Sunday, May 31, 2015

Sejarah lengkap Jalan Persekutuan 1 / Federal Route 1 complete history

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon ampun dan maaf kerana sudah terlalu lama saya tidak mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysa ini, berikutan dengan beberapa masalah peribadi yang saya hadapi dalam tempoh sebulan dua ini. Meskipun dilanda pelbagai masalah peribadi, namun saya tetap bersyukur kerana masih mendapat sokongan padu daripada para pembaca budiman sekalian, sekaligus membantu saya untuk terus bersemangat menulis untuk Blog Jalan Raya Malaysia demi memartabatkan jalan raya negara.

Jika anda sering mengikuti laman Facebook Blog Jalan Raya Malaysia sejak akhir-akhir ini, kami menyajikan kepada anda gambar-gambar mengenai sejarah perkembangan rangkaian jalan raya Malaysia. Malah, ada di antara pembaca setia Blog Jalan Raya Malaysia yang sudi menyumbangkan gambar-gambar bersejarah untuk dikongsikan bersama. Jutaan terima kasih buat para penyumbang gambar-gambar bersejarah tersebut, dan jutaan terima kasih juga buat para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang sudi mengimarahkan laman Facebook kami.

Jika bercakap mengenai sejarah perkembangan jalan raya negara, maka sudah tentulah kita perlu mengkaji secara mendalam terutamanya mengenai sejarah beberapa batang jalan raya tulang belakang negara. Seperti yang kita semua sedia maklum, majoriti jalan persekutuan utama yang ada Semenanjung telah dibina sejak zaman penjajah British lagi. Begitu juga di Sabah, jalan-jalan raya utama di kawasan pantai barat dibina oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara (North Borneo Chartered Company) yang menjajah Sabah. Namun, rangkaian jalan raya di Sabah pada masa itu hanya tertumpu kepada kawasan pantai barat disebabkan keupayaan kewangan syarikat yang sudah tentunya lebih terhad berbanding kerajaan penjajah. Di Sarawak pula, boleh dikatakan tiada langsung rangkaian jalan raya antarabandar disebabkan keupayaan sebuah kerajaan pimpinan seorang individu yang sudah tentunya sangat terhad.

Rangkaian jalan raya yang dibina di Semenanjung Malaysia oleh pihak penjajah British sangat ekstensif. Namun, harus diingat bahawa pihak penjajah membina jalan raya bukanlah kerana benar-benar mahu memajukan Tanah Melayu. Ada jalan raya sebegitu banyak pun, majoriti orang kebanyakan hidup miskin dan tidak mampu membeli kenderaan bermotor. Golongan yang mampu memiliki kenderaan bermotor hanyalah pegawai-pegawai British, pengurus-pengurus ladang berbangsa British serta golongan elit Melayu (kerabat diraja, bangsawan dan pembesar). Jadi apa sebenarnya tujuan British membina sebegitu banyak jalan raya semasa zaman penjajahan jika rakyat marhaen tidak mampu memiliki walau sebuah motosikal sekalipun...? Jawapannya sudah tentulah kerana pihak penjajah British sebenarnya berniat mahu membolot segala hasil bumi Tanah Melayu (hasil perladangan, perlombongan, dsb.) untuk mengisi tembolok mereka sendiri. Ia terbukti walaupun setelah Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, apabila ekonomi negara masih lagi dijajah dan hasil perladangan masih lagi dimonopoli oleh syarikat-syarikat milik penjajah. Sebab itulah Tun Dr. Mahathir serta beberapa orang tokoh korporat seperti Tan Sri Khalid Ibrahim mengatur rancangan untuk memalukan kembali British dengan mengadakan operasi memulun habis saham penjajah di dalam syarikat Guthrie dan Sime Darby tanpa pengetahuan mereka dalam Operasi Dawn Raid pada September 1981.

Jalan raya utara-selatan dari Bukit Kayu Hitam sehingga ke Johor Bahru dan Singapura yang kini dikenali sebagai Jalan Persekutuan 1 juga dibangunkan dan dibina oleh pihak penjajah British atas sebab yang sama. Namun, pihak yang mula-mula membangunkan Jalan Persekutuan 1 ini sebenarnya bukanlah pihak penjajah British, tetapi Sultan Kedah sendiri iaitu Sultan Ahmad Tajuddin. Pada tahun 1880, baginda memerintahkan agar sebatang jalan raya utama dibina dari Alor Setar ke Singgora (kini Songkhla di selatan Thailand. Jalan raya tersebut kini bukan sahaja sebahagian daripada Jalan Persekutuan 1, tetapi juga sebagai daripada Jalan Kebangsaan Thailand 4 (Jalan Phetkasem), 407 dan 414. Jalan raya tersebut dianggap sebagai jalan raya awam pertama di Malaysia.

Seterusnya, fasa-fasa berikutnya pula dibangunkan dengan giatnya oleh pihak penjajah British. Pada tahun 1897, jajaran dari Perai ke Ipoh serta jajaran Kuala Lumpur-Seremban-Tampin siap dibina. Pada tahun 1915, jajaran Kuala Lumpur-Ipoh dan Johor Bahru-Kulai dibuka kepada lalu lintas. Sementara itu, Tambak Johor yang menghubungkan antara Johor Bahru dengan Singapura siap dibina pada Jun 1924. Seterusnya, laluan Butterworth-Alor Setar dan Kulai-Yong Peng pula dibuka pada tahun 1928. Akhir sekali, jajaran Yong Peng-Tampin siap dibina pada tahun 1939, menandakan bahawa keseluruhan laluan utara-selatan dari Bukit Kayu Hitam sehingga ke Johor Bahru dan Singapura akhirnya sudah siap sepenuhnya.

Tidak lama setelah Jalan Persekutuan 1 siap sepenuhnya pada tahun 1939, Perang Dunia Kedua meletus. Tentera Empayar Jepun mendarat di pantai Kota Bharu, Songkhla dan Pattani. Pada masa inilah Jalan Persekutuan 1 menjadi saksi penting pertempuran antara pihak British yang turut dibantu Rejimen Askar Melayu, tentera Australia dan tentera India. Meskipun pihak British bermodalkan senjata-senjata berat seperti kereta kebal, namun tentera Jepun mara dengan sebegitu pantas kerana memanfaatkan penggunaan basikal bagi memudahkan mereka menyelusuri sepanjang Tanah Melayu dengan begitu lincah. Mereka tidaklah menggunakan basikal yang sama sahaja sepanjang kempen penjajahan, tetapi kebanyakan basikal yang digunakan dirampas daripada penduduk tempatan dan seterusnya disingkirkan bagi memudahkan pergerakan.




Jambatan Putus Buloh Kasap FT1, salah sebuah jambatan yang diletupkan oleh Kor Jurutera Diraja British semasa Perang Dunia Kedua bagi menghalang kemaraan tentera Jepun
(Kredit gambar: Hafez J Malim)




Jambatan Sungai Kelamah FT1 semasa Perang Dunia Kedua




Jambatan Sungai Kelamah FT1 sekarang


Perang Dunia Kedua menyaksikan banyak jambatan yang diletupkan oleh Kor Jurutera Diraja British bagi menghalang kemaraan tentera Jepun ke selatan. Dikatakan lebih 100 buah jambatan diletupkan oleh Kor Jurutera Diraja British sepanjang Perang Dunia Kedua. Antara jambatan-jambatan terkenal yang diletupkan semasa zaman Jepun ialah Jambatan Sungai Kelamah (juga dikenali sebagai Jambatan Gemencheh), Jambatan Gemas dan Jambatan Buloh Kasap - ketiga-tiganya di Jalan Persekutuan 1 - semasa Pertempuran Gemencheh pada 14 Januari 1942. Meskipun ketiga-tiga jambatan yang diletupkan itu mengorbankan lebih 1,000 orang tentera bermata sepet dari negara matahari terbit dan seterusnya membawa kepada kemenangan tentera Australia yang terlibat dalam pertempuran tersebut, namun ia sama sekali tidak berupaya menghalang tentera Jepun untuk terus mara dan memacakkan Bendera Matahari Terbit di sebelah selatan tanah air bagi menggantikan bendera Union Jack. Setelah Perang Dunia Kedua tamat, pihak penjajah British kembali semula ke Tanah Melayu, tetapi tiada perkembangan signifikan terhadap Jalan Persekutuan 1 melainkan usaha-usaha pemulihan semula jalan raya dan jambatan yang rosak akibat kesan peperangan.




Jambatan Merdeka FT1 yang menyeberangi Sungai Muda di sempadan negeri Kedah-Pulau Pinang
(Kredit kepada: Memori Kedah)




Plaza tol lama Lebuhraya Tanjung Malim-Slim River FT1. Kini bangunan pejabatnya dijadikan bangunan stor JKR Slim River.


Aktiviti penambahbaikan Jalan Persekutuan 1 hanya berkembang dengan pesatnya setelah Malaysia memperoleh kemerdekaannya pada tahun 1957. Antaranya termasuklah pembinaan Jambatan Merdeka FT1 di sempadan Pulau Pinang-Kedah yang dibina pada tahun 1955 bagi menggantikan jambatan asal yang musnah diletupkan oleh Kor Jurutera Diraja British semasa Perang Dunia Kedua. Jambatan Merdeka mendapat namanya kerana ia dirasmikan dan dibuka kepada lalu lintas pada tahun kemerdekaan negara. Selain itu, sebatang jalan raya baharu yang lebih lurus dibina bagi menggantikan laluan lama antara Slim River ke Tanjung Malim yang berkelok-kelok dan berselekoh tajam. Jalan raya tersebut yang dikenali sebagai Lebuhraya Tanjung Malim-Slim River FT1 dibuka pada tahun 1966 dan menjadi jalan raya tol pertama di Malaysia. Selain itu, banyak jajaran lain yang ditambah baik termasuklah melebarkan jajaran yang sempit dan meluruskan jajaran yang berkelok-kelok dan berselekoh tajam.




Jejambat Bulatan Dato' Onn FT1 pada tahun 1969




Jejambat Jalan Kinabalu FT1 (dahulunya dikenali sebagai Jalan Viaduct FT1) pada tahun 1970


Di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sendiri, beberapa penambahbaikan telah dilakukan terhadap Jalan Persekutuan 1 melalui penjajaran semula laluan FT1 di Kuala Lumpur. Kelemahan perancangan merupakan antara punca utama kesesakan jalan raya di sepanjang laluan lama FT1 di KL. Asalnya, jajaran FT1 di Kuala Lumpur melalui Jalan Cheras, Jalan Pudu, Jalan Tun Perak, Jalan Raja Laut dan Jalan Ipoh / Jalan Sultan Azlan Shah. Namun, laluan pengganti baharu telah dibina, bermula dengan Jalan Viaduct (kini Jalan Kinabalu FT1) yang menghubungkan antara pusat bandar raya dengan Jalan Maharajalela FT1, Jejambat Jalan Loke Yew FT1 serta Jalan Kuching FT1. Jejambat Jalan Kinabalu FT1 (dahulunya dikenali sebagai Jalan Viaduct FT1) dibuka pada 15 Mac 1963 bagi mengurangkan kesesakan di jambatan Jalan Sultan Sulaiman.




Kutipan tol di Jalan Kuching FT1 pernah mencetuskan kontroversi suatu ketika dahulu


Namun, projek penambahbaikan laluan FT1 yang paling kontroversi di Kuala Lumpur ialah kutipan tol di Jalan Kuching FT1. Dalam perjanjian konsesi asal yang ditandatangani pada tahun 1985, projek tersebut asalnya merupakan projek membina Persimpangan Bulatan Kepong serta melebarkan Jalan Kepong FT54 sahaja, dengan kos pembinaan RM60 juta. Perjanjian konsesi asal 9 tahun bermula tahun 1987 sepatutnya tamat pada tahun 1996. Namun, pada tahun 1987 Kamunting Corporation diminta untuk melebarkan Jalan Kuching FT1 dengan kos tambahan sejumlah RM14 juta. Sebagai balasan, tempoh konsesi dilanjutkan 7 tahun lagi sehingga berakhir pada tahun 2003. Walaupun tol yang dikenakan pada masa itu ialah 50 sen bagi kereta, namun akibat perjanjian konsesi yang tidak telus dan berat sebelah, ramai pengguna yang membantah kutipan tol di Jalan Kuching FT1 tersebut.




Lebuhraya Jitra-Bukit Kayu Hitam E1/FT1 yang membentuk sebahagian daripada laluan Lebuhraya Utara-Selatan Jajaran Utara E1 dibina sebagai naik taraf Jalan Persekutuan 1


Pada penghujung tahun 1970an, timbul satu keperluan bagi membina sebuah laluan lebuh raya ekspres baharu dari Bukit Kayu Hitam ke Johor Bahru. Ia susulan keadaan Jalan Persekutuan 1 yang semakin sesak. Namun, memandangkan kerajaan tidak mempunyai kewangan mencukupi untuk membinanya, maka pada tahun 1977 kerajaan menjemput beberapa buah syarikat swasta bagi membina lebuh raya tersebut secara penswastaan. Malangnya, tiada satu pun syarikat yang berani hendak membinanya. Hanya setelah Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981 barulah cadangan tersebut dihidupkan kembali. Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ditubuhkan untuk membina Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2. Semasa projek Lebuhraya Utara-Selatan dilancarkan, projek Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37/E2 sedang berjalan. Dalam fasa terawal projek Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, jajaran FT1 dari Jitra ke Bukit Kayu Hitan dinaik taraf sebagai jalan raya kembar yang tidak mengikut piawaian lebuh raya ekspres. Namun, memandangkan pada masa itu belum ada lagi sebarang garis panduan bagi menetapkan piawaian lebuh raya ekspres, maka jajaran tersebut diserapkan (grandfathered) sebagai sebahagian laluan E1. Selebihnya, anda boleh baca sendiri dalam entri sejarah Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2. Setelah Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 siap pada tahun 1994, ia mengambil alih peranan Jalan Persekutuan 1 sebagai laluan tulang belakang utama di Semenanjung Malaysia.




Lebuhraya Skudai FT1




Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1


Sungguhpun peranan Jalan Persekutuan 1 telah diambil alih Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, namun ia sama sekali tidak menghalang Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk terus melakukan penambahbaikan terhadap jalan FT1 ini. Malah, terdapat juga jajaran yang dinaik taraf menjadi jalan tol ataupun lebuh raya ekspres. Selain jajaran Jitra-Bukit Kayu Hitam, jajaran Johor Bahru-Senai juga dinaik taraf kepada lebuh raya kembar yang dikenali sebagai Lebuhraya Skudai FT1. Jajaran ini sebenarnya dibina oleh JKR, tetapi ia diserahkan kepada LLM pada November 1985 bagi tujuan naik taraf sebagai laluan utama Malaysia-Singapura. Sebab itulah Lebuhraya Skudai FT1 dikenakan tol. Kutipan tol di Plaza Tol Senai ditamatkan pada 1 Mac 2004, tetapi kutipan tol di Tambak Johor masih diteruskan, cuma plaza tolnya berpindah ke Bangunan Sultan Iskandar. Selain Lebuhraya Skudai FT1, Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1 dibina hasil naik taraf Jalan Cheras-Kajang FT1 daripada hanya dua lorong kepada lapan lorong. Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1 dibuka kepada lalu lintas pada 15 Januari 1999.

Begitulah kisah riwayat sebatang jalan persekutuan sepanjang 826.6 km yang telah banyak berjasa kepada rakyat marhaen sejak zaman penjajah sehingga sekarang. Bermula dari kilometer sifarnya yang terletak betul-betul di sempadan Malaysia-Singapura di Tambak Johor FT1 sehinggalah ke penamatnya yang terletak di kompleks imigresen Bukit Kayu Hitam, terdapat lebih kurang 92 nama jalan yang kesemuanya merujuk kepada Jalan Persekutuan 1, memang jenuh gila hendak menghafal kesemuanya. Jalan Persekutuan 1 juga merupakan sumber rezeki bagi lebih sejuta rakyat yang tinggal di sepanjangnya. Justeru, sempena mengenang jasa Jalan Persekutuan 1 yang bertanggungjawab menghubungkan desa dan kota serta menjadi nadi ekonomi utama penduduk di sepanjang laluannya, maka hari ini saya ingin menyeru kepada Datuk Seri Fadillah Yusof serta Kementerian Kerja Raya agar keseluruhan Jalan Persekutuan 1 (kecuali laluan yang sudah dinaik taraf menjadi lebuh raya kembar atau ekspres) dikenali dengan hanya satu nama sahaja, iaitu Jalan Raya 1Malaysia, dan bukannya 92 buah nama sebagaimana sekarang. Saudara Yusrizal Md. Yusof pernah cuba untuk menghidupkan projek jelajah Jalan1Malaysia sebanyak 2 kali bagi menggesa kerajaan agar menamakan Jalan Persekutuan 1 sebagai Jalan 1Malaysia di samping menjadikan jalan FT1 sebagai syurga bagi penunggang basikal tetapi gagal, jadi kali ini biar saya pula yang menggesa Datuk Seri Fadillah Yusof untuk menamakan Jalan Persekutuan 1 sebagai Jalan 1Malaysia. Pemberian nama Jalan 1Malaysia terhadap Jalan Persekutuan 1 tentunya satu kemenangan besar terhadap usaha memartabatkan dan menyayangi jalan persekutuan, khususnya jalan raya yang telah banyak berjasa menghubungkan rakyat desa dan kota dari utara sehingga ke selatan sejak zaman penjajah sehingga sekarang.




Friday, May 1, 2015

Mythbuster: Tayar celup membahayakan nyawa pengguna jalan raya - mitos terbukti benar...!!! / Retread tyres endanger the lives of road users - myth confirmed...!!!



Bunga tayar celup yang tertanggal di tengah-tengah jalan berupaya menjadi jerangkap samar terhadap pengguna jalan raya yang lain khususnya penunggang motosikal


Salam sejahtera,

Sejak sebulan dua ini, isu mengenai penggunaan tayar celup oleh kenderaan berat yang membahayakan pengguna jalan raya sering menghiasi dada akhbar. Apa tidaknya, terdapat banyak tinggalan puing-puing bunga tayar celup di atas jalan raya yang ditinggalkan oleh kenderaan berat, yang seterusnya menjadi jerangkap samar yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain, khususnya penunggang motosikal. Sebab itulah terdapat suara-suara yang lantang mendesak kerajaan agar mengharamkan penggunaan tayar celup ini.

Apa itu tayar celup...? Tayar celup bermaksud tayar yang dikitar semula dengan memasang bunga baharu bagi menggantikan bunga lama yang sudah haus. Penggunaannya popular di kalangan kenderaan berat disebabkan harga tayar baharu yang sangat mahal - memanggil mekanik untuk membuka tayar sahaja pun sudah memerlukan ongkos sejumlah ratusan ringgit, apatah lagi membeli tayar baharu yang harganya mencecah ribuan ringgit. Kos untuk menghasilkan tayar celup hanya sekitar 20% daripada kos pembuatan tayar baharu, serta mengekalkan 90% daripada bahagian tayar lama. Selain itu, terdapat negara yang mewajibkan penggunaan tayar celup atas alasan lebih mesra alam dan menjimatkan penggunaan getah - bermaksud kurang hutan yang perlu digondolkan untuk dijadikan ladang getah.




Dua jenis proses pembuatan tayar celup, iaitu pre cure dan mold cure


Terdapat dua jenis proses pembuatan tayar celup, iaitu proses pre cure dan mold cure. Proses pre cure dilakukan dengan membuang bunga tayar lama, membersihkan tapak bunga tayar dan seterusnya melekatkan bunga tayar baharu yang memang sudah siap diacu dan divulkankan. Proses pre cure memerlukan modal awal yang sangat rendah, jadi kaedah pre cure merupakan kaedah pembuatan tayar celup yang paling lazim digunakan. Namun, tayar celup jenis pre cure mempunyai beberapa kelemahan tersendiri:-
  1. Penghujung bunga tayar tidak bercantum dengan baik, sekaligus memberi kesan terhadap sifat cengkaman dan saliran air hujan
  2. Kekuatan gam yang digunakan untuk melekatkan bunga tayar adalah diragui - boleh jadi terlalu lemah sehingga menyebabkan bunga tayar mudah tertanggal. Kecenderungan bunga tayar untuk tertanggal memang tinggi kerana kilasan yang terhasil pada tayar lori sangat tinggi.
  3. Usia sebenar tayar boleh diragui - selalunya, pengeluar tayar celup terkemuka sentiasa memeriksa keadaan tayar terlebih dahulu sebelum diberikan bunga baharu. Namun, ada kalanya usia tayar yang digunakan itu terlalu lama dan ada yang menampakkan kesan-kesan merekah, yang menjadikannya tidak lagi selamat untuk digunakan

Kaedah kedua ialah kaedah mold cure. Proses mold cure pula dilakukan dengan melilitkan getah baharu yang belum divulkankan pada tapak tayar lama yang sudah dibersihkan daripada bunga lama. Seterusnya, tayar dimasukkan ke dalam acuan untuk divulkankan serta mengecap bunga baharu. Hasilnya, kualiti tayar yang terhasil adalah paling menghampiri tayar baharu kerana ia memang benar-benar menggunakan getah baharu, dan lekatan yang terhasil antara lapisan bunga dan tapak taya terbentuk daripada getah baharu yang mencair semasa di dalam acuan. Namun, proses pembuatan sebegini lebih mahal daripada proses pembuatan tayar celup jenis pre cure.

Jadi, selamatkah penggunaan tayar celup ini sebenarnya...? Jawapannya ialah ya dan tidak. Jika tayar celup dibuat mengikut piawaian kawalan kualiti yang begitu ketat (MS 224: Specification for Retreading of Pneumatic Rubber Tyres for Passenger Car and Commercial Vehicle), ia memang selamat untuk digunakan - dengan syarat, anda tahu membezakan yang mana tayar celup asli dan yang mana tayar celup tiruan. Tayar celup tiruan pula sememangnya tidak selamat kerana tayar lama yang digunakan berkemungkinan sudah mula luput, merekah dan tidak selamat untuk digunakan lagi - tayar hanya sesuai digunakan dalam tempoh sehingga lima tahun selepas tarikh pengeluaran. Paling penting, tayar celup selalunya tiada jaminan pengeluar kerana secara teknikalnya tayar celup itu sendiri memang boleh dikategorikan sebagai tayar terpakai - maka, jika tayar celup lori anda tiba-tiba pecah di tengah jalan, anda tidak boleh membuat sebarang tuntutan waranti daripada pengeluar tayar celup.




Tayar celup yang nyaris meragut nyawa Encik Lando Zawawi di KL MRR2 FT28, Hulu Klang
(Kredit kepada: Encik Lando Zawawi)


Sebenarnya, kebimbangan pengguna jalan raya khususnya pengguna motosikal tentang bahaya penggunaan tayar celup oleh kenderaan berat memang ada asasnya, dibuktikan melalui puing-puing bunga tayar yang tertinggal di tengah jalan, dan ada kalanya ia menjadi punca kemalangan maut yang mengorbankan penunggang motosikal yang tidak sempat mengelak. Malah, Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan Amerika Syarikat (NHTSA) sendiri turut mengakui akan bahaya puing-puing bunga tayar celup yang berupaya menjadi jerangkap samar yang membahayakan pengguna lebuh raya Interstate. Encik Lando Zawawi, jurucakap kumpulan motosikal Brotherhood, juga pernah nyaris-nyaris kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (KL MRR2) FT28 dekau Hulu Klang semasa hendak mengelak serpihan tayar celup lori yang tertanggal dan tercabut bunganya. Begitulah dalil bagaimana berbahayanya penggunaan tayar celup cap ayam berkualiti cikai ini. Pun begitu, masih ada pihak yang masih mempertahankan tayar celup seperti Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, seolah-olah tayar celup tidak pernah langsung mengakibatkan kemalangan maut, sedangkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri pun menunjukkan bahawa memang ada kes kemalangan maut yang berpunca daripada penggunaan tayar celup cap ayam itu.






Kesimpulannya, mitos yang mendakwa bahawa penggunaan tayar celup mengancam keselamatan nyawa pengguna jalan raya terbukti benar sama sekali. Meskipun masih ada jenis tayar celup yang selamat, namun berita-berita tentang bagaimana tayar celup boleh menjadi ancaman terhadap keselamatan pengguna jalan raya juga tidak seharusnya dipandang enteng kerana ia melibatkan nyawa pengguna jalan raya yang lain. Justeru, kepada para pemandu lori sekalian, apa yang patut anda semua lakukan sekiranya bajet anda hanya mengizinkan anda untuk menggunakan tayar celup sahaja...? Hanya beli tayar celup daripada kedai-kedai pengedar asal bagi jenama-jenama tayar terkemuka sahaja (seperti Bridgestone, Michelin, Goodyear dan Continental). Tayar-tayar celup yang memang dikeluarkan oleh para pengeluar asal tayar itulah yang selamat digunakan di atas jalan raya kerana mereka mengamalkan piawaian pengeluaran tayar celup yang ketat. Jangan sekali-kali membeli tayar celup dari bengkel bawah pokok, kerana tayar-tayar sebegitu boleh jadi sudah luput dan merekah. Paling penting, terus tukar tayar anda kepada tayar baharu jika usia tayar tersebut sudah mencecah 5 tahun daripada tahun pengeluaran asal tayar, walaupun ketika bunga tayar celup anda masih tebal lagi. Penggunaan tayar yang betul bukan sahaja melindungi pengguna jalan raya lain daripada risiko kemalangan, malah ia juga boleh membantu menjimatkan penggunaan bahan api. Selain itu, jangan pandu pada kelajuan melebihi 80-90 km/j di lebuh raya ekspres, untuk mengurangkan kecenderungan kerosakan pada lapisan gam yang mengikat bunga tayar baharu. Anda mampu mengubahnya.