Wednesday, November 21, 2018

Malaysia Local Route: Memartabatkan jalan raya Malaysia melalui perniagaan / Upbringing the prestige of Malaysian highways through businesses



Pitstop A76 Lenggong, perintis kepada usaha memartabatkan jalan raya melalui perniagaan


Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana lama tidak menulis susulan keadaan cuaca akhir-akhir ini yang tidak mengizinkan dan tidak kondusif untuk saya menulis. Sempena ulang tahun ketujuh Blog Jalan Raya Malaysia, saya ingin membawakan kepada anda satu inisiatif memartabatkan jalan raya Malaysia oleh sekumpulan komuniti peniaga yang dikenali sebagai kumpulan Malaysia Local Route.

Komuniti Malaysia Local Route merupakan komuniti peniaga yang bermatlamat memartabatkan jalan raya Malaysia sebagai satu bentuk daya tarikan kepada pengguna jalan raya Malaysia  Komuniti ini diwujudkan susulan daripada kejayaan Pitstop A76 Lenggong, premis perniagaan  milik salah seorang pengasasnya, Encik WBH Yeop yang mula beroperasi sejak 1 April 2018. Pitstop A76 Lenggong ini sangat dikenali kerana menggunakan jata laluan A76 sebagai logo perniagaannya. Perniagaan yang terletak di persimpangan yang menghubungkan antara laluan baharu Jalan Kuala Kangsar-Gerik FT76 dengan jalan lama A76 di Kampung Sumpitan, Lenggong, Perak ini menggunakan produk-produk pelancongan yang ada di Lenggong sebagai daya tarikan kepada para pengguna jalan raya untuk singgah. Kini, Pitstop A76 Lenggong bukan sahaja berfungsi sebagai kedai makan semata-mata, tetapi turut berfungsi sebagai pusat maklumat pelancongan, kedai cenderamata serta pusat dokumentasi bagi para pengguna jalan raya Malaysia yang ingin memasuki Thailand melalui Jalan Pengkalan Hulu-Betong FT77.

Susulan kejayaan perniagaan Pitstop A76 Lenggong ini, maka Encik WBH Yeop bersama-sama beberapa orang rakan niaga seperti Pak Li, Lawyer Bad, Zulkifli Razak & ramai lagi menubuhkan komuniti Malaysia Local Route bagi menerapkan konsep sama iaitu menggunakan logo jata laluan heksagon beserta kod laluan sebagai logo perniagaan dan berfungsi bukan sahaja sebagai kedai makan tetapi sebagai pusat sehenti bagi membangunkan ekonomi tempatan serta sebagai pusat maklumat ekopelancongan, sejarah dan kebudayaan tempatan. Hasilnya, banyak hentian baharu yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di seluruh negara.




Antara Pitstop yang diusahakan oleh ahli komuniti Malaysia, & angka ini dijangka bertambah


Cuma ada dua teguran yang saya perlu sampaikan kepada rakan-rakan niaga yang mengusahakan Pitstop-Pitstop ini. Pertama, saya perhatikan ada banyak Pitstop yang menggunakan jata laluan Interstate atau Jalan AS sebagai logo perniagaan mereka. Bukan saya kata tak boleh, tapi sebagai pengusaha Pitstop yang menggunakan laluan masing-masing sebagai pengenalan dan daya tarikan, anda sebagai pengusaha merupakan "duta kecil" kepada laluan masing-masing. Justeru, anda seharusnya menggunakan jata laluan Malaysia berbentuk heksagon sebagai logo utama perniagaan anda kerana anda mengiklankan laluan yang menempatkan perniagaan anda, bukannya laluan di Amerika Syarikat. Hendak guna jata Interstate atau Jalan AS tu boleh, tapi sebagai logo kedua atau logo sampingan yang digunakan pada cenderahati seperti baju, rantai kunci, pelekat dan kole. Barulah betul namanya serius memartabatkan jalan raya Malaysia. Ataupun, kalau hendak guna logo "jata AS dalam jata Malaysia" sebagai logo perniagaan pun boleh juga.

Teguran kedua adalah mengenai konsep "kilometer sifar". Mengikut takrifan Malaysia, kilometer sifar sesebuah bandar terletak di pejabat pos masing-masing. Hanya dua bandar raya yang tidak mengikut takrifan ini, iaitu Bandaraya Melaka (di Bangunan Stadhuy's) dan Kota Kinabalu (di bangunan Lembaga Pembangunan Sabah). Sementara itu, kilometer sifar laluan pula titik di mana sesebuah jalan itu bermula, juga dikenali sebagai Seksyen 0 oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Namun, saya perhatikan ada pengusaha Pitstop yang melabelkan Pitstop mereka sebagai KM0, yang mana ia tidak betul sama sekali. Justeru, saya ingin menegur rakan-rakan niaga tersebut agar tidak melabelkan perniagaan mereka sebagai KM0, melainkan jika Pitstop anda terletak di pejabat pos ataupun betul-betul di pangkal laluan yang anda iklankan itu.

Begitulah teguran saya kepada para pengusaha Pitstop mengenai penggunaan jata laluan dan istilah "kilometer sifar". Saya harap agar para pengusaha tidak ambil hati atas teguran saya tadi, kerana saya sememangnya amat serius dalam perjuangan memartabatkan jalan raya Malaysia. Apa pun, saya amat menyokong penuh segala usaha baik daripada anda semua. Kepada para pembaca Blog Jalan Raya Malaysia, marilah kita bersama-sama memberi sokongan kepada para pengusaha Pitstop ini dengan singgah sebentar di Pitstop mereka selaku duta kecil bagi laluan masing-masing.



Senarai Pitstop Malaysia Local Route di seluruh negara
(klik untuk peta lokasi)


  1. Perak
  2. Kedah
  3. Perlis
    • FT7 Kangar
    • FT186 Kangar
    • R142 Kuala Perlis
  4. Pulau Pinang
  5. Negeri Sembilan
  6. Melaka
  7. Selangor
  8. Terengganu
  9. Johor
  10. Pahang
  11. Kuala Lumpur
  12. Kelantan





Pitstop FT1 Segamat di belakang Dewan Jubli Intan, Segamat




Pitstop LDP E11 di KM28.7 LDP E11 di Puchong




Pitstop FT59 Tanah Rata betul-betul di tengah-tengah pekan Tanah Rata




Pitstop P169 Nibong Tebal




Pitstop FT8 Gua Musang khas untuk anak-anak Kelantan yang hendak ke Kuala Lumpur




Pitstop T1 Penarik yang terletak di jalan raya pesisir pantai utara Terengganu




Pitstop T167 di Besut, Terengganu




Pitstop FT77 khas buat pengguna jalan raya yang hendak ke Thailand melalui Pengkalan Hulu




Pitstop FT67 Baling diharap dapat menghidupkan kembali pekan Baling pada waktu malam
(Semua kredit gambar: Pengusaha Pitstop masing-masing)

Tuesday, November 20, 2018

Pandu uji eksklusif Perodua Bezza 1.0 2016 / 2016 Perodua Bezza 1.0 exclusive test drive

Salam sejahtera,

Lama betul rasanya saya tidak membuat sebarang reviu pandu uji kenderaan. Kali terakhir saya menulis reviu kenderaan ialah pada tahun lepas, iaitu reviu motosikal SYM Sport Rider 125i. Kali ini saya bawakan kepada anda reviu pandu uji kereta pula, iaitu Perodua Bezza 1.0 G. Kenapa saya pilih Perodua Bezza 1.0 G dan bukannya varian spesifikasi penuh 1.3 Advance...? Sejak mula dikeluarkan pada tahun 2016, tempahan bagi varian 1.3 liter paling banyak diterima oleh Perodua berbanding varian 1.0, sedangkan varian 1.0 G bertujuan bagi menyediakan varian mampu milik kepada rakyat Malaysia bagi memecahkan dominasi Proton Saga sebagai model kereta bajet. Bagi mengubah persepsi ramai, Perodua menggantikan varian 1.0 G dengan 1.0 GXtra dengan beberapa tambahan ciri menarik.

Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2016, kehadiran Bezza ternyata menggugat kedudukan Saga yang selama ini merajai segmen kereta bajet. Apa tidaknya, selain diberi dua pilihan enjin VVT-i 1.0 L dan Dual VVT-i 1.3 L yang mana kedua-duanya menerima penarafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), Bezza 1.3 Advance juga merupakan kereta paling murah yang dilengkapi sistem henti-mula yang pastinya meningkatkan tahap penjimatan minyak terutamanya di bandar raya besar.

Untuk sesi pandu uji kali ini, saya menggunakan sebuah kereta Perodua Bezza 1.0 G. Ia digerakkan oleh enjin 1KR-VE 998 cc 3 silinder dengan VVT-i yang mampu menghasilkan kuasa 67 bhp pada 6,000 rpm dan tork 91 N-m pada 4,400 rpm. Sudah cukup memadai. Lagipun, destinasi saya cumalah sekitar Batu Caves dengan Kuala Lumpur sahaja. Dari segi reka bentuk, rasanya tidak perlulah kerana saya pernah menulis mengenainya sebelum ini.

Sebaik saya menekan punat pada kunci untuk membuka punci pintu, hanya kunci pintu pemandu sahaja terbuka. Bagi penumpang lain pula, sama ada perlu membuka kunci satu persatu dari dalam ataupun menggunakan suis kunci berpusat yang ditempatkan di konsol tengah. Ada sebabnya kenapa Perodua sengaja berbuat begitu, tidak lain dan tidak bukan untuk mengelakkan daripada berlaknya insiden yang tidak diingini apabila memandu berseorangan, khususnya wanita.

Saya terus menghidupkan enjin. Tiada butang penghidup tekan, tapi ada saya kisah...? Asalkan berfungsi dengan baik sudahlah. Butang penghidup tekan hanya ada pada varian 1.3 L sahaja. Juga, apa yang tiada pada varian 1.0 G ialah butang-butang pelaras cermin sisi elektrik. Jadi bagaimana saya hendak melaras cermin sisi...? Pakai tangan saja. Untuk cermin sebelah kini, ia memerlukan bantuan penumpang hadapan. Mujurlah cermin sisi tersebut memang sudah dilaras ke paras yang cukup baik.

Tali pinggang keledar sudah terpasang. Seterusnya, saya mengeluarkan sebuah pemacu kilat USB dari kocek seluar saya untuk dipalamkan pada radio kereta ini. Seperti yang pernah saya terangkan sebelum ini, radio Perodua Bezza tiada pemain CD, hanya ada radio dan soket USB sahaja. Sekarang semakin sukar hendak mencari kedai yang menjual cakera padat. Lagu-lagu diperolehi dari gedung-gedung atas talian seperti iTunes. Sebab itulah radio kereta sekarang sudah banyak yang tiada lagi pemain CD. Semasa radio dihidupkan, bunyi yang dihasilkan cukup baik, tiada bunyi-bunyi "kecepish kecepish" yang selalunya sering dikaitkan dengan radio cap ayam.

Destinasi pertama saya sudah tentulah stesen minyak untuk mengisi bahan api. Dengan berbekalkan RM10, saya ingin mengetahui berapa jauh saya boleh pergi dengan petrol sebanyak ini. Sama ada jimat atau tidak, teruskan membaca sehingga selesai.

Dari segi pemanduan, pengalamannya lebih kurang sama seperti memandu sebuah Perodua Axia. Apa tidaknya, Bezza ini dibina menggunakan pelantar sama seperti Axia. Penukaran gearnya begitu lancar tanpa tersengguk-sengguk. Ia tidaklah sepantas Bezza 1.3 mahupun Myvi, tetapi ia tetap memecut mengikut input yang saya berikan pada injak pendikit. Bagaimana pula ketika mendaki bukit...? Untuk mengujinya, saya mengujinya mendaki bukit di Sri Gombak, di mana kecerunan di situ boleh mencecah 10% Menkipun digerakkan oleh enjin yang agak kecil, tetapi Bezza 1.0 G ini ternyata cukup gagah untuk mendaki bukit tersebut, cuma agak malas sedikit dan perlu menekan injak pendikit lebih kuat sedikit. Jika dibandingkan, Perodua Viva milik rakan serumah saya pula memerlukan gear diturunkan secara manual ke D3 untuk mendaki bukit sama. Jadi siapa kata Bezza 1.0 ini tidak cukup kuat untuk mendaki bukit...?

Sepanjang sesi pandu uji bermodalkan duit minyak RM10, saya memandu dari Batu Caves ke Bandar Tasik Permaisuri, seterusnya ke KL Sentral dan seterusnya kembali semula ke Batu Caves melalui Sentul, dengan jarak keseluruhan 45 km. Sebaik sesi pandu uji berakhir, saya dapati tolok bahan api cuma turun 2 bar sahaja. Penggunaan bahan api purata yang ditunjukkan oleh panel LCD menunjukkan angka 15.8 km/L, yang mana saya sifatkan sebagai sangat jimat bagi kawasan bandar raya yang sesak. Angka penggunaan bahan api Bezza ini pastinya akan jadi lebih baik sekiranya saya mengujinya di jalan persekutuan yang lengang, dengan dakwaan pengeluar 21.3 km/L. Nak lebih jimat lagi...? Beli model Bezza 1.3 Advance kerana sistem henti-mulanya menjadikan angka penggunaan bahan api sehingga 24 km/L. Maka tidak hairanlah kenapa kesemua varian Bezza ini menerima penarafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Apa pula kelemahan Bezza yang saya dapati sepanjang sesi pandu uji ini...? Kelemahan utama Bezza ini terletak pada kedudukan sterengnya di mana lajur stereng Bezza ini lebih cenderung ke kiri. Jangan salah sangka, saya bukan bermaksud stereng Bezza ini beralih-alih kedudukannya kerana stereng Bezza ini tetap dan tidak boleh dilaras. Maksud saya di sini ialah kedudukan stereng Bezza ini lebih ke kiri sehingga menjadikan ruang kaki kiri terasa sempit, tetapi ruang kaki kanan pula lapang. Memang masalah ini boleh diatasi dengan melaras kerusi pemandu ke belakang sedikit, tetapi kalau terlalu ke belakang nanti tangan pula tidak sampai ke stereng. Masalah ini mungkin terjadi kerana penggunaan pelantar Axia untuk membina Bezza ini.

Secara amnya, saya amat berpuas hati dengan pengalaman saya memandu kereta Perodua Bezza 1.0 G ini. Ia jimat minyak, mempunyai ruang but yang besar dan sangat praktikal untuk dijadikan kereta keluarga. Bagi Perodua yang selama ini hanya membina model-model hatchback, kejayaan pasukan perekabentuk Perodua diketuai Encik Muhamad Zamuren Musa bagi membangunkan Bezza ini satu kejayaan yang patut dibanggakan.



Spesifikasi Perodua Bezza 1.0 G 2016

Enjin: 1KR-VE 998 cc VVT-i DOHC 12 injap 4 lejang 3 silinder sebaris sejukan cecair
Sesaran: 998 cc
Lubang x lejang: 71 x 84 mm
Nisbah mampatan: 11.5:1
Kuasa kuda: 67 bhp (50 kW) @ 6,000 rpm
Tork: 91 N-m @ 4,400 rpm
Jarak roda: 2,455 mm
Berat kering: 865-930 kg
Muatan tangki bahan api: 36 liter

Apa yang saya suka
  1. Ruang but yang sangat besar sehingga menewaskan model-model segmen B yang lebih besar
  2. Enjin yang sangat jimat minyak
  3. Meskipun hanya menggunakan enjin 998 cc 3 silinder tetapi ternyata cukup kuat mendaki bukit
Apa yang saya tidak suka
  1. Ergonomik kaki kiri sebelah pemandu yang kurang baik






Gambaran keseluruhan Perodua Bezza 1.0 G






Pandangan bahagian hadapan






Enjin 1KR-VE yang menggerakkan Bezza 1.0 G ini - ia tidaklah selemah disangka






Ergonomik kaki bahagian pemandu yang kurang baik - ruang kaki kiri cukup lapang, tetapi ruang kaki kiri pula seakan ditindih






Seperti biasa, Perodua terus menggunakan transmisi automatik 4 kelajuan






Radio Bezza yang sangat ringkas tanpa pemain CD






Tombol-tombol kawalan penyaman udara






Meter Perodua Bezza - panel LCD ini ada fungsi odometer...






...tripmeter,...






...penggunaan bahan api purata,...






...penggunaan bahan api semasa,...






...dan jarak sehingga tangki kosong

Saturday, November 10, 2018

Perbandingan antara format muka taip papan tanda dalam edisi asal Arahan Teknik (Jalan) 2E/87 vs pindaan 2011 / Comparison of road signage typeface formats between the original version of Arahan Teknik (Jalan) 2E/87 vs 2011 revision



Malaysia sekarang menggunakan muka taip LLM Lettering pada papan tanda lebuh raya ekspres...




...dan Transport Heavy bagi jalan persekutuan dan negeri
Salam sejahtera,

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang menerima pengaruh Panduan Peranti Kawalan Trafik Seragam (MUTCD; Manual on Uniform Traffic Control Devices) dari Amerika Syarikat dalam rekaan papan tanda jalan raya. Disebabkan itu, maka kesemua Arahan Teknik (Jalan) terbitan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dipengaruhi garis panduan dalam MUTCD, selain garis panduan Lebuh Raya Asia yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sosial & Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia & Pasifik (UNESCAP). Bagi reka bentuk papan tanda jalan raya, garis panduan mengenainya telah dinyatakan dalam Arahan Teknik (Jalan) 2E/87: Guide Sign Design and Application. Sebelum ini, rekaan papan tanda Malaysia dipengaruhi papan tanda British.




Papan tanda lama gaya British di Jalan Tasek Alai J153


Terdapat dua versi bagi Arahan Teknik 2E/87 ini, iaitu versi asal yang diterbitkan pada tahun 1987 dan versi pindaan tahun 2011 yang juga dikenali sebagai piawaian baharu papan tanda Malaysia. Terdapat beberapa pembaharuan yang diterapkan dalam versi pindaan 2011 seperti penggunaan nama jalan bersama-sama kod laluan dalam papan tanda penunjuk jarak, penggunaan papan tanda penunjuk arah bergrafik interaktif serta penggunaan sistem nombor persimpangan keluar seakan lebuh raya ekspres, tetapi perbezaan yang paling ketara sudah tentulah dari segi penggunaan muka taip.






Perbandingan format lama (atas) & baru (bawah) di Lebuhraya Tun Razak FT12






Papan tanda penunjuk arah bergrafik di Lebuhraya Segamat-Muar FT23 ini (atas) nampak lebih interaktif & lebih menarik daripada papan tanda gaya lama di Lebuhraya Tun Razak FT12 (bawah)


Dalam versi asal Arahan Teknik 2E/87, muka taip yang disebut hanyalah huruf-huruf piawai Siri 1, Siri 2 & Huruf Kecil. Memandangkan pada zaman itu penggunaan komputer & perisian pemproses kata tidak meluas seperti sekarang, maka nama sebenar muka taip yang digunakan tidak disebut secara eksplisit, tetapi jika diperhatikan templat muka taip yang ditampilkan dalam lampiran, satu-satunya fon yang paling menghampiri piawaian versi asal Arahan Teknik 2E/87 ini hanyalah fon Siri E dalam keluarga Siri FHWA Gothic, juga dikenali di Amerika Syarikat sebagai Abjad Piawai bagi Papan Tanda & juga Highway Gothic. Maka, fon Highway Gothic menjadi fon piawai de facto bagi papan tanda jalan raya Malaysia.

Sementara itu versi pindaan 2011 memasukkan perubahan dari segi penggunaan muka taip bagi papan tanda, yang mana kali ini ia disebut secara eksplisit. Pindaan 2011 kali ini menetapkan muka taip piawai de jure bagi papan tanda format baharu sebagai Transport (bagi abjad biasa) dan CcRige (bagi abjad sempit).








Perbandingan muka taip: (dari atas ke bawah) Highway Gothic, Transport & LLM Lettering


Bagi lebuh raya ekspres pula, mula taip yang mula-mula sekali digunakan ialah Highway Gothic. Ia kerana pada masa itu Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2 dibina oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia. Pada masa itu juga tiada sistem nombor persimpangan keluar diterapkan. Hanya pada sekitar tahun 1994 barulah sistem nombor persimpangan keluar digunakan. Juga, muka taip yang digunakan juga ditukar kepada jenis Transport Heavy. Kemudian, Lembaga Lebuhraya Malaysia menyeragamkan reka bentuk muka taip papan tanda lebuh raya ekspres kepada jenis LLM Lettering.




Papan tanda format lama yang menggunakan muka taip Highway Gothic di Exit 235 Persimpangan Tangkak di Lebuhraya Utara-Selatan E2




Kini rata-rata papan tanda lebuh raya ekspres di Malaysia menggunakan muka taip LLM Lettering




Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1 merupakan satu-satunya lebuh raya ekspres yang masih menggunakan muka taip Highway Gothic


Muka taip LLM Lettering ini sebenarnya diubah suai daripada pelbagai muka taip yang digunakan pada papan tanda jalan raya Malaysia. Bagi abjad sempit, siri LLM Narrow digunakan berasaskan muka taip Highway Gothic Siri B atau C dan CcRige, manakala siri LLM Normal bagi abjad biasa pula diubah suai daripada Transport Heavy dan Highway Gothic Siri E.

Jadi dengan ini saya sudah memperkenalkan kepada anda empat muka taip piawai bagi papan tanda jalan raya Malaysia. LLM Lettering merupakan muka taip piawaian de jure bagi kesemua lebuh raya ekspres di Malaysia kecuali di Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1, meskipun papan tanda gantri yang menggunakan muka taip LLM Lettering sudah mula digunakan. Sementara itu, meskipun muka taip Transport Heavy (abjad biasa) & CcRige (abjad sempit) merupakan muka taip piawaian de jure sekarang di jalan persekutuan & negeri, namun muka taip Highway Gothic masih lagi digunakan secara meluas sebagai muka taip de facto papan tanda jalan raya Malaysia. Jadi antara keempat-empat muka taip yang saya sebutkan tadi, muka taip yang manakah yang paling anda suka...?

Wednesday, November 7, 2018

Belanjawan 2019 memperkasakan industri tayar, rim & penyerap hentak / Budget 2019 boosts tyre, rim & shock absorber industries




Salam sejahtera,

Pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini sering menerima kecaman daripada pihak pembangkang, khususnya daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Antara kecaman utama beliau ialah dakwaan bahawa kumpulan mudah terjejas seperti penoreh getah dipinggirkan melalui pemberhentian bantuan kewangan kepada golongan tersebut. Ia susulan daripada krisis kejatuhan harga komoditi terutama getah, yang mana harga getah kini sudah jatuh ke paras kurang RM2 sekilogram - dalam keadaan yang lebih ekstrim, jika penoreh getah menyewa tanah bagi tanaman getah, harga getah sekarang jatuh ke paras RM1 sekilogram

Namun, Lim Guan Eng menyangkal dakwaan Datuk Seri Najib dengan menyatakan bahawa kerajaan masih membantu para penoreh getah melalui pengumuman Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dalam Belanjawan 2019, dengan jumlah peruntukan RM50 juta. Sungguhpun demikian, tiada siapa sedar bahawa bantuan kepada penoreh getah dalam Belanjawan 2019 sebenarnya tidak terhad kepada bantuan langsung seperti IPG. Jadi bagaimana Lim Guan Eng membantu golongan penoreh getah ini...?

Aha, sebenarnya memang ada satu lagi bentuk bantuan melalui Belanjawan 2019 bagi membela nasib penoreh getah ini - melalui pemotongan peruntukan penyelenggaraan jalan raya. Serius...? Ya, serius.




Siapa sangka pemotongan bajet penyelenggaraan jalan raya mampu membela nasib penoreh getah...?




Kalau setiap hari keadaan sebegini berterusan, pastinya tauke kilang tayar & tauke kilang rim boleh jadi jutawan sehingga tujuh keturunan




Sediakan "cacing" sebelum tayar pancit - di Lazada pun ada jual


Dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2019 bagi Kementerian Kerja Raya Malaysia, anggaran perbelanjaan bagi penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan di Semenanjung Malaysia pada tahun 2019 hanyalah RM80 juta sahaja, sedangkan anggaran perbelanjaan bagi tahun ini pula ialah RM330 juta. Di Malaysia Timur (Sabah, Sarawak & Labuan) pula, amaun bagi penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan di sana merosot daripada sekitar RM70 juta pada tahun 2018 kepada hanya RM20 juta pada tahun hadapan. Angka-angka yang ditunjukkan itu sememangnya sangat ironi kerana PLUS Malaysia Berhad sendiri memerlukan sekitar RM1.2 bilion setahun untuk menyelenggara lebuh raya ekspres kendalian mereka yang tidak sampai 1,000 km.




Perbandingan antara anggaran perbelanjaan 2018 (tengah, tidak ditebalkan) dengan anggaran tahun 2019 (kanan, ditebalkan)


Penurunan unjuran perbelanjaan ini pastinya akan membawa kepada pencantasan peruntukan secara besar-besaran. Seterusnya, peruntukan yang dicantas mengakibatkan kemerosotan kualiti turapan yang disebabkan oleh penggunaan tar berkualiti cap ayam & kerja-kerja penyelenggaraan yang cincai dan tidak mengikut prosedur operasi piawai (SOP). Hasilnya...? Poof, jadilah jalan raya yang berlubang di sana-sini macam baru lepas perang - jalan raya di Kandahar, Afghanistan pun lagi cantik.




Tak sangka jalan raya di Kandahar boleh secantik begini
(Lokasi: Lebuhraya Kabul-Kandahar, Afghanistan)


Dengan bertambahnya lubang dan kerosakan di jalan raya, maka kadar nahas jalan raya yang disebabkan oleh keadaan jalan raya yang rosak akan meningkat secara mendadak, setidak-tidaknya melibatkan tayar yang pancit atau pecah. Keadaan ini seterusnya akan membawa kepada meningkatnya permintaan terhadap tayar getah & "cacing" tayar. Permintaan terhadap tayar & "cacing" tayar yang meningkat pula akan meningkatkan permintaan terhadap getah asli, yang kemudiannya akan membawa kepada peningkatan harga getah di pasaran global - akhirnya barulah nasib penoreh getah kembali terbela dan mampu hidup senang-lenang kembali seperti dahulu.




Pengumuman pemotongan bajet peruntukan pembaikan jalan merupakan rahmat buat pengusaha kedai tayar


Sebenarnya, industri getah dan industri tayar bukanlah satu-satunya industri yang menerima manfaat besar daripada Belanjawan 2019 kali ini. Ada banyak lagi industri yang semakin berkembang makmur tahun hadapan susulan pembentangan Belanjawan 2019. Antaranya termasuklah industri rim aloi, penyerap hentak, lengan bawah, bar penstabil dan banyak lagi. Jenama seperti Racing Boy dan JRD pastinya semakin gah di persada dunia. Dalam keadaan yang lebih ekstrim, jualan kereta dan motosikal baharu pastinya akan meningkat mendadak disebabkan oleh peningkatan jumlah kenderaan yang mengalami total-loss dalam nahas jalan raya. Bukankah ini satu perkembangan baik untuk ekonomi negara...?

Jasamu dikenang, Datuk Haji Sarani Dollah / Your deeds will be remembered, Datuk Haji Sarani Dollah




Salam sejahtera,

Pada 1 November 2018, saya diundang oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) bagi menghadiri satu majlis meraikan persaraan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKR, Datuk Haji Sarani Dollah, yang juga merupakan salah seorang penyokong kuat Blog Jalan Raya Malaysia, daripada perkhidmatan awam. Beliau sepatutnya menamatkan perkhidmatan beliau secara rasminya pada 30 November 2018, tetapi majlis diadakan lebih awal berikutan kesibukan beliau menjalankan tugasan rasmi pada bulan terakhir beliau dalam perkhidmatan kerajaan setelah berkhidmat selama 35 tahun 10 bulan.

Datuk Hj. Sarani Dollah dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKR pada tahun 2013. Namun, menurut beliau, sebenarnya 5 tahun terawal beliau dalam perkhidmatan awam juga adalah bersama-sama KKR. Maka, tempoh 5 tahun beliau sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKR adalah ibarat sirih pulang ke gagang. Beliaulah orang yang bertanggungjawab menemuduga Puan Noreha Mohd. Ripin bagi jawatan Ketua Unit Korporasi, tanpa sedikit pun menyangka bahawa mereka sebenarnya tinggal dekat sahaja.

Kisah pertemuan kali pertama saya dengan Datuk Hj. Sarani adalah semasa saya menghadiri majlis taklimat media mengenai isu JB EDL E14. Semasa taklimat berakhir, saya disapa oleh dua orang pegawai berpangkat tinggi, iaitu Dato' Ir. Hj. Ismail Md. Salleh, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (sudah bersara selepas cuti Hari Raya Aidilfitri 2018, tempat beliau kini digantikan oleh Dato' Sr. Aziz Abdullah) dan Datuk Hj. Sarani sendiri. Hati saya melonjak keriangan. Apa tidaknya, sebelum hari bersejarah itu, saya sering berdoa agar segala penulisan saya mengenai perjuangan memartabatkan jalan raya Malaysia mendapat perhatian daripada KKR, dan pada hari itu saya disapa sendiri oleh orang nombor empat paling berkuasa dalam KKR selepas Menteri Kerja Raya, Timbalan Menteri Kerja Raya dan Ketua Setiausaha KKR. 

Bermula daripada hari bersejarah itulah terjalin hubungan erat antara Blog Jalan Raya Malaysia dengan Kementerian Kerja Raya Malaysia. Bermula daripada Datuk Saranilah saya diperkenalkan dengan sahabat-sahabat dalam KKR, termasuklah Menteri Kerja Raya pada masa itu, Datuk Seri Fadillah Yusof, dan timbalannya Datuk Rosnah Hj. Abdul Rashid Shirlin. Tambah manis lagi, saya berjaya menarik keluar Allahyarham Admin Aiman Ab. Majid, admin kedua Blog Jalan Raya Malaysia, untuk diperkenalkan kepada barisan kepemimpinan KKR. Saya juga diserap masuk ke dalam Rakan KKR oleh Datuk Hj. Sarani sebagai satu keluarga besar.




Gambar kenangan semasa Majlis Rumah Terbuka KKR Aidilfitri 2016


Sejak pertemuan kali pertama saya dengan Datuk Hj. Sarani, telah banyak kejayaan yang dikecapi bersama-sama oleh KKR & BJRM. Antara kejayaan terbesar kami termasuklah berjaya menulis koleksi sejarah lengkap jalan raya dan lebuh raya utama di Malaysia (terutamanya Lebuhraya Utara Selatan E1/E2, Lebuhraya Pantai Timur E8, Lebuhraya Pan Borneo FQ1/FS1/FS22/FS13, dan Jalan Persekutuan 1, 2, 3 & 5). 

Kejayaan terbesar kami dalam usaha memartabatkan jalan raya Malaysia sudah tentulah penganjuran siri jelajah FTRoadpedia yang telah menghasilkan banyak reviu jalan raya termasuklah reviu lengkap Jalan Persekutuan 2 & Lebuhraya Pan Borneo Sarawak FQA1. Siri jelajah FTRoadpedia ini diilhamkan oleh Datuk Seri Fadillah sendiri, mungkin setelah tertarik membaca cerita-cerita saya dalam setiap reviu jalan raya yang saya tulis selama ini di Blog Jalan Raya Malaysia. Meskipun saya kemudian dikejutkan dengan berita pemergian Aiman Ab. Majid dan ibu saya, namun kejayaan penganjuran FTRoadpedia sedikit-sebanyak mengubat kesedihan saya ketika itu.

Masa berlalu dengan begitu pantas. Dengan tidak disangka-sangka, tahun 2018 merupakan tahun di mana saya terpaksa berpisah dengan ramai sahabat di KKR & Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR). Datuk Seri Fadillah & Datuk Rosnah tidak lagi menjadi Menteri & Timbalan Menteri Kerja Raya setelah Barisan Nasional kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Beberapa orang sahabat seperjuangan seperti Tuan Hj. Razali Derahman, Mejar Tajul Urus Tajuddin & Dato' Hj. Ismail Md. Salleh kini sudah bersara daripada perkhidmatan awam. Kini, Datuk Hj. Sarani yang saya amat hormati sebagai ayah angkat saya dalam KKR bakal menamatkan perkhidmatan beliau sebagai penjawat awam.

Selepas ini, Datuk Hj. Sarani tentunya akan menghabiskan masa persaraan beliau dengan bermesra bersama anak-anak & cucu-cucu tersayang. Namun, meskipun pada masa itu nanti Datuk Hj. Sarani tidak lagi berada dalam KKR, namun saya amat berharap agar hubungan ukhuwah yang terjalin selama ini terus berkekalan - bukan sahaja sebagai pengasas Rakan KKR, bukan sahaja sebagai watak bapa dalam Rakan KKR, tetapi sebagai ayah angkat saya. Tanpa Datuk Hj. Sarani, maka sudah tentulah saya tidak dapat berkenalan dengan sahabat-sahabat di KKR & JKR. Tanpa Datuk Hj. Sarani, maka sudah tentulah suara saya selama ini bagi memartabatkan jalan raya Malaysia tidak dapat sampai kepada pihak KKR.




Jasamu tetap dikenang selama-lamanya, Datuk Hj. Sarani Dollah. Terima kasih atas segala-galanya, Datuk. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas sebaga jasa dan budi baik Datuk kepada saya selama ini.





Ucapan oleh Ketua Unit Komunikasi Korporat KKR, Pn. Noreha Mohd. Ripin




Giliran saya pula berucap bagi mewakili Rakan KKR yang diasaskan oleh Datuk Hj. Sarani sendiri




Ucapan perpisahan oleh Datuk Hj. Sarani




Ucapan penghargaan oleh En. Zakhir Mustafa (aka Abang Madu) selaku ketua Rakan KKR




Lando Zawawi turut sama menyampaikan ucapan penghargaan kepada Datuk Hj. Sarani bagi pihak Ikatan Silaturrahim Brotherhood




Penyampaian cenderahati kenang-kenangan oleh Unit Komunikasi Korporat KKR




Penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan daripada wakil Rakan KKR Johor, En. Azmil




Abang Madu pula menyampaikan cenderahati kenangan bagi pihak Rakan KKR




Upacara memotong kek persaraan secara berjemaah




Semoga ikatan ukhuwah yang terjalin selama ini berkekalan walaupun selepas bersara