Monday, May 30, 2016

Honda Future FI: Hero penjelajah (lebih) jauh / Honda Future FI: Long(er)-distance exploration hero

Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya memohon maaf berikutan penangguhan projek reviu FTRoadpedia oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) pada saat-saat akhir ke satu tarikh yang akan diumumkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, susulan perasmian pakej Lebuhraya Pan Borneo Sabah FT13 dari KM43 dekat pekan Balung, Tawau sehingga ke Bulatan Checkpoint Semporna (KM45), yang akan saya ulas dalam entri seterusnya. Sebagai pengganti, saya akan bawakan kepada anda entri mengenai Honda Future FI, Lebuhraya Pan Borneo Sabah serta satu entri sulung hasil kolaborasi antara Blog Jalan Raya Malaysia dengan laman portal automotif Careta, yang akan saya umumkan tidak lama lagi.

Saya mulakan dengan entri mengenai Honda Future FI. Empat tahun lepas, saya ada menulis mengenai model asal Honda Future yang mula dikeluarkan pada Julai 2012. Hasilnya, entri tersebut menjadi entri paling popular dan paling banyak dibaca di Blog Jalan Raya Malaysia, dengan jumlah pembaca melebihi 27 ribu orang. Malah, komen-komen bagi entri tersebut mencecah 326 komen, yang mana kebanyakannya mengenai nasihat serta petua ubah suai motosikal, sehinggakan saya terpaksa menulis satu entri khas mengenai petua-petua ubah suai motosikal yang dibenarkan dan yang diharamkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kenapa model ini dikeluarkan...? Sejak mula dikeluarkan pada tahun 2012, Honda Future, bersama-sama dengan Honda Wave Dash 110 generasi kedua yang dikeluarkan pada tahun 2013, merupakan model kapcai paling laris keluaran Boon Siew Honda. Malah, Honda EX5 110 (dan penggantinya iaitu Honda EX5 FI) pun tidak dapat menandingi populariti kedua-dua model ini. Namun, entah di mana silapnya, Boon Siew Honda sering dikritik oleh peminat motosikal Malaysia sejak akhir-akhir ini berikutan kualiti buatan yang semakin merosot, yang mana saya syaki berpunca daripada komponen-komponen yang diimport. Antara masalah kualiti yang sering disebut-sebut termasuklah set penutup badan (cover set) bergegar, klac tergelincir (masalah pada enjin), susah masuk gear (masalah pada enjin), sehinggalah kepada enjin cepat rosak sehingga terpaksa dibaik pulih (overhaul) tatkala bacaan odometer tidak sampai 50,000 km. Motosikal Honda Wave 125X Ultimo saya sendiri pun mengalami masalah klac mudah tergelincir, cover set bergegar serta enjin cepat rosak dan terpaksa dibaik pulih penuh (full overhaul) semasa bacaan odometer baru sahaja sekitar 67,000 km, sedangkan motor-motor kapcai lain yang pernah saya gunakan pula iaitu Modenas Kriss 2 dan Yamaha Lagenda 110 dibaik pulih semasa bacaan odometer melebihi 95,000 km. Sungguhpun demikian, masih ramai yang tetap memilih untuk membeli Honda Future, terutamanya dari kalangan mereka yang berulang-alik jauh ke tempat kerja, yang rajin berkonvoi serta yang sering pulang ke kampung menaiki motosikal - kebanyakannya atas faktor kos penyelenggaraan yang mudah dan murah. Menyedari masalah kualiti yang dihadapi, Boon Siew Honda kini sedang berusaha menambah baik kualiti motosikal kapcai keluaran mereka terutamanya di bahagian enjin, bermula dengan Honda Future FI, dengan melanjutkan tempoh waranti sehingga 3 tahun untuk enjin (bahagian lain pula 2 tahun), yang saya sifatkan sebagai tempoh waranti terpanjang yang berani diberikan oleh mana-mana pengeluar kapcai.

Selain itu, Boon Siew Honda juga dikritik kerana lambat membawa masuk model kapcai pancitan bahan api, meskipun Honda mempelopori teknologi pancitan bahan api kos rendah yang dipermudahkan untuk motor kapcai serta merupakan pengeluar pertama bagi motor kapcai pancitan bahan api pada tahun 2003 melalui model Honda Wave 125i di Thailand, disusuli pula di Indonesia pada tahun 2005. Sementara itu, Boon Siew hanya mula membawa masuk model kapcai pancitan bahan api melalui Honda EX5 FI yang bukan merupakan model kapcai flagship mereka. Susulan dengan itu, Boon Siew Honda kini menggantikan model kapcai flagship mereka iaitu Honda Future yang selama ini menggunakan karburetor kepada model pancitan bahan api pula.

Honda Future FI turut menerapkan beberapa perubahan baharu bagi membezakannya dengan model lama. Antaranya, lampu kepala yang menggunakan dua biji mentol biasa digantikan dengan sebiji mentol halogen yang bukan sahaja lebih terang, malah lebih jimat elektrik sebanyak 25%. Ini membolehkan lebih banyak tenaga elektrik dirizabkan bagi kegunaan sistem pancitan bahan api, memandangkan pam bahan api merupakan komponen pancitan bahan api yang paling banyak menggunakan tenaga elektrik.

Saiz tangki bahan api berkurangan daripada 5.6 L bagi model berkarburetor kepada 5.4 L berikutan ruang yang dimakan oleh modul pam bahan api. Namun, ia tetap berupaya memberikan jarak perjalanan yang lebih jauh dengan setangki penuh. Jika model lama mampu memberikan jarak perjalanan sehingga 250 km bagi setangki penuh, anda boleh jangkakan peningkatan jarak perjalanan kepada sekitar 270 km bagi model pancitan bahan api ini, menjadikan Honda Future FI sebagai hero penjelajah lebih jauh.

Sistem pancitan bahan api PGM-FI yang digunakan direka bentuk agar tidak banyak memakan kuasa bateri, kurang komponen yang diperlukan berbanding sistem pancitan oleh pesaing seperti Yamaha, dan yang paling penting ialah sistem yang digunakan ini sangat jimat minyak. Namun, model Honda Future FI ini kurang berkuasa berbanding model terdahulu yang berkarburetor (9.27 PS vs 9.6 PS). Oleh itu, jika ada di kalangan pemilik Yamaha Lagenda 115Z Fuel Injection yang teringin untuk berhijrah kepada Honda Future FI, nasihat saya ialah lebih baik anda terus menggunakan Lagenda Fuel Injection anda itu kerana Lagenda Fuel Injection lebih berkuasa berbanding Future FI.

Namun, apa yang menggembirakan para peminat motor kapcai di Malaysia ialah Future FI ini tiada lampu isyarat membelok capang di belakang, menjadikan Honda Future FI sebagai model kapcai pancitan bahan api kedua yang tidak dilengkapi lampu isyarat capang di belakang selepas Modenas 118EFI. Jika diperhatikan, kebanyakan model kapcai baharu sejak tahun 2013 menggunakan lampu isyarat capang di belakang bagi mematuhi peraturan UNECE yang dikuatkuasakan oleh JPJ. Namun, penggunaan lampu isyarat capang di belakang bagi model-model kapcai dikritik oleh para peminat motor kapcai di Malaysia kerana selain mencacatkan reka bentuknya, lampu isyarat capang belakang juga sangat mudah patah akibat disigung kenderaan lain. Malah, ada pemilik yang sengaja menggantikan lampu isyarat capang asal kepada jenis yang lebih kecil ataupun mencabutnya terus, menyebabkan orang di belakang tidak tahu sekiranya penunggang tersebut mahu membelok ke kiri atau kanan. Cuma yang tidak sedapnya ialah lampu belakangnya diturun taraf daripada jenis LED kepada jenis mentol biasa yang lebih pendek jangka hayatnya. Sepatutnya kalau sudah nama pun Honda Future, maka Boon Siew Honda sepatutnya mengekalkan lampu belakang LED ini, kerana lampu-lampu LED inilah salah satu daya penarik utama Honda Future.

Honda Future FI ditawarkan dalam dua varian, iaitu varian brek gelendong belakang (RM6,072.74) serta varian brek cakera belakang (RM6,358.94) termasuk GST tetapi tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Tiada lagi varian rim lidi dikeluarkan, dan kedua-dua varian ini dilengkapi brek cakera hadapan, penghidup elektrik, rim sport dan ruang simpanan bawah pelana yang boleh memuatkan sebiji topi keledar muka penuh sebagai alatan standard.



Spesifikasi Honda Future FI

Enjin: SOHC 2 injap silinder tunggal 125 cc
Sesaran: 124.9 cc
Lubang x lejang: 52.4 x 57.9 mm
Nisbah mampatan: 9.3:1
Kuasa kuda: 9.27 PS (6.81 kW) @ 7,500 rpm
Tork: 10.02 N-m @ 5,500 rpm
Jarak roda: 1,258 mm
Berat kering: 105 kg (model brek gelendong belakang); 107 kg (model brek cakera belakang)
Muatan tangki bahan api: 5.4 liter
Saiz tayar: 70/90 R17 M/C 38P (depan); 80/90 R17 M/C 50P (belakang)

Apa yang saya suka
  1. Segala kelebihan yang ada pada motor pancitan bahan api (jimat minyak, mesra alam, lebih mudah dihidupkan ketika sejuk)
  2. Jarak perjalanan lebih jauh bagi setangki penuh
  3. Tiada lampu isyarat membelok capang

Apa yang saya tidak suka
  1. Harganya yang lebih mahal daripada model lama
  2. Kurang berkuasa daripada model berkarburetor terdahulu
  3. Lampu belakang diturun taraf daripada jenis LED kepada mentol





Honda Future FI - nampak serupa dengan model lama yang berkarburetor tetapi tidak sama




Dua biji mentol biasa pada lampu kepala Honda Future berkarburetor digantikan dengan sebiji mentol halogen pada model pancitan bahan api ini




Yang ini ramai mat motor kapcai di Malaysia suka - tiada lampu isyarat membelok capang di belakang - tetapi yang tidak sedap ialah lampu belakang LED ditukar kepada mentol biasa




Bahagian belakang Honda Future FI - yang ini model brek gelendong belakang




Tangki belakang Future FI lebih kecil sedikit kerana sebahagian ruang dimakan oleh modul pam bahan api




Ruang simpanan bawah pelana (aka U-box) yang cukup besar untuk memuatkan sebiji topi keledar bermuka penuh
(Semua kredit gambar: Careta)

2 comments:

  1. Dua biji mentol biasa boleh tukar dengan dua buji mentol halogen. Biasanya stanley 12v35w35w. Perlahan buka satu, bawa laju/lampu tinggi buka dua.
    Satu biji halogen datang kilang kira downgrade.
    Nampak gaya motor ni kalau bateri mati injin tak boleh hidup. Masalah juga dengan moto pancitan bahan api ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul. Itulah salah satu pantang-larang enjin pancitan bahan api. Pantang-larang kedua pula ialah anda tidak boleh guna petrol berplumbum, yang mana sudah tiada lagi sekarang. Pantang-larang ketiga ialah anda tidak boleh menunggang sehingga tangki minyak habis kerana ia akan mengakibatkan pam bahan api rosak akibat pusingan terlalu laju setelah tiada beban. Pantang-larang terakhir ialah jangan sampai ECU dibasahi air banjir.

      Delete

Advertisement