Friday, April 29, 2016

Apa Kejadahnya: Laman Facebook rasmi Blog Jalan Raya Malaysia digodam / What The Hell: The official Facebook page of Malaysian Highway Blog was hacked



Laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia sebelum digodam


Salam sejahtera,

Sudah hampir sebulan lamanya Blog Jalan Raya Malaysia tidak dikemaskini. Saya memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini blog ini. Ia susulan berlakunya satu kes jenayah yang benar-benar menduga kesabaran kami, iaitu penggodaman laman Facebook rasmi Blog Jalan Raya Malaysia oleh seorang penggodam bangsat yang seterusnya menjual laman Facebook yang dicuri daripada kami itu kepada orang lain. Pada 10 April 2016 kira-kira jam 7.50 pm, semasa kami hendak menyemak kemaskini pemberitahuan bagi laman Facebook rasmi kami, secara tiba-tiba saya "ditendang" keluar oleh aplikasi Page Manager pada telefon pintar saya, diikuti dengan Aiman Abmajid, satu-satunya admin kedua Blog Jalan Raya Malaysia yang saya lantik dengan secara rasminya.




Laman peranan admin serta penggodam yang menceroboh masuk semasa serangan pertama




Contengan yang dilakukan semasa serangan pertama


Sebenarnya, serangan yang dilakukan terhadap laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia bermula sejak 8 Januari 2016 sekitar jam 8.45 am, apabila satu kemaskini status tiba-tiba muncul di laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia yang meminta para peminat kami untuk menambah akaun Facebook si penggodam tersebut sebagai rakan. Semasa saya memeriksa peranan admin, saya dapati penggodam tersebut sudah memperoleh status admin dalam laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia, manakala saya dan Aiman pula diturunkan taraf kepada editor sahaja, sedangkan hanya kami berdua sahajalah pemilik dan admin Blog Jalan Raya Malaysia yang sah. Selain itu, penggodam juga telah menconteng laman tersebut dengan mengubah beberapa butiran utama mengenai laman Facebook kami. Laporan kepada pihak Facebook, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kepada pihak polis sudah pun dilakukan pada hari yang sama, yang mana Sarjan Firdaus dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selayang mengambil alih kes saya ini. Tatkala saya memperoleh kerjasama yang sangat baik daripada pihak polis dan SKMM, Facebook pula tidak memberikan kerjasama yang diharapkan apabila mereka enggan mengembalikan akses capaian admin terhadap laman tersebut kepada saya.

Saya menyangkakan serangan yang dilakukan oleh penggodam tersebut sekadar berakhir di situ sahaja, tetapi sebenarnya sangkaan saya itu meleset sama sekali. Pada 25 Mac 2016, sekali lagi si penggodam bangsat lagi haram jadah itu menconteng kemaskini status Blog Jalan Raya Malaysia, tetapi kali ini contengan yang dilakukan itu lebih kurang ajar daripada sebelum ini.




Dalam contengan kali ini, si penggodam bangsat itu mahu menjual laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia tanpa kebenaran dan pengetahuan kami. Walaupun saya dengan pantas memadamkan status tersebut, namun ia tidak menghalang si penyangak tersebut meneruskan niat jahatnya untuk menjual laman Facebook kami. Akibatnya, pada 10 April 2016, saya dan Aiman hilang terus akses terhadap laman Facebook kami sendiri akibat ditendang keluar oleh si penggodam bangsat lagi haram jadah itu.




Paparan sebeginilah yang akan muncul sekiranya laman Facebook anda dirampas orang dan anda ditendang keluar daripada akses admin laman sendiri


Sekali lagi saya membuat laporan kepada SKMM dan Facebook serta menghubungi Sarjan Firdaus mengenai serangan jahat terhadap laman Facebook kami. Tatkala pihak polis dan SKMM kali ini mula mengambil serius akan kes kali ini yang bukan lagi sekadar kes penggodaman biasa tetapi lebih kepada jenayah komersial, Facebook pula tetap enggan memberikan kerjasama dengan "alasan salin-dan-tampal" mereka kononnya Facebook bukanlah tempat untuk menyelesaikan pertikaian peranan admin, yang mana saya sendiri mempersoalkannya. Kenapa pula saya hendak berunding sendiri dengan penyangak yang saya sendiri pun tidak kenal...? Silap-silap, belum buka mulut lagi si haram jadah itu akan menyekat saya mahupun Aiman untuk menghubunginya.

Kali ini saya benar-benar sangat marah dan sangat tidak puas hati. Saya membalas e-mel tersebut dengan mengatakan bahawa laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia tetap digodam dan dicuri walaupun saya sudah menukar kata laluan saya, malah telah mengaturkan sistem log masuk dua peringkat. Saya juga mempersalahkan Facebook kerana tidak memberikan kerjasama yang memuaskan sehingga mengakibatkan saya dan Aiman hilang akses admin terhadap laman kami sendiri. Saya turut menyatakan bahawa kes penggodaman laman Facebook kami ini bukan sekadar kes penggodaman biasa tetapi sudah merebak kepada kes jenayah komersial. Akibat kehilangan akses terhadap laman Facebook lama kami yang telah mengumpulkan sehingga lebih 14,000 sukaan dalam masa 4 tahun, maka kami terpaksa membina laman Facebook baru kami di https://www.facebook.com/blogjalanraya, membuat salinan backup terhadap gambar-gambar dan video-video kami dan bermula dari sifar semula.

Sepeninggalan kami, laman Facebook lama Blog Jalan Raya Malaysia sudah bertukar menjadi laman agensi pelancongan pula. Akibatnya, ramai di kalangan para peminat kami yang keliru apabila laman tersebut mempromosikan pakej pelancongan, sedangkan kami sedikit pun tidak pernah mempromosikan mana-mana produk pelancongan selain daripada sekadar mengajak para pembaca mencuba jalan-jalan raya yang telah kami uji serta tempat-tempat menarik yang kami lawati. Namun demikian, saya percaya admin tersebut sebenarnya sedikit pun tidak tahu bahawa laman yang dibelinya itu sebenarnya laman Facebook yang dicuri daripada saya.

Tatkala kami berdua sedang berada di jalan buntu, kami didatangkan dengan satu berita baik oleh pihak Facebook. Facebook akhirnya bersetuju untuk mengembalikan semula akses admin kepada saya dengan syarat saya perlu mengemukakan beberapa dokumen bagi membuktikan hak milik saya terhadap laman Facebook, iaitu:-

  • salinan kad pengenalan saya
  • kenyataan bertulis oleh pihak yang lebih arif mengenai hak milik saya terhadap laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia (atau dengan kata lain, akuan bersumpah), yang mengandungi perkara-perkara berikut:-
    • Hubungan saya dengan laman tersebut
    • Orang baru yang menguruskan laman Facebook tersebut, jika saya tahu
    • Hubungan antara orang tersebut dengan laman tersebut
    • Penjelasan mengenai rasional pengembalian semula hak admin, sama ada berlaku pemecatan jawatan atau penamatan urus niaga
    • Kesemua dokumen bagi menyokong permohonan saya (salinan laporan polis, laporan SKMM serta beberapa tampilan skrin sebagai bukti
    • Nama akaun serta alamat e-mel atau URL profil Facebook bagi admin yang mahu dikembalikan aksesnya
    • Perakuan bahawa semua yang saya nyatakan itu benar.
Saya cuba menghantar kesemua dokumen tersebut sebanyak 2 kali. Semasa kali pertama, permohonan saya ditolak kerana gambar imej perakuan bersumpah yang diambil oleh Aiman Abmajid terlalu kabur. Mujurlah Aiman ada memberikan salinan asal kepada saya, jadi saya mengambil gambar salinan asal dan menghantar semula kesemua dokumen tersebut. Alhamdulillah, cubaan kedua saya berjaya dan akhirnya saya diberikan semula akses terhadap laman lama Blog Jalan Raya Malaysia sebagai pemilik dan admin yang sah pada 27 April 2016.





Sekarang tibalah masanya untuk saya dedahkan identiti si penggodam bangsat lagi haram jadah yang menggodam laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia dan menjual laman Facebook curi kepada mangsa. Si penggodam bangsat itu bernama Ahmad Syimir Zahari. Laman Facebooknya ialah https://www.facebook.com/Always.With.You07, tetapi dia sudah menukarkan gambar profil dan gambar kulit kepada gambar lain kerana dia sudah jadi pengecut setelah beberapa laporan polis dikemukakan terhadapnya. Telur mana telur...? Jangan haraplah, dia memang tak ada telur pun untuk meletakkan gambarnya sendiri di laman Facebooknya setelah kegiatan jenayahnya terbongkar. Laman Twitter...? Ada, http://www.twitter.com/emir_zahari. Laman Instagram pun ada, http://www.instagram.com/emir_zahari.




Laman Facebook Ahmad Syimir Zahari yang bacul kerana tidak berani meletakkan muka sendiri




Ahmad Syimir akan meminta mangsa yang ditipunya untuk membeli laman Facebook yang dicurinya untuk mendepositkan wang ke dalam akaun banknya sendiri, ataupun ke dalam akaun bank proksinya


Ahmad Syimir Zahari inilah anak haram jadah yang menjadi dalang utama di sebalik penggodaman laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia ini. Harapkan muka sahaja macam mat jambu, tetapi dia sebenarnya penyangak bangsat yang menjalankan sindiket menjual laman Facebook curi, yang mana sasarannya ialah para peniaga dan usahawan yang mencari makan dengan menggunakan media sosial. Modus operandinya ialah menggodam laman Facebook mangsa dan seterusnya menjualnya kepada orang lain dengan harga tertentu. Dalam kes yang kami alami, terdapat sekurang-kurangnya dua orang mangsa yang telah ditipu oleh Ahmad Syimir Zahari, dan setelah mengetahui bahawa laman tersebut sebenarnya laman curi, dia menerima nasib yang lebih teruk - sudahlah duit yang didepositkan tidak dipulangkan balik dan hangus begitu sahaja, akses admin pun tak dapat.

Si penyangak anak haram jadah bernama Ahmad Syimir Zahari menggunakan sama ada akaun Maybanknya sendiri (No. akaun: 153104144589) ataupun akaun proksinya (No, akaun: 153104239670; Azini bt. Mohd. Ali Busu) untuk meminta mangsa-mangsanya memasukkan wang bagi pembelian laman Facebook yang dicurinya itu.

Nak tahu bagaimana rupanya si penyangak lahanat bernama Ahmad Syimir Zahari ini...? Inilah rupanya:-










Macam lahanat kan...? Oleh itu, saya menyeru anda semua terutamanya kepada para peniaga online yang berniaga melalui Facebook serta para pentadbir laman Facebook sekalian agar memviralkan entri ini demi melindungi periuk nasi anda daripada dipenuhi pasir yang ditabur oleh si bangsat ini. Viralkan kepada semua orang sehingga tiada ruang baginya untuk melarikan diri. Dia sepatutnya sedar bahawa pada zaman di mana berita sangat pantas tersebar melalui pengaruh laman sosial, tiada ruang baginya untuk melarikan diri. Jangan fikir dia sudah tukar gambar profil kepada gambar lain bermakna orang lain tidak boleh cari. Nampak sangat Ahmad Syimir ini sebenarnya si pengecut yang bacul dan tak ada telur, tapi kalau tiba bab buat jahat berani pula. Sekiranya anda terserempak dengan individu yang rupanya betul-betul sama seperti di dalam gambar di atas, jangan buang masa lagi - tangkap dia dan heret dia ke balai polis yang berhampiran. Setelah dia ditangkap, saya sendiri akan mengambil tindakan saman mahkamah terhadapnya. Kepada Ahmad Syimir, kita jumpa di mahkamah.


Bagaimana hendak melaporkan kepada Facebook untuk mendapatkan kembali laman digodam

Seperti yang anda semua ketahui, Facebook merupakan salah satu daripada lima laman web yang paling banyak digunakan di dunia. Penggunanya sudah lebih daripada satu bilion. Disebabkan pengguna yang terlalu ramai itu jugalah ada sahaja kelemahan sistem keselamatan Facebook yang dieksploitasikan oleh penyangak siber untuk membuat dajal.




Jika dalam senarai peranan admin laman anda muncul nama-nama yang anda tidak kenali, bermakna memang sahih laman Facebook anda digodam


Bagaimana anda boleh menyedari bahawa laman Facebook anda digodam...? Sentiasa semak laman Peranan Halaman pada tetapan laman Facebook anda untuk memastikan hanya orang-orang yang anda lantik sahaja yang menjadi admin ataupun editor - paling penting, nama anda mesti memegang peranan admin. Jika tiba-tiba ada nama orang yang anda tidak ketahui, ataupun anda diturunkan peranan daripada admin kepada editor, ataupun kedua-duanya, bermakna memang sahih laman Facebook anda sudah digodam.

Bagaimana saya boleh mendapatkan kembali laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia yang digodam dan dicuri...? Soalan ini diajukan sendiri oleh pegawai SKMM yang menjawab panggilan telefon apabila saya memaklumkan bahawa saya sudah berjaya mendapatkan laman tersebut kembali. Ia kerana Facebook seringkali tidak memberi kerjasama yang sewajarnya bagi menangani kes-kes laman Facebook yang digodam, memandangkan sudah terlalu banyak kes seumpamanya. Sekarang setiap kali anda mengadu kepada Facebook bahawa laman anda digodam, Facebook hanya sekadar menyuruh anda untuk set semula kata laluan, itu sahaja. Apa pun, saya nasihatkan anda supaya membuat laporan polis dan laporan SKMM terlebih dahulu dan mengambil gambar laporan yang anda buat.








Salinan laporan polis terhadap Ahmad Syimir Zahari oleh saya (atas) dan Aiman ((bawah)


Memandangkan saluran yang "betul" untuk membuat aduan itu tidak boleh diharap langsung, maka kita perlu membuat aduan melalui saluran lain pula, iaitu seperti berikut:-
  1. Membuat aduan pencabulan hakcipta dengan mengklik butang Report pada laman Facebook tersebut, tetapi dalam butiran kes pula anda ceritakan perihal laman Facebook anda digodam dan anda kehilangan hak admin anda
  2. Isi borang aduan anda di kesemua saluran seperti berikut:-

Ingat, gunakan kesemua saluran yang ada seperti dalam senarai di atas untuk mendesak Facebook mengembalikan semula akses admin terhadap laman Facebook anda...!!! Salin dan tampal aduan anda pada kesemua saluran yang telah saya nyatakan di atas.




Jika anda menerima respon awal yang negatif daripada Facebook, balaslah e-mel Facebook seperti yang saya tulis ini.


Pada mulanya, anda memang akan menerima respon negatif daripada Facebook, yang menyatakan kononnya anda berada di saluran yang salah untuk membuat aduan. Respon pertama yang anda akan dapat daripada Facebook ialah kenyataan kononnya anda berada di saluran yang salah (hakcipta) dan akan menghantar aduan anda ke pasukan lain (laman Facebook) untuk mengendalikan kes anda. Respon kedua pula datangnya daripada pasukan laman Facebook sendiri, yang akan lepas tangan dan mengatakan kononnya Facebook bukanlah tempat untuk menyelesaikan pertikaian peranan admin serta meminta anda set semula kata laluan sekiranya akaun anda digodam. Jangan terlalu berlembut lagi, balas segera e-mel tersebut dengan menyertakan isi-isi berikut:-

  1. Anda telah pun menukar kata laluan dan menetapkan sistem log masuk dua peringkat tetapi penggodaman laman Facebook anda tetap berlaku (atau dengan kata lain, saranan oleh Facebook tidak berkesan langsung)
  2. Admin yang lain (jika ada) juga telah melakukan perkara sama tetapi penggodaman tetap berlaku
  3. Facebook menasihatkan anda supaya menghubungi sendiri penggodam tersebut, tetapi tiada satu pun di kalangan admin-admin yang menguruskan laman Facebook anda mengenali penggodam tersebut yang langsung tiada kaitan dengan laman Facebook anda
  4. Suspek penggodam terlibat dalam sindiket penjualan laman Facebook yang digodam dan dicuri (memerlukan bukti iaitu tampilan skrin kemaskini status) - jika tiada tampilan skrin yang membuktikannya, jangan sertakan isi ini
  5. Bab yang ini ramai orang kita suka. Anda patut menyalahkan Facebook yang tidak memberi kerjasama menangani aduan penggodaman laman Facebook anda sebagai punca utama laman Facebook anda dicuri dan anda hilang hak admin terhadap laman tersebut
  6. Dalam e-mel balasan anda itu, sertakan salinan laporan polis, tampilan skrin laporan SKMM serta beberapa tampilan skrin yang berupaya menunjukkan bukti hak milik anda terhadap laman Facebook anda dan juga aktiviti jenayah penggodaman yang dilakukan oleh suspek





Jika Facebook meluluskan permohonan anda untuk mengembalikan semula hak admin kepada anda, maka e-mel yang diberikan kepada anda adalah seperti begini


Sekiranya anda terus bertegas dan berkeras, Facebook akhirnya akan mengalah dan memberi pengecualian kepada anda untuk mengembalikan semula hak admin kepada anda, dengan syarat anda mengemukakan beberapa dokumen bagi membuktikan hak milik anda terhadap laman Facebook tersebut. Dokumen-dokumen tersebut adalah:-
  1. Salinan kad pengenalan anda
  2. Kenyataan yang disahkan bagi membuktikan hak milik anda terhadap laman Facebook anda. Kenyataan tersebut adalah dalam bentuk cover letter oleh salah seorang admin laman Facebook anda serta Perakuan Bersumpah yang boleh dibuat di Pejabat Pesuruhjaya Sumpah dan mesti dilakukan oleh salah seorang admin lain bagi laman anda. Jika anda satu-satunya admin, anda boleh pergi sendiri ke Pejabat Pesuruhjaya Sumpah untuk membuat Perakuan Bersumpah, tetapi anda memerlukan satu lagi tambahan dokumen iaitu cover letter oleh Ketua Kampung / Penghulu / wakil rakyat di kawasan anda. Jika anda ada melantik admin lain, anda juga boleh menggunakan cover letter yang dikarang oleh salah seorang admin laman anda untuk memuatkan isi-isi yang tidak dapat dimuatkan dalam Perakuan Bersumpah. Kedua-dua Perakuan Bersumpah dan cover letter mesti mengandungi isi-isi berikut:-
    • Hubungan anda dengan laman Facebook anda, serta senarai admin lain yang anda lantik jika ada
    • Nama orang yang merampas laman Facebook anda dan menjadi admin di laman tersebut sekarang, jika anda tahu
    • Hubungan antara admin yang merampas laman Facebook dengan laman anda (sudah tentulah langsung tiada hubungan atau kaitan)
    • Penerangan sama ada berlaku pemecatan atau penamatan kontrak bagi organisasi anda itu - jika memang ada pemecatan, besar kemungkinan Facebook tidak akan melayan permohonan anda
    • Kesemua dokumen sokongan (salinan laporan polis, laporan SKMM serta beberapa tampilan skrin yang membuktikan berlakunya aktiviti penggodaman - dan ini termasuklah tampilan skrin Peranan Halaman)
    • Nama akaun Facebook anda atau e-mel anda sebagai admin yang hendak ditambah dalam laman Facebook anda
    • Kenyataan dan perakuan bahawa segala pengakuan anda dan kesemua dokumen yang disertakan adalah benar




Perakuan Bersumpah oleh Aiman Ab. Majid yang dibuat di Pejabat Pesuruhjaya Sumpah Shah Alam




E-mel yang akan anda terima sekiranya Facebook meluluskan permohonan anda dan mengembalikan semula hak admin kepada anda


Setelah kesemua dokumen lengkap, sertakan kesemua dokumen tersebut dalam e-mel balasan anda. Sekiranya permohonan anda diluluskan, anda akan mendapat kembali akses admin terhadap laman Facebook anda. Sebaik sahaja anda mendapat kembali akses admin, perkara pertama yang perlu anda lakukan untuk menjamin hak milik anda sudah tentulah mengubah tetapan Peranan Halaman untuk menjadikan anda satu-satunya admin, manakala yang lain pula sekadar editor. Seterusnya, anda perlu berurusan sendiri dengan admin baharu yang anda tidak kenali dan meyakinkannya bahawa laman yang diuruskannya itu sebenarnya merupakan laman curi yang dibelinya tanpa disedarinya.

Semoga berjaya...!!!

Saturday, April 2, 2016

Hirarki jalan raya perbandaran / Urban roads hierarchy

Salam sejahtera,

Dalam entri kali ini, saya ingin tunjukkan kepada anda pengkelasan serta hirarki bagi jalan raya perbandaran seperti yang termaktub dalam Arahan Teknik 8/86: A Guide on Geometric Design on Roads. Jika anda masih ingat lagi entri yang pernah saya tulis mengenai kawalan masuk jalan raya serta hirarki jalan raya, saya mengklasifikasikan jalan raya kepada dua kumpulan utama iaitu jalan raya perbandaran dan jalan raya luar bandar, yang mana setiap kumpulan seterusnya dipecahkan kepada beberapa jenis mengikut tangga hirarki, dari sekecil-kecil jalan kampung dan jalan tempatan kepada lebuh raya ekspres.



Piawaian
Had laju rekabentuk (km/j)
Lebar lorong minima (m)
Kawalan masuk
Aplikasi
U6
100
3.5
Penuh
Primer
Lebuh raya ekspres
U5
80
3.5
Separa
Kelas I / II
Jalan raya arteri / lebuh raya capaian terhad
U4
70
3.25
Separa
Kelas III
Jalan raya arteri / pengumpul
U3
60
3.0
Separa
-
Jalan raya pengumpul / tempatan
U2
50
2.75
Tiada
-
Jalan raya tempatan
(Nota: Piawaian JKR U2 ialah piawaian paling rendah bagi jalan raya dua lorong)
U1
40
(5.0) *
Tiada
-
Jalan raya tempatan
R1a
40
(4.5) *
Tiada
-
Jalan masuk kawasan perumahan kos rendah

Hirarki jalan raya perbandaran


Kali ini, saya ingin tunjukkan kepada anda bagaimana rupanya jenis-jenis jalan perbandaran yang ada agar anda dapat membezakannya dengan lebih teliti, kerana setiap jenis jalan raya mengikut hirarki mempunyai fungsinya yang berbeza-beza. Bagi tujuan ini, saya mengambil kesempatan mengambil gambar dari kawasan berhampiran rumah saya di Batu Caves untuk memberi gambaran jelas kepada anda, dari jalan-jalan perumahan sekitar rumah saya, melalui Lebuh Utama Sri Gombak sehinggalah ke Lebuhraya Duke E33.




Contoh jalan tempatan: Jalan perumahan di sekitar Pinggiran Batu Caves
(JKR U2)


Kita mulakan dengan jenis jalan perbandaran di tangga terbawah dalam hirarki jalan perbandaran, iaitu jalan tempatan. Jalan tempatan menghubungkan antara rumah-rumah atau kedai-kedai secara terus. Oleh kerana ia dihubungkan secara terus ke rumah-rumah atau kedai-kedai, maka jalan tempatan disebut sebagai tiada kawalan masuk, yang bermaksud gangguan trafik disebabkan penghuni tempatan mengundurkan kereta atau memasuki rumah. Justeru, had laju yang dikenakan juga sangat rendah iaitu sekitar 10-35 km/j sahaja. Untuk menghalang kenderaan lain daripada memandu laju, bonggol sering dipasang dengan banyaknya bagi mematahkan kelajuan kenderaan. Rata-rata trafik di sepanjang jalan tempatan terdiri daripada penghuni tempatan; hanya sekali-sekala barulah ada orang luar yang melalui jalan tersebut. Sebab itulah kadar aliran trafik di jalan-jalan tempatan adalah yang paling rendah. Konsep jalan tempatan adalah sama seperti kapilari darah yang dihubungkan terus kepada sel-sel badan kita, yang mana aliran darah pada kapilari sangat perlahan.




Contoh jalan pengumpul: Lebuhraya Pinggiran
(JKR U3)




Lebuhraya Pinggiran sebenarnya bukan lebuh raya ekspres tetapi jalan pengumpul


Seterusnya, kita pergi pula ke hirarki yang lebih tinggi iaitu jalan pengumpul. Jalan pengumpul berfungsi mengumpulkan aliran trafik dari jalan-jalan tempatan di sesebuah kawasan perumahan. Maka, jalan pengumpul boleh dianggap sebagai jalan masuk utama di sesebuah kawasan perumahan. Meskipun rumah-rumah dan kedai-kedai masih boleh dibina di tepi jalan pengumpul, tetapi selalunya kebanyakan rumah dan bangunan lebih cenderung dihubungkan secara tidak langsung ke jalan-jalan pengumpul melalui jalan tempatan dan jalan hadapan. Justeru, jalan pengumpul boleh jadi ada kawalan masuk separa ataupun tiada kawalan masuk langsung. Seperti jalan tempatan, aliran trafik tempatan mendominasi jalan pengumpul, dengan kadar aliran trafik yang lebih tinggi daripada jalan tempatan. Had laju yang dikenakan juga lebih tinggi sedikit iaitu dalam lingkungan 30-50 km/j. Dalam kes ini, Lebuhraya Pinggiran (?) berfungsi sebagai jalan masuk utama ke Pinggiran Batu Caves. Meskipun jalan ini menggunakan istilah "lebuh raya" dalam nama jalannya, namun Lebuhraya Pinggiran sebenarnya diklasifikasikan sebagai jalan pengumpul disebabkan fungsinya.




Contoh jalan pengagih: Lebuh Utama Sri Gombak
(JKR U3)


Kita pergi pula ke hirarki seterusnya iaitu jalan pengagih. Jalan pengagih berfungsi menghubungkan antara beberapa kawasan perumahan dalam kawasan kejiranan yang sama. Oleh kerana jalan pengagih menghubungkan antara beberapa kawasan perumahan yang berbeza, maka sudah mula ada percampuran aliran trafik antara lalu lintas tempatan dengan lalu lintas luar. Memandangkan aliran trafik sudah mulai sibuk, sudah hampir tiada lagi premis-premis yang dibina di tepi jalan (kecuali beberapa jenis premis seperti sekolah, balai raya, dewan orang ramai, medan selera, pusat beli-belah, dsb.), menjadikan darjah kawalan masuk kali ini dikenali sebagai kawalan masuk separa. Had laju juga meningkat kepada sekitar 50-60 km/j. Bagi kes kali ini, saya gunakan Lebuh Utama Sri Gombak sebagai contoh jalan pengagih, kerana ia berfungsi menghubungkan antara beberapa kawasan perumahan (Kampung Sungai Kertas, Taman Gombak Permai, Kampung Melayu Wira Damai, Pinggiran Batu Caves dan Sri Gombak).

Jalan hadapan pula selalunya terdiri daripada jalan sehala (biasanya satu lorong) yang dibina selari dengan jalan raya utama, digunakan untuk menghubungkan secara terus ke kedai-kedai dan bangunan-bangunan. Bentuk asas jalan hadapan boleh juga dikategorikan sebagai jalan tempatan, tetapi jalan hadapan boleh juga berevolusi sebagai sistem lorong pengumpul-ekspres jika ia dibina selari dengan lebuh raya ekspres ataupun jalan arteri bagi tujuan menyediakan capaian terhadap premis-premis di sepanjang laluannya - dalam kes ini, jalan hadapan boleh diklasifikasikan sama ada sebagai jalan pengumpul mahupun jalan pengagih.




Contoh jalan arteri: Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28
(JKR U5)


Jenis jalan raya perbandaran yang terletak di tangga kedua tertinggi dalam hirarki jalan raya perbandaran ialah jalan arteri. Jalan arteri menghubungkan antara kawasan-kawasan kejiranan dalam sesebuah kawasan perbandaran serta berfungsi sebagai jalan keluar masuk utama bagi kawasan perbandaran tersebut. Lalu lintas luar sudah mula mendominasi jalan arteri. Maka, jalan raya arteri selalunya diwartakan sama ada sebagai Jalan Persekutuan ataupun jalan negeri. 

Oleh kerana jalan arteri berfungsi menghubungkan antara beberapa kawasan kejiranan di dalam sesebuah bandar raya, maka jalan-jalan arteri disusun sama ada secara grid ataupun seperti roda. Bagi jalan-jalan arteri yang disusun seperti roda, jalan-jalan arteri dikenali sama ada sebagai jalan jejari (contoh: Jalan Kuching FT1) ataupun jalan lingkaran (contoh: KL MRR1 dan KL MRR2 FT28). Jalan arteri juga dikenakan kawalan masuk separa, tetapi dengan darjah kawalan masuk yang lebih tinggi daripada jalan pengagih. Hasilnya, had laju yang dikenakan adalah sederhana tinggi (sekitar 60-80 km/j). Meskipun persimpangan searas masih dibenarkan, namun persimpangan bertingkat sering dibina bagi menggantikan persimpangan searas di kawasan persimpangan yang sibuk bagi tujuan kelancaran lalu lintas.




Contoh lebuh raya ekspres: Lebuhraya Duke E33/FT2
(JKR U6)


Akhir sekali, kita pergi ke tangga teratas dalam hirarki jalan raya perbandaran, iaitu lebuh raya ekspres. Ada dua tujuan utama bagi pembinaan lebuh raya ekspres, iaitu sama ada bagi tujuan penyuraian trafik bandar raya (bagi kes lebuh raya ekspres perbandaran) ataupun bagi tujuan pengangkutan jarak jauh antara beberapa bandar raya utama dalam negara (bagi kes lebuh raya ekspres luar bandar). Maka, sudah tentulah lebuh raya ekspres didominasi sepenuhnya oleh lalu lintas luar. Capaian terhadap mana-mana premis sudah tidak lagi dibenarkan, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung; keluar masuk lebuh raya hanya dibenarkan ke jalan-jalan arteri melalui persimpangan bertingkat berlainan aras yang diwartakan dan dihadkan bilangannya. Sebarang bentuk lintasan - sama ada persimpangan searas hatta pusingan U sekalipun - tidak dibenarkan sama sekali. Kawasan di sepanjang lebuh raya dipagar bagi menghalang sesiapa sahaja memasuki lebuh raya (termasuklah haiwan) tanpa melalui persimpangan bertingkat yang diwartakan. Selain itu, kenderaan bergerak perlahan tidak dibenarkan langsung untuk menggunakan lebuh raya ekspres. Hasilnya, had laju yang lebih tinggi boleh dikenakan, iaitu 90 km/j di lebuh raya perbandaran dan 110 km/j di lebuh raya luar bandar. Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) E1 merupakan satu-satunya lebuh raya ekspres perbandaran dalam kawasan tepu bina Lembah Klang yang dikenakan had laju maksimum 110 km/j.

Friday, April 1, 2016

Apa Kejadahnya: Kerana pergolakan politik, Proton pula menjadi mangsa / What The Hell: Because of political turmoil, Proton becomes a victim




Salam sejahtera,

Terlebih dahulu, saya ingin memohon maaf kerana tidak dapat menyiarkan entri mengenai pemandu teksi vs pemandu Uber dan Grabcar seperti yang dijanjikan sebelum ini kerana masih terdapat beberapa kajian yang perlu saya jalankan terlebih dahulu. Entri tersebut akan disiarkan sebaik hasil kajian saya selesai. Sementara itu, izinkan saya untuk menulis mengenai satu isu yang kontroversi , iaitu isu peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai Pengerusi Proton gara-gara pergolakan politik.

Persengketaan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak, dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kini semakin kritikal sehingga membawa kepada peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai Penasihat Petronas dan seterusnya Pengerusi Proton, Canselor Universiti Teknologi Petronas dan beberapa jawatan lain dalam kerajaan. Ia susulan kritikan berterusan Tun Dr. Mahathir terhadap Najib berhubung skandal hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga skandal "duit derma" RM2.6 bilion yang dimasukkan terus ke dalam akaun bank peribadi Najib. Sebagai tindak balas terhadap kritikan tersebut, Najib bertindak memecat sesiapa sahaja yang tidak memihak kepadanya termasuklah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal. Selain itu, Proton juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa persengketaan Tun Dr. M dengan Najib, memandangkan syarikat kereta nasional sulung negara itu diterajui oleh Tun Dr. Mahathir.






Sebenarnya, serangan oleh pihak pro-Najib terhadap Proton memang sudah lama bermula sejak tahun 2015 lagi, apabila TV3 sengaja mencipta isu teksi Proton bagi tujuan memburuk-burukkan Proton. Malah, masa setengah jam dalam rancangan Buletin Utama dibazirkan dengan hanya menghentam Tun Dr. Mahathir semata-mata - ada kalanya sehingga beberapa hari berturut-turut. Tatkala krisis antara Tun Dr. M dan Najib semakin memuncak, pentadbiran Najib mula menggunakan taktik ugutan apabila seorang pegawai eksekutif Proton mendedahkan bahawa para pekerja dan vendor pembekal komponen kini didesak sama ada untuk memihak kepada Tun Dr. M ataupun kerajaan.

Sungguhpun demikiran, kerajaan tidak lagi boleh memecat Tun Dr. Mahathir daripada Proton memandangkan ia bukan lagi sebuah entiti milik kerajaan tetapi sebaliknya merupakan sebuah syarikat milik DRB-Hicom. Namun, DRB-Hicom sendiri terperangkap dalam dilema, memandangkan mereka sendiri banyak bergantung kepada perniagaan berasaskan kontrak kerajaan seperti perkhidmatan pos. Sementara itu, Proton pula amat memerlukan wang dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi membangunkan barisan model kereta dan enjin-enjin baharu untuk membolehkan mereka kembali mencatatkan keuntungan setelah sekian lama rugi akibat ketandusan model-model baharu dan enjin-enjin baharu yang mampu melepasi piawaian emisi akan datang yang semakin ketat - krisis antara Tun Dr. Mahathir dengan Najib sudah tentunya bermaksud Najib boleh mengancam tidak akan menyalurkan wang geran R&D sekiranya Proton tidak tunduk di bawah telunjuknya.

Perkembangan terkini yang berlaku ini jelas menunjukkan betapa parahnya korupsi yang melanda Malaysia, bahana dasar favouritisme, kronisme dan pilih kasih yang semakin berleluasa sekarang - yang pandai membodek dan menjilat akan mendapat habuannya, manakala yang tidak bersetuju serta mengkritik pula diugut, diancam dan dimatikan kariernya.

Sementara itu, golongan yang selama ini begitu anti dengan Proton serta menuduh kewujudan Proton sebagai "punca harga kereta jadi mahal" bersorak riang tatkala mendengar berita peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai Pengerusi Proton. Namun, mereka sedikit pun tidak sedar bahawa Proton itu sendiri sebenarnya mencerminkan perangai buruk sebenar orang-orang Malaysia, khususnya orang-orang Melayu. Tak percaya...? Lihat sajalah apa yang berlaku setiap kali ada orang Melayu yang berniaga. Adakah orang-orang Melayu lain benar-benar menyokong perniagaan anak bangsa sendiri...? Tidak sama sekali, sebaliknya mereka itulah pembunuh nombor satu syarikat-syarikat milik anak bangsa sendiri. Usaha mereka untuk berniaga sering diperlekehkan orang daripada kaum mereka sendiri. Mereka lebih mengagung-agungkan perniagaan bangsa lain daripada bangsa sendiri. Apabila peniaga Melayu terpaksa meletakkan harga tertentu, mereka terus mengatakan bahawa harga tersebut terlalu mahal, walaupun ia memang harga paling murah dalam pasaran. Pelanggan-pelanggan Melayu sering mendabik dada kononnya mereka membantu memajukan perniagaan anak bangsa sendiri, tetapi mereka sering meminta-minta untuk diberikan diskaun dan bukannya membayar lebih tanpa menuntut wang baki. Tidak cukup dengan itu, ada juga segelintir peniaga Melayu lain yang diselubungi sifat dengki khianat dan bertindak untuk menyingkirkan pesaing menggunakan taktik kotor seperti menabur fitnah dan menggunakan benda-benda syirik seperti santau dan pelaris. Maka, tidak hairanlah kenapa kaum Melayu kekal corot dalam bidang perniagaan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain di Malaysia. Bagaimana kita hendak jadi bangsa yang benar-benar maju jika kita sendiri tidak menyokong perusahaan milik anak bangsa kita sendiri dan masih ada sifat hasad dengki sesama sendiri...?

Sungguhpun demikian, tiada gunanya untuk menyalahkan golongan tersebut semata-mata. Orang yang patut dipersalahkan ialah orang yang kononnya menjadi teraju utama orang-orang Melayu, kerana dia telah menunjukkan teladan buruk di hadapan orang-orang Melayu yang lain dengan mempamerkan sifat hasad dengki khianat terhadap seorang tua berusia 91 tahun yang bersusah-payah membawanya ke kemuncak seperti sekarang. Malangnya, si teraju itu bersikap seperti kacang lupakan kulit - dia bertindak menghina orang tua yang menegur kesilapannya dan melayannya seperti bangsat. Bagaimana rakyat hendak menghormati orang yang tidak tahu menghormati orang tua sebegitu...? Jangan haraplah...!!!

Sejak Tun Dr. Mahathir menjadi Pengerusi Proton, beliau tidak seperti pengerusi syarikat-syarikat lain yang hanya duduk di dalam bilik besar berhawa dingin semata-mata. Beliau sendiri terlibat dalam pembangunan model-model baru Proton termasuklah mengujinya sendiri. Dengan kata lain, peranan beliau di dalam Proton bukan sekadar mengarah orang semata-mata, tetapi juga sebagai pemandu ujian. Begitulah perbezaan yang amat ketara antara seorang pemimpin dengan seorang ketua - seorang ketua hanya tahu mengarah sahaja, tetapi seorang pemimpin pula mengepalai operasi bagi organisasi yang dipimpinnya. Seorang ketua memaksa orang untuk ikut arahannya, tetapi seorang pemimpin pula berupaya mempengaruhi orang-orang bawahannya untuk melakukan apa yang dikehendaki tanpa menggunakan kekerasan. Hasil daripada kepemimpinan beliau inilah lahirnya Proton Iriz yang merupakan kereta terbaik keluaran Proton setakat ini.

Kesimpulannya, Proton kini melalui saat sukar bukan kerana ketiadaan sokongan daripada rakyat Malaysia sendiri. Ia terbukti daripada program Alami Proton 2015 yang menyaksikan kehadiran lebih 17,000 pengunjung dan menjana pendapatan sehingga lebih RM30 juta dalam masa 2 hari sahaja hasil tempahan kereta dan jualan alat ganti. Namun, pembunuh sebenar Proton sekarang ialah sikap hasad dengki Najib Razak sendiri yang sanggup menghancurkan Proton demi menutup mulut Tun Dr. Mahathir daripada bersuara tentang skandal hutang 1MDB dan skandal "duit derma" RM2.6 bilion. Kenapa sampai begitu sekali perangai hasad dengki Najib sehingga sanggup menjahanamkan syarikat yang tidak bersalah hanya kerana bersengketa dengan pengerusinya...? Sekarang, Tun Dr. Mahathir sudah pun meletak jawatan sebagai Pengerusi Proton - sudah puas hati sekarang...? Sekurang-kurangnya, Tun Dr. Mahathir telah melakukan satu pengorbanan yang mulia dengan meletak jawatan demi menyelamatkan Proton daripada terus menjadi mangsa pesengketaan politik. Najib pula bila lagi...? Siapa sekarang yang benar-benar berhati besar...?

Dengan ini, Blog Jalan Raya Malaysia mengisytiharkan sokongan penuh terhadap Proton dan menentang segala usaha menjahanamkan Proton yang berpunca daripada pertelingkahan politik.