Saturday, June 18, 2016

Honda RS150R: Pencabar terbaru takhta Raja Kapcai / The newest challenger for the King of Underbone throne

Salam sejahtera,

Minggu ini merupakan minggu yang begitu sibuk buat saya. Terdapat dua perasmian penting yang berlaku dalam minggu ini iaitu perasmian motosikal Honda RS150R pada Isnin, 13 Jun 2016, manakala esoknya (14 Jun 2016) pula ialah perasmian Proton Perdana generasi kedua. Maaf kerana lambat hendak menulis mengenai kedua-dua model tersebut kerana saya bergegas ke kampung halaman di Segamat pada masa itu. Maka, saya akan cuba menyiapkan entri mengenai kedua-dua model tersebut hari ini, bermula dengan Honda RS150R terlebih dahulu.

Jika anda masih ingat lagi siri reviu XPDC Teganu Kita 2015 yang diadakan pada Februari 2015, saya menggunakan motosikal Suzuki Belang R150 yang dipinjamkan oleh bekas rakan serumah saya untuk menjayakan siri reviu ini. Hasilnya ialah satu siri reviu bagi tiga batang jalan raya yang dijalankan secara balik hari serta merangkumi jarak perjalanan keseluruhan sejumlah 883 km. Pada masa itu, Suzuki Belang R150 itulah satu-satunya "raja kapcai" dengan saiz enjin terbesar. Namun, disebabkan kurangnya usaha promosi daripada Suzuki Assemblers Malaysia, motosikal ini tidak begitu banyak kelihatan di atas jalan raya dan ditenggelami populariti Yamaha 135LC yang lebih kecil sedikit saiz enjinnya. Seterusnya, Yamaha meneruskan dominasinya dengan mengeluarkan model Yamaha Y15ZR yang menggugat terus kedudukan Suzuki sebagai raja kapcai dalam erti kata sebenar. Kini, Honda turut sama menyertai perang merampas takhta Raja Kapcai melalui model kapcai flagship terbaru mereka iaitu Honda RS150R.

Program pembangunan model Honda RS150R ini mula dijalankan di Vietnam yang merupakan salah satu pasaran terbesar motosikal kapcai di Asia Tenggara. Malah, Bandar Raya Ho Chi Minh turut mendapat jolokan sebagai "kota motosikal" berikutan jumlah motosikal yang jauh lebih banyak daripada kereta. Malah, disebabkan status Vietnam sebagai negara membangun, pelbagai ragam pengguna motosikal kapcai dapat anda perhatikan - di Vietnam, motosikal kapcai itulah sedan keluarga, dan motor kapcai itulah lori yang berkeupayaan membawa ternakan dan hasil pertanian. Justeru, Honda Vietnam mengambil kesempatan membangunkan sebuah model raja kapcai yang disasarkan kepada anak-anak muda di sana, dan hasilnya ialah motosikal Honda Winner 150 yang mula dikeluarkan di Vietnam pada April 2016. Honda Winner itu kemudiannya dilancarkan di Indonesia sebagai Honda Supra GTR150, dan seterusnya dilancarkan di Malaysia sebagai Honda RS150R. Ironinya, ia belum lagi dilancarkan di Thailand.

Sekarang kita pergi pula kepada bahagian enjin pula. Suzuki Belang R150 menggunakan enjin Suzuki FXR150 yang telah dijinakkan, manakala Yamaha Y15ZR pula menggunakan enjin sama seperti Yamaha FZ150i. Sementara itu, Honda RS150R pula menggunakan enjin sama seperti model Honda CBR150R, tetapi bukan daripada jenis yang sama seperti yang pernah dibawa masuk ke Malaysia sebelum ini. Enjin Honda CBR150R generasi pertama merupakan enjin berlejang pendek (oversquare)  berukuran 63.5 x 47.2 mm, manakala enjin yang digunakan dalam RS150R ini sebenarnya diambil daripada model CBR150R generasi ketiga yang mana enjinnya dibangunkan di Indonesia. Enjin CBR150R generasi ketiga itu merupakan enjin serba baharu yang berlejang panjang (undersquare) berukuran 57.3 x 57.8 mm, manakala generasi kedua pula menggunakan enjin sama seperti generasi pertama tetapi sistem karburetor digantikan dengan pancitan bahan api PGM-FI. Enjin RS150R yang dibangunkan di Indonesia itu pertama kali digunakan pada model jalanan Honda CB150R dan seterusnya Honda Sonic. Dari segi sistem bahan api pula, kedua-dua Honda RS150R dan Yamaha Y15ZR menggunakan pancitan bahan api manakala Suzuki Belang R150 pula menggunakan karburetor; namun, pengganti Belang generasi sekarang yang sudah pun dilancarkan di Indonesia pada Februari 2016 pula menggunakan enjin sejukan air serba baharu yang disuap oleh sistem pancitan bahan api.

Sekarang mari kita bandingkan dari segi prestasi pula. Suzuki Belang R150 paling berkuasa dalam kelasnya, menghasilkan keluaran kuasa 16.5 PS @ 9,500 rpm, tetapi kilasan yang terhasil pula paling kecil iaitu 12.76 N-m @ 8,500 rpm disebabkan penggunaan enjin berlejang pendek (62 x 48 mm). Yamaha Y15ZR pula menghasilkan tork tertinggi dalam kelasnya iaitu 13.8 N-m @ 7,000 rpm hasil penggunaan enjin SOHC berlejang panjang (57 x 58.7 mm), tetapi kuasa kudanya adalah yang paling kecil antara ketiga-tiganya iaitu 15.4 PS @ 8,500 rpm. Sementara itu, Honda RS150R pula berada di tengah-tengah bagi kedua-dua kuasa kuda dan tork, iaitu 15.63 PS @ 9,000 rpm dan tork 13.5 N-m @ 6,500 rpm. Hasilnya, Suzuki Belang R150 yang saya uji sebelum ini menghasilkan kelajuan maksimum 136 km/j, manakala kelajuan standard Yamaha Y15ZR (dipanggil Yamaha Exciter 150 di Vietnam) pula lebih kurang sama iaitu 136 km/j. Sementara itu, Boon Siew Honda mendakwa bahawa kelajuan maksimum bagi Honda RS150R ini ialah 150 km/j - mungkin keseimbangan antara kuasa kuda dan tork menjadikan Boon Siew Honda berani mendakwa angka kelajuan maksimum sedemikian. Ironinya, Honda RS150R merupakan raja kapcai yang paling berat antara ketiga-tiga model yang dibandingkan, iaitu 119 kg berat kering berbanding Yamaha Y15ZR (115 kg) dan Suzuki Belang R150 (108 kg).

Apa lagi yang patut dibandingkan antara ketiga-tiganya...? Ketiga-tiganya mempunyai brek cakera depan dan belakang, tetapi saiz brek cakera hadapan Belang paling besar antara ketiga-tiganya. Ketiga-tiganya juga menggunakan gandingan takometer analog dan speedometer digital. Dari segi lampu hadapan pula, Belang masih menggunakan mentol-mentol biasa manakala Y15ZR pula menggunakan mentol halogen dengan lampu pencahayaan siang (DRL) LED. RS150R pula menggunakan lampu hadapan LED. 

Mengenai lampu isyarat membelok pula, di sinilah terletaknya punca kekecewaan utama para peminat motosikal RS150R - Honda RS150R menggunakan lampu isyarat membelok capang hadapan dan belakang, manakala model serupa di Vietnam dan Indonesia tiada pula lampu isyarat membelok capang serupa digunakan. Sementara itu, Yamaha hanya menggunakan lampu isyarat membelok capang belakang, manakala Belang yang memang sudah lama keluar sebelum 2013 tiada lampu isyarat membelok capang; jika Suzuki Assemblers Malaysia bercadang untuk membawa masuk penggantinya itu, kita boleh menjangkakan model tersebut bakal menggunakan lampu signal capang depan dan belakang.




Peraturan UNECE mewajibkan lampu-lampu isyarat membelok hadapan dijarakkan 240 mm. Namun, disebabkan saiz fender Honda RS150R yang langsing, maka lampu isyarat membelok hadapan capang terpaksa dipasang oleh Boon Siew Honda
(Kredit gambar: Careta)


Kenapa pula Honda RS150R dipasang lampu signal hadapan capang tetapi Yamaha Y15ZR pula tak payah...? Dalam satu entri oleh Careta, Boon Siew Honda ada mendedahkan rasional di sebalik pemasangan lampu isyarat capang hadapan tersebut. Menurut Boon Siew Honda, mereka terpaksa memasang lampu isyarat capang hadapan sebagai memenuhi peraturan UNECE yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 2013, yang memerlukan jarak antara kedua-dua lampu isyarat membelok hadapan dijarakkan sehingga sekurang-kurangnya 240 mm antara permukaan menyala, manakala jarak antara kedua-dua lampu isyarat membelok belakang pula 180 mm. Dalam konteks motosikal kapcai yang mempunyai fender hadapan dan ekor yang begitu langsing, ia bermaksud motosikal kapcai baharu yang dikeluarkan bermula tahun 2013 perlu memasang lampu-lampu isyarat membelok capang bagi membolehkan model-model tersebut lulus peraturan baharu tersebut. Dalam kes Yamaha Y15ZR pula, fender hadapannya pula lebih gemuk, membolehkan lampu-lampu isyarat membelok hadapan yang dipasang pada fender lulus peraturan UNECE tanpa perlu menggunakan lampu isyarat membelok capang. 

Kenapa pula peraturan menjarakkan lampu isyarat membelok tersebut diperkenalkan...? Sebabnya adalah kerana tidak mahu cahaya lampu isyarat membelok ditenggelami kesilauan cahaya lampu kepala yang jauh lebih terang. Dalam kes lampu belakang pula, kalau diikutkan memanglah lampu belakang tidak begitu terang, tetapi kita perlu ingat bahawa ada penunggang yang memasang kotak barangan di belakang, yang tentunya akan sedikit-sebanyak menyembunyikan lampu signal tersebut. Kalau tidak memasang kotak barangan sekalipun, lampu-lampu signal belakang boleh terlindung oleh paha pembonceng. Sebab itulah ia perlu dijarakkan, walaupun tidak sebesar jarak lampu signal hadapan. Jika anda tidak sukakan lampu isyarat capang hadapan itu, anda boleh sahaja mengubah pendawaian lampu isyarat hadapan untuk pergi ke lampu-lampu posisi pada fender, dengan mentol-mentol lampu posisi fender digantikan dengan mentol jingga - itu pun kalau anda pandai dalam bidang pendawaian elektrik motosikal.

Dari segi pengendalian pula, pengendalian Honda RS150R adalah yang paling baik antara ketiga-tiganya, kerana ia menggunakan tayar-tayar yang lebih besar. Saiz tayar belakang RS150R dan Y15Z adalah sama (120/70-R17), tetapi tayar hadapan RS150R pula lebih besar (90/80-R17). Saiz tayar hadapan Y15Z sama seperti Belang iaitu jenis 70/90-R17, manakala tayar belakang Belang pula paling kecil (80/90-R17).

Begitulah perbandingan antara Honda RS150R dengan dua lagi raja kapcai yang lain iaitu Yamaha Y15ZR dan Suzuki Belang R150. Honda RS150R ini boleh anda miliki dengan harga RM8,213.94 termasuk GST tetapi tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Memandangkan sudah semakin banyak pencabar dalam segmen raja kapcai 150 cc ini, maka saya serahkan kepada anda sendiri untuk membuat pilihan berasaskan kepada bajet serta selera anda.




Spesifikasi Honda RS150R

Enjin: 4 lejang 1 silinder DOHC 4 injap sejukan cecair
Sesaran: 149.16 cc
Lubang x lejang: 57.3 x 57.8 mm
Kuasa kuda maksimum: 15.63 PS @ 9,000 rpm
Tork maksimum: 13.5 N-m @ 6,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 6 kelajuan manual (1 bawah, 5 atas)
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 119 kg
Kelajuan maksimum: 150 km/j (dakwaan pengeluar)

Apa yang saya suka
  1. Lampu-lampu hadapan LED yang terang
  2. Tayar yang paling lebar dalam kelasnya, menjadikan pengendalian di selekoh paling meyakinkan
  3. Imbangan terbaik antara prestasi dan penjimatan bahan api
Apa yang saya tidak suka
  1. Berpotensi untuk menjadi motosikal sasaran pencuri
  2. Lampu-lampu isyarat membelok capang hadapan dan belakang yang mencacatkan rupanya (sila baca keterangannya di atas)


Spesifikasi Suzuki Belang R150

Enjin: 4 lejang 1 silinder DOHC 4 injap sejukan udara dan minyak
Sesaran: 147.6 cc
Lubang x lejang: 62 x 48 mm
Kuasa kuda maksimum: 16.5 PS @ 9,500 rpm
Tork maksimum: 12.76 N-m @ 8,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 6 kelajuan manual (1 bawah, 5 atas)
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 108 kg
Kelajuan maksimum: 136 km/j (diuji)
Penggunaan bahan api: Purata sekitar 28.64 km/L (sila rujuk jadual di atas)

Apa yang saya suka
  1. Penggunaan sistem sejukan udara dan minyak yang menjadikan kos penyelenggaraannya lebih rendah daripada Yamaha Y15ZR
  2. Paling berkuasa dalam kelasnya
Apa yang saya tidak suka
  1. Sistem pengunci stereng yang terlalu primitif dan tidak selamat
  2. Lampu hadapan yang terlalu malap


Spesifikasi Yamaha Y15ZR

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 4 injap sejukan cecair
Sesaran: 149.7 cc
Lubang x lejang: 57 x 58.7 mm
Kuasa kuda maksimum: 15.36 PS (11.3 kW) @ 8,500 rpm
Tork maksimum: 13.8 N-m @ 7,000 rpm
Penghidup: Elektrik
Transmisi: 5 kelajuan manual (1 bawah, 4 atas)
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 115 kg
Kelajuan maksimum: 136 km/j


Apa yang saya suka
  1. Penggunaan pancitan bahan api yang terbukti lebih jimat petrol dan lebih mesra alam
  2. Lampu hadapan yang lebih terang
  3. Tayar yang lebih lebar untuk pengendalian lebih lincah di selekoh
Apa yang saya tidak suka
  1. Masih berpotensi sebagai motosikal sasaran pencuri meskipun lebih banyak ciri keselamatan diterapkan





Pandangan keseluruhan Honda RS150R




Honda RS150R ini menggunakan lampu-lampu isyarat membelok capang di hadapan...




...dan belakang




Seperti raja-raja kapcai 150 cc lain, Honda RS150R ini menggunakan gabungan takometer digital serta speedometer dan panel LCD digital




Enjin yang digunakan oleh Honda RS150R adalah sama seperti pada Honda CBR150R generasi ketiga
(Semua kredit gambar: Careta)

Friday, June 10, 2016

Honda Civic 2016: Civic terbaik pernah dibina / 2016 Honda Civic: The best Civic ever built



Tidak seperti kelaziman yang mana syarikat-syarikat automotif cenderung memperagakan model-model seksi setiap kali majlis perasmian model kereta baharu, Honda Malaysia pula mengambil pendekatan menggunakan model wanita bertudung semasa perasmian Honda Civic FC bagi menghormati bulan Ramadan
(Kredit gambar: Careta)





Salam sejahtera,

Semalam (10 Jun 2016), generasi kesepuluh Honda Civic telah selamat dilancarkan oleh Honda Malaysia. Model yang diberi kod FC ini menggantikan generasi kesembilan Civic (FB) yang dilancarkan pada tahun 2012, menjadikan jangka hayat pengeluaran Civic FB lebih pendek (4 tahun) daripada pendahulunya iaitu Civic generasi kelapan (FD). Ini merupakan kali kedua Blog Jalan Raya Malaysia menulis mengenai Honda Civic selepas entri pandu uji generasi kesembilan disiarkan pada tahun 2012..

Seperti dua generasi lepas, Honda Amerika diberi tanggungjawab merekabentuk generasi kesepuluh Civic ini, bermatlamatkan agar dapat menarik semula pembeli muda untuk memilikinya. Generasi kesembilan dipendekkan jangka hayatnya berikutan reka bentuknya yang dianggap "kurang menarik" walaupun tidaklah sebegitu teruk. Jika dibandingkan dengan generasi kelapan, rekaan generasi kelapan yang begitu futuristik dan anggun serta kelihatan betul-betul seperti sebuah "kereta Ah Beng" sejati menjadikan Civic generasi kelapan masih digilai peminat automotif sehingga sekarang, meskipun kalau diikutkan ia tiada penunjuk jarak sehingga tangki kosong seperti pada kereta Proton Gen-2 yang dibina lebih awal. Justeru, bermodalkan formula kejayaan generasi kelapan, para pereka di Amerika Syarikat menghasilkan sebuah kereta yang nampak jauh lebih canggih, lebih anggun serta memenuhi kriteria "kereta Ah Beng" sejati - hasilnya ialah Honda Civic FC yang dapat anda lihat sekarang. Selain itu, untuk generasi kesepuluh ini Honda tidak lagi menghasilkan dua rekaan berbeza bagi Civic sebagaimana dua generasi terdahulu - kali ini model Civic Eropah dengan Civic Amerika Syarikat (model Malaysia juga dikira dalam keluarga Civic AS) berkongsi satu rekaan global yang sama.






Varian 1.5TC-P menggunakan 100% lampu-lampu LED bagi lampu isyarat membelok, lampu kepala dan lampu kabut (atas), manakala varian lain pula menggunakan lampu isyarat membelok jenis mentol biasa dan lampu kepala halogen jenis projektor (bawah)
(Kredit gambar: Paul Tan)


Tarikan utama bagi Civic FC ini ialah lampu-lampu hadapannya yang terdiri daripada dua lapis lampu-lampu LED bagi lampu isyarat membelok dan lampu kepala, yang kelihatan seperti butiran berlian yang disusun dalam dua baris, menjadikannya nampak anggun, mewah dan canggih. Ia disempurnakan dengan jalur lampu pencahayaan siang (DRL) putih. Tidak cukup dengan itu, lampu kabut hadapannya juga adalah dari jenis LED. Namun, hanya varian paling mahal sahaja yang dilengkapi lampu-lampu LED di hadapan; model-model spesifikasi lebih rendah pula menggunakan mentol biasa bagi lampu isyarat membelok serta lampu kepala dan lampu kabut jenis halogen. Lampu belakang yang digunakan pula sama - jalur lampu LED merah berbentuk seperti sepit ketam bagi lampu posisi belakang dan lampu brek, manakala lampu brek dan lampu undur pula menggunakan mentol biasa.




Jangan terpedaya dengan imej jarum takometer Civic FC - ia sebenarnya animasi paparan LCD dan hanya muncul selepas enjin dihidupkan


Sekarang mari kita lihat dalamannya pula. Paparan meter Civic kali ini bukan lagi dari jenis dua lapis seperti pada dua generasi terdahulu dan juga pada Honda Insight. Sebaliknya, ia digantikan dengan panel meter satu lapisan yang konvensional tetapi mengekalkan rekaan kombinasi meter laju digital dan takometer analog. Tidak cukup dengan itu, Honda membawakan kepada anda satu lagi kejutan - takometer yang digunakan itu sebenarnya bukanlah takometer sebenar tetapi sekadar animasi pada paparan LCD warna beresolusi tinggi yang besar. Anda tidak akan dapat melihat takometer tersebut sekiranya enjin dimatikan. Menariknya, kesemua varian Civic FC yang dijual di Malaysia menggunakan paparan meter yang canggih ini, berbanding model Thailand yang mana varian spesifikasi rendah pula menggunakan takometer biasa serta paparan LCD monokrom bernombor biasa.












Paparan skrin sentuh dari atas ke bawah: (1) Menu utama; (2) Tetapan kenderaan; (3) Mod telefon bebas tangan; (4) Tetapan penyaman udara; (5) Mod navigasi
(Semua kredit gambar: Paul Tan)


Bagi sistem audio pula, kesemua varian Civic FC yang dijual di Malaysia menggunakan unit skrin sentuh 7 inci yang turut diintegrasikan dengan kawalan penyaman udara - dengan kata lain, anda boleh mengawal pendingin udara melalui skrin sentuh sama dengan radio Civic ini. Caranya sangat mudah - hanya perlu tekan butang Climate dan anda boleh mengawal suis utama penyaman udara, kelajuan kipas serta mod hembusan angin, dan seterusnya tekan butang Climate sekali lagi untuk keluar ke srin radio. Varian turbo premium dilengkapi kawalan suhu dwizon seperti pada Honda Accord, manakala varian lain pula menggunakan kawalan suhu zon tunggal biasa. Tidak cukup dengan itu, Civic kali ini turut dilengkapi salur penyaman udara belakang sebagaimana Accord. Bagi sistem navigasi, hanya varian turbo premium sahaja dilengkapi sistem navigasi, manakala bagi varian lain pula anda boleh memasang sendiri penerima isyarat GPS di kedai-kedai aksesori. Radio Civic FC ini dilengkapi dua port USB untuk memainkan lagu dan mengecas telefon pintar anda, serta satu port HDMI untuk memainkan video daripada telefon pintar anda menggunakan kabel MHL.

Sementara itu, rekaan stereng yang digunakan seakan sama seperti Civic FB, tetapi butang-butang kawalannya sedikit berbeza. Kawalan kelantangan bunyi kali ini tidak lagi disepadukan dengan butang-butang arah, tetapi diasingkan kepada kawalan elektrostatik, yang memerlukan anda mengurutnya ke atas dan ke bawah menggunakan ibu jari kiri untuk melaras kelantangan bunyi.

Satu lagi kejutan di dalam Civic kali ini ialah ketiadaan tuas brek tangan. Mana perginya brek tangan...? Sebenarnya, brek tangan pada Civic kali ini digantikan dengan suis brek parkir elektrik di sebelah kanan tombol gear yang dikendalikan dengan cara sama seperti tingkap kuasa - tekan ke bawah untuk melepas brek parkir dan tarik ke atas untuk menarik brek parkir. Sementara itu, butang Econ dialihkan di sebelah kiri tuas gear. Sementara itu, kerusi pemandu dilengkapi dengan suis-suis pelarasan elektrik 8 hala, satu lagi ciri mewah yang dijadikan sebagai ciri standard bagi kesemua varian.

Sementara itu, rekaan Civic kali ini menampakkan ruang dalaman yang sebegitu besar tetapi ruang but pula pada zahirnya nampak kecil disebabkan rekaan garis bumbungnya, menjadikannya kelihatan seakan model hatchback. Namun, setelah dibuka, ruang but belakang sebenarnya agak besar, boleh memuatkan barangan sehingga 519 L. But belakang Civic kali ini tidak dibuka menggunakan kunci, tetapi menggunakan suis getah hitam yang tersembunyi di balik but serta satu lagi suis tekan yang tersembunyi di celah-celah pintu pemandu. Suis-suis ini hanya boleh dibuka sekiranya fob kunci ada berhampiran, sekaligus mengurangkan risiko kecurian pada but.

Sebut tentang fob kunci, saya ingin menyebut tentang sistem kemasukan pintar yang hanya memerlukan anda menyimpan fob kunci di dalam kocek seluar anda. Apa yang anda perlukan hanyalah menekan butang getah pada hendal pembuka pintu untuk mengunci atau membuka kunci. Kalau fob kunci tiada, pintu tidak boleh dibuka. Tidak cukup dengan itu, pintu akan terkunci sendiri sekiranya anda berjauhan dari kereta, mengurangkan risiko kecurian. Butang penghidup tekan digunakan untuk menghidupkan dan mematikan enjin tanpa memerlukan kunci. Kesemua ini merupakan ciri standard bagi kesemua varian Civic FC.

Akhir sekali, mari kita jengah apa yang ada di sebalik bonet hadapan kereta ini. Civic kali ini ditawarkan dengan dua pilihan enjin, iaitu enjin 1.8 L pernafasan biasa (NA) dan enjin 1.5 L turbo. Varian paling murah menggunakan enjin R18 1.8 L yang sama seperti dua generasi terdahulu, yang dikenali kerana penjimatan minyaknya. Sementara itu, varian pertengahan dan premium pula menggunakan enjin 1.5 L turbo bagi menggantikan enjin-enjin 2 liter yang digunakan pada tiga generasi terdahulu. Meskipun hanya 1.5 liter, namun kuasa yang dihamburkan itu sama kuat seperti enjin 2.4 liter kerana selain menggunakan pengecas turbo, enjin Earth Dreams 1.5 L VTEC Turbo ini juga menggunakan teknologi pancitan terus petrol (GDI). Meskipun Proton lebih dahulu menggunakan enjin turbo seperti pada Proton Preve, Proton Exora Bold dan Proton Suprima S, namun enjin VTEC Turbo ini menggunakan penyejuk perantara (intercooler) yang lebih besar daripada enjin Campro Turbo serta menggunakan tekanan penggalak yang lebih tinggi. Justeru, sungguhpun enjin Campro Turbo lebih besar (1.6 liter), namun ia hanya menghasilkan 138 kuasa kuda berbanding enjin 1.5 L VTEC Turbo yang menghamburkan 173 kuasa kuda. Namun, Proton sudah tentu tidak akan berdiam diri kerana mereka kini sedang menyiapkan satu keluarga baharu enjin GDI yang mana enjin 1.5 liter turbo mereka dijangka akan menghasilkan 180 kuasa kuda. Kedua-dua enjin yang digunakan pada Civic FC ini digandingkan dengan transmisi boleh laras berterusan (CVT), menjadikannya sangat jimat minyak serta memperoleh pengiktirafan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) bagi kesemua varian.

Tiga varian ditawarkan oleh Honda Malaysia, iaitu 1.8S (paling murah), 1.5TC dan 1.5TC-P (paling mahal). Harga bagi setiap varian ialah RM113,800 (1.8S), RM127,800 (1.5TC) dan RM135,800 (1.5TC-P), termasuk GST, insurans dan cukai jalan.



Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Risalah Honda Civic FC



Spesifikasi Honda Civic 1.8S 2016

Enjin: R18Z1 SOHC 16 injap 4 silinder 4 lejang i-VTEC 1.8 liter sejukan cecair
Sesaran: 1,799 cc
Lubang x lejang: 81 x 87.3 mm
Nisbah mampatan: 10.6:1
Kuasa kuda: 141 PS @ 6,500 rpm
Tork: 174 N-m @ 4,300 rpm
Jarak roda: 2,700 mm
Berat kering: 1,251 kg
Kelajuan maksimum: 200 km/j (dakwaan pengeluar)
Saiz tayar: 215/55R16



Spesifikasi Honda Civic 1.5TC / 1.5TC-P 2016

Enjin: L15B7 DOHC 16 injap 4 silinder 4 lejang VTEC 1.5 liter pancitan terus sejukan cecair dengan pengecas turbo tatal tunggal (single-scroll) MHI TD03 dan injap buangan dalaman
Tekanan penggalak: 113.76 kPa (1.1376 bar)
Sesaran: 1,496 cc
Lubang x lejang: 73 x 89.4 mm
Nisbah mampatan: 10.6:1
Kuasa kuda: 174 PS @ 5,500 rpm
Tork: 270 N-m @ 1,700-5,500 rpm
Jarak roda: 2,700 mm
Berat kering: 1,316 kg
Kelajuan maksimum: 200 km/j (dakwaan pengeluar)
Saiz tayar: 215/50R17



Apa yang saya suka:-
  1. Lampu-lampu LED hadapan yang sangat anggun
  2. Enjin turbo 1.5 liter yang lebih berkuasa tetapi lebih jimat minyak
  3. Paparan meter, sistem audio serta kawalan penyaman udara yang lebih canggih
  4. Dilengkapi salur penyaman udara belakang
  5. Varian paling murah pun dapat merasa banyak ciri-ciri mewah

Apa yang saya tidak suka
  1. Tiada - tetapi bagi orang lain pula sudah tentulah CVT





Bahagian hadapan Honda Civic 1.5TC-P 2016




Bahagian belakang Honda Civic 1.5TC-P 2016




Reka bentuk lampu belakang seakan sepit ketam ini hampir sama seperti generasi kesembilan tetapi jauh lebih menarik




But Civic ini boleh memuatkan barangan sehingga 519 liter




Kamera undur turut disertakan sebagai ciri standard bagi Civic baharu ini




Butang penghidup tekan




Butang-butang pada stereng ini hampir sama seperti Civic generasi kesembilan, tetapi kawalan bunyi diasingkan ke suis kawalan elektrostatik




Sistem audio dengan skrin sentuh 7 inci yang turut berfungsi mengubab tetapan kenderaan, tetapan penyaman udara dan juga sistem navigasi




Jika enjin dimatikan, takometer tidak akan kelihatan kerana takometer dalam model ini sebenarnya animasi sahaja




Beberapa suis kawalan di sebelah pemandu termasuklah suis amaran parkir hadapan, suis Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) dan suis Bantuan Mula Bukit (HSA)




Enjin VTEC Turbo 1.5 liter ini menggantikan enjin 2 liter pernafasan biasa (NA) pada generasi sebelumnya




Sekali lagi, enjin R18Z1 ini terus digunakan bagi varian termurah susulan penjimatan petrol yang dihasilkan




Tiada lagi tuas brek tangan biasa - Honda Civic ini menggunakan suis brek parkir elektrik di sebelah kanan tombol gear. Butang Econ pula di sebelah kiri tombol gear

Wednesday, June 8, 2016

Bonggolku / My humps






Bonggol yang diperbuat daripada getah, paling lazim terdapat di parkir awam


Salam sejahtera,

Semalam (7 Jun 2016) satu topik yang dibincangkan dalam kumpulan WhatsApp Rakan KKR yang turut disertai saya sendiri adalah mengenai isu bonggol jalan raya. Ia susulan isu bonggol berbahaya di Persiaran Jengka, Subang Jaya yang mengakibatkan kerosakan pada bahagian bawah kereta, serta berpotensi mengakibatkan kemalangan akibat hilang kawalan terhadap kenderaan. Ia sudah tentu menjadi topik hangat semalam, kerana orang ramai yang tidak tahu hujung pangkal sudah pasti akan menyalahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan isu bonggol ini.




Video oleh penduduk tempatan tentang bagaimana bonggol yang tiada papan tanda amaran di Subang Jaya ini boleh mengakibatkan kerosakan kenderaan serta risiko kemalangan


Untuk pengetahuan semua, lebih 95% bonggol yang didirikan di negara ini adalah hasil kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bukannya JKR. JKR sangat jarang mendirikan bonggol kerana kebanyakan jalan raya kendalian JKR (jalan persekutuan dan negeri) mempunyai had laju operasi 90 km/j. Hanya sebilangan kecil sahaja bonggol yang dibina di jalan-jalan JKR, yang mana kebanyakannya hasil permintaan penduduk tempatan sebagai usaha menghalang kenderaan daripada memandu laju di kawasan mereka bagi mengurangkan nahas jalan raya di situ. Contohnya ialah pemasangan bonggol di Jalan Felda Redong yang dilaksanakan oleh JKR Segamat hasil permintaan para penduduk Felda Redong serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Dato' Ayub Rahmat, susulan rungutan para penduduk serta peneroka Felda Redong tentang lori-lori berat yang memandu laju di situ berikutan siapnya Jalan Redong-Selancar yang merupakan laluan pintasan baharu bagi pengguna jalan raya dari arah Labis yang ingin memintas bandar Segamat untuk ke Lebuhraya Tun Razak FT12.

Kenapa bonggol dipasang...? Bonggol jalan merupakan sejenis penanda jalan mekanikal yang berfungsi bagi tujuan peredaan trafik. Ia berfungsi bagi memperlahankan kenderaan terutamanya di jalan-jalan perumahan ataupun di kawasan yang mempunyai ramai pejalan kaki yang terdiri daripada kanak-kanak seperti di sekolah. Ia sering didapati di kawasan yang dikenakan had laju 40 km/j ke bawah, seperti di jalan-jalan tempatan di kawasan perumahan, di sekolah, di masjid, di kawasan kampus universiti dsb. 




Bonggol yang tidak dicat boleh mengakibatkan kerosakan pada kenderaan di samping risiko kemalangan




Jalan kampung bukan alasan untuk tidak menanda bonggol
(Semua kredit gambar: Lando Zawawi)


Bonggol berfungsi dengan cara memaksa pemandu untuk memperlahankan kelajuan apabila melaluinya; jika pemandu tidak memperlahankan kelajuan, ia akan menyebabkan ketidakselesaan kepada pemandu. Namun, jika pemandu melaluinya pada kelajuan yang terlalu tinggi, ia boleh mengakibatkan kenderaan melompat tinggi dan seterusnya mengakibatkan risiko kemalangan akibat hilang kawalan kenderaan, atau setidak-tidaknya boleh mengakibatkan kerosakan pada sistem gantungan, rim, takungan minyak enjin (oil sump), bahagian bawah kenderaan, kit badan, skirting dsb. Justeru, pemasangan papan tanda, jalur derum (rumble strips) serta pengecatan bonggol wajib dilakukan di bonggol.

Meskipun pembinaan bonggol terbukti berkesan menurunkan kelajuan kenderaan berhampiran bonggol, namun ia mempunyai banyak kelemahan ketara termasuklah dari aspek keselamatan sehingga menyebabkan JKR sendiri tidak menggalakkan pembinaannya. Kelemahan-kelemahan pemasangan bonggol adalah seperti berikut:-
  1. Boleh mengakibatkan kerosakan kenderaan seperti sistem gantungan, rim, bahagian bawah kenderaan, kit badan, skirting, dsb.
  2. Boleh melambatkan kenderaan kecemasan
  3. Boleh mengakibatkan kenderaan melencong ke jalan lain yang tiada bonggol, sekaligus menyebabkan kesesakan di jalan itu pula
  4. Mengakibatkan bunyi bising jalan terhadap rumah-rumah bersebelahan bonggol
  5. Memerlukan pembinaan papan tanda amaran serta penandaan bonggol yang lebih teranng
  6. Sekiranya tiada pemberitahuan, penandaan atau papan tanda amaran, boleh mengakibatkan risiko kemalangan akibat kenderaan hilang kawalan kerana pengguna jalan raya tidak tahu akan kewujudan bonggol tersebut
  7. Boleh mengakibatkan ketidakselesaan terhadap pengguna jalan raya
  8. Menjejaskan penjimatan bahan api kerana pemandu perlu membrek, menukar gear lebih rendah dan memecut semula




Manual Fasiliti Keselamatan Jalan terbitan JKR mengandungi garis panduan mengenai pembinaan bonggol




Carta alir mengenai proses kelulusan pembinaan bonggol di jalan raya kendalian JKR




Piawaian mengenai jenis bonggol serta ukuran lebar dan tinggi bonggol - sesebuah bonggol tidak seharusnya mempunyai ketinggian melebihi 75 mm
(Semua kredit gambar: Rakan KKR)


Ramai yang tidak tahu bahawa sebenarnya memang ada garis panduan mengenai bonggol yang diterbitkan oleh JKR. Garis panduan mengenai bonggol ditetapkan dalam Manual Fasiliti Keselamatan Jalan terbitan JKR. Menurut Manual Fasiliti Keselamatan Jalan, ketinggian maksimum yang dibenarkan bagi bonggol 100 mm dengan kelebaran maksimum 6 meter. Namun, ketinggian bonggol yang disarankan adalah tidak melebihi 75 mm. Semakin tinggi sesuatu bonggol itu, maka ia seharusnya semakin lebar bagi mengurangkan kesan buruknya terhadap kenderaan. Semua bonggol wajib dicat dengan warna-warna terang dan wajib dibubuh papan tanda amaran. Jika bonggol dibina di jalan-jalan JKR, maka Jurutera Daerah (JD) bertanggungjawab memantau perjalanan projek agar bonggol yang dibina memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Terdapat dua syarat utama bagi membolehkan pembinaan bonggol diluluskan:-
  1. Had laju operasi mestilah kurang daripada 90 km/j
  2. Kadar trafik purata harian (ADT) mestilah kurang daripada 6,000 kenderaan

Berdasarkan dua kriteria utama di atas, hanya jalan kampung, jalan tempatan di kawasan perumahan, jalan pengumpul serta jalan tertier sahaja yang paling sesuai untuk dibina bonggol. Namun, terdapat juga jalan raya pada tangga hirarki jalan yang lebih tinggi yang dipasang bonggol, biasanya di kawasan sekolah. Namun demikian, pemasangan bonggol di lebuh raya ekspres, lebuh raya kembar, jalan super two dan jalan raya primer adalah tidak dibenarkan sama sekali. Meskipun terdapat jalan raya kendalian JKR yang memenuhi kedua-dua kriteria di atas, namun JKR tidak menggalakkan pembinaan bonggol. Justeru, lebih 95% bonggol yang ada di Malaysia dibina oleh PBT dan bukannya JKR.

Bagaimana pula tentang bonggol-bonggol di jalan-jalan perbandaran kendalian PBT...? JD JKR tiada kuasa untuk menghalang PBT daripada mendirikan bonggol-bonggol di jalan perbandaran. Namun, JD masih berperanan untuk bersuara, menegur atau memberikan saranan dalam Mesyuarat Tindakan Pembangunan Daerah oleh PBT. Penduduk juga perlu menyuarakan kepada Persatuan Penduduk masing-masing, sama ada memohon untuk membina bonggol ataupun membantah pemasangan bonggol-bonggol yang tidak mematuhi spesifikasi JKR. Kepada para presiden Persatuan Penduduk, ini hukum ibu jari yang anda perlu ingat - tinggi maksimum bonggol: tidak lebih 75 mm; semakin tinggi bonggol, maka ia juga perlu semakin lebar.




Bonggol di Lintasan Pejalan Kaki 1Malaysia merupakan satu contoh ideal bagi bonggol jalan raya
(Kredit gambar: ajahare)


Jika anda mahukan contoh bonggol jalan raya yang paling bagus dan paling ideal, maka bonggol Lintasan Pejalan Kaki 1Malaysia merupakan jawapannya. Program Lintasan Pejalan Kaki 1Malaysia merupakan inisiatif Menteri Kerja Raya terdahulu, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor sebagai satu alternatif yang lebih murah daripada pembinaan jejantas yang tentunya lebih mahal (RM150,000 vs RM750,000-RM1 juta). Lintasan Pejalan Kaki 1Malaysia terdiri daripada sebuah bonggol yang landai dan lebar yang turut berfungsi sebagai lintasan pejalan kaki serta lampu isyarat, sekaligus menjadikannya lebih selamat daripada lintasan pejalan kaki searas berlampu isyarat biasa.

Kesimpulannya, meskipun pembinaan bonggol sangat berkesan dalam memaksa pemandu memperlahankan kelajuan, namun ia boleh mengakibatkan kerosakan kenderaan ataupun kemalangan sekiranya pengguna jalan raya tidak sedar akan kewujudannya akibat ketiadaan papan tanda mahupun penandaan bonggol. Sebab itulah JKR tidak menggalakkan pembinaannya, namun PBT pula banyak membina bonggol, yang mana kebanyakannya tidak mengikut piawaian yang ditetapkan, mengakibatkan saiz bonggol yang tidak konsisten. Justeru, PBT seharusnya dipersalahkan atas segala masalah berkaitan bonggol sehingga ada kalanya boleh membahayakan pengguna jalan raya. Oleh itu, saya ingin menyarankan kepada para pengguna jalan raya yang mengalami kerosakan kenderaan akibat bonggol agar mengambil gambar-gambar di kawasan bonggol itu - sekiranya didapati bonggol tersebut tidak dibina mengikut piawaian (ketinggian melebihi 75 mm, tidak dicat, tiada papan tanda amaran), maka saya mengalu-alukan anda untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap PBT berkenaan.

Friday, June 3, 2016

Rencana BJRM-Careta: Apa yang anda perlu tahu tentang jalan persekutuan / BJRM-Careta article: What you need to know about federal highways

Salam sejahtera,

Blog Jalan Raya Malaysia berbesar hati mengumumkan kolaborasi antara kami dengan portal automotif Careta. Dalam kolaborasi ini, saya akan menulis entri-entri berkaitan jalan raya di laman portal automotif Careta sebulan sekali. Entri yang disiarkan di Careta seterusnya akan turut dikongsikan bersama di Blog Jalan Raya Malaysia. Jutaan terima kasih kepada Hezeri Samsuri selaku pengendali laman Careta atas jemputan. Oleh itu, saya ingin mengajak para pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia untuk menyukai laman Facebook rasmi Careta serta membaca rencana-rencana menarik mengenai dunia automotif di laman Careta, di samping membaca entri-entri yang turut saya sumbangkan kepada Careta untuk tatapan para peminat Blog Jalan Raya Malaysia dan Careta.

Entri sulung hasil kolaborasi BJRM-Careta boleh dikatakan ulangan semula kepada antara entri paling awal yang pernah disiarkan dalam Blog Jalan Raya Malaysia pada November 2011 iaitu "Kenali Jalan Persekutuan" dan "Jenis jalan persekutuan di Malaysia", tetapi diolah semula dengan lebih banyak maklumat menarik serta dipersembahkan dengan cara yang paling mudah untuk difahami. Untuk entri kali ini, saya ingin mengajak anda untuk mengetahui sedikit-sebanyak mengenai jalan persekutuan dan kepentingan mempelajari kod laluan.



Apa yang anda perlu tahu tentang jalan persekutuan

Sistem kod laluan sebenarnya sudah lama wujud di Malaysia. Walau bagaimanapun, ia tidak diguna dengan baik, malah menjadikan keadaan sekarang sesuatu yang amat memalukan, terutamanya bagi Kuala Lumpur yang merupakan sebuah metropolis berstatus ibu negara dan bandar raya alfa.

Anda lihat sajalah papan-papan tanda yang ada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sudahlah kod laluan pun tiada, papan tanda pula dilambakkan dengan nama jalan semata-mata dan bukannya nama tempat. Ada juga papan tanda yang ditempatkan pada saat-saat akhir, dan ada juga yang seolah-olah menunjukkan si pembuatnya itu tidak lulus subjek Geografi KBSM.

Laporan trafik pun kebanyakannya hanya menggunakan nama jalan dan bukannya kod laluan. Hanya laporan trafik oleh stesen-stesen radio kendalian Astro sahaja yang menggunakan kod laluan setakat ini. Kalau tiba-tiba DBKL tukar nama jalan nanti macam mana? Bukankah itu menyusahkan pengguna jalan raya namanya?




Bukankah lebih mudah kalau jata laluan dibubuh berbanding sekadar melonggokkan nama tempat…?


Kenapa anda perlu tahu menggunakan kod laluan?

  • Dapat merancang perjalanan anda dengan lebih bijak tanpa sebarang kesulitan.
  • Memudahkan pihak berkuasa (polis, bomba dan hospital) bertindak segera setiap kali menerima aduan jenayah, kemalangan, kebakaran, kecederaan dan sebagainya.
  • Memudahkan anda menyalurkan aduan kerosakan jalan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) ataupun pihak berkuasa tempatan (PBT).
  • Memudahkan pengaturan tempat pertemuan.





Kod laluan Malaysia menggunakan jata laluan heksagon kuning – jika ia ada nombor sahaja bermakna jalan ini jalan persekutuan (contoh: Jalan Ringlet-Sungai Koyan FT102).


Bagaimana hendak mengenal pasti yang mana satu lebuh raya ekspres, jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan perbandaran? Anda boleh kenal pasti melalui nombor-nombor di dalam heksagon kuning pada papan tanda jalan raya. Heksagon kuning bernombor itulah yang kita panggil sebagai jata laluan. Perhatikan nombor dalam jata laluan dan bandingkan dengan senarai semak ini:

  • Nombor sahaja – jalan persekutuan
  • Bermula dengan huruf E – lebuh raya ekspres
  • Bermula dengan huruf selain E – jalan negeri
  • Langsung tiada jata laluan – jalan perbandaran





Jika kod laluan bermula dengan huruf selain E, bermaksud jalan tersebut ialah jalan negeri (contoh: Jalan Muar-Labis J32, huruf J merupakan kod negeri bagi Johor).




Jika kod laluan bermula dengan huruf E, ia bermaksud lebuh raya ekspres (contoh: NKVE E1).


Apa itu jalan persekutuan?

  • Rangkaian jalan raya primer yang diwartakan di bawah kuasa Menteri Kerja Raya seperti yang diperuntukkan dalam Akta Jalan-jalan Persekutuan 1959.
  • Biasanya merupakan jalan raya primer jarak jauh yang menghubungkan antara ibu negeri, bandar-bandar utama serta jalan-jalan ke pintu masuk utama negara termasuklah jalan masuk pelabuhan serta jalan masuk ke lapangan terbang.
  • Jalan masuk ke premis-premis milik kerajaan persekutuan seperti universiti, balai cerap, menara pemancar radio dan televisyen, serta jalan-jalan masuk ke tanah rancangan Felda dan Felcra.
  • Boleh jadi lebuh raya ekspres berbilang lorong, ataupun jalan selorong yang sempit, tetapi biasanya mengambil bentuk sama ada jalan raya primer tunggal dua lorong ataupun jalan raya kembar.
  • Diselenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kecuali yang turut diwartakan sebagai lebuh raya ekspres seperti Lebuh Raya Persekutuan FT2 serta jalan-jalan persekutuan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang diselenggarakan oleh PBT masing-masing).
  • Setakat 2014, terdapat lebih daripada 19,000 km jalan persekutuan di seluruh negara termasuklah di Sabah dan Sarawak.




Jalan Gunung Brinchang FT432 – jalan persekutuan tertinggi di Malaysia.



Siri penomboran kod laluan bagi jalan persekutuan

  • 1-249: Jalan persekutuan utama
    • Siri satu digit (0-9): Jalan persekutuan tulang belakang (Semenanjung Malaysia)
    • 1, 13 dan 22: Lebuh Raya Pan Borneo (Sabah & Sarawak)
  • 250-499: Jalan masuk ke institusi persekutuan (Semenanjung Malaysia)
  • Siri 500 (500-599): Jalan persekutuan sekunder (Sabah)
  • Siri 600 (600-699): Jalan masuk ke institusi persekutuan (Sabah)
  • Siri 700 (700-799 atau L700-L799): Jalan Wilayah Persekutuan Labuan
  • Siri 800 (800-899): Jalan persekutuan sekunder (Sarawak)
  • Siri 900 (900-999): Jalan masuk ke institusi persekutuan (Sarawak)
  • Siri 1000 & 2000 (1000-2999): Jalan masuk ke tanah rancangan Felda dan Felcra
  • Siri 3000 (3000-3999): Jalan industri

Fakta-fakta menarik tentang jalan persekutuan di Malaysia

  • Jalan persekutuan terpanjang di Malaysia ialah Jalan Persekutuan 1 di Sabah dan Sarawak sepanjang 1,505.1 km, yang mana 1,077.1 km berada di Sarawak, manakala baki 428 km lagi di Sabah.
  • Kilometer Sifar kebangsaan di kebanyakan negara terletak di ibu negara masing-masing. Namun, Kilometer Sifar Semenanjung Malaysia tidak terletak di Kuala Lumpur tetapi sebaliknya di Johor Bahru, kerana ketiga-tiga laluan tulang belakang utara-selatan di Semenanjung Malaysia iaitu Jalan Persekutuan 1, 3 dan 5 kesemuanya dikira dari Johor Bahru.
  • Jalan persekutuan tertinggi di Malaysia ialah Jalan Gunung Brinchang FT432. Jalan tersebut merupakan jalan selorong berturap sehingga ke puncak Gunung Brinchang setinggi 2,032 m yang turut menempatkan stesen pemancar televisyen, menjadikan Jalan Gunung Brinchang FT432 sebagai jalan raya berturap tertinggi di Malaysia.
  • Terdapat beberapa batang jalan persekutuan tulang belakang utama yang mengambil masa sehingga lebih kurang 100 tahun untuk disiapkan. Misalnya, Jalan Persekutuan 5 mula dibina pada tahun 1887 dan hanya siap sepenuhnya pada tahun 1988 setelah siapnya jajaran terakhir dari Teluk Intan ke Sitiawan yang turut menempatkan Jambatan Sultan Yussuf FT5, jambatan terpanjang di sepanjang Jalan Persekutuan 5. Sementara itu, Jalan Persekutuan 8 dari Bentong ke Kota Bharu mula dibina pada tahun 1887 dan hanya siap sepenuhnya pada tahun 1986 setelah siapnya Lebuh Raya Kuala Krai-Gua Musang FT8 pada tahun 1986.
  • Jambatan tol pertama di Malaysia ialah Jambatan Sultan Yahya Petra FT3. Ia dirasmikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Yahya Petra pada 17 April 1965.
  • Jalan raya tol pertama di Malaysia ialah Jalan Tanjung Malim-Slim River FT1. Dibuka pada tahun 1966, ia menggantikan jajaran lama yang kini sudah diturun taraf kepada Jalan Negeri Perak A121 dan Jalan Persekutuan 193. Kutipan tol di situ ditamatkan pada tahun 1994 sebaik Lebuh Raya Utara-Selatan E1 dibuka kepada lalu lintas.
  • Lebuh raya ekspres capaian terkawal pertama di Malaysia ialah Lebuh Raya Persekutuan FT2. Ia mula dibina pada tahun 1974 sebagai naik taraf bagi Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 dengan dibiayai pinjaman daripada Bank Dunia dan siap pada tahun 1977.
  • Sebahagian Jalan Persekutuan 1 di Sarawak memerlukan anda memasuki Brunei dari Sungai Tujuh ke Kuala Lurah dan seterusnya dari Pandaruan ke Labu, mengakibatkan anda perlu mengharungi sehingga 10 ‘checkpoint’ imigresen, termasuklah di Kompleks Imigresen Sindumin. Menariknya, anda memerlukan passport untuk memasuki Sabah dari Sarawak di Kompleks Imigresen Sindumin atau sebaliknya, meskipun kedua-dua Sabah dan Sarawak adalah dalam negara yang sama iaitu Malaysia.
  • Terdapat dua laluan jalan persekutuan di Sabah dan Sarawak yang berkongsi kod laluan seperti di Semenanjung tetapi langsung tiada kaitan mahupun hubungan langsung. Dua laluan tersebut ialah Jalan Persekutuan 1 dan 13. Rasanya tidak perlulah saya perkenalkan Jalan Persekutuan 1 di Semenanjung dan ‘kembarnya’ di Sabah dan Sarawak. Sementara itu, laluan di Semenanjung yang berkongsi kod laluan sama seperti Jalan Sandakan-Lahad Datu-Tawau FT13 ialah Jalan Juasseh-Bahau FT13, sebatang jalan raya pendek di Negeri Sembilan.
  • Lurusan di Jalan Apin-Apin FT500 di Keningau sepanjang 18 km merupakan lurusan terpanjang di Sabah.
  • Pasangan jalan hadapan (frontage road) di sepanjang Persiaran Raja Muda Musa FT2 antara Klang dengan Pelabuhan Klang merupakan satu-satunya jalan hadapan yang diwartakan sebagai Jalan Persekutuan.
  • Jalan raya pertama yang menghubungkan negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia dengan negeri-negeri pantai timur ialah Jalan Kuala Kubu FT55. Ia asalnya merupakan jalan kuda sepanjang 80 batu (130 km) dari Kuala Kubu Bharu ke Raub.
  • Terdapat lebih sejuta rakyat Malaysia bergantung kepada pengguna Jalan Persekutuan 1 sebagai mata pencarian mereka. Mereka terdiri daripada pengusaha warung, kedai makan, penjaja, pengusaha hotel, pengusaha homestay, penjual cenderamata dan sebagainya.




Kuantan terletak di sebelah timur, kenapa pula papan tanda ini menunjukkan arah barat pula?


Entri asal: Klik sini
Semua kredit gambar: Careta (Kredit gambar asal: Blog Jalan Raya Malaysia)