujan batu yang melanda Segamat pada 9 Ogos. Semasa di sana, saya mendapati beberapa kawasan seperti Jalan Temenggung J40, Kampung Berata dan Jalan Pemuda J152 yang terjejas akibat ribut, tetapi saya amat bersyukur kerana rumah keluarga saya serta saudara-mara saya tidak mengalami apa-apa kesan.

Namun, malang menimpa saya semasa dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur keesokan harinya untuk menghadiri majlis rumah terbuka di ibu pejabat KKR. Semasa bertolak dari Segamat pada awal pagi, keadaan cuaca boleh dikatakan redup. Namun, berbeza pula keadaan di Tampin yang hujan lebat pada pagi tersebut. Semasa saya tiba di Tampin, hujan sudah hampir reda tetapi keadaan jalan pula sangat licin. Sebaik berada di sebuah persimpangan di Jalan Seremban-Tampin FT1 dekat SMK Tunku Besar Tampin, sebuah kereta berwarna hitam tiba-tiba berhenti untuk membelok memasuki simpang tanpa menggunakan lampu isyarat membelok. Akibat kebebalan si pemandu kereta hitam haram jadah itu, motosikal saya hilang kawalan semasa cuba mengelak kereta tersebut lalu tersembam jatuh di atas jalan. Kereta hitam lahanat itu pula sudah pun memasuki persimpangan tanpa sedikit pun rasa bersalah. Haram jadah punya perangai! Nasib baiklah sebuah kereta peronda polis yang kebetulan berada di belakang membantu saya mengangkat motosikal serta memeriksa kecederaan saya. Saya hanya mengalami luka-luka ringan sahaja di bahu kanan, lutut kanan dan telapak tangan kanan, manakala motosikal saya pula sekadar cermin sisi pecah dan injak gear bengkok. Memandangkan saya sudah lewat, saya hanya singgah menukar cermin sisi dan mengetuk semula injak gear sebaik sahaja selepas mengisi minyak di Seremban.

Akibat kemalangan tersebut, saya lewat tiba di Kuala Lumpur iaitu pada pukul 1.45 petang. Akibatnya, saya terlepas peluang untuk sekali lagi bertemu dengan Datuk Fadillah yang pada masa itu sudah pun bergegas ke Johor Bahru. Saya turut dikhabarkan bahawa pada sebelah paginya, KKR menerima kunjungan daripada delegasi dari Jepun yang diketuai Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, Akihiro Ohta-san. Cis, bertambah rugilah saya kerana terlepas satu lagi peristiwa penting pada hari tersebut...!!! Apa pun, saya tetap bersyukur kerana masih berupaya sampai ke ibu pejabat KKR dengan selamat serta masih sempat bertemu dengan Tuan Hj. Sarani dan Dato' Ir. Hj. Ismail.

Jika dibandingkan dengan suasana di ibu pejabat LLM, suasana di KKR pula begitu sederhana sekali. Mungkin juga kerana keadaan cuaca yang tidak seceria dua hari sebelumnya, tetapi sebenarnya negara masih lagi berkabung sempena peristiwa nahas MH17 yang disifatkan sebagai yang terburuk dalam sejarah industri penerbangan negara.

Peluang berkunjung ke dua majlis rumah terbuka anjuran LLM dan KKR merupakan satu lembaran baharu dalam sejarah Blog Jalan Raya Malaysia, malah saya menyifatkan perkembangan tersebut sebagai satu pencapaian besar dalam sejarah Blog Jalan Raya Malaysia kerana mendapat sokongan padu daripada warga KKR serta agensi-agensi di bawahnya. Perkembangan tersebut membuka ruang lebih besar kepada kedua-dua pihak untuk bekerjasama mengadakan perkongsian maklumat, memandangkan Blog Jalan Raya Malaysia dan KKR berkongsi matlamat yang sama untuk mendidik rakyat Malaysia agar memartabatkan dan menyayangi rangkaian jalan raya negara. Saya berdoa agar hubungan sebegini dapat dieratkan dan berkekalan buat selama-lamanya.

Untuk lebih banyak gambar mengenai majlis rumah terbuka di LLM dan KKR, anda boleh melihatnya di laman Facebook KKR dan Datuk Fadillah Yusof.

Friday, August 15, 2014

Perodua Axia vs Proton Iriz







Salam sejahtera,

Hari ini Perodua secara rasminya membuka tempahan bagi model kereta baharunya iaitu Perodua Axia. Model yang dibina bagi menggantikan Perodua Viva itu dibangunkan sebagai model pertama yang memanfaatkan insentif Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang diumumkan dalam pindaan Dasar Automotif Nasional (NAP) terbaharu. Nama "Axia" sebenarnya merupakan permainan kata bagi perkataan "Asia", yang mana huruf S digantikan dengan huruf X yang mewakili nombor 10 dalam sistem pernomboran Roman, memandangkan Axia merupakan model kereta kesepuluh keluaran Perodua sepanjang sejarahnya. Harga yang diumumkan bermula daripada RM24,900 bagi varian asas transmisi manual sehinggalah kepada varian termahal transmisi automatik yang berharga RM45,300.

Memandangkan Axia ini dibina hasil program EEV, maka sudah tentulah harga yang ditawarkan itu cukup murah tetapi dalam masa yang sama Perodua mendakwa bahawa Axia ini lebih jimat minyak daripada Viva (sekitar 21.6 km/L berbanding 18.7 km/L pada Viva 660). Ia menggunakan enjin 1KR-DE tiga silinder yang diperbuat daripada aluminium sepenuhnya bagi menggantikan enjin EJ-VE yang digunakan pada Viva selama ini. Sayangnya, unit 1KR-DE yang digunakan ini tidak dilengkapi dengan sistem Pemasaan Injap Boleh Laras Dinamuk (DVVT) sebagai mana EJ-VE, tetapi kuasa kudanya meningkat daripada 60 PS @ 6,000 rpm kepada 65 PS @ 5,000 rpm. Torknya merosot sedikit daripada 90 N-m @ 3,600 rpm kepada 87 N-m pada rpm yang sama. Pemansuhan DVVT ini membantu menurunkan kos pembuatan, tetapi bagi menampung defisit kekurangan kuasa sekiranya DVVT tidak digunakan, enjin 1KR-DE dibangunkan dengan lejang yang lebih panjang. Ia masih lagi menggunakan sama ada kotak gear manual 5 kelajuan ataupun automatik 4 kelajuan. Transmisi automatik 4 kelajuan kalau diikutkan sudah dianggap ketinggalan zaman, tetapi pemilihannya berbanding CVT yang lebih ringan dan lebih jimat minyak dilakukan atas dasar kos.








Sementara itu pula, Proton Global Small Car (GSC) yang khabarnya bakal menggunakan nama Proton Iriz pula merupakan sebuah kereta supermini (segmen B) bagi menggantikan Proton Savvy, berbeza dengan Perodua Axia yang merupakan sebuah kereta bandar raya (segmen A). Penggunaan enjin 1.3L itu sendiri sudah cukup untuk membuktikannya. Selain itu, Iriz juga menggunakan kotak gear CVT, sama seperti model-model baharu Proton yang lain seperti Proton Saga FLX dan Proton Suprima S. Tiada butiran lanjut mengenai spesifikasi teknikal Iriz / GSC ini, tetapi sudah banyak gambar spyshot mengenainya yang tersebar luas di serata alam siber. Malah, Proton sendiri pun mengeluarkan satu teaser rasmi mengenainya yang diselitkan dalam video klip lagu rayanya.

Jadi yang mana satukah di antara kedua-dua kereta ini yang mampu menarik perhatian anda...? Tepuk dada, tanyalah selera. Jadi sama-samalah kita nantikan pelancaran bagi kedua-dua model ini. Blog Jalan Raya Malaysia sedang merancang untuk mengadakan sesi pandu uji bagi kedua-dua model ini sebaik selepas dilancarkan.

Apa Kejadahnya: Gunakan lampu isyarat membelok boleh tak...? / What The Hell: Flick that damn little turn signal stalk, will you...?



Lampu isyarat membelok bukanlah sekadar hiasan mahupun lampu pokok Krismas, jadi janganlah malas sangat nak guna lampu isyarat membelok ketika hendak keluar masuk simpang, menukar lorong, memotong mahupun memparkir kenderaan.
(Kredit gambar: Paul Tan)


Salam sejahtera,

Lampu isyarat membelok merupakan salah satu komponen penting dalam sistem elektrikal dan pencahayaan kenderaan. Ia amat penting kerana berupaya memberitahu para pemandu lain akan niat anda untuk menukar lorong, memotong, keluar masuk simpang mahupun untuk memparkir kenderaan anda. Dengan memberi isyarat lebih awal, pemandu lain di hadapan dan belakang berupaya untuk bersedia lebih awal sama ada untuk memperlahankan kenderaan, untuk berhenti, ataupun beranjak ke kiri (dalam kes kenderaan di hadapan anda mahu membelok kanan untuk memasuki simpang. 

Malangnya, terdapat golongan pemandu bebal Malaysia yang tidak ambil peduli akan kepentingan menggunakan lampu isyarat membelok dan sekadar melayan lampu-lampu isyarat membelok pada kenderaan mereka tidak ubah seperti lampu pokok Krismas semata-mata. Akibatnya, orang dari belakang, hadapan mahupun dari simpang tidak mengetahui niat sebenar pemandu-pemandu tersebut sama ada hendak ke kiri atau kanan - yang seterusnya membawa kepada kemalangan jalan raya. Kalau dah berlanggar, tahu pula hendak menyajikan babak gusti WWE percuma...!!!

Sejak bilakah lampu isyarat membelok diwajibkan pemasangannya pada kenderaan serta diwajibkan penggunaannya...?

Sebelum tahun 1907, hanya ada dua jenis sahaja lampu yang digunakan pada kenderaan, iaitu lampu kepala dan lampu posisi belakang. Maka, pemandu diwajibkan untuk belajar isyarat tangan untuk membelok (sama seperti isyarat tangan bagi penunggang basikal), memandangkan lampu isyarat membelok masih belum wujud lagi. Pengguna jalan raya yang lain memang boleh nampak isyarat tangan tersebut dengan jelas pada waktu siang, tetapi bagaimana pula semasa waktu malam yang gelap...? Sudah tentulah isyarat tangan tersebut tidak boleh dilihat dengan jelas. Justeru, lampu isyarat membelok dicipta pada tahun 1907, tetapi jenis moden seperti yang digunakan pada kereta-kereta sekarang hanya dipatenkan pada tahun 1938. Pada hari ini, boleh dikatakan hampir kesemua negara mewajibkan pemasangan dan penggunaan lampu isyarat membelok. Warna standard yang digunakan bagi lampu isyarat membelok adalah warna jingga.




Kenapa penggunaan lampu isyarat membelok sangat penting...? Penggunaan lampu isyarat membelok semasa keluar masuk simpang, memotong, menukar lorong mahupun memparkir kenderaan sebenarnya berupaya mengelakkan kebanyakan kes kemalangan, kerana kelipan lampu isyarat membelok membolehkan kenderaan lain tahu niat anda itu dan seterusnya bertindak berdasarkan niat anda itu (seperti memperlahankan kenderaan, dsb.). 




Memetik suis tangkai mahupun suis lungsur yang menghidupkan lampu-lampu jingga itu hanya memerlukan kudrat yang sangat sedikit, jadi kenapa masih ramai pemandu bebal yang tidak menggunakan lampu isyarat membelok...? Kalau terlalu malas hendak memetik suis isyarat membelok yang hanya memerlukan kekuatan sebatang jari sahaja, lebih baik carik-carikkan sahaja lesen memandu itu kerana golongan yang sering menyebabkan kemalangan jalan raya tidak layak sama sekali untuk memegangnya. Lampu-lampu isyarat membelok itu pula lebih baik cabut dan jual pada kedai potong saja. Ada otak diletakkan di punggung. Ada lampu isyarat membelok malas nak guna, kalau orang lain terlanggar kereta si pelaku itu sendiri atas kebebalannya itu tahu pula nak ajak bergaduh. Kalau kereta si pelaku itu sendiri yang kemalangan, bagus juga. Padan muka dia. Kurang seorang sampah masyarakat di atas jalan raya Malaysia.

Kenapa saya sangat marah dan menghentam "kaw-kaw" puak-puak bebal yang terlalu malas menggunakan lampu isyarat membelok...? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan kerana saya sendiri pernah menjadi mangsa kebebalan puak-puak haram jadah ini sepanjang seumur hidup saya - bukan sekali, tetapi dua kali. Malangnya, golongan bebal lagi dangkal itu masih tak serik-serik dan tak insaf-insaf seolah-olah mereka tiada ahli keluarga yang menanti kepulangan mereka dengan selamat. Budak-budak sekolah rendah pun tahu kepentingan menggunakan lampu isyarat membelok, jadi kenapa hendak meletakkan martabat diri lebih rendah daripada budak-budak sekolah rendah yang sudah tentunya tak ada lesen memandu...? Kes kemalangan jalan raya di Malaysia sudah terlalu banyak, jadi tak usahlah menjadi penyumbang kepada statistik yang tidak disenangi itu. Sekurang-kurangnya, fikirkanlah tentang ahli-ahli keluarga sendiri serta para pengguna jalan raya yang lain. Oleh itu, janganlah terlalu cuai atau malas untuk menggunakan lampu isyarat membelok kerana setiap petikan suis isyarat membelok sebenarnya mampu menyelamatkan nyawa anda serta pengguna jalan raya yang lain.

Wednesday, August 13, 2014

Rasional di sebalik kenaikan tol JB EDL E14 / The rationale behind the JB EDL E14 toll increase




Salam sejahtera,

Baru-baru ini pada 11 Ogos 2014, Blog Jalan Raya Malaysia menerima jemputan oleh Kementerian Kerja Raya untuk menghadiri satu taklimat media mengenai isu kenaikan tol Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur Johor Bahru (JB EDL) E14 yang berkuat kuasa baru-baru ini. Tujuan utama taklimat media tersebut diadakan adalah bagi memberi penerangan yang menyeluruh kepada rakyat mengenai keadaan sebenar yang memerlukan tol di JB EDL E14 dinaikkan, memandangkan ada pihak - khususnya ahli-ahli politik pembangkang - yang memutar-belitkan isu tersebut.

Isu tol di Kompleks Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar (CIQ BSI) tersebut mula timbul semasa kerajaan mengumumkan kenaikan tol yang berkuat kuasa pada 1 Ogos 2014. Akibat kenaikan tol di CIQ BSI, dikhabarkan berlaku mogok di kalangan pengusaha bas kilang yang "enggan masuk ke Singapura" sehingga menyebabkan ramai pekerja kilang terpaksa menapak sejauh lebih kurang 2 km ke Woodlands. Namun, apa yang sebenarnya berlaku pada masa itu sebenarnya hanyalah sandiwara semata-mata yang direka-reka bagi menampakkan seolah-olah kerajaan (khususnya KKR dan kerajaan negeri Johor) bertindak "zalim" - apa yang sebenarnya berlaku hanyalah keengganan dua buah bas kilang untuk membayar tol, dan ia telah menyebabkan kesesakan luar biasa di situ. Kesempatan tersebut digunakan oleh pembangkang khususnya DAP untuk memutar-belitkan insiden tersebut kepada insiden "mogok". Dengan kata lain, mogok tersebut sebenarnya tidak wujud sama sekali. Sehubungan dengan insiden tersebut, KKR telah mengeluarkan satu kenyataan media khas mengenai isu tersebut.

Taklimat media mengenai isu kenaikan tol CIQ BSI itu dibentangkan oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato' Ir. Hj. Ismail bin Md. Salleh. Sebelum saya menerangkan dengan lebih lanjut mengenai rasional kenaikan tol JB EDL E14 ini, izinkan saya untuk memberi penerangan ringkas mengenai latar belakang JB EDL E14 ini, memandangkan sebahagian besar maklumat asas mengenainya sudah pun saya ulas dalam reviu JB EDL E14 sebelum ini.

Seperti yang semua sudah sedia maklum, JB EDL E14 dibina bagi menghubungkan antara penamat Lebuhraya Utara-Selatan E2 di Exit 257/Exit 1404 Persimpangan Johor Bahru (aka Persimpangan Pandan) dengan bangunan baharu Kompleks Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar di Bukit Chagar. Kompleks imigresen baharu tersebut yang juga dikenali sebagai Gerbang Selatan Bersepadu dibina bagi menggantikan kompleks imigresen lama Tanjung Puteri yang sudah tidak lagi mampu menangani kesesakan lalu lintas hingga merebak ke jalan-jalan pusat bandar raya Johor Bahru. Namun, untuk ke sana, pengguna dari E2 terpaksa menempuh neraka trafik sepanjang lebih kurang 8 km melalui Lebuhraya Skudai FT3 AH18. Tanyalah mana-mana orang JB, rata-rata mereka mengatakan bahawa perjalanan sejauh hanya 8 km sahaja itu mengambil masa sehingga 45 minit. Lambakan lampu-lampu isyarat di sepanjang laluan tentunya menambah parah kesesakan FT3 itu. Maka, JB EDL E14 dibina bagi membolehkan pengguna jalan raya memintas neraka trafik tersebut. JB EDL E14 mula dibuka pada 1 April 2012 dengan kos sejumlah RM1.262 bilion.

Selain itu, satu lagi isu yang dapat ditangani melalui pembinaan JB EDL E14 ialah isu penjajaran laluan Lebuh Raya Asia AH2, yang turut menjadi isu dua hala antara Malaysia dengan Singapura. Sebelum JB EDL E14 dibina, Malaysia mahu mewartakan laluan AH2 yang melalui sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan untuk memasuki Singapura melalui Lebuhraya Linkedua E3. Sebabnya ialah untuk mengekalkan hirarki primer di sepanjang AH2 yang melalui Malaysia. Sementara itu, Singapura pula mahukan AH2 untuk melalui Tambak Johor. Selepas pembinaan JB EDL E14, keseluruhan jajaran AH2 di Malaysia kesemuanya memenuhi piawaian primer (kecuali jajaran Jitra Utara-Bukit Kayu Hitam yang hanya memenuhi piawaian Annex I, kerana jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1 di situ dibina sebagai naik taraf Jalan Persekutuan 1 kepada jalan raya kembar dengan kawalan masuk separa), serta melalui Tambak Johor. Maka, Lebuhraya Linkedua E3 kini diwartakan sebagai laluan Lebuh Raya Asia AH143.

Sepanjang tempoh operasi, pihak MRCB Lingkaran Selatan telah menjalankan kajian trafik dan mendapati bahawa JB EDL E14 berjaya mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Tebrau FT3 sehingga 50%. Jadi, bukankan pencapaian sebegitu sangat membanggakan...?

Mengenai kadar tol pula, sebelum ini kenderaan yang berulang-alik ke Singapura hanya perlu membayar tol sebanyak RM2.90 sekali sahaja semasa memasuki Malaysia, dan tol tersebut dikutip oleh Plus Malaysia Berhad. MRCB Lingkaran Selatan sepatutnya mula mengutip tol pada tahun 2012, tetapi ditangguhkan sebegitu lama bagi mendapatkan mekanisme kutipan tol terbaik, memandangkan orang-orang JB yang tidak keluar masuk ke Singapura boleh menggunakan lebuh raya tersebut percuma. MRCB Lingkaran Selatan juga pernah berkira-kira untuk menjual kepentingan mereka dalam EDL kepada kerajaan, tetapi akhirnya kerajaan memutuskan untuk membenarkan MRCB Lingkaran Selatan meneruskan kutipan tol, memandangkan kos pengambilalihan adalah sangat mahal.

Kenapa kadar tol baharu di CIQ BSI dinaikkan...? Ini dia jawapannya:-
  1. Membiayai kos pembinaan, operasi dan penyelenggaraan EDL E14 - MRCB Lingkaran Selatan membina JB EDL E14 tanpa meminta walau sesen pun daripada kerajaan; sebaliknya, mereka bergantung sepenuhnya kepada pinjaman bank. Tambahan pula, MRCB Lingkaran Selatan bukan sahaja menanggung kos pembinaan, tetapi juga kos pengambilalihan tanah. Maka, sudah tentulah mereka perlu mendapatkan kembali wang mereka dalam bentuk kutipan tol. Ya, memang sebelum ini tol memang sudah lama dikutip, tetapi itu cumalah bahagian Plus Malaysia Berhad yang menyelenggara Tambak Johor.
  2. Membiayai kos penyelenggaraan dan operasi di CIQ BSI - Dalam perjanjian konsesi antara MRCB Lingkaran Selatan dengan kerajaan, mereka bukan sahaja perlu menyelenggara EDL E14, tetapi juga perlu menyelenggara jalan-jalan di sekitar kompleks CIQ BSI.
  3. Memenuhi ketetapan oleh kerajaan negeri Johor yang mahukan orang-orang JB yang tidak memasuki Singapura tidak dikenakan tol - Ini input baharu yang diberikan oleh COO MRCB, Encik Imran Salim. Menurut beliau, semasa hendak membina JB EDL E14, kerajaan negeri Johor telah mengenakan satu prasyarat yang mahukan penduduk Johor Bahru yang tidak ke Singapura agar tidak dikenakan tol. Bancian trafik di sepanjang JB EDL E14 menunjukkan bahawa EDL E14 mencatatkan kadar trafik purata harian (ADT) sejumlah 180,000 kenderaan, yang mana hanya sepertiga daripadanya (6,000 kenderaan) yang keluar-masuk ke Singapura. Dengan kata lain, dua pertiga daripada kadar ADT EDL E14 terdiri daripada orang-orang JB yang menikmati tol percuma, dan MRCB hanya dapat mengutip tol daripada golongan minoriti. Disebabkan skala ekonomi yang lebih kecil itu, maka MRCB terpaksa menaikkan tol dengan kadar yang lebih tinggi kepada pemandu yang berulang-alik Singapura untuk membolehkan mereka memperoleh pulangan setimpal.

Satu perkara yang menarik perhatian saya ialah rasional kutipan tol dilakukan menggunakan sistem tol terbuka di CIQ BSI dan bukannya sistem tertutup, memandangkan saya sendiri pernah tertanya-tanya sebelum ini tentang bagaimana mereka hendak untung jika menggunakan sistem terbuka sebegini. Menurut Dato' Hj. Ismail, rasional kutipan tol di CIQ BSI adalah seperti berikut:-
  1. Tol JB EDL E14 percuma untuk rakyat Johor - Saya sudah pun terangkan sebelum ini.
  2. Menjadikan Bangunan Sultan Iskandar sebagai pusat sehenti - Kutipan tol dan urusan imigresen dilakukan di bangunan yang sama, sekaligus meningkatkan tahap kecekapan kerana tidak perlu berhenti banyak kali.
  3. Mengelak kesesakan di jalan-jalan perumahan JB akibat shunpiking - Satu kelemahan terbesar sistem tol terbuka ialah sistem sebegini tidak memberi keadilan kepada pengguna lebuh raya ataupun syarikat konsesi. Bagi pengguna, sistem tol terbuka merugikan kerana jika hendak ke taman perumahan bersebelahan yang terletak tidak sampai 100 m pun kena bayar tol. Bagi syarikat konsesi pula, sistem tol terbuka tidak adil kepada mereka kerana pengguna jalan raya akan mencari jalan untuk memintas plaza tol. Amalan memintas tol (shunpiking) bukanlah satu amalan yang bagus kerana selain menyesakkan jalan-jalan perumahan, ia juga boleh menyebabkan jalan-jalan perumahan cepat rosak, memandangkan rata-rata jalan perumahan hanya direka bentuk bagi kadar aliran trafik yang sangat rendah.
  4. Mengelakkan kesesakan di laluan utama lebuh raya - Jika plaza tol dibina di laluan utama, ia boleh menyebabkan kesesakan melalui dua cara, iaitu akibat pemintasan tol serta longgokan trafik yang diwujudkan di plaza tol. Ia lebih ketara pada sistem tol tertutup kerana pemandu perlu berhenti sebanyak dua kali di sepanjang lebuh raya untuk mengambil tiket tol dan membayar tol.
  5. Menjimatkan kos pembinaan - Kos pembinaan bagi sesebuah lebuh raya ekspres tidak terhad kepada lebuh raya itu sahaja, tetapi termasuklah semua bangunan serta institusi berkaitan, seperti plaza tol, hentian rehat, dsb. Jika kutipan dilaksanakan di CIQ BSI, MRCB tidak lagi perlu membina plaza tol dan ia membantu MRCB untuk menjimatkan kos pembinaan.

Jadi sejauh manakah impak kenaikan kadar tol CIQ BSI kepada rakyat Johor...? Jawapannya, tak ada langsung...!!! Golongan yang terkesan hanyalah para pekerja yang berulang-alik setiap hari antara Johor Bahru-Singapura untuk bekerja serta para pelancong, itu pun mereka masih lagi ada alternatif yang lebih murah untuk berulang-alik ke Singapura - naik sajalah bas, kalau malas sangat tu naik motor saja...!!! Naik motor tak perlu bayar tol langsung. Kalau naik bas pun, kenaikan tol cuma beri impak tidak sampai 30 sen sehari. Kepada para penentang tol EDL, kenapa anda tak cerita tentang kadar VEP yang hendak dinaikkan "kaw-kaw" oleh kerajaan Singapura kepada kita...? Kenapa anda tidak bising tentang kadar ERP yang mahal di seberang tambak itu...? Janganlah pula kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan...!!! Sepatutnya, anda berterima kasih kepada KKR dan kerajaan negeri Johor kerana lebih mengutamakan anak-anak Johor daripada orang luar mengenai isu tol JB EDL E14 ini - bukannya bermati-matian mempertahankan rasional kenaikan VEP di Singapura tetapi dalam masa yang sama mengecam kenaikan tol EDL dan penguatkuasaan VEP oleh kerajaan negeri Johor. Kita kena ingat, kita sudah terlalu banyak memberi muka kepada kereta-kereta Singapura melalui banyak cara termasuklah subsidi bahan api. Ada banyak kereta Singapura yang disaman di Malaysia tetapi terlepas begitu sahaja. Kalau jalan raya kita rosak pun, bukannya mereka bayar; mereka hanya tahu jalan sahaja. Saya bukanlah mahu mengeruhkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, tetapi apa yang saya ingin tegaskan di sini ialah setiap pemandu Singapura juga bertanggungjawab terhadap apa yang digunakan oleh mereka di Malaysia termasuklah jalan raya, atas dasar tetamu menghormati tuan rumah. Maka, mereka tidak sewajarnya berperangai "kiasu" dan berkira untuk mengeluarkan sedikit wang bagi memastikan jalan raya kita sentiasa selamat dan sempurna. Namun, saya amat bersetuju dengan saranan oleh Dato' Hj. Ismail agar MRCB Lingkaran Selatan membangunkan satu program kesetiaan termasuklah rebat tol bagi membantu mengurangkan impak kenaikan tol kepada golongan terbabit.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.







Sebahagian wakil media sedang berehat sebelum taklimat bermula






Mengambil kesempatan bergambar sebentar






Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato' Ir. Hj. Ismail menyampaikan taklimat






COO MRCB, Encik Imran menjawab soalan oleh wakil media






Jamuan makan tengah hari

Sunday, August 10, 2014

Roads Untraveled: Jalan Gombak FT68

Salam sejahtera,

Blog Jalan Raya Malaysia kembali aktif semula setelah lebih seminggu berehat sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. Kali saya ingin membawakan kepada anda sebuah reviu eksklusif mengenai Jalan Gombak FT68, juga dikenali sebagai Jalan Karak Lama, Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong malah ada juga yang memanggilnya sebagai Jalan Pahang lama, yang juga merupakan reviu jalan raya pertama yang dikuasakan oleh Sony Xperia Z sebagai telefon pintar rasmi Blog Jalan Raya Malaysia bagi menggantikan telefon bimbit Sony Ericsson C903 sebelum ini.



Imej Google Maps menunjukkan kesesakan teruk di sepanjang Lebuhraya Karak E8/FT2 semasa warga kota pulang ke kampung halaman masing-masing semasa cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri
(klik untuk besarkan)


Seperti yang telah dijangka, lebuh raya ekspres utama negara iaitu Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, Lebuhraya Karak E8/FT2 dan Lebuhraya Pantai Timur E8 menyaksikan pertambahan mendadak bilangan kenderaan yang menggunakannya sepanjang musim perayaan. Namun, apa yang berbeza pada musim cuti Hari Raya Aidilfitri tahun ini ialah kadar aliran trafik di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan E2 boleh dikatakan agak terkawal berikutan adanya Lebuhraya Lekas E21 yang berfungsi sebagai laluan alternatif dari Kuala Lumpur ke Seremban, meskipun jajaran Nilai-Seremban di E2 tetap sesak seperti biasa. Di sebelah utara dan pantai timur pula, kadar aliran trafik boleh dikatakan "lebih perlahan daripada kura-kura", dibuktikan dengan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dan Alor Setar yang masing-masing mengambil masa sehingga 16 jam dan 11 jam. Untuk entri kali ini, saya ingin menumpukan kepada arah pantai timur terlebih dahulu.

Imej Google Maps bertarikh 26 Julai 2014 menunjukkan keadaan Lebuhraya Karak E8/FT2 yang terlalu sesak di sepanjang laluannya sehingga ke Exit 810 Persimpangan Bentong. Sebaik sahaja selepas Exit 810, aliran trafik boleh dikatakan lancar, lebih-lebih lagi setelah jajaran Jabor-Cheneh baru sahaja dibuka bagi mengurangkan kesesakan Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14. Kenapa Lebuhraya Karak E8/FT2 boleh jadi terlalu sesak...? Jawapannya sudah tentulah kerana Lebuhraya Karak E8/FT2 mengangkut dua aliran trafik yang sangat tinggi, iaitu dari arah Kelantan (melalui Jalan Persekutuan 8) serta dari arah Kuantan dan Terengganu. 

Ironinya, Jalan Gombak FT68 yang sepatutnya menjadi alternatif bebas tol bagi Lebuhraya Karak E8/FT2 pula boleh dikatakan sangat lengang; kalau ada pun aliran trafik yang meningkat, itu cuma di sekitar pekan Bukit Tinggi sahaja. Kenapa ramai yang enggan menggunakan Jalan Gombak FT68 dan lebih sanggup meredah kesesakan E8/FT2...? Jawapannya sudah tentulah disebabkan keadaan FT68 yang sempit, berbengkang-bengkok dan dimeriahkan dengan cerita-cerita hantu yang berlaku di sepanjang laluannya. Untuk membuktikannya, Blog Jalan Raya Malaysia memberanikan diri untuk mencuba sendiri Jalan Gombak FT68 yang juga terkenal sebagai antara jalan raya paling "keras" di Malaysia.

Jalan Gombak FT68 dipercayai telah dibina semasa zaman penjajahan British di Malaysia, dibuktikan melalui reka bentuk jalan raya itu sendiri yang boleh dikatakan sezaman dengan beberapa batang jalan raya pergunungan yang dibina semasa zaman penjajah seperti Jalan Persekutuan 59 yang dibina pada tahun 1928 dan siap pada tahun 1930 dengan kos sejumlah tiga juta dolar. Namun, tiada sumber rasmi yang menyatakan dengan tepat bila Jalan Gombak FT68 itu mula dibina, tetapi saya percaya bahawa FT68 dibina jauh lebih dahulu daripada FT59 berikutan keadaan jalan yang sangat sempit serta tidak lagi relevan dengan tahap kejuruteraan jalan raya sekarang. Sekurang-kurangnya, jalan FT59 yang dikatakan mempunyai lebih 750 selekoh itu lebih lebar, ada bahu jalan lembut serta banyak pengadang jalan, menjadikan ia jauh lebih selamat daripada FT68. Bagaimana pula dengan Jalan Gombak FT68...? Teruskan membaca reviu ini untuk mengetahui keadaannya.

Saya memulakan perjalanan dari Jalan Pahang FT2 di Kuala Lumpur semasa kesesakan lalu lintas awal pagi di ibu kota sudah mula reda. Jalan Gombak bermula secara rasminya di sebuah persimpangan trompet dekat Balai Polis Setapak, yang menghubungkan Jalan Gombak dengan Jalan Pahang FT2 dan Jalan Genting Klang. Buat masa ini, Jalan Gombak masih lagi membentuk sebahagian daripada jajaran Jalan Persekutuan 2 di Kuala Lumpur. Titik permulaan sebenar bagi Jalan Persekutuan 68 terletak di persimpangan Jalan Kampung Bandar Dalam, yang mana Jalan Gombak kali ini merupakan Jalan Persekutuan 68 - Jalan Persekutuan 2 pula melalui Jalan Kampung Bandar Dalam yang hanya selebar dua lorong sehingga ke Exit 3309 Persimpangan Kampung Bandar Dalam, di mana FT2 bertindih dengan Lebuhraya Duke E33, KL MRR2 FT28 dan seterusnya Lebuhraya Karak E8/FT2.

Persimpangan Taman Ibu Kota membentuk sempadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur-Selangor. Sebaik melepasi simpang tersebut, saya secara rasminya memasuki negeri Selangor. Keadaan di Jalan Gombak FT68 di sebelah Selangor dan Kuala Lumpur memang berbeza - tatkala Selangor memartabatkan rangkaian jalan raya negara melalui penggunaan kod laluan yang betul di papan-papan tandanya, Kuala Lumpur seperti biasa menunjukkan contoh yang paling teruk - sudahlah kod laluan langsung tak ada, papan-papan tanda tunjuk arah pula dirojakkan dengan sebegitu banyak nama jalan, taman perumahan atau kawasan sehingga bercelaru dan berselirat. Beginikah contoh yang ditunjukkan oleh sebuah bandar raya yang sepatutnya mencapai status bandar raya global...? Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku penyelenggara Jalan Gombak FT68 di sebelah Kuala Lumpur sepatutnya berasa amat malu dengan Kementerian Kerja Raya serta Datuk Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya yang semakin menekankan kepentingan memartabatkan jalan raya melalui penggunaan kod laluan yang betul. Cubalah tanya mana-mana orang KL sama ada mereka tahu yang mana satukah jajaran Jalan Persekutuan 2 di dalam Kuala Lumpur atau tidak. Terus-terang saya katakan, saya berani bertaruh untuk mengatakan hampir kesemua orang KL tidak tahu langsung laluan FT2 di KL selain Lebuhraya Persekutuan FT2.

Di sebelah negeri Selangor pula, Jalan Gombak FT68 pula tiada bahu jalan keras sebagai mana di sebelah Kuala Lumpur. Keadaan sebegini sudah tentu membahayakan pengguna jalan raya kerana banyak kenderaan yang diparkir di tepi jalan sehingga mengganggu aliran lalu lintas berikutan tiada bahu jalan di samping kekurangan petak parkir sah. Namun, apa boleh buat, ruang tanah tidak mencukupi - kalau nak lebih lebar serta ada bahu jalan keras, lebih banyak rumah dan bangunan perlu dirobohkan. Perbezaan keadaan sebegini berlaku kerana Jalan Gombak FT68 dinaik taraf kepada jalan raya kembar pada dua waktu yang berbeza - jajaran dari simpang Taman Ibu Kota sehingga ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak dilebarkan terlebih dahulu sebagai salah satu projek Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8), diikuti dengan jajaran di sebelah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Projek naik taraf Jalan Gombak FT68 itu termasuklah pembinaan sebuah jejambat merentasi persimpangan lampu isyarat Simpang Tiga Batu Caves bagi lalu lintas arah Bentong. Sebelum Jalan Gombak FT68 dilebarkan, ia 100% jalan raya dua lorong sahaja, walaupun di sebelah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sebaik melalui di bawah jejambat KL MRR2 FT28, semakin kurang bangunan serta kawasan tepu bina, menunjukkan bahawa saya hampir meninggalkan kawasan metropolitan Lembah Klang. Jalan raya kembar tamat di simpang UIA yang terletak di Batu 8 Gombak. Saya berhenti minum sebentar di pekan Batu 8 Gombak sebelum meneruskan perjalanan.

Sebaik meneruskan perjalanan, Jalan Gombak FT68 dua lorong ternyata lebih sempit daripada sebelah hala jalan raya kembar tadi. Jalan Gombak FT68 yang dinaik taraf kepada jalan raya kembar itu mempunyai lebar lorong purata 3.25 m (JKR U4), menjadikan had lajunya 60 km/j. Namun, jajaran selepas Batu 8 Gombak itu pula hanyalah selebar 3.0 m (JKR R3), menjadikan had lajunya kekal 60 km/j. Lanskap turut berubah kepada lanskap perkampungan yang tenang dan mendamaikan, jauh daripada hiruk-pikuk ibu kota.

Sepanjang saya melalui jalan ini, saya tidak dapat menjumpai pintu masuk ke Mimaland yang kini sudah pun terbiar. Mungkin saya terlepas pandang mengenainya, kerana tiada papan tanda yang menunjukkannya. Saya hanya berpeluang mengunjungi Mimaland yang pernah menjadi taman tema terbesar di Kuala Lumpur itu sekali sahaja, iaitu pada tahun 1991 semasa saya berusia 9 tahun. Mimaland yang dikendalikan oleh Magnum Corporation mula dibuka pada tahun 1975 dan ditutup pada tahun 1994 berikutan kes kematian melibatkan salah seorang pengunjungnya sehingga memaksa ia ditutup sementara atas arahan mahkamah, diikuti dengan beberapa siri tanah runtuh yang berlaku kemudian di situ, yang menyebabkan Magnum Corporation sekali lagi dikenakan tindakan mahkamah sehingga memaksa Mimaland menutup pintunya buat selama-lamanya. Penutupan Mimaland ini sebenarnya merupakan salah satu punca utama aliran trafik yang sangat lengang di sepanjang Jalan Gombak FT68 sekarang.




Suasana di Mimaland semasa zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu




Petikan filem Gila-Gila Remaja


Jika ada di antara anda yang pernah melalui Jalan Gombak FT68, anda pasti akan merasakan bahawa keadaan FT68 ini seakan "hidup segan, mati tak mahu" sejak Lebuhraya Karak FT2 mula dibuka kepada lalu lintas. Keadaan FT68 sekitar tahun 1980an masih boleh dianggap agak "meriah" berikutan adanya taman tema Mimaland yang terletak di tepi jalan FT68, tetapi jalan FT68 sunyi semula setelah Mimaland ditutup pada tahun 1994. Malah, Mimaland itu sendiri seolah-olah seperti "rumah hantu" kerana keadaannya yang terbiar sehingga bersemak-samun.

Di KM24 pula terletaknya sebuah perkampungan Orang Asli yang terancang. Perkampungan tersebut turut dilengkapi masjid dan kliniknya sendiri, malah sebuah muzium khas Orang Asli turut didirikan di situ. Seterusnya, Kampung Sungai Rumput merupakan petempatan terakhir di sepanjang Jalan Gombak FT68 di sebelah negeri Selangor sebelum keadaan jalan berubah menjadi lebih sempit, lebih berbengkang-bengkok dan lebih berbahaya.

Sebaik melepasi Kampung Sungai Rumput, had laju diturunkan kepada 50 km/j sahaja. Keadaan jalan menjadi lebih sempit dan lebih berbengkang-bengkok seperti ular kena palu. Keadaan jalan juga sudah mulai curam, tetapi tidaklah curam sangat, dengan kecerunan purata sekitar 2-3%. Bermula dari situlah suasana Jalan Gombak FT68 berubah menjadi sangat sunyi; bilangan kenderaan yang melaluinya boleh dibilang dengan jari. Terus-terang saya katakan, saya sendiri pada mulanya berasa agak takut-takut sepanjang melalui jajaran yang begitu sunyi ini - apa tidaknya, kebanyakan jajaran yang mendaki Banjaran Titiwangsa ini begitu berbahaya kepada pengguna jalan raya kerana keadaannya yang sempit iaitu dengan lebar lorong sekitar 2.75-3.0 m (JKR R2 / R3). Tidak cukup dengan itu, terdapat banyak jajaran yang tiada bahu jalan hatta bahu jalan lembut sekalipun. Tambah menyeramkan, jajaran yang tiada bahu jalan itu pula ada gaung yang begitu dalam di sebelah jalan dan sebelah lagi pula ialah cerun curam 90 darjah. Turut menjadikan FT68 lebih berbahaya ialah banyak "jajaran ekstrim" yang tidak dilengkapi pengadang jalan (guardrail), menyebabkan kenderaan mudah terjatuh ke dalam gaung sekiranya berselisih dengan lori-lori besar. Apa tidaknya, lori-lori besar memang terpaksa "makan jalan" untuk membolehkan mereka melalui jalan sebegini. Sekurang-kurangnya keadaan turapan di sepanjang jajaran Jalan Gombak FT68 boleh dikatakan sangat bagus. Maka, tidak hairanlah kenapa Jalan Gombak FT68 ini sangat terkenal dengan reputasinya sebagai antara jalan raya paling "keras" di Malaysia, kerana keadaan jalan yang sebegitu ekstrim itu menunjukkan bahawa FT68 sudah banyak memakan korban sepanjang sejarah penggunaannya sebelum Lebuhraya Karak FT2 dibina.

Dari segi reka bentuk jalan pula, reka bentuk FT68 sememangnya sudah tidak lagi relevan dengan keadaan semasa. Ia dibina semasa zaman penjajah British, malah ia boleh dikatakan antara jalan raya pergunungan terawal yang dibina merentasi Banjaran Titiwangsa. Semasa ia dibina, rekaannya mungkin relevan pada zaman tersebut di mana tidak ramai yang memiliki kereta sendiri sebagaimana sekarang. Dengan lebar purata lorong sekitar 2.75-3.0 meter sahaja (JKR R3), ia terlalu sempit untuk dijadikan sebagai jalan raya utama; tambahan pula, jalan FT68 ini tiada bahu jalan, pengadang jalan tidak banyak dipasang serta banyak selekoh tajam. Sebab itulah rata-rata pengguna jalan raya enggan menggunakannya kerana keadaan jalan itu sendiri yang berbahaya. Namun, memandangkan Lebuhraya Karak E8/FT2 sering sesak teruk, masanya sudah tiba untuk Kementerian Kerja Raya menaik taraf jalan FT68 sebagai jalan super two sebagai alternatif kepada E8/FT2.

Kenapa Jalan Gombak FT68 perlu dinaik taraf kepada jalan super two...?
  1. Lebuhraya Karak E8/FT2 sering sesak teruk - Seperti yang kita sedia maklum, Lebuhraya Karak E8/FT2 sering sesak teruk semasa musim perayaan, memandangkan ia mengangkut aliran trafik dari arah Kelantan serta Terengganu. Dengan menaik taraf FT68 kepada jalan super two, ia berupaya mengurangkan kesesakan Lebuhraya Karak E8/FT2 sebanyak lebih kurang 20-30%.
  2. Keadaan Jalan Gombak FT68 yang sangat berbahaya kepada pengguna jalan raya - Keadaan Jalan Gombak FT68 yang sangat ekstrim itu telah saya terangkan dalam dua perenggan terdahulu serta ditebalkan. Maka, untuk meningkatkan tahap keselamatannya, FT68 perlu dinaik taraf kepada jalan super two yang memiliki ciri-ciri keselamatan yang lebih tinggi, seperti lorong yang lebih lebar (3.75 m), bahu jalan keras yang lebar, had laju rekabentuk yang lebih tinggi, serta jejari selekoh yang lebih besar. Sebab itulah majoriti jalan raya utama yang lebih baharu seperti Lebuhraya Timur-Barat Kedua FT185, Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102 dan Lebuhraya Kimanis-Keningau dibina sebagai jalan super two.
  3. Membela nasib penduduk yang tinggal di sekitarnya - Semasa zaman kegemilangan Mimaland dari tahun 1975 sehingga tahun 1994, kadar aliran trafik di Lebuhraya Karak FT2 dan Jalan Gombak FT68 boleh dikatakan agak seimbang. Lokasi Mimaland yang terletak di Batu 11 Jalan Gombak FT68 turut membawa limpahan kemakmuran ekonomi kepada penduduk di sekitarnya. Ramai penduduk yang mengambil kesempatan berniaga berhampiran Mimaland. Namun, setelah Mimaland ditutup, penduduk kampung tidak lagi berniaga kerana jumlah kenderaan yang menggunakan FT68 turun mendadak selain sesama mereka sendiri. Nasib yang sama turut dialami oleh Perkampungan Orang Asli KM24 Jalan Gombak FT68; Orang-orang Asli yang tinggal di situ tidak dapat memasarkan produk-produk tempatan mereka kerana bilangan kenderaan yang menggunakan FT68 boleh dibilang dengan jari. Sebab itulah Jalan Gombak FT68 perlu dinaik taraf menjadi jalan super two demi menjamin kelangsungan hidup para penduduk di sepanjang laluannya.

Sungguhpun demikian, adalah amat sukar untuk menaik taraf Jalan Gombak FT68 ini. Ia berikutan kaedah pembinaan primitif yang digunakan pada zaman penjajah British, iaitu dengan banyak bergantung kepada tulang empat kerat semata-mata tanpa menerapkan teknologi automotif terkini, tanpa menggunakan jentera bagi menarah bukit ataupun membina benteng. Jika FT68 hendak dinaik taraf, maka ia turut memerlukan kerajaan negeri Selangor untuk menggantung sementara status Hutan Simpan Kekal Gombak yang dilaluinya itu sebelum kerja-kerja naif taraf boleh dimulakan. Sebab itulah jalan raya yang terhasil itu sangat berbahaya jika diikutkan standard sekarang. Sebab itulah Lebuhraya Karak FT2 dibina pada tahun 1970an sebagai laluan berasingan sepenuhnya. Namun, dalam keadaan sekarang ini, pengguna jalan raya terutamanya yang sering berulang-alik dari ibu kota ke pantai timur sudah tentu memerlukan laluan alternatif bebas tol yang selamat. Justeru, saya mencadangkan agar Kementerian Kerja Raya mengadakan satu rombongan kerja ke Jambatan Kelok 9 di Sumatera Barat, kerana pendekatan yang diambil oleh kerajaan Indonesia bagi membina jambatan tersebut amat berguna untuk menaik taraf jalan-jalan raya pergunungan yang berbahaya. Dengan kata lain, penyelesaian ekstrim seperti membina beberapa siri jambatan amat diperlukan bagi menggantikan jajaran-jajaran ekstrim di sepanjang FT68 yang sudah tidak lagi boleh dilebarkan.




Jambatan Kelok Sembilan di Sumatera Barat, Indonesia. Jalan super two ini dibina bagi menggantikan jajaran lama yang sangat berbahaya kepada kenderaan awam berikutan terdapat sembilan selekoh yang sangat tajam di sepanjang jajaran lama.


Jajaran dari Kampung Sungai Rumput ke Genting Sempah dirasakan amat panjang. Setiap selekoh perlu ditangani dengan penuh berhati-hati agar riwayat saya tidak berakhir di dalam gaung. Secara amnya, kelajuan selamat di sepanjang jajaran pergunungan ini hanyalah sekitar 40 km/j. Hanya setelah menemui simpang jalan sehala bagi laluan arah barat barulah saya berasa lega kerana ia menunjukkan saya sudah sampai di simpang jalan masuk ke Genting Highlands. Jalan Gombak FT68 bertemu dengan Jalan Genting Sempah-Genting Highlands sehingga ke Bulatan Genting Sempah yang membolehkan anda keluar ke Lebuhraya Karak E8/FT2 ataupun membuat pusingan U untuk ke Genting Highlands. Oh ya, jika anda penat, anda boleh berehat sebentar di Kawasan Rehat dan Rawat Genting Sempah, kerana hentian rehat tersebut boleh dimasuki bukan sahaja dari arah Lebuhraya Karak E8/FT2 malah Jalan Gombak FT68 juga. Namun, ada tiga perkara yang tidak kena di sini, iaitu tiada papan tanda sempadan negeri Selangor-Pahang, keadaan jalan yang berubah menjadi teruk dan menggerutu sebaik memasuki daerah Bentong, serta batu penanda jarak yang tiba-tiba berubah angka jarak perjalanan. Batu penanda jarak pertama selepas simpang Taman Ibu Kota menunjukkan jarak Bentong yang hanya sekitar 39 km, yang sudah tentulah tidak logik kerana ia seakan-akan menunjukkan bahawa adalah lebih dekat untuk ke Bentong melalui Jalan Gombak FT68 yang berbengkang-bengkok berbanding melalui Lebuhraya Karak E8/FT2 yang kurang berkelok-kelok. Sebelum tiba di Genting Sempah, batu penanda jarak terakhir dalam negeri Selangor menunjukkan jarak ke Bentong hanya tinggal beberapa belas km sahaja, tetapi sebaik menemui batu penanda jarak pertama dalam negeri Pahang yang terletak di belakang Kawasan Rehat dan Rawat Genting Sempah, ia berubah kepada lebih kurang 37 km pula. Biar betul...!!! Justeru, saya memohon kerjasama JKR Gombak agak memperbetulkan semula kiraan jarak ke Bentong.

Di sebelah daerah Bentong, keadaan Jalan Gombak FT68 tidak begitu konsisten; ada kalanya keadaan jalan begitu teruk seolah-olah tidak pernah diselenggara (malah ada selekoh yang berpasir tetapi langsung tidak dibersihkan), dan ada kalanya pula keadaan jalan agak elok terutamanya di enam kilometer terakhir sebelum penamatnya di Ketari. Selain itu juga, tiada papan tanda yang jelas untuk ke Janda Baik dan pekan Bukit Tinggi; satu-satunya petunjuk utama ke Jalan Janda Baik C1 hanyalah pintu gerbang yang terletak di simpang masuknya. Akibat ketiadaan papan tanda, saya terlepas salah satu simpang untuk ke pekan Bukit Tinggi yang terletak betul-betul selepas simpang ke Janda Baik, tetapi mujurlah saya tidak terlepas simpang yang kedua pula.

Sepanjang Jalan Gombak FT68, ia beberapa kali melintasi Lebuhraya Karak E8/FT2. Lintasan pertama adalah di Kampung Sungai Rumput, Gombak, betul-betul sebelum perkampungan Orang Asli. Hanya setelah berada di Bukit Tinggi barulah terletaknya lintasan yang kedua pula. Selain itu, Jalan Gombak FT68 juga dilintasi Exit 805 Persimpangan Bukit Tinggi di Lebuhraya Karak E8/FT2 untuk ke Berjaya Hills Resort. Jika anda hendak ke Berjaya Hills Resort, tiada jalan masuk terus dari Jalan Gombak FT68; sebaliknya, anda perlu terlebih dahulu keluar ke Lebuhraya Karak E8/FT2 melalui pekan Bukit Tinggi.

Sebaik melepasi bawah jejambat Exit 805 Persimpangan Bukit Tinggi, keadaan jalan sudah kurang berkelok-kelok. Jika anda ingin memotong kenderaan perlahan, inilah masanya yang sesuai setelah sebegitu lama bersabar sehingga lebih sejam tanpa sebarang lurusan. Namun, ia tidak bermakna tiada langsung "jajaran ekstrim" yang sempit, tiada pengadang jalan serta terdapat gaung yang dalam dan cerun curam 90 darjah di sebelah jalan - sebaik melepasi lintasan terakhir di bawah Lebuhraya Karak E8/FT2 semasa perjalanan hanya berbaki lebih kurang 9 km sahaja lagi pun masih ada "jajaran ekstrim".

Sebaik sahaja menghampiri simpang ke Jalan Sambung Kuala Lumpur-Karak FT121 yang panjangnya hanya beberapa ratus meter sahaja itu barulah saya berasa sangat lega kerana perjalanan penuh liku dan ranjau di sepanjang Jalan Gombak FT68 sudah hampir ke penghujungnya. Simpang ini terletak ketika perjananan cuma berbaki 6 km untuk ke Bentong. Selain jajaran di sebelah daerah Gombak, jajaran dari simpang FT121 sehingga ke penamatnya itulah yang betul-betul dijaga rapi, kerana laluan ini sering digunakan oleh pengguna jalan raya dari ibu kota yang hendak ke Kelantan, Raub dan Kuala Lipis. Bermula selepas simpang inilah baru betul-betul terasa sudah dekat dengan bandar Bentong. Memandangkan saya sudah menghabiskan masa lebih kurang sejam setengah di sepanjang jalan FT68, badan pun sudah terasa letih dan perut pun sudah mendendangkan irama nu metal. Secara kebetulan, terdapat sebuah restoran nasi ayam Gemas yang baru dibuka di situ, jadi saya menggunakan kesempatan ini untuk makan tengah hari sebelum meneruskan perjalanan. Jalan Gombak FT68 berakhir di pekan Ketari yang terletak betul-betul di sebelah bandar Bentong. Lega pun akhirnya...!!! Saya pulang ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Karak E8/FT2, tetapi terlebih dahulu saya memenuhkan tangki minyak motosikal saya kerana perjalanan penuh liku dan ranjau sepanjang FT68 tadi sudah tentunya menjadikan motosikal saya lebih pelahap, meskipun kelajuan purata hanyalah antara 40-60 km/j.

Secara amnya, saya amat berpuas hati dengan pengembaraan saya di sepanjang FT68, meskipun keadaannya sangat berbahaya berikutan terdapat banyak selekoh tajam, keadaan jalan yang sempit, serta kekurangan pengadang jalan. Saya juga berasa amat bersyukur kepada Allah kerana tiada kejadian yang tidak diingini di sepanjang perjalanan termasuklah diganggu hantu syaitan dan makhluk halus, memandangkan Jalan Gombak FT68 sangat terkenal dengan reputasinya sebagai antara jalan raya paling "keras" di Malaysia. Apa pun, saya ingin menggesa Kementerian Kerja Raya agar menaik taraf laluan ini kepada jalan super two, untuk menyediakan laluan alternatif bebas tol bagi Lebuhraya Karak E8/FT2 yang sering sesak ketika waktu cuti serta musim perayaan. Ia boleh dilakukan dengan memotong "jajaran-jajaran ekstrim" (guna pendekatan Jalan Kelok 9 di Indonesia) serta memperelokkan jajaran di kawasan lurusan dan tanah rata. Nyawa Jalan Gombak FT68 tidak seharusnya "dibunuh" melalui pembinaan Lebuhraya Karak E8/FT2; sebaliknya, ia perlu diperelokkan untuk menyediakan laluan alternatif yang percuma serta selamat, sebagaimana kerajaan memperelokkan Jalan Semenyih-Mantin-Seremban FT1 ketika membina Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dahulu.

Untuk galeri gambar penuh, sila klik sini.







Permulaan Jalan Gombak di Persimpangan Jalan Gombak dekat Jalan Pahang FT2. Pada masa ini, Jalan Gombak masih lagi sebahagian Jalan Persekutuan 2






Simpang Desa Gombak






Simpang Kampung Bandar Dalam. Di sinilah permulaan Jalan Gombak sebagai Jalan Persekutuan 68; FT2 dilencongkan ke Jalan Kampung Bandar Dalam






Pasar Besar Gombak






Simpang Taman Ibu Kota untuk ke Danau Kota. Simpang ini membentuk sempadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur-Selangor






DBKL sepatutnya malu dengan KKR kerana gagal memartabatkan jalan raya Malaysia melalui penggunaan kod laluan yang betul sebagaimana yang dilakukan oleh JKR Gombak ini






Simpang Tiga Batu Caves kini sudah dinaik taraf menjadi persimpangan bertingkat






Melintasi KL MRR2 FT28






Pusingan U di Batu 7 Jalan Gombak FT68






Simpang ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) - jalan raya kembar tamat!






Suasana di pekan Batu 8 Gombak






Jalan Gombak FT68 menyempit - pengguna jalan raya dihidangkan dengan lanskap kampung yang mendamaikan






Lintasan pertama di bawah Lebuhraya Karak E8/FT2






Perkampungan Orang Asli di KM24 Jalan Gombak FT68






Had laju turun kepada 50 km/j - jajaran ekstrim mendaki Banjaran Titiwangsa bermula...!!!






Jajaran FT68 yang terjejas akibat tanah runtuh






Gaung dalam di sebelah kiri + cerun curam 90 darjah di sebelah kanan + jalan sempit + tiada bahu jalan + tiada pengadang jalan = laluan maut lagi ekstrim






Antara kerja-kerja pembaikan cerun di sepanjang FT68






Salah satu selekoh hairpin di Ulu Gombak






Lagi selekoh yang perlu diratah berterusan di Ulu Gombak






Pasangan sehala di Genting Sempah - masuk ke negeri Pahang secara rasminya






Jajaran Jalan Genting Sempah-Genting Highlands yang membentuk sebahagian FT68 - keadaan jalan sudah mula menggerutu






Papan tanda di Bulatan Genting Sempah ini perlu digantikan ataupun diperbaiki






Kawasan Rehat dan Rawat Genting Sempah bukan sahaja boleh dimasuki dari Lebuhraya Karak E8/FT2, malah dari Jalan Gombak FT68 juga






Keadaan jalan yang menggerutu sebaik melepasi hentian rehat Genting Sempah






Simpang ke Janda Baik - tiada papan tanda tunjuk arah ke sana, hanya pintu gerbang sahaja jadi mercu tanda






Selekoh ini sangat cantik tetapi garisan jalan sudah tiada






Turapan di selekoh ini elok pula tetapi berpasir dan tidak dibersihkan






Longgokan pasir yang berpotensi menjadi jerangkap samar di jajaran Janda Baik-Bukit Tinggi






Akibat ketiadaan papan tanda, saya terlepas simpang pertama ke pekan Bukit Tinggi, tetapi nasib baik saya tidak terlepas simpang masuk terakhir ke pekan Bukit Tinggi - itu pun hasil gerak hati sendiri!






Melintasi Lebuhraya Karak E8/FT2 buat kali kedua






Di atas ini ialah Exit 805 Persimpangan Bukit Tinggi






Lagi "jajaran ekstrim" sebaik melepasi Bukit Tinggi






Saya faham Jalan Gombak FT68 ini sudah jarang digunakan orang, tetapi ini bukanlah alasan untuk tidak menyelenggaranya






Lurusan pertama setelah berpuluh km dipenuhi liku dan ranjau






Melintasi Lebuhraya Karak E8/FT2 buat kali terakhir






Dah nak sampai Bentong pun masih ada "jajaran ekstrim" sebegini






Simpang ke Jalan Sambung Kuala Lumpur-Karak FT121 ini menandakan saya hampir tiba ke Bentong






Jarak Kuala Lumpur ke simpang FT121 melalui FT68 sebenarnya ialah 69 km






Dah nak sampai ke Bentong dah...!!!






Restoran nasi ayam Gemas yang baru sahaja dibuka di Bentong - masa makan tengah hari...!!!






Sekolah Teknik Bentong kini dinamakan Kolej Vokasional Tengku Ampuan Afzan






Jalan Gombak FT68 tamat di simpang Jalan Persekutuan 8 dekat pekan Ketari, Bentong