Wednesday, April 25, 2018

Khas buat penunggang motosikal: Ketika musim ribut petir... / Special to motorcyclists: During thunderstorm season...



2 jenis tempat berteduh motosikal yang lazim disediakan oleh syarikat konsesi lebuh raya ekspres, iaitu jenis bawah jejambat (atas) & pondok berteduh (bawah)
(Kredit gambar: PLUS Malaysia Berhad)


Salam sejahtera,

Entri kali ini merupakan entri kolaborasi bersama-sama PLUS Malaysia Berhad atas permintaan Encik Kamarul dari PLUS. Saya mengambil kesempatan untuk menulis entri ini sempena dua kes nahas jalan raya melibatkan kenderaan lebih besar yang merempuh motosikal yang berteduh di bawah jejambat ketika hujan ribut petir.

Seperti yang anda semua sedia maklum, Malaysia mengalami iklim Khatulistiwa dengan cuaca panas dan lembap sepanjang tahun. Namun, di kawasan pantai barat Semenanjung Malayisa, bulan-bulan ekuinoks (Mac hingga Mei & September hingga November) merupakan bulan-bulan dengan taburan hujan tertinggi kerana kedudukan matahari di Khatulistiwa pada masa itu mewujudkan zon-zon tekanan udara rendah yang membawa kepada cuaca ribut petir. Di kawasan pantai timur pula, bulan-bulan taburan hujan tertinggi sudah tentulah semasa Monsun Timur Laut dari Disember hingga Februari. Semasa musim ribut petir pada bulan-bulan ekuinoks ini, ribut petir lazimnya terbentuk pada waktu petang & mencapai peringkat matang sekitar pukul 2.00 pm hingga 6.00 pm, membawa bersama curahan hujan yang lebat sehingga ada kalanya boleh menyebabkan banjir kilat.

Semasa cuaca hujan dan ribut petir, tatkala pemandu kereta boleh meneruskan perjalanan dengan selesa tanpa perlu basah kuyup bermandikan hujan, penunggang motosikal pula sebaliknya. Oleh kerana mereka tiada perlindungan daripada cuaca, maka sudah tentulah mereka akan basah kuyup setiap kali hujan, jadi mereka terpaksa mencari tempat berteduh setiap kali hujan. Sekiranya hujan turun tatkala mereka sedang melakukan kerja yang memang melibatkan penggunaan motosikal (seperti penghantar piza, penghantar surat, penghantar barang dsb.), hujan yang turun bermaksud mereka terpaksa membazirkan masa antara setengah jam hingga sejam atau lebih kerana tidak dapat ke mana-mana akibat hujan. Jika di kawasan tengah bandar, sekurang-kurangnya ada banyak tempat untuk berteduh seperti kedai-kedai, stesen minyak dan perhentian bas, tetapi jika hujan turun semasa sedang bermusafir di lebuh raya ekspres, apa pilihan yang ada...? Di lebuh raya ekspres, pilihan yang ada hanyalah berteduh di tempat teduh yang paling hampir - kalau tak jumpa hentian rehat, jejambat yang paling hampir itulah yang menjadi lokasi paling hampir untuk berteduh. Namun, adakah jejambat itu merupakan tempat berteduh yang benar-benar selamat...?

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan dua nahas motosikal serupa yang melibatkan kenderaan lebih besar merempuh banyak motosikal yang berteduh di bawah jejambat - satu di KM259 Lebuhraya Utara-Selatan E2 di Seremban dekat Exit 219 Persimpangan Port Dickson, dan satu lagi pula di bawah jejambat Persimpangan Jalan Subang FT15 di Jalan Kuala Selangor-Kepong FT54 dekat Sungai Buloh. Meskipun dalam kedua-dua nahas itu tiada kematian dicatatkan, namun selang masa yang amat rapat (tidak sampai 3 hari) menyebabkan timbul persoalan mengenai tahap keselamatan tempat berteduh untuk motosikal, seperti yang dibangkitkan oleh Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye.






Dua kes nahas motosikal yang berteduh di bawah jejambat dilanggar kenderaan lebih besar di KM259 Lebuhraya Utara-Selatan E2 di Seremban (gambar atas) & di jejambat Persimpangan Jalan Subang-Sungai Buloh FT15 di Jalan Kuala Selangor-Kepong FT54 (gambar bawah)


Sepanjang pemerhatian saya sendiri sebagai seorang penunggang motosikal, bahagian bawah jejambat sebenarnya kurang sesuai dijadikan tempat teduh motosikal ketika hujan kerana ia memang asalnya tidak direkabentuk untuk tujuan tersebut. Namun, disebabkan ramai penunggang motosikal yang menjadikan bahagian bawah jejambat sebagai tempat berteduh, maka syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ekspres (dan seterusnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur; DBKL) mengubah suiai rekaan jejambat kendalian mereka supaya boleh digunakan sebagai tempat berteduh. Pengubahsuaian yang dilakukan juga sangat mudah, iaitu dengan membuka satu kawasan parkir motosikal di tepi bahu jalan yang dipisahkan daripada laluan utama oleh rel pengadang keluli, dengan jalan susur keluar masuk kecil di setiap penghujung pengadang.

Namun, reka bentuk tempat berteduh di bawah jejambat ini ada limitasinya. Antaranya termasuklah kapasitinya yang terhad, yang mana setiap tempat berteduh bawah jejambat lazimnya hanya mampu memuatkan tidak sampai 10 buah motosikal sahaja. Sekiranya petak perkir di bahagian dalam sudah penuh, maka penunggang lain sudah tentu akan memparkir motosikal mereka di bahu jalan keras (lorong kecemasan) pula, dan inilah satu punca utama yang menjadikan bahagian bawah jejambat tidak lagi selamat untuk berteduh kerana motosikal yang diparkir di lorong kecemasan ini terdedah kepada risiko dilanggar kereta atau lori.

Kenapa pula ruang berteduh di bawah jejambat terhad...? Ruang berteduh yang terhad ini adalah disebabkan bentangan jejambat yang terhad. Ia benar terutamanya bagi kes jajaran-jajaran terawal Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2 seperti jajaran Kuala Lumpur-Seremban. Jajaran Kuala Lumpur-Seremban E2 asalnya direkabentuk sebagai lebuh raya 4 lorong. Namun, setelah jajaran tersebut dilebarkan kepada 6 lorong pada tahun 1992 & siap pada tahun 1993, ruang bawah jejambat di kebanyakan persimpangan bertingkat sudah tidak lagi boleh dijadikan tempat berteduh kerana ruang tersebut telah "dimakan" semasa projek naik taraf kepada 6 lorong - malah, ada jejambat yang sudah tiada lagi lorong kecemasan. Lebih banyak lagi ruang bawah jejambat dikorbankan semasa naik taraf beberapa jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2 kepada 8 lorong, Misalnya, di Exit 215 Persimpangan Nilai, jejambat persimpangan tersebut asalnya boleh dijadikan tempat berteduh. Namun, semasa projek naik taraf kepada 8 lorong, tambahan 2 lorong tersebut bukan sahaja memakan ruang berteduh motosikal tetapi turut memakan lorong-lorong kecemasan di situ (sebab itulah Exit 215 Persimpangan Nilai tiada lorong kecemasan).

Jenis kedua bagi tempat berteduh motosikal yang disediakan oleh syarikat konsesi lebuh raya ekspres ialah jenis pondok berteduh. Jenis kedua ini lebih mudah didirikan, lebih selamat (kerana terletak lebih jauh ke dalam berbanding jenis bawah jejambat) & mempunyai kapasiti yang lebih besar. Pondok berteduh ini lazimnya didirikan berhampiran jejambat yang sudah tidak lagi boleh dijadikan tempat berteduh (seperti jejambat Exit 218 Persimpangan Seremban) ataupun di kawasan yang jarang didirikan jejambat di sepanjang laluannya (seperti Lebuhraya Latar E25 & SKVE E26 Seksyen 3).

Jadi apakah cadangan penambahbaikan untuk menjadikan tempat berteduh motosikal lebih selamat...? Saya ingin mencadangkan kepada semua syarikat konsesi termasuk PLUS untuk melakukan rondaan ketika hujan untuk mengenal pasti jejambat manakah yang banyak dijadikan tempat berteduh bagi penunggang motosikal. Setelah mengenal pasti jejambat-jejambat yang memuatkan terlalu banyak penunggang motosikal yang berteduh sehingga terkeluar ke lorong kecemasan, maka saya ingin menyarankan agar pondok berteduh tambahan dibina untuk mengelakkan penunggang motosikal daripada berkumpul di lorong kecemasan sekiranya ruang parkir motosikal di bawah jejambat sudah penuh. Seterusnya, pengadang yang digunakan di tempat berteduh motosikal perlu ditukar kepada jenis tembok Jersey agar kenderaan yang terbabas ke arah tempat berteduh motosikal dilantunkan kembali supaya tidak melanggar penunggang motosikal yang berteduh.

Seterusnya kepada penunggang motosikal pula, apa yang patut anda lakukan agar kemalangan di bawah jejambat sebegini tidak lagi berulang...? Jika hujan sudah mula turun, jangan terus berhenti di lorong kecemasan untuk memakai baju hujan. Sebaliknya, redah sedikit sehingga tiba di tempat berteduh terdekat sebelum anda berhenti untuk menukar baju hujan. Untuk tempat berteduh, jadikan kawasan rehat & rawat (R&R), hentian sebelah atau stesen minyak sebagai lokasi keutamaan pertama untuk berteduh. Sekiranya hentian rehat masih jauh & hanya ada jejambat terdekat sebagai tempat berteduh, barulah anda boleh pertimbangkan untuk berteduh di situ. Jika anda memilih untuk berteduh di bawah jejambat, pastikan jejambat tersebut ada petak parkir motosikal di bawahnya & tidak penuh. Sekiranya ruang parkir motosikal di bawah jejambat sudah penuh ataupun tiada petak parkir motosikal, batalkan niat anda & teruskan perjalanan ke jejambat seterusnya. Namun, jika sekiranya anda memang terpaksa berteduh juga di jejambat yang penuh sesak itu (misalnya, ketika hujan terlalu lebat ataupun kilat sabung-menyabung), pastikan motosikal diparkir jauh daripada garisan tepi lebuh raya & jangan berada di motosikal anda (anda sendiri perlu beredar di belakang rel pengadang) sehinggalah hujan reda. Paling penting, semasa berteduh di bawah jejambat, jangan sekali-kali berlonggok di lorong kecemasan untuk mengelakkan daripada risiko dilanggar kenderaan. Takut barangan basah...? Pasang kotak barangan di belakang motosikal untuk melindungi barangan anda daripada dibasahi hujan.

Namun, tindakan yang lebih baik semasa musim hujan ribut petir ini ialah merancang perjalanan anda dengan teliti. Seeloknya, bertolak awal & elakkan perjalanan waktu petang (pukul 2.00-6.00 pm) kerana pada masa inilah selalunya berlaku hujan ribut petir. Paling baik, muat turun aplikasi radar cuaca seperti Rain Alarm yang boleh dimuat turun di sini (bagi telefon pintar Android) atau sini (bagi telefon pintar iPhone), & seterusnya gunakan app Rain Alarm ini untuk merancang laluan lencongan pemintas hujan ataupun jika tidak lepas, merancang tempat untuk berteduh.




App Rain Alert memaparkan peta radar cuaca yang menunjukkan kawasan yang dilanda hujan lebat


Untuk maklumat lanjut mengenai tempat berteduh motosikal, anda boleh baca di sini.

Tuesday, April 24, 2018

PRU14: Janganlah engkau percaya dengan politikus / GE14: Never believe politicians



Janji memansuhkan kutipan tol di empat plaza tol ini memang sudah ditepati, tetapi...


Salam sejahtera,

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) datang lagi setelah 5 tahun berlalu selepas PRU13. Tidak seperti PRU13 di mana Barisan Nasional (BN) selaku parti pemerintah hanya perlu berdepan dengan Pakatan Rakyat (PR; kini Pakatan Harapan; PH), PRU14 pula bakal menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara BN, PH dan Gagasan Sejahtera (GS) yang ditubuhkan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) setelah keluar daripada PR. Seperti biasa, parti-parti politik mula menabur janji-janji manis dalam manifesto masing-masing demi memancing undi rakyat. Antara janji-janji manis yang sering ditaburkan oleh parti-parti politik tidak lain dan tidak bukan ialah mengenai isu tol lebuh raya ekspres. Oleh kerana Blog Jalan Raya Malaysia secara tegas berpegang kepada prinsip mengecam golongan yang mempolitikkan isu tol, jadi entri kali ini sememangnya bertujuan untuk membalun parti-parti politik yang terus menaburkan janji capati sebegitu dan enggan menghadapi realiti sebenar, sedangkan rakyat sudah pun tahu apa kesudahannya nanti.


Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Manifesto PRU14 Barisan Nasional (BN)


Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Manifesto PRU14 Pakatan Harapan (PH)


Pelayar web anda tiada sokongan PDF. Anda sebaliknya boleh terus memuat turun fail PDF ini dengan mengklik sini.



Manifesto PRU14 Gagasan Sejahtera (GS)


Jika dibandingkan dengan manifesto dua parti politik yang lain, Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan sebarang janji memansuhkan atau menurunkan kadar tol lebuh raya secara amnya. Dalam manifesto utama, mereka hanya menjanjikan penyiapan projek pembinaan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) E32 (dikitar semula daripada manifesto PRU13 & memang sedang berlangsung), penyiapan projek Jalan Raya Utama Tengah (CSR) FT34 (juga dikitar semula & sedang berlangsung) & pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) E8 (janji baharu), tetapi di Pulau Pinang & Terengganu pula BN ada menjanjikan pemansuhan atau penurunan kadar tol, iaitu janji memansuhkan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang E36 & menurunkan kadar tol di LPT2 E8 sebanyak 50%.

Kita tinjau dahulu janji memansuhkan kutipan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang E36. Seperti yang anda semua sudah sedia maklum, Jambatan Pulau Pinang E36 merupakan antara sebilangan kecil lebuh raya ekspres di mana motosikal perlu membayar tol, selain daripada Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah E28 & Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Linkedua E3. Di samping itu juga, terdapat tiga lintasan dari tanah besar ke Pulau Pinang iaitu Feri Pulau Pinang (kini Rapid Ferry), Jambatan Pulau Pinang E36 & Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah E28. Ketiga-tiganya berbayar semasa hendak memasuki pulau tetapi percuma semasa meninggalkan pulau. Selain itu, ketiga-tiganya mengenakan tol (atau bagi kes Feri Pulau Pinang, tambang) kepada penunggang motosikal.

Jadi apa akibatnya sekiranya janji memansuhkan tol motosikal di E36 ini dilaksanakan...? Mudah sahaja - janji memansuhkan tol motosikal akan membunuh nyawa Feri Pulau Pinang yang sekarang ini seakan-akan hidup segan, mati tak mahu. Apa tidaknya, rata-rata penunggang motosikal tentunya lebih gemar menggunakan Jambatan Pulau Pinang E36 berbanding feri kerana tol motosikal lebih murah daripada tambang feri. Tol motosikal di E36 cuma RM1.40 sedangkan tambang feri bagi motosikal pula RM2.00. Jadi, sudah tentulah penunggang motosikal akan memilih untuk menggunakan jambatan - bukan sahaja lebih murah, malah lebih selesa & masa perjalanan juga lebih pendek berbanding feri yang mengambil masa 20 minit - itu belum dicampur lagi masa menunggu. Namun, meskipun dengan tambang yang lebih mahal, Feri Pulau Pinang sebenarnya menanggung kerugian sekurang-kurangnya RM700 bagi setiap perjalanan. Justeru, sekiranya tol motosikal dimansuhkan, ia tentunya menambah parah akan kerugian yang dialami Feri Pulau Pinang kerana semua motosikal sudah tentu akan menggunakan jambatan & tiada lagi yang akan menggunakan feri walaupun pada waktu sesak. Jadi, kepada BN Pulau Pinang, teruskanlah dengan manifesto ini sekiranya anda mahu melihat Feri Pulau Pinang yang menjadi ikon warisan pelancongan Pulau Pinang ini berkubur.




Tidak kira sama ada BN atau PH, kedua-dua janji mereka akan menyebabkan Feri Pulau Pinang berkubur


Susulan dengan manifesto tersebut, PH Pulau Pinang di bawah pimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula bertindak balas dengan menjanjikan pemansuhan tol Jambatan Pulau Pinang E36 secara total, tidak terhad kepada pengguna motosikal sahaja. Namun, jika PH menang lagi di Pulau Pinang sekalipun, adakah tol Jambatan Pulau Pinang E36 benar-benar akan dimansuhkan...? Jangan haraplah. Kutipan tol di Plaza Tol Sungai Nyior kendalian Lebuhraya Lingkaran Butterworth (LLB) di Jalan Butterworth-Seberang Jaya FT4 sendiri pun gagal dimansuhkan, apatah lagi lebuh raya yang lebih besar. Namun, seperti biasalah, apabila kutipan tol gagal dimansuhkan, alasan yang sering dikitar semula sudah tentulah "kami tak pegang kerajaan pusat, kerajaan pusat sahaja yang ada kuasa memansuhkan tol". Hello, PLUS Malaysia Berhad sendiri merupakan sebuah syarikat konsesi yang 100% dimiliki oleh kerajaan persekutuan melalui Khazanah Nasional (51%; melalui UEM) & Kumpulan Wang Simpanan Malaysia (KWSP) (49%), tetapi kenapa pula tiada cerita pemansuhan tol atau sekurang-kurangnya penurunan kadar tol....? Paling baik yang mampu dilakukan pun hanyalah tidak menaikkan kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan E1/E2 sejak tahun 2005. Memang kutipan tol kendalian PLUS di Lebuhraya Persekutuan FT2 & Plaza Tol Bukit Kayu Hitam di Lebuhraya Utara-Selatan E1 sudah dimansuhkan, tetapi rakyat terpaksa membayar harga yang lebih mahal - pemansuhan tol tersebut menyebabkan kerajaan perlu membayar pampasan sejumlah RM2.2 bilion keseluruhannya (dibayar secara ansuran berjumlah RM110 juta setahun) kepada PLUS menggunakan duit rakyat, termasuklah duit rakyat Sabah, Sarawak, Kelantan & Perlis yang memang tidak merasa lebuh raya ekspres.

Jadi apa pula akan berlaku sekiranya janji mansuh tol E36 secara total dilaksanakan...? Jika dalam kes BN tadi Feri Pulau Pinang akan berkubur, dalam kes PH pula pemansuhan tol E36 secara total bukan sahaja akan menyebabkan Feri Pulau Pinang terkubur, malah Jambatan Pulau Pinang E36 juga akan runtuh - sebabnya...? Tiada duit untuk penyelenggaraan & penggantian kabel yang merupakan komponen sokongan utama jambatan tersebut. Seperti juga jambatan gantung, jambatan kabel penahan seperti Jambatan Pulau Pinang E36 memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi kerana memerlukan penggantian kabel setiap beberapa tahun, dan kabel yang digunakan itu bukan murah. Justeru, setelah tamat konsesi sekalipun, kutipan tol Jambatan Pulau Pinang E36 tetap perlu ada meskipun kadarnya nanti akan jadi jauh lebih murah daripada sekarang supaya penyelenggaraan & penggantian kabel dapat terus dilaksanakan. Kadar yang sedia ada ini pula ditetapkan sebegini rupa kerana selain penyelenggaraan & pengurusan jambatan, hutang bank yang digunakan sebagai modal untuk membina & mengendalikan jambatan juga perlu dibayar.




Jambatan Kutai Kartanegara yang runtuh pada tahun 2011 akibat ketiadaan penyelenggaraan setelah tol dimansuhkan


Seterusnya kita tinjau pula janji menurunkan kadar tol Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 E8 sebanyak 50% oleh BN Terengganu. Saya mengecam janji tersebut kerana janji tersebut bakal melumpuhkan terus operasi LPT2 E8 yang memang sedang rugi kerana kadar aliran trafik yang sangat rendah. Menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia, kadar aliran trafik purata harian (ADT) di LPT2 E8 cuma sekitar 11,000 hingga 13,000 kenderaan sahaja pada hari biasa. Dengan ADT yang sebegitu rendah sehingga menyebabkan kerugian ini, dari mana LPT2 Sdn. Bhd. hendak cekau duit untuk membaiki pagar yang rosak akibat rempuhan haiwan liar mahupun bahana vandalisme oleh segelintir pengembala lembu yang mana otak mereka lebih bebal daripada lembu belaan mereka itu...? Dari mana LPT2 hendak cekau duit untuk membaiki keadaan jalan yang tidak konsisten kualitinya akibat sebegitu banyak kontraktor yang membinanya termasuklah yang tidak kompeten...? Dan dari mana LPT2 hendak cekau duit untuk mencantikkan hentian rehat mereka terutama R&R Perasing demi menarik perhatian pengguna lebuh raya untuk singgah...? Juga jangan lupa, LPT2 E8 juga terpaksa bersaing dengan bukan satu tetapi dua laluan percuma iaitu Lebuhraya Jerangau-Jabor FT14 & Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3. Sepatutnya tingkatkan aliran trafik di LPT2 E8 terlebih dahulu; selepas ADT di LPT2 E8 sudah melepasi angka 80,000 barulah boleh sembang hendak turunkan separuh kadar tol.




Bagaimana hendak sembang mahu menurunkan tol LPT2 E8 jika lebuh raya itu sendiri rugi kerana sangat lengang pada hari biasa...?


Kita tinjau pula janji memansuhkan tol oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP), salah satu parti komponen PH. Seperti yang para pembaca budiman sekalian sedia maklum, isu tol merupakan salah satu isu yang sering dikitar semula oleh PH setiap kali musim pilihan raya. Seperti biasa, janji memansuhkan tol itu sering dicapati meskipun dalam negeri yang dikuasai oleh PH sendiri. Dan seperti biasa jugalah, setiap kali mereka gagal memansuhkan tol lebuh raya, mereka pasti akan mengitar semula alasan, "kami tak pegang kerajaan pusat, yang berkuasa memansuhkan tol itu kerajaan pusat." Nampak tak permainan mereka...? Oleh kerana sekarang semakin ramai rakyat terutamanya daripada kalangan para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia yang semakin cakna akan perkara sebenar di sebalik isu tol, maka semakin ramai rakyat yang menempelak parti-parti politik yang menjanjikan "pemansuhan tol" atau setidak-tidaknya "penurunan kadar tol" kerana ia memang tidak akan berlaku; jika ia berlaku sekalipun, rakyat jugalah yang terpaksa membayar harga yang lebih mahal, termasuklah pelanjutan konsesi, kenaikan kadar tol lebuh raya lain mahupun pembayaran pampasan kepada syarikat konsesi menggunakan duit rakyat yang sepatutnya digunakan untuk membina jalan raya baharu mahupun memalam jalan-jalan yang berlubang.




Sembang kencang: Untuk mengambil alih syarikat konsesi, anda bukan sahaja perlu bayar kos pembinaan lebuh raya, tetapi anda juga perlu bayar pampasan kepada pekerja yang hilang pekerjaan & menanggung baki hutang yang belum dilangsaikan


Dalam video di atas pula, DAP ada menyebut mengenai satu cara yang boleh digunakan untuk memansuhkan tol iaitu dengan mengambil alih syarikat konsesi. Tetapi angka-angka yang disebut oleh DAP sebagai kos pengambilalihan lebuh raya sebenarnya hanyalah kos pembinaan lebuh raya sahaja, dengan anggapan kononnya dengan hanya membayar kos pembinaan sahaja sudah cukup untuk mengambil alih syarikat konsesi & seterusnya memansuhkan tol. Sebagai contoh, kos pembinaan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) E11 ialah RM1.4 bilion, jadi RM1.4 bilion itu sahajalah yang kononnya hanya diperlukan untuk memansuhkan kutipan tol LDP E11. Namun hakikatnya, pengambilalihan syarikat konsesi tidak semudah itu. Untuk mengambil alih syarikat konsesi, anda bukan sahaja perlu bayar kos pembinaan lebuh raya, malah anda perlu membayar pampasan kepada pekerja & peniaga gerai hentian rehat yang hilang mata pencarian mereka, di samping menanggung baki hutang syarikat konsesi yang masih belum dilangsaikan.




Tidak kira parti mana yang berjanji, pemansuhan tol akan menyebabkan lebih banyak jalan raya berlubang seperti ini kerana duit yang sepatutnya digunakan untuk menyelenggara jalan raya digunakan untuk membayar pampasan kepada konsesi


Bagi contoh PLUS, kos pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan ialah RM5.95 bilion & mereka meminjam wang daripada bank sebanyak RM30 bilion sebagai modal untuk membina, menguruskan & menaik taraf lebuh raya sepanjang tempoh konsesi. Setelah dicampur kadar faedah, maka jumlah keseluruhan hutang yang perlu dibayar balik oleh PLUS kepada bank ialah RM62 bilion, dan setakat sekarang PLUS hanya dapat melangsaikan pokoknya sahaja, bunganya masih berbaki lebih kurang RM30 bilion lagi. Jika sifir sama digunakan pada LDP E11, kos pembinaan LDP E11 ialah RM1.4 bilion tetapi katakan Litrak meminjam wang dari bank sebanyak RM7 bilion sebagai modal untuk membina, menguruskan & menambah baik lebuh raya. Jika dicampur faedah, maka Litrak perlu membayar balik lebih kurang RM14.2 bilion kepada bank. Justeru, untuk mengambil alih LDP E11, anda memerlukan sekurang-kurangnya RM7 bilion untuk membayar pampasan kepada Litrak & para pekerja mereka. Mana hendak cekau duit sekarang...? Pakai duit GST...? Habis tu jalan berlubang tak payah baiki...? Sekolah tak payah bina, biar rakyat jadi bodoh...? Hospital tak payah bina, biar rakyat sakit sampat mati...? Inilah sebabnya kenapa sungguhpun PLUS dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan, namun kutipan tol tetap tidak dimansuhkan.




Daripada sembang hendak memansuhkan tol, kenapa tidak desak MPSJ membangunkan jalan pemintas tol untuk penduduk Puchong...?


Seorang lagi ahli politik yang mempergunakan isu tol ialah Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen Puchong. Beliau mendakwa bahawa orang-orang Puchong sangat menderita kerana dikelilingi plaza tol di utara, barat & timur, yang mana memang betul pun. Beliau sedar bahawa sekiranya kadar tol tidak dinaikkan, pampasan terpaksa dibayar kepada syarikat konsesi menggunakan duit rakyat. Tetapi beliau sepatutnya menggunakan kuasa yang ada untuk mendesak Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) & Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk membangunkan rangkaian jalan arteri pemintas tol untuk kemudahan penduduk tempatan. Pendekatan sebegitulah yang sepatutnya digunakan untuk mengurangkan beban penduduk Puchong yang dikelilingi tol di hampir kesemua arah. Ataupun, beliau sepatutnya menggalakkan penggunaan LRT Aliran Sri Petaling yang sudah dipanjangkan ke Putra Heights melalui Puchong. Tetapi adakah tindakan tersebut diambil...? Tak ada pun. Kalau mansuh tol di Puchong sekalipun, adakah masalah kesesakan akan berakhir...? Tidak, sebaliknya ia bertambah parah kerana ia menarik lebih banyak kereta memasuki Puchong.




Tatkala politikus Malaysia asyik bertekak mengenai isu tol, Indonesia sedang membina rangkaian Jalan Tol Trans Jawa & Trans Sumatera yang bakal merampas takhta rangkaian lebuh raya ekspres terbaik Asia Tenggara daripada Malaysia


Kesimpulannya, tiada satu pun janji orang-orang politik mengenai isu tol yang boleh dipakai kerana ia sememangnya tidak tertunai. Buktinya boleh anda saksikan sendiri di negeri-negeri yang ada banyak lebuh raya ekspres. Apabila janji dicapati, skrip alasannya boleh diduga kerana skrip itulah yang sering diulang. Jika janji memansuhkan tol berjaya ditunaikan sekalipun, rakyat pula terpaksa membayar harga yang lebih mahal iaitu sama ada pelanjutan konsesi, kenaikan tol lebuh raya lain ataupun pembayaran pampasan menggunakan duit rakyat yang sepatutnya digunakan untuk membina jalan raya luar bandar baharu, menampal jalan berlubang, membina sekolah, masjid, hospital, balai polis dsb. Masalah tol tidak selesai tetapi masalah baru pula yang tercipta. Kepada politikus-politikus (baca: politaikus) sekalian, anda sepatutnya berasa amat malu kerana tatkala anda mempolitaikkan isu tol, negara jiran kita Indonesia dalam diam sedang membangunkan rangkaian Jalan Tol Trans Sumatera & Jalan Tol Trans Jawa yang bakal membentuk jaringan lebuh raya ekspres capaian terkawal terbesar di Asia Tenggara & merampas kedudukan Malaysia.

Akhir kata kepada semua rakyat Malaysia, jangan salah pangkah semasa mengundi pada 9 Mei 2018, jika tersalah pangkah nanti anda akan dapat tahi. Selamat mengundi.




Jangan salah pangkah, nanti anda dapat tahi

Monday, April 16, 2018

SYM VF3i 185i: Raja kapcai dengan saiz enjin terbesar / The king of underbone with the biggest engine



Imej promosi SYM VF3i 185i
(Kredit gambar: Pandu Laju)


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana sudah terlalu lama tidak mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia ini susulan kesibukan kerja serta hal-hal peribadi yang menyebabkan saya tidak dapat meluangkan masa untuk terus menulis di blog ini. Kali ini saya kembali semula dengan satu berita yang pastinya menggemparkan para peminat motosikal di Malaysia.

SYM merupakan satu jenama motosikal yang tidak asing lagi di Malaysia. Jenama SYM dikenali di Malaysia sebagai jenama skuter-skuter maksi mampu milik. Susulan kejayaan barisan skuter maksi mereka, SYM meneroka pasaran motosikal naked melalui model SYM T2 dan pasaran motosikal kapcai melalui siri model SYM Bonus 110 & motosikal kapcai pancitan bahan api pertama mereka, SYM Sport Rider 125i. Meskipun saya perhatikan jumlah pengguna SYM Sport Rider 125i tidaklah seramai model-model raja kapcai seperti Yamaha Y15ZR & Honda RS150R, namun SYM Sport Rider 125i sebenarnya mempunyai komuniti penggunanya yang begitu besar seperti kelab motosikal Sport Rider Community (SRC) dan Utara Sport Rider (USR) yang turut mendapat sokongan daripada pihak pengeluar sendiri. Maka, tidak hairanlah kenapa bilangan penggunanya semakin meningkat, ditambah pula dengan ciri-cirinya yang amat menepati citarasa peminat motosikal kapcai di Malaysia.

Susulan kejayaan model Sport Rider 125i, kali ini SYM semakin berani apabila mereka membangunkan model raja kapcai sulung mereka sendiri yang diberi nama SYM VF3i 185i. Model VF3i ini bukan sahaja mencabar model-model raja kapcai yang sedang berentap sesama sendiri iaitu Yamaha Y15ZR, Honda RS150R & Benelli RFS150, malah SYM turut mengejutkan dunia motosikal kapcai global dengan memecah rekod para pesaingnya sebagai motosikal raja kapcai dengan enjin terbesar & juga model raja kapcai pertama yang melepasi batasan 150 cc.

Genre raja kapcai bermula dengan pengeluaran model motosikal Yamaha 135LC yang menggunakan enjin 4 injap SOHC 135 cc sejukan air pada tahun 2005. Sebelum ini terdapat model Suzuki FX125 yang menggunakan enjin 4 injap 125 cc sejukan minyak & juga model Tiger Pantera 135 (pernah dijual di Malaysia sebagai Momos Pantera 135) dengan enjin 2 injap SOHC jenis baring ke hadapan seperti kebanyakan enjin motosikal kapcai lain tetapi menggunakan sejukan minyal. Sayangnya, kedua-dua model ini tenggelam kerana kurang promosi.

Seterusnya, Suzuki Belang R150 merupakan model raja kapcai pertama yang menggunakan enjin 150 cc. Enjin yang digunakan itu sebenarnya sama seperti enjin motosikal sport Suzuki FXR150 tetapi sudah dinyahtala sedikit agar bersesuaian dengan kerangka kapcai yang digunakan. Pesaing-pesaing seterusnya iaitu Yamaha Y15ZR, Honda RS150R & Benelli RFS150 kesemuanya menggunakan enjin 4 injap 150 cc sejukan cecair dengan pancitan bahan api. Hasil kejayaan model-model raja kapcai ini, maka Modenas & SYM turut serta dalam menghasilkan model raja kapcai masing-masing.

Desas-desus mengenai model raja kapcai sulung SYM mula muncul sekitar tahun 2017 susulan gambar tertulis SYM Super Moped 175i tular di laman sosial. Pihak MForce Malaysia selaku pengeluar motosikal SYM di Malaysia tidak menafikannya, tetapi pelancarannya tidak dilakukan pada tahun 2017 untuk memberi laluan kepada pelancaran Benelli RFS150, model raja kapcai yang juga dikeluarkan oleh MForce yang turut mengeluarkan motosikal jenama Benelli di Malaysia. Namun akhirnya, penantian para peminat motosikal Malaysia yang ingin melihat kelibat model raja kapcai sulung SYM berakhir semalam (15 April 2018) melalui pelancaran motosikal SYM VF3i 185i.




Video perasmian SYM VF3i


Kenapa VF3i...? Menurut pihak MForce, VF bermaksud Viciously Fast, yang bermaksud motosikal ini sangat laju & sangat "jahat" kerana saiz enjin yang sangat besar itu membolehkannya menapau model-model raja kapcai yang lain. Tidak diterangkan apa maksud nombor 3 dalam VF3i, mungkin ia bermaksud model ini lulus piawaian emisi Euro 3, sama seperti Sport Rider.

Seperti yang saya terangkan tadi, SYM VF3i 185i ini menggunakan enjin paling besar yang pernah dipasang pada motosikal kapcai. Ia ditenagai enjin 1 silinder SOHC 4 injap 183 cc sejukan cecair dengan pancitan bahan api. Dengan ukuran lubang x lejang 63.5 mm x 57.8 mm, enjin ini menghasilkan kuasa 13.2 kW (17.94 PS) pada 8,500 rpm & tork 15.3 N-m pada 7,500 rpm. Angka-angka ini pastinya sangat "jahat" kerana mampu menapau model-model raja kapcai lain iaitu Yamaha Y15ZR (kuasa kuda 11.3 kW / 15.5 PS @ 8,500 rpm; tork 13.8 N-m @ 7,000 rpm), Honda RS150R (kuasa kuda 11.5 kW / 15.6 PS @ 9,000 rpm; tork 13.5 N-m @ 6,500 rpm) & Benelli RFS150 (kuasa kuda 11.3 kW / 15.5 PS @ 8,500 rpm; tork 13 N-m @ 7,000 rpm). Kuasa enjin VF3i dihantar ke roda belakang melalui transmisi 6 kelajuan dengan klac manual, berupaya memecut sehingga kelajuan maksimum 155 km/j. Seterusnya, motor ini dihentikan oleh brek-brek cakera hadapan & belakang. Enjin ini hanya didatangkan dengan penghidup elektrik sahaja tanpa penghidup tendang. 

Bahan api disuap daripada tangki sebesar 7 L kepada enjin oleh sistem pancitan bahan api Keihin dengan ECU 16 bit. Tatkala model-model raja kapcai lain menggunakan tangki bahan api yang begitu kecil, tangki SYM VF3i ini pula merupakan tangki bahan api terbesar bagi motosikal kapcai. Dengan tangki sebesar ini, MForce mendakwa bahawa motosikal ini mampu ditunggang dari Bukit Mertajam sehingga ke Kuala Perlis sejauh 179 km dengan hanya setangki penuh.

Mengenai lampu-lampu yang digunakan pula, hanya lampu kepala & lampu nombor plat belakang sahaja yang tidak menggunakan LED manakala lampu-lampu lain kesemuanya menggunakan LED termasuklah lampu isyarat membelok. Jika dibandingkan dengan Sport Rider pula, Sport Rider menggunakan lampu isyarat membelok jenis mentol biasa. Itu tidak jadi hal kerana di portal e-dagang Lazada ada banyak lampu isyarat membelok LED yang boleh dipasang pada Sport Rider bagi menggantikan lampu isyarat membelok jenis mentol. Yang penting, lampu-lampu yang digunakan itu sangat cantik pada waktu malam.

Seperti model-model raja kapcai yang lain, SYM VF3i ini menggunakan gabungan takometer analog dengan panel meter digital yang mengandungi meter laju, tolok bahan api, penunjuk kedudukan gear, odometer, tripmeter & jam. Tidak seperti SYM Sport Rider yang garisan merahnya terletak pada 11,000 rpm, garisan merah pada SYM VF3i pula terletak pada 9,000 rpm. Tiada tolok suhu enjin, tetapi motor ini mempunyai lampu amaran panas lampau yang turut ada pada kesemua model motosikal kapcai sejukan cecair kecuali Benelli RFS150 yang mempunyai tolok suhu enjin. Oh, seperti Sport Rider, VF3i ini juga mempunyai lampu Oil Check yang boleh diset semula setiap kali menukar minyak enjin.

Paling menarik mengenai SYM VF3i ini ialah harganya. Harganya terletak dalam lingkungan harga raja-raja kapcai lain tetapi anda dapat enjin yang lebih besar & lebih berkuasa. Dengan harga antara RM8,467.28 bagi varian biasa hingga RM8,785.28 bagi varian SE, SYM VF3i 185i didatangkan dengan tiga warna iaitu biru, merah & hitam (varian SE sahaja). SYM VF3i 185i ini akan menemui anda di kedai-kedai motosikal di seluruh negara bermula Mei ini & didatangkan dengan jaminan 2 tahun atau 20,000 km (yang mana dahulu).

Jadi bagaimana...? Nampak jahat kan...? Tak apalah, saya lebih selesa dengan jentera SYM Sport Rider 125i saya kerana yang paling penting, ia kurang panas berbanding model-model raja kapcai.

Laman sesawang rasmi: http://www.sym.net.my





Spesifikasi SYM VF3i 185i 2018

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 4 injap sejukan cecair
Sesaran: 183 cc
Lubang x lejang: 63.5 x 57.8 mm
Kuasa kuda maksimum: 17.94 PS (13.2 kW) @ 8,500 rpm
Tork maksimum: 15.3 N-m @ 7,500 rpm
Penghidup: Elektrik
Transmisi: 6 kelajuan dengan klac tangan manual
Sistem bahan api: Pancitan bahan api elektronik (EFI)
Brek: Cakera (depan & belakang)
Berat kering: 124 kg
Kapasiti tangki bahan api: 7 L
Kelajuan maksimum: 155 km/j (dakwaan pengeluar)
Penggunaan bahan api: 25.57 km/L (lebuh raya; dakwaan pengeluar)

Apa yang saya suka
  1. Enjin terbesar dalam kategori kapcai (185 cc)
  2. Harga lebih kurang seperti model raja kapcai lain tetapi dapat enjin lebih besar
  3. Tangki bahan api terbesar dalam kelasnya (7 liter)
  4. Lampu-lampu yang sangat cantik
Apa yang saya tidak suka
  1. Saiz enjin lebih daripada 150 cc bermaksud anda tidak akan merasa lagi cukai jalan semurah RM2
  2. Tiada penghidup tendang untuk kegunaan di saat kecemasan






Pandangan hadapan SYM VF3i 185i




Pandangan sisi SYM VF3i 185i




Pandangan penjuru SYM VF3i 185i




Pandangan belakang SYM VF3i 185i




Motor ini tiada penghidup tendang




Enjin 185 cc yang digunakan ini digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan




Tangki minyak 7 liter ini adalah yang terbesar berbanding mana-mana model kapcai lain




Panel meter digital bagi SYM VF3i




Kedudukan radiator




Motor ini menggunakan brek cakera di sebelah hadapan...




...dan belakang




Pelindung ekzos yang terbukti berkesan melindungi kaki pembonceng daripada melecur
(Semua kredit gambar: Paul Tan)