Salam sejahtera,
Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana tidak begitu kerap mengemaskini Blog Jalan Raya Malaysia. Selain kesibukan kerja sejak akhir-akhir ini, saya tidak dapat mengemaskini blog ini dengan kerap kerana komputer saya mengalami masalah pemproses panas lampau, yang memerlukan saya menukar kepada pemproses baru. Entri ini ditulis menggunakan komputer riba adik perempuan saya yang meminta saya memformatnya untuk dipasang dengan sistem operasi Windows 10, jadi harap-harap saya dapat membeli pemproses baru sebelum saya memulangkan komputer riba ini kepada adik saya.
Anda masih ingat lagi siri reviu XPDC Teganu Kita pada Februari 2015...? Reviu itu dihasilkan dengan menggunakan motosikal Suzuki Belang R150 milik bekas rakan serumah saya. Seperti yang anda semua sedia maklum, Suzuki Belang R150 merupakan motosikal kapcai dengan saiz enjin terbesar. Namun, kedudukannya kini sudah dicabar oleh Yamaha yang mempertaruhkan model terbaru mereka iaitu Yamaha Y15ZR yang dilancarkan pada 8 Ogos 2015. Sebelum dipasarkan di Malaysia, Y15ZR terlebih dahulu diperkenalkan di Vietnam dengan nama Yamaha Exciter 150, diikuti dengan Indonesia di nama ia dikenali sebagai Yamaha Jupiter MX King 150. Yamaha Y15ZR ini bakal menggantikan model popular Yamaha 135LC Extreme Spirit model klac tangan, manakala model klac automatik pula akan diteruskan memandangkan Y15ZR ini hanya didapati dalam model klac tangan sahaja.
Suzuki Belang R150 menggunakan enjin yang sama seperti pada model sport FXR150 tetapi sudah dinyahtala untuk dipadankan dengan badannya yang sangat ringan
Yamaha Y15ZR pula menggunakan enjin sama seperti model jalanan FZ150i generasi kedua
Sekarang mari kita bandingkan antara kedua-dua Yamaha Y15ZR dan Suzuki Belang R150 ini. Kedua-duanya model klac tangan manual, dan kedua-duanya menggunakan penukaran gear jenis sungkit. Kedua-duanya menggunakan enjin 4 injap 150 cc, dilengkapi penghidup elektrik dan menggunakan brek cakera depan dan belakang. Namun, kedua-dua model ada perbezaannya yang tersendiri. Pertama, Y15ZR menggunakan enjin SOHC sejukan cecair yang sama seperti pada model generasi kedua FZ150i serta digandingkan dengan transmisi 5 kelajuan, manakala Belang pula menggunakan enjin DOHC sejukan minyak dengan transmisi 6 kelajuan yang serupa seperti model sport FXR150 tetapi sudah dijinakkan. Belang masih menggunakan karburetor manakala Y15ZR menggunakan sistem pancitan bahan api dengan sensor lambda. Jadi, sekiranya siri reviu XPDC Teganu Kita dihasilkan menggunakan Yamaha Y15ZR pada kelajuan sama, maka anda boleh menjangkakan angka-angka penggunaan bahan api sekitar 40 km/L berbanding Belang yang mencatatkan angka-angka sekitar 28.64 km/L.
Sekarang kita lihat pada meternya pula. Kedua-duanya menggunakan panel meter digital dengan takometer analog besar, tetapi dengan sedikit perbezaan. Enjin Belang lebih ligat, ditunjukkan melalui garisan merah takometer bermula 11,500 rpm berbanding garisan merah Y15ZR pada 10,000 rpm. Apa tidaknya, enjin Belang merupakan enjin oversquare (lubang lebih besar daripada lejang), manakala enjin Y15ZR pula merupakan enjin undersquare (lejang lebih panjang daripada lubang). Meter Belang hanya ada penunjuk gear neutral dan gear tertinggi (gear 6), manakala meter Y15ZR pula mempunyai penunjuk gear bagi semua kedudukan gear, daripada gear 1 sehingga gear 5. Memandangkan Y15ZR merupakan enjin pancitan bahan api sejukan cecair, maka sudah tentulah ia dilengkapi lampu periksa enjin serta lampu amaran panas lampau. Paling menarik, meter Y15ZR boleh "menyapa" pemiliknya setiap kali kunci diputar ke kedudukan On yang boleh ditukar kata sapaan kepada nama anda - sila rujuk entri blog Indonesia ini untuk tutorialnya.
Dari segi ciri-ciri keselamatannya pula, ternyata Y15ZR lebih baik daripada Belang, meskipun kedua-duanya menggunakan brek cakera hadapan dan belakang. Kenapa saya katakan demikian...? Y15ZR dilengkapi penutup slot kunci setelah belajar daripada model 135LC yang sebelum ini amat mudah dicuri, manakala Belang pula menggunakan slot kunci yang begitu primitif kerana mendedahkan kedudukan pengunci stereng serta tiada penutup slot kunci, menjadikannya lebih mudah dicuri. Kepada pemilik Yamaha Y15ZR yang merancang untuk memasang pelumpuh (immobilizer), saya sarankan agar anda memanfaatkan ciri pancitan bahan api semasa memasang immobilizer supaya pencuri tidak berupaya menghidupkan enjin walaupun setelah litar kunci penghidup dipintas. Selain itu, lampu kepala Belang terlalu malap sehingga menyebabkan saya menghadapi masalah semasa pulang ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Karak E8/FT2 pada waktu malam, manakala Y15ZR pula menggunakan mentol halogen 35W yang lebih terang daripada mentol biasa.
Kelajuan maksimum Yamaha Exciter 150 di Vietnam (136 km/j)
Akhir sekali, mari kita bandingkan prestasi kedua-dua model pula. Sepanjang XPDC Teganu Kita 2015, kelajuan tertinggi yang saya capai menggunakan Suzuki Belang R150 di Lebuhraya Pantai TImur E8 ialah 136 km/j. Saya belum perrnah menguji motor Y15ZR lagi, tetapi video di YouTube menunjukkan bahawa model standard Yamaha Exciter 150 mampu mencatatkan kelajuan sama. Bezanya, kelajuan tersebut dicatatkan setelah begitu bersusah-payah mencuba serta setelah kepala ditundukkan, tetapi saya mencatatkan kelajuan 136 km/j menaiki Belang tanpa perlu menundukkan kepala walau seinci sekalipun. Apa tidaknya, Suzuki Belang R150 menggunakan enjin DOHC yang lebih berkuasa dan mampu menghasilkan 16.5 PS pada 9,500 rpm manakala Yamaha Y15ZR yang menggunakan enjin SOHC pula menghasilkan 15.36 PS (11.3 kW) pada 1,000 rpm lebih awal.
Begitulah perbandingan ringkas antara dua raja kapcai di Malaysia iaitu Yamaha Y15ZR dan Suzuki Belang R150. Jika anda mahukan prestasi, maka Belang ternyata paling berkuasa dalam kelasnya. Jika anda mahukan penjimatan bahan api, sudah tentulah Yamaha Y15ZR pancitan bahan api pilihan yang paling sesuai. Pilihan terletak di tangan anda - tepuk dada, tanya selera.
Spesifikasi Suzuki Belang R150
Enjin: 4 lejang 1 silinder DOHC 4 injap sejukan udara dan minyak
Sesaran: 147.6 cc
Lubang x lejang: 62 x 48 mm
Kuasa kuda maksimum: 16.5 PS @ 9,500 rpm
Tork maksimum: 12.76 N-m @ 8,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 6 kelajuan manual (1 bawah, 5 atas)
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 108 kg
Kelajuan maksimum: 136 km/j (diuji)
Penggunaan bahan api: Purata sekitar 28.64 km/L (sila rujuk jadual di atas)
Enjin: 4 lejang 1 silinder DOHC 4 injap sejukan udara dan minyak
Sesaran: 147.6 cc
Lubang x lejang: 62 x 48 mm
Kuasa kuda maksimum: 16.5 PS @ 9,500 rpm
Tork maksimum: 12.76 N-m @ 8,500 rpm
Penghidup: Elektrik dan tendang
Transmisi: 6 kelajuan manual (1 bawah, 5 atas)
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 108 kg
Kelajuan maksimum: 136 km/j (diuji)
Penggunaan bahan api: Purata sekitar 28.64 km/L (sila rujuk jadual di atas)
Apa yang saya suka
- Penggunaan sistem sejukan udara dan minyak yang menjadikan kos penyelenggaraannya lebih rendah daripada Yamaha Y15ZR
- Paling berkuasa dalam kelasnya
Apa yang saya tidak suka
- Sistem pengunci stereng yang terlalu primitif dan tidak selamat
- Lampu hadapan yang terlalu malap
Spesifikasi Yamaha Y15ZR
Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 4 injap sejukan cecair
Sesaran: 149.7 cc
Lubang x lejang: 57 x 58.7 mm
Kuasa kuda maksimum: 15.36 PS (11.3 kW) @ 8,500 rpm
Tork maksimum: 13.8 N-m @ 7,000 rpm
Penghidup: Elektrik
Transmisi: 5 kelajuan manual (1 bawah, 4 atas)
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 115 kg
Kelajuan maksimum: 136 km/j
Enjin: 4 lejang 1 silinder SOHC 4 injap sejukan cecair
Sesaran: 149.7 cc
Lubang x lejang: 57 x 58.7 mm
Kuasa kuda maksimum: 15.36 PS (11.3 kW) @ 8,500 rpm
Tork maksimum: 13.8 N-m @ 7,000 rpm
Penghidup: Elektrik
Transmisi: 5 kelajuan manual (1 bawah, 4 atas)
Brek: Cakera depan dan belakang
Berat kering: 115 kg
Kelajuan maksimum: 136 km/j
Apa yang saya suka
- Penggunaan pancitan bahan api yang terbukti lebih jimat petrol dan lebih mesra alam
- Lampu hadapan yang lebih terang
- Tayar yang lebih lebar untuk pengendalian lebih lincah di selekoh
Apa yang saya tidak suka
- Masih berpotensi sebagai motosikal sasaran pencuri meskipun lebih banyak ciri keselamatan diterapkan
nice artikel guys
ReplyDeletebaca artikel otomotif terbaru di blog Bensin77
Terima kasih atas pelawaan. :)
DeleteNice artikel...
ReplyDeletehttp://paanhealersblog.blogspot.com/?m=1
blog yg jelas dn segala data beza 2 moto lengkap... tq pncrahan panjang lebar, ada niat nak angkat belang member tapi kini lebih yakin nk ambil moto yamaha ats faktor mudah nak cari brang ganti brbanding nak cari narang ganti belang. belang tetap dihati. 😁😊
ReplyDelete