Salam sejahtera,
Siri reviu jalan raya FTRoadpedia @ Lekir ditangguhkan sementara bagi memberi laluan kepada entri pelancaran Proton Persona generasi kedua yang selamat dilancarkan semalam (23 Ogos 2016) dan akan disambung semula selepas entri ini.
Semalam (23 Ogos 2016) merupakan detik bersejarah buat Proton kerana mereka akhirnya melancarkan generasi kedua Proton Persona, salah satu model kereta terlaris Proton. Pelancaran Proton Persona merupakan salah satu daripada siri marathon 4 model baharu yang dilancarkan Proton untuk tahun 2016, satu langkah yang sangat drastik bagi memulihkan kedudukan mereka sebagai syarikat automotif utama di Malaysia setelah ditapau oleh Perodua dan seterusnya Honda pula. Langkah penghasilan 4 model baharu ini turut disusuli pembangunan dua keluarga enjin baharu yang bakal menggantikan keluarga enjin Campro yang sudah banyak berjasa sejak tahun 2004.
Sedikit mengenai sejarah Proton Persona ini. Generasi sulung Proton Persona mula dikeluarkan pada Ogos 2007 berasaskan model Proton Gen-2 yang dipanjangkan. Ia dibina bagi mengatasi segala kelemahan pada Proton Gen-2 yang dikeluarkan pada tahun 2004. Sungguhpun Proton membangunkan model Proton Gen-2 sebagai pengganti kepada Proton Wira, namun pengeluaran Proton Wira tetap diteruskan sehingga tahun 2009 susulan kelemahan rekabentuk pada Proton Gen-2 seperti kedudukan suis tingkap kuasa yang tidak ergonomik, bumbung yang terlalu rendah di belakang, serta ketiadaan kotak barangan (glove box). Semasa Persona dibangunkan, bahagian bumbung belakang ditinggikan sebanyak 43 mm melalui rekaan semula tiang C, Hendal pintu serta suis-suis tingkap kuasa direka semula agar lebih ergonomik. Jam analog pada Gen-2 dibuang dan digantikan dengan jam digital yang disepadukan dengan paparan LCD meternya. Tombol gear automatik digantikan dengan jenis sama seperti tombol gear automatik Proton Satria Neo yang lebih ergonomik serta mempunyai butang pelepas yang besar dan sesuai untuk semua saiz ibu jari. Kocek di sebelah penumpang hadapan digantikan dengan kotak barangan, sekaligus mengurangkan risiko kecurian barangan berharga di dalam kereta. Untuk memaksimum ruang simpanan barangan, pintu but belakang menggunakan topang gas berkembar yang biasanya digunakan pada model-model hatchback tetapi lebih pendek, menghasilkan ruang but sebesar 430 L. Sehingga sekarang, rekaan engsel but jenis topang gas berkembar yang digunakan pada Persona dianggap sebagai rekaan engsel but yang paling canggih dan jimat ruang. Semua penambahbaikan dalaman pada Proton Persona turut diterapkan dalam model facelift Proton Gen-2 yang dikeluarkan pada tahun 2008.
Batch terawal tahun 2007 menggunakan enjin Campro "kosong" DOHC yang sering dikenali kerana masalah junaman tork sekitar 2,000-3,000 rpm, walaupun setelah beberapa kali pemetaan semula dilakukan. Untuk menyelesaikan masalah tersebut, enjin Campro yang diperbaharui, dikenali sebagai enjin Campro IAFM, dihasilkan dengan memasang sistem rongga masukan panjang boleh laras kawalan vakum, yang mana rongga lebih panjang diaktifkan pada kelajuan enjin rendah untuk percampuran udara-bahan api yang lebih baik. Enjin Campro IAFM mula digunakan pada Proton Saga generasi kedua pada Januari 2008, diikuti dengan Proton Persona. Seperti enjin Campro "kosong", enjin Campro IAFM 1.6 liter berupaya menghasilkan 110 kuasa kuda tetapi pada 6,500 rpm (enjin Campro "kosong" pula menghasilkan kuasa sama pada 6,000 rpm), manakala tork yang dihasilkan pula setinggi 148 N-m pada 4,000 rpm. Ia dipadankan sama ada dengan transmisi manual 5 kelajuan ataupun transmisi automatik 4 kelajuan, kedua-duanya dibekalkan oleh Mitsubishi.
Nama Persona diambil daripada nama yang digunakan pada model Proton Wira yang dijual di United Kingdom, sesuai dengan peranannya sebagai pengganti Proton Wira dalam erti kata sebenar. Sejak Persona mula dikeluarkan pada tahun 2007, ia laris terjual seperti pisang goreng panas. Lebih 250,000 buah Proton Persona dihasilkan dan dijual di seluruh dunia, dengan pasaran terbesarnya terletak di Malaysia, diikuti dengan Mesir dan Australia. Di United Kingdom, ia dijual dengan nama Proton Gen-2 Persona bagi mengelakkan kekeliruan dengan Proton Wira yang dijual menggunakan nama Persona di sana; justeru, ia boleh dianggap sebagai Proton Persona generasi kedua di UK.
Pada tahun 2010, model facelift Persona dikeluarkan dengan nama Proton Persona Elegance. Perubahan ketara pada model Proton Persona Elegance ialah rekaan gril hadapannya yang lebih besar, lampu isyarat membelok jenis jalur LED pada cermin sisi, lampu latar panel meter "ala Optitron" yang menyala terang pada waktu siang tetapi malap sedikit semasa lampu dihidupkan, ECU 32 bit oleh Continental (sebelum ini Proton menggunakan ECU 16 bit), lampu belakang LED serta radio baharu yang disertakan dengan port USB bagi membolehkan pengguna mendengar lagu MP3 daripada pemacu kilat USB. Sahabat saya Khairul Azmi turut memilikinya dan amat berpuas hati dengan segala ciri-ciri yang ada di dalamnya.
Setelah sembilan tahun berlalu sejak Proton Persona generasi pertama dikeluarkan, sudah tiba masanya untuk merehatkannya dan menggantikannya dengan generasi terbaharu. Cubaan pertama untuk menggantikannya adalah melalui pengeluaran Proton Preve pada tahun 2012, tetapi ia tidak berupaya menggantikan Persona dan permintaan terhadap Persona kekal tinggi. Selain itu, penggunaan enjin IAFM+ yang kurang berkuasa daripada enjin IAFM Persona untuk menarik badan yang lebih berat daripada Persona juga satu lagi faktor utama kenapa Preve gagal "membunuh" Persona; sebaliknya, Persona pula yang "membunuh" Preve IAFM+. Susulan dengan itu, Proton Preve kini ditempatkan sebagai pengganti Proton Waja dalam erti kata sebenar dalam segmen C, manakala jualan Proton Persona yang juga kereta segmen C diteruskan. Akhirnya pada 23 Ogos 2016, generasi kedua Proton Persona dikeluarkan sebagai kereta segmen B pula.
Generasi kedua Proton Persona ini dibangunkan berasaskan pelantar Proton Iriz yang dipanjangkan. Justeru, ia lebih pendek sedikit berbanding model lama tetapi ruang dalaman serta ruang simpanannya pula lebih besar. Jika dahulunya jarak roda Persona generasi pertama ialah sepanjang 2,600 mm, ia kini dipendekkan menjadi 2,555 mm dalam model generasi kedua. Hasilnya, panjang keseluruhan dipendekkan daripada 4,477 mm kepada 4,387 mm. Ia juga 3 mm lebih kurus daripada model lama yang lebarnya 1,725 mm. Namun, ia lebih tinggi daripada Persona lama dengan tinggi 1,554 mm berbanding model lama setinggi 1,438 mm. Penggunaan pelantar Iriz bagi menghasilkan generasi kedua Persona ini turut memberi satu kelebihan tambahan - ruang butnya kali ini sebesar 510 liter walaupun ia menggunakan engsel "leher angsa" konvensional dan tidak lagi menggunakan engsel topang gas berkembar seperti Persona lama. Luas macam gua Batu Caves...!!! Dari segi saiz but, Proton Persona 2016 hanya kalah dengan Honda Civic 2016 (519 liter) dan Honda City 2014 (536 liter).
Jika sebelum ini saya sering ke Proton Edar Jalan Pahang, Kuala Lumpur bagi menonton pelancaran model-model baharu Proton, kali ini saya menyaksikannya di Proton Edar Giant Batu Caves pula. Semasa saya mula-mula terlihat kelibat Proton Persona 2016 yang dibuka selubungnya itu, saya rasa sungguh terpesona. Ia memang sangat cantik dan sangat fotogenik...!!! Meskipun ia menggunakan lampu mentol halogen berkembar di hadapan dan lampu jenis mentol biasa di belakang, ia tetap kelihatan cantik dan menarik, sepadan dengan namanya. Ia jelas mencerminkan kematangan Proton dalam merekabentuk kereta, bermula dengan Proton Iriz. Ya, saya tahun mungkin ada yang kecewa apabila Proton tidak menggunakan lampu LED pada lampu belakang Persona baharu ini berbanding Persona Elegance dan Saga FLX, tetapi kita harus ingat bahawa Proton sekarang ini baru sahaja hendak bangkit daripada menjadi mangsa persengketaan antara pengasasnya Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Najib Razak susulan skandal 1MDB dan "duit derma" RM2.6 bilion, yang membawa kepada Tun Dr. M meletak jawatan sebagai pengerusi Proton kerana tidak mahu Proton menjadi mangsa persengketaan mereka. Dengan kata lain, penggunaan lampu jenis mentol dilakukan atas faktor kos, dan faktor kos ini penting untuk Proton bangkit semula setelah menjadi mangsa persengketaan Najib-Tun M.
Persona ini bukanlah sekadar Iriz yang dipanjangkan semata-mata. Di bahagian luaran, hanya cermin sisi dan pintu hadapan (dan tetingkap kecil di hadapannya) itu sahaja yang sama seperti Iriz, selebihnya pula lain. Ruang dalamannya pula majoritinya sama seperti Iriz, tetapi dengan skema warna yang berbeza. Panel dalaman Iris menggunakan warna-warna hitam sepenuhnya, tetapi Persona baharu ini menggunakan kombinasi warga hitam dan kelabu cair, sama seperti Persona lama. Menurut Proton, kombinasi warna-warna dalaman sebegini memberi persepsi ruang yang luas, sesuai dengan peranan Proton Persona sebagai kereta keluarga.
Oleh kerana generasi kedua Persona ini berasaskan pelantar Iriz, maka sudah tentulah banyak ciri menarik pada Iriz yang turut diterapkan pada Persona, seperti radio jenis skrin sentuh pada varian premium yang dilengkapi sistem navigasi GPS, kamera undur dan pemain DVD, radio bersepadu pada varian Executive (varian pertengahan), port pengecas USB dwikadaran (1.5 dan 2.1 ampere; tiada pada varian Standard), stereng kuasa elektrik (EPS), suis penghidup tekan (varian Premium sahaja) dsb. Suis-suis penyaman udara juga adalah dari jenis mekanikal, sama seperti Iriz, Ia berbeza daripada suis-suis penyaman udara Persona lama yang menggunakan kawalan elektronik, dan sejujurnya saya lebih menyukai suis-suis penyaman udara Persona lama. Namun, punat-punat pada panel tengah pula memberikan maklum balas lebih baik seakan menekan suis getah, tidak seperti punat-punat panel tengah Persona lama yang tidak memberikan maklum balas yang meyakinkan melainkan melalui lampu-lampu latar yang samar-samar, dan masalah tersebut paling ketara bagi punat suis penyahkabut belakang. Cuma, apa yang saya tidak suka pada Persona baharu ini ialah ketiadaan kotak barangan jenis perehat tangan yang sebelum ini ada pada Persona lama, tetapi sebaliknya ruang yang sepatutnya menempatkan kotak barangan jenis perehat tangan itu pula digantikan dengan pemegang cawan untuk penumpang belakang tengah. Pada saya, lebih baik diletakkan kotak barangan jenis perehat tangan itu dengan pemegang cawan jenis kepingan plastik yang boleh ditarik di belakang untuk meletakkan cawan.
Ada tiga jenis radio berbeza digunakan pada Persona baharu ini. Varian paling mahal menggunakan radio jenis skrin sentuh dengan sistem navigasi, kamera undur dan pemain DVD, jenis yang sama seperti varian Iriz 1.6. Varian pertengahan pula menggunakan radio bersepadu 2-DIN yang sama seperti varian Iriz 1.3. Varian paling cikai pula menggunakan radio 1-DIN yang kelihatan seakan-akan radio Persona lama, dengan port USB dan soket AUX pada radio itu sendiri, tidak seperti varian lain yang mana port USB dan soket AUX terletak bersebelahan dengan soket penyala rokok 12 volt. Radio pada varian paling cikai itu juga hanya ada 2 sahaja pembesar suara berbanding 4 pada varian lain, kesemuanya ditempatkan pada pintu.
Proton Persona 2016 menggunakan panel LCD dengan tulisan putih
Proton Persona 2016 merupakan model pertama Proton yang dilengkapi lampu Eco
(Semua kredit gambar: Careta)
Warna panel LCD meter juga berbeza - jika Iriz menggunakan panel LCD dengan tulisan merah, Persona pula menggunakan panel LCD dengan tulisan putih. Namun, perubahan paling ketara pada meter Persona ini ialah lampu penunjuk Eco bagi tujuan "melatih" pemandu memandu dengan cara yang menjimatkan. Jika anda memijak pedal pendikit dengan rakus, lampu tersebut sudah tentu tidak akan menyala. Namun, sekiranya memijak pedal pendikit dengan lembut dan lemah gemalai, maka lampu Eco akan menyala. Konsep sebegini mula dipopularkan oleh Honda yang menggunakan lampu latar biru apabila pemanduan tidak menjimatkan dan lampu latar tersebut akan bertukar hijau sekiranya gaya pemanduan menjimatkan minyak, bermula dengan model Honda Insight. Menurut Proton, mod Eco ini membantu pengguna menjimatkan minyak sehingga 10% (bagi model CVT) atau 13% (bagi model manual). Kadar penggunaan bahan api mengikut dakwaan pengeluar ialah 5.8 L/100 km (17.24 km/L) bagi model transmisi manual dan 6.1 L/100 km (16.39 km/L) bagi model CVT. Pencapaian sebegini lebih baik daripada Persona lama yang mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 10 km/L di kawasan bandar dan 14 km/L di kawasan luar bandar. Nak tahu bagaimana hendak memastikan lampu Eco ini sentiasa menyala...? Senang sahaja. Cara yang sering saya lakukan untuk mendapatkan angka-angka penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan bagi model CVT / automatik adalah dengan memerah pendikit dengan rakusnya sehingga mencapai kelajuan yang dikehendaki dan seterusnya melepaskan dan menekan injak pendikit dengan sangat lembut sekadar untuk mengekalkan kelajuannya.
Selain daripada penggunaan lampu Eco bagi "melatih" pemandu memandu dengan gaya yang menjimatkan minyak, terdapat beberapa lagi faktor lain yang menyumbang kepada penjimatan bahan api Persona baharu ini, iaitu rekaan badan yang lebih aerodinamik, penggunaan stereng kuasa elektrik (EPS), enjin VVT serta kotak gear CVT. Seperti Iriz, Persona baharu ini menggunakan stereng kuasa elektrik (EPS) sensitif kuasa yang dibekalkan oleh ZF. Semasa saya mengunjungi karnival Alami Proton 2014 dahulu, wakil ZF ada menerangkan kepada saya bahawa stereng kuasa elektrik yang dibekalkan kepada Proton mempunyai 7 tetapan berbeza mengikut kelajuan, yang mana stereng menjadi semakin berat apabila kereta semakin laju. Ia amat penting agar kereta kekal stabil tanpa rasa hendak melayang pada kelajuan tinggi dan mudah diparkir tanpa perlu bersilat sakan di bandar yang sibuk. Paling penting, penggunaan EPS melenyapkan kehilangan kuasa parasitik oleh stereng kuasa hidraulik biasa.
Nadi baharu Persona generasi kedua terdiri daripada enjin Campro VVT 1.6 liter yang menghasilkan 107 kuasa kuda pada 5,750 rpm dan tork 150 N-m pada 4,000 rpm. Mungkin ada yang mempersoalkan kenapa enjin Campro VVT ini menghasilkan kuasa kuda kurang daripada enjin IAFM mahupun enjin Campro "kosong" yang digunakan pada Persona lama, tetapi ada sebabnya kenapa ia menghasilkan 107 kuasa kuda sahaja - kelajuan enjin dihadkan kepada hanya 6,000 rpm sahaja, berikutan had rpm operasi maksimum kotak gear CVT Punch Powertrain itu. Namun, apa yang penting di sini ialah agihan kilasan enjin itu sendiri yang lebih lancar berbanding enjin IAFM mahupun IAFM+. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear CVT Punch Powertrain yang lebih menjimatkan penggunaan bahan api. Selama ini, penggunaan kotak gear CVT Punch Powertrain sering dikritik kerana hantaran kuasa yang agak malas sehingga menimbulkan persepsi "tidak cukup kuasa", tetapi kali ini ia telah ditambah baik hasil penalaan semula perisian tegarnya. Kedua-dua wartawan dari portal automotif Paul Tan dan Careta telah mengujinya dan mendapati pecutan 0-100 km/j hanya mengambil masa 10.9 saat berbanding Persona lama yang memerlukan masa 12 saat dengan menggunakan transmisi automatik konvensional 4 kelajuan. Selain transmisi CVT, Proton juga ada menawarkan pilihan transmisi manual 5 kelajuan, tetapi hanya bagi varian paling cikai. Ia susulan trend automotif sekarang di Malaysia di mana pada masa sekarang 80% daripada kereta yang dijual di Malaysia sekarang terdiri daripada transmisi automatik.
Tiada pilihan enjin lain bagi Persona ini selain enjin 1.6L VVT. Kalau ikutkan pun, Persona lama memang ada hanya satu sahaja pilihan enjin. Tetapi kenapa saya perlu beritahu hal ini...? Bermula daripada model Proton Persona 2016 ini, Proton mengatur strategi meletakkan hanya satu model dengan hanya satu sahaja pilihan enjin pada kelas kenderaan yang berbeza. Proton Saga generasi ketiga yang bakal dilancarkan bulan September ini akan diletakkan sebagai sedan bajet segmen A yang hanya ditawarkan dengan enjin Campro VVT 1.3L dan bakal berentap dengan Perodua Bezza. Persona kali ini ditempatkan sebagai model sedan keluarga segmen B. Proton Preve dan Proton Suprima S pula masing-masing ditempatkan sebagai sedan dan hatchback segmen C dengan hanya pilihan enjin turbo Campro CFE 1.6L; enjin IAFM+ pada varian spesifikasi rendah Preve dimansuhkan dan digantikan dengan enjin Campro CFE. Hanya dua model Proton yang mempunyai lebih daripada satu pilihan enjin, iaitu Proton Iriz (hatchback segmen B) dengan pilihan enjin Campro VVT 1.3L dan 1.6L, dan Proton Perdana (sedan segmen D) dengan pilihan enjin Honda i-VTEC 2.0L dan 2.4L. Keputusan ini dilakukan setelah Proton menyedari salah satu kelemahan utama mereka dalam meletakkan model-model keluaran mereka, sehingga model-model tersebut saling "berbunuhan" sesama sendiri. Ia boleh disaksikan melalui persaingan antara Proton Saga FLX dengan Proton Persona serta antara Proton Persona dengan Proton Preve. Dengan hala tuju produk yang lebih jelas, maka adalah diharapkan agar selepas ini model-model Proton hanya bersaing dengan para pesaing dari jenama lain dan tidak lagi saling "berbunuh-bunuhan" sesama sendiri.
Dari segi keselamatan pula, kesemua varian lulus ASEAN NCAP 5 bintang dengan dua beg udara hadapan, sistem brek cegah kunci (ABS), sistem pengagihan daya brek elektronik (EBD), bantuan membrek (BA), kawalan cengkaman (traction control), kawalan kestabilan elektronik (ESC) dan bantuan penahan bukit. Memandangkan Proton Persona ini menggunakan kotak gear CVT jenis klac pemula, bantuan penahan bukit ini amat penting kerana hubungan kuasa memang terputus sepenuhnya semasa berhenti, tidak seperti transmisi automatik konvensional yang mana sifat penukar tork sentiasa menyerap tork semasa berhenti dan menyebabkan kereta bergerak sedikit di jalan rata atau kereta tidak bergerak semasa di cerun mendaki apabila brek dilepaskan. Dengan kata lain, jika kereta dengan CVT jenis klac pemula tiada bantuan penahan bukit, ia cenderung menggelungsur ke belakang apabila kaki kanan dianjak dari injak brek ke injak pendikit. Sebab itulah Proton kali ini menjadikan ciri bantuan tahanan bukit sebagai ciri standard pada Persona kali ini. Sementara itu, varian Premium mendapat tambahan 4 biji lagi beg udara iaitu 2 beg udara sisi dan 2 beg udara tirai, menjadikan 6 biji beg udara kesemuanya.
Sebut tentang brek pula, Proton Persona generasi kedua menggunakan brek gelendong belakang pada kesemua variannya termasuklah varian paling mahal. Namun begitu, kuasa membreknya lebih baik daripada Persona lama walaupun dengan brek cakera belakang, Ujian Proton menunjukkan bahawa Persona generasi kedua memerlukan 41.4 m untuk berhenti dari kelajuan 100 km/j, berbanding Persona lama yang memerlukan 44.6 m bagi kelajuan sama walaupun dengan brek cakera belakang.
Sebut tentang brek pula, Proton Persona generasi kedua menggunakan brek gelendong belakang pada kesemua variannya termasuklah varian paling mahal. Namun begitu, kuasa membreknya lebih baik daripada Persona lama walaupun dengan brek cakera belakang, Ujian Proton menunjukkan bahawa Persona generasi kedua memerlukan 41.4 m untuk berhenti dari kelajuan 100 km/j, berbanding Persona lama yang memerlukan 44.6 m bagi kelajuan sama walaupun dengan brek cakera belakang.
Proton Persona ini didatangkan dengan 3 varian, iaitu Standard (paling cikai), Executive dan Premium (paling mahal). Hanya varian Standard sahaja ditawarkan dengan pilihan transmisi manual 5 kelajuan atau CVT, manakala varian lain hanya dipadankan dengan transmisi CVT. Harga atas jalan (termasuk GST tetapi tidak termasuk insurans dan cukai jalan) bermula daripada RM46,800 bagi varian Standard Manual sehinggalah kepada RM59,800 bagi varian Premium CVT. Oh ya, jika anda beli Persona sekarang sehingga 30 September 2016, anda akan mendapat servis percuma selama 3 tahun.
Dengan terlancarnya model Proton Persona generasi kedua ini serta Proton Saga generasi ketiga bulan hadapan, diharap kedua-dua model tersebut dapat membantu mengubah kembali nasib Proton yang sebelum ini sering tersepit kerana terhimpit di tengah-tengah konflik perseteruan antara Tun Dr. M dengan Najib Razak serta melonjakkan kembali kedudukan Proton sebagai peneraju utama industri automotif di Malaysia. Dengan pakej menarik yang ditawarkan pada Persona ini, saya percaya Proton mampu bangkit semula.
Apa yang saya suka
Pandangan keseluruhan Proton Persona 2016
Lampu hadapan Persona generasi kedua
Lampu isyarat membelok cermin sisi adalah dari jenis sama seperti Iriz
Lampu-lampu belakang Persona 2016 yang tetap nampak cantik walaupun dari jenis mentol biasa
Banyak komponen dalam Proton Persona baharu yang dikongsikan daripada Iriz - seperti stereng ini...
...dan meter ini
Radio jenis skrin sentuh dengan sistem navigasi GPS, pemain DVD dan kamera undur hanya eksklusif untuk varian Premium, dan jenis yang digunakan adalah sama seperti varian Premium
Radio yang sama seperti varian Iriz 1.3L digunakan pada varian Executive bagi Persona
Tombol gear kali ini adalah dari jenis konvensional dengan butang pelepas di sebelah tepi
Hanya varian Premium sahaja dilengkapi penghidup tekan, manakala varian lain pula menggunakan kunci biasa
Hanya enjin Campro VVT 1.6L merupakan satu-satunya pilihan enjin bagi Persona ini
Kotak gear CVT Punch Powertrain terus digunakan oleh Proton bagi model Persona ini
Varian Executive dan Premium dilengkapi dua port pengecas USB yang sama seperti Iriz
Tiada kotak barangan jenis perehat tangan tetapi digantikan dengan pemegang cawan untuk penumpang belakang tengah
But belakang Proton Persona 2016
But Persona ini memang sangat besar, macam gua Batu Caves
Suis tingkap kuasa
Persona baharu ini menggunakan kombinasi warna hitam-kelabu cair yang sama seperti Persona lama
Kesemua varian Persona menggunakan brek gelendong belakang, tetapi kuasa membreknya lebih baik daripada Persona lama walaupun dengan brek cakera belakang
Spesifikasi Proton Persona 2016
Enjin:- Campro VVT 1.6 liter DOHC 16 injap 4 lejang 4 silinder sebaris sejukan cecair
Sesaran: 1,597 cc
Lubang x lejang: 76 x 88
Nisbah mampatan: 10:1
Kuasa kuda: 107 bhp (80 kW) @ 5,750 rpm
Tork: 150 N-m @ 4,000 rpm
Jarak roda: 2,555 mm
Berat kering: 1,155-1,210 kg
Muatan tangki bahan api: 40 liter
Apa yang saya suka
- Kesemua varian dilengkapi sekurang-kurangnya 2 biji beg udara, ABS, EBD, BA, kawalan cengkaman dan ESC walaupun pada varian termurah
- Lampu Eco untuk melatih pemandu memandu dengan cara yang menjimatkan minyak
- Port pengecas USB khas untuk telefon pintar
- Sistem penghidup tekan yang diperbaharui
- Talaan CVT yang ditambah baik
- Banyak pemegang cawan (ada 7 kesemuanya)
Apa yang saya tidak suka
- Kotak barangan jenis perehat tangan dibuang
Pandangan keseluruhan Proton Persona 2016
Lampu hadapan Persona generasi kedua
Lampu isyarat membelok cermin sisi adalah dari jenis sama seperti Iriz
Lampu-lampu belakang Persona 2016 yang tetap nampak cantik walaupun dari jenis mentol biasa
Banyak komponen dalam Proton Persona baharu yang dikongsikan daripada Iriz - seperti stereng ini...
...dan meter ini
Radio jenis skrin sentuh dengan sistem navigasi GPS, pemain DVD dan kamera undur hanya eksklusif untuk varian Premium, dan jenis yang digunakan adalah sama seperti varian Premium
Radio yang sama seperti varian Iriz 1.3L digunakan pada varian Executive bagi Persona
Tombol gear kali ini adalah dari jenis konvensional dengan butang pelepas di sebelah tepi
Hanya varian Premium sahaja dilengkapi penghidup tekan, manakala varian lain pula menggunakan kunci biasa
Hanya enjin Campro VVT 1.6L merupakan satu-satunya pilihan enjin bagi Persona ini
Kotak gear CVT Punch Powertrain terus digunakan oleh Proton bagi model Persona ini
Varian Executive dan Premium dilengkapi dua port pengecas USB yang sama seperti Iriz
Tiada kotak barangan jenis perehat tangan tetapi digantikan dengan pemegang cawan untuk penumpang belakang tengah
But belakang Proton Persona 2016
But Persona ini memang sangat besar, macam gua Batu Caves
Suis tingkap kuasa
Persona baharu ini menggunakan kombinasi warna hitam-kelabu cair yang sama seperti Persona lama
Kesemua varian Persona menggunakan brek gelendong belakang, tetapi kuasa membreknya lebih baik daripada Persona lama walaupun dengan brek cakera belakang