Wednesday, May 4, 2016

Kempen Sukai Laman Facebook Kementerian Kerja Raya & Wefie Jalan Persekutuan / Like the Ministry of Work's Facebook Page & Wefie at Federal Roads




Salam sejahtera,

Saya telah menghadiri majlis perasmian Kempen Sukai Laman Facebook Kementerian Kerja Raya (KKR) & Selfie / Wefie Jalan Persekutuan di ibu pejabat KKR di Kuala Lumpur pada 3 Mei 2016. Kempen ini akan berlangsung selama sebulan sehingga 31 Mei 2016. Sebelum saya teruskan, mungkin ramai yang tertanya-tanya, kenapa kempen ini dilakukan...? Kenapa jalan persekutuan dan bukannya lebuh raya ekspres...? Baca lebih lajut untuk mengetahui jawapannya.




Saya di ibu pejabat KKR sempena perasmian Kempen Sukai Laman Facebook Kementerian Kerja Raya & Selfie / Wefie Jalan Persekutuan





Ucapan perasmian yang serba ringkas oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Pengurusan) Kementerian Kerja Raya, Datuk Haji Sarani Dollah yang juga merupakan Bapa Media Sosial KKR





Saya serta warga KKR berwefie sakan selepas majlis perasmian


Seperti yang anda semua sedia maklum, salah satu daripada matlamat utama Blog Jalan Raya Malaysia adalah bagi memartabatkan rangkaian jalan raya Malaysia serta ingin memupuk semangat sayang akan rangkaian jalan raya Malaysia. Namun, apa yang berlaku sekarang ialah ramai di kalangan masyarakat sering memandang enteng akan peranan jalan persekutuan terhadap masyarakat, sedangkan jalan persekutuan itulah yang sebenarnya lebih dekat di jiwa rakyat jika dibandingkan dengan lebuh raya ekspres. Dalil yang paling mudah adalah dengan memerhatikan kadar aliran trafik antara lebuh raya ekspres dengan jalan persekutuan yang dibina selari dengannya. Jika anda perhatikan betul-betul pada Google Maps mahupun Waze, lebuh raya ekspres mengangkut aliran trafik yang sangat tinggi berbanding jalan persekutuan. Akibatnya, lebuh raya ekspres sering sesak setiap kali musim cuti, sedangkan jalan persekutuan banyak yang lengang.

Lihat sajalah semasa cuti Hari Pekerja baru-baru ini. Ia setakat hari cuti umum peringkat persekutuan yang biasa-biasa sahaja, bukannya sampai ke tahap perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri. Namun, adakah cuti anda itu menyeronokkan...? Sudah tentulah tidak. Hari cuti sepatutnya berupaya menenangkan jiwa anda yang berkecamuk bahana tekanan beban kerja serta tanggungjawab terhadap keluarga, dengan harapan agar pemikiran anda kembali tenang dan anda boleh menjadi cergas semula untuk bekerja. Sebab itulah ramai majikan yang tetap mendesak anda pergi bercuti sekiranya anda "tunjuk rajin" dengan tidak mengambil sebarang cuti. Namun, seronokkah percutian anda sekiranya berdepan dengan kesesakan lebuh raya sehingga menjadikan otak yang berserabut semakin bertambah berserabut dan bibir anda terkumat-kamit mengucapkan perkataan maki-hamun, kalimah-kalimah lucah dan sumpah-seranah setiap kali ada pemandu lain yang "membuat tahi" di lebuh raya...? Sebab itulah Kementerian Kerja Raya mengadakan pertandingan selfie ini bagi menggalakkan orang ramai untuk kembali menggunakan jalan persekutuan sebagai laluan utama anda untuk bercuti. Barulah percutian anda jadi lebih seronok...!!!

Namun, tujuan utama KKR mengadakan kempen selfie jalan persekutuan ini adalah bagi mengubah stigma masyarakat yang sering menganggap lebuh raya ekspres sebagai laluan utama dan meminggirkan jalan persekutuan yang telah banyak berjasa kepada rakyat selama lebih 100 tahun. Jalan persekutuan itulah yang dekat di hati rakyat dalam erti kata sebenar, kerana ia menghubungkan rakyat berbilang kaum antara desa dengan kota, serta antara rumah-rumah dengan kedai-kedai, pejabat, sekolah, masjid dsb. Malah, jalan persekutuan juga merupakan nadi utama ekonomi negara. Ia dibuktikan dengan kewujudan lebih sejuta rakyat yang bergantung kepada pengguna Jalan Persekutuan 1 sebagai sumber ekonomi utama mereka. Itu baru Jalan Persekutuan 1 sahaja, belum dicampur dengan jalan-jalan persekutuan yang lain. Namun, stigma segelintir anggota masyarakat yang berakal terlalu jumud ini yang sering menganggap kononnya lebuh raya ekspres sebagai satu-satunya laluan utama bukan sahaja mengakibatkan kesesakan teruk di lebuh raya ekspres akibat permintaan teraruh (induced demand), malah mereka juga tanda disedari telah menabur pasir dalam periuk nasi para penduduk di sepanjang Jalan Persekutuan 1 yang mencari makan di situ. Kalau anda benar-benar perlu cepat dan tidak kisah perlu membayar lebih untuk tahap keselesaan yang lebih baik di lebuh raya ekspres, tak apalah juga. Namun, kalau anda sekadar mahu bercuti secara santai, maka ada baiknya anda guna sahaja jalan persekutuan biasa kerana ia jauh lebih menyeronokkan berbanding lebih raya ekspres yang mempunyai pemandangan sama sahaja serta membosankan.

Sebagai penulis Blog Jalan Raya Malaysia, sudah tentulah saya menyokong penuh aktiviti sebegini kerana saya menyifatkannya sebagai langkah pertama bagi menggalakkan orang ramai untuk kembali menggunakan jalan persekutuan dan bukannya meminggirkannya. Untuk mengajak orang ramai untuk kembali menggunakan jalan persekutuan, sudah tentulah kita perlu menunjukkan bahawa kembara di sepanjang jalan persekutuan sebenarnya lebih menyeronokkan daripada lebuh raya ekspres, dengan menunjukkan gambar-gambar menarik di sepanjang laluannya.




Baiklah, kita berbalik semula kepada Pertandingan Selfie & Wefie Jalan Persekutuan. Bagaimana hendak menyertainya...?

  1. Anda mestilah warganegara Malaysia, bukan warganegara asing. Ingat, pertandingan ini dianjurkan oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia, jadi hanya rakyat Malaysia sahaja yang layak menyertainya.
  2. Anda bukan kakitangan Kementerian Kerja Raya Malaysia mahupun Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) selaku penaja. Tak acilah kalau sendiri anjurkan, sendiri masuk.
  3. Anda wajib menyukai laman Facebook Kementerian Kerja Raya mahupun Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Tiada gunanya anda berselfie sakan di jalan raya jika anda tidak menyukai laman FB KKR kerana pertandingan ini memang diadakan sempena Kempen Sukai Laman Facebook Kementerian Kerja Raya. Laman FB CIDB pun anda wajib sukai kerana mereka ialah penaja bagi hadiah-hadiah pertandingan ini.
  4. Anda bebas untuk berselfie sakan di mana-mana jalan persekutuan yang ada di Malaysia. Ia termasuklah jalan selorong yang diwartakan sebagai Jalan Persekutuan seperti Jalan Gunung Brinchang FT432. Berselfie di sesetengah lebuh raya ekspres yang juga diwartakan sebagai Jalan Persekutuan seperti Lebuhraya Persekutuan FT2, Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1 ataupun Lebuhraya Karak E8/FT2 pun boleh juga, tetapi saya nasihatkan lebih baik jangan kerana berselfie sakan di lebuh raya ekspres jauh lebih berbahaya daripada jalan persekutuan biasa kerana kenderaan di situ laju-laju belaka.
  5. Anda tidak dibenarkan sama sekali berselfie ketika memandu, berselfie di tengah-tengah jalan raya mahupun melakukan aksi-aksi berbahaya yang sering dilakukan oleh mat-mat rempit semasa berselfie seperti Superman, wheelie, wikang, scorpion dsb. Anda masuk hospital, anda tanggung sendiri. Kalau anda berselfie di tepi jalan, di sebelah papan tanda, di jejantas mahupun di bawah jambatan, OK boleh.
  6. Muat naik gambar selfie anda dalam profil anda dan setkan tetapan kemas kini status anda kepada Umum / Public. Tagkan lokasi gambar tersebut diambil (boleh gunakan nama jalan) dan jangan lupa sertakan lima hashtag dalam kemas kini status anda tersebut, iaitu #RakanKKR, #MOWorks, #CIDB, #KempenLikeKKR dan #FTRoadpedia. Tak ada hashtag ataupun tersalah hashtag, penyertaan anda dikira terbatal, jadi cepat-cepatlah edit jika anda terperasan anda tersilap hashtag. Jika anda tidak tagkan lokasi gambar tersebut juga boleh dibatalkan penyertaan, jadi anda perlu muat naik semula kerana lokasi tidak boleh diedit sekiranya anda tersilap.
  7. Pemenang akan dipilih berdasarkan jumlah sukaan yang terbanyak, jadi anda bebas untuk melobi sukaan daripada rakan-rakan mahupun sanak-saudara serta mengumpulkan bala tentera pengundi hantu anda untuk menyukai gambar anda itu.
  8. Oh ya, saya hampir terlupa satu lagi perkara penting. Gambar yang anda gunakan dalam pertandingan ini mestilah gambar asli yang dihasilkan dengan menggunakan kamera digital ataupun kamera telefon bimbit anda sendiri, bukannya gambar Photoshop. Setiap kamera digital akan menghasilkan maklumat metadata Format Fail Imej Boleh Tukar (EXIF) bagi menyimpan data mengenai jenis kamera serta perisian yang digunakan bagi menghasilkan sesuatu imej digital. Dengan kata lain, kalau anda pakai Photoshop, anda memang akan kantoi.
Jadi apakah hadiah-hadiahnya...? Pemenang tempat pertama akan memenangi hadiah bernilai RM500, manakala tempat kedua pula RM300 dan tempat ketiga pula RM200, berserta 10 hadiah saguhati bernilai RM100. Kesemua hadiah adalah tajaan CIDB.

Mudah bukan...? Jadi jom berselfie sakan di jalan persekutuan...!!!




Ambil gambar di mana-mana jalan persekutuan yang anda suka...




...kemudian muat naik dalam kemaskini status anda. Jangan lupa tagkan lokasi nama jalan, setkan tetapan privasi kepada Umum / Public dan menyertakan lima hashtag iaitu #RakanKKR, #MOWorks, #CIDB, #KempenLikeKKR dan #FTRoadpedia.





 Takkan tengok saja kot, like jugalah gambar-gambar ini...!!!

No comments:

Post a Comment

Advertisement