Showing posts with label archive. Show all posts
Showing posts with label archive. Show all posts

Friday, December 14, 2012

Arkib Blog Jalan Raya Malaysia: Ucapan perasmian Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 oleh Tun Dr. Mahathir / Malaysian Highway Blog Archive: North-South Expressway E1 and E2 inaugural speech by Tun Dr. Mahathir



Lebuhraya Baru Lembah Klang bercantum dengan laluan utama Lebuhraya Utara-Selatan E1 di Bukit Lanjan


Ucapan perasmian Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 8 September 1994

Saya mengucapkan terima kasih ke pada pihak Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad (PLUS) kerana menjemput saya untuk merasmikan penyempurnaan Lebuhraya Utara-Selatan pada hari ini.

2. Saya gembira bahawa negara kini mempunyai sebatang lebuh raya bertaraf antarabangsa yang dapat membantu mempercepatkan pembangunan ekonomi dan sosial di negara ini.Pemandu-pemandu juga kini boleh memandu dengan lebih selesa, menjimatkan masa dan lebih selamat. Saya mengucapkan syabas kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PLUS kerana melaksanakan projek ini dengan jayanya.

3. Projek lebuhraya ini adalah antara projek Kerajaan yang terawal diswastakan. Dengan pelaburan yang tinggi dalam aneka jenis industri oleh pelabur dari dalam dan luar negeri amatlah penting pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, pelabuhan, lapangan terbang serta kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik turut dibangunkan dengan sama pesat.

4. Biasanya Kerajaan membiayai infrastruktur daripada hasil pendapatan Kerajaan dan pinjaman. Pinjaman juga bergantung kepada kewangan Kerajaan. Adalah jelas jika pembangunan infrastruktur ditentukan oleh kemampuan Kerajaan, maka ia akan lewat dibina dan tidak akan terdaya membekalkan keperluan industri yang berkembang pesat. Dengan itu pelaburan akan tersekat dan pertumbuhan negara terhalang.

5. Melalui penswastaan, kewangan Kerajaan tidak lagi menjadi penghalang. Sebaliknya, kewangan Kerajaan menjadi lebih kukuh kerana Kerajaan tidak lagi perlu mengadakan peruntukan untuk projek dan gaji kakitangan dalam badan berkenaan. Syarikat swasta mengambilalih semua perbelanjaan ini.

6. Pengurusan secara komersil menyebabkan projek disiap serta pendapatan diperolehi lebih awal. Kerajaan juga mendapat cukai di mana dahulu tidak ada keuntungan dan tidak ada cukai. Kakitangan Kerajaan yang tidak terlibat dengan penswastaan pun mendapat nikmat daripada pengurangan perbelanjaan Kerajaan dan pertambahan cukai yang dikutip.

7. Rakyat juga mendapat manfaat daripada kemudahan infrastruktur yang siap lebih awal dan pengagihan belanjawan Kerajaan kepada kemudahan-kemudahan infrastruktur dan subsidi yang lain. Pasaran saham dan pelabur kecil dan besar tentu akui akan kesan baik daripada penswastaan.Sekarang terdapat banyak syarikat gergasi yang disenaraikan di mana dahulu tidak ada. Oleh kerana Kerajaan memperuntukkan sebahagian besar daripada saham-saham kepada PNB dan syarikat-syarikat Amanah Saham Bumiputra lain, maka proses penswastaan berjaya menjadikan lebih tiga juta Bumiputera sebagai pemilik saham syarikat-syarikat gergasi.

8. Pendekata semua pihak, termasuk kakitangan Kerajaan yang dipindahkan ke syarikat swasta mendapat manfaat daripada proses penswastaan. Oleh kerana sebab-sebab inilah maka Kerajaan akan meneruskan dasar penswastaannya.

9. Pembukaan Lebuhraya Utara-Selatan hari ini bukan sahaja membuktikan kejayaan dasar penswastaan tetapi juga keberkesanan kerjasama yang rapat di antara sektor awam dengan swasta selaras dengan Dasar Persyarikatan Malaysia atau Malaysia Incorporated.

10. Ia membuktikan kebolehan dan kemampuan industri pembinaan tempatan melaksanakan projek raksasa. Jelaslah bahawa kita juga mempunyai kepakaran serta mutu kerja yang setanding dengan industri pembinaan antarabangsa. Projek ini juga menunjukkan kemampuan kita mengurus dan membina sebuah prasarana yang kompleks yang bertaraf 'world class' dengan menggunakan kepakaran luar negeri di tahap yang minima sahaja. Projek sebesar ini juga telah berjaya dibiayai oleh institusi kewangan tempatan yang sudah mantap dengan kepakaran 'financing' yang canggih dan terkini.Kontraktor-kontraktor kita telah membuktikan kemahiran mereka dengan menyiapkan kerja lebih awal daripada yang ditetapkan oleh Kerajaan.

11. Projek ini juga berjaya mencungkil bakat perniagaan dan pengurusan Bumiputera yang jelas setanding dengan bukan Bumiputera. Demikianlah pengiktirafan kepada kebolehan syarikat Bumiputera sehingga negara-negara lain tidak ragu-ragu lagi menjemput mereka untuk melaksanakan projek-projek di negara berkenaan.

12. Sektor swasta mempunyai peranan yang penting dalam mempercepatkan proses perindustrian negara. Antara peranan utama yang boleh dimainkan oleh sektor swasta ialah memenuhi kekurangan dalam sektor awam. Sektor swasta boleh menyediakan keperluan kewangan bagi membiayai sesuatu projek di samping melaksanakannya dengan lebih cekap dan efektif.'Flexibility' yang ada pada sektor swasta juga membolehkan sektor itu lebih agresif dan efisien. Kerajaan boleh membantu dengan mempercepatkan bukan sahaja proses sesuatu projek, tetapi juga meningkatkan mutu khidmat yang disediakan.

13. Penjimatan masa dan kecekapan adalah dua faktor yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Dengan mengadakan prasarana yang terancang dan bertaraf antarabangsa seperti Lebuhraya Utara-Selatan kita boleh menjimatkan masa dan memudahkan pengangkutan barangan dan penumpang. Saya yakin Lebuhraya Utara-Selatan ini akan dapat membantu pertumbuhan berbagai-bagai industri termasuk perumahan dan bandar-bandar baru. Di samping itu, laluan lebuh raya amat sesuai untuk kabel telekomunikasi dan kemudahan pelancongan seperti perhentian beristirahat dan motel sepanjang lebuh raya.

14. Dengan wujudnya sistem rangkaian pengangkutan yang baik, maka tempat-tempat yang dihubungi oleh jalan raya atau lebuh raya akan dapat dibangunkan secara tersusun. Dari utara ke selatan, pelbagai kemudahan telah disediakan untuk memenuhi keperluan penduduk dan pembangunan kawasan. Bandar Nilai, misalnya, telah mengalami perubahan yang besar bukan hanya dengan adanya Lebuhraya Seremban tetapi juga kerana cadangan untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang. Di samping menyediakan prasarana untuk pembangunan, lebuh raya bukan sahaja menarik pelaburan dari dalam dan luar negeri tetapi juga membuka peluang-peluang perniagaan kecil tempatan. Gerai-gerai yang disediakan oleh PLUS boleh menampung keperluan peniaga kecil yang berdekatan. Hanya yang dikehendaki ialah mereka berniaga secara lebih teratur.

15. Kesan pembukaan Lebuhraya Utara-Selatan sudah pun jelas ternampak. Bandar-bandar kecil dan terpencil sudah tumbuh dengan pesatnya. Hari ini bandar-bandar seperti Bukit Kayu Hitam, Kangar, Alor Setar, Sungai Petani, Seberang Perai, Bukit Mertajam dan Seberang Jaya sudah menjadi pusat industri kerana bandar- bandar ini tidak lagi dianggap jauh dari pelabuhan atau lapangan terbang antarabangsa.Eksekutif syarikat sekarang sanggup tinggal atau bekerja di bandar-bandar ini kerana mudah bagi mereka pergi dan balik dari bandaraya.

16. Sungai Petani hari ini bukan lagi sebuah bandar kecil yang dilalui untuk ke Alor Setar atau Thailand tetapi adalah sebuah bandar yang berkembang maju. Hari ini ketiga-tiga estet perindustriannya, iaitu Batu Arang, Tikam Batu dan Sungai Petani telah berjaya menarik pelaburan bernilai beratus juta ringgit. Pusat-pusat komersil dan kawasan perumahan di bandar tersebut juga sedang membangun dengan cepat sekali.

17. Pulau Pinang yang memang pesat membangun telah menjadi lebih sibuk kerana lebuh raya Utara-Selatan. Di masa yang sama, ramai yang suka memandu kereta sendiri dari Kuala Lumpur, Melaka, Johor Bharu dan Singapura ke Pulau Pinang, di mana dahulu mereka tidak berminat berbuat demikian kerana perjalanan tidak selesa. Sudah tentu industri pelancongan menjadi lebih maju. Pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang sudah menjadi lebih pesat daripada zaman ianya bergantung kepada taraf kawasan bebas cukai.

18. Di kawasan tengah pula, Lebuhraya Utara-Selatan memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan pembangunan hartanah di Ipoh, Perak, di mana tiga kawasan perumahan telah bertukar menjadi kawasan pertumbuhan baru. Taman pertama, Silibin; Jelapang dan Taman Meru, yang terletak di pinggir bandaraya Ipoh telah dibangunkan sebagai pusat bersepadu dengan industri ringan dan berat, kompleks komersil dan tempat peranginan golf.

19. Negeri Selangor dan Perak akan membangunkan kawasan seluas 24,000 hektar yang merangkumi empat daerah di sepanjang sempadan kedua-dua negeri itu yang dinamakan Lembah Bernam. Di Selangor juga, Lebuhraya Utara-Selatan membantu mempercepatkan pembangunan di bandar seperti Rawang, Serendah, Ulu Yam dan Batang Kali di mana projek kereta nasional kedua, sebuah kolej, pusat penyelidikan kesihatan, Perumahan Bukit Beruntung sedang dijalankan.

20. Di kawasan Selatan pula, Sungei Besi, Kajang, Bangi di Selangor; Nilai, Pedas, Labu di Negeri Sembilan; Ayer Keroh di Melaka dan Pagoh, Yong Peng - Air Hitam di Johor, adalah antara bandar-bandar yang pesat membangun dengan aneka jenis industri.

21. Nyatalah pembukaan Lebuhraya Utara-Selatan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan peniaga, tetapi juga telah meningkatkan mutu kehidupan rakyat keseluruhannya, di samping memudahkan pengangkutan dan perjalanan.

22. Sekali lagi, saya mengucapkan tahniah kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PLUS Berhad kerana bukan sahaja berjaya melaksanakan Lebuhraya Utara-Selatan tetapi menyiapkannya dalam tempoh 15 bulan lebih awal dari tarikh yang ditetapkan. Dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan keseluruhan Lebuhraya Utara-Selatan.

Dato' Seri Dr. Mahathir bin Mohamad
Perdana Menteri Malaysia
8 September 1994

(Dipetik dari: Koleksi Arkib Ucapan Ketua Eksekutif)

Arkib Blog Jalan Raya Malaysia: Ucapan perasmian Lebuhraya Papar-Sindumin FT1 oleh Tun Dr. Mahathir / Malaysian Highway Blog Archive: Papar-Sindumin Highway FT1 inaugural speech by Tun Dr. Mahathir





Lebuhraya Papar-Sundumin FT1 sejauh 109 km bermula dari Bulatan Bongawan (atas) dan berakhir di Bulatan Sindumin (bawah). (Gambar asal oleh: Hasidy Harun)


Salam sejahtera,

Satu sebab yang menjadikan usaha memartabatkan jalan persekutuan di Malaysia sukar dilaksanakan ialah kerana peristiwa-peristiwa yang melibatkan pembinaan serta perasmiannya yang jarang didokumentasikan dalam mana-mana media massa mahupun media cetak. Memanglah laporan berita di dada akhbar tentunya ada, tetapi laporan akhbar selalunya hanyalah sepintas lalu dan bersifat sementara kerana kita selalunya akan cenderung membuang akhbar lama setelah dibaca. Oleh itu, Blog Jalan Raya ingin mengambil inisiatif untuk mengarkibkan teks-teks ucapan pembukaan dan perasmian jalan raya yang sempat didokumentasikan.

Dalam entri pertama dalam arkib Blog Jalan Raya Malaysia, saya ingin mengarkibkan teks ucapan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa merasmikan Lebuhraya Papar-Sindumin FT1 sejauh 109 km pada 17 November 1981. Ramai di antara kita yang tidak mengetahui, sebenarnya "zaman keemasan" pembinaan jalan-jalan raya di negeri Sabah adalah semasa zaman Datuk Harris Salleh dari Parti Berjaya (salah satu parti komponen Barisan Nasional yang sudah dibubarkan pada tahun 1991). Kenapa saya katakan begitu? Pada zaman Datuk Harris Salleh, Sabah adalah negeri kedua terkaya di Malaysia hanya di belakang Selangor, hasil daripada perkembangan industri cari gali petroleum serta pembalakan di sana. Hasilnya, banyak jalan raya berturap yang menjadi laluan tulang belakang di Sabah dibina dengan rancaknya pada masa tersebut. Selain Lebuhraya Papar-Sindumin FT1, beberapa jalan raya utama lain seperti Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22, Lebuhraya Tawau-Semporna FT13 / SA51 Lebuhraya Lawas-Merapok-Sindumin FT1 turut dibuka kepada lalu lintas pada awal 1980an.

Sebagai entri pembuka bagi arkib Blog Jalan Raya Malaysia, izinkan saya membentangkan teks ucapan Tun Dr. Mahathir semasa pembukaan Lebuhraya Papar-Sindumin FT1 ini.



Ucapan Perasmian Lebuhraya Papar-Sindumin FT1 oleh Tun Dr. Mahatir pada 17 November 1981

Yang Amat Berhormat Datuk Harris Mohd. Salleh, Ketua Menteri Negeri Sabah; 
Yang Berhormat Datuk S. Samy Vellu, Menteri Kerjaraya dan Kemudahan Awam; 
Yang Berhormat Tan Sri Suffian Korok, Menteri Pembangunan Infrustruktur Sabah; 
Yang Berhormat-Yang Berhormat; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada saudara-saudara sekelian kerana telah memberikan sambutan yang sangat meriah kepada saya pada hari ini. Sebahagian besar daripada saudara-saudara sekelian telah datang beramai-ramai dari tempat-tempat yang jauh dan dari kawasan-kawasan pendalaman untuk bersama-sama menghadiri Majlis ini. Di atas susah payah saudara-saudara semua saya sekali lagi mengucapkan terima kasih.

2. Saya merasa sukacita mengetahui bahawa projek lebuhraya Papar ke Sindumin ini yang sepanjang 68 batu dan berharga $50 juta telah siap semenjak akhir tahun 1980 iaitu setelah tiga tahun dalam pembinaan. Ini adalah salah satu daripada projek-projek yang telah disiapkan mengikut jadual sungguhpun jadual itu telah dipanjangkan sedikit oleh sebab-sebab cuaca dan keadaan tanah. Di sini sukalah saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak di atas segala usaha untuk menyiapkan lebuhraya ini.

3. Pembinaan lebuhraya Papar ke Sindumin ini adalah sebahagian daripada keseluruhan strateji untuk mempastikan bahawa Negeri Sabah mempunyai satu rangkaian jalanraya yang menghubungi satu bandar ke satu bandar dan dari bandar-bandar di sebelah barat dengan bandar-bandar di sebelah timur negeri Sabah ini. Lebuhraya-lebuhraya yang dibina menjadi nadi dalam pembangunan ekonomi dan sosial Negeri Sabah, terutamanya memandangkan pada masa ini Negeri Sabah sedang meningkatkan lagi usaha-usaha pembangunanya.Ia akan mendekatkan lagi hubungan di antara semua rakyat di Negeri Sabah. Dalam konteks pembangunan, sistem perhubungan yang lengkap adalah asas bagi membolehkan rakyat menerokai aktiviti-aktiviti ekonomi yang dapat meningkatkan taraf kehidupan mereka.

4. Dua lagi lebuhraya yang sedang di dalam pembinaan ialah lebuhraya Tamparuli ke Ranau dan lebuhraya Sempurna ke Lahad Datu. Lebuhraya Tamparuli ke Ranau yang panjangnya 44 batu dianggar memakan perbelanjaan sebanyak $95 juta. Ia dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan. Pada masa ini jalan ini boleh digunakan untuk lalu lintas sekiranya kenderaan-kenderaan itu tidak dipandu laju. Lebuhraya Sempurna ke Lahad Datu sepanjang 91 batu sedang di dalam pembinaan dan dianggar berharga sebanyak $76 juta. Ianya dibina pada sebahagian besarnya mengikut aliran (alignment) jalan yang telah ada dan adalah dijangka siap dalam masa dua tahun lagi.

5. Pembinaan lebuhraya dari Papar ke Sindumin ini bukan sahaja bertujuan untuk memudahkan perhubungan rakyat Negeri Sabah, dari Kota Kinabalu ke Papar dan ke Sindumin sahaja bahkan juga terus ke Negeri Sarawak di mana satu lagi lebuhraya dari Lawas ke Merapok sedang di dalam pembinaan.Dengan siapnya lebuhraya Lawas-Merapok sepanjang 18 batu itu pada akhir tahun ini, perjalanan dari Kota Kinabalu ke bandar-bandar dalam Negeri Sarawak akan dapat menjadi lebih cepat dan mudah.

6. Dengan cara ini akan tercapailah tujuan Kerajaan bagi memperkukuhkan lagi perhubungan di antara rakyat Malaysia di kedua-dua negeri ini. Ini juga akan memudahkan pergerakan penduduk-penduduk, tenaga pekerja, alat-alat jentera yang penting untuk kemajuan dan pembangunan pertanian dan industri dalam kedua-dua negeri ini.

7. Di bawah Rancangan Malaysia Keempat, Kerajaan Persekutuan telah membuat peruntukan sebanyak $5,918 juta bagi kemudahan-kemudahan infrustruktur asas seperti jalanraya, bekalan air, dan elektrik bagi seluruh negara kita. Daripada jumlah ini, Negeri Sabah telah diperuntukkan $691.2 juta. Peruntukan untuk Negeri Sabah akan ditambah sekiranya perlu dan ada kemampuan untuk melaksanakan projek-projek tambahan.

8. Pembinaan lebuhraya memanglah sukar dan memakan belanja yang banyak. Tetapi apabila satu-satu lebuhraya itu siap maka adalah menjadi perkara yang sangat penting supaya ianya diselenggarakan dengan sempurna untuk mengelakkan ianya terbiar dan menjadi rosak yang akan menyebabkan perbelanjaan yang banyak untuk diperbaiki. Aspek penyelenggaraan jalanraya ini, saya ingin tegaskan, hendaklah diambilkira dan hendaklah diberikan perhatian yang sama seperti pembinaan jalanraya itu sendiri.

9. Dalam usaha-usaha perancangan dan pembinaan infrastruktur pihak perancang bukan sahaja mesti mengambilkira aspek-aspek ekonomi projek itu, tetapi juga mestilah memikirkan bahawa orang ramai yang mana projek itu ditujukan adalah sedia untuk menerima dan merebut peluang-peluang dari pembinaan projek pembangunan itu.Dengan cara ini sesuatu projek itu akan dapat digunakan dengan sebaik-baiknya terutama sekali oleh pihak yang menerimanya. Dalam hal ini pihak-pihak perancang hendaklah mengusahakan program-program pembangunan mereka secara bersepadu supaya sesuatu projek pembangunan ini dapat memberi faedah maksima kepada rakyat.

10. Sebelum saya sudahi ucapan saya ini, sukalah saya memberikan tahniah kepada Kementerian Kerjaraya dan Kemudahan-Kemudahan Awam Malaysia yang bertanggungjawab bagi pembinaan jalanraya-jalanraya Persekutuan di Negeri Sabah ini, kepada Kerajaan Negeri Sabah, dan kepada Jabatan Kerjaraya Negeri Sabah yang menjadi badan pelaksana bagi projek-projek jalanraya ini.

11. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Pemandu yang mengandungi semua badan-badan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang berkenaan yang telah menjalankan tugas-tugas mereka dengan baik dan sempurna.

12. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, saya dengan sukacitanya mengistiharkan lebuhraya ini dibuka dengan rasminya.

Terima kasih.

Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad
Perdana Menteri Malaysia
19 November 1981

(Dipetik dari: Koleksi Arkib Ucapan Ketua Eksekutif)