Friday, August 15, 2014

Apa Kejadahnya: Gunakan lampu isyarat membelok boleh tak...? / What The Hell: Flick that damn little turn signal stalk, will you...?



Lampu isyarat membelok bukanlah sekadar hiasan mahupun lampu pokok Krismas, jadi janganlah malas sangat nak guna lampu isyarat membelok ketika hendak keluar masuk simpang, menukar lorong, memotong mahupun memparkir kenderaan.
(Kredit gambar: Paul Tan)


Salam sejahtera,

Lampu isyarat membelok merupakan salah satu komponen penting dalam sistem elektrikal dan pencahayaan kenderaan. Ia amat penting kerana berupaya memberitahu para pemandu lain akan niat anda untuk menukar lorong, memotong, keluar masuk simpang mahupun untuk memparkir kenderaan anda. Dengan memberi isyarat lebih awal, pemandu lain di hadapan dan belakang berupaya untuk bersedia lebih awal sama ada untuk memperlahankan kenderaan, untuk berhenti, ataupun beranjak ke kiri (dalam kes kenderaan di hadapan anda mahu membelok kanan untuk memasuki simpang. 

Malangnya, terdapat golongan pemandu bebal Malaysia yang tidak ambil peduli akan kepentingan menggunakan lampu isyarat membelok dan sekadar melayan lampu-lampu isyarat membelok pada kenderaan mereka tidak ubah seperti lampu pokok Krismas semata-mata. Akibatnya, orang dari belakang, hadapan mahupun dari simpang tidak mengetahui niat sebenar pemandu-pemandu tersebut sama ada hendak ke kiri atau kanan - yang seterusnya membawa kepada kemalangan jalan raya. Kalau dah berlanggar, tahu pula hendak menyajikan babak gusti WWE percuma...!!!

Sejak bilakah lampu isyarat membelok diwajibkan pemasangannya pada kenderaan serta diwajibkan penggunaannya...?

Sebelum tahun 1907, hanya ada dua jenis sahaja lampu yang digunakan pada kenderaan, iaitu lampu kepala dan lampu posisi belakang. Maka, pemandu diwajibkan untuk belajar isyarat tangan untuk membelok (sama seperti isyarat tangan bagi penunggang basikal), memandangkan lampu isyarat membelok masih belum wujud lagi. Pengguna jalan raya yang lain memang boleh nampak isyarat tangan tersebut dengan jelas pada waktu siang, tetapi bagaimana pula semasa waktu malam yang gelap...? Sudah tentulah isyarat tangan tersebut tidak boleh dilihat dengan jelas. Justeru, lampu isyarat membelok dicipta pada tahun 1907, tetapi jenis moden seperti yang digunakan pada kereta-kereta sekarang hanya dipatenkan pada tahun 1938. Pada hari ini, boleh dikatakan hampir kesemua negara mewajibkan pemasangan dan penggunaan lampu isyarat membelok. Warna standard yang digunakan bagi lampu isyarat membelok adalah warna jingga.




Kenapa penggunaan lampu isyarat membelok sangat penting...? Penggunaan lampu isyarat membelok semasa keluar masuk simpang, memotong, menukar lorong mahupun memparkir kenderaan sebenarnya berupaya mengelakkan kebanyakan kes kemalangan, kerana kelipan lampu isyarat membelok membolehkan kenderaan lain tahu niat anda itu dan seterusnya bertindak berdasarkan niat anda itu (seperti memperlahankan kenderaan, dsb.). 




Memetik suis tangkai mahupun suis lungsur yang menghidupkan lampu-lampu jingga itu hanya memerlukan kudrat yang sangat sedikit, jadi kenapa masih ramai pemandu bebal yang tidak menggunakan lampu isyarat membelok...? Kalau terlalu malas hendak memetik suis isyarat membelok yang hanya memerlukan kekuatan sebatang jari sahaja, lebih baik carik-carikkan sahaja lesen memandu itu kerana golongan yang sering menyebabkan kemalangan jalan raya tidak layak sama sekali untuk memegangnya. Lampu-lampu isyarat membelok itu pula lebih baik cabut dan jual pada kedai potong saja. Ada otak diletakkan di punggung. Ada lampu isyarat membelok malas nak guna, kalau orang lain terlanggar kereta si pelaku itu sendiri atas kebebalannya itu tahu pula nak ajak bergaduh. Kalau kereta si pelaku itu sendiri yang kemalangan, bagus juga. Padan muka dia. Kurang seorang sampah masyarakat di atas jalan raya Malaysia.

Kenapa saya sangat marah dan menghentam "kaw-kaw" puak-puak bebal yang terlalu malas menggunakan lampu isyarat membelok...? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan kerana saya sendiri pernah menjadi mangsa kebebalan puak-puak haram jadah ini sepanjang seumur hidup saya - bukan sekali, tetapi dua kali. Malangnya, golongan bebal lagi dangkal itu masih tak serik-serik dan tak insaf-insaf seolah-olah mereka tiada ahli keluarga yang menanti kepulangan mereka dengan selamat. Budak-budak sekolah rendah pun tahu kepentingan menggunakan lampu isyarat membelok, jadi kenapa hendak meletakkan martabat diri lebih rendah daripada budak-budak sekolah rendah yang sudah tentunya tak ada lesen memandu...? Kes kemalangan jalan raya di Malaysia sudah terlalu banyak, jadi tak usahlah menjadi penyumbang kepada statistik yang tidak disenangi itu. Sekurang-kurangnya, fikirkanlah tentang ahli-ahli keluarga sendiri serta para pengguna jalan raya yang lain. Oleh itu, janganlah terlalu cuai atau malas untuk menggunakan lampu isyarat membelok kerana setiap petikan suis isyarat membelok sebenarnya mampu menyelamatkan nyawa anda serta pengguna jalan raya yang lain.

No comments:

Post a Comment