Saturday, June 18, 2016

Honda RS150R: Pencabar terbaru takhta Raja Kapcai / The newest challenger for the King of Underbone throne

Salam sejahtera,

Minggu ini merupakan minggu yang begitu sibuk buat saya. Terdapat dua perasmian penting yang berlaku dalam minggu ini iaitu perasmian motosikal Honda RS150R pada Isnin, 13 Jun 2016, manakala esoknya (14 Jun 2016) pula ialah perasmian Proton Perdana generasi kedua. Maaf kerana lambat hendak menulis mengenai kedua-dua model tersebut kerana saya bergegas ke kampung halaman di Segamat pada masa itu. Maka, saya akan cuba menyiapkan entri mengenai kedua-dua model tersebut hari ini, bermula dengan Honda RS150R terlebih dahulu.

Jika anda masih ingat lagi siri reviu XPDC Teganu Kita 2015 yang diadakan pada Februari 2015, saya menggunakan motosikal Suzuki Belang R150 yang dipinjamkan oleh bekas rakan serumah saya untuk menjayakan siri reviu ini. Hasilnya ialah satu siri reviu bagi tiga batang jalan raya yang dijalankan secara balik hari serta merangkumi jarak perjalanan keseluruhan sejumlah 883 km. Pada masa itu, Suzuki Belang R150 itulah satu-satunya "raja kapcai" dengan saiz enjin terbesar. Namun, disebabkan kurangnya usaha promosi daripada Suzuki Assemblers Malaysia, motosikal ini tidak begitu banyak kelihatan di atas jalan raya dan ditenggelami populariti Yamaha 135LC yang lebih kecil sedikit saiz enjinnya. Seterusnya, Yamaha meneruskan dominasinya dengan mengeluarkan model Yamaha Y15ZR yang menggugat terus kedudukan Suzuki sebagai raja kapcai dalam erti kata sebenar. Kini, Honda turut sama menyertai perang merampas takhta Raja Kapcai melalui model kapcai flagship terbaru mereka iaitu Honda RS150R.

Program pembangunan model Honda RS150R ini mula dijalankan di Vietnam yang merupakan salah satu pasaran terbesar motosikal kapcai di Asia Tenggara. Malah, Bandar Raya Ho Chi Minh turut mendapat jolokan sebagai "kota motosikal" berikutan jumlah motosikal yang jauh lebih banyak daripada kereta. Malah, disebabkan status Vietnam sebagai negara membangun, pelbagai ragam pengguna motosikal kapcai dapat anda perhatikan - di Vietnam, motosikal kapcai itulah sedan keluarga, dan motor kapcai itulah lori yang berkeupayaan membawa ternakan dan hasil pertanian. Justeru, Honda Vietnam mengambil kesempatan membangunkan sebuah model raja kapcai yang disasarkan kepada anak-anak muda di sana, dan hasilnya ialah motosikal Honda Winner 150 yang mula dikeluarkan di Vietnam pada April 2016. Honda Winner itu kemudiannya dilancarkan di Indonesia sebagai Honda Supra GTR150, dan seterusnya dilancarkan di Malaysia sebagai Honda RS150R. Ironinya, ia belum lagi dilancarkan di Thailand.

Sekarang kita pergi pula kepada bahagian enjin pula. Suzuki Belang R150 menggunakan enjin Suzuki FXR150 yang telah dijinakkan, manakala Yamaha Y15ZR pula menggunakan enjin sama seperti Yamaha FZ150i. Sementara itu, Honda RS150R pula menggunakan enjin sama seperti model Honda CBR150R, tetapi bukan daripada jenis yang sama seperti yang pernah dibawa masuk ke Malaysia sebelum ini. Enjin Honda CBR150R generasi pertama merupakan enjin berlejang pendek (oversquare)  berukuran 63.5 x 47.2 mm, manakala enjin yang digunakan dalam RS150R ini sebenarnya diambil daripada model CBR150R generasi ketiga yang mana enjinnya dibangunkan di Indonesia. Enjin CBR150R generasi ketiga itu merupakan enjin serba baharu yang berlejang panjang (undersquare) berukuran 57.3 x 57.8 mm, manakala generasi kedua pula menggunakan enjin sama seperti generasi pertama tetapi sistem karburetor digantikan dengan pancitan bahan api PGM-FI. Enjin RS150R yang dibangunkan di Indonesia itu pertama kali digunakan pada model jalanan Honda CB150R dan seterusnya Honda Sonic. Dari segi sistem bahan api pula, kedua-dua Honda RS150R dan Yamaha Y15ZR menggunakan pancitan bahan api manakala Suzuki Belang R150 pula menggunakan karburetor; namun, pengganti Belang generasi sekarang yang sudah pun dilancarkan di Indonesia pada Februari 2016 pula menggunakan enjin sejukan air serba baharu yang disuap oleh sistem pancitan bahan api.

Sekarang mari kita bandingkan dari segi prestasi pula. Suzuki Belang R150 paling berkuasa dalam kelasnya, menghasilkan keluaran kuasa 16.5 PS @ 9,500 rpm, tetapi kilasan yang terhasil pula paling kecil iaitu 12.76 N-m @ 8,500 rpm disebabkan penggunaan enjin berlejang pendek (62 x 48 mm). Yamaha Y15ZR pula menghasilkan tork tertinggi dalam kelasnya iaitu 13.8 N-m @ 7,000 rpm hasil penggunaan enjin SOHC berlejang panjang (57 x 58.7 mm), tetapi kuasa kudanya adalah yang paling kecil antara ketiga-tiganya iaitu 15.4 PS @ 8,500 rpm. Sementara itu, Honda RS150R pula berada di tengah-tengah bagi kedua-dua kuasa kuda dan tork, iaitu 15.63 PS @ 9,000 rpm dan tork 13.5 N-m @ 6,500 rpm. Hasilnya, Suzuki Belang R150 yang saya uji sebelum ini menghasilkan kelajuan maksimum 136 km/j, manakala kelajuan standard Yamaha Y15ZR (dipanggil Yamaha Exciter 150 di Vietnam) pula lebih kurang sama iaitu 136 km/j. Sementara itu, Boon Siew Honda mendakwa bahawa kelajuan maksimum bagi Honda RS150R ini ialah 150 km/j - mungkin keseimbangan antara kuasa kuda dan tork menjadikan Boon Siew Honda berani mendakwa angka kelajuan maksimum sedemikian. Ironinya, Honda RS150R merupakan raja kapcai yang paling berat antara ketiga-tiga model yang dibandingkan, iaitu 119 kg berat kering berbanding Yamaha Y15ZR (115 kg) dan Suzuki Belang R150 (108 kg).

Apa lagi yang patut dibandingkan antara ketiga-tiganya...? Ketiga-tiganya mempunyai brek cakera depan dan belakang, tetapi saiz brek cakera hadapan Belang paling besar antara ketiga-tiganya. Ketiga-tiganya juga menggunakan gandingan takometer analog dan speedometer digital. Dari segi lampu hadapan pula, Belang masih menggunakan mentol-mentol biasa manakala Y15ZR pula menggunakan mentol halogen dengan lampu pencahayaan siang (DRL) LED. RS150R pula menggunakan lampu hadapan LED. 

Mengenai lampu isyarat membelok pula, di sinilah terletaknya punca kekecewaan utama para peminat motosikal RS150R - Honda RS150R menggunakan lampu isyarat membelok capang hadapan dan belakang, manakala model serupa di Vietnam dan Indonesia tiada pula lampu isyarat membelok capang serupa digunakan. Sementara itu, Yamaha hanya menggunakan lampu isyarat membelok capang belakang, manakala Belang yang memang sudah lama keluar sebelum 2013 tiada lampu isyarat membelok capang; jika Suzuki Assemblers Malaysia bercadang untuk membawa masuk penggantinya itu, kita boleh menjangkakan model tersebut bakal menggunakan lampu signal capang depan dan belakang.




Peraturan UNECE mewajibkan lampu-lampu isyarat membelok hadapan dijarakkan 240 mm. Namun, disebabkan saiz fender Honda RS150R yang langsing, maka lampu isyarat membelok hadapan capang terpaksa dipasang oleh Boon Siew Honda
(Kredit gambar: Careta)


Kenapa pula Honda RS150R dipasang lampu signal hadapan capang tetapi Yamaha Y15ZR pula tak payah...? Dalam satu entri oleh Careta, Boon Siew Honda ada mendedahkan rasional di sebalik pemasangan lampu isyarat capang hadapan tersebut. Menurut Boon Siew Honda, mereka terpaksa memasang lampu isyarat capang hadapan sebagai memenuhi peraturan UNECE yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 2013, yang memerlukan jarak antara kedua-dua lampu isyarat membelok hadapan dijarakkan sehingga sekurang-kurangnya 240 mm antara permukaan menyala, manakala jarak antara kedua-dua lampu isyarat membelok belakang pula 180 mm. Dalam konteks motosikal kapcai yang mempunyai fender hadapan dan ekor yang begitu langsing, ia bermaksud motosikal kapcai baharu yang dikeluarkan bermula tahun 2013 perlu memasang lampu-lampu isyarat membelok capang bagi membolehkan model-model tersebut lulus peraturan baharu tersebut. Dalam kes Yamaha Y15ZR pula, fender hadapannya pula lebih gemuk, membolehkan lampu-lampu isyarat membelok hadapan yang dipasang pada fender lulus peraturan UNECE tanpa perlu menggunakan lampu isyarat membelok capang. 

Kenapa pula peraturan menjarakkan lampu isyarat membelok tersebut diperkenalkan...? Sebabnya adalah kerana tidak mahu cahaya lampu isyarat membelok ditenggelami kesilauan cahaya lampu kepala yang jauh lebih terang. Dalam kes lampu belakang pula, kalau diikutkan memanglah lampu belakang tidak begitu terang, tetapi kita perlu ingat bahawa ada penunggang yang memasang kotak barangan di belakang, yang tentunya akan sedikit-sebanyak menyembunyikan lampu signal tersebut. Kalau tidak memasang kotak barangan sekalipun, lampu-lampu signal belakang boleh terlindung oleh paha pembonceng. Sebab itulah ia perlu dijarakkan, walaupun tidak sebesar jarak lampu signal hadapan. Jika anda tidak sukakan lampu isyarat capang hadapan itu, anda boleh sahaja mengubah pendawaian lampu isyarat hadapan untuk pergi ke lampu-lampu posisi pada fender, dengan mentol-mentol lampu posisi fender digantikan dengan mentol jingga - itu pun kalau anda pandai dalam bidang pendawaian elektrik motosikal.

Dari segi pengendalian pula, pengendalian Honda RS150R adalah yang paling baik antara ketiga-tiganya, kerana ia menggunakan tayar-tayar yang lebih besar. Saiz tayar belakang RS150R dan Y15Z adalah sama (120/70-R17), tetapi tayar hadapan RS150R pula lebih besar (90/80-R17). Saiz tayar hadapan Y15Z sama seperti Belang iaitu jenis 70/90-R17, manakala tayar belakang Belang pula paling kecil (80/90-R17).

Begitulah perbandingan antara Honda RS150R dengan dua lagi raja kapcai yang lain iaitu Yamaha Y15ZR dan Suzuki Belang R150. Honda RS150R ini boleh anda miliki dengan harga RM8,213.94 termasuk GST tetapi tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Memandangkan sudah semakin banyak pencabar dalam segmen raja kapcai 150 cc ini, maka saya serahkan kepada anda sendiri untuk membuat pilihan berasaskan kepada bajet serta selera anda.




Spesifikasi Honda RS150R

Enjin: 4 lejang 1 silinder DOHC 4 injap sejukan cecair
Sesaran: 149.16 cc
Lubang x lejang: 57.3 x 57.8 mm
Kuasa kuda maksimum: 15.63 PS @ 9,000 rpm
Tork maksimum: 13.5 N-m @ 6,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 6 kelajuan manual (1 bawah, 5 atas)
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 119 kg
Kelajuan maksimum: 150 km/j (dakwaan pengeluar)

Apa yang saya suka
  1. Lampu-lampu hadapan LED yang terang
  2. Tayar yang paling lebar dalam kelasnya, menjadikan pengendalian di selekoh paling meyakinkan
  3. Imbangan terbaik antara prestasi dan penjimatan bahan api
Apa yang saya tidak suka
  1. Berpotensi untuk menjadi motosikal sasaran pencuri
  2. Lampu-lampu isyarat membelok capang hadapan dan belakang yang mencacatkan rupanya (sila baca keterangannya di atas)


Spesifikasi Suzuki Belang R150

Enjin: 4 lejang 1 silinder DOHC 4 injap sejukan udara dan minyak
Sesaran: 147.6 cc
Lubang x lejang: 62 x 48 mm
Kuasa kuda maksimum: 16.5 PS @ 9,500 rpm
Tork maksimum: 12.76 N-m @ 8,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 6 kelajuan manual (1 bawah, 5 atas)
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 108 kg
Kelajuan maksimum: 136 km/j (diuji)
Penggunaan bahan api: Purata sekitar 28.64 km/L (sila rujuk jadual di atas)

Apa yang saya suka
  1. Penggunaan sistem sejukan udara dan minyak yang menjadikan kos penyelenggaraannya lebih rendah daripada Yamaha Y15ZR
  2. Paling berkuasa dalam kelasnya
Apa yang saya tidak suka
  1. Sistem pengunci stereng yang terlalu primitif dan tidak selamat
  2. Lampu hadapan yang terlalu malap


Spesifikasi Yamaha Y15ZR

Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 4 injap sejukan cecair
Sesaran: 149.7 cc
Lubang x lejang: 57 x 58.7 mm
Kuasa kuda maksimum: 15.36 PS (11.3 kW) @ 8,500 rpm
Tork maksimum: 13.8 N-m @ 7,000 rpm
Penghidup: Elektrik
Transmisi: 5 kelajuan manual (1 bawah, 4 atas)
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 115 kg
Kelajuan maksimum: 136 km/j


Apa yang saya suka
  1. Penggunaan pancitan bahan api yang terbukti lebih jimat petrol dan lebih mesra alam
  2. Lampu hadapan yang lebih terang
  3. Tayar yang lebih lebar untuk pengendalian lebih lincah di selekoh
Apa yang saya tidak suka
  1. Masih berpotensi sebagai motosikal sasaran pencuri meskipun lebih banyak ciri keselamatan diterapkan





Pandangan keseluruhan Honda RS150R




Honda RS150R ini menggunakan lampu-lampu isyarat membelok capang di hadapan...




...dan belakang




Seperti raja-raja kapcai 150 cc lain, Honda RS150R ini menggunakan gabungan takometer digital serta speedometer dan panel LCD digital




Enjin yang digunakan oleh Honda RS150R adalah sama seperti pada Honda CBR150R generasi ketiga
(Semua kredit gambar: Careta)

3 comments:

  1. Review yang sangat seimbang dan tiada bias pada jenama motor yang paling popular di malaysia ni..tahniah kepada admin.. saya secara keseluruhannya bagi 8/10 utk honda rs150 ni..cuma sayang prestasinya tidak jauh dgn y15zr.. mungkin disebabkan enjin honda rs150 ini jenis square enjin..jadi pada high rpm tidak sekuat enjin short stroke seperti enjin belang..tapi kelebihan enjin twin cam ini ialah ruang prestasi sgt luas untuk diterokai jika sudah dimodifikasi..apa pun 1 persaingan sihat dlm segmen kapchai 150cc..kapchai kedua di malaysia bernadikan enjin dohc selepas suzuki fx125..

    ReplyDelete
  2. Review yang sangat seimbang dan tiada bias pada jenama motor yang paling popular di malaysia ni..tahniah kepada admin.. saya secara keseluruhannya bagi 8/10 utk honda rs150 ni..cuma sayang prestasinya tidak jauh dgn y15zr.. mungkin disebabkan enjin honda rs150 ini jenis square enjin..jadi pada high rpm tidak sekuat enjin short stroke seperti enjin belang..tapi kelebihan enjin twin cam ini ialah ruang prestasi sgt luas untuk diterokai jika sudah dimodifikasi..apa pun 1 persaingan sihat dlm segmen kapchai 150cc..kapchai kedua di malaysia bernadikan enjin dohc selepas suzuki fx125..

    ReplyDelete
  3. Abang saya telah membeli Honda rs150r 2018... Prestasinya sangat mengagumkan dan memuaskan... Walaupun standard kilang namun dengan enjin cbr150 v3 pecutannya menjangkau jangkaan orang yang melihatnya... Dan walupun spoket dikurangkan 1 tetapi pecutannya masih tidak menghampakan ... moto ini memang terbaik lebih-lebih lagi pengendaliannya seperti mana admin nyatakan yang pengendalian moto ini adalah yang terbaik dalam kelasnya ... Orang ramai mungkin menyukai y15zr kerana rupa bentuk dan popularitinya namun bagi saya rs150r akan mengejutkan orang ramai yang sangsi dengan potensinya... Dalam pada itu belang150r juga menggegar Malaysia namun kebanyakan orang tidak menyedari akan potensi besar moto ini ...

    ReplyDelete