Showing posts with label North-South Expressway. Show all posts
Showing posts with label North-South Expressway. Show all posts

Tuesday, August 28, 2018

Urus niaga Visa PayWave di hentian rehat kendalian PLUS / Visa PayWave transaction at rest areas operated by PLUS




Salam sejahtera,

Mungkin anda akan tergelak & merasakan kelakar sekiranya anda menggunakan kad kredit semasa hendak membeli sepinggan nasi goreng gara-gara tidak membawa banyak wang tunai bukan...? Bunyinya memang agak kelakar, tetapi itulah yang ingin diperkenalkan oleh PLUS Malaysia Berhad sebagai usaha menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai di semua hentian rehat kendalian mereka.

Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama PLUS mengadakan inisiatif seumpamanya. Sebelum ini, PLUS pernah cuba memperkenalkan mod pembayaran tanpa tunai di hentian rehat kendalian mereka sebanyak 2 kali, bermula dengan penggunaan kad Touch 'n Go untuk membayar makanan, disusuli dengan penggunaan app Boost hasil kerjasama dengan Axiata pada awal 2018.

Pada hari ini (28 Ogos 2018), PLUS dengan kerjasama Visa Malaysia melancarkan projek perintis penggunaan kad kredit atau kad debit Visa PayWave sebagai mod pembayaran harga makanan di hentian rehat bertempat di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Dengkil (Arah Utara) di Lebuhraya Elite E6. Sebenarnya saya ada menerima jemputan daripada PLUS untuk turut sama menghadiri majlis tersebut, tetapi saya tidak dapat menyertainya atas sebab kesibukan kerja. Apa pun, terima kasih kepada PLUS kerana sudi berkongsi gambar serta salinan kenyataan media bagi membolehkan saya berkongsi berita ini kepada anda.

Majlis perasmian ini dirasmikan oleh Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail & turut dihadiri Ng Kong Boon, Pengurus Negara, Visa Malaysia. Menurut Datuk Azman, secara purata sebanyak 62,000 buah kenderaan menggunakan jajaran KLIA-Putrajaya di Lebuhraya Elite E6, termasuklah daripada kalangan pelancong asing. Justeru, beliau mensasarkan 25% daripada keseluruhan transaksi di R&R Dengkil Arah Utara menggunakan Visa PayWave. 

Sebagai usaha mencapai sasaran ini, PLUS & Visa mengumumkan diskaun RM1 bagi saetiap transaksi pembelian melebihi RM2 menggunakan Visa PayWave. Nak lebih banyak lagi diskaun...? Boleh, buat lebih banyak lagi pembelian asalkan setiap kali pembelian itu mesti lebih daripada RM2. Oh, tawaran ini akan berakhir 30 November ini, jadi jangan lepaskan peluang untuk mencubanya sendiri.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa kad kredit...? Kan lawak bunyinya kalau sekadar hendak membeli sekeping roti canai & secawan teh tarik pun pakai kad kredit...? Jawapannya mudah sahaja - sebenarnya tidak selamat untuk membawa terlalu banyak wang tunai dalam tangan anda semasa hendak bermusafir. Nanti kena rompak pula semasa dalam perjalanan. Justeru, lebih baik jika memegang sedikit sahaja wang tunai mengikut keperluan.

Selain itu, boleh dikatakan rata-rata pengguna lebuh raya memiliki setidak-tidaknya kad debit yang terdiri daripada kad ATM dengan ciri kad kredit yang dikeluarkan oleh bank masing-masing. Hendak menggunakan app e-dompet, tidak semua orang memiliki telefon pintar, dan tidak semua telefon pintar yang berupaya untuk memasang app sedemikian sama ada disebabkan oleh versi Android / iOS yang sudah tidak disokong, tidak cukup ruang storan dalaman, tiada sokongan untuk telefon pintar dengan akses root dsb. Di samping itu juga, pelancong asing yang tidak membawa banyak wang tunai dalam Ringgit Malaysia juga berupaya untuk menggunakan kad kredit masing-masing untuk mencuba juadah tempatan di hentian rehat kendalian PLUS.

Bagi peniaga pula, penggunaan transaksi tanpa tunai juga amat membantu urusan perniagaan mereka. Tiada lagi risiko rompakan kerana tiada tunai yang dipegang dalam tangan. Tiada lagi kes juruwang tidak amanah & kaki songlap duit. Tiada lagi masalah hendak menyediakan duit kecil untuk dipulangkan kepada pelanggan. Tidak perlu lagi pening kepala hendak merekod, menyediakan penyata akaun.

Apa pun, syabas diucapkan kepada PLUS kerana terus-menerus mengambil inisiatif memperkenalkan sistem urus niaga jual beli tanpa tunai di kesemua lebuh raya kendalian mereka. Semoga syarikat konsesi lain turut sama mencontohi PLUS dalam memperkenalkan inisiatif urusan jual beli tanpa tunai yang lebih selamat & lebih memudahkan.




Ucapan pelancaran oleh Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail




Ucapan oleh Ng Kong Boon, Pengurus Negara, Visa Malaysia




Bergambar bersama replika kad kredit Visa PayWave




Gimik menyentuh kad kredit gergasi ke terminal gergasi sebagai gimik perasmian




Bergambar kenangan semasa majlis perasmian




Bolehkah anda membeli secawan teh tarik pakai kad kredit...? Jom kita cuba di kedai betul pula...!!!


Semua kredit gambar: PLUS Malaysia Berhad

Friday, December 29, 2017

#Mansuh4Tol - Apa akan berlaku pada 3 lebuh raya terlibat / What will happen to 3 affected expressways




Salam sejahtera,

Kini hanya tinggal lebih kurang 72 jam sahaja lagi sebelum kutipan tol di 4 plaza tol dihentikan kutipannya, iaitu Plaza Tol Batu Tiga, Plaza Tol Sungai Rasau (kedua-duanya di Lebuhraya Persekutuan FT2), Plaza Tol Bukit Kayu Hitam (di Lebuhraya Utara-Selatan E1/FT1) dan Plaza Tol CIQ Bangunan Sultan Iskandar (di Lebuhraya JB EDL E14). Pastinya ramai pengguna lebuh raya tersebut akan bersorak ria dan bergembira, tetapi jangan terlalu bergembira dahulu. Kenapa pula anda tidak boleh terlalu gembira...? Baca sehingga habis untuk mengetahui sebabnya.

Apa pun, biar saya jelaskan apa yang akan berlaku pada 3 lebuh raya yang terlibat.


1. Lebuhraya Utara-Selatan E1/FT1 (Bukit Kayu Hitam-Jitra)




24 km terawal Lebuhraya Utara-Selatan E1 akan diturun taraf kepada Lebuhraya Bukit Kayu Hitam FT1 bermula 1 Januari 2018


Pertama sekali, saya bawakan jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1/FT1 (aka Lebuhraya Bukit Kayu Hitam E1/FT1) sebagai lebuh raya pertama yang menerima kesan pemansuhan tol tersebut.

Jajaran terawal Leburhaya Utara-Selatan E1 (KM0-KM24) ini dibina hasil naik taraf Jalan Persekutuan 1 daripada jalan raya tunggal 2 lorong kepada lebuh raya kembar 4 lorong. Jika anda perhatikan, jajaran ini jauh berbeza daripada mana-mana jajaran lain di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2 berikutan jajaran ini tidak memenuhi piawaian lebuh raya ekspres. Lebar lorongnya sama iaitu selebar 3.65 m, tetapi tiada bahu jalan keras, ada banyak lintasan searas (termasuklah persimpangan searas, sama ada berlampu isyarat atau tidak), ada banyak simpang jalan-jalan kecil, serta dihubungkan terus ke bangunan-bangunan, rumah-rumah dan tanah persendirian melalui jalan-jalan kecil. Hanya ada 2 persimpangan bertingkat di sepanjang jajaran ini, iaitu Persimpangan Changlun yang dihubungkan ke Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis FT194 dan pusingan U bertingkat Majlis Daerah Kubang Pasu. Dengan kata lain, jajaran Lebuhraya Bukit Kayu Hitam E1/FT1 ini merupakan lebuh raya kembar capaian terhad, bukannya lebuh raya ekspres capaian terkawal, jadi ia sudah tentulah ia mencabuli piawaian JKR R6 dalam Arahan Teknik 8/86: A Guide on Geometric Design of Roads. Tetapi kenapa ia dibenarkan...? Jawapannya mudah, kerana jajaran ini dibina sebelum Arahan Teknik 8/86 dikeluarkan, jadi ia dibina atas dasar klausa datuk.

Daripada maklumat yang saya perolehi, pemansuhan kutipan tol Bukit Kayu Hitam akan membawa kepada pelucutan pewartaan jajaran Jitra-Bukit Kayu Hitam sebagai Lebuh Raya Ekspres dan penyerahan semula jajaran tersebut kepada Jabatan Kerja Raya (JKR). Justeru, jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1/FT1 ini akan mengguna pakai kod laluan FT1 dan bukan lagi E1. Papan tanda Lebuh Raya Bermula dan Lebuh Raya Tamat akan dipacakkan di KM24 sebelum pusingan U bertingkat Majlis Daerah Kubang Pasu. Penurunan taraf jajaran Jitra-Bukit Kayu Hitam juga akan menyebabkan panjang keseluruhan laluan E1 berkurangan daripada 460 km kepada 436 km.

Tentang papan tanda pula, kesemua papan tanda berwarna latar hijau akan digantikan dengan papan tanda JKR berwarna latar biru secara berperingkat. Tidak pasti bagaimana pula dengan saiznya kerana selalunya saiz papan tanda JKR agak kecil berbanding papan tanda PLUS, tetapi jika JKR ingin mengekalkan saiz papan tanda yang besar, jadi saya jangkakan rekaan papan tanda seperti di Lebuhraya Segamat-Muar FT23 akan digunakan. Oh, bagaimana pula dengan jata laluan AH2 yang disertakan pada papan tanda PLUS...? Saya tidak pasti, tetapi saya ingin menggesa agar JKR turut mengekalkan jata AH2 pada papan tanda gantian itu nanti. Apa pun, penggantian papan tanda ini tidak akan berlaku serta-merta, tetapi memerlukan satu tempoh transisi sehingga keseluruhan papan tanda PLUS digantikan dengan papan tanda JKR.




Papan tanda lencongan kenderaan bergerak perlahan seperti ini perlu dipasang di Exit 182 Persimpangan Jitra Utara


Oh, sebelum saya terlupa, saya ingin menggesa JKR agar mendirikan papan tanda lencongan keluar untuk kenderaan bergerak perlahan di Exit 182 Persimpangan Jitra Utara arah selatan supaya kenderaan tersebut tidak terlajak memasuki lebuh raya ekspres yang tidak membenarkan penggunaan kenderaan tersebut.


2. Lebuhraya JB EDL E14





Adakah penamatan kutipan tol JB EDL E14 yang baru berlangsung 3 tahun daripada tempoh konsesi 30 tahun berakhir 2042 berupaya menamatkan derita MRCB Lingkaran Selatan...?


Pengalaman mengendalikan Lebuhraya Hubungan Penyuraian Timur Johor Bahru (JB EDL) E14 merupakan satu pengalaman yang amat memeritkan buat pengendalinya, MRCB Lingkaran Selatan Sdn. Bhd. Mula dibuka kepada lalu lintas pada 1 April 2012, JB EDL E14 beroperasi tanpa mengutip sebarang hasil selama 2 tahun kerana kerajaan pada masa itu masih belum memuktamadkan kaedah pelaksanaan bayaran tol di situ. 

Kutipan tol hanya dimulakan tahun 2014 di Bangunan Kastam & Imigresen Sultan Iskandar (CIQ BSI), tetapi hanya untuk yang keluar masuk ke Singapura sementara orang JB pula sedang berseronok menggunakan JB EDL E14 secara percuma - itu pun masih ada juga macai politik yang mempersoalkannya dan menuduh kerajaan "menzalimi" golongan yang berulang-alik ke Singapura, khususnya pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura.

Namun, keputusan yang diambil oleh kerajaan itu ternyata satu kesilapan yang membunuh nyawa MRCB Lingkaran Selatan. Kerajaan Singapura bertindak balas terhadap penguatkuasaan kutipan tol di CIQ BSI dengan mengenakan caj Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) yang menyebabkan jumlah kenderaan persendirian yang memasuki Johor Bahru melalui Tambak Johor turun mendadak.  (Pembetulan: VEP sebenarnya sudah ada, cuma Singapura mengenakan caj timbal balas atas alasan "sepadan".) Dengan hanya bergantung kepada pengguna lebuh raya yang berulang-alik ke Singapura yang membentuk kumpulan paling minoriti di JB EDL E14, maka sudah tentulah pendapatan MRCB Lingkaran Selatan terjejas teruk, sehingga ke tahap berisiko untuk muflis. Susulan dengan itu, MRCB Lingkaran Selatan merayu kepada kerajaan agar mengambil alih JB EDL E14 untuk menyelamatkannya daripada muflis.

Pengumuman pemansuhan tol JB EDL E14 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengembalikan situasi seperti semasa sebelum pelaksanaan kutipan tol di CIQ BSI serta meninggalkan 1,001 misteri yang masih belum terjawab. Pertama, siapakah yang mengambil alih JB EDL E14 ini, syarikat lain atau kerajaan sendiri...? Kedua, bagaimana dan berapa banyakkah pampasan yang perlu dibayar kerajaan terhadap MRCB Lingkaran Selatan, memandangkan E14 baru sahaja 5 tahun beroperasi dan hanya sempat mengutip tol selama 3 tahun, sedangkan tempoh konsesi JB EDL E14 masih berbaki 25 tahun sehingga 2042...?

Ada sumber yang mengatakan bahawa PLUS pada tahun 2016 berminat untuk mengambil alih JB EDL E14. Jika memang benar PLUS mengambil alih JB EDL E14, maka segala misteri mengenai E14 akhirnya terjawab.


3. Lebuhraya Persekutuan FT2





Penamatan kutipan tol Lebuhraya Persekutuan FT2 bakal menamatkan derita penduduk Shah Alam & Klang, tetapi adakah ia berbaloi...?


Pemansuhan Lebuhraya Persekutuan FT2 sangat dinanti-nantikan oleh para pengguna jalan raya di Lembah Klang, khususnya yang tinggal di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang. Apa tidaknya, Lebuhraya Persekutuan FT2 merupakan laluan tulang belakang utama di Lembah Klang serta menjadi nadi ekonomi utama Lembah Klang.

Sejarah Lebuhraya Persekutuan FT2 bermula dengan pembinaan Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 sebagai jalan raya kembar yang dibuka kepada lalu lintas pada 14 Januari 1959, melengkapkan keseluruhan laluan Jalan Persekutuan 2. Namun, masalah kesesakan serta lalu lintas bercelaru di jajaran Petaling Jaya bahana sistem rekaan persimpangan lampu isyarat di situ telah menyebabkan jajaran tersebut dinaik taraf kepada lebuh raya capaian terkawal 6 lorong dengan menggantikan kesemua persimpangan searas di sepanjang laluannya kepada persimpangan bertingkat. Pembinaan bermula pada tahun 1974 dan siap pada tahun 1977 dengan dibiayai pinjaman daripada Bank Dunia. Projek tersebut turut menampilkan pembinaan sepasang lorong basikal selebar 2 meter yang kemudiannya ditukarkan menjadi lorong motosikal.

Sementara itu, jajaran Subang-Klang pula dinaiktaraf oleh PLUS, syarikat konsesi bagi Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2. Ia melibatkan pelebaran Lebuhraya Persekutuan FT2 di jajaran tersebut kepada 6 lorong, pembinaan jejambat Bulatan Berkeley serta pembinaan jejambat Bulatan Simpang Lima di Klang. Kerja naik taraf dimulakan pada tahun 1992 dan dibuka kepada lalu lintas pada 11 Mei 1993. 2 plaza tol didirikan, iaitu Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau.

Sejak kutipan tol dimulakan di situ dimulakan, ia sering dijadikan isu yang menjadi mainan parti-parti politik, meskipun PLUS secara terang-terangan mendedahkan peta laluan pemintas tol di akhbar-akhbar utama semasa awal pembukaannya. Tempoh konsesi sepatutnya ialah sehingga tahun 2038 susulan semakan semula perjanjian konsesi PLUS yang menyeragamkan tahun tamat konsesi bagi kesemua lebuh raya ekspres kendalian PLUS ke tahun 2038 bagi meminimumkan kadar kenaikan tol. Jika diikutkan, tahun tamat asal konsesi PLUS di Lebuhraya Persekutuan FT2 ialah pada tahun 2018, tetapi perjanjian 2011 menganjakkan tahun tamat konsesi Lebuhraya Persekutuan FT2 ke tahun 2038.

Namun, semasa Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerajaan memutuskan untuk menamatkan kutipan tol Lebuhraya Persekutuan FT2 bermula 1 Januari 2018, lebih awal 20 tahun daripada sepatutnya. Akhirnya warga Lembah Klang yang sering berulang-alik dari Klang ke Kuala Lumpur boleh menarik nafas lega kerana sudah ada lebuh raya percuma dalam erti kata sebenar.

Pun begitu, jangan terlalu gembira dahulu. Kenapa...? :-
  1. Pada 1 Januari 2018 nanti, jajaran bertol Lebuhraya Persekutuan FT2 dari Subang ke Klang akan diserahkan kembali ke bawah pengurusan Jabatan Kerja Raya (JKR). Bermakna, jika selama ini jajaran tersebut diselenggara setiap hari dan diturap semula dengan kerap oleh PLUS, namun kali ini penurapan semula akan bergantung kepada peruntukan yang diterima oleh JKR Selangor. Jadi, kalau Lebuhraya Persekutuan FT2 berlubang nanti jangan marahlah ya. Saya bukan hendak memperlekehkan JKR, tetapi saya sebenarnya ingin mengingatkan anda semua bahawa keupayaan kewangan JKR sangat terhad kepada peruntukan yang diterima oleh mereka. Justeru, JKR tidak mempunyai kuasa berbelanja sebesar PLUS yang menerima kutipan tol setiap hari yang membolehkan mereka menurap semula permukaan lebuh raya dengan lebih kerap.
  2. Kata orang tua-tua, mati semut kerana gula. Begitu jugalah dengan mana-mana lebuh raya ekspres, khususnya yang tidak dikenakan tol. Ramai yang menganggap kononnya pemansuhan tol boleh menjadikan aliran trafik lancar, tetapi hakikatnya dakwaan tersebut ternyata karut sama sekali. Dalilnya...? Lihat sajalah beberapa lebuh raya percuma atau dimansuhkan tolnya seperti Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37 dan SKVE E26 Seksyen 1a. Lebuhraya Hubungan Timur-Barat KL E37 sering sesak dari Persimpangan Seputeh ke Persimpangan Salak dan dari Persimpangan Bandar Tun Razak ke Persimpangan Connaught setiap kali waktu gegas. Sementara itu, SKVE E26 Seksyen 1a sering sesak dari Exit 2602 Persimpangan Putrajaya ke Exit 1808 Persimpangan Country Heights semasa waktu gegas. Jadi mana perginya "kelancaran lalu lintas tanpa tol" yang didakwa macai-macai politik yang memperjuangkan tol percuma itu...? Lebih teruk lagi, JKR tiada kuasa untuk melaksanakan laluan kontra di Lebuhraya Persekutuan FT2 sebagaimana lebuh raya ekspres lain.
  3. Ini pula harga paling mahal yang perlu anda bayar susulan pemansuhan Lebuhraya Persekutuan FT2. Dalam satu entri lepas mengenai konsesi Lebuhraya Persekutuan FT2, saya ada menyatakan bahawa pemansuhan tol Lebuhraya Persekutuan FT2 akan menyebabkan kenaikan tol Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2, tetapi nampaknya ia tidak berlaku. Namun, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mendedahkan bahawa pemansuhan kutipan tol di 4 plaza tol akan membawa kepada lanjutan tempoh konsesi. Tidak pasti berapa lama lagi tambahan tempoh konsesi, tetapi saya jangkakan berkemungkinan sekitar puluhan tahun jugalah.

Kesimpulan

Pengumuman pemansuhan kutipan tol di 4 plaza tol yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan Bajet 2018 nyata memberikan satu kelegaan buat para penggunanya. Namun, ia bukan bermakna pengguna jalan raya boleh bergembira kerana masih ada benang yang terikat. Pemansuhan tol tersebut menyebabkan sejumlah wang yang amat banyak diperlukan untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi, bukan sahaja sebagai ganti rugi bagi tempoh kutipan tol yang dimansuhkan, tetapi juga pampasan kepada para pekerja yang diberhentikan. Bukan senang hendak mencari kerja pada zaman sekarang. Saya tahu pasti akan ada puak-puak penunggang agama yang akan mengatakan, "rezeki Allah ada di mana-mana", tetapi realitinya jauh lebih sukar. Tak percaya, anda cubalah berhenti kerja dan mohon kerja di tempat lain pula. Tempoh mencari kerja itu ternyata satu azab yang amat perit kerana anda tiada sumber pendapatan untuk menyara diri anda dan keluarga anda sehinggalah anda memperoleh gaji pertama di tempat kerja baharu.

Jika tidak perlu bayar ganti rugi pun, pemansuhan tol di 4 plaza tol tersebut akan menyebabkan tempoh konsesi PLUS terpaksa dilanjutkan. Apa tidaknya, pemansuhan kutipan tol di 4 plaza tol tersebut mengurangkan kutipan tol PLUS, menyebabkan keupayaan membayar balik hutang juga menjadi semakin kecil. Akibatnya, masa yang lebih lama diperlukan untuk membayar balik baki hutang kepada bank, meninggikan jumlah faedah yang perlu dibayar dan seterusnya jumlah bayaran balik. Jika jumlah bayaran balik hutang PLUS bercampur faedah yang sepatutnya perlu dibayar balik sehingga tahun 2038 berjumlah RM62 bilion bagi pinjaman RM30 bilion, maka sudah tentulah jumlah tersebut akan bertambah sekiranya konsesi dilanjutkan supaya sepadan dengan keupayaan membayar balik hutang yang semakin berkurangan.

Selain itu, masalah lain yang akan timbul setelah pemansuhan tol nanti ialah kesesakan yang semakin teruk berikutan lebih banyak kenderaan yang tertarik untuk menggunakan lebuh raya percuma, serta masalah kerosakan lebuh raya yang semakin lambat diambil tindakan, memandangkan lebuh raya percuma nanti diambil alih oleh JKR yang kuasa berbelanjanya terhad mengikut peruntukan yang diterima.

Pun begitu, ia tidak bermakna pemansuhan tol itu semestinya tidak bagus untuk rakyat, meskipun lebuh raya ekspres sebenarnya memang tidak bersifat marhaen seperti mana jalan persekutuan. Kelebihan terbesar sudah tentulah pengurangan kos sara hidup yang selama ini membebankan kerana sebegitu banyak wang yang dibazirkan setiap bulan untuk membayar tol semata-mata untuk berulang-alik ke tempat kerja. Kalau ikutkan, masalah ini boleh diselesaikan dengan mudah dengan hanya menggunakan motosikal sebagai kenderaan bekerja, tetapi ramai golongan yang berkeluarga masih perlu menggunakan kereta seperti untuk menghantar anak-anak ke sekolah sebelum pergi bekerja.

Bagi kes Bukit Kayu Hitam dan Johor Bahru pula, pemansuhan tol bermaksud menggalakkan kedatangan pelancong dari negara jiran iaitu dari Thailand dan Singapura. Rakyat dapat menambah pendapatan hasil urusan jual beli pelancong Thailand dan Singapura, manakala kerajaan pula mendapat pendapatan tambahan melalui cukai.

Namun, yang paling penting di sini ialah pemansuhan tol sepatutnya berupaya mengajar pengguna lebuh raya agar lebih menghargai syarikat konsesi lebuh raya sementara mereka masih menguruskan lebuh raya. Selama ini, syarikat konsesi sering dikecam kerana mengutip tol, sedangkan mereka hanya mahu mendapatkan kembali wang mereka yang dilaburkan bagi membina dan membangunkan lebuh raya, di samping membayar hutang bank. Pengguna lebuh raya sering lupa, jika kereta mereka rosak di lebuh raya, syarikat konsesi jugalah yang menghantar lori tunda secara percuma. Mereka lupa bagaimana syarikat konsesi mendirikan hentian rehat di sepanjang lebuh raya sebagai tempat mereka untuk makan, minum, melepaskan hajat, berehat dan solat. Mereka lupa, tatkala mereka merosakkan lebuh raya melalui kilasan terlalu tinggi pada roda bahana memandu terlalu laju, syarikat konsesilah yang bertungkus-lumus membaikinya setiap hari tanpa banyak soal. Mereka lupa, tatkala mereka mengotorkan lebuh raya dengan melontar keluar sampah-sarap dari celah tingkap kereta, pekerja syarikat konsesilah yang membersihkannya. Mereka lupa akan berapa banyak peluang pekerjaan yang diberikan oleh syarikat konsesi kepada anak-anak bangsa sendiri. Mereka lupa akan berapa banyak anak bangsa mereka sendiri yang diberi peluang mencari rezeki di hentian-hentian rehat milik syarikat konsesi. Paling ketara, mereka lupa bagaimana lebuh raya ekspres yang dibina oleh syarikat-syarikat konsesi mendekatkan rakyat dari dua bandar atau desa yang jauh serta membawa pembangunan ekonomi di sepanjang laluannya.

Saya sangkakan pembinaan lebuh raya ekspres menjadikan rakyat Malaysia berupaya untuk bermusafir dengan selamat dan selesa. Saya sangkakan pembinaan lebuh raya ekspres menjadikan bangsa Malaysia bangsa yang berupaya untuk maju dari segi pengangkutan. Namun, lama-kelamaan,barulah saya sedar bahawa andaian saya ternyata salah sama sekali. Kenapa...? Kerana ramai di kalangan rakyat Malaysia yang tidak tahu menghargai syarikat konsesi lebuh raya sehinggalah apabila syarikat konsesi tidak lagi menguruskan lebuh raya tersebut. Mereka lebih percayakan ahli-ahli "politaikus" yang hanya tahu sembang kencang sehingga ke tahap khinzir pun boleh terbang tetapi langsung tidak pernah terlibat dalam pengurusan lebuh raya ekspes. Hendak marahkan JKR kerana lambat menampal lebuh raya berlubang...? Tak guna pun, sumbangan kita kepada JKR hanyalah berupa cukai jalan yang bayarannya sama seperti 2 kampit tar Brotherhood, dan hanya dibayar setahun sekali. Itu sahaja. Jadi selepas ini jika lebuh raya yang dimansuhkan tolnya berlubang dan lambat ditampal, anda hanya ada diri anda sendiri untuk dipersalahkan. 

Kerana anda tidak sedar apa yang anda ada sehingga ia lenyap.

Thursday, August 31, 2017

Pengumuman: Reviu Jalan Segamat-Gemas FT1 & Lebuhraya Utara-Selatan E2 khas sempena Hari Kebangsaan & Hari Malaysia / Announcement: Segamat-Gemas Road FT1 & North-South Expressway E2 for National Day & Malaysia Day Special




Salam sejahtera, Salam 1Malaysia & Selamat Hari Kebangsaan ke-60 buat semua pembaca Blog Jalan Raya Malaysia.

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana sudah terlalu lama tidak mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia berikutan kesibukan kerja serta sedikit masalah kesihatan. Sebelum saya menyambung semula siri reviu FTRoadpedia Zon Selatan dan seterusnya Zon Utara, izinkan saya menyampaikan pengumuman ringkas ini.

Sempena merayakah Hari Kebangsaan, Hari Malaysia serta kejayaan Blog Jalan Raya Malaysia menyempurnakan hampir keseluruhan reviu satu lagi jalan persekutuan tulang belakang utama di Semenanjung Malaysia iaitu Jalan Persekutuan 1, saya ingin merayakan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan cara saya sendiri. Tatkala kebanyakan warga kota merayakan Hari Kebangsaan dengan melepak di Dataran Merdeka pada waktu tengah malam dan menonton perarakan pada paginya, saya pula ingin merayakan Hari Kebangsaan dengan menyempurnakan siri reviu Jalan Persekutuan 1 dan Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2 dalam erti kata sebenar.

Sejak Blog Jalan Raya Malaysia diwujudkan, saya memang sentiasa berazam untuk menghasilkan reviu Jalan Persekutuan 1 dan Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2. Namun, disebabkan oleh kekangan masa serta keadaan kewangan, maka saya hanya berupaya menghasilkan reviu secara sekerat-sekerat mengikut bahagian. Namun, peluang untuk turut serta dalam rombongan siri jelajah FTRoadpedia oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia telah banyak membantu saya menghasilkan banyak reviu jalan raya termasuklah laluan tulang belakang seperti Jalan Persekutuan 2 - malah, jumlah reviu yang terkumpul adalah sangat banyak sehinggakan saya mengambil masa yang begitu lama untuk menyiapkan kesemuanya. Tatkala siri FTRoadpedia Pantai Timur membantu saya melengkapkan siri reviu Jalan Persekutuan 2 dari hujung ke hujung, FTRoadpedia Zon Utara pula membantu saya melengkapkan siri reviu Jalan Persekutuan 1 hampir sepenuhnya serta reviu Lebuhraya Utara-Selatan Jajaran Utara E1. Justeru, bagi melengkapkan siri reviu Jalan Persekutuan 1 dan Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2, maka saya akan menyajikan anda dengan reviu Jalan Segamat-Gemas FT1 dan Lebuhraya Utara-Selatan Jajaran Selatan E2.

Antara kedua-dua reviu tersebut, reviu Lebuhraya Utara-Selatan Jajaran Selatan E2 merupakan yang terpanjang. Reviu ini nanti akan dihasilkan secara solo menggunakan motosikal SYM Sport Rider 125i, dengan kos bahan api ditaja oleh SYM Malaysia melalui baucar petrol yang saya menangi daripada Pertandingan Slogan Merdeka anjuran SYM Malaysia. Oleh kerana bulan September ini banyak hari cuti, maka saya memilih Hari Malaysia sebagai hari untuk saya adakan reviu ini nanti. Reviu E2 ini juga akan ditulis secara dwibahasa (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris) untuk dikongsikan kepada laman Facebook kumpulan peminat jalan raya Freewayjim dari Amerika Syarikat.

Reviu Jalan Segamat-Gemas FT1 akan menduduki slot FTRoadpedia Zon Selatan Extra selepas reviu Jalan Ayer Hitam-Segamat FT1, diikuti dengan reviu bekas jajaran lama jalan FT1 di Kuala Lumpur yang akan menduduki slot FTRoadpedia Intermission. Seterusnya, reviu Lebuhraya Utara-Selatan Jajaran Selatan E2 akan menduduki slot FTRoadpedia Zon Utara Extra selepas reviu Lebuhraya Utara-Selatan Jajaran Utara E1.

Selepas selesai siri reviu ini, saya akan memulakan kerja-kerja penulisan bagi buku pertama karangan saya, iaitu sebuah buku bergambar kompilasi sejarah jalan raya Malaysia. Saya merancang untuk memohon bantuan Kementerian Kerja Raya Malaysia bagi menerbitkan buku ini untuk tatapan seluruh rakyat Malaysia. Berapa tebal dan berapa harganya, anda perlu tunggu dahulu sehingga buku tersebut sudah siap diterbitkan kelak. Penghasilan buku ini nanti merupakan kemuncak perayaan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan cara saya sendiri, malah penghasilan buku ini merupakan impian saya selama ini sejak bermulanya penubuhan Blog Jalan Raya Malaysia.

Setakat itu sahaja pengumuman saya untuk kali ini, Kita teruskan dengan episod seterusnya bagi siri reviu FTRoadpedia Zon Selatan.

Friday, May 13, 2016

Pengumuman: Projek reviu Jalan Raya 1Malaysia sah dihidupkan semula / Announcement: 1Malaysia Road review project has been confirmed to be revived




Salam sejahtera,

Sejak saya mula mewujudkan Blog Jalan Raya Malaysia, salah satu impian utama saya adalah untuk menghasilkan reviu bagi jalan raya tulang belakang utama Malaysia, terutamanya Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, Lebuhraya Pan Borneo FT1/FT13/FT22, serta Jalan Persekutuan 1, 2, 3, 4 dan 5. Namun, fokus nombor satu saya sudah tentulah Jalan Persekutuan 1, kerana jalan itulah yang telah banyak berjasa kepada seluruh rakyat Malaysia sejak 136 tahun yang lalu - yang jauh didekatkan, yang dekat dimesrakan, dan yang mesra diserasikan (petikan kata-kata Allahyarham Aziz Desa). Selama itu jugalah Jalan Persekutuan 1 berjasa menghubungkan rakyat antara desa dan kota dari utara sehingga ke selatan dan seterusnya menjadi nadi ekonomi negara. Ia dibuktikan melalui lebih sejuta rakyat Malaysia yang menjadikan Jalan Persekutuan 1 sebagai sumber ekonomi negara. Justeru, tidak hairanlah kenapa Jalan Persekutuan 1 selayaknya digelar "Ibu Jalan Raya Malaysia" ataupun "Jalan Raya 1Malaysia."




Sebelum ini, cubaan untuk melaksanakan projek reviu Jalan Persekutuan 1 telah dilakukan sebanyak dua kali oleh sekutu kami iaitu Encik Yusrizal Md. Yusof. Cubaan pertama dilakukan pada tahun 2013 tetapi gagal. Beliau bangkit semula pada tahun seterusnya tetapi tidak berjaya juga disebabkan kegagalan memperoleh penaja. Sejak kegagalan kedua kali ini, laman Facebook Jalan 1Malaysia juga sudah bersawang tanpa sebarang kemaskini terbaru. Oleh itu, projek reviu Jalan Persekutuan 1 yang bakal saya hidupkan semula kali ini bukan sahaja untuk diri saya sendiri serta untuk para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang budiman, tetapi juga khas untuk Encik Yusrizal. Kepada Encik Yusrizal, izinkan saya untuk meneruskan perjuangan anda untuk memartabatkan Jalan Persekutuan 1 sebagai Jalan Raya 1Malaysia.

Kenapa saya benar-benar ingin menghasilkan reviu berskala besar ini...? Pertama sekali, saya ingin mengajak anda untuk kembali mengimarahkan Jalan Persekutuan 1 sebagai nadi pengangkutan utama di Semenanjung Malaysia. Sejak Lebuhraya Utara-Selatan dibuka pada tahun 1994, Jalan Persekutuan 1 seakan-akan sudah dipinggirkan oleh orang ramai. Beberapa dan bandar utama yang amat bergantung kepada para pengguna Jalan Persekutuan 1 semakin mati, seperti Batu Anam, Pedas, Beranang, Kuala Kubu Bharu dan Kampar. Malah, Segamat pun turut terjejas akibat laluan Lebuhraya Utara-Selatan E2 yang menjauhi laluan ke Gemas dan Segamat semata-mata untuk melalui Melaka. Dengan kata lain, lebuh raya ekspres sebenarnya hanya membawa manfaat kepada bandar-bandar utama yang mempunyai kepentingan ekonomi sahaja, tidak seperti jalan persekutuan yang membawa limpahan kemakmuran ekonomi kepada semua pekan, bandar dan kampung yang dilaluinya.

Selain membela kembali nasib penduduk di pekan-pekan dan bandar-bandar yang terjejas dari segi sosio-ekonomi akibat pembinaan lebuh raya ekspres, kembara kali ini juga bertujuan untuk memperbetulkan kembali stigma masyarakat yang menganggap kononnya lebuh raya ekspres itulah laluan utama, sehingga ke tahap mahu mendesak untuk menghapuskan tol. Berikutan stigma sedemikian, lebuh raya ekspres yang asalnya agak lengang dan seronok dipandu laju kini semakin sesak dan semakin berbahaya berikutan peningkatan bilangan kenderaan yang menggunakannya, sehingga keseronokan pemanduan itu kini sudah hilang. Lihat sajalah peta-peta dalam Google Maps mahupun Waze, setiap kali musim perayaan pasti kita akan disajikan dengan neraka kesesakan kronik di lebuh raya ekspres, sedangkan jalan persekutuan dan negeri pula banyak yang lengang. Apa gunanya membayar tol hanya untuk bergerak pada kelajuan yang lebih perlahan daripada kura-kura...? Seronokkah bercuti sekiranya banyak masa dibazirkan dengan terperangkap dalam kesesakan lebuh raya sehingga masa untuk memaki-hamun dan menyumpah-menyeranah di atas lebuh raya lebih banyak daripada masa memanfaatkan percutian itu sendiri...?

Sebab ketiga kenapa saya menyimpan hasrat untuk menghasilkan reviu Jalan Persekutuan 1 adalah untuk berkongsi tempat-tempat menarik di sepanjang laluannya kepada anda semua, yang mana ada di antaranya yang kebanyakan orang tidak tahu kecuali masyarakat tempatan serta pengguna Jalan Persekutuan 1 itu sendiri. Berapa ramai di kalangan anda semua yang tahu bahawa terdapat kolam air panas di Selayang...? Saya percaya majoriti di kalangan anda tidak tahu pun akan kewujudannya, kecuali para pengguna Jalan Persekutuan 1 serta orang-orang Selayang, Batu Caves dan Kuala Lumpur sendiri. Rugilah kalau tempat-tempat menarik sebegini tidak dikongsikan dengan masyarakat luar.

Sebelum ini saya telah pun menulis satu sejarah lengkap mengenai Jalan Persekutuan 1; yang tinggal sekarang hanyalah reviunya sahaja. Berbeza dengan tahun-tahun lepas, kali ini saya begitu bersemangat dan berkeyakinan tinggi untuk menghasilkannya. Dari mana datangnya motivasi sebegini...? Ada dua sumber motivasi utama saya yang membawa kepada tahap keyakinan sebegini. Pertama ialah siri reviu XPDC Teganu Kita pada Februari 2015, yang mana saya berjaya menjelajah sejauh 400 km untuk menghasilkan reviu lengkap bagi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) E8 serta Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14, dengan hanya bermodalkan derma para pembaca 100%, menjadikan siri XPDC Teganu Kita sebagai siri reviu jalan raya pertama yang dibiayai sepenuhnya daripada hasil derma para pembaca. Reviu sebegini membuktikan kepada saya bahawa kos reviu sebegini sebenarnya tidak terlalu besar, asalkan ada keazaman dan kesungguhan yang cukup tinggi.

Sumber motivasi kedua pula datang daripada Pertandingan Selfie / Wefie Jalan Persekutuan anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) yang menjanjikan hadiah RM500 untuk johan pertandingan tersebut. Kemenangan tersebut amat penting dan amat bermakna kepada saya kerana ia sudah tentu akan membolehkan lebih banyak reviu jalan raya yang lebih panjang dihasilkan. Jadi apa yang anda perlu lakukan...? Mudah sahaja. Anda hanya perlu log masuk akaun Facebook anda, buka entri Pertandingan Selfie / Wefie Jalan Persekutuan (juga ditampilkan dalam Featured Post) dan sukai dua gambar Facebook yang saya pautkan di bawah entri tersebut.

Memandangkan tarikh penyampaian hadiah bagi pertandingan tersebut diadakan dalam bulan Ramadan, maka projek reviu Jalan Raya 1Malaysia hanya akan dilaksanakan selepas Hari Raya Aidilfitri, iaitu sama ada dalam bulan Julai atau paling lewat pun awal bulan Ogos. Dalam projek ini, Jalan Persekutuan 1 bukanlah satu-satunya laluan bagi projek reviu kali ini, tetapi turut termasuk Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2, juga dari hujung ke hujung.

Sebelum saya akhiri entri ini, biar saya rumuskan dahulu dua laluan yang bakal menjadi laluan kami untuk projek reviu Jalan Raya 1Malaysia ini:-

  1. Lebuhraya Utara-Selatan Jajaran Selatan E2 (Kuala Lumpur-Johor Bahru)
  2. Jalan Persekutuan 1 (Johor Bahru-Bukit Kayu Hitam)
  3. Lebuhraya Utara-Selatan Jajaran Utara E1 (Bukit Kayu Hitam-Kuala Lumpur)

Nantikanlah reviu Jalan Persekutuan 1 dan Lebuhraya Utara-Selatan oleh kami pada Julai atau Ogos ini hanya di Blog Jalan Raya Malaysia...!!!

Thursday, April 23, 2015

Rasional di sebalik pelanjutan tempoh konsesi Lebuhraya Persekutuan FT2 / The rationale behind the extension of the Federal Highway FT2 concession period




Salam sejahtera,

Pada 19 April 2015, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengumumkan bahawa tempoh konsesi Lebuhraya Persekutuan FT2 oleh Plus Malaysia Berhad dilanjutkan sehingga tahun 2038 berbanding tahun 2018 pada perjanjian asal. Pengumuman tersebut telah membangkitkan kemarahan pengguna Lebuhraya Persekutuan FT2 yang menggunakannya sebagai laluan harian untuk ke tempat kerja, terutamanya pengguna dari Shah Alam dan Klang. Mereka sering mempersoalkan kenapa lebuh raya paling sibuk di Lembah Klang itu yang dikatakan sepatutnya sudah "untung besar" masih lagi mengutip tol.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Plus Malaysia Berhad dan LLM, langkah pelanjutan tempoh konsesi tersebut merupakan "satu langkah mengurangkan beban kos sara hidup" yang ditanggung oleh para pengguna Lebuhraya Persekutuan FT2. Kenyataan yang dikeluarkan itu memang ada asasnya, kerana jika pelanjutan konsesi tidak dilakukan, maka kadar tol Lebuhraya Persekutuan FT2 yang sepatutnya kita bayar sekarang ialah RM2.40 dan bukannya RM1.10. Dengan kata lain, pilihan yang ada ialah sama ada tempoh konsesi yang pendek tetapi kena bayar tol mahal ataupun tempoh konsesi lebih lama tetapi tol tidak dinaikkan. Sementara itu pula, Plus Malaysia Berhad pula menegaskan bahawa mereka telah melabur sebegitu banyak wang untuk menyelenggara lebuh raya mereka setiap tahun, dan Lebuhraya Persekutuan FT2 juga tidak terkecuali.

Itu hanya fakta yang dikhabarkan sendiri oleh LLM dan Plus Malaysia Berhad. Namun, satu lagi fakta yang tidak dihebahkan ialah Plus Malaysia Berhad juga sebenarnya ada mengambil alih dua buah lebuh raya yang mencatatkan kerugian iaitu Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 dan Lebuhraya Butterworth-Kulim E15/FT4. Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29 diambil alih daripada Melewar Group Berhad manakala Lebuhraya Butterworth-Kulim E15/FT4 pula diambil alih daripada Konsortium Lebuhraya Butterworth Kulim (KLBK), sebuah anak syarikat MMC Corporation Berhad. Kedua-dua lebuh raya tersebut sentiasa mencatatkan kerugian meskipun setelah kadar tolnya dinaikkan. Buktinya, Melewar Group gagal membayar hutangnya sejak tahun 1998 kerana mengalami kerugian besar daripada E29, manakala E15 diambil alih Plus berikutan prestasi kewangan KLBK yang kurang memberangsangkan. Ia sekaligus membuktikan bahawa industri lebuh raya ekspres sebenarnya bukanlah sebuah industri yang menguntungkan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Selain daripada sekadar mengambil alih dua buah lebuh raya yang sentiasa mencatatkan kerugian, Plus juga terpaksa mengambil alih hutang yang ditinggalkan oleh kedua-dua bekas syarikat konsesi asal itu. Dalam masa yang sama juga, Plus juga perlu risau akan hutangnya sendiri sejumlah RM30.6 bilion (tidak termasuk faedah) bagi projek Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 yang berharga RM5.95 bilion. Kenapa pula Plus berhutang RM30.6 bilion bagi lebuh raya berharga RM5.95 bilion...? RM5.95 bilion itu hanyalah kos membina lebuh raya sahaja, ia tidak termasuk kos penyelenggaraan berkala, kos bil elektrik, air dan telefon, bayaran gaji pekerja, kos rondaan (termasuk helikopter) dsb. Jika ada jajaran lebuh raya yang rosak akibat bencana alam, mereka perlu membaikinya ataupun membinanya semula jika rosak teruk. Jika ada jajaran yang sesak, mereka perlu melebarkannya. Sebab itulah mereka perlu mengutip tol agar mereka mendapat pulangan daripada pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2.

Dalam sejarah Plus, ada dua batang lebuh raya yang paling menguntungkan iaitu Lebuhraya Skudai FT1 dan Lebuhraya Persekutuan FT2. Dengan adanya dua batang lebuh raya yang boleh disifatkan sebagai cash cow bagi Plus, ia sekurang-kurangnya dapat membantu Plus mendapat sumber kewangan tambahan bagi membayar kembali hutang-hutangnya - termasuklah hutang-hutang yang ditinggalkan oleh KLBK dan Melewar Group. Namun, salah satu daripada lebuh raya tersebut telah dimansuhkan kutipan tolnya iaitu Lebuhraya Skudai FT1 pada 1 Mac 2004, menjadikan Lebuhraya Persekutuan FT2 sebagai satu-satunya cash cow bagi Plus bukan sahaja untuk membayar hutang-hutangnya, malah untuk membolehkan Plus menampung kerugian yang dialami Lebuhraya Butterworth-Kulim E15/FT4 dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29. Sebab itulah di sesetengah negara seperti Jepun, dasar monopoli diamalkan dengan menghimpunkan segala pendapatan, keuntungan dan kerugian lebuh raya supaya lebuh raya yang untung boleh digunakan untuk menampung lebuh raya yang rugi. Ia memang terpaksa dilakukan kerana industri lebuh raya ekspres sebenarnya berisiko tinggi dan tidak begitu menguntungkan.

Jadi apa akan berlaku sekiranya tol di Lebuhraya Persekutuan FT2 dimansuhkan...? Jawapannya mudah sahaja - kadar tol bagi kesemua lebuh raya kendalian Plus akan naik. Pada masa itu nanti, kadar tol bagi kesemua lebuh raya kendalian Plus terpaksa dinaikkan kerana kerugian bagi E15 dan E29 sudah tentu akan menyebabkan keseluruhan kumpulan Plus Malaysia Berhad rugi jika tol tidak dinaikkan, sedangkan perjanjian pelanjutan konsesi pada tahun 2011 telah menetapkan bahawa Plus hanya boleh menaikkan tol setiap 10 tahun sekali sebagai balasan kepada pelanjutan tempoh konsesi Plus sehingga tahun 2038. Jadi, sampai bila hendak membiarkan dua buah lebuh raya parasit itu menjejaskan kewangan Plus secara keseluruhannya...? Sebab itulah pelanjutan konsesi itu turut melibatkan Lebuhraya Persekutuan FT2.

Justeru, yang mana lebih baik sekarang, mansuh tol Lebuhraya Persekutuan FT2 dan kesemua tol lebuh raya kendalian Plus akan naik, ataupun kekalkan tol Lebuhraya Persekutuan FT2 dan kadar tol bagi kesemua lebuh raya kendalian Plus tidak akan naik...?

Jadi, apa yang patut anda lakukan jika anda sering berasa terbeban dengan tol Lebuhraya Persekutuan FT2 ini...? Hanya ikuti panduan memintas tol Lebuhraya Persekutuan FT2 yang telah kami sediakan...!!! Anda mungkin menganggap tol Lebuhraya Persekutuan FT2 sebagai membebankan, tetapi percayalah, plaza tol Lebuhraya Persekutuan FT2 sebenarnya amat mudah untuk dipintas. Justeru, anda sebenarnya tidak perlu mengeluarkan sesen pun wang (kecuali duit minyak) untuk ke Kuala Lumpur dari Klang atau sebaliknya - jika dan hanya jika anda bijak mengambil kesempatan akan laluan-laluan yang boleh digunakan untuk memintas tol di Lebuhraya Persekutuan FT2.

Monday, April 20, 2015

Sejarah lengkap Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 / North-South Expressway E1 and E2 complete history



Bangunan Persada Plus yang tersergam indah di tepi NKVE E1 - tiada siapa pun yang menyangka bahawa sejarah pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 sebenarnya dipenuhi onak dan duri


Salam sejahtera,

Seperti yang anda semua sudah sedia maklum, Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 merupakan salah satu projek mega era Tun Dr. Mahathir yang bertanggungjawab melonjakkan tahap sosio-ekonomi negara daripada sebuah negara kerdil yang hanya bergantung harap kepada hasil pertanian dan pelombongan bijih timah kepada sebuah negara perindustrian. Banyak kawasan perindustrian yang berkembang maju hasil pembukaan Lebuhraya Utara-Selatan seperti di Sungai Petani, Seberang Perai, Kulim, Tanjung Malim, Serendah, Shah Alam, Bandar Baru Bangi, Senawang, Ayer Keroh, Senai dan Pasir Gudang. Sektor pelancongan turut melonjak hasil pembukaan Lebuhraya Utara-Selatan, memandangkan hampir keseluruhan lebuh raya tersebut turut diwartakan sebagai Laluan Lebuhraya Asia AH2. Asalnya dibina untuk mengatasi masalah kesesakan di sepanjang Jalan Persekutuan 1, Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 bukan sahaja mengambil alih kedudukan Jalan Persekutuan 1 sebagai laluan utara-selatan terpenting di Semenanjung Malaysia, malah ia turut menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kemakmuran negara. Namun, adakah proses pembinaannya semudah yang disangka...? Tidak sama sekali.

Rata-rata laman web, portal dan blog kendalian macai-macai serta bala tentera papan kekunci sering menuduh kononnya Plus Malaysia Berhad, syarikat konsesi yang mengendalikan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 serta beberapa buah lebuh raya lain (Lebuhraya Linkedua E3, Lebuhraya Elite E6, Lebuhraya Butterworth-Kulim E15, Lebuhraya Seremban-Port Dickson E29, Jambatan Pulau Pinang E36, Tambak Johor FT1 dan Lebuhraya Persekutuan FT2), mengaut keuntungan berlebihan atas "kesengsaraan" rakyat membayar tol. Dengan jumlah kutipan tol di kesemua lebuh raya kendalian Plus Malaysia Berhad berjumlah RM12.3 bilion setakat 2013, Plus Malaysia Berhad dianggap sebagai antara syarikat terkaya di Malaysia, sebaris dengan Petronas. Reputasi Plus Malaysia Berhad sebagai syarikat konsesi lebuh raya terbesar di Asia serta kelapan terbesar di dunia menguatkan lagi dakwaan sedemikian. Namun, adakah Plus Malaysia Berhad terlalu kaya seperti dakwaan macai-macai...? Kepada macai-macai di luar sana, kenapa anda tidak baca dahulu entri rasional di sebalik kutipan tol dan hanya sekadar mendengar cakap orang-orang politik yang tidak pernah bergaul langsung dengan para pemain industri lebuh raya ekspres...? Inilah perangai buruk macai-macai yang hanya mendengar apa yang mereka mahu dengar dan tidak pernah membuat kajian terperinci mengenai industri lebuh raya ekspres, apatah lagi bergaul sendiri dengan para pemain industri tersebut.

Bagi mengkaji sendiri mengenai sebab serta rasional kenapa lebuh raya ekspres perlu dikenakan tol, Blog Jalan Raya Malaysia sentiasa mengambil inisiatif bergaul sendiri dengan para pemain industri lebuh raya ekspres untuk mengetahui sendiri bagaimana industri lebuh raya ekspres ini berjalan. Kami cuba mendapatkan sumber-sumber rujukan sahih yang sukar diperolehi bagi memastikan setiap maklumat yang disampaikan melalui blog ini tepat tanpa campur tangan daripada pengaruh politik dangkal yang sentiasa mengambil kesempatan menangguh di air yang keruh. Penglibatan "orang-orang kuat" dalam industri jalan raya negara, termasuklah CEO-CEO syarikat konsesi lebuh raya ekspres, para pegawai tertinggi di Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta Menteri Kerja Raya sendiri, yang menjadi peminat nombor satu Blog Jalan Raya Malaysia turut memudahkan kerja kami dalam mencari gali maklumat agar apa yang kami sampaikan di Blog Jalan Raya Malaysia benar-benar tepat dan sahih. Namun, pencarian maklumat tidak semudah yang disangka, kerana amat sukar untuk mendapatkan penerbitan dan bahan bacaan fizikal yang mengarkibkan mengenai sejarah perkembangan jalan raya serta maklumat-maklumat teknikal penting mengenainya. Mujurlah KKR mewujudkan Pusat Rujukan Jalan Negara (PRJN) sebagai usaha mengarkibkan bahan bacaan ilmiah mengenai industri jalan raya negara - kepada para macai sekalian, lain kali kalau nak sangat tahu kenapa lebuh raya kena tol, sepatutnya anda bertandang ke PRJN dan membaca di sana, bukannya dengar cakap para pemimpin politik pujaan anda itu...!!!

Kunjungan saya ke PRJN Rabu lalu bersama-sama Aiman Ab. Majid sedikit-sebanyak membantu saya untuk mendapatkan lebih banyak maklumat bertulis mengenai sejarah pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2. Namun, masa yang begitu suntuk di sana menyebabkan saya tidak berpeluang untuk mendapatkan lebih banyak bahan bacaan yang saya kehendaki meskipun kalau diikutkan segala-galanya ada di sana. Saya masih belum berpuas hati selagi saya belum berjaya menghimpunkan kesemua maklumat dan sumber rujukan yang saya kehendaki. Kan saya dah kata, saya memang amat cerewet dalam hal sumber rujukan kerana saya kurang mempercayai cakap-cakap mulut semata-mata - lidah boleh berbohong tetapi sejarah dan buku-buku pula tidak boleh berbohong. Apa boleh buat, saya terpaksa berpuas hati dengan sumber rujukan yang sangat terhad untuk kali ini. Inilah realiti yang saya terpaksa hadapi sebagai seorang penulis blog jalan raya. Sekurang-kurangnya, saya masih boleh berkunjung lagi ke PRJN dan menyunting semula entri ini sekiranya saya menemui lebih banyak maklumat yang sahih lagi segar.

Kita berbalik semula kepada sejarah Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 itu tadi. Sejarah pembangunan dan pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan sangat berkaitan dengan sejarah Jalan Persekutuan 1 serta Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37/E2. Untuk pengetahuan anda, Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37/E2 sebenarnya mula dicadangkan pembinaannya pada tahun 1970 seperti yang termaktub di dalam program pembangunan rangkaian jalan raya negara yang pertama. Pada masa itu, kerajaan persekutuan masih belum terfikir akan idea pembinaan sebuah lebuh raya ekspres yang menyelusuri kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia dari utara sehinggalah ke selatan.

Pada tahun 1977, timbul satu keperluan untuk membina sebuah lebuh raya ekspres dari Bukit Kayu Hitam sehinggalah ke Johor Bahru. Ia susulan keadaan Jalan Persekutuan 1 yang semakin sesak, dan masalah kesesakan semakin ketara di bandar-bandar besar. Pembangunan di kawasan pantai barat membawa kepada peningkatan bilangan kenderaan bermotor yang menyumbang kepada kesesakan. Bukti yang boleh saya tunjukkan mengenai tahap keseriusan masalah kesesakan Jalan Persekutuan 1 ialah semasa saya masih kecil, ayah saya pernah membawa saya sekeluarga dari Segamat ke Johor Bahru melalui Jalan Persekutuan 1. Perjalanan sejauh 184 km itu mengambil masa selama hampir 5 jam, meskipun had laju maksimum di Jalan Persekutuan 1 ialah 90 km/j. Keadaan jalan yang banyak kenderaan menyebabkan kelajuan 90 km/j tidak dapat dikekalkan - kalau mengekori lori perlahan, memang sakitlah jawabnya. Namun, panorama di sepanjang FT1 sedikit-sebanyak membantu kami melupakan jarak perjalanan yang jauh itu. Setelah siapnya Lebuhraya Utara-Selatan E2 pada tahun 1994, perjalanan sejauh 184 km dipendekkan menjadi 176 km, dan masa yang diambil untuk ke Johor Bahru dari Segamat kali ini hanya sekitar 2 jam setengah sahaja.

Semasa kerajaan mencadangkan pembinaan lebuh raya ekspres jarak jauh pertama negara pada tahun 1977, kerajaan telah menjemput beberapa buah syarikat untuk membina lebuh raya tersebut. Pembinaan lebuh raya tersebut asalnya dicadangkan untuk diswastakan sepenuhnya, yang mana syarikat konsesi diberi kuasa untuk membina, mengendalikan dan mengutip tol di lebuh raya tersebut. Namun, tiada satu pun syarikat yang berani hendak membina lebuh raya tersebut. Apa tidaknya, pada masa itu ekonomi negara tidak begitu menentu disebabkan turun naik harga timah, getah dan kelapa sawit. Jadi, kepada para macai sekalian, jika benar kutipan tol di Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 itu satu bentuk perniagaan yang sangat menguntungkan, kenapa tiada satu pun syarikat yang berani tampil pada tahun 1977...?




Jajaran Bukit Kayu Hitam-Jitra bagi Lebuhraya Utara-Selatan E1 dibina sebagai naik taraf Jalan Persekutuan 1, sebab itulah jajaran tersebut banyak persimpangan searas
(Kredit gambar: Perunding Bakti)


Oleh kerana tiada satu pun syarikat yang berani hendak membina Lebuhraya Utara-Selatan ini, maka kerajaan tiada pilihan selain membinanya sendiri. Ia menjurus kepada penubuhan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada 24 Oktober 1980 mengikut Akta 231. Pada masa itu, LLM memang berfungsi bagi merancang, membina, mengendalikan, menyelenggara dan mengutip tol bagi Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2. Majlis pecah tanah disempurnakan pada tahun 1981, bermula di jajaran Bukit Kayu Hitam-Jitra. Jajaran Bukit Kayu Hitam-Jitra itu sebenarnya dibina sebagai naik taraf Jalan Persekutuan 1, siap pada 1 April 1985. Sebab itulah ada banyak kampung, pekan serta persimpangan searas di sepanjang jajaran tersebut, menjadikan jajaran Bukit Kayu Hitam-Jitra sebagai satu-satunya jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1 yang tidak mengikuti piawaian lebuh raya ekspres. Namun, keadaan tersebut boleh dimaafkan kerana ia dibina tatkala Malaysia masih belum membangunkan sebarang piawaian jalan raya tersendiri; Arahan-arahan Teknik JKR yang mentakrifkan reka bentuk lebuh raya ekspres hanya mula dikeluarkan pada penghujung 1980an. Justeru, tatkala saya tidak boleh menerima sebarang rekaan lebuh raya lebih baharu yang tidak mengikuti piawaian yang ditetapkan dalam Arahan Teknik 8/86: A Guide on Geometric Design of Roads, rekaan jajaran Jitra-Bukit Kayu Hitam bagi E1 masih boleh diterima atas faktor sejarah; tambahan pula, jajaran tersebut dibina sebelum Arahan Teknik 8/86 dikeluarkan.

Pada masa yang sama pula, pembinaan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37/E2 sedang berlangsung. Sebaik ia dibuka kepada lalu lintas pada 16 Jun 1982, ia merupakan lebuh raya ekspres pertama yang menggunakan sistem tol tertutup ataupun sistem tiket. Memandangkan kutipan tol dilaksanakan oleh LLM, maka Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban diserap sebagai sebahagian daripada projek Lebuhraya Utara-Selatan. Hasilnya, Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban membentuk laluan perintis bagi jajaran selatan, manakala naik taraf jajaran Lebuhraya Bukit Kayu Hitam-Jitra E1/FT1 membentuk laluan perintis bagi jajaran utara.

Jajaran ketiga yang siap dibina ialah jajaran dari Seberang Jaya ke Exit 161 Persimpangan Jambatan Pulau Pinang. Jajaran tersebut sebenarnya dibina sebagai sebahagian projek Jambatan Pulau Pinang E36 yang dibuka kepada lalu lintas pada 14 September 1985. Jajaran di Seberang Jaya itu membentuk jajaran perintis bagi jajaran Juru-Sungai Dua. Memandangkan jajaran dari Seberang Jaya dan Jambatan Pulau Pinang tidak dikenakan tol, maka keseluruhan jajaran Juru-Sungai Dua juga tidak dikenakan tol.

Sementara itu pula, di sebelah selatan pula Lebuhraya Skudai FT1 dibina sebagai naik taraf jalan FT1 dari Johor Bahru ke Senai sejauh 27.3 km, dengan menggunakan laluan Jalan Tun Abdul Razak, dan Jalan Larkin sebelum dilencongkan ke Jalan Skudai sehingga ke Senai. Sementara itu, jajaran lama FT1 di sepanjang pesisir pantai barat Johor Bahru dipintas oleh laluan baharu itu, menyebabkan jalan tersebut diturun taraf menjadi Jalan Negeri Johor J1. Lebuhraya Skudai FT1 mula dibuka pada November 1985 dengan dua buah plaza tol iaitu di Senai dan Tambak Johor. Namun, kepesatan pembangunan bandar raya Johor Bahru menyebabkan Lebuhraya Skudai FT1 tidak sesuai untuk dijadikan sebahagian daripada laluan Lebuhraya Utara-Selatan E2, memandangkan reka bentuk kawalan masuk separa yang digunakan oleh Lebuhraya Skudai FT1, yang ditunjukkan melalui kewujudan beberapa persimpangan searas, boleh mengakibatkan kesesakan di sepanjang laluannya. Akhirnya, jajaran Johor Bahru bagi E2 dibina sebagai sebuah laluan berasingan yang berakhir di Lebuhraya Tebrau FT3. Kutipan tol di Plaza Tol Senai akhirnya ditamatkan pada 1 Mac 2004.

Jajaran seterusnya yang dibuka ialah jajaran Ipoh-Changkat Jering dan jajaran Senawang-Ayer Keroh, kedua-duanya siap pada tahun 1987. Jajaran Senawang-Ayer Keroh dibina sebangai sambungan bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37/E2, manakala jajaran Ipoh-Changkat Jering pula dibina sebagai laluan merentasi bandar raya Ipoh yang merupakan bandar raya kedua terbesar di Malaysia pada ketika itu. Seperti jajaran Juru-Sungai Dua, jajaran Jelapang-Ipoh Selatan juga tidak dikenakan tol. Sementara itu di Seremban, Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37/E2 asalnya mempunyai plaza tol penamat di Labu, tetapi plaza tol tersebut dirobohkan dan digantikan dengan plaza tol di tiga persimpangan bertingkat di Seremban (Exit 218 Persimpangan Seremban, Exit 219 Persimpangan Port Dickson dan Exit 220 Persimpangan Senawang); Persimpangan Senawang dibina bagi melencongkan aliran terus trafik ke arah selatan.

Pada pertengahan tahun 1980an, negara dilanda kemelesetan ekonomi akibat kejatuhan harga komoditi getah dan bijih timah. Dasar sebelum ini yang mana LLM sendiri membina Lebuhraya Utara-Selatan ternyata merugikan dan mengakibatkan kadar pembinaan jajaran baharu amat perlahan. Setakat 1986, hanya sekitar 350 km sahaja (atau dua perlima daripada keseluruhan jajaran) yang sudah siap, dengan kos sejumlah RM2.1 bilion. Akhirnya kerajaan memutuskan bahawa projek Lebuhraya Utara-Selatan diteruskan dengan mengguna pakai kaedah penswastaan. Dengan merujuk kepada kejayaan penswastaan projek Lebuhraya Selat Klang Utara FT20 pada tahun 1984 oleh Shapadu, model turut sama digunakan bagi meneruskan projek Lebuhraya Utara-Selatan. Satu surat hasrat telah dihantar kepada pihak United Engineers Malaysia Berhad (UEM) pada 29 Disember 1986 sebelum dimuktamadkan pada tahun 1988. Perjanjian penswastaan tersebut membawa kepada penubuhan Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (Plus), yang kini dikenali sebagai Plus Malaysia Berhad.

Inisiatif penswastaan projek Lebuhraya Utara-Selatan oleh kerajaan ternyata membawa kesan positif terhadap tahap kemajuan projek. Tatkala fasa-fasa terawal dikritik kerana lambat siap, fasa-fasa seterusnya pula berkembang dengan begitu rancak. Misalnya, di sebelah selatan, jajaran selatan bagi Lebuhraya Utara-Selatan E2 dilanjutkan lagi dengan siapnya jajaran Ayer Keroh-Pagoh pada 5 April 1989.

Sementara itu, di Selangor pula, jajaran Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) E1 dari Exit 101 Persimpangan Bukit Raja sehingga ke Exit 106 Persimpangan Damansara mula dibuka pada 7 Disember 1990. Ia disusuli dengan jajaran Damansara-Sungai Buloh pada tahun 1992, dan akhir sekali jajaran Bukit Lanjan-Jalan Duta pada 11 Januari 1993.

Sebenarnya, ada banyak lagi pembukaan jajaran lain yang rancak dilakukan secara beransur-ansur, tetapi oleh kerana saya masih lagi kekurangan bahan, saya tidak dapat menyenaraikan kesemuanya. Insya-Allah saya akan cuba mencarinya lagi di PRJN dan akan menyunting semula entri ini sebaik mendapat bahan mencukupi.

Akhirnya selepas memakan masa selama 13 tahun, perasmian Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 berjaya disempurnakan pada 8 September 1994. Antara kedua-dua laluan, laluan E2 siap lebih dahulu kerana semasa saya sekeluarga menguji lebuh raya tersebut pada Februari 1994, kesemua jajaran E2 sudah pun dibuka. Jajaran E1 pula lebih lambat siap, yang mana jajaran Gopeng-Tapah merupakan jajaran terakhir yang siap pada 7 Februari 1994. Secara keseluruhannya, projek Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 yang sepatutnya disasarkan siap pada tahun 1995 itu berjaya disiapkan 15 bulan lebih awal. Dengan siapnya mahakarya teragung dalam sejarah lebuh raya ekspres negara, Lebuhraya Utara-Selatan melonjakkan nama Malaysia sebagai antara negara yang mempunyai jaringan jalan raya yang terbaik di Asia selain Jepun, Korea Selatan, China dan Singapura.

Wednesday, February 4, 2015

Aplikasi Jalan Raya Malaysia: Aplikasi mudah alih PLUS Expressways - aplikasi wajib ada buat pengguna telefon pintar / Malaysian Highway App - PLUS Expressways mobile app - a must-have app for smartphone users

Salam sejahtera,

Pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 telah memberi impak besar terhadap sejarah sistem pengangkutan darat negara, setelah lebuh raya terpanjang di Malaysia tersebut mengambil alih peranan Jalan Persekutuan 1 sebagai laluan tulang belakang utara-selatan utama di Semenanjung Malaysia. Ia terbukti hasil peningkatan bilangan penggunanya saban tahun, sehingga memaksa PLUS Malaysia Berhad selaku syarikat konsesi untuk melebarkan beberapa jajaran sesak seperti jajaran Seremban-Ayer Keroh dan Rawang-Slim River kepada 6 lorong, serta jajaran Nilai-Seremban, Shah Alam-Jalan Duta dan Bukit Lanjan-Rawang kepada 8 lorong (jajaran Subang-Damansara pula kepada 10 lorong).Sungguhpun demikian, ia tetap tidak berupaya menyelesaikan masalah kesesakan secara mutlak, terutamanya semasa musim perayaan, berikutan kadar pertambahan bilangan kenderaan bermotor yang tinggi saban tahun.

Sehubungan dengan itu, PLUS Malaysia Berhad mengambil inisiatif membangunkan satu aplikasi telefon pintar khusus buat pengguna rangkaian lebuh raya PLUS. Aplikasi tersebut bukan sahaja membolehkan pengguna mengenal pasti jajaran sesak hasil integrasi peta Google Maps dan video kamera litar tertutup secara langsung (memerlukan sambungan internet dihidupkan) malah pengguna juga dapat menyemak kadar tol serta memperoleh maklumat persimpangan bertingkat serta hentian rehat di sepanjang lebuh raya agar mereka dapat merancang perjalanan dengan lebih berkesan. Jika anda mendaftar kad Touch 'n Go PLUSMiles anda, anda juga boleh menggunakan aplikasi sama untuk menyemak mata yang diperolehi.

Versi pertama aplikasi telefon pintar PLUS Expressways mula dilancarkan pada 27 Januari 2014 di Persada Plus oleh Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Noorizah Abd. Hamid, khusus buat pengguna telefon pintar dan tablet Android dan iOS (iPhone dan iPad). Ia sangat mesra pengguna dan amat mudah digunakan walaupun oleh pengguna baharu. Bagi pelantar Android, telefon pintar anda mestilah menggunakan sekurang-kurangnya Android Ice Cream Sandwich 4.0 untuk menggunakan aplikasi tersebut. Bagaimana pula dengan Android Lollipop 5.0...? Saya tidak pasti, kerana saya perlu menunggu sehingga bulan Mac untuk mendapatkan kemas kini Android Lollipop 5.0 untuk Sony Xperia Z. 

Versi 2.0.0 bagi aplikasi PLUS Expressways mula dikeluarkan pada 31 Januari 2015. Sungguhpun demikian, ramai pengguna telefon pintar Android yang merungut kerana aplikasi tersebut terhenti (crash / force-stop) setelah dinaik taraf daripada versi 1.0.6 kepada versi 2.0.0. Pasukan pembangun aplikasi tersebut dengan pantas bertindak menampal aplikasi tersebut dan menasihati pengguna agar mengemas kini aplikasi tersebut dengan cara membuang dahulu versi lama sebelum memuat turun dan memasang semula versi baharu, dan bukannya dengan mengemas kini secara terus melalui Google Play.

Sayangnya, aplikasi tersebut tiada untuk pengguna Windows Phone atau BlackBerry. Justeru, saya ingin menggesa agar pasukan pembangun aplikasi PLUS Expressways agar turut menghasilkan aplikasi tersebut untuk pelantar Windows Phone dan BlackBerry agar semua pengguna telefon pintar tanpa mengira jenis pelantar dapat merasai manfaat penggunaan aplikasi PLUS Expressways dalam membantu mereka merancang perjalanan.



S: Boleh terangkan mengenai Pusat Pengurusan Trafik (TMC) yang ditubuhkan Plus?

J: TMC berfungsi sebagai 'jantung' kepada Plus.Di sini kita dapat maklumat semua yang berlaku di sepanjang lebuh raya kendalian Plus melalui maklumat yang dihantar ke TMC ini.

Maklumat tersebut kami peroleh melalui pasukan ronda Plus yang meronda setiap masa. Selain itu, kami juga mendapatkan maklumat daripada kamera yang diletakkan di setiap plaza tol dan di lokasi strategik kami di sepanjang lebuh raya.


S: Selain pasukan ronda Plus, apa mekanisme lain yang boleh digunakan untuk menyalurkan maklumat?

J: Maklumat juga kami peroleh daripada pengguna yang menghubungi kami terus melalui talian 1-800-88-0000. Sekurang-kurangnya 3,000 panggilan sehari kami terima daripada pengguna, sama ada untuk membuat aduan ataupun untuk memberikan maklumat.

Pegawai kami bekerja 24 jam dan tujuh hari seminggu dengan sekurang-kurangnya 20 pegawai dalam satu syif akan mengumpul maklumat tersebut di TMC sebelum segala maklumat itu diuar-uarkan kepada pengguna melalui papan tanda elektronik, perkhidmatan Twitter PlusTrafik, hebahan di stesen radio dan melalui aplikasi pintar terbaharu kami iaitu aplikasi Plus Mobile.


S: Bagaimana situasi kesesakan di lebuh raya kendalian Plus?

J: Kami di Plus sentiasa cuba untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya. Antara yang kami lakukan ialah mengeluarkan jadual perjalanan bagi memudahkan pengguna memilih waktu sesuai untuk memulakan perjalanan pada waktu puncak di musim perayaan.

Jumlah pengguna lebuh raya mencecah 1.2 juta setiap hari dan pada waktu menjelang hari perayaan akan mencecah sehingga 1.7 juta di semua lebuh raya kendalian Plus.Sebahagian besar panggilan yang diterima daripada pengguna adalah daripada mereka yang bertanyakan keadaan trafik dan kadar tol.

Namun begitu, terdapat juga pengguna yang menghubungi kami untuk membuat aduan. Pegawai TMC kami akan cuba sebaik mungkin untuk bantu mereka dan berikan informasi yang terbaik pada setiap masa, walaupun pada waktu-waktu puncak.

Pada masa yang sama, kami nasihatkan agar lebih ramai pengguna lebuh raya mematuhi jadual perjalanan yang dikeluarkan pada musim perayaan. Berdasarkan pemerhatian, kajian dan rekod kami, lebih ramai yang mematuhi jadual tersebut, perjalanan di lebuh raya menjadi lebih lancar.


S: Boleh terangkan mengenai aplikasi Plus Mobile?

J: Aplikasi ini merupakan aplikasi pintar yang dibangunkan Plus dengan pelbagai aplikasi di dalamnya bagi memudahkan pengguna merancang perjalanan. Aplikasi ini merupakan inisiatif terbaru Plus untuk menyebarkan maklumat trafik terkini kepada pengguna lebuh raya terus ke telefon bimbit.


S: Bagaimana mahu memuat turun aplikasi tersebut?

J: Bagi yang memiliki telefon pintar atau tablet, boleh memuat turun aplikasi ini secara percuma menerusi AppStore bagi pengguna i-Phone dan i-Pad, manakala pengguna Android pula boleh memuat turun melalui Google Play Store dengan kata carian PLUS Expressways.

Aplikasi ini sangat mesra pengguna kerana segala maklumat yang dihebahkan adalah maklumat terkini yang dikemas kini setiap lima minit dan dapat membantu pengguna lebuh raya merancang perjalanan.


S: Apa keunikan lain ditawarkan aplikasi ini?

J: Aplikasi ini membolehkan pengguna lebuh raya menerima laporan trafik terkini seperti kemalangan, kesesakan, kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan serta apa sahaja aktiviti yang berlaku di lebuh raya Plus dan akan dihantar terus ke telefon pintar pengguna.

Aplikasi ini turut menawarkan kepada pengguna apa yang sedang berlaku secara langsung. Contohnya, kita ada kamera litar tertutup (CCTV) di setiap kawasan rehat dan rawat (R&R), jika pengguna letih dan mahu berehat, mereka boleh melihat situasi di R&R dalam aplikasi itu terlebih dahulu sebelum berhenti.

Kami juga turut memuatkan majalah bulanan Kembara Plus Online dan juga informasi mengenai makanan yang disediakan di setiap hentian rehat kami. 


S: Apakah penambahbaikan yang akan dilakukan dalam aplikasi ini?

J: Antara penambahbaikan yang telah dibuat adalah seperti pengguna boleh berkongsi maklumat yang terdapat pada aplikasi ke mana-mana aplikasi sosial lain seperti WhatsApp, Facebook, Instagram dan sebagainya.

Selain itu, pengguna juga akan boleh memeriksa kesesakan melalui imej yang diambil dari lokasi strategik di lebuh raya kendalian Plus. Contohnya, pengguna boleh melihat imej keadaan lalu lintas menerusi aplikasi tersebut sebelum tiba di mana-mana plaza tol.

Tujuannya, pengguna dapat mengelak daripada menempuh kesesakan. Ciri terbaru ini belum dimuat naik dalam aplikasi dan ia akan dilancarkan selewat-lewatnya pada Februari depan.


S: Harapan Plus terhadap aplikasi ini?

J: Kami mengharapkan agar pengguna lebuh raya dapat memuat turun aplikasi ini.Setakat ini, sekurang-kurangnya 330,000 sudah memuat turun aplikasi ini, Kami berharap lebih ramai pengguna lebuh raya memuat turun aplikasi ini untuk membantu merancang perjalanan mereka.







Paparan utama aplikasi PLUS Expressways






Anda boleh gunakan aplikasi ini untuk mengenal pasti hentian rehat...






...dan persimpangan bertingkat di sepanjang rangkaian lebuh raya PLUS






Gunakan aplikasi ini untuk menyemak kadar tol untuk perjalanan anda






Anda ada kad Touch 'n Go PLUSMiles...? Semak kutipan mata terkumpul anda menggunakan aplikasi ini!

Tuesday, December 2, 2014

Reviu berkembar Jambatan Pulau Pinang pertama (E36) dan kedua (E28) / First (E36) and second (E28) Penang Bridge double reviews

Salam sejahtera,

Seperti yang kita semua sedia maklum, Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah E28, atau lebih dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang E28, telah pun selamat dirasmikan pada 1 Mac 2014 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak. Semasa majlis perasmian tersebut, saya tidak berkesempatan untuk ke sana disebabkan faktor komitmen kerja serta faktor kewangan yang agak kurang mengizinkan. Namun, ia tidak bermakna saya membatalkan terus hasrat untuk mencuba jambatan tersebut, dan hasrat tersebut akhirnya tercapai minggu lalu semasa saya ke Pulau Pinang menaiki lori pikap Isuzu D-Max untuk membantu adik lelaki saya, Hazwan, mengangkut sebahagian barangannya untuk berpindah ke Shah Alam.




Peta lintasan Selat Selatan di Pulau Pinang, terdiri daripada feri Pulau Pinang, Jambatan Pulau Pinang E36 dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah E28


Sebelum saya teruskan dengan reviu bagi jambatan pertama dan kedua, izinkan saya untuk bercerita sedikit sebanyak mengenai sejarah lintasan air di Pulau Pinang. Sejarah lintasan air di Pulau Pinang bermula seawal tahun 1786 semasa Francis Light membuka Pulau Pinang yang dipajak daripada Sultan Kedah sebagai balasan untuk melindungi Kedah daripada serangan Siam dan Burma. Pembukaan Pulau Pinang oleh Francis Light menandakan permulaan bagi episod penjajahan British di Tanah Melayu di samping permulaan bagi Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berasingan. Sejak pembukaan Pulau Pinang, orang-orang dari tanah besar berulang-alik ke pulau dengan berperahu.




Sebelum 1985, feri Pulau Pinang merupakan satu-satunya pengangkutan antara pulau dengan tanah besar


Setelah motokar dibawa masuk oleh orang-orang putih pada tahun 1924, timbul satu keperluan bagi membolehkan kereta yang pada masa itu hanya mampu dimiliki oleh para pegawai penjajah British, pengurus ladang milik orang putih, kerabat diraja serta golongan elit Melayu, membawa kepada penubuhan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang menjadi salah satu ikon negeri. Namun, perkhidmatan feri Pulau Pinang sebenarnya bermula pada tahun 1894 oleh pengusaha Cina, cuma pada masa itu feri yang digunakan masih belum berupaya untuk mengangkut kenderaan bermotor; hanya bermula pada tahun 1924 barulah feri yang digunakan berupaya untuk mengangkut kenderaan bermotor. Pada masa itu, perkhidmatan feri diambil alih oleh kerajaan negeri melalui Lembaga Pelabuhan Pulau Pinang; tempat pendaratan feri pada masa itu bukanlah di pengkalan sekarang tetapi di Jeti Kedah (sebelah pulau) serta beberapa tempat pendaratan tidak tetap di sebelah tanah besar. Dua pengkalan tetap (Pengkalan Sultan Abdul Halim dan Pengkalan Raja Tun Uda) yang digunakan sehingga sekarang dirasmikan pada 23 September 1959.

Sejak itu, perkhidmatan feri Pulau Pinang terus menjadi satu-satunya sistem pengangkutan antara pulau dengan tanah besar sehingga tahun 1985 apabila Jambatan Pulau Pinang E36 dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir. Idea pembinaan jambatan pertama yang menghubungkan antara Pulau Pinang dengan tanah besar mula diutarakan seawal zaman Tun Abdul Razak pada tahun 1970an, dengan kajian kemungkinan disiapkan pada tahun 1971, tetapi pembinaannya hanya dimulakan pada tahun 1982 dengan kos RM600 juta setelah reka bentuk jambatan dimuktamadkan pada tahun 1981. Terdapat lima reka bentuk yang dicadangkan termasuklah jambatan galang kotak keluli, jambatan arca keluli dan jambatan kabel penahan, tetapi rekaan akhir yang dimuktamadkan menggunakan rekaan jambatan kabel penahan konkrit bagi bidang utama serta jambatan galang konvensional bagi bahagian lain. Pemilihan reka bentuk jambatan kabel penahan memberi kelebihan utama berbanding rekaan jambatan gantung yang lazim digunakan dalam kebanyakan jambatan terpanjang di dunia kerana jambatan kabel penahan tidak memerlukan pautan ke tanah sebagaimana jambatan gantung, memandangkan pautan ke tanah merupakan komponen sokongan beban utama bagi jambatan gantung - jika struktur tanah lemah, jambatan gantung boleh roboh dengan mudah. Saya akan ulas lebih lanjut mengenai perbandingan antara jambatan kabel penahan dengan jambatan gantung dalam entri akan datang.




Jambatan Pulau Pinang E36 semasa ia mula-mula dibuka pada tahun 1985
(Kredit gambar: Arkib Negara Malaysia)


Semasa Jambatan Pulau Pinang E36 dibina, ia direkabentuk supaya boleh dinaik taraf menjadi 6 lorong, dengan bidang utama jambatan dibina 6 lorong manakala bahagian lain dibina 4 lorong sahaja. Namun, setelah jambatan tersebut mencapai kapasiti kemuncak sekitar tahun 2000, maka kerja-kerja pelebaran jambatan menjadi 6 lorong pada keseluruhan laluan dimulakan pada November 2005 dan siap dalam tempoh 30 bulan. Kerja-kerja pelebaran E36 termasuklah pembinaan bahu jalan keras selebar 2 meter, memandangkan jambatan tersebut asalnya tiada bahu jalan langsung. Sungguhpun Jambatan Pulau Pinang E36 sudah pun dilebarkan, ia masih tidak mampu menangani kesesakan di sepanjang laluannya terutamanya pada waktu gegas. Hazwan pernah memberitahu saya bahawa pada waktu gegas, trafik di E36 boleh dikatakan hampir tidak bergerak langsung walaupun dengan menggunakan motosikal. Sehubungan dengan itu, Jambatan Kedua Pulau Pinang E28 mula diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 1995, tetapi kerajaan hanya mengumumkan pembinaannya lebih sedekad kemudian, mula dibina pada November 2008 dengan kos RM4.5 bilion dan dibuka pada lalu lintas pada 1 Mac 2014.

Rekaan asal E28 turut menyertakan pembinaan sepasang hentian rehat di tengah-tengah laut, pertama seumpamanya di Malaysia. Namun, kos pembinaan yang tinggi menyebabkan cadangan tersebut dibatalkan dan digantikan dengan sepasang hentian rehat biasa yang akan dibina di atas tanah rizab E28 di Batu Kawan. Tidak seperti jambatan lama yang dibina 4 lorong dan dikembangkan menjadi 6 lorong, E28 pula hanya dibina 4 lorong serta dilengkapi lorong motosikal. Kedua-dua jambatan bermula dari Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan berakhir di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu FT3113; Jambatan Pulau Pinang E36 sebenarnya bermula di persimpangan Jalan Siakap di Seberang Jaya dan membentuk laluan perintis bagi Lebuhraya Utara-Selatan E1 di Seberang Perai.

Jadi apa yang membezakan antara kedua-dua jambatan tersebut...? Biar gambar-gambar di bawah ini menerangkan bagi pihak saya:-






Selain itu, terdapat perbezaan lain antara kedua-dua jambatan tersebut. Jambatan Pulau Pinang E36 diuruskan oleh Penang Bridge Sdn. Bhd. (PBSB), anak syarikat PLUS Malaysia Berhad, manakala Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah E28 pula diuruskan oleh Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), syarikat milik Kementerian Kewangan Malaysia. Sistem kutipan tol di kedua-dua jambatan juga berbeza - Jambatan Pulau Pinang E36 menggunakan sistem tol terbuka konvensional yang dikenakan di Plaza Tol Perai, manakala kutipan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah E28 pula agak unik dengan mengguna pakai sistem lorong pengumpul-ekspres. Sebelum menghampiri Plaza Tol Bersepadu Bandar Cassia, lalu lintas dari arah Lebuhraya Utara-Selatan E1 dipecahkan kepada dua, iaitu yang hendak ke jambatan (lorong ekspres) serta yang hendak keluar ke Batu Kawan (lorong pengumpul). Di Plaza Tol Bersepadu Jambatan Kedua Pulau Pinang, pemandu di lorong ekspres perlu membayar tol Lebuhraya Utara-Selatan dan tol Jambatan Kedua Pulau Pinang, manakala pemandu di lorong pengumpul pula hanya perlu membayar tol Lebuhraya Utara-Selatan sahaja. Selepas Persimpangan Bandar Cassia, terdapat sebuah lagi plaza tol yang lebih kecil yang hanya mengutip tol Jambatan Kedua Pulau Pinang sahaja. Jadi, sekiranya anda terlajak ke lorong pengumpul, anda tidak perlu risau kerana anda masih boleh melalui jambatan, cuma perlu berhenti dua kali.




Cuaca buruk di sepanjang perjalanan menyebab saya tidak dapat mengambil gambar di sepanjang Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah E28 dengan lebih jelas


Semasa saya ke Pulau Pinang pada 26 November 2014, saya hanya dapat mengambil sedikit sahaja gambar disebabkan hujan lebat di sepanjang perjalanan bermula dari Gua Tempurung. Keadaan di E28 sangat lengang kerana ia masih baharu; tambahan pula, lokasinya agak jauh dari kawasan tepu bina di Perai. Tidak seperti Jambatan Pulau Pinang E36 yang lebih lurus, Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah E28 pula agak berlengkuk sedikit. Keadaan jambatan yang agak berlengkuk ini sangat penting bagi mengurangkan hipnosis lebuh raya, memandangkan jambatan E28 ini sangat panjang iaitu 16.9 km. Tidak seperti bidang utama E36 yang terletak betul-betul di tengah-tengah jambatan, bidang utama E28 terletak hanya 2 km sebelum penghujung jambatan di Batu Maung. Kenapa pula boleh jadi begitu...? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan kerana bahagian paling dalam di sepanjang laluan hanya terletak di situ; kedalaman laut di sepanjang jajaran lain pula terlalu cetek untuk dilalui kapal-kapal besar. Di E36 pula, bahagian tengah jambatan itulah bahagian paling dalam. E28 tamat di Exit 2802 Persimpangan Batu Maung.

Kedua-dua penghujung jambatan lama dan baru dihubungkan oleh Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu FT3113. Lebuh raya itu kini sedang dalam proses naik taraf di sepanjang jajaran Bayan Baru-Batu Maung, kerana jajaran tersebut asalnya hanya sekadar jalan raya kembar dengan banyak persimpangan searas berlampu isyarat. Maka, sebuah jejambat kini sedang dibina berterusan dari Bayan Baru ke Batu Maung, dijangka siap sekitar 2 tahun lagi. Jajaran FT3113 yang berstatus lebuh raya ekspres hanyalah dari Bayan Baru sehingga ke simpang Gat Lebuh Cecil yang merupakan persimpangan searas berlampu isyarat.





Untuk perjalanan pulang pula, saya menggunakan Jambatan Pulau Pinang E36. Jika sebelum ini saya berasa kecewa kerana terlalu sedikit gambar yang dapat diambil akibat hujan, saya mengambil kesempatan merakam video perjalanan pulang melalui E36. Sebelum pulang melalui Lebuhraya Utara-Selatan E1, saya berhenti di Hentian Sebelah Juru untuk mengisi minyak diesel. Isuzu D-Max ini sangat jimat minyak; perjalanan sejauh lebih kurang 600 km dari Segamat ke Pulau Pinang (melalui E28) dan seterusnya E36 sebelum berhenti mengisi minyak di Hentian Sebelah Juru hanya memerlukan 49 liter diesel sahaja.

Secara keseluruhannya, kedua-dua Jambatan Pulau Pinang lama (E36) dan baharu (E28) merupakan dua mahakarya agung bagi kejuruteraan jalan raya Malaysia yang menjadi kebanggaan negara. Kedua-dua jambatan memegang rekod sebagai jambatan lintasan air terpanjang di Asia Tenggara, dengan rekod E36 dipecahkan oleh E28. Malah, Jambatan Pulau Pinang E36 pernah menjadi jambatan ketiga terpanjang di dunia ketika ia baru sahaja dibuka. Kedua-dua karya agung kejuruteraan jalan raya negara ini dibina atas semangat Malaysia Boleh, menunjukkan bahawa kita mampu mencabar kehebatan kejuruteraan jalan raya di negara-negara maju.



Maklumat lebuh raya


Jambatan Pulau Pinang E36

Kod laluan: E36
Panjang: 13.5 km
Panjang jambatan: 8.4 km
Bidang utama: 225 m
Arah laluan: Timur-barat
Bilangan lorong: 6
Laman web: http://www.plus.com.my


Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah E28

Kod laluan: E28
Panjang: 24 km
Panjang jambatan: 16.9 km
Bidang utama: 240 m
Arah laluan: Timur-barat
Bilangan lorong: 4
Laman web: http://www.jambatankedua.com.my