Wednesday, August 13, 2014

Rasional di sebalik kenaikan tol JB EDL E14 / The rationale behind the JB EDL E14 toll increase




Salam sejahtera,

Baru-baru ini pada 11 Ogos 2014, Blog Jalan Raya Malaysia menerima jemputan oleh Kementerian Kerja Raya untuk menghadiri satu taklimat media mengenai isu kenaikan tol Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur Johor Bahru (JB EDL) E14 yang berkuat kuasa baru-baru ini. Tujuan utama taklimat media tersebut diadakan adalah bagi memberi penerangan yang menyeluruh kepada rakyat mengenai keadaan sebenar yang memerlukan tol di JB EDL E14 dinaikkan, memandangkan ada pihak - khususnya ahli-ahli politik pembangkang - yang memutar-belitkan isu tersebut.

Isu tol di Kompleks Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar (CIQ BSI) tersebut mula timbul semasa kerajaan mengumumkan kenaikan tol yang berkuat kuasa pada 1 Ogos 2014. Akibat kenaikan tol di CIQ BSI, dikhabarkan berlaku mogok di kalangan pengusaha bas kilang yang "enggan masuk ke Singapura" sehingga menyebabkan ramai pekerja kilang terpaksa menapak sejauh lebih kurang 2 km ke Woodlands. Namun, apa yang sebenarnya berlaku pada masa itu sebenarnya hanyalah sandiwara semata-mata yang direka-reka bagi menampakkan seolah-olah kerajaan (khususnya KKR dan kerajaan negeri Johor) bertindak "zalim" - apa yang sebenarnya berlaku hanyalah keengganan dua buah bas kilang untuk membayar tol, dan ia telah menyebabkan kesesakan luar biasa di situ. Kesempatan tersebut digunakan oleh pembangkang khususnya DAP untuk memutar-belitkan insiden tersebut kepada insiden "mogok". Dengan kata lain, mogok tersebut sebenarnya tidak wujud sama sekali. Sehubungan dengan insiden tersebut, KKR telah mengeluarkan satu kenyataan media khas mengenai isu tersebut.

Taklimat media mengenai isu kenaikan tol CIQ BSI itu dibentangkan oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato' Ir. Hj. Ismail bin Md. Salleh. Sebelum saya menerangkan dengan lebih lanjut mengenai rasional kenaikan tol JB EDL E14 ini, izinkan saya untuk memberi penerangan ringkas mengenai latar belakang JB EDL E14 ini, memandangkan sebahagian besar maklumat asas mengenainya sudah pun saya ulas dalam reviu JB EDL E14 sebelum ini.

Seperti yang semua sudah sedia maklum, JB EDL E14 dibina bagi menghubungkan antara penamat Lebuhraya Utara-Selatan E2 di Exit 257/Exit 1404 Persimpangan Johor Bahru (aka Persimpangan Pandan) dengan bangunan baharu Kompleks Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar di Bukit Chagar. Kompleks imigresen baharu tersebut yang juga dikenali sebagai Gerbang Selatan Bersepadu dibina bagi menggantikan kompleks imigresen lama Tanjung Puteri yang sudah tidak lagi mampu menangani kesesakan lalu lintas hingga merebak ke jalan-jalan pusat bandar raya Johor Bahru. Namun, untuk ke sana, pengguna dari E2 terpaksa menempuh neraka trafik sepanjang lebih kurang 8 km melalui Lebuhraya Skudai FT3 AH18. Tanyalah mana-mana orang JB, rata-rata mereka mengatakan bahawa perjalanan sejauh hanya 8 km sahaja itu mengambil masa sehingga 45 minit. Lambakan lampu-lampu isyarat di sepanjang laluan tentunya menambah parah kesesakan FT3 itu. Maka, JB EDL E14 dibina bagi membolehkan pengguna jalan raya memintas neraka trafik tersebut. JB EDL E14 mula dibuka pada 1 April 2012 dengan kos sejumlah RM1.262 bilion.

Selain itu, satu lagi isu yang dapat ditangani melalui pembinaan JB EDL E14 ialah isu penjajaran laluan Lebuh Raya Asia AH2, yang turut menjadi isu dua hala antara Malaysia dengan Singapura. Sebelum JB EDL E14 dibina, Malaysia mahu mewartakan laluan AH2 yang melalui sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan untuk memasuki Singapura melalui Lebuhraya Linkedua E3. Sebabnya ialah untuk mengekalkan hirarki primer di sepanjang AH2 yang melalui Malaysia. Sementara itu, Singapura pula mahukan AH2 untuk melalui Tambak Johor. Selepas pembinaan JB EDL E14, keseluruhan jajaran AH2 di Malaysia kesemuanya memenuhi piawaian primer (kecuali jajaran Jitra Utara-Bukit Kayu Hitam yang hanya memenuhi piawaian Annex I, kerana jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1 di situ dibina sebagai naik taraf Jalan Persekutuan 1 kepada jalan raya kembar dengan kawalan masuk separa), serta melalui Tambak Johor. Maka, Lebuhraya Linkedua E3 kini diwartakan sebagai laluan Lebuh Raya Asia AH143.

Sepanjang tempoh operasi, pihak MRCB Lingkaran Selatan telah menjalankan kajian trafik dan mendapati bahawa JB EDL E14 berjaya mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Tebrau FT3 sehingga 50%. Jadi, bukankan pencapaian sebegitu sangat membanggakan...?

Mengenai kadar tol pula, sebelum ini kenderaan yang berulang-alik ke Singapura hanya perlu membayar tol sebanyak RM2.90 sekali sahaja semasa memasuki Malaysia, dan tol tersebut dikutip oleh Plus Malaysia Berhad. MRCB Lingkaran Selatan sepatutnya mula mengutip tol pada tahun 2012, tetapi ditangguhkan sebegitu lama bagi mendapatkan mekanisme kutipan tol terbaik, memandangkan orang-orang JB yang tidak keluar masuk ke Singapura boleh menggunakan lebuh raya tersebut percuma. MRCB Lingkaran Selatan juga pernah berkira-kira untuk menjual kepentingan mereka dalam EDL kepada kerajaan, tetapi akhirnya kerajaan memutuskan untuk membenarkan MRCB Lingkaran Selatan meneruskan kutipan tol, memandangkan kos pengambilalihan adalah sangat mahal.

Kenapa kadar tol baharu di CIQ BSI dinaikkan...? Ini dia jawapannya:-
  1. Membiayai kos pembinaan, operasi dan penyelenggaraan EDL E14 - MRCB Lingkaran Selatan membina JB EDL E14 tanpa meminta walau sesen pun daripada kerajaan; sebaliknya, mereka bergantung sepenuhnya kepada pinjaman bank. Tambahan pula, MRCB Lingkaran Selatan bukan sahaja menanggung kos pembinaan, tetapi juga kos pengambilalihan tanah. Maka, sudah tentulah mereka perlu mendapatkan kembali wang mereka dalam bentuk kutipan tol. Ya, memang sebelum ini tol memang sudah lama dikutip, tetapi itu cumalah bahagian Plus Malaysia Berhad yang menyelenggara Tambak Johor.
  2. Membiayai kos penyelenggaraan dan operasi di CIQ BSI - Dalam perjanjian konsesi antara MRCB Lingkaran Selatan dengan kerajaan, mereka bukan sahaja perlu menyelenggara EDL E14, tetapi juga perlu menyelenggara jalan-jalan di sekitar kompleks CIQ BSI.
  3. Memenuhi ketetapan oleh kerajaan negeri Johor yang mahukan orang-orang JB yang tidak memasuki Singapura tidak dikenakan tol - Ini input baharu yang diberikan oleh COO MRCB, Encik Imran Salim. Menurut beliau, semasa hendak membina JB EDL E14, kerajaan negeri Johor telah mengenakan satu prasyarat yang mahukan penduduk Johor Bahru yang tidak ke Singapura agar tidak dikenakan tol. Bancian trafik di sepanjang JB EDL E14 menunjukkan bahawa EDL E14 mencatatkan kadar trafik purata harian (ADT) sejumlah 180,000 kenderaan, yang mana hanya sepertiga daripadanya (6,000 kenderaan) yang keluar-masuk ke Singapura. Dengan kata lain, dua pertiga daripada kadar ADT EDL E14 terdiri daripada orang-orang JB yang menikmati tol percuma, dan MRCB hanya dapat mengutip tol daripada golongan minoriti. Disebabkan skala ekonomi yang lebih kecil itu, maka MRCB terpaksa menaikkan tol dengan kadar yang lebih tinggi kepada pemandu yang berulang-alik Singapura untuk membolehkan mereka memperoleh pulangan setimpal.

Satu perkara yang menarik perhatian saya ialah rasional kutipan tol dilakukan menggunakan sistem tol terbuka di CIQ BSI dan bukannya sistem tertutup, memandangkan saya sendiri pernah tertanya-tanya sebelum ini tentang bagaimana mereka hendak untung jika menggunakan sistem terbuka sebegini. Menurut Dato' Hj. Ismail, rasional kutipan tol di CIQ BSI adalah seperti berikut:-
  1. Tol JB EDL E14 percuma untuk rakyat Johor - Saya sudah pun terangkan sebelum ini.
  2. Menjadikan Bangunan Sultan Iskandar sebagai pusat sehenti - Kutipan tol dan urusan imigresen dilakukan di bangunan yang sama, sekaligus meningkatkan tahap kecekapan kerana tidak perlu berhenti banyak kali.
  3. Mengelak kesesakan di jalan-jalan perumahan JB akibat shunpiking - Satu kelemahan terbesar sistem tol terbuka ialah sistem sebegini tidak memberi keadilan kepada pengguna lebuh raya ataupun syarikat konsesi. Bagi pengguna, sistem tol terbuka merugikan kerana jika hendak ke taman perumahan bersebelahan yang terletak tidak sampai 100 m pun kena bayar tol. Bagi syarikat konsesi pula, sistem tol terbuka tidak adil kepada mereka kerana pengguna jalan raya akan mencari jalan untuk memintas plaza tol. Amalan memintas tol (shunpiking) bukanlah satu amalan yang bagus kerana selain menyesakkan jalan-jalan perumahan, ia juga boleh menyebabkan jalan-jalan perumahan cepat rosak, memandangkan rata-rata jalan perumahan hanya direka bentuk bagi kadar aliran trafik yang sangat rendah.
  4. Mengelakkan kesesakan di laluan utama lebuh raya - Jika plaza tol dibina di laluan utama, ia boleh menyebabkan kesesakan melalui dua cara, iaitu akibat pemintasan tol serta longgokan trafik yang diwujudkan di plaza tol. Ia lebih ketara pada sistem tol tertutup kerana pemandu perlu berhenti sebanyak dua kali di sepanjang lebuh raya untuk mengambil tiket tol dan membayar tol.
  5. Menjimatkan kos pembinaan - Kos pembinaan bagi sesebuah lebuh raya ekspres tidak terhad kepada lebuh raya itu sahaja, tetapi termasuklah semua bangunan serta institusi berkaitan, seperti plaza tol, hentian rehat, dsb. Jika kutipan dilaksanakan di CIQ BSI, MRCB tidak lagi perlu membina plaza tol dan ia membantu MRCB untuk menjimatkan kos pembinaan.

Jadi sejauh manakah impak kenaikan kadar tol CIQ BSI kepada rakyat Johor...? Jawapannya, tak ada langsung...!!! Golongan yang terkesan hanyalah para pekerja yang berulang-alik setiap hari antara Johor Bahru-Singapura untuk bekerja serta para pelancong, itu pun mereka masih lagi ada alternatif yang lebih murah untuk berulang-alik ke Singapura - naik sajalah bas, kalau malas sangat tu naik motor saja...!!! Naik motor tak perlu bayar tol langsung. Kalau naik bas pun, kenaikan tol cuma beri impak tidak sampai 30 sen sehari. Kepada para penentang tol EDL, kenapa anda tak cerita tentang kadar VEP yang hendak dinaikkan "kaw-kaw" oleh kerajaan Singapura kepada kita...? Kenapa anda tidak bising tentang kadar ERP yang mahal di seberang tambak itu...? Janganlah pula kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan...!!! Sepatutnya, anda berterima kasih kepada KKR dan kerajaan negeri Johor kerana lebih mengutamakan anak-anak Johor daripada orang luar mengenai isu tol JB EDL E14 ini - bukannya bermati-matian mempertahankan rasional kenaikan VEP di Singapura tetapi dalam masa yang sama mengecam kenaikan tol EDL dan penguatkuasaan VEP oleh kerajaan negeri Johor. Kita kena ingat, kita sudah terlalu banyak memberi muka kepada kereta-kereta Singapura melalui banyak cara termasuklah subsidi bahan api. Ada banyak kereta Singapura yang disaman di Malaysia tetapi terlepas begitu sahaja. Kalau jalan raya kita rosak pun, bukannya mereka bayar; mereka hanya tahu jalan sahaja. Saya bukanlah mahu mengeruhkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, tetapi apa yang saya ingin tegaskan di sini ialah setiap pemandu Singapura juga bertanggungjawab terhadap apa yang digunakan oleh mereka di Malaysia termasuklah jalan raya, atas dasar tetamu menghormati tuan rumah. Maka, mereka tidak sewajarnya berperangai "kiasu" dan berkira untuk mengeluarkan sedikit wang bagi memastikan jalan raya kita sentiasa selamat dan sempurna. Namun, saya amat bersetuju dengan saranan oleh Dato' Hj. Ismail agar MRCB Lingkaran Selatan membangunkan satu program kesetiaan termasuklah rebat tol bagi membantu mengurangkan impak kenaikan tol kepada golongan terbabit.

Untuk galeri penuh gambar, sila klik sini.







Sebahagian wakil media sedang berehat sebelum taklimat bermula






Mengambil kesempatan bergambar sebentar






Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Dato' Ir. Hj. Ismail menyampaikan taklimat






COO MRCB, Encik Imran menjawab soalan oleh wakil media






Jamuan makan tengah hari

No comments:

Post a Comment