Tuesday, May 31, 2016

Apa yang anda perlu tahu tentang Lebuhraya Pan Borneo Sabah / What you should know about Sabah Pan Borneo Highway



Pada tahun 2022 nanti, rakyat Sabah akan menikmati lebuh raya kembar sepanjang 1,286 km yang menyeronokkan seperti ini


Salam sejahtera,

Untuk entri kali ini, saya bawakan kepada anda beberapa maklumat berharga mengenai Lebuhraya Pan Borneo Sabah. Sebenarnya saya boleh dikatakan agak terlewat menulis mengenainya, memandangkan projek ini sebenarnya sudah pun dirasmikan di Kampung Andus, Papar pada 24 April 2016 bagi pakej pertama. Malah, Lebuhraya Pan Borneo Sabah pula sudah pun memasuki pakej kedua yang dirasmikan di pekan Balung, Tawau pada 28 Mei 2016. Kelewatan saya membawakan liputan tersebut kepada anda adalah disebabkan kes penggodaman laman Facebook Blog Jalan Raya yang sedang ditangani pada masa itu. Tanpa membuang masa, saya bawakan kepada anda serba-sedikit mengenai projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini.




Siaran lintas langsung perasmian pakej naik taraf Jalan Donggonggon-Lok Kawi-Papar FT501/FT1 sebagai sebahagian fasa pertama Lebuhraya Pan Borneo Sabah




Siaran lintas lantus perasmian pakej kedua iaitu sebahagian Lebuhraya Tawau-Semporna FT13 dari Balung ke Bulatan Checkpoint Semporna sejauh 8 km


Seperti Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1/AH150, Lebuhraya Pan Borneo Sabah AH150 merupakan naik taraf jalan raya dua lorong kepada lebuh raya kembar empat lorong dengan kawalan masuk separa, dengan had laju maksimum 90 km/j. Namun, terdapat beberapa perbezaan antara projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dengan projek sama di Sarawak:-
  1. Meskipun namanya Lebuhraya Pan Borneo, namun tidak semua jajaran asal Lebuhraya Pan Borneo AH150 iaitu Jalan Persekutuan 1, 13 dan 22 termasuk dalam projek ini. Bukan itu sahaja, malah terdapat beberapa jalan raya yang asalnya jalan negeri dan tidak termasuk dalam jajaran Lebuhraya Pan Borneo kali ini diserap masuk sebagai sebahagian projek naik taraf lebuh raya kembar Pan Borneo dan bakal diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan. Teruskan membaca untuk mengetahui mengenainya. Jika dibandingkan, projek sama di Sarawak merangkumi 100% jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1.
  2. Terdapat lebih banyak jajaran baharu dibina dalam projek kali ini di Sabah. Jika dibandingkan, satu-satunya jajaran baharu yang dibina dalam projek sama di Sarawak ialah pembinaan jalan baharu dari Teluk Melano ke Sematan sejauh 33 km, menganjakkan Kilometer Sifar bagi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1 sebanyak 33 km ke sebelah barat.




Peta jajaran projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah AH150


Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah merangkumi satu rangkaian jalan raya di Sabah sepanjang 1,236 km. Projek ini dibahagikan kepada 3 fasa utama:-
  1. Fasa 1: Keseluruhan Jalan Donggonggon-Lok Kawi-Papar FT501/FT1, Lebuhraya Papar-Sindumin FT1, Jalan Berungis-Tuaran FT503, Jalan Ranau-Sandakan FT22 serta keseluruhan Jalan Persekutuan 13. Selain itu, dua laluan baharu turut dibina, iaitu Jalan Pintasan Lahad Datu dan Jalan Pantai Tuaran-Kudat (laluan jalan raya super two baharu). Justeru, Jalan Lama Tamparuli-Kota Belud FT1 dan Jalan Kota Belud-Kudat FT1 tidak termasuk dalam projek ini walaupun ia sepatutnya memang diwartakan sebagai sebahagian Lebuhraya Pan Borneo AH150. Keseluruhan Fasa 1 merangkumi 706 km kesemuanya dengan kos keseluruhan RM12.86 bilion.
  2. Fasa 2: Keseluruhan jajaran Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22 sejauh 72 km.
  3. Fasa 3: Keseluruhan Lebuhraya Kimanis-Keningau dan Lebuhraya Selatan Sabah, yang merangkumi Jalan Keningau-Sook, Jalan Sook-Nabawan, Lebuhraya Kalabakan-Sepulot dan Jalan Merotai (Tawau-Kalabakan). Dalam Lebuhraya Selatan Sabah, hanya jajaran Jalan Merotai sahaja yang diwartakan sebagai Jalan Persekutuan (cuma belum ada kod laluan), manakala yang lain pula diwartakan sebagai Jalan Negeri Sabah. Justeru, keseluruhan Lebuhraya Selatan Sabah dan Lebuhraya Kimanis-Keningau akan diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan sebaik Fasa 3 siap kelak.

Keseluruhan Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan siap pada tahun 2022. Syarikat utama yang diamanahkan dalam pembinaan projek ini ialah Borneo Highway PDP Sdn. Bhd. yang dimiliki 100% oleh anak Sabah sendiri, sebagaimana Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FT1/AH150 yang dilaksanakan oleh Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd. yang dimiliki 100% oleh anak Sarawak. Seperti projek di Sabah, projek ini akan dibangunkan sepenuhnya oleh arkitek Sabah, jurutera Sabah dan kontraktor Sabah tanpa penglibatan jurutera mahupun kontraktor dari Semenanjung.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa tidak naik taraf sekali Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22 dalam Fasa 1 kalau sudah alang-alang hendak menaik taraf FT22 dalam Fasa 1...? Sudah tentulah kerana jajaran Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22 adalah jajaran yang paling sukar dibina dalam Jalan Kota Kinabalu-Sandakan FT22, jadi anda boleh jangkakan laluan berasingan mahupun banyak jejambat tinggi dibina dalam Fasa 2 nanti. Pengalaman menaiktaraf Lebuhraya Tamparuli-Ranau FT22 seterusnya boleh digunakan semasa naik taraf Lebuhraya Kimanis-Keningau dalam Fasa 3 kelak.

Jika anda ada persoalan mengenai Lebuhraya Pan Borneo, anda boleh membaca FAQ mengenainya dalam entri FAQ Lebuhraya Pan Borneo Sarawak kerana butiran bagi kebanyakan soalan mengenai projek di Sabah sebenarnya sama sahaja seperti di Sarawak.

No comments:

Post a Comment

Advertisement