Salam sejahtera,
Lebih kurang sebulan daripada sekarang, Malaysia akan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ke-55 yang menandakan bebasnya Malaysia daripada cengkaman penjajah British. Seperti biasa, rumah-rumah, kedai-kedai serta jalan-jalan raya di Malaysia diwarnai dengan kibaran Jalur Gemilang sebagai simbolik kebanggaan rakyat terhadap kemerdekaan dan kemakmuran negara. Pada tengah malam 31 Ogos pula, rakyat Malaysia bersama-sama melaungkan kalimah keramat "Merdeka!" tanpa mengira latar belakang kaum, agama serta fahaman politik. Dengan kata lain, perpaduan adalah kunci utama kepada semangat patriotik di kalangan rakyat.
Namun, buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, sambutan kemerdekaan negara dicemari dan dicabuli dengan tema yang berbaur politik mengungkit tanpa sedikit pun unsur menerapkan semangat patriotik di kalangan rakyat. Tema "Janji Ditepati" dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan tahun ini, menjadikan Hari Kebangsaan kali ini seolah-olah kempen pilihan raya oleh parti pemerintah dan bukannya medan untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum, agama serta fahaman politik untuk sama-sama memperingati keringat, darah dan air mata para pejuang kemerdekaan membebaskan negara daripada cengkaman penjajah. Ia diburukkan lagi dengan penggunaan logo "pemalas" yang seolah-olah disalin dan ditampal menggunakan Microsoft Word sahaja (yang kemudian ditarik balik), di samping lagu tema yang terlalu banyak mengungkit apa yang telah dilakukan oleh kerajaan, sekaligus mengundang angka-angka "dislike" yang sangat tinggi.
Blog Jalan Raya Malaysia turut mempersoalkan rasional pemilihan tema bersifat politik ungkit-mengungkit secara keterlaluan ini bukan dari segi politik, tetapi dari segi moral dan integriti, khususnya apabila dikaitkan dengan industri pembinaan jalan raya dan lebuh raya di Malaysia. Pemilihan tema "Janji Ditepati" ini sememangnya bernada sombong dan angkuh, seolah-olah kerajaan yang memerintah tidak pernah langsung memungkiri janji, padahal sudah ada banyak kepincangan dan kebobrokan yang mencemar integriti industri jalan raya Malaysia.
Dalam blog ini sahaja sudah ada beberapa isu kepincangan dan kebobrokan yang berlaku dalam industri jalan raya Malaysia akibat sikap ungkit-mengungkit dan tidak ikhlas menyediakan infrastruktur kepada rakyat, sebaliknya memasang nawaitu untuk mengharapkan undi yang banyak serta kemenangan kerusi pilihan raya semata-mata. Cuba lihat contoh jalan-jalan raya yang dibina semasa beberapa dekad terawal kemerdekaan Malaysia seperti Lebuhraya Timur-Barat FT4 dan Lebuhraya Tun Razak FT12, pernahkan perancang utama kepada pembinaan kedua-dua lebuh raya ini menyuruh rakyat membina tugu peringatan besar yang terpampang nama si perancang tersebut? Langsung tak ada. Kalau ada tugu peringatan di Lebuhraya Timur-Barat FT4 pun, ia bagi memperingati anggota-anggota tentera serta pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terkorban demi mempertahankan dan menjayakan projek jalan raya tersebut. Bagi kes Lebuhraya Tun Razak FT12 pula, hanya sebilangan kecil sahaja yang tahu perancang sebenar kepada FT12 ialah Sultan Pahang sungguhpun nama Tun Abdul Razak pula yang digunakan. Ia menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan kerajaan menyediakan infrastruktur kepada rakyat, yang kini semakin sukar dilihat pada kerajaan sekarang.
Pada masa sekarang pula, industri pembinaan jalan raya pula dicemari dengan skandal kualiti pembinaan, kelewatan menyiapkan projek, serta projek yang dibina tidak mengikut piawaian JKR. Skandal rasuah pula? Jangan tanya saya, anda sendiri sudah boleh mengagak jawapannya. Lihat sahajalah pada Lebuhraya Pantai Timur E8 Fasa Dua yang masih tak siap-siap lagi, turapan "kulit bawang" di Lebuhraya Senai-Desaru E22, perjanjian konsesi Lebuhraya Pantai Barat yang terlalu panjang seolah-olah memberi lesen kepada syarikat konsesi untuk memeras ugut pengguna jalan raya daripada buaian sehingga ke liang lahad, Jalan Bukit Kepong-Felda Ma'okil yang kelihatan seolah-olah dibom bertubi-tubi walaupun tidak sampai 3 tahun dibina, Lebuhraya Kalabakan-Sepulot yang gagal disiapkan sebaliknya hanya dibina secara cincai sebagai "jalan lori balak" batu kerikil sahaja, serta sebahagian besar jajaran Lebuhraya Pan Borneo FT1 di Sarawak yang dibina dengan piawaian yang begitu rendah (kebanyakannya hanya memenuhi piawaian JKR R3 dengan had laju reka bentuk 70 km/j), ditambah lagi dengan sistem papan tanda caca marba yang tidak mengikut piawaian JKR. Janji untuk membina Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai sejak tahun 1990an juga gagal ditunaikan sehingga ke tahap kerajaan negeri Kelantan yang kekurangan hasil negeri terpaksa membina dan membiayai sendiri lebuh raya tersebut, satu janji yang sepatutnya membuatkan kerajaan Persekutuan berasa malu kerana kegagalan menunaikannya. Kesemuanya ini jelas membuktikan janji untuk menyediakan infrastruktur jalan raya yang berkualiti kepada rakyat sebenarnya tidak dipenuhi sepenuhnya. Itu pun masih lagi berani melaungkan slogan "Janji Ditepati".
Tentang logo Hari Kebangsaan 2012, saya dimaklumkan terdapat satu skandal di mana seorang gadis yang baru 2-3 bulan bekerja di Kementerian Penerangan, Kesenian dan Kebudayaan yang dusah tentunya masih lagi mentah, kurang pengalaman dan kurang kompeten diberikan tugas "merekabentuk" sebuah logo yang kelihatan seperti hanya disalin dan ditampal menggunakan Microsoft Word, yang seterusnya menjejaskan integriti kementerian tersebut dengan teruknya. Sebenarnya, skandal penciptaan logo Hari Kebangsaan 2012 itu sebenarnya mencerminkan integriti industri pembinaan jalan raya Malaysia yang semakin terhakis dek kerana sikap tidak ikhlas tetapi berniat untuk membolot lebih banyak projek kerajaan untuk menggondol laba yang lebih lumayan. Akibatnya, kerja dibuat secara cincai dengan menggunakan bahan-bahan berkualiti rendah serta prosedur pembinaan yang tidak mengikuti piawaian industri, yang seterusnya menghasilkan jalan-jalan raya yang berlubang di sana-sini seperti baru lepas perang walaupun tidak sampai beberapa tahun dibina.
Agama Islam secara terang-terangan memberi amaran bahawa salah satu sifat orang munafik ialah pandai berjanji tetapi gagal menunaikannya. Oleh itu, Blog Jalan Raya Malaysia menyeru kepada kerajaan agar berhenti daripada menggunakan tema "Janji Ditepati" sebagai tema Hari Kebangsaan kerana ia jelas memecahbelahkan rakyat dan hanya mengundang kebencian rakyat kepada kerajaan kerana dikatakan hanya tahu mengungkit. Lebih teruk lagi, kerajaan akan dianggan sebagai munafik sekiranya ada projek-projek infrastruktur yang dijanjikan gagal dibina. Kami rakyat Malaysia faham sekiranya projek-projek infrastruktur yang dijanjikan tidak dapat dimulakan kerana peruntukan tidak mencukupi, tetapi jangan sekali-kali mengungkit atau mendabik dada mengatakan mereka sentiasa menunaikan janji, kelak slogan tersebut akan memakan diri. Kerajaan sepatutnya sedar, kalau pun populariti kerajaan meningkat kerana program-program seperti bantuan Rakyat 1Malaysia, Kedai 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dsb., populariti besar tersebut pasti akan menjunam dengan teruknya sekiranya kerajaan tetap berdegil mahu mempertahankan slogan "Janji Ditepati" tersebut.
Jika benar kerajaan dambakan undi serta mandat rakyat, kerajaan sepatutnya menerima segala teguran, luahan ketidakpuashatian serta kritikan pedas oleh rakyat secara terbuka, bukannya hanya menerima segala komen bersifat memuji, membodek serta mengampu tetapi komen-komen bersifat mengkritik pula dicampak ke dalam tong sampah. Saya sendiri pun ada menerima nasib yang sama apabila admin kepada laman Facebook Datuk Seri Najib Razak telah bertindak membuang komen-komen saya dan menyekat saya daripada menulis sebarang komen pada laman Facebook beliau. Saya mahu menuntut penjelasan admin tersebut, adakah laman Facebook Datuk Seri Najib hanya untuk golongan pengampu dan pencacai semata-mata? Kalau benar Datuk Seri benar-benar prihatin akan masalah rakyat, maka saya menggesa agar admin tersebut dipecat serta-merta dan saya dibenarkan semula menulis komen kepada laman Facebook beliau. Terus-terang saya katakan, saya tiada niat politik ataupun mengharapkan wang, status atau kedudukan daripada beliau; saya hanya mahu luahan rakyat Malaysia sampai ke telinga Datuk Seri Najib dan seterusnya ditangani dengan segera. Jika beliau tidak berupaya untuk mendengar suara rakyat, malah slogan "1Malaysia" yang dilaungkan selama ini hanya sia-sia.
PERINGATAN: Segala penulisan oleh Blog Jalan Raya Malaysia adalah bersifat neutral tanpa memihak kepada mana-mana parti politik, sebaliknya ditulis dalam sudut pandangan sebagai pengkritik jalan raya. Oleh itu, sebarang komen berbaur sentimen politik akan dibuang dengan serta-merta.