Tuesday, April 11, 2017

FTRoadpedia Pantai Timur Part 4: Projek jejambat Jalan Bukit Ubi C4 / Jalan Bukit Ubi C4 flyover project




Salam sejahtera,

Setelah agak lama tertangguh, kali ini saya kembali membawa sambungan bagi siri FTRoadpedia Pantai Timur ini. Seperti yang saya janjikan, kali ini saya ingin membawa anda ke projek jejambat Jalan Bukit Ubi C4 yang diharap dapat menamatkan azab sengsara yang terpaksa ditempuhi orang-orang Kuantan, khususnya kepada lebih 100,000 pengguna jalan raya yang berulang-alik dari pusat bandar Kuantan ke Indera Mahkota, bandar satelit utama bagi Kuantan melalui Jalan Bukit Ubi C4 dan Jalan Sungai Lembing FT231. Ia dijangka siap pada 2 April 2017 dengan kos RM40 juta. Lawatan ke tapak projek ini masih lagi mengisi diari hari pertama jelajah FTRoadpedia Pantai Timur pada 23 Februari 2017.




Melencong ke Jalan Pintasan Kuantan FT3 di Exit 253 Persimpangan Pandan untuk ke tapak projek Persimpangan Jalan Bukit Ubi C4


Untuk ke tapak projek, kami melencong ke Jalan Pintasan Kuantan FT3 dari Jalan Gambang FT2 sebelum memasuki bandar Kuantan melalui Jalan Sungai Lembing FT231 dan Jalan Bukit Ubi C4. Sepatutnya, kami boleh sahaja teruskan perjalanan menggunakan Jalan Gambang FT2 sehinggalah ke lokasi tapak projek yang terletak betul-betul dalam kawasan pusat bandar. Namun, harus diingat bahawa rombongan kami tiba di lokasi pada waktu gegas, jadi sudah tentulah kami terpaksa mengharungi neraka kesesakan jalan raya sekiranya kami menggunakan laluan biasa. Sekiranya kami menggunakan laluan Jalan Pintasan Kuantan FT3 dan seterusnya Jalan Sungai Lembing FT231 / Jalan Bukit Ubi C4, satu-satunya azab yang perlu ditempuh hanyalah di tapak projek itu sendiri.




Memasuki Jalan Sungai Lembing FT231 ke tapak projek




Di mana sebenarnya titik pertukaran laluan Jalan Sungai Lembing FT231 kepada Jalan Bukit Ubi C4...? Adakah di simpang ini ataupun di tempat lain...?




Yang pasti, jalan ini sekarang memang Jalan Bukit Ubi C4




Kami sudah pun tiba di tapak projek jejambat Jalan Bukit Ubi C4


Semasa rombongan kami mula memasuki Jalan Sungai Lembing FT231 ke pusat bandar Kuantan melalui Persimpangan Bunga Cengkih yang merupakan satu-satunya persimpangan seumpamanya di Kuantan, ada satu persoalan yang masih tidak memuaskan hati saya serta tidak mampu dijawab oleh mana-mana pegawai Kementerian Kerja Raya mahupun Jabatan Kerja Raya. Saya dimaklumkan bahawa Jalan Sungai Lembing FT231 dan Jalan Bukit Ubi C4 sebenarnya merupakan dua laluan yang berasingan, meskipun pada zahirnya kedua-duanya berkongsi jalan yang sama. Dengan kata lain, dari bandar Kuantan, Jalan Bukit Ubi C4 bertukar kepada Jalan Sungai Lembing FT231 pada suatu titik di sekitar Bandar Indera Mahkota. Namun, persoalan yang masih gagal dijawab ialah di mana titik pertukaran kod laluan itu...? Masalah ini sebenarnya lebih kurang sama seperti semasa saya melalui Jalan Felda Sungai Koyan C5/FT1503, di mana jalan tersebut asalnya merupakan jalan negeri sebelum bertukar menjadi jalan persekutuan Felda pada satu titik yang tidak diketahui. Inilah satu contoh bahana kelemahan pada sistem papan tanda sedia ada, yang hanya boleh diselesaikan melalui pemasangan penanda kepastian (reassurance marker) serta penambahbaikannya. Bagaimana hendak menambah baik penanda kepastian tersebut...? Sudah tentulah dengan memacakkan penanda kepastian betul-betul pada titik pertukaran laluan dan menambah perkataan Tamat (bagi laluan sebelumnya) atau Mula (bagi laluan yang baru dimasuki).

Kami akhirnya selamat tiba di tapak projek jejambat Jalan Bukit Ubi C4. Secara amnya, setakat pada tarikh lawatan kami, projek ini sudah 91.19% siap, dan semasa saya menulis entri ini projek jejambat ini sepatutnya sudah siap sepenuhnya dan sudah mula digunakan oleh orang-orang Kuantan (harap Hezeri Samsuri, JKR Kuantan atau mana-mana pembaca dari Kuantan dapat mengesahkannya). Sebelum ini, ada juga saya mendengar cerita-cerita yang mengatakan projek ini tertangguh, tetapi biasalah, ia disebabkan oleh punca yang sangat tipikal iaitu masalah pengalihan paip air dan kabel-kabel utiliti (elektrik dan telefon).




Majlis taklimat projek jejambat Jalan Bukit Ubi C4 di pejabat tapak projek


Oleh kerana projek jejambat Jalan Bukit Ubi C4 ini memang sudah hampir siap, maka sudah tentulah tiada lagi isu-isu berbangkit melaluinya. Sebaliknya, isu lain pula yang dibangkitkan, iaitu masalah kenderaan berat yang terlebih muatan, yang menjadi antara punca utama kenapa jalan raya sering rosak. Dalam majlis taklimat mengenai projek jejambat Jalan Bukit Ubi C4, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengumumkan bahawa KKR sedang menguji sistem penimbang mudah alih (weigh-in-motion) yang berupaya menimbang berat kenderaan secara masa nyata (real time) tanpa perlu melencong ke stesen-stesen jambatan timbang milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia membolehkan pemandu kenderaan berat tahu sekiranya muatan yang dibawa mereka itu melebihi had yang sepatutnya; jika mereka teruskan pemanduan, bermakna mereka seolah-olah meminta untuk disaman. Ia susulan masalah penguatkuasaan had berat yang sering menjadi kontroversi di kalangan para pemandu lori.

Masalah nombor satu yang sering dihadapi oleh para pemandu lori ialah kebanyakan daripada mereka tidak tahu berapa berat sebenar muatan yang dibawa. Mereka hanya angkut sahaja muatan yang diberi seperti yang disuruh. Lagipun, bukannya ada alat penimbang lori pun di pelabuhan, kilang, gudang, lombong dsb. Masalah kedua ialah had berat yang tidak seragam dan tidak konsisten, dan inilah punca utama yang membawa kepada bantahan serta rasa tidak puas hati dari kalangan para pemandu lori serta syarikat pengangkutan berat. Malah, ia sudah membarah sehingga membawa kepada penggunaan tonto yang diupah untuk menggagalkan operasi penguatkuasaan oleh JPJ, sekaligus membawa kepada keperluan menggunakan senjata api dalan operasi penguatkuasaan.

Jadi berapakah berat dengan muatan (BDM) yang dibenarkan di Malaysia...? Pada 13 Mac 2017, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan kenaikan had berat BDM kepada 19 tan (lori 2 gandar), 27 tan (lori 3 gandar tegar), 31 tan (lori 3 gandar bersendi), 39 tan (lori 4 gandar), 45 tan (lori 5 gandar) dan 50 tan (lori 6 gandar). Banyaknya yang perlu dihafal...!!! Jadi dengan formula had berat BDM yang terlalu banyak, maka sudah tentulah mustahil hendak mencatatkan kesemuanya sekali pada papan tanda jalan raya. Kalau anda tanya saya pun, memang saya tidak terhafal. Tak bolehkah MOT meringkaskannya kepada hanya satu formula had berat gandar yang lebih mudah untuk diingati, misalnya had berat gandar 9 tan...? Inilah punca utama kelemahan penguatkuasaan had berat, sehingga ke tahap JPJ terpaksa menggunakan senjata api. 

Justeru, Datuk Seri Fadillah mencadangkan penggunaan WIM ini supaya para pemandu lori boleh tahu sama ada lori-lori mereka sudah terlebih berat dan jika terlebih, mereka boleh mengurangkan muatan sehingga ke tahap yang dibenarkan. Jika para pemandu lori dapat tahu berat lori mereka dan mengurangkan muatan sekiranya terlebih, maka sudah tentulah kesan kerosakan jalan dapat dikurangkan, yang bermaksud kurang ongkos pembaikan jalan dan seterusnya lebih banyak wang dapat dimanfaatkan untuk membina lebih banyak infrastruktur untuk rakyat, khususnya jalan raya luar bandar.

Entri seterusnya dalam siri FTRoadpedia Pantai Timur ini ialah kota sesat FT2 di bandar Kuantan dan reviu Jalan Pintasan Kuantan FT3 sebelum saya bawakan reviu Jalan Kuantan-Kuala Terengganu FT3.

No comments:

Post a Comment